Isnin, 18 Mac 2013

Sejenak Merenung Sifat-Sifat Rasulullah SAW


SETIAP tahun ini umat Islam akan menyambut Maulidur Rasul, hari memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sekali lagi, meriahlah seluruh surau dan masjid dengan sambutan yang pelbagai termasuk ceramah, forum dan perarakan. Sambutan ini bukan sekadar untuk mengingati keputeraan baginda semata-mata sebaliknya apa yang lebih penting ialah mengingatkan kembali umat Islam kepada ajaran Rasulullah dan perjuangannya. Pada masa yang sama berusaha mengikuti segala akhlak dan ajaran Nabi Muhammad SAW.

Secara ringkas, seperti yang kita tahu, banyak sifat dan akhlak Nabi Muhammad SAW yang boleh dipelajari termasuk tawaduk, pemalu, siddiq (benar), amanah (boleh dipercayai), tabligh, fatanah, tabah, syukur, pemaaf, bertakwa, beristiqamah, ikhlas, khusyuk, zuhud (hidup soleh tidak dikuasai kemewahan dan keseronokan dunia), lemah lembut dan bijaksana. Sebagai pemimpin, baginda sangat menekankan aspek integriti seperti amanah, bertanggungjawab, telus dan jujur.

Baginda mampu menyusun strategi, berani, tegas dan berprinsip. Sebenarnya bukan sekadar pemimpin negeri atau negara sahaja yang perlu mencontohi sifat-sifat Rasulullah SAW ini, sebaliknya mereka yang memimpin keluarga (ibu bapa), syarikat, persatuan dan sebagainya perlu menerapkan nilai-nilai ini dalam diri mereka. Malangnya kebanyakan umat Islam di dunia termasuk di peringkat pemimpin sudah melupakan sifat-sifat ini. Akhirnya mereka terjebak ke dalam kancah kekalutan, perpecahan, peperangan dan kecelaruan.

Hakikatnya, dunia hari ini mengagumi keperibadian baginda. Michael H. Hart di dalam bukunya The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History meletakkan Rasulullah SAW sebagai insan paling berpengaruh di dunia dalam kalangan 100 orang manusia paling berpengaruh di dalam sejarah dunia. Begitulah kehebatan Nabi Muhammad SAW. Baginda memiliki akhlak yang sangat mulia terhadap sesama manusia tanpa mengira status sosial, warna kulit dan bangsa. Baginda berbuat baik termasuk kepada orang jahat atau musuh.

Seperti kita tahu, Nabi Muhammad SAW memiliki akhlak dan sifat-sifat sangat mulia yang boleh dicontohi khususnya empat sifat iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatanah. Siddiq yang membawa maksud benar merupakan sifat pertama yang wajib dimiliki para Nabi dan Rasul bagi membawa wahyu dan agamanya. Rasulullah SAW bukan hanya bercakap benar malah perbuatannya juga benar. Maknanya tidak bersifat pembohong, penipu dan sebagainya.

Sifat kedua yang perlu diberi perhatian adalah amanah yang membawa maksud boleh dipercayai. Jika sesuatu urusan diserahkan kepadanya, nescaya orang percaya bahawa urusan itu akan dilaksanakan sebaik mungkin. Oleh kerana itulah penduduk Mekah memberi gelaran kepada Nabi Muhammad SAW dengan gelaran Al-Amin yang bermaksud ‘boleh dipercayai.’ Apa pun yang baginda ucapkan, dipercayai dan diyakini penduduk kerana baginda terkenal sebagai seorang yang tidak pernah berdusta. Baginda tidak mengkhianati amanah yang diberi terhadapnya.

Ketika Nabi Muhammad SAW ditawarkan kerajaan, harta dan wanita oleh kaum Quraisy agar baginda meninggalkan tugas menyebarkan agama Islam, baginda menjawab: ‘Demi Allah, seandainya mereka dapat meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan tugas suciku, maka aku tidak akan meninggalkannya sampai Allah memenangkan (Islam) atau aku hancur kerananya.’ Baginda juga tidak gentar dengan ugutan bunuh terhadapnya.

Sifat ketiga yang perlu diberi perhatian ialah tabligh yang bermaksud menyampaikan. Segala firman Allah SWT disampaikan oleh baginda tanpa ada yang disembunyikan walaupun ia menyinggung diri baginda sendiri.

Sifat keempat adalah fatanah yang bermaksud bijaksana. Dalam menyampaikan ayat Al-Quran dan menjelaskan kepada kaumnya, ia memerlukan kebijaksanaan yang luar biasa. Baginda SAW harus mampu berdebat dengan orang kafir dengan sebaik-baiknya supaya mereka dapat memahami firman-firman Allah SWT.

Begitulah sifat-sifat mulia yang ada pada Nabi Muhammad SAW. Adakah dalam menjalani kehidupan seharian pada hari ini, kita memiliki sifat-sifat ini? Di tahap mana manusia dalam dunia hari ini mampu mengikut sifat-sifat ini? Berapa ramai yang jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sesama umat?

Dalam suasana politik hari ini, ada dalam kalangan kita yang mengakui sebagai umat Islam yang tidak bersifat siddiq sama ada pertuturan, tindakan atau perbuatan, tidak amanah, tidak menyampaikan dan tidak bijaksana. Ada pemimpin yang hanya pandai berkata-kata. Berjanji tetapi tidak mampu menunaikannya. Mereka memungkiri janji yang dibuat sama ada secara bertulis atau lisan. Bak kata orang, cakap tidak serupa bikin atau bikin tidak serupa cakap. Kita boleh melihat contoh di depan mata, siapakah yang mampu mengotakan apa yang dikata atau apabila berjanji ditepati.

Dalam menghadapi isu kalimah Allah juga, kita dapat melihat siapakah yang bercakap benar dan siapa pula sanggup ‘menipu diri sendiri.’ Ada yang tidak berani bercakap mengenai kebenaran kerana kepentingan politik atau kemaruk kuasa. Mereka sanggup membiarkan orang lain merobek maruah umat Islam, melukakan hati umat Islam dan memecahbelahkan perpaduan umat. Begitulah yang terjadi. Kita semakin kehilangan sifat-sifat yang ada pada Muhammad SAW. Wahai Rasulullah, seperti sabdamu, apakah umat Islam kini umpama buih di lautan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan