Selasa, 26 Disember 2023

ANTARA DUA DUNIA

SMAHADZIR

                                                                    

SIAPA yang tidak kenal dengan Mohammad Faizal. Sebut sahaja nama Mohammad Faizal semua pelajar Sekolah Menengah tengku Osman Jiwa itu sudah dapat membayangkan wajahnya yang tampan, bergaya, kacak dan juga kemas bila berpakaian.

Namun begitu, Mohammad Faizal adalah seorang yang suka mengganggu pelajar-pelajar perempuan. Dia menyangkakan bahawa dialah pelajar paling kacak di sekolah itu menyebabkan dia beranggapan yang semua pelajar perempuan suka kepadanya. Sifat bongkak dan megah inilah yang menyelubungi fikiran Mohammad Faizal menyebabkan dia sering saja bertukar pasangan. Ramai pelajar perempuan yang tahu sifatnya tetapi mereka tetap juga mahu berkawan dengannya.

Selain dari memiliki rupa paras yang kacak, bergaya, tampan dan sebagainya, Mohammad Faizal juga anak orang berada. Banyak wangnya dihabiskan kepada pelajar-pelajar perempuan yang disukainya. Ramai guru menasihatinya supaya mengubah sikap namun Mohammad Faizal seorang pelajar yang degil. Dia menganggap semua teguran dan nasihat guru itu sebagai sesuatu yang berunsur cemburu dan sengaja mengganggu kebebasannya.

Guru-guru juga tidak mampu berbuat apa-apa kerana Mohammad Faizal tidak pernah melakukan sebarang kesalahan disiplin sekolah. Dia sekadar berkawan dengan pelajar perempuan tanpa menimbulkan sebarang kesalahan moral atau akhlak yang boleh membuatkan dia diambil tindakan disiplin. Lantaran itu, pihak sekolah membiarkan saja kegiatannya.

Pada suatu hari Mohammad Faizal telah bertukar ke sebuah sekolah lain kerana mengikut keluarganya berpindah. Sekolah itu letaknya hampir 200 km dari sekolah lamanya. Di sekolah baru ini juga sifatnya tidak berubah. Sikap lamanya diamalkan di sini dan ramailah pelajar perempuan yang menjadi rakan karibnya.

Namun begitu, Mohammad Faizal yang pandai menggoda pelajar perempuan itu akhirnya terjatuh dalam ‘perangkapnya’ sendiri. Kerana perangainya yang kuat menggoda itu, dia akhirnya telah tergoda pada seorang gadis manis bernama Siti Norfaizah.

Pada suatu petang, ketika itu hari hampir senja, sebaik pulang dari kegiatan kokurikulum di sekolahnya, seperti biasa Mohammad Faizal menunggu bas di perhentian bas tidak jauh dari sekolahnya. Sebaik bas datang, Mohammad Faizal terus melangkah naik dan mencari tempat duduk yang agak jauh ke belakang. Kebetulan ada sebuah tempat kosong di situ sedang di tempat lain semuanya sudah dipenuhi penumpang. Beberapa minit bas bergerak, tiba-tiba bas tersebut berhenti untuk mengambil penumpang.

Dalam hati Mohammad Faizal berharap agar penumpang yang naik itu adalah seorang gadis cantik. Seperti pucuk dicita ulam mendatang, yang menaiki bas itu memang seorang gadis cantik. Mohammad Faizal yakin gadis tersebut adalah pelajar sepertinya juga. Ini adalah kerana gadis itu membawa beberapa buah buku matematik dan juga fail nota studi. Lebih mendebarkan hati, gadis jelita itu memilih duduk di sebelah Mohammad Faizal sedangkan ada sebuah lagi tempat duduk yang masih kosong di hadapannya.

Mohammad Faizal berasa bangga kerana gadis tersebut memilih tempat di sisinya. Dia semakin yakin bahawa rupa parasnya yang kacak itulah yang menyebabkan gadis itu memilih tempat tersebut. Setelah beberapa ketika bas bergerak, Mohammad Faizal mula memancing bual. Dia memberanikan diri menegur gadis itu.

“Kamu ni seorang pelajar ke?” tanya Mohammad Faizal dengan ramah.

Gadis itu tidak menjawab sebaliknya sekadar tersenyum manis dan mengangguk kecil.

“Errr, dari mana?” tanya Mohammad Faizal dengan gaya seorang lelaki sejati.

“Err, saya dari rumah kawan. Buat study group!” jawab gadis itu agak malu-malu maklumlah baru pertama kali berbual dengan Mohammad Faizal.

“Subjek apa yang kamu diskus tu?” Mohammad Faizal semakin berani.

“Err, matematik tambahan dan kimia moden!” ujar gadis tersebut.

“Bermakna kamu nak ambil SPM tak lama lagi?”

“Ya!” ujar gadis itu.

“Kalau begitu kita serupalah!” balas Mohammad Faizal. “Sayapun  nak ambil SPM juga tahun ini. Tapi, bagi saya subjek matematik tambahan dan kimia moden tak berapa susah. Saya rasa saya tak perlu tumpukan perhatian yang lebih pada kedua subjek tu,” tambahnya lagi beriak bangga. Sebenarnya, dia berbohong. Kedua-dua subjek itulah yang amat memeningkan kepalnya selama ini tetapi lantaran di hadapan seorang gadis yang cantik seperti itu, pembohongan terpaksa dilakukan bagi menutup kelemahan diri sendiri.

“Baguslah kalau kamu pandai dalam kedua-dua subjek tu!” balas gadis tersebut sambil tersenyum. “Saya rasa seronok dapat berkenalan dengan seorang pelajar seperti kamu yang pandai dalam subjek matematik tambahan dan kimia moden. Bila ada kelapangan, bolehlah kamu ajar saya,”

“Eh, sudah tentu boleh!!” tegas Mohammad Faizal dengan pantas. “Bila-bila masa saja saya akan ajar kamu. Tapi, kamu bersekolah di mana?”

“Sekolah Menengah Perempuan Tengku Maimunah!” jawab gadis tersebut.

“Sekolah tu tak jauh dari sekolah saya. Err, saya belajar di Sekolah Menengah Sultan Abdul Malik!” balas Mohammad Faizal.

Perbualan mereka jadi terbantut kerana gadis itu sudah menekanpun at loceng di atas kepalanya. Ini bermakna dia akan turun. Namun sebelum turun gadis itu sempat memberikan senyuman manis kepada Mohammad Faizal. Pertemuan dengan gadis tersebut telah membawa kenangan tersendiri bagi Mohammad Faizal. Pun begitu Mohammad Faizal amat kesal kerana dia tidak sempat menanyakan nama atau alamat gadis jelita itu.

Dua hari kemudian, sekali lagi Mohammad Faizal menyertai kegiatan kokurikulum di sekolahnya. Hampir senja barulah dia pulang. Seperti biasa, dia akan menunggu bas di hadapan sekolahnya. Sewaktu melalui hadapan Sekolah Menengah Perempuan Tengku Maimunah. Tiba-tiba Mohammad Faizal melihat gadis tersebut sedang menunggu bas di sebuah hentian di situ. Gadis itu menahan bas yang dinaiki Mohammad Faizal. Kali ini Mohammad Faizal dapat bertemu lagi dengan gadis tersebut. Gadis itu terus melemparkan senyuman dan terus duduk di samping Mohammad Faizal.

“Tak sangka kita berjumpa lagi hari ni!” ujar Mohammad Faizal dengan wajah yang gembira.

“Sayapun  tak sangka dapat berjumpa dengan kamu lagi!” balas gadis itu.

“Ada kelas tambahan ke hari ni?” Mohammad Faizal ingin tahu.

Gadis tersenyum sekadar mengangguk. “Kamu?”

“Saya ada latihan bola sepak!” balas Mohammad Faizal.

“SPM dah semakin hampir. Kamu seolah-olah tak takut langsung…”

“Saya studi awal subuh. Siang saya belajar sikit saja dan buat ulang kaji subjek yang lepas. Waktu subuh saya buat latihan soalan-soalan yang keluar tahun-tahun lepas. Err, kalau kamu nak soalannya, saya boleh berikan pada kamu!” jelas Mohammad Faizal panjang lebar.

“Tak payahlah!” balas gadis tersebut agak tegas.

“Kenapa?” tanya Mohammad Faizal.

“Cukuplah dengan apa yang saya ada sekarang,”

Mohammad Faizal diam sejenak. Namun lirikan matanya merayapi seluruh wajah gadis itu. Memang cantik. Kulitnya putih gebu, alis matanya lentik, bibirnya bak delima merkah dan gayanya mengelek buku-buku pelajaran amat mempersonakan.

“Err, kenapa kamu tenung saya begitu?” tiba-tiba gadis tersebut bertanya.

Mohammad Faizal tersentak sejenak. “Err, sebenarnya… sebenarnya saya nak tahu nama kamu. Dah lama kita berkawan tapi… tapi saya tak tahu lagi nama kamu!” ujarnya agak gugup dan acuh dan tak acuh.

“Kamu tak pernah tanya nama saya. Bagaimana saya nak beritahu!” balas gadis tersebut sambil tersipu-sipu.

“Jadi, siapa nama kamu?” Mohammad Faizal bagaikan tidak sabar lagi.

“Nama saya Siti Norfaizah! Err, kamu?” tanya gadis itu pula.

“Saya Mohammad Faizal!” jawab Mohammad Faizal sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan gadis itu. Mereka bertukar alamat sebelum Siti Norfaizah turun di sebuah taman perumahan. Sebelum turun seperti sebelumnya dia melemparkan sebuah senyuman kepada Mohammad Faizal.

Sejak itu, Mohammad Faizal seperti gila bayang pada Siti Norfaizah. Sebelum ini sudah berpuluh gadis pelajar yang menjadi rakan rapatnya tetapi tidak seorangpun  yang benar-benar berjaya menawan hatinya. Berbeza dengan Siti Norfaizah, hanya baru dua kali bertemu, hatinya benar-benar telah terpaut.

Namun begitu, Mohammad Faizal tidak pernah melihat Siti Norfaizah di hentian hadapan Sekolah Menengah Tengku Maimunah setiap kali waktu tamat persekolahan. Setiap hari sewaktu pulang dari sekolah Mohammad Faizal pasti melihat ke arah hentian bas hadapan Sekolah Menengah Perempuan Tengku Maimunah itu namun dia tidak pernah terlihat kelibat Siti Norfaizah di situ. Barangkali gadis itu pulang lewat ataupun menghadiri kelas tambahan.

Sudah hampir seminggu Mohammad Faizal tidak bertemu dengan Siti Norfaizah. Dia mulai gelisah. Setiap hari wajah Siti Norfaizah terbayang-bayang di ruang matanya. Lantaran kerinduan yang amat dalam dan sudah tidak mampu ditahan, akhirnya Mohammad Faizal mengambil keputusan untuk datang sendiri ke rumah Siti Norfaizah mengikut alamat yang diberikan. Dia bercadang mahu belajar bersama-sama dengan gadis itu.

Suatu petang yang ceria, sambil membawa beberapa buah buku teks dan helaian kertas nota subjek matematik tambahan dan kimia moden, Mohammad Faizal mengatur langkah mencari rumah Siti Norfaizah. Kepada seorang perempuan separuh umur penjual goreng sukun di tepi jalan, Mohammad Faizal bertanyakan di mana rumah Siti Norfaizah.

“Assalamualaikum, mak cik! Err, saya nak tumpang bertanya!” sapa Mohammad Faizal dengan mesra.

“Nak tanya apa, nak?” tanya mak cik itu kembali.

“Saya nak tanya rumah Siti Norfaizah…”

“Siti Norfaizah yang mana satu?” cantas penjual sukun goreng itu seraya mata terkesip-kesip kehairanan.

“Err, Siti Norfaizah Binti Abdul Rahman!” ujar mohammad Faizal.

“Faizah anak Lebai Man tu????” mak cik tersebut terlopong mendadak. “Kamu cari dia ke?”

Mohammad Faizal tidak menjawab sebaliknya dia hanya tersengih-sengih.

“Err, rumah Lebai Man tu tak jauh dari sini. Dua lorong ke belakang, kamu akan jumpa rumah yang bercat biru. Ha, itulah rumahnya!” jelas penjual sukun goreng tersebut.

Selepas mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada mak cik itu, Mohammad Faizal segera mengatur langkah ke arah yang ditunjukkan. Beberapa minit kemudian diapun  sampai di rumah tersebut. Mohammad Faizal dijemput masuk dengan ramah.

“Anak ini siapa?” tanya Lebai Man.

“Saya kawan sekolah Siti Norfaizah!” ujar Mohammad Faizal.

“Err, anak datang ni ada hajat apa?” tanya Lebai Man lagi. Ketika itu isterinya datang membawa sedulang air lalu diletakkan di hadapan tetamu.

“Saya nak bagi buku-buku rujukan dan nota-nota SPM ni pada Faizah. Dia minta semua ni dari saya…”

“Err, bila kamu jumpa dia?” cantas Lebai Man agak kehairanan.

 “Beberapa hari yang lalu saya berjumpa dengannya, pak cik!” jawab Mohammad Faizal. “Dia kata, dia lemah dalam subjek matematik tambahan dan juga kimia moden. Sebab itulah saya bawa nota-nota ni pada dia!”

Setelah mendengar cerita Mohammad Faizal, terlihat wajah ibu dan bapa Siti Norfaizah begitu terkejut. Si ibu kemudiannya menunjukkan beberapa keping gambar Siti Norfaizah.

“Benarkah gadis ini yang kamu temui itu?” tanya Lebai Man ingin pasti.

“Err, memang benar pak cik! Inilah Siti Norfaizah. Tapi, kenapa?” Mohammad Faizal mulai berasa ada sesuatu yang tidak kena.

Pengakuan itu disambut dengan titisan air mata oleh Lebai Man dan isterinya. Mohammad Faizal benar-benar terkejut dengan keadaan itu. Ibu Siti Norfaizah akhirnya membuka cerita lama bahawa anaknya yang bernama Siti Norfaizah itu telah meninggal dunia setahun yang lalu akibat kemalangan jalan raya. Kemalangan itu berlaku sewaktu gadis tersebut sedang menunggu bas di hadapan Sekolah Menegah Perempuan Tengku Maimunah ketika hendak pulang ke rumah sebaik lepas sekolah. Sebuah lori papan yang tidak dapat dikawal telah merempuhnya. Siti Norfaizah meninggal di tempat kejadian.

Mendengar cerita itu, Mohammad Faizal amat terkejut dan berasa sungguh terharu. Kenapa Siti Norfaizah telah memilihnya untuk berinteraksi? Sesungguhnya pertemuan mereka adalah antara dua makhluk dari dua dunia yang berbeza. Semuanya di atas kehendak Allah Yang Maha Kuasa. Mohammad Faizal tidak mampu berkata apa-apa. Lidahnya kelu dan mulutnya terkunci rapat sehinggalah dia meninggalkan rumah Siti Norfaizah petang itu. Fikirannya berkecamuk dengan seribu pertanyaan yang sukar untuk dijawab terutama oleh mereka yang tidak mengalami.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan