SMAHADZIR
SUDAH dua sesi pengajaranku namun Beng Heng,
Guan Teck dan Mei Yin masih belum kelihatan dalam kelas. Ketiga-tiga pelajar
ini seolah-olah tidak berminat untuk belajar.
Aku
menyeluruhi ruang kelas. Rata-rata wajah pelajar di depanku sekarang
seolah-olah tidak sabar lagi untuk menerima ilmu. Sejurus kemudian, aku terus
memulakan sesi pelajaran bahasa Melayu yang telah diamanahkan kepadaku. Aku
mengambil kesempatan pagi itu menerangkan tentang betapa pentingnya bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan.
Semua
pelajar kelihatan akur. Masing-masing mendengar dengan teliti dan penuh minat.
Seterusnya aku bertanya: “Apakah wasilah
terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia?”
Semua
pelajar diam. Masing-masing mencerlung tunak ke arahku.
“Jawapannya
ialah bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu
kerana ‘Bahasa Jiwa Bangsa’,” ujarku. “Ini bermakna, bahasa apa yang kita
daulatkan, bahasa itulah yang membentuk jiwa kita, sekali gus memercikkan jati
diri kebangsaan. Sebaliknya, jika kita mendaulatkan bahasa asing, akan
terpancarlah ‘jati diri asing’. Lantas, akan terencatlah pembentukan jati diri
kita sebagai bangsa Malaysia.”
Semua
pelajar mengangguk-angguk.
“Tapi, zaman sekarang ini bukankah kita dituntut supaya
menguasai bahasa Inggeris atau bahasa Mandarin, cikgu? Lagipun, bahasa Melayu
bukannya dikuasai oleh semua orang di dunia ni,” tiba-tiba Beng Heng bersuara.
Jelas wajahnya bagaikan kurang setuju denganku.
“Betul kata Beng Heng tu, cikgu!” sokong
pula Mei Yin.
“Saya tidak pernah menghalang kamu
belajar dan menguasai bahasa Inggeris dan Mandarin atau apa saja bahasa yang
kamu suka,” jawabku. “Tetapi janganlah pula jiwa dan pemikiran dikuasai oleh
bahasa asing itu. Ini bukanlah budaya bangsa maju. Bangsa yang maju-moden-perkasa
menjunjung tiga pacak ketamadunan iaitu mendaulatkan bahasa kebangsaannya, menyintai
jatidiri kebangsaannya, bukan perkauman-kesukuan dan setia pada nusanya yang
satu.”
Beng
Heng, Guan Teck dan Mei Yin tidak bersuara.
“Bahasa kebangsaan adalah wadah
terpenting, selain wadah pendidikan dan kebudayaan kebangsaan, untuk membentuk
keperibadian bangsa Malaysia bersemboyankan gagasan ‘satu bahasa, satu bangsa,
satu nusa’, tidak sewajarnya disangsikan oleh sesiapapun,” tegasku.
Semua
pelajar mengangguk-angguk faham dengan kenyataan tersebut. Aku semakin
bersemangat untuk menyarat minda mereka dengan ilmu yang ada di dadaku.
“Siapa
antara kamu berminat mendalami bahasa Melayu?”soalku pula dalam usaha
mencungkil minat dalam kalangan pelajar-pelajarku itu.
Albert
Choo dan Stanley Cheng yang duduk di pojok kiri kelas spontan mengangkat tangan
masing-masing.
“Bagaimana
yang lain?” soalku lagi seraya menyeluruhi satu persatu para pelajar berbangsa
Cina di hadapanku.
Masing-masing
saling berpandangan dan tidak menjawab soalanku.
“Cikgu seolah-olah anti bahasa Mandarin!”
tiba-tiba Beng Heng bersuara dengan wajah serius.
“Saya
bukannya anti bahasa Mandarin,” tegasku. “Prinsip saya jelas dan tegas:
Pelajari dan kuasailah bahasa Mandarin, tetapi pendaulatan hanyalah terhadap
bahasa kebangsaan kita sendiri. Inilah sikap dan pemikiran yang betul.”
Rata-rata pelajar di
hadapanku faham cuma Beng Heng, Guan Teck dan Mei Yin saja yang masih belum
menampakkan sebarang reaksi positif malah sering saja memprotes di dalam kelas
pembelajaranku.
Hari
berikutnya Beng Heng, Guan Teck dan Mei Yin tidak kelihatan di dalam kelas
sewaktu sesi pembelajaranku. Melalui beberapa orang pelajar, aku mendapat tahu ketiga-tiga
pelajar ini sengaja keluar dari kelas semata-mata tidak mahu mengikuti mata
pelajaran bimbinganku. Sesungguhnya, situasi ini amat membingungkan. Aku
menjadi resah tidak menentu memikirkan tindakan tiga orang pelajar yang agak
pintar ini.
* * *
Hari pertama minggu kedua aku mengambil
kesempatan bersoaljawab dengan pelajar-pelajarku. Harapanku semata-mata untuk
mewujudkan bibit-bibit kemesraan antara kami.
Jam
8.30 pagi aku sudah berdiri di hadapan kelas. Aku agak terkejut kerana Beng
Heng, Guan Teck dan Mei Yin ada di dalam kelas. Tentu sekali mereka telah kesal
atau juga ingin kembali belajar di bawah bimbinganku. Begitu yang terbetik
dalam hatiku kala itu. Aku melemparkan sebuah senyuman mesra ke arah mereka
namun tidak berbalas. Wajah Beng Heng, Guan Teck dan Mei Yin bagaikan meluat
amat denganku. Masam mencuka. Aku diterpa kehairanan mendadak.
“Kenapa
kamu bertiga tidak hadir sewaktu saya mengajar dua hari lalu?” soalku beberapa
jenak kemudian. Wajah Beng Heng kurenung dalam.
Beng
Heng sekadar mencebek. Begitu juga dengan Mei Yin dan Guan Teck.
Pelajar-pelajar lain kelihatan seperti kurang senang dengan tingkah laku tiga
pelajar tersebut. Mereka seolah-olah resah dan gelisah.
“Saya
bertanya kamu, Beng Heng!” suaraku sedikit tinggi. “Kamu harus menjawabnya
dengan jujur supaya saya dapat tahu apa sebenarnya masalah yang kamu hadapi.”
“Saya,
Guan Teck dan Mei Yin sependapat dalam soal tidak mahu menuntut ilmu yang tidak
penting dari cikgu!” ujarnya seraya mencemek sinis.
“Kenapa?
Apa yang tidak kena dengan pelajaran bahasa Melayu yang saya ajarkan kepada
kamu?” soalku sungguh-sungguh kurang senang.
“Cikgu
seolah-olah datang ke mari untuk menidakkan kewujudan bahasa ibunda kami. Cikgu
juga seolah-olah cuba mahu menjahanamkan bahasa ibunda kami!” Suara Beng Heng semakin
keras dan sinar matanya murup terpancar api marah yang menyala. Penuh
penentangan.
Aku
tergamam jola. Pelajar-pelajar yang lain tidak bersuara. Mereka seolah-olah
turut terkedu dengan penentangan yang dibuat oleh rakan sekelas mereka itu
terhadapku.
Aku
masih lagi berdiri di hadapan kelas kerana waktu itu aku sedang menyarat minda
mereka dengan ilmu yang ada padaku. Aku cuba memurup dan melebarkan senyuman
semanis mungkin kepada Beng Heng tetapi nyata pelajar itu langsung tidak mahu
membalas senyumanku. Sungguh benar dia anti dengan subjek bahasa Melayu
kelolaanku.
“Semua
tuduhan yang kamu katakan tadi bersifat prejudis dan salah, Beng Heng!” aku
bersuara beberapa jenak kemudian. “Saya bukan mahu menghancurkan bahasa ibunda
kamu, tapi saya...”
“Cikgu
seolah-olah sedang memaksa kami, bukan?” cantas Beng Heng dengan kasar.
Wajahnya nyata murup dengan rasa benci dan marah yang amat sangat, sarat juga
dengan sinis yang tidak berpenghujung.
Aku
gontai melemparkan sebuah lagi senyuman kepadanya. Senyuman yang kukira serbat
penyegar dan penawar buat diriku sendiri ketika itu.
“Beng
Heng bercakap benar, cikgu!” tiba-tiba Guan Teck bersuara pula.
Aku
pantas menoleh ke arahnya yang duduk di bahagian kiri belakang kelas. Aku
dapati ketika itu dia sedang menjuihkan bibirnya seolah-olah jengkel amat
memandang wajahku.
“Cikgu
memaksa kami menerima kepentingan bahasa Melayu supaya bahasa ibunda kami
dilupakan!” Mei Yin pula bersuara dengan bibirnya semakin dijuihkan. Hodoh
benar figura ayunya tatkala itu.
Aku
mengeluh rengsa. Lidahku bagaikan terkancing rapat. Sejak aku menjadi guru dan
ditugaskan mengajar di sekolah ini, inilah pertama kali aku mendengar kata-kata
seperti ini. Aku cuba juga mengeluarkan suara yang lembut supaya tidak
kelihatan riak-riak kepedihan yang melepa di hatiku. Kupandang muka seorang
demi seorang pelajar di hadapanku. Sejurus kemudian, perlahan-lahan aku
bersuara tetapi agak serius.
“Saya
yakin, kamu semua pasti memberi peluang kepada kenyataan dan kebenaran...”
“Untuk
apa, cikgu?” Mei Yin mencantas kata-kataku yang belum tamat. Dia bagaikan mahu
bertengkar denganku.
“Untuk
kesenangan dan kesejahteraan masa depan kamu dan negara kamu juga,” jawabku
lembut.
“Itu
semua tak perlu, cikgu!” Beng Heng pula bersuara. Sekali gus mematikan segala
hujah yang berligar di dalam kotak benakku.
“Kesenangan
dan kesejahteraan itu sebenarnya ada pada diri cikgu sendiri, betul tak?” tanya
Guan Teck seraya tersenyum sinis.
“Apa
maksud kamu?” soalku.
“Cikgu
datang ke sekolah kami ini bersama cita-cita supaya kami melupakan bahasa
ibunda kami sendiri. Kalau ini berjaya dilaksanakan, bermakna cikgulah yang
senang dan bahagia kerana cita-cita busuk cikgu tu sudah tercapai,” balas Beng
Heng.
“Betulllllll!!!!”
Tiba-tiba
sebahagian besar pelajar di kelas itu bersuara memberi sokongan sambil
menepuk-nepuk meja. Aku diterpa gamam yang tidak wajar.
“Kamu
bertiga terlalu berburuk sangka, Beng Heng!” aku sungguh kurang senang dengan
tukasannya. “Kamu juga sudah berjaya mempengaruhi fikiran rakan-rakan kamu yang
lain. Ini amat tidak elok dipraktikkan oleh kamu sebagai pelajar. Apa yang
harus kamu lakukan ialah dengar dulu segala ilmu yang akan saya terangkan.
Sekiranya kamu tidak suka, kamu boleh diam saja atau kamu boleh memohon dari
saya untuk keluar dari kelas. Ada di antara rakan-rakan kamu yang lain yang
masih mahu belajar dengan saya.”
“Saya
ingin menyeru kepada rakan-rakan yang sudah dirasuk oleh kata-kata manis Cikgu Zulaikha
ini. Untuk pengetahuan kamu semua, Cikgu Zulaikha adalah seorang Melayu yang
diutus untuk menghancurkan bahasa ibunda kita. Kamu semua jangan mudah terpedaya
dengan kata-katanya. Kenapa cikgu tak mahu berterus terang saja?” Mei Yin lantang
bersuara sambil merenung wajahku tunak-tunak.
Aku
terkedu namun masih gagah untuk mengatur langkah ke sana ke mari di setiap
pojok kelas. Mataku memerhatikan setiap biji mata para pelajar yang ada di
situ. Dadaku tiba-tiba jadi jelu tidak menentu. Mengapa pelajar-pelajar ini masih
ada perasaan sedemikian? Mengapa ada perasaan begitu di sanubari anak-anak di
bangku sekolah? Sesungguhnya, aku akan menghadapi tugas yang amat berat dan
mencabar. Fikiranku mulai bercelaru dan cabuh.
Pelajar-pelajar
ini bakal menjadi tulang belakang negara pada masa akan datang. Sudah aku
jelaskan sebelum ini betapa bahasa Melayu adalah bahasa penyatuan antara kaum
di negara ini. Kenapa ini pula yang aku terima?
Aku
ke sekolah jenis kebangsaan Cina ini sebagai seorang guru bahasa Melayu untuk
mendidik anak bangsa Malaysia supaya menjadi rakyat atau generasi yang kaya
maklumat. Ilmu ini amat penting untuk mereka sebagai warga yang bergelar bangsa
Malaysia.
“Saya ingin
lihat kamu berjaya. Itu saja niat saya kerana masih ada di antara kamu yang
bencikan bahasa Melayu, masih berfikir bahawa bahasa Melayu ini satu bahasa
yang tidak bertaraf dunia. Kalau beginilah persepsi kamu pada bahasa Melayu,
kamu akan menjadi satu bangsa yang tak akan berpadu. Relakah kamu lihat negara
kamu tidak bersatu, berselisih faham antara kaum kerana tidak ada bahasa yang
boleh menyatukan mereka?” suaraku mencerlus beberapa tagal kemudian.
Semua
pelajar tunduk merenung meja.
“Relakah
kamu melihat negara kamu asyik berperang saja sesama sendiri kerana tidak ada
kesefahaman?” aku sengaja mengemukakan persoalan tersebut yang tentu sekali
sukar dijawab sama ada oleh Beng Heng, Guan Teck atau Mei Yin yang terkenal
dengan sikap anti bahasa Melayu itu.
Beng
Heng, Guan Teck atau Mei Yin diam. Aku yakin, bibit-bibit kesedaran sudah mulai
menyelinap ke dalam diri mereka. Suasana bilik kelas kembali tenang.
Masing-masing khali, melongo dan merenung jauh ke dalam mataku. Melihat suasana
tersebut, aku memulakan semula pembelajaranku yang terbantut hari itu.
“Saya
tetap tak mahu belajar,” tiba-tiba Beng Heng bersuara lagi sambil gesit
melangkah keluar dari kelas.
“Tunggu
dulu, Beng Heng!” aku cuba menghalang. “Dengar dulu penjelasan saya,”
seboleh-bolehnya aku mahu pelajar itu duduk semula di bangkunya. Tetapi Beng
Heng terlalu tegar. Dia tetap juga keluar sambil menjeling sinis kepadaku.
“Saya
minta maaf, cikgu! Saya telah berkasar dengan cikgu tadi!” Mei Yin tiba-tiba
bersuara. Ada nada sebak yang terbungkus di suara itu membuatkan aku rasa amat
terharu. Lantas sebuah senyuman yang penuh dengan kepuasan aku hadiahkan
kepadanya. Aku berasa amat puas kerana berjaya mengubah pendiriannya.
“Saya
juga begitu, cikgu!” suara Guan Teck pula mencerlus setagal kemudian. “Saya
minta maaf atas kekasaran saya dengan cikgu tadi!”
* * *
Kini sudah empat tahun aku meninggalkan sekolah
jenis kebangsaan Cina tersebut. Sekarang, aku sudah bergelar pensyarah di Institut Pendidikan Guru
Malaysia Kampus Bahasa Melayu (IPGMKBM) di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
Namun, kenangan sewaktu di sekolah jenis kebangsaan Cina itu tetap segar dan
basah dalam ingatan. Dua tahun aku di sekolah tersebut yang terletak di selatan
Semenanjung itu cukup mendewasakan aku sebagai seorang pendidik.
Tok!
Tokk! Tokkk!!!!
Tiba-tiba
pintu bilikku diketuk orang. Aku gesit tersentak dari lamunan singkat. Sejurus
kemudian pintu dikuakkan lebar oleh rakan sejawatku. Aku agak terkesima tatkala
melihat di sisinya seorang remaja berbangsa Cina yang sangat-sangat aku kenal.
Walau lebih empat tahun tidak bertemu namun wajah itu masih erat memeluk
lipatan hatiku.
“Puan
Zulaikha! Errr, ini saya kenalkan Beng Heng. Dia merupakan pelajar baru yang
akan menuntut di sini mendalami bahasa Melayu. Dia sungguh-sungguh ingin
bertemu dengan puan.”
Aku
masih mendiamkan diri sehingga Encik Abdul Rahim menghilang dari bilikku. Aku
merenung wajah remaja Cina tersebut dengan perasaan yang sungguh bangga.
Mulutnya terkumat-kamit, terjeda dan juga kelihatan terkesima seolah-olah ingin
menyatakan sesuatu.
“Sila
duduk, Beng Heng! Saya amat gembira kerana dapat bertemu lagi dengan bekas
pelajar saya suatu ketika dulu!” ujarku seraya tersenyum.
“Saya
amat terhutang budi kepada cikgu,” ujar Beng Heng sewaktu melabuhkan
punggungnya di hadapanku. “Kesedaran yang telah cikgu serapkan ke dalam dada
saya dulu amat berharga sekali. Kalau tidak kerana cikgu dan kesedaran yang
telah cikgu tanamkan dulu, tak mungkin saya berada di IPGMKBM ni
sekarang. Saya berjanji akan menjadi seorang guru bahasa Melayu yang baik
seperti cikgu!”
Aku
tersenyum bangga. Perlahan-lahan aku bangun dan memegang bahunya. Aku lihat air
mata bekas pelajarku itu mengalir perlahan-lahan ke pipi. Aku tersenyum lagi,
lebih bangga kerana cita-citaku untuk melihat pelajarku yang bukan berbangsa
Melayu menjadi guru bahasa Melayu sudah tercapai. Pertemuan ini satu buktinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan