Selasa, 19 Julai 2011

Bandung Kota Berbelanja Orang Malaysia

SMAHADZIR

USAH berkecil hati jika jurupandu pelancong di Bandung, Indonesia, berulang kali melabelkan ‘gila membeli’ atau ‘kaki shopping’ khusus bagi pelancong dari Malaysia. Jolokan itu mungkin kedengaran agak lucu dan sedikit sinis, tetapi inilah hakikat kota yang sudah sinonim gelaran syurga beli-belah. Namun, aktiviti beli-belah itu itu bukanlah satu-satunya terapi di Bandung yang berkeluasan 3,600 kilometer persegi dan merangkumi 26 kota yang dihuni lebih 42 juta penduduk itu.

Masih banyak lagi tarikan yang juga terapi minda, jiwa dan mata kepada pelancong yang berkunjung ke kawasan tanah tinggi ini. Bak kata pepatah, tak kenal maka tan cinta, itulah yang selayaknya merujuk tarikan lain kota Bandung. Pertamanya, apa kata kita selami dulu keindahan bahasanya. ‘Hatur Nuhun’ atau apa khabar adalah ucapan mesra dalam bahasa Sunda yang sering menyapa pengunjung. Sebagai jawapan balas, katakan saja ‘Rampes’ atau baik. Demikianlah sedikit ilmu bahasa diajar jurupandu pelancong kami, Encik Budi Triono Assor, kepada penulis yang menyertai rombongan pengkaji budaya ke Bandung suatu ketika dulu.

Para pemandu beca sedang menanti pelanggan

Tarikan utama Bandung adalah kewujudan gedung beli-belah yang lebih popular dipanggil Factory Outlet atau F.O yang tumbuh seperti cendawan lepas hujan. Malah kewujudannya itu ada kena mengena tabiat beli-belah sakan orang kita selain pengunjung tempatan serta dari negara lain. Gedung yang menawarkan pakaian berjenama terkenal ternyata umpan paling berkesan. Entah bagaimana lambakan material berjenama dan berkualiti ini boleh tersadai di Bandung yang turut dikenali Kota Parijs Van Java ini.

Walaupun pakaian yang dijual sudah tidak mengikut musim atau tidak mengikut gred kualiti tertentu namun kecacatannya sangat minimum dan dijual dengan harga amat berpatutan. Selera untuk membeli tambah terbuka dengan bentuk seni bina premis era ‘Parijs Van Java’ yang masih mengekalkan elemen Belanda dan seni ukir Sunda selain reka letak laman dengan air pancut dan memberikan suasana aman dan damai walaupun agak bersesak-sesak terutama di hujung minggu.

Bahagian depan Hotel Bandung Arion Swiss-Belhen

Dari Rumah Mode, Heritage, Summit, dan puluhan lagi F.O, adalah lebih bijak untuk meninjau dulu harga sebelum membeli. Jika anda mencari kain denim, destinasi tujuan haruslah ke Jalan Cihampelas atau digelar ‘The Street of 1001 Jeans’. Usaha ini pasti lebih mudah selepas Penerbangan Malaysia (MAS) memperkenalkan penerbangan terus ke Bandung dari Kuala Lumpur yang dilengkapi pula penerbangan servis penuhnya. Selain pakaian berjenama, pengunjung pasti mencari telekung sulam, kain ela, kain sarung, batik, barangan kulit, beg tangan dan pelbagai produk lain di Pasar Baru yang terletak di Jalan Otto Iskandardinata. Kompleks beli belah lapan tingkat ini tidak banyak berbeza dengan suasana di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan. Lebih melucukan, anda tidak berasa kekok, malah seperti di tanah air sendiri selepas berlaga bahu bukan dengan warga tempatan sebaliknya orang Shah Alam, Pulau Pinang, Ipoh, Melaka. Pendek kata, memang sesak dengan orang kita saja.

Pengangkutan awam yang terdapat di Bandung

Bagi penggemar budaya, satu-satunya pusat sehenti kesenian dan budaya Sunda di Kota Bandung adalah di Saung Angklung Udjo (SAU). Di sini, jiwa mudah serap dengan rentak akar budaya yang kaya dengan alunan semula jadi alam. Terletak di Jalan Padasuka 118, Bandung Jawa Barat, SAU diasaskan Udjo Ngalagena pada 1966 bersama isterinya Uum Sumiati, pusat kesenian ini bergerak sebagai studio kesenian serta gelanggang bagi mengenengahkan kekayaan seni budaya Sunda kepada pelancong asing dan juga tempatan. Pengunjung bukan saja disajikan dengan persembahan seperti Kawitan, Tarian tradisional Sunda, pertunjukan wayang kulit dan patung, malah berpeluang merasai sendiri pengalaman bermain angklung lagak seorang profesional hanya dalam masa lima minit saja. Lebih bertuah lagi sama-sama diajak menari bersama artis Angklung muda seawal usia lima hingga 20-an.

Gadis penyambut tetamu di Hotel Bandung Arion Swiss-Belhen

Jangan lupa singgah di gunung berapi aktif, Tangkuban Parahu, yang mempunyai ketinggian 2.084 meter dan kali terakhir meletus pada 1910. Gunung Tangkuban Parahu (perahu tertangkup) ini termasuk gunung api aktif dan diawasi Direktorat Vulkanologi Indonesia. Beberapa kawahnya jelas menunjukkan tanda aktif gunung ini. Di antara tanda gunung berapi ini adalah munculnya gas belerang dan sumber mata air panas di kaki gunungnya di antaranya adalah di kawasan Ciater, Subang. Gunung berapi ini dikaitkan dengan mitos unik mengenai Sangkuriang yang menyintai ibunya sendiri Dayang Sumbi.

Iklan sebuah filem yang mendapat sambutan hebat di Bandung

Di sinilah terletaknya Sari Ater Hot Spring Resort lokasi istirehat paling sesuai melepas lelah selepas penat membeli-belah. Manjakan diri dengan bertukar angin ke kawasan pergunungan yang lebih dingin dan menenangkan. Kolam air panas semula jadi Ciater, Subang Jawa Barat menanti kehadiran anda. Lokasi paling sesuai buat pasangan mempelai untuk berbulan madu dingin dan jauh dari hiruk pikuk dan kesesakan kota.

Hala arah ke Jakarta dan Bandung

Garut yang juga kawasan tanah tinggi kegemaran penjajah Belanda lain pula tarikannya, selain dodol dan batiknya yang unik pelancong boleh membeli hasil kraftangan dari akar wangi selain menyaksikan pertandingan laga kambing gurun sebagai tarikan budaya di situ. Di sini ada Candi Cangkuang abad ke-8 yang dibina bersebelahan dengan makam tokoh agama, Arif Muhammad. Uniknya, selain dibina bersebelahan, Candi dan makam yang terletak di tengah Kampung Pulo, hanya ada enam rumah dan satu masjid di pulau berkenaan.

Macetnya kota Bandung

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA