SALAM dari
pinggir Masjidil Haram. Maksud pinggir di sini kerana kedudukan hotel yang
penulis tempati sewaktu mengikuti ziarah umrah baru-baru ini terletak hanya
kira-kira 100 meter dari Masjidil Haram. Maka, sedikit sebanyak dapat dilihat
dengan jelas perjalanan keluar masuk jutaan umat Islam memasuki kawasan Masjidil
Haram sama ada untuk melakukan umrah, tawaf atau sembahyang lima waktu dan
solat sunat serta aktiviti ibadah lain.
Ketika Ramadhan
memasuki hari-hari terakhir, semakin ramai yang memasuki kota suci Mekah dari
seluruh penjuru dunia. Laporan sebelum ini menyebut, kira-kira tiga juta orang
melakukan umrah pada bulan Ramadhan. Walaupun cuaca panas tetapi setiap penjuru
Masjidil Haram akan dipenuhi umat Islam. Di tengah-tengah panas terik mereka
melakukan tawaf sama ada tawaf selamat datang, umrah atau tawaf biasa.
Kebanjiran umat
yang ramai ini menyebabkan ramai yang solat di atas jalan raya tanpa mengira
waktu. Bagi memastikan tempat di dalam masjid terjamin serta di lokasi yang
strategik, ada juga yang tidak akan meninggalkan masjid selepas Zohor atau
Asar. Mereka ‘berkampung’ di dalam masjid sehingga tiba waktu berbuka
seterusnya menunaikan solat Maghrib, Isya dan Tarawih. Begitulah mereka
memanfaatkan kesempatan akhir Ramadhan.
Kebanyakan hotel
di sekitar Masjidil Haram juga penuh dengan kadar harga yang berlipat kali
ganda. Tidak ada pakej satu atau dua malam sebaliknya ditetapkan 10 malam. Mahu
atau tidak, anda terpaksa menerimanya. Hotel yang bertaraf dua atau tiga
bintang mencecah sehingga RM2,200 satu malam. Sebuah hotel bertaraf satu
bintang pula dengan tiga atau empat katil menetapkan RM30,000 bagi 10 malam dan
kedudukannya pula dianggarkan 600 hingga 800 meter ke Masjidil Haram.
Seorang wakil
rakyat yang kebetulan ditemui menginap di hotel empat atau lima bintang ketika
ditanya kadar sewanya hanya berkata: ‘Tak payah tanyalah! Sudah pasti harganya
lebih tinggi.’ Melihat kadar sewa ini, mungkinkah mereka yang kelihatan 24 jam
di sekitar jalan raya berhadapan masjid ‘berkhemah’ di situ untuk beribadat.
Tidak semua yang datang untuk melakukan ibadah itu berkemampuan untuk menyewa
penginapan sama ada yang berada pada harga rendah atau sederhana. Begitulah
kesungguhan ibadah yang ditunjukkan oleh umat Islam bagi mencari pahala
berlipat ganda pada hari-hari terakir Ramadhan ini.
Selain solat,
umrah dan sebagainya, ibadat lain yang turut akan memberi ganjaran pahalanya
tentulah amalan kebajikan kita sesama umat. Di sini, ramai yang berlumba-lumba
untuk mencari ganjaran itu. Setiap petang menjelang waktu iftar (berbuka puasa), ada saja tangan yang akan menghulurkan
makanan dan minuman untuk berbuka puasa. Ada roti, kurma, kek, teh herba, susu,
minuman kotak, botol dan minuman tin.
Bagi yang tidak
mampu menyediakan itu, mereka juga ada cara tersendiri untuk ‘memberi’ sesuatu
kepada orang yang mahu berbuka. Mereka akan mengambil air zam-zam dan membawa
cawan ke kawasan sekitarnya untuk diberikan kepada orang ramai. Di sini dapat
dilihat amalan menjamu orang berbuka berbeza dengan negara kita. Mungkin
setakat ini kita lebih tertumpu kepada menyediakan bubur lambuk dan diagihkan
kepada orang ramai serta majlis berbuka puasa yang dianjurkan di masjid dan
surau. Tidak ketinggalan juga moreh.
Menjamu orang
berbuka adalah satu amalan yang baik. Nabi Muhammad SAW bersabda: ‘Barang siapa
menjamu seorang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka perbuatannya yang baik
itu menyebabkan ia diampunkan dosanya dan menjadi penebus dirinya dari neraka
dan ia pula mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa yang dijamu itu
dengan tidak mengurangkan pahala orang itu sedikit pun.’
Begitulah
besarnya ganjaran pahala bagi mereka yang menyediakan makanan dan minuman untuk
berbuka lebih-lebih lagi bagi mereka yang benar-benar memerlukan. Sebagai bulan
ibadah juga, tentunya banyak lagi aktiviti yang boleh dilakukan bagi mendapat
ganjaran pahala.
Pada sebelah
siang, dapat dilihat gelagat orang yang akan ‘berbakti’ kepada orang lain. Di
tengah-tengah panas terik, ketika menunggu solat Jumaat, kelihatan ramai yang
membawa penyembur air. Mereka sekali sekala akan menyembur air bagi melembabkan
kepala jemaah yang terpaksa bersembahyang di luar masjid. Begitu juga ketika
tawaf di Baitullah pada waktu siang. Agak menarik juga ada yang sambil tawaf ‘mempamerkan’
kotak tisu di bahunya. Dan sesiapa sahaja boleh mengambilnya untuk mengelap
peluh yang memercik.
Bagi yang tawaf
di bahagian atas, mereka juga memerlukan ‘bantuan dan sokongan.’ Ada yang
mengambil daya usaha untuk mengisi botol besar dengan air zam-zam dan menanti
jemaah yang sedang tawaf yang berhasrat mengurangkan dahaga. Begitu juga ketika
solat. Selepas empat atau lapan rakaat, mereka akan menawarkan air zam-zam di
kalangan makmum bersebelahan. Maka jemaah berkenaan tidak perlu bangun
meninggalkan tempat duduknya. Mungkin jika dia bangun, tempat duduknya akan
diambil orang. Begitulah aktiviti mencari keberkatan pada bulan yang mulia ini
lebih-lebih lagi di tanah suci Mekah.
Keadaan ini
tentulah berbeza dengan tempat kita di Malaysia. Masjid dan surau hanya penuh
pada hari-hari terawal bulan Ramadhan. Ketika itu saf melimpah keluar. Tetapi
pada hari lain, malam-malam sepuluh terakhir, keadaan sudah berubah. Saf di
dalam masjid dan surau berkurangan kerana ramai yang sibuk membuat persiapan
Hari Raya Aidilfitri. Lagu-lagu hari raya menjadi daya penarik kepada orang
ramai untuk berkunjung ke pusat-pusat membeli-belah.
Bukan setakat
pakaian menjadi perhatian malahan kuih-muih untuk hari raya juga menjadi
rebutan. Di pinggir Masjidil Haram, suasana membeli-belah juga hebat. Kompleks
membeli-belah di situ termasuk Bin Dawood menjadi tumpuan. Mereka membeli untuk
dibawa pulang. Begitulah pelbagai ragam umat Islam menjelang hari-hari terakhir
Ramadhan.
Semoga Ramadhan tahun
ini lebih baik daripada Ramadhan tahun lalu dan Ramadhan akan datang kita
berupaya memperbaiki keadaan supaya ia terlebih baik. Dan Ramadhan ini masih
ada waktu untuk kita mencari keberkatannya walaupun umur kita semakin di
penghujung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan