Khamis, 21 Disember 2023

MUJAHIDAH SIBER

SMAHADZIR

AISYAH, begitu namanya. Gadis cantik, pendiam, berperawakan tidak terlalu tinggi dan genit. Bertudung hitam. Rakan sekuliahku. Ramai rakan lelaki sekuliah cuba mendekati tetapi sukar. Aisyah terlalu mahal.

Hari itu aku pulang ke rumah dengan bas. Setelah letih berjalan dari bilik kuliah, atas bas ada tempat duduk kosong. Aku mengambil tempat duduk itu. Tidakku duga Aisyah adalah penumpang di sebelahku.

Masing-masing diam. Aku berusaha tidak mempedulikannya yang sedang asyik membaca.

“Aisyah, boleh berbual? Errr, kamu mahu ke mana?” 

Aisyah diam, hanya tersenyum nipis. Kebetulan perhentiannya sudah dekat. Dia beranjak dari tempat duduk dan segera turun. “Hei… Aisyah, buku kamu tertinggal,” 

Aisyah menoleh, tidak menyangka aku turun juga dari bas. “Aisyah, buku kamu…” aku menghulurkan bukunya. 

“Terima kasih!” Aisyah berjalan, aku mengiringi langkahnya. 

“Kamu tinggal di sini?”

Aisyah tidak menjawab, sekadar mengangkat pundak. 

“Emm, Irman... maaf, saya bukannya sombong, saya ada tugas sekarang. Kita boleh bertemu di perpustakaan esok petang,” Aisyah gesit berlalu.

Aku terkebil-kebil.

* * *

Segalanya bermula dari link fans fiction itu, yang dikongsi oleh Firdaus, Ilham, Junairi, Helmi, Adam, Zahir, Zunar dan Effendi, rakan-rakan sebaya yang juga rakan facebook-ku. Aku tertarik dengan komentar Firdaus yang mengatakan bahawa ceritanya sad ending, akupun terus melayari link tersebut.

          “Kamu dah tengok link fans fiction tu?” soalku kepada Firdaus.

          Firdaus gesit ketawa. Begitu juga dengan Ilham, Junairi, Helmi, Adam, Zahir, Zunar dan Effendi. “Itu bukan link biasa, Irman! Yadong namanya,” jawab Firdaus bersahaja.

“Ramai lagi kawan kita selalu layari link Yadong tu,” balas Zunar.

“Bukan saja link tu… banyak lagi link pornografi lain yang kami selalu layari,” tanpa rasa bersalah Helmi menokok.

“Maksud kamu, rakan-rakan sebaya kita?” aku ingin tahu.

Firdaus, Ilham, Junairi, Helmi, Adam, Zahir, Zunar dan Effendi terus ketawa.

Aku terkejut dan hairan. Mengapa rakan-rakanku yang masih berusia remaja ini ketawa seolah-olah mereka sudah terbiasa dengan link semacam itu? Kerana merasa sungguh ingin tahu, akhirnya aku membuka kembali link tersebut dan melihat homepage-nya.

Pada mulanya aku menyangka fans fiction ini adalah cerita biasa yang dibuat oleh para remaja. Di bahagian awal cerita seperti pada umumnya, sepasang muda-mudi yang berkenalan lalu bercinta. Namun begitu masuk ke bahagian tengah sesuatu tidak terduga muncul, ada adegan pornografi dalam cerita tersebut mulai dari berciuman hingga hubungan intim yang dipaparkan dengan jelas sekali.

Ternyata situs yang memuatkan link itu memang khusus untuk fans fiction pornografi. Watak-watak utama yang dicagunkan dalam semua ceritanya adalah artis-artis Korea kegilaan remaja masa kini seperti Super Junior, Girls Generation, Big Bang, dan sebagainya. Setiap cerita diberi label ‘NC’ singkatan dari perkataan ‘No Children’ yang bermaksud cerita tersebut bukan untuk kanak-kanak di bawah umur. Dari label NC ini boleh dibahagi berdasarkan usia iaitu NC 17, NC 21, bahkan NC 23.

Aku dapati situs ini jelas sekali dikunjungi ramai golongan remaja sebab jumlah berbahagi di twitter dan facebook serta komentarnya cukup banyak. Cerita-ceritanya ditulis oleh ramai orang, sesiapapun boleh mengirimkan cerita, gambar dan video yang kemudian akan dipublikasikan oleh administrator situs. Meskipun tidak ada ketentuan usia minimum yang boleh menyumbang bahan, tetapi berdasarkan penelusuran, aku menduga penyumbang bahan-bahan tersebut berusia antara 15-25 tahun. Sedangkan usia untuk pembacanya lebih variatif.

Kendatipun sudah dituliskan ‘No Children Story’ di bahagian depan, tetapi aku rasa semua orang boleh mengakses, membuka dan membaca di situs tersebut dengan bebas. Ada juga situs lain yang lebih bersifat privasi, di mana untuk dapat membaca di situs tersebut harus menyertakan data diri terutama usia, barulah diberi semacam password untuk cerita, gambar dan video yang dimaksudkan. Selain situs yang berbahasa Melayu, aku juga pernah menemui situs yang memuatkan bahan serupa dalam bahasa Inggeris.

Sebaik sahaja aku keluar dari link fans fiction tersebut, Mujahidah Siber terus menyinggahi skrin peribadiku melalui e-mel. Mengajak aku berjihad. Katanya, tidakkah aku dilepa pedih rasa hati menatap status link pornografi yang sering dikunjungi netizen. Ribuan pelayar yang ‘like’ di samping folowers yang lebih 4 juta. Kesemuanya golongan remaja. Dunia pornografi siberisme yang dilayari bagaikan alam khayalan yang serba memberahikan. Membuar utopia.

Aku sebenarnya tidak mengetahui siapa Mujahidah Siber dan dari mana asalnya. Rakan siberku itu tiba-tiba saja cagun di skrin lap-topku membisik semangat jihad membanteras pornografi. Kata Mujahidah Siber lagi, bukan mudah untuk menghalang pornografi dalam internet tetapi sekurang-kurangnya kita mesti berusaha ke arah itu. Aku sedar, bukan link fans fiction sahaja tetapi lain-lain situs berbau pornografi juga begitu menarik ramai netizen, tentunya remaja, satu gejala yang memang wajar dibanteras.


“Siapa nama kamu sebenarnya?” aku cuba menyelusuri peribadi Mujahidah Siber.


“Nama aku tak penting. Yang penting usaha kita membanteras situs pornografi perosak remaja Islam. Kita sekarang sedang berada di bawah serangan psikologi besar Yahudi. Seks digunakan untuk memperhamba dan menggiring kita kepada syaitanisme. Daya tarik seks yang dipalingkan ini merupakan sebahagian besar dari apa yang disebut modenisme.”


Itulah mukadimah bicara Mujahidah Siber, berkisar tentang agenda Yahudi yang sedang menjerat generasi Islam. Aku terbuai dengan semangat jihad Mujahidah Siber betapa pornografi adalah salah satu agenda Yahudi. Dia menyedarkan aku bahawa protokol ke-14 Yahudi mengajak para penulis Yahudi menonjolkan tulisan-tulisan, gambar-gambar dan video-video pornografi di samping mengadakan sastera-sastera tidak bermoral, kotor dan keji semata-mata untuk merosakkan generasi muda Islam.

Sewaktu aku memperkenalkan diriku sebagai seorang pelajar universiti, Mujahidah Siber mula mengajakku berkongsi tentang isu-isu besar yang sedang melanda generasi muda Islam. Katanya, media global Israel telah menyebar ke seluruh dunia, dan perang terhadap orang-orang Arab dan Islam sedang mereka lakukan melalui kerakusan pornografi secara global. Israel menggunakan cara itu untuk menghancurkan semua ekspresi moral dalam kalangan orang-orang Arab dan Islam. Sebab itu banyak tayangan pergaulan bebas dan ketidaksopanan dalam siaran di saluran internet.

Kata Mujahidah Siber lagi, usaha ini adalah sebahagian dari kolusi Yahudi untuk melemahkan nilai-nilai Islam. Ini harus diwaspadai oleh generasi remaja Islam, untuk sedar bahawa apa yang Yahudi telah berikan kepada dunia Arab dan Islam, selain dari korupsi moral, degenerasi nilai-nilai, termasuk juga pornografi. Mujahidah Siber meyakinkan aku bahawa Yahudi sedang merencanakan agenda mereka bagi menghancurkan kekuatan Islam melalui pornografi siber.

“Mahukah kamu berjihad bersamaku?”

Mujahidah Siber menyoalku suatu hari. Aku sungguh terkejut tatkala Mujahidah Siber mengatakan bahawa Statistik Google Trends menunjukkan Malaysia menduduki tangga kelapan di dunia bagi negara paling ramai pelayar situs pornografi. Hakikatnya, kemudahan WiFi pada telefon pintar, begitu mudah novel atau cerpen lucah Melayu boleh dimuat turun melalui aplikasi e-book. Ratusan nukilan novel dan cerpen lucah berbahasa Melayu boleh diperoleh tanpa perlu bersusah payah mencarinya di kedai atau melayari internet di premis pusat siber tetapi hanya menggunakan kaedah memuat turun aplikasi melalui Play Store.

Pengakhir e-mel Mujahidah Siber mengatakan dia sedih sebab ada jutaan remaja Islam yang terlibat sebagai pelayar situs pornografi. “Kita harus menolong mereka. Kita harus berusaha semaksimum yang kita mampu. Dan tidak munasabah bagiku untuk berkata, facebook, youtube, instagram, twitter, internet, semuanya haram. Ini tidak realistik.”

          E-mel terakhir Mujahidah Siber malam itu membuatkan aku termenung seketika. Katanya, Yahudi telah menyerang umat Islam sejak usia kanak-kanak lagi. Dia menyuarkan bukti, banyak filem untuk kanak-kanak memuatkan adegan pornografi, meskipun tidak dominan. Sleeping BeautyCinderella... kenapa ada adegan untuk penonton dewasa? Peluk dan cium. Filem Little Mermaid, heroinnya berpakaian hanya menutup dada saja. Tarzan pun cuma pakai seluar dalam saja. Bukankah filem itu untuk kanak-kanak? Kenapa kanak-kanak disajikan filem begitu?

“Kamu tahu siapa di sebalik filem-filem tersebut? Ya, Walt Disney. Jika ditelusuri, Walt Disney adalah anggota Illuminati dan Freemansory. Filem-filem ciptaannya banyak membanjiri layar kaca di dunia. Kanak-kanak secara tidak sedar sudah terbiasa menonton filem tersebut. Apakah kamu tidak resah melihat kanak-kanak menonton adegan berahi orang dewasa? Itu bukanlah pendidikan seksual yang tepat, bukan? Dan mereka telah berjaya merosakkan minda kanak-kanak melalui filem.”

Aku termanggu tanpa kata. Aksara yang terluah dari pena Mujahidah Siber begitu cantik dianyam diksi diukir kisah. Sewaktu aku terdiam itulah Mujahidah Siber melepakan kesedaran bahawa porno memiliki fungsi penting untuk Illuminati. Illuminati nak memperhambakan umat Islam dengan menggunakan hutang, pengendalian fikiran dan terorisme palsu. Tetapi umat Islam tidak sedar bahawa musuh mereka memiliki program yang terancang untuk memperhambakan secara rohani dengan menggunakan seks. Dengan kata lain, Illuminati adalah sekte klenik syaitan berdasarkan Yahudi Kabala. Perjalanan sejarah dan kebudayaan moden telah dirancang untuk menjadikan umat Islam masuk ke dalam sekte klenik seks pagan ini.

* * *

Perpustakaan Tun Sri Lanang ramai pengunjung, aku tercangak-cangak mencari Aisyah. Tidak kelihatan batang hidungnya. Mungkin dia bosan menunggu, aku memang terlambat 30 minit. Sudahlah. Aku menghampiri pintu. Ketika aku membukanya, wajah Aisyah cagun di hadapanku. Aku terkejut. “Eh, kamu!” 

“Maaf saya terlambat!” 

Aku tersenyum dan kami melangkah menjauhi perpustakaan. Tidak terasa kami berbual ramah.

“Kamu macam tergesa-gesa saja...”

“Saya aktif dalam JIHAD, sebuah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam,” jawab Aisyah. “Sekarang saya sedang membantu JIHAD memberi pendidikan serta kesedaran terhadap sebarang ancaman pedofilia, pornografi dan jenayah siber,”

Aku mengangguk-angguk. Rasa bangga menggerbak di hati dengan penglibatan masa lapang Aisyah. Nampak pendiam rupanya Aisyah seorang yang aktif dalam NGO.

Sejurus kemudian Aisyah mengucapkan salam dan kami berpisah. 

* * *

Berkali-kali aku cuba mengakses biodata peribadi Mujahidah Siber melalui paparan skrin di ruang media sosial namun hampa. Tiada sepatah aksara pun yang terpapar di ruangan profil diri Mujahidah Siber. Namun, daripada luahan hati dan coretan perasaan Mujahidah Siber, aku cuba mengagak Mujahidah Siber seorang gadis yang kuat semangat jihadnya, bijaksana, serta sedang membina harapan dan hasrat membumbung. Getol menegaskan bahawa jika selalu mengakses pornografi lewat internet, semakin tinggi risiko melakukan apa yang dilihat, termasuk keganasan seksual, perkosaan, dan pelecehan seksual. Pornografi yang dikenalkan sebelum waktunya akan menimbulkan suatu kebingungan, mempengaruhi pembentukan sikap, nilai dan perilaku.

Mujahidah Siber juga mengharapkan agar ibu bapa yang memiliki anak remaja supaya selalu waspada dan jeli, buka mata serta telinga. Berhati-hatilah jikalau menemui folder atau file yang judulnya mencurigakan seperti ‘yadong’ di handphone, lap-top, atau media lain milik anak mereka. Sebab kemungkinan besar kandungan di dalamnya adalah pornografi. Jangan sampai kanak-kanak terjerumus dalam dunia yang belum seharusnya mereka ketahui.

          Aku begitu bersemangat dengan tiap kata-kata yang diluahkan Mujahidah Siber. Dalam diam-diam aku sudah membundar tekad. Aku akan bersamanya berjihad. 

* * *

Persahabatanku dengan Aisyah semakin akrab. Kami sering berbual tentang banyak perkara, terutama tentang JIHAD. Dia sering mengajakku menyertai JIHAD memberi pendidikan serta kesedaran terhadap sebarang ancaman pedofilia, pornografi dan jenayah siber. Sesungguhnya hatiku sudah terpikat pada Aisyah tetapi perasaan malu untuk berterus-terang begitu kuat.

Rasa terpikat itu terasa sangat mententeramkan perasaanku. Aku pendamkan saja dalam dada.

Dua hari selepas majlis graduasi, Aisyah meninggalkan kampus. Aku tidak sempat berbicara lama kecuali selamat jalan di telefon. Selepas itu, aku terus kehilangan hubungan dan aku merasa itulah jalannya hidup. Kini, sudah setahun kami berpisah. Aku masih merindukannya. 

Teh sudah tersedia, aku mengambil air panas, menuangkannya dalam cawan. Membuka e-mel di lap-top. Tidak diduga ada e-mel dari Mujahidah Siber.

 23 April 2022

 Assalamualaikum Irman,

 Kamu pasti terkejut dengan e-mel ini yang sudah lama tidak mengunjungi kamu. Dan kamu pasti tidak akan menyangka cerita perhubungan kita berkelana tanpa arah seperti ini. Irman, cuba kamu keluar dari rumah sekarang. Kamu akan melihat rumah di seberang rumah kamu. Tanyakan apakah ada orang bernama ‘Mujahidah Siber’. Saya menunggu kamu.

 Mujahidah Siber

Aku cuba mengingatkan kembali nama jiran di hadapan rumahku, seorang perempuan tua dan kucingnya selalu duduk di beranda. Aku segera keluar rumah, berjalan menuju rumah itu. Memberi salam dan mengetuk pintunya. Tidak lama, seorang perempuan tua muncul dengan senyum mesra.

Waalaikumsalam, Irman, silakan!” 

Aku terkejut, dia tahu namaku. Seingatku, kami belum pernah berkenalan. 

“Makcik tahu, kamu pasti terkejut makcik tahu nama kamu. Kamu tidak perlu bertanya lagi. Sebentar ya...” dia masuk ke dalam. Kemudian, muncul seorang gadis berperawakan tidak terlampau tinggi dan genit berdiri di hadapanku. Bertudung hitam. “Aisyah…” dengan senyum yang tidak pernah aku lupakan. 

Aku sungguh terpana. 

“Sekarang saya bekerja sebagai tutor di universiti tempat kita belajar dulu,” Begitu cerita yang mengalir dari mulut Aisyah. “Mahukah kamu berjihad bersama saya dalam JIHAD?”

Aku gesit mengangguk, tidak ingin menyiakan perjuangan ini bersama Mujahidah Siber - Aisyahku.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan