Jumaat, 4 Mei 2012

Selamatkan Pemikiran Manusia


APABILA melihat slogan ‘Selamatkan Bumi’ timbul tanda tanya di hati saya, apakah bumi yang hendak diselamatkan, atau sebenarnya untuk menyelamatkan manusia itu sendiri?

Bumi adalah seketul batu yang mengelilingi matahari. Apa yang berlaku ke atasnya hanyalah merupakan reaksi dan tindak balas fizik dan kimia hasil daripada keadaan matahari, dan kesemuanya mengikut hukum alam. Tidak timbul bahawa bumi hendak diselamatkan atau tidak. Ia muncul daripada serpihan batu-batu daripada dentuman besar yang menjadikannya mengelilingi matahari.

Dengan mengikut hukum alam yang ditetapkan oleh Allah s.w.t, maka bumi berkembang dalam keadaan yang pelbagai. daripadanyalah timbul suasana yang boleh ada benda-benda hidup, organisma, tumbuhan dan haiwan, termasuk manusia. Bumi bergolak dengan pelbagai peristiwa berlaku sepanjang hayatnya yang berjuta-juta tahun. Kalaulah apa yang disebutkan sebagai hayat itu adalah kemunculan planet bumi hinggalah ia berakhir nanti apabila musnah dijangka berlaku apabila matahari juga mengakhiri kewujudannya.

Tetapi apakah benar manusia boleh menyelamatkan bumi? Selamatkannya daripada apa? Buat masa ini isu bagi manusia ialah perubahan iklim. Manusia melihat bahawa bumi sedang sakit kerana perbuatan manusia melalui tamadun, pembangunan dan kemajuan sains serta teknologi. Manusia gemar melihat benda-benda lain menurut pengalamannya sendiri. Mereka memandang seolah-olah bumi itu organisma hidup. Ia boleh sakit dan mengakhiri hayatnya. Tetapi bumi hanyalah batu yang berubah mengikut aksi dan reaksi yang dikenakan ke atasnya.
Memang ada teori atau konsep yang disebut sebagai Gaia, dicadangkan oleh James Lovelock bahawa bumi adalah organisma hidup. Bagaimana ia berfungsi memang kelihatan sebagai benda hidup. Iaitu dengan manusia tinggal di dalamnya. Bagi mereka yang terlibat dengan gerakan alam sekitar, konsep bahawa bumi ini organisma hidup bukan saja menarik tetapi berguna dalam usaha memelihara persekitaran. Tetapi kalau difahamkan bahawa sesuatu benda hidup mestilah makan dan membiak, maka bumi bukannya benda hidup. Ini kerana bumi tidak makan dan membiak.

Namun jika ditakrifkan bahawa cahaya matahari itu adalah makanannya, dan pembiakan bumi itu berbentuk benda-benda hidup di dalamnya termasuk manusia, maka bumi wajar dianggap sebagai benda hidup. Apabila disebut planet hidup dan planet mati, maka perbandingannya adalah antara bumi dan Marikh. Planet Marikh dianggap mati kerana tidak ada benda hidup di dalamnya. Ia dilihat kering kontang dan sebarang penemuan air akan menguja manusia. Begitu juga bulan. Ia dilihat sebagai benda mati, yang kering kontang dan mengelilingi bumi.

Tetapi bumi dianggap hidup kerana di dalamnya ada benda hidup. Sedangkan benda-benda hidup ini muncul kerana keadaan planet bumi ini sendiri. Bukan saja apa yang berlaku dalam bumi yang menjadikannya hidup dalam erti kata menyebabkan munculnya kehidupan tetapi kesan daripada benda-benda luar yang dianggap tidak hidup. Tentunya kehidupan di bumi amat bergantung kepada matahari, bulan dan keseluruhan planet-planet di sistem suria.

Adakah matahari dan bulan itu benda hidup? Atau matahari hanyalah seperti dapur gas yang mengeluarkan tenaga untuk disimbahkan ke bumi. Sementara bulan, walaupun benda mati tetapi kesannya terhadap kehidupan di bumi adalah besar sangat. Begitu juga di bumi. Banyak benda yang dianggap tidak hidup, termasuklah peralatan teknologi ciptaan manusia memberi pengaruh kepada kehidupan manusia.

Maknanya benda mati menyumbang kepada kehidupan. Sedangkan benda hidup pula boleh membawa kepada kematian atau kehancuran. Umpamanya sesuatu pemangsa akan membunuh mangsanya. Ia mematikan. Tetapi daripada kematian mangsanya itu, ia menjadi makanan kepada pemangsa untuk terus hidup.

Apakah bulan dan Marikh yang tidak hidup itu adalah sebenarnya memberi kehidupan kepada bumi? Dan adakah matahari itu dianggap hidup kerana ia sedang aktif mengeluarkan tenaga, yang digunakan pula oleh bumi. Di atas muka bumi pula, apabila tanah-tanah yang subur dengan memiliki tumbuh-tumbuhan yang segar dan menghijau, maka ia dianggap hidup. Sementara kawasan-kawasan yang kering kontang, sama ada di gurun padang pasir atau benua Antartika dianggap mati. Tetapi tidakkah apa yang dianggap mati itu sebenarnya memberikan kehidupan kepada bahagian permukaan bumi yang lain?

Kini kawasan Artik sedang mencair kerana kepanasan global. Sementara lapisan ozon di atas Antartika semakin melebar. Perubahan iklim sedang berlaku. Manusia berhimpun dan berfikir bagaimana hendak menyelamatkan bumi akibat perubahan iklim ini. Paling boleh mereka mungkin melewat-lewatkannya. Tetapi bumi tetap berubah. Cumanya, perbuatan manusia telah mempercepatkan perubahan itu kepada keadaan yang akhirnya memudaratkan kehidupan di muka bumi ini.

Apa yang hendak diselamatkan ialah kehidupan di muka bumi. Bukannya bumi yang hendak diselamatkan. Bumi tetap sepertinya dengan sebarang perubahan hanyalah mengikut hukum alam yang sedang berlaku. Manusia juga adalah sebahagian daripada alam yang mengikut hukumnya tanpa terdaya untuk berubah.

Jelas bagi manusia, kehidupan amat berharga. Dengan adanya kehidupan di muka bumi, maka dapatlah muncul manusia yang mampu berfikir mengenai kewujudan alam ini. Justeru, slogan ‘Selamatkan Bumi’ itu hakikatnya bermaksud ‘Selamatkan Manusia’. Untuk apakah manusia ada di muka bumi? Untuk berfikir. Jadi ia sebenarnya ‘Selamatkan Pemikiran Manusia’. Tetapi untuk apa?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan