SMAHADZIR
DANIAH masih berteleku atas
sejadah. Para jemaah pelbagai bangsa sudah mulai memenuhi ruang solat Masjid
Nabawi. Daniah masih belum berganjak. Kedua-dua tangan terus menadah memanjat
doa.
Tanpa disedari, air mata menjujuh
lagi. Keinsafan dan rasa berdosa gesit dan murup menyelinap ke seluruh ruang
diri. Cepat-cepat dia mengeringkan titis-titis air di pipi. Alunan mendayu
suara muadzin membuatkan dia
tersedar dari lamunan.
Selepas solat Zohor, Daniah terus pulang ke hotel
penginapannya. Mentari terus gagah menebarkan sinar terik ke setiap juzuk Tanah
Arab. Suasana panas buar berbahang di mana-mana.
* * *
Fajar sidiq mesra berlabuh di ufuk masyrik.
Daniah sudah siap berjubah sewaktu azan Subuh berkumandang di Masjid Nabawi
berhampiran hotelnya. Dia gesit menjengah melalui tingkap bilik. Kelihatan
orang ramai sudah melimpahi kiri kanan jalan raya menuju masjid. Kota ini tidak
pernah lengang dan sunyi. Tempat seluruh muslimin dan muslimat bertumpu.
Daniah bersyukur kepada Allah kerana dipinjamkan kekuatan
untuk datang ke Tanah Suci ini. Dia bukan muda lagi, kesihatan juga sering
terganggu. Namun, dia cukup tenang berada di sini. Tanah Suci Mekah Ar-Mukarramah
dan Madinah Al-Munawarah menunaikan ibadah umrah.
Daniah sudah memancang teguh tugu tekad, sewaktu di Malaysia
lagi, mahu menyisih dan melenyapkan terus segala ingatan terhadap soal-soal
keduniaan. Di sini, dia hanya ingin beribadat kepada Allah dengan rasa kusyuk
yang sungguh. Biarlah hari-hari di sini, sarat amal ibadat, doa dan zikir kepada
Allah. Namun, dia tidak dapat juga melarikan diri dari ketentuan takdir yang
telah ditetapkan Tuhan. Fitratullah.
Sewaktu mengambil wuduk untuk bersembahyang di Masjid
Nabawi tengah hari itu, tanpa disedari, seorang perempuan hampir sebaya, menghampiri
lalu memberi salam. “Err, ini Daniah Osman ke?” Perempuan itu bertanya, wajah sedikit
terperanjat dan mata terkesip-kesip. Bagaikan kurang yakin.
Setelah menjawab salam kerana namanya disebut, Daniah terus
menoleh ke arah suara itu. Mendadak tergamam jola. Darah gesit tersirap. Dada
akas menggerutup bergemirap. Kerana perempuan yang berada di depannya itu,
masih belum dia lupa nama dan wajah walaupun sudah lama tidak berjumpa.
“Ya, err… saya Daniah Osman. Astaghfirullah, ini Mariam Siraj ke?” dia bertanya ingin pasti.
Perempuan itu gesit mengangguk-ngangguk sambil tersenyum.
“Saya sangka, Niah dah tak kenal saya lagi, maklum, hampir 20 tahun kita tak
jumpa!” ujarnya dengan wajah berseri-seri.
“Kenal dan selalu ingat!” Terus-terang Daniah menjawab.
Sementara itu dia cuba mententeramkan hati yang masih bergemirap kencang.
Bahang panas tatkala itu membuatkan badannya semakin melengas berpeluh. Dia
rasa gelisah, malu, segan dan macam-macam lagi perasaan yang tiba-tiba saja
cagun tatkala berdepan dengan sahabat lamanya itu.
“Err… Niah apa khabar?” tanya Mariam seraya menunak
pandangan membuatkan Daniah dijerba serba salah.
“Alhamdulillah...
hmmm… Mariam apa khabar?” Daniah bertanya pula.
“Saya juga sihat, Alhamdulillah.
Niah datang dengan keluarga ke?”
“Tidak... seorang saja!” Daniah menjawab tenang, sekali gus
cuba mententeramkan gelodar hati.
Mariam masih lagi merenungnya. Daniah sedar, dia juga tidak
menyangka bertemu lagi dengan sahabat lama itu setelah sekian lama berpisah.
Dia rasa resah pula. Peristiwa lama gesit saja mengirap dan galak bermain di
ingatan kerana pertemuan ini.
Inilah yang dikatakan takdir dan ketentuan Tuhan.
Segala-galanya terjadi atas kehendak-Nya.
“Saya betul-betul tak sangka dapat bertemu Niah. Saya
sungguh gembira,” ujar Mariam setagal kemudian sambil mengukir senyum. “Niah
nampak sihat dan manis macam dulu juga,” terus mengusik.
Daniah tersenyum dengan usikan Mariam. Namun dia rasakan
senyuman itu sungguh hambar sekali. Perasaan resah masih galak menjalar
menyelongkar dalam diri. Sepatutnya dia perlu gembira dengan pertemuan itu.
Sudah hampir 20 tahun mereka berpisah.
Mariam tentunya gembira tetapi tidak baginya. Daniah resah
dan benar-benar terganggu kotak fikiran dengan pertemuan itu.
“Maafkan saya Niah. Sudah masuk waktu. Nanti kita jumpa
lagi,” Mariam gesit berlalu dan beberapa saat kemudian melenyap di celah-celah
jemaah yang berpusu-pusu memenuhi ruang masjid.
Daniah
hanya sempat mengangguk dan sehingga selesai sembahyang dia tidak bertemu lagi
dengan Mariam. Puas biji matanya berkelitar meninjau-ninjau kalau-kalau
terkelih kelibat Mariam, namun hampa. Dia terus pulang ke hotel dengan perasaan
berbelah bahagi, resah dan semakin bercelaru.
Daniah masih tidak menduga dapat bertemu lagi dengan Mariam
semula, bertemu setelah sekian lama terpisah. Bertemu setelah dia benar-benar
ingin melupakan segala-galanya. Dalam usia setengah abad ini, dia hanya
mempunyai satu azam saja, mahu terus menghadapi hari-hari tua dengan beribadat
kepada Allah.
* * *
Di atas katil di bilik penginapan, Daniah menghempaskan tubuh
dalam suasana diri yang sungguh resah. Rusuh dan kelut inti fikiran.
Dia merasakan detik-detik terawal dalam hubungan
persahabatan dengan Mariam berputar kembali dalam panggung ingatan, bagaimana
mulanya mereka menjalin sebuah persahabatan yang sungguh akrab.
Daniah dan Mariam pernah menuntut di universiti yang sama.
Dan melalui Mariamlah, dia mengenali Lokman. Sepupu Mariam yang sama-sama
menuntut di universiti itu tetapi berlainan fakulti. Kemesraan yang terjalin
antara dia dan Lokman, akhirnya membenihkan sebuah percintaan yang sukar
dimengertikan.
Adat muda bermain cinta, sesaat tak berjumpa sehari rindu
membara.
Peristiwa lama itu masih tersemat di sanubari. Belum pamit.
Sesungguhnya, Daniah tidak mahu lagi mengenangkan detik-detik celaka dalam diri
itu. Betapa tidak, pada suatu malam yang cuma diterangi cahaya bulan telah
menjahanamkan iman mereka berdua yang memang terlalu nipis. Syaitan galak
ketawa keriangan dan beroleh kemenangan malam itu menyaksikan dua jiwa bersatu
tanpa ikatan yang sah.
“Astaghfirullah!”
Daniah gesit menutup muka. “Ya Allah, ampunilah aku!”
Besoknya, dia memaksa Lokman bertemu ibu dan bapanya di
kampung. Mereka segera bertunang. Mereka mesti berkahwin sebelum segala-galanya
terbongkar. Lokman setuju. Tetapi setelah dua bulan bertunang, Lokman mungkir
janji. Seorang gadis cantik telah merampas Lokman daripadanya. Paling
menyedihkan, waktu itu kandungannya sudah mula bergerak-gerak.
Keluarganya terkejut besar bila Daniah memberitahu mereka.
Ibunya hampir-hampir pengsan. Daniah sendiri menangis, kesal dengan apa yang
telah dilakukan. Namun, segala-gala sudah berlaku, tidak dapat diundur lagi.
Dia harus tabah menerimanya.
Supaya maruah keluarga tidak dicerca masyarakat, Daniah
dinikahkan segera dengan sepupunya, Farid, seorang guru lepasan maktab.
Malam pertama Daniah terbiar. Daniah hairan dan
tertanya-tanya sendiri. Hari-hari berikut, Farid masih lagi tidak mahu
menyentuhnya dan berlanjutan hingga seminggu. Farid seringkali mengelak bila Daniah
mendekati.
“Kenapa
Farid? Kenapa kau seksa aku begini?” Daniah memberanikan diri bertanya.
Farid tunduk. Air muka jelas bayang-bayang kesal. Setahu Daniah,
Farid sudah ada pilihan sendiri. Tapi kerana menghormati pilihan keluarga,
jejaka itu terpaksa menikahi Daniah, walau hati terpaksa berkorban perasaan
cinta terhadap gadis pilihan.
“Maafkan aku Niah! Aku tahu aku bersalah perlakukan kau begitu.
Sepatutnya, aku lepaskan saja kau,” tegas Farid.
“Kenapa? Apa yang dah aku lakukan sehingga kau tak mahu
menyentuh aku? Aku… aku isteri kau? Isteri yang sah!” Daniah membentak.
Farid
melemparkan pandangan keluar tingkap. “Aku menikahi kau kerana dipaksa keluarga
kita. Itu saja. Aku berkorban menutup malu yang kau lakukan. Sepatutnya kau
bersyukur dengan pengorbanan aku ini!”
Darah Daniah gesit tersirap. Dia tersentak besar. Kini
terbongkarlah segala rahsia sebalik kedinginan Farid terhadap diri. Daniah
bagaikan tidak percaya bahawa Farid juga sudah tahu segalanya. “Ya Allah,
kenapalah seburuk ini nasibku.” Hati merintih dengan rasa sebak. Dirasakan
dunia ini berpusing ligat kala itu.
“Maafkan
aku, Niah! Aku tidak berniat nak melukakan hati kau. Tapi, aku juga ada harga
diri. Sebagai seorang lelaki, aku rasa terhina dengan pilihan keluarga kita.
Kenapa mereka tergamak memilih kelapa yang dah ditebuk tupai untukku hanya
kerana mahu menutup malu dan dosa yang kau lakukan? Aku bukan dayus, Niah! Aku
bukan dayus!” Demikian tegas Farid, bernada kesal.
Daniah tidak menyangka usia perkahwinannya sesingkat itu.
Dia diceraikan. Penceraiannya menjadi buah mulut masyarakat kampung. Anak luar
hukum dalam kandungan, telah benar-benar membenamkan nama dan maruah seluruh
ahli keluarga. Rata-rata orang kampung sudah tahu. Akhirnya dengan berat hati Daniah
terpaksa membawa diri keluar dari cemuhan mereka.
Daniah mengambil keputusan terus ke kampung Mariam di
Kelantan. Hanya Mariam saja, satu-satunya sahabat yang tahu kejadian menimpa
diri. Selepas bersalin, bayi itu diserahkan kepada Mariam. Dia tidak pernah
terlintas hendak bertemu lagi dengan Mariam atau anaknya selepas itu. Biarlah
anak itu tidak mengenalinya sebagai ibu kandung. Dan Mariam juga sudah berjanji
akan merahsiakan segala-galanya. Begitu juga Hashim, suami Mariam.
Sekali
lagi dia tersedar dari lamunan bila suara gemersik azan berkumandang dari
menara masjid. Setelah selesai mengambil wuduk, perlahan-lahan langkah diatur
menuju masjid. Daniah mahu solatnya itu hanya untuk Allah. Kusyuk dan tidak ternoda
oleh apa-apa bayangan sekalipun.
Selesai menyempurnakan solat sunat dua rakaat,
perlahan-lahan juga Daniah pulang ke hotel. Entah kenapa hatinya tiba-tiba saja
jadi resah dan berdengap kasar.
Setibanya di lobi hotel, tidak diduga rupanya Mariam sudah
lama menunggu. Dari jauh Mariam sudah memurupkan senyum. Selepas memberi salam,
Daniah melabuhkan punggungnya di sisi Mariam. Mariam pula segera memandang
wajah Daniah dengan renungan yang agak rengsa, berbaur urna rusuh dan serba
salah.
“Niah, saya ingin memohon maaf,” Mariam bersuara setelah
sekian lama terdiam.
Daniah segera merenung figura Mariam. Kotak fikir gesit
disergap tanda tanya.
“Berat bagi saya mengatakan,” sambung Mariam. “Saya
terpaksa kerana kasihankan dia. Dia dah besar sekarang.”
Daniah tergamam jola. Dia tahu rahsia itu akan terbongkar
juga akhirnya. Dalam soal ini Daniah tidak salahkan Mariam. Segalanya sudah
ditetapkan takdir. Dia harus menerimanya dengan tabah, penuh rasa menyerah.
“Niah tentu boleh faham. Sukar buat keputusan. Lama sekali
kami memikirkannya. Terang-terang saya katakan pada Niah, kami sebetulnya
membuat pilihan. Ini akhirnya kami rasa pilihan terbaik. Kami terpaksa
berterus-terang dengan dia. Sebagai anak, dia harus tahu siapa ibu kandungnya.
Sampai bila ini semua mesti dirahsiakan,” Mariam mengatur satu persatu gelodar
rasa.
“Habis, apa tindakannya selepas dia tahu Mariam bukan ibu
kandung dia?” Daniah bertanya dalam resah menggelecak.
“Dia bertekad mahu mencari Niah.”
Daniah gesit resah dan digugah debar. Bagaimana kalau sudah
berjumpa nanti? Bagaimana harus aku menjawab soalannya nanti? Fikiran Daniah
tiba-tiba jadi buntu. Dia rasa bingong. Dia rasa serba salah. Jauh di sudut
hati, dia ingin berterus-terang dengan Mariam bahawa dia juga benar-benar
rindukan anaknya itu. Bukan untuk merampasnya dari tangan Mariam. Bukan untuk
memisahkan kasih-sayang yang telah mereka taburkan selama ini. Tetapi kerana
sifat-sifat keibuan yang tertanam di dasar nubari. Bagaimana rupa parasmu,
anakku? Tanpa disedari, air matanya menitis laju. Ya Tuhanku, tenangkanlah
fikiranku yang berkecamuk ini!
Daniah tidak bertemu lagi dengan Mariam ketika menunaikan
solat Asar di masjid. Puas dia mencari, tetapi tidak berjumpa. Syukurlah. Jika
tidak pasti akan dihenyak dengan keresahan lagi. Dia menghabiskan masa seharian
dengan membaca Al-Quran dan mendengar syarahan agama di masjid itu. Selesai
solat Isya, dia terus pulang ke hotel.
***
Untuk kali terakhir Daniah akan berdoa lagi di Raudhah. Itulah
niatnya. Besok dia akan pulang ke Malaysia. Selesai saja solat sunat,
perlahan-lahan Daniah menyusur langkah ke Raudhah.
Dari satu sudut di Masjid Nabawi, tenang Taman Syurga itu
seolah-olah menunggu kedatangannya. Sampai saja di situ, Daniah terus bersimpuh
penuh sopan. Kedua-dua tangannya gesit ditadahkan. Air matanya mendadak
bercucuran jatuh. Dadanya sebu dan sebak. Dia menangis semahu-mahunya.
Keinsafan terasa meresap ke seluruh juzuk diri.
Entah kenapa wajah Mariam tiba-tiba saja mengirap. Sudah
tiga solat Daniah tidak bertemu sahabatnya itu. Dia tertanya-tanya juga ke mana
perginya Mariam. Mungkin juga Mariam sudah pulang lebih awal ke Malaysia.
Tapi
alangkah terperanjatnya Daniah, bila Mariam bersama seorang gadis menyapanya
sebaik saja dia hendak bangun dari timpuhan. Dia terus memberi salam pada
mereka. Mereka menyambut salamnya serentak.
“Niah, ni saya kenalkan Hidayah, anak Niah yang saya pelihara
20 tahun dulu!” ujar Mariam dengan perasaan gembira.
Daniah kejur khali. Lidahnya kelu tiba-tiba. Dia tak tahu
apa yang harus diucapkan saat ini. Perasaan suka, sedih, pilu, resah dan malu
bercampur-campur. Dada mendadak sayu dan hiba. Namun segalanya reda bila gadis
itu mencapai dan mencium tangan serta merangkul tubuhnya sambil menangis. Daniah
membalas pelukan itu. Air matanya juga tidak dapat dibendung lagi. Bergerimis
membasahi pipi.
“Maafkan ibu, nak!” tersedu-sedu Daniah bersuara. Lirih dan
amat mendatar mengiring gerimis yang kian menjujuh di pipi.
“Sudahlah, bu! Hidayah dah tahu segala yang terjadi. Hidayah
tak salahkan ibu. Sekarang Hidayah bersyukur dapat berjumpa juga dengan ibu.”
Mariam tersenyum dan mencelah. “Usahlah dikenangkan lagi
cerita lama. Yang penting sekarang, anak kita dah ada dua orang ibu!” Tangan
lembut menepuk-nepuk pundak Daniah, sarat polos.
Perlahan
Daniah merungkaikan pelukan Hidayah. Hatinya merasa lega tiba-tiba. Dia sedar,
dia sudah tua tapi masih belum lewat untuk menyambungkan kembali kasih-sayang
antara dia dan anak kandungnya itu. Demi kebahagiaan dan kesenangan hati
Hidayah, dia rela berkorban apa saja. “Masih belum terlewat,” hatinya mulai
meneguh janji.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan