Khamis, 21 Disember 2023

SEDEKAH AWAL PAGI

SMAHADZIR

 

RESTORAN baru dibuka dan Lokman merasa belum waktunya mengeram di bangku meja juruwang yang terpajang dekat pintu utama. Orang yang secara langsung akan berurusan dengan Lokman masih lagi asyik melahap sepiring kuih, nasi lemak, kemudian menghirup secangkir kopi panas, di sudut paling dalam.

Ya, Lokman sedang berkemas sendiri. Membetulkan letak kerusi-kerusi, menyusun aneka macam kuih yang tersedia di atas meja, sembari sesekali memberikan arahan kepada setiap pekerjanya yang kebetulan lalu di sisinya. Dalam pada itu masuk tiga orang pelanggan, yang kelihatannya mahu berjogging pada awal pagi yang cukup cerah itu.

Aizam, pekerja restoran yang sedang menyusun pinggan-pinggan besar berisi makanan di atas rak makanan bergegas meninggalkan pekerjaannya untuk menyongsong kehadiran pelanggan-pelanggan tersebut. Dengan wajah yang berseri Aizam iringkan rombongan itu sehingga ke meja nombor satu.

Bagai telah berunding, ketiga-tiga pelanggan tersebut memilih tempat itu serta mengambil kedudukan mengitari meja. Mereka mengadakan dialog singkat dengan Aizam, dan berakhir setelah salah seorang di antara mereka, yang pakai kaca mata, bersuara: “Roti bakar bubuh mentega dan susu tiga. Teh manis satu, dan nescafee O dua.”

Aizam serta-merta menganggukkan kepala seraya menghadiahkan seulas senyuman khas. Dan dengan suara yang lunak diulanginya pesanan para pelanggan itu, lalu kembali ke tempatnya semula untuk meramu pesanan mereka.

Puas sekali Lokman menyaksikan sikap simpatik yang ditampilkan Aizam. Lokman berfikir, kalau mereka yang membantunya mampu mempertahankan cara-cara yang spesifik itu, dia optimis, usahanya kali ini nescaya akan berjaya sesuai dengan impiannya. Restorannya memang masih di peringkat permulaan. Usianya baru satu setengah bulan lebih kurang. Jadi jelas belum mampu dinilai berjaya, meskipun dari hari ke hari jumlah pelanggan selalu bertambah.

Pelanggan yang bersendirian di pojok sebelah dalam berseru meminta dua butir telur separuh masak. Mali, pekerja yang baru menjengul dari arah dapur terus menimpal, “Yiaapp, telur separuh masak, siap!!!”

Dan dengan penuh keyakinan Mali bertindak gesit, meletakkan piring yang ditenteng, segera mengusahakan apa yang dikehendaki tetamu itu. Sekali lagi Lokman puji penampilan pekerja-pekerja restorannya.

Lokman berjanji dalam hati, takkan melupakan jerih payah mereka. Akan mengambil berat soal kebajikan mereka secukupnya, sesuai dengan jasa yang telah mereka berikan melalui layanan terhadap pelanggan restoran.

 

* * *

 

Lokman baru saja menghenyakkan punggung di bangku meja wang ketika seorang perempuan separuh umur, berpakaian baju kurung agak lusuh, mundar-mandir di halaman restoran. Tidak lama kemudian perempuan tersebut menghampiri pintu masuk restoran. Dia hentakkan kakinya ke lantai hadapan restoran yang dibuat dari marmar kasar, kemudian beberapa lama meneliti telapak kakinya. Barangkali dia bimbang ada kekotoran yang akan mengotorkan ruang hadapan restoran yang baru disapu itu.

Selepas itu perempuan tersebut memerhati seputar kawasan restoran. Lokman mencerlung tunak-tunak ke arah perempuan separuh umur itu dengan penuh tanda tanya. Apakah yang dicari oleh perempuan tersebut? Apakah dia bakal menjadi salah seorang pelanggan restorannya pagi itu?

Tidak lama kemudian perempuan separuh umur itu semakin hampir dan berdiri di hadapan meja Lokman. Selaku peniaga yang selalu berusaha arif Lokman menggangguk sembari tersenyum mesra. Perempuan separuh umur itu membalas meski tidak sehangat caranya. Tetapi maklumlah, ada pepatah mengatakan: pembeli adalah raja!

“Kakak bukannya hendak minum atau makan di sini, dik!” perempuan separuh umur itu berkata sedikit mengejutkan Lokman.

“Ah, tak apa, kak!” balas Lokman. Lokman memang tidak ingin berprasangka buruk terhadap sesiapa pun. Juga kepada perempuan separuh umur itu. Mana tahu perempuan tersebut memerlukan tandas untuk membuang air kecil atau besar.

“Untuk pengetahuan kakak, saya juga gembira hanya dikunjungi atau sekadar mahu berbual-bual. Dengan sesiapa saja, termasuk dengan kakak,” tokok Lokman lagi berdiplomasi.

“Itu sesuatu yang wajar dipuji,” sambut perempuan separuh umur itu. “Kini jarang ada peniaga seperti adik. Mereka memilih diam berbanding berbual dengan pelanggan. Padahal berbual juga ada hikmahnya, betul tak dik? Buat mengurangi tekanan atau, sekurang-kurangnya memperluaskan pergaulan dan memperkukuhkan siraturahmi, kan!”

Lokman belum sempat memuji sanjungan serta buah fikiran yang bernas itu, perempuan separuh umur tersebut kembali bersuara: “Tetapi, kalau tidak makan atau minum, mungkin akan menyusahkan adik, barangkali!”

“Ah, itu perkara kecil..”

“Sebenarnya, kakak mohon sedikit pertolongan dari adik...”

“Err, pertolongan apa yang kakak harap dari orang macam saya? Tetapi percayalah, semampunya pasti akan saya kabulkan.”

“Terima kasih. Err, kakak perlukan wang sekitar lima puluh ringgit, dik! Justeru itu beri kakak apa saja pekerjaan yang mungkin senilai dengan wang sebanyak yang kakak perlukan.”

“Kakak ni bergurau ke?”

“Sama sekali tidak, dik! Kakak betul-betul memerlukan wang sebanyak yang kakak sebutkan tadi.”

“Baiklah,” kata Lokman. Lokman fikir dia tidak perlu tahu kegunaan wang itu bagi perempuan separuh umur tersebut. Tidak ubah dirinya, orang lain tentu tidak suka atau tersinggung andai ditanya hal-hal sensitif yang bersifat peribadi.

Ya, kendati belum lagi pecah telur, namun sekiranya perempuan separuh umur itu benar-benar memerlukan wang, tidak akan mengurangi rasanya bila Lokman sisihkan lima puluh ringgit dari dompet duitnya.

Tiga orang pelanggan yang Lokman harapkan akan membayar buat pertama kali pagi itu belum juga bangun dari tempat duduk masing-masing. Pelanggan-pelanggan itu masih merokok di sudut paling dalam, sedangkan rombongan kedua kelihatan mulai bergerak. Dengan refleks lantas Lokman sediakan kertas memo dan pen. Dan salah seorang di antara mereka, yang bertubuh gemuk pendek, menulis apa yang telah mereka makan.

“Tujuh ringgit empat puluh sen,” ujarnya sejurus kemudian.

Ketiga-tiga pelanggan itu berebut hendak membayar. Dan Lokman menerima selembar wang sepuluh ringgit dari si kaca mata yang kelihatannya begitu bersemangat mahu membelanja kawan-kawannya.

“Oi, ada yang lupa,” sela pelanggan yang tinggi kurus tiba-tiba. “Gudang Garam Surya sebungkus, tambah mancis api sekotak,” lanjutnya.

“Lapan ringgit enam puluh sen.”

“Berapa semua?”

“Enam belas ringgit saja, encik!” jawab Lokman.

Si kaca mata menghulurkan sepuluh ringgit lagi kepada Lokman. Dan Lokman masih mencari-cari wang baki sebanyak empat ringgit ketika si kaca mata menghayun langkah meninggalkan ruang restoran, diikuti kedua-dua kawannya.

“Tunggu, encik!” seru Lokman. “Ini wang bakinya empat ringgit belum diambil!!!!”

“Biarlah. Sedekah untuk kamu pagi ni!” balas si kaca mata tanpa berpaling. Hmm, sungguhpun terselit unsur sombong pada pembawaan si kaca mata, namun bagi Lokman, itu merupakan perbuatan yang baik. Kata orang, bersedekah awal pagi boleh membawa rezeki yang lebih sepanjang hari.

Lokman segera mengucap syukur dalam hati. Ah, tidak ada doa penolak rezeki. Lagipun, memang beginilah hidup dan kehidupan, fikirnya. Tidak terduga. Orang kadang-kadang memberi tanpa diminta.

 

* * *

 

“Begini, kak!” kata Lokman kepada perempuan separuh umur yang masih setia berdiri di hadapan mejanya. Rasanya sudah dua tiga kali Lokman suruh duduk di kerusi, tetapi perempuan separuh umur itu tidak mahu berganjak. “Kakak tidak usah bekerja kalau memang memerlukan wang, berapa tadi?”

“Lima puluh ringgit.”

“Ya, lima puluh ringgit. Kakak tidak perlu kerja untuk itu. Kali ini biar saya bantu kakak,” ujar Lokman sambil meraba dompet di saku belakang seluarnya.

“Jangan begitu, dik!” bantah perempuan separuh umur itu.

“Kenapa?”

“Kerana cara itu akan membuatkan kakak merasa berhutang. Kakak paling tak suka berhutang, lebih-lebih lagi mengemis.”

“Eh?! Ini ikhlas, kak! Jadi jangan dikira berhutang. Lebih-lebih lagi mengemis.”

“Betul. Tetapi masih ramai orang lain yang lebih afdal diberi berbanding kakak. Maaf. Cara itu akan membuatkan kakak merasa bersalah dan berdosa terhadap golongan yang wajib dikasihani itu.”

“Tetapi, mereka tidak memerlukan bantuan saya, kakak!” Lokman berkata lirih seolah-olah kepada dirinya sendiri, seperlahan arus yang beransur-ansur menghanyutkannya ke alam pemikiran yang selama hidupnya paling tidak dia sukai.

Samar-samar, ada yang menyentuh naluri kecurigaannya. Pasti ada apa-apa di sebalik semua ini! Tetapi, apa? Mungkinkah perempuan separuh umur itu ingin menguji Lokman? Atau mempermainkannya? Tetapi, apa kesalahan atau dosa yang telah dilakukannya?

Hatinya berdesir tidak sedap. Perempuan separuh umur itu pasti seorang pelarian. Buruan pihak berkuasa? Atau pesakit hospital jiwa yang lari? Namun Lokman kembali berasa ragu.

Soalnya tidak ada tanda-tanda kejahatan serta kegilaan pada wajah mahupun penampilan perempuan separuh umur itu.

“Memang,” kata perempuan separuh umur itu setagal kemudian. “Tetapi dik, kakak masih ada tenaga untuk melakukan sesuatu demi wang itu.”

Lokman seolah-olah tidak mendengar kalimat yang mencerlus dari bibir perempuan separuh umur tersebut.

Suara berkelontangan dari arah dapur menyebabkan Lokman harus segera ke belakang. Mali didapatinya sedang memungut gayung plastik dan tutup tangki air minum dari lantai. Kemudian, api dapur masak 24 sumbu yang mulai memerah menyita perhatiannya. Lokman segera kecilkan api itu, sedikit. Lokman raba dan memegang tong minyak tanah dekat rak piring, masih banyak. Lokman menyuruh Mali menambah minyak tersebut.

Selepas itu Lokman memeriksa bekas pencucian peralatan dapur. Dan, dicicipinya kemasinan kuah kacang untuk cucur udang.

Sejurus kemudian Lokman mendengar Aizam memanggil namanya di hadapan. Melalui tingkap cermin yang menghubungkan dapur dengan ruang makan restoran Lokman lihat beberapa orang pengunjung sedang celingak-celinguk mencari juruwang.

Aizam berjalan tergopoh-gopoh hendak ke belakang. Dan Lokman masih saja ingin mengarahkan sesuatu kepada Mali sewaktu menyaksikan seorang pengunjung hendak mengeloyor pergi sebelum membayar. Lokman bertindak cepat, mengejar dan memanggil pelanggan itu.

“Kenapa aku mesti menunggu kamu sampai kiamat, ha?!” bentak pelanggan itu, berwajah kesal.

“Maaf, encik! Ada sikit masalah di belakang tadi,” Lokman berusaha tersenyum, mesra.

“Bagaimana, dik?” pertanyaan perempuan separuh umur tadi menghempaskan Lokman kembali ke persoalan yang senantiasa dia hindari dalam hidupnya: pemikiran bermuatan syak wasangka, yang cenderung menggundahgulanakan perasaan.

“Ma... maaf. Maafkan!” bergegas dan gagap Lokman menimpal.

“Apakah kakak juga akan kecewa, seperti di beberapa tempat yang telah kakak pergi?”

“Tunggu!” Kini Lokman menyimpulkan, dia sedang berhadapan dengan seorang perempuan separuh umur yang lain daripada yang lain.

Unik, memiliki sikap, dan menjunjung prinsip yang agak aneh namun patut diteladani anak-anak muda sekarang. “Kakak terima sajalah wang ini. Tak apalah, kak! Saya ikhlas sedekahkan pada kakak. Kerana, pekerjaan apa pula yang layak saya berikan pada kakak.”

Perempuan separuh umur itu termenung sejenak. Seolah-olah memikirkan sesuatu. Dan Lokman makin leluasa mengamati perempuan tersebut. Lokman baru tahu bahawa perempuan separuh umur itu memakai kalung gangsa menyerupai menutup pen berwarna hitam.

Sementara di luar cuaca sudah kian benderang, pagi tiba, sehingga Lokman dapat melihat lebih jelas kereta Avanza berwarna biru metalik yang sejak tadi diletakkan di pinggir jalan di seberang restoran. Tiba-tiba hatinya berdetak.

Pasti! Beberapa orang sedang mengawasinya dengan penuh perhatian dari sebalik cermin kereta itu.

“Baiklah, dik!” akhirnya perempuan separuh umur itu bersuara ringan setelah menerima wang RM50 yang Lokman hulurkan.

“Sesungguhnya kakak ingin tenaga kakak boleh dinilai dengan wang yang kakak perlukan. Tetapi, kakak tidak mahu mengecewakan orang sebaik adik. Sungguh!”

Dan setelah beberapa kali mengucapkan terima kasih kepada Lokman sambil terbongkok-bongkok, perempuan separuh umur itu pun mulai mengatur langkah meninggalkan ruang restoran. Lokman cuma mengangguk nanar. Dan tidak berapa lama kemudian perempuan separuh umur itu menghilang di selekoh jalan.

 

* * *

 

Pelanggan kantin yang makan atau minum pun datang dan pergi silih berganti seperti kelmarin. Namun tetap tidak mengurangi intensiti lintasan bayangan perempuan separuh umur yang datang awal subuh tadi. Kalung gangsanya menyerupai penutup pen warna hitam. Dan Avanza biru metalik yang telah menghilang entah ke mana, yang tadi diletakkan di pinggir jalan di seberang restoran, apakah berisi orang yang memperhatikan dan membidikkan kamera kepadanya?

Ya, ya! Tidak lama lagi perempuan separuh umur dan orang-orang itu akan datang menyalami Lokman, memberi hadiah. Mengkhabarkan bahawa Lokman akan muncul di layar kaca televisyen kerana telah melaksanakan perbuatan mulia, menolong seorang perempuan separuh umur yang sedang kesempitan wang.

Tetapi boleh jadi juga tidak begitu, fikirnya. Boleh jadi saja perempuan separuh umur itu benar-benar memerlukan pertolongan; sedang kesulitan wang. Mungkin kekurangan wang untuk membeli ubat untuk anaknya yang sedang sakit, atau...

Dan Lokman telah menghulurkan tangan kepada orang yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Roti canai satu. Rokok Salem King Size 20 batang sebungkus!” seorang pelanggan yang hendak membayar berkata, gesit membunuh bayangan perempuan separuh umur dan Avanza biru metalik itu dari bergentayangan di minda Lokman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan