Sabtu, 5 Mei 2012

Misteri Khidir - Siapakah Baginda?


Di dalam kitab suci Al-Quran terdapat sejumlah watak yang sangat misteri. Allah s.w.t hanya menceritakan kisah-kisah mereka sahaja namun tidak pula Allah s.w.t memperincikan dengan jelas tentang fizikal dan umur mereka dalam firman-Nya. Sebenarnya ini adalah kelebihan Al-Quran sebagai mukjizat terbesar umat Islam berbanding kitab-kitab lain yang diturunkan sebelumnya kepada Rasul yang terdahulu daripada junjungan besar Muhammad s.a.w.

Tujuan Al-Quran diturunkan kepada umat Islam adalah sebagai pembimbing kita untuk terus berada di jalan yang lurus dan dengan yang demikian, Al-Quran hanya mengambil iktibar daripada kisah-kisah insan yang Allah s.w.t sebutkan dalam Al-Quran tanpa perlu Allah s.w.t perincikan siapakah mereka itu. Adalah tidak penting untuk Allah memberitahu hamba-Nya dengan lebih terperinci kerana isi pentingnya yang perlu hamba-Nya teladani adalah kisah-kisah mereka.

Namun, manusia tetap manusia. Watak-watak misteri dalam Al-Quran sebenarnya terus menjadi persoalan kepada umat Islam sejak daripada zaman Rasullulah s.a.w lagi. Kisah-kisah mereka terus kita teladani dan ambil pedoman namun watak seperti Zulkarnain, Lukman al-Hakim, Khidir a.s, tiga orang Rasul dalam surah Yassin, tujuh sahabat gua (Ashabul Kahfi) dan sebagainya terus menjadi bahan kajian sejak zaman berzaman. Tidak salah untuk umat Islam dan para cendekiawan Islam untuk terus mengkaji kerana ia adalah kebaikan untuk umat Islam sejagat selagi ia tidak melanggar batas-batas syariat Islam.

Kisah Nabi Khidir a.s termaktub di dalam surah al-Kahfi ayat 60-82. Namun, kisah mengenai Khidir ini penulis lebih fokuskan mengenai siapakah sebenarnya Khidir berdasarkan hadis-hadis daripada Shahih Bukhari dan juga penyelidikan daripada beberapa manuskrip dan artikel mengenai insan yang menyamai peribadi Khidir a.s. Semoga ia memberi manfaat kepada pembaca semua. Insya-Allah.

Nabi Khidir a.s

‘Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).’ 

Kisah mengenai insan yang dikenali sebagai Khidir telah diceritakan oleh Allah s.w.t dalam surah al-Kahfi daripada ayat 60 sehingga ayat 82. Walau bagaimanapun, Allah s.w.t tidak pula memberitahu bahawa insan tersebut adalah Khidir. Allah s.w.t hanya menyebut sebagai ’seorang hamba di antara hamba-hamba kami’ untuk merujuk kepada insan yang dikenali sebagai Khidir ini.

Dalam ayat 60 sehingga 82, Allah s.w.t menceritakan bagaimana Nabi Musa a.s pergi mencari ilmu dengan seorang yang sangat alim dan tinggi ilmunya. Ilmu yang tinggi itu dianugerahkan oleh Allah s.w.t kerana ketakwaan dan kezuhudan beliau. Insan yang dikenali sebagai Khidir itu telah memberi kita seribu satu pengajaran terutama dalam pencarian ilmu terutama ilmu akhirat.

Dalam penyelidikan semasa penulis menulis artikel ini, terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa Musa yang diceritakan oleh Allah s.w.t adalah Musa yang berlainan daripada Nabi Musa daripada Bani Israel. Musa yang dimaksudkan adalah Musa bin Misha’ atau Manasseh. Musa bin Misha’ merupakan keturunan daripada Nabi Yusuf a.s. Namun, ia adalah kesalahan yang amat nyata sekali. Imam Bukhari meriwayatkan dari Sa’id bin Jubair, Sa’id bin Jubair berkata:

‘Aku berkata kepada Ibnu Abbas r.a, Nauf al-Bikali merasakan bahawa Musa a.s dalam kisah Nabi Khidir a.s bukanlah Musa yang Nabi kepada Bani Israel. Maka Ibnu Abbas ra berkata, ‘Apa yang dikatakannya tidak benar, Ubai Ibnu Kaab r.a mengatakan kepada kami bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda; Musa berdiri untuk menyampaikan khutbah kepada Bani Israel, lalu ia ditanya: ‘Siapakah manusia yang paling alim?’ Musa menjawab, ‘Aku’. Maka Allah s.w.t pun langusng menegurnya, sebab ia belum diberi wahyu tentang hal itu (tentang siapa yang paling alim). Lalu Allah s.w.t memberi wahyu kepada Musa, ‘Aku memiliki seorang hamba yang berada di pertemuan dua laut, dia lebih berilmu dari kamu’. Musa berkata, ‘Ya Allah, bagaimana aku dapat menemuinya?’ Allah berfirman, ‘Bawalah ikan, lalu letakkan di dalam bakul. Maka di mana pun ikan itu menghilang, maka di situlah hamba-Ku (Khidir a.s) berada di sana.’

Hadis bertaraf sahih ini sebenarnya sudah cukup untuk menangkis tentang siapakah Musa yang Allah s.w.t maksudkan di dalam surah al-Kahfi tersebut.

Bagaimana dengan Khidir a.s? Siapakah baginda yang sebenarnya?

Daripada istilah bahasa, Khidir memberi makna yang kehijau-hijauan. Adalah menjadi satu kemungkinan bahawa Khidir ini hanyalah nama gelaran sahaja yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana yang terjadi kepada nama Zulqarnain, Luqmanulhakim dan Ashaabul Kahfi. Perlu diingatkan bahawa Al-Quran tidak menitikberatkan nama seseorang individu melainkan kisah-kisah mereka yang perlu diambil iktibar. Walau bagaimanapun, tidak menjadi satu kesalahan untuk kita mengkaji siapakah sebenarnya Khidir.

Telah menjadi perdebatan daripada zaman sahabat diikuti tabiin dan diikuti pula tabi’ut tabiin tentang siapakah insan yang digelar Khidir a.s. Rasullulah s.a.w dalam sabdanya menyatakan insan berilmu dalam surah al-Kahfi adalah Khidir. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a daripada Rasulullah s.a.w mengenai Khidir a.s, baginda bersabda; ‘Ia dinamakan Khidir tidak lain kerana, apabila dia duduk di atas farwah (permukaan bumi) yang putih (tidak bertanaman), maka tiba-tiba tanah di bawahnya itu menumbuhkan tanaman yang menghijau’.

Sheikh al-Arna-uth mengatakan hadis ini sahih menurut periwayatan Imam Bukhari dan Imam Muslim. Imam Ahmad turut meriwayatkan daripada Abdurrazaq daripada Hammam, daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; ‘Ia dinamakan Khidir tidak lain kerana, jika dia duduk di farwah (permukaan bumi), maka tiba-tiba tanah di bawahnya itu menumbuhkan tanaman yang menghijau.’

Farwah menurut sesetengah ulama hadis mendefinisikan sebagai rumput kering atau tanaman yang sudah kering. Pendapat ini dipopularkan oleh ulama hadis terkenal, Abdurrazaq. Namun pendapat masyhur adalah farwah bermaksud permukaan bumi. Hadis di atas adalah bertaraf sahih dan turut diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab masyhurnya Shahih Bukhari.

Khidir Seorang Nabi

Para ulama sepakat memartabatkan Khidir sebagai nabi atas dalil daripada satu ayat Al-Quran daripada surah al-Kahfi. Maksud ayat di atas adalah penjelasan Khidir mengenai TIGA perbuatan kepada Musa a.s semasa Musa a.s berguru dengannya. Khidir bertegas mengatakan bahawa perbuatan yang dilakunya bukanlah kerana daripada dirinya sendiri akan tetapi datang daripada Allah s.w.t yang Maha Bijaksana.

Ibnu Abu Hatim: Mendakwa bahawa Khidir a.s adalah anak atau keturunan Qabil. Qabil adalah anak Nabi Adam a.s yang telah membunuh Habil.

Ibnu Abbas dan Hamka: Mendakwa Khidir a.s adalah anak sulung kepada Nabi Adam a.s. Menurut Hamka, Khidir yang beliau maksudkan sebagai anak sulung Nabi Adam dianugerahkan Allah s.w.t dengan umur yang tiada penghujungnya sehingga dimatikan ketika bersama-sama berjuang dengan Nabi Isa dan al-Mahdi membunuh Dajjal laknatullah. Khidir juga tidak mampu dilihat dengan mata kasar dan hanya dapat dilihat dengan kasyaf yang biasa dianugerah Allah s.w.t kepada para Nabi dan walinya.

Tabari: Mendakwa Khidir a.s adalah rakan seperjuangan Nabi Ibrahim a.s ketika di Babylon (Iraq) ketika berdakwah kepada Nimrod (Namrod). Ketika Nabi Ibrahim berhijrah keluar daripada Babylon, Khidir a.s turut serta bersama-sama Nabi Ibrahim dan keluarganya. Tabari juga mendakwa Khidir samada ayah atau ibunya berketurunan Parsi dan ayah atau ibunya berketurunan Romawi. Ini bermakna Khidir a.s adalah berasal daripada perkahwinan campuran antara Parsi dan Romawi. Tabari juga menyatakan bahawa Khidir a.s adalah salah seorang panglima kanan Zulqarnain. Ketika Zulqarnain mencari air kehidupan (Water of Life) dan menjumpainya, Zulqarnain menolak untuk meminumnya dan memberi kepada Khidir a.s. Disebabkan itulah Khidir a.s dianugerahkan kehidupan yang abadi (atas kekuasaan Allah s.w.t). Dalam Al-Quran, terdapat ayat yang menyatakan air kehidupan ini iaitu ketika ikan yang dibawa oleh Musa a.s dan pesuruhnya (dipercayai Nabi Yusyak a.s) melompat keluar daripada bakul setelah terkena percikan air di tempat yang dikenali sebagai ‘pertemuan dua laut’.

Abdallah bin Shawdhab: Mendakwa Khidir a.s adalah individu daripada Parsi dan sering berjumpa dengan Nabi Elyas a.s setiap tahun terutama pada bulan Ramadhan dan musim haji di Mekah. Nabi Elyas a.s adalah antara empat orang individu yang masih belum wafat iaitu Idris a.s, Isa a.s, Khidir a.s dan baginda sendiri.

Ibnu Ishq: Mendakwa Khidir a.s adalah Nabi Aramiyah bin Khulfiyah a.s (Jeremiah a.s). Nabi Aramiyah a.s adalah Rasul yang diutuskan oleh Allah s.w.t ketika pemerintahan Raja Josiah bin Amon yang memerintah Judah. Walau bagaimanapun, Tabari menolak dakwaan Ibnu Ishq.

Ibn al-Kalbi: Mendakwa Khidir a.s adalah keturunan Nabi Harun a.s.

Muhammad bin Ayub: Mendakwa Khidir a.s adalah anak lelaki kepada anak perempuan Firaun. Namun, siapakah Firaun yang Muhammad bin Ayub dakwa sebagai datuk kepada Khidir a.s tidak pula dinyatakan.

Naqqash: Mendakwa Khidir a.s adalah anak kepada Firaun. Sama seperti Muhammad bin Ayub, tidak dinyatakan Firaun mana yang beliau dakwa sebagai ayah kepada Khidir a.s.

Muqatil bin Sulayman: Mendakwa Khidir a.s adalah Nabi Elias a.s.

Ibnu Qutaybah: Beliau mendakwa Khidir a.s adalah nama lain bagi individu yang bernama Ama’il bin Eliphaz (Yafaz) bin Esau bin Ishak a.s.

Wahb bin Munabbih, Ibnu Kathir, al-Alusi, Imam Nawawi dan Ibnu Qutaybah: Wahb bin Munabbih mendakwa Khidir a.s adalah nama lain bagi individu yang bernama Baliya bin Malikan bin Peleg bin Eber (Hud a.s) bin Shelah bin Arpachshad bin Sam bin Nuh a.s. Namun, Imam Nawawi memberi nama Baliya bin Kaliman dan bukannya Baliya bin Malikan. Ulama zaman kini mendakwa insan yang didakwa oleh dua tokoh ulama salafi ini adalah insan yang sama. Ibnu Qutaybah turut mendakwa Khidir a.s adalah insan yang bernama Malikan selain dakwaannya Khidir a.s adalah insan bernama Ama’il.

Tempat Pertemuan Khidir Dan Musa a.s

Pendapat paling utama tentang pertemuan Khidir dan Musa berdasar firman Allah s.w.t di atas adalah di Teluk Aqabah iaitu pertemuan antara Laut Merah dan Laut Putih. Walau bagaimanapun terdapat pendapat yang mengatakan ia berlaku di pertemuan dua laut di Jordan. Ibnu Kathir pula mendakwa ia berlaku jauh ke di sebuah laut di Tangier, Maghribi iaitu pertemuan Lautan Atlantik dan Laut Mediterenean. Tidak terhenti di situ, pendapat yang terbaru adalah ia berlaku di pertemuan dua laut iaitu di pertemuan dua Lautan iaitu Lautan India dan Lautan Atlantik.

Walau apapun pendapat yang dikemukakan, ia tidak menyalahi syariat Islam kerana Allah s.w.t langsung tidak menyatakan di mana pertemuan dua lautan itu berlaku. Tidak menjadi satu kesalahan untuk memberi teori yang terbaik bagi membolehkan umat Islam terus memahami isi kandung Al-Quran yang mulia itu.

Penutup

Penulis tidak mahu menafi mahupun mengiyakan mana-mana dakwaan atau teori yang melibatkan kekasih Allah s.w.t yang bernama Khidir ini. Tiada penjelasan yang kukuh mengenai siapakah sebenarnya Khidir. Namun, apa yang pasti adalah Khidir merupakan seorang yang memiliki ilmu yang sangat tinggi sehingga melebihi seorang Rasul yang digelar Kalamullah iaitu Nabi Musa a.s. Kisah mengenai Khidir a.s dan Musa a.s sangat banyak ikhtibarnya. Malah daripada kisah ini juga pelbagai teori mulai muncul seperti teori wujudnya air kehidupan di pertemuan dua laut, teori ilmu ladunni, teori kehidupan abadi dan sebagainya.

Apa yang penulis ingin tekankan adalah penulis amat menjauhi segala unsur Israelliyat dalam kajian penulis. Meskipun penulis tidak menolak bahawa terdapat unsur-unsur Israelliyat yang selari dengan ajaran Islam namun terdapat banyak unsur Israelliyat yang menyimpang daripada ajaran Islam. Segala yang menyimpang daripada Islam, penulis ingin jauhi bagi menjaga kemurniaan ajaran Islam. Insya-Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan