Selasa, 21 Jun 2011

Pewaris Nabi Palsu

SEMUA nabi membawa tugas yang sama, iaitu menyeru manusia supaya menyembah Tuhan Yang Esa dan tidak menyekutukan-Nya dengan apa juga pun. Inilah yang dinamakan iman yang menjadi asas kepada semua agama yang diredai-Nya. Mereka adalah daripada pelbagai latar belakang. Nabi Muhammad s.a.w asalnya peniaga. Nabi Daud a.s dan anaknya Nabi Sulaiman a.s adalah raja, manakala yang lain-lain adalah peniaga, penternak dan petani. Apa juga status sosial mereka, sama ada kaya atau orang biasa, tugas utama mereka ialah berdakwah kepada manusia supaya menyembah dan mentaati Allah s.w.t.


Ada yang membawa syariat baru dan ada yang sekadar meneruskan syariat lama. Syariat mungkin berbeza, tetapi asasnya tetap sama. Sembah dan taatlah kepada Allah s.w.t, serta janganlah menyekutukannya. Itulah iman. Ada yang mempunyai ramai pengikut dan ada juga yang boleh dibilang dengan jari sahaja orang yang beriman kepada seruan mereka. Tugas mereka hanyalah berdakwah dan Allah juga yang menentukan kejayaan mereka. Allah tidak menetapkan angka sebagai ukuran kejayaan sebagaimana manusia moden pada hari ini berpandukan Petunjuk Utama Prestasi (KPI).


Kisah sebilangan nabi-nabi ini diwahyukan dalam Al-Quran sebagai teladan kepada umat Muhammad khasnya, dan manusia amnya. Betapa Nabi Nuh a.s berdakwah selama lebih 900 tahun, tetapi hanya mempunyai 80 orang pengikut yang beriman dan akhirnya menaiki bahtera bersamanya untuk menyelamatkan diri apabila Allah menurunkan banjir yang dikatakan paling besar dalam sejarah dunia. Malah anak Nabi Nuh sendiri tidak menyahut seruan keimanan bapanya, lalu turut mati lemas.


Nabi Yunus a.s pula terlalu kecewa apabila tidak seorang pun kaumnya mahu beriman. Baginda merajuk, lalu meninggalkan kaum dan kampung halamannya. Akhirnya Nabi Yunus ditelan oleh ikan besar setelah kapal yang membawanya dalam pelayaran dipukul ribut, lalu baginda terpilih melalui undian supaya terjun ke dalam laut untuk meringankan muatan kapal yang hampir karam kerana terlampau sarat. Di dalam perut ikan besar Nabi Yunus baru tersedar bahawa baginda telah melakukan kesalahan kerana meninggalkan kaumnya setelah terlampau kecewa dakwahnya tidak mendapat sambutan. Lalu bagainda bertaubat dan berdoa ‘Laila hailla antasubhanaka inni kuntu minazalimin.’ Dengan izin Allah, Nabi Yunus dimuntahkan dari mulut ikan dan akhirnya selamat kembali kepada kaumnya. Hasil dakwah fasa kedua, Nabi Yunus berjaya mengimankan kira-kira 100,000 orang kaumnya.


Nabi Muhammad s.a.w juga pernah merasa kecewa kerana dakwah baginda di Mekah tidak membawa hasil yang setimpal dengan usahanya, tetapi tidaklah baginda patah hati sampai meninggalkan kaumnya seperti Nabi Yunus. Baginda terus berdakwah selama 13 tahun di Mekah sehinggalah baginda diperintahkan berhijrah ke Madinah, di mana dakwahnya berterusan selama 10 tahun sebelum baginda wafat. Kemudian Islam berkembang pesat sehingga akhirnya tersebar ke seluruh dunia.


Iktibar daripada kisah-kisah nabi ini ialah kita mesti beristiqamah (tetap pendirian dan tindakan) dalam perjuangan mengembang dan memperkukuhkan agama yang diredai Allah s.w.t. Angka atau hasil berbentuk fizikal tidak menjadi matlamat kerana ia urusan Allah. Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah berganjak sekalipun ditawarkan dengan pangkat, kuasa dan kekayaan oleh kaum Quraish supaya menghentikan dakwahnya. Malah baginda terus berdakwah sekalipun ditekan, dihina, diejek dan akhirnya hampir dibunuh.


Inilah sikap pejuang agama yang tulen. Pada hari ini kita dapat menilai siapa pejuang Islam sebenar di Malaysia. Adakah mereka dari kalangan yang berserban, berjubah, berkopiah dan gemar memekik Allahuakbar? Lihatlah betapa rapuhnya semangat perjuangan mereka. Mereka menetapkan kuasa memerintah negara sebagai KPI mereka. Kononnya untuk mendaulatkan pemerintahan Islam. Bagi mereka ini, apa juga yang kerajaan sedia ada buat adalah tidak Islam.


Setelah berpuluh tahun berjuang dan masih gagal untuk memerintah negara bagi mendaulatkan Islam, mereka lalu mengubah haluan. Tiba-tiba mereka mengatakan Al-Quran tidak menggariskan corak pemerintahan negara Islam. Lalu mereka melaungkan bahawa yang ada ialah pemerintahan negara kebajikan. Bagi mencapai cita-cita menegakkan negara kebajikan, mereka bersekongkol dan tunduk kepada puak yang terang-terang memusuhi Islam dan puak yang diragui pegangan agama mereka.


Apakah mereka tidak belajar apa-apa daripada perjuangan para nabi yang dikisahkan dalam Al-Quran? Adakah Nabi Muhammad berjaya membentuk masyarakat beriman dan menegakkan Islam dengan matlamat menubuhkan kerajaan? Tidak fahamkah mereka bahawa di akhirat kelak kita akan ditanya apakah yang telah kita buat semasa hidup di dunia? Kita tidak akan ditanya sama ada kita telah berjaya membentuk kerajaan Islam atau tidak. Atau ditanya berapa ramaikah rakyat Malaysia memakai kopiah dan suka bertempik ‘Allahuakbar’ hasil perjuangan kita.


Mereka ini berjubah dan berserban kononnya mengikut sunah rasul. Dengan ijazah-ijazah pengajian agama yang dimiliki, mereka berasa merekalah pewaris nabi. Mereka sahajalah yang berhak bercakap soal agama. Sombong sungguh mereka ini. Disebabkan kesombongan mereka, Allah telah mendedahkan siapa sebenar mereka ini. Sekarang mereka pula yang dipimpin oleh orang-orang yang tidak memakai serban dan jubah. Apa lagi yang mereka mahu?


Di Malaysia yang penduduknya hanya kira-kira 60 peratus Muslim, sudah lama diinstitusikan agama Islam. Kita ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Islam. Kita ada Jabatan Kemajuan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri, mufti, kadi, Majlis Hal Ehwal Agama Islam, universiti Islam, sekolah rendah dan menengah agama, tadika Islam, kelas KAFA, Baitulmal, perbankan Islam dan piawaian halal. Pelbagai sudah dibuat untuk umat Islam. Bandingkan Malaysia dengan Indonesia, negara yang mempunyai paling ramai penduduk Islam di dunia. Adakah Indonesia yang dikatakan rakyatnya lebih 90 peratus Muslim itu menginstitusikan agama Islam sebagaimana di negara kita? Raja kita orang Islam. Perdana Menteri dan timbalannya juga orang Islam. Apa lagi yang tidak Islam? Dulu mereka berkata, undang-undang kita tidak Islam. Kita mesti laksanakan hukum hudud yang boleh menyebat penzina 100 kali atau merejam sampai mati.


Apakah di bawah negara kebajikan akan wujud hukum hudud terhadap penzina yang memerlukan empat saksi dari kalangan orang beriman? Kalau video pun tidak diterima sebagai bukti, mudahkah mahu mendapatkan empat orang saksi orang beriman. Bagaimanakah empat orang saksi itu hendak melihat perlakuan zina jika perlakuan zina tersebut berlaku dalam bilik hotel yang tertutup rapat? Akan berleluasalah perlakuan zina kerana empat orang saksi gagal menjadi saksi kerana rakaman video tidak boleh diterima. Begitu juga dengan kes-kes lain seperti liwat, mencuri, merompak, membunuh dan sebagainya. Kita harus sedar bahawa manusia yang pakai ketayap putih memang ramai, tetapi pastikah mereka ini orang beriman? Usahkan berzina, meliwat, mencuri, merompak, membunuh malah orang beriman tidak mengumpat, tidak sombong, tidak memfitnah, tidak melemparkan gelaran buruk kepada orang lain. Malah tidak bersahabat dengan syaitan, tidak bermuafakat dengan orang munafik dan kafir yang memusuhi Islam.


Ketahuilah bahawa undang-undang Islam hanya boleh ditegakkan di kalangan orang-orang beriman. Orang beriman, sekalipun terlanjur melakukan zina, mereka akan mengaku salah dan bertaubat. Mereka lebih takutkan Allah dan hukuman di akhirat daripada hukuman dunia. Tanpa paksaan dan penguatkuasaan, undang-undang Islam pasti wujud dalam setiap jiwa yang beriman. Maka serulah diri kita dan orang lain supaya beriman dengan sebenar-benar iman. Wallahhualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA