Setiap kali tiba hari Jumaat akan berkumandanglah perkataan “negara berkebajikan” diucapkan oleh khatib pembaca khutbah terutamanya di negeri Selangor. Untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa “negara berkebajikan” ini ada dalam Al-Quran dan menjadi tuntutan agama Islam, inilah kaedah terbaik digunakan iaitu menyebarkannya melalui khutbah Jumaat. Hakikat ini samalah seperti “perjuangan menubuhkan negara Islam” suatu ketika dulu di mana khutbah Jumaat digunakan.
Tetapi setelah “istilah negara Islam” tidak ada dalam Al-Quran disebut oleh seorang pemimpin Islam dalam sebuah muktamar agung baru-baru ini dan “negara berkebajikan” pula yang diperjuangankan, maka sibuklah teks khutbah Jumaat menyelitkan perkataan “negara berkebajikan” untuk diperdengarkan ke telinga para jemaah. Para jemaah yang suka menggunakan akal untuk berfikir akan dapat menterjemahkan maksud sebenarnya yang tersirat terhadap muslihat ini. Ternyata pemikiran masyarakat Islam telah diprogramkan agar mengikut telunjuk segelintir pemimpin yang gila kuasa, yang cuba memaksakan dan menyeragamkan pemikiran manusia.
Memaksakan dan menyeragamkan pemikiran manusia seperti ini adalah satu jenayah kemanusiaan yang amat besar. Akibat daripada penyeragaman ini akal fikiran manusia menjadi tumpul. Masyarakat tidak berani berfikir dengan mandiri. Masyarakat menjadi tidak kreatif dan tidak produktif. Jadi yang perlu dipertanggungjawabkan adalah orang yang memaksakan penyeragaman tersebut. Ini kerana pihak terbabit telah menyalahgunakan kuasa yang dipercayakan kepadanya untuk kepentingan peribadi. Kuasa yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan masyarakat digunakan untuk memaksakan dan menyeragamkan pemikiran masyarakat. Kuasa yang sepatutnya dapat mensejahterakan dan memartabatkan masyarakat menjadi alat untuk melumpuhkan dan membodohkan akal mereka.
Pembodohan dan pelumpuhan akal atau pemikiran masyarakat seperti ini samalah dengan apa yang telah dilakukan oleh Fir’aun seperti yang digambarkan dalam Al-Quran, dilakukan dengan cara menanamkan rasa takut atau the culture of fear dalam diri masyarakat. Mereka dihina dan dipaksa tunduk kerana mereka dikatakan tidak memiliki pilihan lain. Untuk memastikan masyarakatnya tunduk, Fir’aun telah memastikan masyarakatnya kekal dalam kebodohan. Ini digambarkan dalam Al-Quran: ‘Maka Firaun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu) lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik.’ (Al-Zukhruf, 43:54).
Fir’aun juga mengatakan dengan angkuh: ‘Aku tidak mengemukakan kepadamu, melainkan apa yang aku pandang baik; dan aku tiada menunjukkan kepadamu selain jalan yang benar.’ (Mukmin, 40:29). Begitulah tipikalnya pemaksaan pemikiran yang telah dilakukan oleh pemimpin sebuah parti politik yang kononnya memperjuangankan negara Islam yang kini telah bersekongkol dengan juak-juak “penentang penubuhan negara Islam” dengan slogan ‘langkah mayat aku dulu sebelum tubuh negara Islam’ yang absolutis dan menindas ini.
Umat Islam hari ini sering dihadapkan dengan paradox. Mereka digesa untuk cemerlang dan maju tetapi mereka tidak digalakkan untuk berfikiran cerdas. Pemikiran cerdas yang saya maksudkan di sini sama dengan penekanan yang dilakukan oleh Ibnu Khaldun dan Malik Bennabi apabila mereka bercakap tentang pemikiran saintifik dan kekuatan pemikiran atau idée force. Orang yang berfikiran cerdas adalah orang yang kritis, terbuka dan bijaksana. Bangsa yang berfikiran cerdas adalah bangsa yang tidak ekstrim dalam pemikiran tertentu, tidak mengambil tindakan melulu, tidak fanatik dan taksub, tidak salah memilih pemimpin, tidak mudah diadudomba dan dipecahbelahkan, tidak mudah dibeli dengan dunia untuk menjual agama.
Untuk pengetahuan para pembaca, istilah Inggeris “negara berkebajikan” menurut ahli sejarah tersohor British, Asa Briggs telah diperkenalkan oleh Archbishop (Ketua Paderi) bernama William Temple semasa Perang Dunia Kedua. Semasa diperkenalkan, pendekatan itu bertentangan dengan konsep Jerman Nazi yang memperkenalkan “negara berperang” atau warfare state. Namun konsep asal negara berkebajikan itu mula diperkenalkan oleh ahli-ahli akademik Sozialpolitiker (Ahli Politik Sosial) Jerman sekitar 1870. Ia kemudian dilaksanakan di bawah dasar pembaharuan Perdana Menteri Pertama Jerman, Otto von Bismarck dikenali sebagai “Negara Sosial”.
Beberapa buah negara Barat kemudian mengikutinya. Itali memperkenalkan Negara Sosial atau Stato Sociale; pada tahun 1936 Sweden Folkhemmet (terjemahan langsung: rumah orang-orang tua). Di Sepanyol ia dikenali sebagai estado del bienestar atau “negara yang sejahtera”. Negara berkebajikan menurut prinsip Barat, yang mahu dibawa oleh sebuah pakatan politik di negara Malaysia sehingga sebuah parti yang kononnya memperjuangan Islam sanggup menggugurkan konsep Negara Islam, adalah berasaskan kepada prinsip iaitu peluang yang saksama, pembahagian kekayaan yang sama-rata dan tanggungjawab semua membantu yang susah.
Namun jika dikaji secara halus ia adalah konsep Malaysian Malaysia yang pernah diangkat oleh pemimpin PAP Singapura, Lee Kuan Yew - sehinggalah ia mendapat hak kemerdekaan memerintah negara pulau itu - hasil tekanannya yang mahu melaksanakan dasar itu ke atas Tanah Melayu. Kini Malaysian Malaysia, satu konsep yang mahu mengetepikan hak keistimewaan satu bangsa lain dan hak-haknya sedang dijana secara sistematik oleh sebuah parti serpihan PAP di Malaysia dan dibantu pula oleh oleh sebuah parti politik yang kononnya memperjuangkan Islam.
Negara berkebajikan, yang tiada pun diambil daripada rukun pembinaan negara Islam, akan diperkenalkan sekiranya Malaysia ini diambilalih oleh mereka kelak. Jika dilaksanakan nanti, ia bukan lagi merupakan dasar ekonomi yang membantu kaum-kaum yang susah dan menyeimbangkan kesejahteraan antara kaum seperti yang dilaksanakan dengan jayanya di negara ini. Penulis amat bimbang, konsep negara berkebajikan yang mahu dibawa oleh pakatan politik ini akan mengakibatkan perpecahan sosial yang lebih hebat. Jurang kecelaruan sosial akan melebar. Sekarang pun kita sudah dapat melihat gelagat pakatan politik ini dalam mengambil kesempatan atas isu-isu yang mereka anggap “boleh memberi peluang politik” seperti isu biasiswa dan sebagainya. Ahli-Ahli Parlimen mereka diseru supaya terus-menerus membangkitkan isu meritokrasi - dalam usaha mengapi-apikan kaum tertentu supaya membenci kerajaan dan bangsa-bangsa tertentu.
Apakah mereka menganggap murid-murid sesuatu kaum itu tidak bijak dan lemah sehinggakan semua biasiswa harus diberi kepada satu kaum lain yang bijak? Contohnya, jika diikut secara merit: Apakah mereka sanggup melihat murid-murid yang satu itu tidak boleh memperoleh walau satu biasiswa sekalipun kerana kaum yang satu lagi itu semuanya dianggap lebih layak mengikut acuan meritokrasi? Jika itulah caranya, maka berperanglah negara ini.
Ternyata, niat mereka sebenarnya bukan ke arah perpaduan rakyat, tetapi memperjuangkan semata-mata untuk sesuatu bangsa - dengan akhirnya penulis bimbang ia akan mengetepikan satu kaum, bangsa dan etnik yang lain. Jika itulah yang mereka perjuangkan, maka percayalah... itulah yang akan diterapkan dalam konsep negara berkebajikan tersebut kelak.
Malaysia bukan seperti Britain, Jerman, Itali, Sweden atau negara-negara Arab mahupun Brunei yang melaksanakan konsep negara berkebajikan. Di negara itu, mereka hanya mempunyai satu kaum asas yang besar berbanding dengan negara kita Malaysia. Malaysia mempunyai tiga kaum yang besar, dengan satu kaum asas yang tidak begitu besar dan sering dipertikaikan kedudukannya. Di negara-negara Barat, kaum asas mereka ialah berkulit putih, manakala yang lain-lain merupakan kaum pendatang, ataupun imigran dari negara-negara lain atau negara yang pernah dijajah oleh kaum asas itu. Maka itu pembahagian kebajikan tersebut lebih mudah dilaksanakan tanpa ada rasa marah kerana kebanyakan yang menerimanya adalah kaum asas yang majoriti.
Apa yang mahu kita lihat di negara ini ialah dasar kerajaan yang pragmatik dan berkesan. Dan terbukti dasar kerajaan Malaysia yang dilaksanakan sejak kemerdekaan telah berjaya membawa kesejahteraan kepada kita semua. Perkhidmatan kesihatan awam yang merupakan antara prinsip utama dalam negara berkebajikan, telah pun diamalkan di negara ini sejak dulu lagi. Rakyat Malaysia menikmati kemudahan itu secara percuma dengan pendaftaran hanya RM1. Begitu juga dengan pendidikan dan lain-lain. Cubalah pergi ke negara-negara lain, malah ke negara jiran ASEAN sekali pun, perkhidmatan kesihatan dan pelajaran Malaysia adalah yang terbaik. Apa yang diharapkan kerajaan dapat menambah baik lagi perkhidmatan dan mutunya supaya rakyat dapat menikmati faedah yang lebih besar. Penulis berharap Kementerian Kebajikan Masyarakat dapat diwujudkan semula, supaya kita semua sedar mengenai kewujudan dan fungsinya.
Moto 1Malaysia iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” sebenarnya merupakan satu tamparan kepada pakatan pembangkang, terutamanya dalam soal berkebajikan. Malah konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga cukup memeritkan pihak pembangkang. Kata-kata Najib: “Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” membuktikan bahawa gagasan 1Malaysia lebih hebat dan murni daripada konsep berbaur cauvanis seperti Malaysian Malaysia.
Yang peliknya bagi pakatan pembangkang sendiri, walaupun mereka telah memerintah empat negeri - Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan - namun bayang model negeri berkebajikan itu pun tidak nampak? Apa yang ada Selangor hanya memberi beberapa baldi air percuma, yang kemudian mendatangkan pula masalah kewangan kepada negeri itu. Serta menziarahi orang mati dan memberi sedikit sumbangan. Pulau Pinang, negeri yang mahu melaksanakan konsep “Negara Berkebajikan” sendiri gagal melaksanakan kebajikan kepada rakyatnya. Semakin marak kemarahan orang ramai di negeri itu terhadap pentadbiran kerajaan, terutamanya membabitkan penjaja-penjaja kecil yang diketepikan. Sebaliknya dasar pecah dan perintah sedang diamalkan di negeri itu. Kondo-kondo mewah banyak dibina untuk faedah beberapa golongan masyarakat tertentu, menggantikan kampung-kampung miskin yang diroboh untuk didirikan dengan pembangunan mewah. Rumah-rumah awam juga gagal didirikan. Kedah dan Kelantan, yang diperintah oleh kononnya sebuah Parti Islam pun tidak nampak apa-apa yang berlaku - konsep negara Islam pun sudah digugurkan, dan slogan negeri kebajikan pula hanyalah kata-kata manis dalam khutbah setiap Jumaat.
Negara berkebajikan yang dilaksanakan di Barat sendiri pun kini dikritik hebat kerana telah mengakibatkan rakyatnya malas dan enggan bekerja, kerana mengharapkan bantuan kebajikan daripada kerajaan. Di Britain ia sudah dibahas hebat ekoran masalah kemalasan bekerja kerana mengharapkan elaun-elaun pengangguran dan pelbagai benefit yang disediakan oleh kerajaan. Golongan pekerja dan peniaga pula sebaliknya berang kerana cukai yang tinggi dikenakan ke atas mereka untuk membiayai kebajikan rakyat yang tidak bekerja itu. Malah harga minyak di sana pun tidak disubsidi oleh kerajaan, seperti yang dinikmati oleh rakyat Malaysia kini. Harga semasa petrol di UK ialah RM6.70 seliter.
Kesimpulannya, apa yang cuba diperkenalkan oleh pakatan politik ini, sehingga sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam sanggup mengorbankan perjuangan Islamnya, hanyalah semata-mata satu pendekatan gimik popular. Namun secara halus ia sebenarnya adalah konsep perjuangan lama Lee Kuan Yew, iaitu Malaysian Malaysia. Malangnya, orang Melayu terpaksa mengikut telunjuk bagi menyelamatkan tengkuk seorang pemimpin dan parti yang kononnya memperjuangkan Islam rela dicucuk hidung kerana mengidam ke Putrajaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan