SMAHADZIR
SETELAH
memuntahkan beberapa orang penumpang, kereta api itu pun mulai bergerak
perlahan meninggalkan Stesen Arau. Ketua stesen mengibar-ngibarkan bendera
kecil berwarna hijau di hujung platform. Peluit kereta api turut bergema
nyaring mengiringi gerapak enjin kereta api menuju ke destinasinya.
Aku meneliti
persekitaran stesen. Tidak banyak perubahan yang ketara berbanding suatu ketika
dulu. Beberapa ekor kambing yang sedang berlari-lari anak menuju ke arah padang
terbiar di seberang stesen, terkejut seketika tatkala kereta api melintasi
kawasan mereka.
Namun begitu masing-masing kembali meragut rumput-rumput yang tumbuh
meliar di situ dengan tenang setelah kereta api itu menghilang dari pandangan
mata. Di lereng-lereng perbukitan yang berhampiran, yang ditumbuhi hutan
lalang, kelihatan berkemilau dek simbahan mentari petang. Warna lembayung
melatari kaki langit lalu memancarkan cahaya ledangnya ke serata pelosok alam.
Entahlah! Kalimat itu
terpacul serentak sebuah keluhan tanpa kawalan mencerlus dari kerongkongan. Aku
sendiri tidak tahu, entah kenapa sejak akhir-akhir ini kaki kiriku sering saja
berasa kebas dan menyucuk-nyucuk halus terutama kala melakukan perjalanan yang
agak jauh. Barangkali juga kesan dari kemalangan yang menimpaku beberapa tahun
yang lalu. Perlahan-lahan aku mengatur langkah menuju ke arah sebuah kerusi
kayu yang terletak di sisi bangunan stesen. Sebaik melabuhkan punggungku di
situ, aku mulai memicit-micit paha kiriku. Rasa ngilu dan kebas kian beransur
reda. Aku berasa lega dan mata terus saja mengitar ke segenap pojok. Hening.
Bayu petang yang berhembus segar dan galak dari arah perbukitan, mendadak
menghantar aku ke wilayah indah dan tragis silam.
“Ayuh, naiklah!”
“Ke mana, Zam?”
“Hari ni kan hari
liburan! Ayuh kita ke Langkawi!”
“Apa ada di sana?”
“Keriangan dan
ketenangan dari tekanan hidup!”
“Tapi kita harus pulang
awal!”
“Okey!”
“Lagi satu janji!”
“Apa dia?”
“Jangan pandu terlalu
laju, aku takut!”
“Aku janji sayang...”
Ketika itu kami bagaikan
sepasang rama-rama yang riang dan bebas berterbangan di angkasa raya. Segalanya
indah. Segalanya mempersona dan segalanya berlalu dalam suasana keriangan yang
sungguh.
Ya Allahhhhhh!!!!
Segalanya terjadi begitu
pantas. Motosikal yang kupandu tiba-tiba saja hilang kawalan tatkala digesel
oleh sebuah lori tangki yang bergerak laju dari arah hadapan. Sedar-sedar
kulihat Haryati sudah terkapar kaku di sisi motosikal yang terbaring di tengah
jalan raya. Dalam panik aku segera merangkul lalu menggoncang tubuh Haryati
sambil menyeru-nyeru namanya.
“Yatiiii!!!!”
“Zamriiii!!!”
“Yatiiii!!!!”
“Zamriiiiii!!!!”
“Yatiiiiii, mengucap
Yati! Mengucap!”
“Zam... Zam...!”
“Hei, Zam! Apa yang kau
menungkan ni?” satu suara serentak sebuah tapak tangan hinggap di bahu pantas
mematikan segala lamunan fikiranku. Aku kemamar sejenak sebelum menoleh dan
kala aku menoleh tertancaplah rakanku Hamidon yang sudah pun berdiri di sisiku.
Aku segera melihat jam di pergelangan tangan. Mentari yang tadinya bersinar
terang telah mula memudarkan cahayanya.
Oh Tuhan! Kenapa
kenangan pahit itu menjelma lagi dalam hidupku!
“Ayuh, Zam!” Hamidon
mencuit bahuku lagi sekali lalu mengatur langkah.
Aku memicit-micit
pangkal paha sebelum mengekori langkah Hamidon ke arah Vespa yang diletakkan di
bahagian luar stesen. Aku segera membonceng dan sejurus kemudian dia
menghidupkan enjin kenderaan tersebut. Sekawan burung pipit menderu melintas di
langit bersih sewaktu kami meninggalkan Stesen Kereta Api Arau petang itu.
“Berapa lama kau akan
ditugaskan di sini, Zam?” Hamidon mengajukan pertanyaan sewaktu kami melangkah
masuk ke sebuah warung kopi.
“Lebih kurang tiga
bulan! Kenapa?”
“Tak ada apa-apa!”
“Minum apa, encik?”
seorang lelaki lewat 50-an tiba-tiba mencelah. Dia dikenali sebagai Pak Nik.
Hamidon sudah kenal benar dengannnya kerana sering makan dan minum di warung
ini.
“Err, kau nak minum apa?” tanya Hamidon sambil menunak wajahku.
“Kopi! Kau?”
“Teh tarik! Makan?”
Aku menggeleng.
“Kopi dan teh tarik saja,
Pak Nik!”
Lelaki lewat 50-an yang
dipanggil Pak Nik itu terus melangkah ke ruang dapur. Sebenarnya, Hamidon
adalah salah seorang peserta sewaktu mengikuti kursus ternakan ikan air tawar
di bandar Kangar beberapa bulan yang lalu. Kebetulan aku telah diberi tugasan
sebagai penceramah kepada para peserta di kursus tersebut. Secara tidak
langsung kami bertemu, menjalinkan persahabatan dan kekal hingga ke saat ini.
Aku menyeluruhi
persekitaran warung, kelihatan beberapa orang pelanggan sedang asyik menikmati
juadah petang. Sejurus kemudian aku beralih dan mencapai akhbar tulisan Jawi di
satu sudut meja. Niatku hendak menyelak lembaran akhbar tersebut tetapi
terbantut kerana Pak Nik datang bersama pesanan yang kami minta tadi. Dua cawan
berisi kopi dan teh diletakkan di atas meja hadapan kami.
“Eh, macam mana, Don?”
tiba-tiba aku meluahkan pertanyaan sebaik soal rumah sewa itu bertamu dalam
kepala.
“Macam mana apa?”
Hamidon sedikit melongo.
“Tentang rumah sewa yang
kau kata tu!” aku mengingatkan.
“Oooo, tentang itu!”
Hamidon menepuk-nepuk dahinya berkali-kali.
“Macam mana? Ada ke
rumah sewa yang aku perlukan tu?” aku bagaikan tidak sabar lagi ingin tahu.
“Err, ada Zam! Tapi...”
ujar Hamidon sambil mengangkat cawan teh ke mulut. Minuman itu dihirupnya perlahan.
Dalam masa yang sama aku
juga menghirup kopi panas di hadapanku. Terasa segar sedikit seluruh badan
dengan aroma kopi tersebut.
“Begini ceritanya, Zam!”
suara Hamidon bergema lagi. “Rumah sewa yang kau nakkan tu, memang ada. Tapi
kau kenalah tunggu dua atau tiga hari lagi...”
“Kenapa?”
“Tuan rumahnya telah
pergi ke Taping kerana menziarahi saudaranya meninggal dunia secara mengejut.
Lagipun, dia tak tinggalkan aku kunci rumah, maklumlah dia pergi dalam keadaan
tergesa-gesa...”
“Habis, macam mana
dengan aku? Aku nak tidur di mana malam ni?” aku bagaikan kehilangan punca
ketika itu.
“Soal itu kau jangan
bimbang, Zam!” Hamidon cuba menenangkan perasaanku.
“Jangan bimbang kata
kau? Kau nak suruh aku tidur di masjid?” aku menjegilkan biji mataku ke arah
Hamidon.
“Buat sementara ni, aku
nak tempatkan kau di rumah Makcik Rafeah!” ujar Hamidon.
“Siapa dia?”
“Mak saudara aku!”
Aku terdiam.
“Kau jangan risau, Zam!
Rumah makcik aku ni besar. Tak ada siapa di rumahnya selain dari dia saja.
Lagipun, kalau kau duduk di situ, adalah juga orang temankan dia!” ujar Hamidon
lagi bagaikan mengharap.
Aku masih lagi
mendiamkan diri kerana tidak dapat memberi kata putus.
“Bagaimana, Zam? Setuju
ke?”
Agak lama juga aku
memerah otak fikir sama ada mahu menerima atau tidak pelawaan tersebut namun
akhirnya aku mengalah juga. “Okeylah, Don! Tapi kau mesti janji dulu!”
“Janji apa pula?”
“Dapatkan aku rumah sewa
yang dikatakan tadi!”
Hamidon mengangguk.
Kami meninggalkan warung
kopi Pak Nik sewaktu jam di dinding berdenting enam kali. Kami kemudiannya
menempuh bukit-bukit pasir dan melewati dua tiga buah tasik bekas lombong
tinggal yang terbentang luas. Aku sempat melihat di kejauhan, ke arah beberapa
orang pemuda sedang leka memancing. Warna mega yang kuning kemerah-merahan
mulai menguasai kaki langit sewaktu Vespa Hamidon berhenti di halaman sebuah
rumah batu yang agak sederhana besarnya. Halamannya kelihatan begitu bersih
dijajari beberapa batang pohon durian belanda dan juga barisan bunga-bunga
cempaka gunung yang berdaun lebat.
Hatiku tiba-tiba saja
menjadi tidak keruan tatkala melihat jambangan bunga-bunga cempaka gunung yang
sedang mekar berkembangan itu. Telingaku seolah-olah sayup-sayup mendengar
keriuhan suara kanak-kanak bermain. Keharuman bunga-bunga itu juga terasa
menusuk deria bau. Ada sesuatu yang pilu menusuk sukma. Satu keluhan rengsa
tiba-tiba menggelungsur keluar dari kerongkongan.
“Kenapa kau ni, Zam?”
tanya Hamidon dengan biji mata terkebil-kebil memandang wajahku.
“Err, tak ada apa-apa,
Don!” ujarku acuh tak acuh dan gugup.
Sepi mulai menguasai
suasana sebaik saja Hamidon mematikan enjin Vespanya. Mungkin kerana menyedari
kehadiran kami, pintu rumah tersebut terbuka dan muncul seorang perempuan
berusia lewat lima puluhan, berkebaya dan bersanggul rapi. Dengan segera kami
mengatur langkah ke arahnya.
Hamidon segera
memperkenalkan aku kepada perempuan tersebut. Dari perbualan antara Hamidon
dengan Makcik Rafeah itu jelaslah bahawa kehadiranku telah dinyatakan terlebih
dahulu rupanya. Sewaktu kami melangkah ke ruang tamu, telah tersedia juadah dan
minuman buat kami. Kami dijemput menjamah hidangan sementara Makcik Rafeah
terus menuju ke ruang dapur. Hamidon membisikkan ke telingaku agar tidak
terkejut sekiranya Makcik Rafeah bercakap sesuatu di luar jangkaan.
“Apa maksud kau?” aku
mengajukan pertanyaan lantaran kurang faham.
“Entahlah, Zam! Aku pun
tak tahu kenapa. Ada kalanya dia suka bercakap seorang diri, kadang-kala dia
jadi pelupa dan ada kalanya pula dia jadi keliru dengan dirinya sendiri!” jelas
Hamidon sedikit pudar.
“Barangkali dia
terhenyak oleh sesuatu peristiwa yang menyayat hati!” aku sekadar menduga.
Sebagai perempuan yang telah berusia, perkara sedemikian tentulah biasa
terjadi. Mungkin juga Makcik Rafeah pernah mengalami sesuatu yang tragis di
dalam hidupnya. Kesan begitu selalunya mampu mempengaruhi jiwa seseorang. Atau
mungkin juga Makcik Rafeah mengalami skizofrenia. Entahlah... aku bukannya
seorang pakar psikologi untuk membuat sebarang kesimpulan. Begitu aku berfikir.
Hamidon tidak memberi
sebarang respon terhadap ungkapanku. Aku juga tidak meneruskan sebarang
pertanyaan lagi kerana tatkala itu Makcik Rafeah datang membawa lampu gasolin
yang sekali gus menerangi seluruh ruang tamu yang sebentar tadi agak suram
kerana ditelan suasana senja.
Sewaktu azan Maghrib
berkumandang sayup-sayup dari arah hujung kampung, Hamidon memohon diri untuk
pulang. Sebelum beredar, dia berjanji akan datang menjemputku keesokan hari.
Aku sekadar mengangguk.
* * *
Makcik Rafeah sedang tekun menyirami pohon-pohon cempaka gunung yang
separas pinggang. Begitu asyik dia sehingga tidak sedar akan kepulanganku
petang itu. Aku melemparkan renungan ke arah kaki bukit yang dipenuhi
pokok-pokok getah dan tumbuhan semula jadi yang menghijau di kejauhan. Langit
kelihatan bersih, hanya ditompoki awan-awan putih serlah bergerak lembut ke
arah barat. Sesekali kedengaran keluit helang memecah kesepian suasana.
Sesungguhnya, suasana
begini amat mendamaikan jiwaku. Mungkin kerana kecacatan yang aku alami ini
menjadikan aku lebih senang hidup menyendiri biarpun ramai rakan sebayaku sudah
pun beranak pinak. Barangkali juga aku begitu sukar melupakan peristiwa lama
yang sering menghantui. Entahlah!
Sepi membalut
sekeliling. Aku kembali merenung barisan pohon-pohon bunga cempaka gunung yang
sedang berkembang mekar. Keharumannya jelas menusuk hidung dan menyelinap ke
celah-celah pelosok sanubari. Damai kurasakan.
“Eh, bila kamu pulang?”
tiba-tiba Makcik Rafeah bertanya. Barangkali baru menyedari akan kepulanganku.
Dia segera meletakkan bekas penyiram ke tanah dan mempelawa aku masuk ke dalam
rumah. Sebaik aku mencecah ruang tamu, Makcik Rafeah sudah menghilang di dapur.
Sejurus kemudian kedengaran curahan air dan bunyi dapur minyak tanah sedang
dinyalakan sumbunya.
Aku meletakkan fail-fail
berisi nota mengenai akuakultur dan teknik pemeliharaan juga penyelenggaraan
ikan air tawar yang sepanjang hari kubentangkan kepada para peserta kursus di
atas meja di ruang tamu. Sewaktu melintasi ruang itu untuk ke bilikku, kelihatan
beberapa jambak bunga cempaka gunung diletakkan di satu sudut. Tersusun rapi
dan kemas.
Kupejamkan mata...
aghhh, mengapa ni? Mengapa tiba-tiba saja hatiku menjadi sebak dan sayu tidak
menentu. Aku seolah-olah terpanggil oleh rentetan peristiwa masa silam.
Bagaikan terbayang di kelopak mataku kota-kota pasir di tepian sungai, di mana
di atasnya diatur dan dicacakkan bunga-bunga cempaka gunung yang cantik,
berkilauan disiram mentari petang. Aku juga mendengar derap langkah kaki dari
belakang.
“Cantik tak, Zam?”
“Cantik, hmmm pandai kau
susun!”
Aku memandang tepat ke
mata Haryati kemudian merenung bibirnya bergerak-gerak lembut. Entah sejak bila
gadis ayu itu muncul, aku tidak pasti.
“Itu gambar anak
makcik!”
Aku tersentak dari
lamunan. Kemamar dan kelinglungan. Suara Makcik Rafeah begitu mengejutkan.
“Mana makcik?”
“Itu ha! Yang tergantung
di dinding tu!”
Aku segera berpaling ke
arah yang dituding Makcik Rafeah. Sebuah bingkai potret seorang gadis jelita
tersenyum manis di situ. Atur langkah kakiku cepat ke arah tersebut lalu potret
tersebut kuturunkan. Dalam masa yang sama kelihatan Makcik Rafeah sedang
mengatur langkah ke arahku bersama dulang berisi air di tangan.
“Itulah gambar anak
makcik!” ujar Makcik Rafeah lagi. “Cantik tak?”
Aku tersenyum dan
mengangguk.
“Tak lama lagi dia akan
pulang bercuti!” Makcik Rafeah mesra memberitahu tanpa diminta. “Err, pasu-pasu
bunga ni, dialah yang buat. Bunga-bunganya dialah yang suntingkan. Dia bekerja
di kilang membuat barang-barang tembikar!” Sejurus kemudian dia mengeluarkan
beberapa biji tembikar dari dalam sebuah almari lalu diisikannya dengan
jambangan bunga cempaka gunung.
“Pasu-pasu ni kalau tak
dihias, tak nampak cantik. Kalau dah dihias dengan bunga, barulah nampak
cantik. Betul tak?”
Aku sekadar
mengangguk-angguk mengiyakan.
“Kamu tahu, dia sangat
suka dengan bunga cempaka gunung ni! Kamu boleh berjumpa dengan Noraini bila
dia pulang nanti...”
“Errr, bila Noraini
pulang, makcik?” cantasku tanpa dapat dikawal.
“Minggu depan!” ujar
Makcik Rafeah.
“Kamu boleh berjumpa
dengan dia! Dia cantik dan bunga cempaka gunung selalu diselitkan ke
sanggulnya!”
Aku terus mengangguk
tanpa sebutir pun kalimat balas yang berjaya dicetuskan. Sejurus kemudian,
Makcik Rafeah terus menyusun pasu-pasu yang sudah diisi dengan bunga-bunga
cempaka gunung tersebut. Aku tiba-tiba ingin menjerit namun suaraku bagai
terkurung di dasar halkum.
“Hei, kenapa kamu
pecahkan istana pasir kami, Nan?”
Pasti... ya memang
pasti! Itulah suara Haryati yang meloncat dari tepian tasik.
“Bukan... bukan aku!”
“Habis, siapa? Aku lihat
kamu yang memecahkannya!”
“Bukan aku tapi kaki
aku!”
“Huh, anak hantu betul
kamu ni!”
“Tak apalah, Yati! Nanti
kita buatkan yang lain!”
“Apa kamu kata tadi?”
Aku tersedar lagi dari
lamunan silam.
“Errr, tak ada apa-apa,
makcik!” ujarku agak acuh tak acuh.
“Ha, kalau begitu,
minumlah air tu! Nanti sejuk pula!” balas Makcik Rafeah mesra.
Perlahan-lahan aku
menghirup air kopi sajian Makcik Rafeah yang mulai suam. Sesungguhnya,
fikiranku terlalu jauh melayang, bercampur-baur antara masa silam dan masa
kini. Naluriku mula diresapi dengan suatu perasaan yang aneh. Tuhanku, perasaan
aneh apakah yang menghimpit ini?
* * *
Seperti biasa, di dewan orang ramai pada hari itu, aku memberi penerangan
kepada para peserta tentang beberapa panduan dan teknik pembinaan kolam untuk
ternakan ikan air tawar. Juga jenis-jenis penyakit yang mudah menyerang ikan
ternakan jika tidak diawasi. Setelah selesai sesi bersoal jawab, kami pun
bersurai dan aku lantas mengatur langkah pulang.
Setibanya di rumah,
setelah merenung sejenak bunga cempaka gunung serta potret gadis berbingkai
hitam itu, aku tiba-tiba bagaikan disergap oleh satu perasaan aneh. Dan
perasaan itu tidak lain adalah perasaan serba salah. Aku bagaikan ingin menunggu
sesuatu. Ya, ada sesuatu yang ingin kutunggu. Ada sesuatu misteri yang ingin
kupecahkan. Dan di atas segala-galanya ada sebuah harapan muncul seperti
harapan seorang pencuri cinta di sebalik tabir hatiku.
Arghhhh!!!
Aku lantas menyemak
kembali kertas-kertas nota kursus. Tidak lama kemudian Hamidon menjelma dengan
Vespanya di halaman rumah. Setelah mematikan enjin dan menongkat motosikalnya,
dia segera melangkah masuk. Cahaya mentari petang turut menerobos masuk melalui
pintu yang terbuka lebar.
“Ha, berkemaslah Zam! Tuan rumah tu dah pun
pulang dan kuncinya dah pun diserahkan pada aku!” ujar Hamidon sambil berdiri
di hadapanku. Sejurus kemudian dia menghulurkan kunci rumah tersebut. Aku
segera berdiri.
“Cepatlah sikit! Hari
dah dekat nak malam ni!” gesa Hamidon bagaikan tidak sabar.
“Don, errr, bagaimana
kalau aku terus menyewa di rumah Makcik Rafeah ni?” ujarku membuatkan Hamidon
sedikit tersentak kecil.
“Kenapa pula?” soalnya
seraya terkesip-kesip biji mata.
“Aku rasa... aku sungguh
selesa dengan suasana di sini!” balasku bersungguh-sungguh. “Errr, bagaimana
kalau aku batalkan saja nak sewa rumah tu, Don? Aku fikir, ini keputusanku yang
muktamad!”
“Tapi... Zam! Err,
sebenarnya...” Kalimat itu bernoktah di situ. Hamidon agak ragu-ragu untuk meneruskan.
Dia memandang wajahku dengan tunak dan sesekali meninjau ke arah dapur penuh
kecurigaan.
Aku kehairanan dengan
suasana tersebut. “Tapi, kenapa Don?” soalku sungguh-sungguh ingin tahu.
“Sebenarnya...” masih
agak berat untuk Hamidon meneruskan kata-kata seolah-olah ada rahsia yang
tersembunyi di dadanya.
Aku semakin terlunga
namun rasa tidak sabar ingin tahu begitu bersemarak di dalam hatiku. “Ceritakan
saja, Don! Buat apa kau nak sembunyikan dari aku pula!” aku bagaikan mendesak.
“Setelah kematian
suaminya sewaktu bertugas, dituruti pula dengan kemalangan ngeri yang meragut
nyawa anak tunggalnya Noraini, fikirannya selalu terganggu. Dia pernah dirawat
selama setahun di hospital sakit jiwa. Setelah doktor berpuas hati, dia
dibenarkan pulang. Walaupun saudara maranya memujuk supaya tinggal bersama
mereka tapi dia tetap berkeras nak tinggal bersendirian. Ada waktu-waktu
tertentu, fikirannya kembali terganggu!” jelas Hamidon panjang lebar seraya
mengeluh panjang dan dalam.
Aku mendadak terkedu. Di
ruang dapur, kedengaran Makcik Rafeah berbicara sesuatu tetapi kurang jelas
butir kalimatnya.
Hamidon merenung
wajahku. “Macam mana? Betul kau masih nak duduk di sini?” soalnya.
Aku mengeluh sejenak
sebelum bersuara, “Baiklah, Don! Berikan aku kunci tu!” Fikiranku sungguh
bercelaru. Entah rasa apakah yang sedang menusuk ke dadaku dengan tiba-tiba
ini. Aku berpaling dan merenung bunga cempaka gunung di setiap sudut ruang.
Bergetar-getar disentuh angin petang. Kelihatan beberapa kuntum bunga tersebut
telah gugur ke lantai. Ianya seakan menyemarakkan lagi rasa pedih yang mulai
mencengkam hatiku. Aku memejamkan mata rapat-rapat.
“Zam, cepatlah! Mari
kita buat istana pasir yang lain!”
Aku tidak tahu apakah
itu suara Haryati atau suara Noraini yang menjelma di gegendang telinga.
Oh Tuhan!
Tiba-tiba aku berasa amat terharu, sebak dan sayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan