Khamis, 28 Julai 2011

Orang Munafik Ada Di Mana-mana

SMAHADZIR

Benarlah kata George Santanaya bahawa orang yang lupa sejarah akan mengulangi sejarah. Sebenarnya kita bukan lupa sejarah tetapi kita tidak pernah ambil iktibar dari sejarah. Kita belajar sejarah tetapi kita tidak pernah jadikan sejarah sebagai landasan untuk kita meneruskan perjuangan hidup. Kadang-kadang pula kita sengaja melupakan sejarah kerana ada sesuatu yang kita kejar. Lantaran itu, kata-kata George Santanaya itu wajarlah kita renung semula dan membuka minda kita untuk berfikir secara rasional.

Kita kembali sejenak kepada sejarah Islam silam. Perang Uhud adalah di antara peperangan yang masyhur dalam sejarah Islam. Ia berlaku selepas Perang Badar yang mencatatkan kemenangan pertama tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. Jika Perang Badar masyhur kerana 313 orang tentera Islam berjaya menewaskan tentera musyrikin yang berjumlah lebih 1,000 orang, Perang Uhud diingati kerana kekalahan yang menyebabkan ramai pengikut Rasulullah s.a.w mati syahid termasuk bapa saudara baginda sendiri iaitu Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib.


Menurut catatan sejarah, ada dua faktor utama yang menyebabkan kekalahan dalam Perang Uhud. Pertama, kira-kira 300 orang kaum munafik yang diketuai Abdullah bin Ubai telah berpaling pada saat-saat akhir, meninggalkan Rasulullah s.a.w bersama kira-kira 700 tentera Islam untuk menentang tentera musyrikin yang jauh lebih ramai.


Faktor kedua, kira-kira 50 orang pemanah yang Rasulullah s.a.w perintahkan supaya tidak meningalkan kubu di lereng bukit, telah melanggar arahan kerana mengejar harta yang ditinggalkan oleh tentera musyrikin di medan pertempuran. Tanpa pasukan pemanah Islam berada di tempat yang strategik di lereng bukit, tentera musyrikin yang sedang melarikan diri berpeluang mengumpul semula kekuatan dan melakukan serangan balas yang memberikan mereka kemenangan.


Perang Uhud memberikan pengajaran yang besar bagi memelihara kekuatan umat Islam. Mesejnya amat jelas iaitu, jangan percaya kepada puak munafik dan taatlah kepada perintah ketua atau pemerintah. Sesungguhnya orang munafik lebih berbahaya daripada orang-orang kafir yang memusuhi Islam kerana mereka pandai berpura-pura melindungi kemunafikan mereka. Pada zaman Rasulullah s.a.w, mereka turut membina sebuah masjid dengan tujuan untuk memecahbelahkan umat Islam.


“Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: “Kami tidak menghendaki selain kebaikan.” Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya).” – (surah At-Taubah 9: 107)


Senang cakap, mereka ini ibarat pepatah Melayu ‘gunting dalam lipatan.’ Tidak mudah untuk mengenali mereka kerana pakaian dan cara hidup mereka zahirnya juga sama seperti lain-lain orang Islam. Malah ada yang kelihatan lebih warak dari segi pakaian dan perbuatan. Bagaimanapun mereka ini hanya dapat menyembunyikan diri daripada mata kasar kebanyakan orang. Mereka tidak dapat menyembunyikan diri daripada pandangan mata hati orang-orang beriman, jauh sekali daripada pengetahuan Allah s.w.t.


Orang-orang munafik ini asalnya adalah orang-orang beriman, tetapi disebabkan mereka lebih taat kepada hawa nafsu daripada tunduk kepada Allah, akhirnya mereka menjadi kafir dan munafik. Mereka ini amat susah untuk kembali ke pangkal jalan kerana Allah telah menutup hati mereka. Berapa banyak sekalipun nasihat dan teguran diberikan, mereka tidak akan berubah. “Yang demikian itu adalah kerana bahawa sesungguhnya mereka telah beriman, kemudian menjadi kafir (lagi) lalu hati mereka dikunci mati; kerana itu mereka tidak dapat mengerti.” – (surah Al-Munafikun 63:3)


Kepada umat Islam yang mengaku beriman, berwaspadalah dalam mengharungi kehidupan dunia. Janganlah kita diperangkap oleh godaan nafsu dan hasutan syaitan. Segalanya bermula daripada nafsu. Ingatlah bahawa ibu bapa manusia, Nabi Adam dan Hawa telah terkeluar daripada syurga kerana runtunan hawa nafsu dan hasutan Iblis (penghulu syaitan). Peringatan mengenai bahaya nafsu ini dinyatakan berulang-ulang dalam Al-Quran. Antaranya: “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” – (surah Al-Jaatsiyah 45: 23)


Sebab itulah Rasulullah s.a.w pernah mengingatkan para sahabat baginda bahawa jihad yang lebih besar selepas berperang membela agama ialah jihad melawan hawa nafsu. Orang-orang munafik ini telah menjadikan nafsu mereka sebagai tuhan kerana mereka membelakangi Al-Quran dan sunah Rasulullah dalam pendirian dan tindak-tanduk mereka. Lantaran itu Allah s.w.t telah menutup rapat hati mereka daripada menerima kebenaran-Nya. Tertutup hati sekalipun pada zahirnya mereka memakai serban, ketayap, selalu bersolat jemaah di masjid, malah ada yang kadangkala berdiri di atas mimbar membaca khutbah Jumaat.


Malangnya, ramai umat Islam yang lemah imannya mudah mempercayai mereka. Sebabnya, mereka ini mempunyai penampilan atau keterampilan yang memikat, selain pandai berkata-kata. “Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka (keterampilan luaran) menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar (tidak kuat dan bersandar kepada kekuatan orang lain). Mereka mengira bahawa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka (mereka cepat melatah). Mereka itulah musuh (yang sebenarnya), maka waspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (daripada kebenaran)?” – (surah Al-Munafikun 63:4)


Jika anda masih sukar untuk mengenali sipakah orang munafik yang akan terus berada di kalangan umat Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w hingga ke akhir zaman, renungilah hadis yang masyhur ini.


Dari Abdullah bin Amru, Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Ada empat sifat yang bila dimiliki maka pemiliknya adalah munafik tulen. Dan barang siapa yang memiliki salah satu di antara empat tersebut, itu bererti ia telah menyimpan satu tabiat munafik sampai ia tinggalkan. Apabila berbicara ia berbohong, apabila bersepakat ia berkhianat, apabila berjanji ia mengingkari dan apabila bertelingkah ia berbuat curang.” (Sahih Muslim)


Berbahaya sungguh orang munafik ini. Jika orang kafir memusuhi Islam, memang mudah kita mengenali mereka dan berwaspada. Tetapi tipu muslihat puak munafik sangat licik sebagaimana yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w.


Sebenarnya, pada hari ini umat Islam di Malaysia juga sedang berhadapan dengan puak munafik. Malah mereka ini tanpa segan silu menyokong puak kafir yang memusuhi Islam secara terbuka, sebagaimana yang akhirnya berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. Mereka begitu berani kerana mereka mendapat sokongan daripada sebilangan umat Islam sendiri. Apakah mereka yang menyokong ini sudah Allah tutup hati mereka?


Jika Allah sudah menutup hati mereka, tiada siapa lagi yang boleh menolong. Namun kita masih berpeluang memberikan nasihat dan teguran kepada kalangan yang baru berjinak-jinak dengan puak munafik ini. Jika mereka saudara-mara atau handai-taulan kita, sayangilah mereka. Nasihatilah mereka sebelum hati mereka terbenam ke lubuk kemunafikan dan tidak boleh diselamatkan lagi.


Dan kepada mereka yang beriman kepada Allah dan Rasulullah, marilah kita perangi puak munafik ini dengan menjauhkan diri daripada mereka. Jika mereka cuba melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang negara, tentanglah mereka dengan cara terbaik yang dibenarkan oleh syariat dan undang-undang negara. Dan desaklah pihak berkuasa dan pemerintah supaya mengambil tindakan yang keras mengikut undang-undang terhadap mereka. Kita wajib melindungi negara yang dicintai daripada kerosakan dan kemusnahan angkara puak kafir dan munafik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA