SMAHADZIR
“SEMUA orang pasti akan mati. Menemui Al-Khalik! Itu
tidak dapat dinafikan. Tetapi mengapa harus mereka? Mengapa bencana kekejaman itu
harus menimpa negara Islam kita. Negara yang sedang berusaha bangkit dari penindasan
dan ingin bebas merdeka seperti negara lain.”
Ucapan protes itu dalam
beberapa hari terakhir kerap meluncur dari mulut Hambali. Sejak musibah kekejaman
dan pembunuhan menghentam bumi Palestin, dia memang sering berurai air mata.
Setiap kali menyaksikan tayangan televisyen yang menyuguhkan suasana di Tebing
Barat dan Semenanjung Gaza, dia terus tersentuh. Dia tidak tahan melihat mayat
yang bergelimpangan, dia tidak mampu menahan titisan air mata sewaktu tayangan
televisyen memperlihatkan seorang anak meraung di sisi mayat ayah dan ibunya
yang disergap mortar tentera rejim Israel.
Hambali akhir-akhir ini
memang berubah jadi sensitif. Sikap angkuhnya, tidak cakna, yang diperlihatkannya
selama ini, terhadap apapun peristiwa, termasuk urusan pergaulan dengan
lingkungan di tempat tinggalnya, kini boleh dikatakan tiada lagi. Lenyap. Berubah
180 darjah.
“Untuk apa mencari kekayaan
di dunia ini. Ah, dalam sekejap, hanya hitungan minit, semua milik kita itu boleh
hilang sirna tidak berbekas, kita akan dijemput Khalik bila-bila masa saja,”
katanya penuh nasihat.
Sifat angkuh, pilih-pilih
rakan dan jiran tetangga dalam pergaulan yang diperlihatkan Hambali selama ini
hilang entah ke mana. Sikap ramahnya, terhadap sesiapa juga yang dikenalinya
menjadi tanda tanya besar bagi jiran tetangganya.
Meski hampir semua jirannya
juga menyaksikan tayangan televisyen tentang musibah dan segala dampak yang
diakibatkan oleh keganasan tentera Israel terhadap Palestin, Hambali selalu
saja menceritakan apa yang dilihatnya itu kepada para jirannya.
“Kita ini mulai sekarang
harus banyak beramal, membantu antara sesama. Saya benar-benar ngeri melihat
bagaimana bom-bom pemusnah digugurkan dari udara. Menghancurkan rumah-rumah, bangunan,
kereta, dan mengorbankan ramai orang. Ngeri. Ini peringatan Tuhan. Peringatan
bahawa kiamat itu benar adanya, akan datang suatu ketika nati, melumatkan
semesta alam.”
Hambali tidak hanya bercakap,
tetapi juga memberikan bantuan. Dia menyerahkan sumbangan dalam bentuk wang kepada
panitia pengumpul sumbangan untuk diserahkan ke Palestin. Dia juga memberikan
pakaian-pakaian yang masih layak dipakai. Bahkan menghantarnya sendiri ke pusat
bantuan Palestin di pejabat Aman Malaysia.
“Sumbangan itu saya berikan
dengan penuh kerelaaan. Memang begitu seharusnya. Di antara harta, di antara
milik kita ada milik orang lain. Untuk membersihkan harta benda yang kita
miliki, kita harus mengeluarkan hak anak yatim, hak fakir miskin, hak
insan-insan duafa, serta sumbangan sosial untuk masjid dan lainnya,” kata
Hambali penuh semangat. Dia mengakui, soal hak orang lain itu memang pernah tidak
dia endahkan, meski isterinya sering mengingatkan.
“Yang tidak pernah saya
lupakan hanya membayar zakat fitrah, zakat yang harus dibayarkan setiap menjelang
akhir bulan Ramadan, menjelang Hari Raya Idul Fitri,” katanya.
Perubahan luar biasa yang
terjadi pada sikap Hambali menjadi pembicaraan hangat di lingkungannya,
lingkungan taman perumahan tempat tinggalnya. Bahkan beberapa warga di luar
taman perumahan tempat tinggalnya juga mulai mengenali namanya berkat
keaktifannya ikut mengumpulkan sumbangan bagi korban mangsa kekejaman. Hambali
kini memang rajin datang ke pejabat Aman Malaysia, tidak sekadar bercerita
tentang apa yang dia lihat di layar televisyen, tetapi dia juga ikut aktif
membantu menerima sumbangan dari orang ramai.
“Oh.., rupanya orang itu
tinggal di sini juga. Dulunya saya ingat dia hanya penyewa di sini,” kata
Zaman, salah seorang penduduk tetap di taman perumahan tersebut.
Dan ramai jiran, terutama
yang tinggal sebelah menyebelah rumah dengan Hambali selama ini memang tidak
menganggap lelaki tinggi besar itu seorang yang berhati mulia. Tak seorang pun
di taman perumahan tempat tinggalnya itu yang mahu bertegur sapa dengan
kakitangan sebuah jabatan kerajaan itu.
“Seperti dia seorang saja
yang hidup di atas muka bumi ini. Angkuh. Kalau berjalan bahu diangkat tinggi,
tidak pernah mahu tegur orang,” kata Ramli, salah seorang jirannya.
“Saya sangat hairan, kenapa
dia mampu berubah total,” kata Pak Nordin, tetangga lainnya.
* * *
Gopoh. Demikian dia dipanggil. Meski telah memasuki usia
separuh baya, dalam kalangan para remaja dia amat populer, terutama remaja lelaki,
kerana lelaki ini memang sering bergaul dengan remaja. Sebenarnya dia adalah seorang
jurulatih bola sepak. Hampir setiap hari, Tuan Gopoh - sesuai dengan cara bercakap
dan jalannya yang selalu tergopoh-gapah sewaktu berada di padang. Pagi melatih
kanak-kanak yang dia sebut sebagai anak sekolah rendah, tengah hari melatih
remaja usia tanggung yang rata-rata duduk di bangku sekolah menengah, dan
petangnya melatih para belia kampung.
Berkulit hitam legam, kerana
selalu berjemur di padang, dengan tubuh gempal dan tinggi semampai, penampilan
Gopoh sebagai pelatih cukup meyakinkan. Dalam kalangan anak didiknya dia sering
dijuluki sebagai Berti Vogts, bekas jurulatih pasukan kebangsaan Jerman. Gopoh
dan Vogts memang memiliki kemiripan.
Bezanya Berti Vogts berkulit
putih, Gopoh berkulit hitam. Berti Vogts sering memperlihatkan wajah garang, manakala
Gopoh pula lebih sering kelihatan ceria. Dan meski hanya jurulatih kelas kampung,
Bang Gopoh - demikian dia sering dipanggil anak didiknya - selalu memperhatikan
penampilan yang bergaya.
Meski berpendapatan setakat
cukup makan, Gopoh selalu tampil rapi. Di luar padang, pakaiannya selalu kemas,
diseterika licin. Dia sering tampil dengan baju lengan panjang dan seluar gelap.
Tetapi di padang, dia hampir tidak pernah lepas dari training suit.
Dengan wisel terkalung di leher, didampingi satu atau dua pembantunya, dia
kelihatan penuh wibawa. Instruksinya begitu diperhatikan anak-anak didiknya.
Tetapi itu ketika latihan atau pertandingan, di luar padang dia berubah penuh
canda.
Inilah yang membuatkan para
pemain bola tidak pernah bosan, lebih-lebih lagi tertekan, dalam mengikuti
latihan dan pertandingan.
Tetapi itu dulu. Kini,
bahkan dalam beberapa minggu terakhir Gopoh hampir tidak pernah lagi muncul di
padang, baik ketika latihan mahupun pertandingan. Anak-anak didiknya, seperti telah
kehilangan ghairah. Dua pembantu Gopoh yang diserahkan tugas membentuk para
pemain yang ada, sama ada kanak-kanak sekolah rendah, pemain remaja, dan kelompok
belia, bagaikan kurang wibawa. Hasilnya dalam beberapa pertandingan terakhir,
pasukan yang tadinya hampir tidak putus meraih kemenangan demi kemenangan,
akhir-akhir ini jadi bulian.
Ramai orang bertanya-tanya.
Bahkan Pak Camat yang tadinya amat bangga dengan pasukan asuhan Gopoh,
akhir-akhir ini juga jarang muncul di arena pertandingan. Ada apa dengan Gopoh
sebenarnya? Ke mana dia?
Persoalan yang dilontarkan
Pak Sukimin, Ketua Kampung ini, bukan sekali dua kali mencuat. Ramai orang sebelumnya
juga mengajukan persoalan yang serupa. Tetapi makin ramai yang bertanya, seperti
jawapan yang diinginkan makin jauh. Tak seorang pun tahu ke mana ghaibnya
Gopoh.
“Apakah kamu sudah tanya Pak
Camat?” tanya Alip pada Yamin, salah seorang pembantu jurulatih yang selama ini
rajin mendampingi Gopoh di padang.
Pak Alip, penyumbang tetap
kelab bola sepak kampung itu memang tidak habis fikir apa mahunya Gopoh
sebenarnya.
“Apa lagi yang kurang. Semua
keperluan sudah tersedia. Bola masih banyak, padang ada. Dan sebagai jurulatih
kampung, rasanya apa yang diterima Gopoh lebih dari cukup. Kamu berdua juga
kan!?” katanya lagi.
Kata-kata Pak Alip di hadapan
pengurus bola sepak kampung, dua pembantu jurulatih, serta Ketua Kampung, di
dewan masyarakat, tidak jauh dari pejabat ketua kampung itu membuatkan semua
yang hadir mengerutkan dahi.
“Habis, sekarang kita nak buat
apa?”
Sewaktu semua orang tidak
habis fikir itulah, sewaktu semuanya ingin tahu alasan Gopoh meninggalkan
kampung tanpa sebab, tanpa seorang pun tahu ke mana dia pergi, pada saat itulah
Mukmin, setiausaha belia datang sambil tersenyum-senyum. Jelas saja
kehadirannya mengundang persoalan.
“Mahu tahu tentang Gopoh
kan?” katanya bersahaja.
Semua bereaksi sama, ingin
mendapat jawapan segera. Semua seperti tidak sabar menunggu, tidak seorang pun
yang ingin tutup telinga.
“Gopoh ada di Tebing Gaza, di
Palestin. Tadi dia menelefon Pak Camat, memberitahu yang dia telah menjadi
salah seorang sukarelawan Aman Malaysia di sana. Mungkin bulan depan dia akan
pulang ke sini,” kata Mukmin.
Semua kelihatan lega. Semua
memiliki fikiran sama, pasukan bola sepak kampung akan kembali bersemangat. Tetapi
itu terjadi dua minggu lalu. Kini orang ramai yang mengenali Gopoh kembali
dihenyak tanda tanya.
“Gopoh selamat ke tidak ya!”
kata Sawabi.
Tak seorang pun dapat menduga.
Tak seorang pun yakin mampu meminta maklumat dari mana. Gopoh, entah siapa nama
sebenarnya, hanya beberapa orang saja yang tahu, di mana dia pernah akrab,
tinggal, diperlukan kerana memiliki kebolehan di bidang sukan.
“Mudah-mudahan dia selamat.
Dia orang baik, dia tidak pernah menyusahkan orang lain,” kata Pak Dawi.
Tak seorang pun menimpali.
Diam, sunyi. Semua seperti menyedari, sukar berharap, kerana dari berbagai
tayangan televisyen, dari berbagai pemberitaan akhbar dan radio, Tebing Barat hampir
ranap dilanyak bom-bom pemusnah tentera Israel. Tetapi semua, dalam hati
masing-masing, berharap keajaiban terjadi.
“Gopoh...” kata Pak Selamat,
kemudian dia diam tanpa meneruskan apa maksudnya.
“Itulah asrar-Nya, rahsia
Tuhan!” Pak Shuib yang sejak tadi diam seribu bahasa ikut buka bicara.
“Jangan suka berprasangka.
Jangan menuduh masyarakat di sana telah banyak dosa, lalu Tuhan marah. Mereka
yang terkorban dalam kekejaman tentera Israel itu semuanya mati syahid,
insya-Allah! Mereka terus masuk syurga, dengan rahmat-Nya…”
Wajah Pak Shuib jelas tegang.
Tak seorang pun ingin menyela. Semua diam. Hambali juga tidak ingin menimpali.
Padahal dari tadi Hambali paling banyak bicara. Pak Selamat, jiran sebelah
rumah Pak Shuib juga diam. Semuanya seperti ingin mendengar kata-kata Pak Shuib
berikutnya, sejak kekejaman di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza terjadi.
Sejak serangan bertubi-tubi
tentera Israel menghancurkan dua wilayah itu, Pak Shuib memang jarang bercakap.
Dia yang sebelumnya terkenal ceria, sejak kejadian itu berubah drastik,
melankolik. Pak Shuib wajar terpukul, kerana anak saudaranya seorang doktor
sukarela yang bekerja di sana turut terkorban dalam serangan itu.
“Mereka itu… semua mati syahid,
insya-Allah..” lalu matanya berkaca-kaca. Air matanya pun menitis perlahan. “Apa
kurangnya Gopoh. Dia santun, baik, taat beribadah, tetapi nyata dia juga jadi
korban,” katanya sambil menyeka air mata dengan lengan bajunya. Semua yang ada
di situ seperti mengamini kata-kata Pak Shuib.
“Saya yakin ramai lagi orang
seperti Gopoh yang ikut jadi korban. Saya juga yakin ramai saudara orang lainnya
yang terkorban, seperti Dr Kamal, anak saudara Pak Shuib itu,” kata Pak Selamat.
Pak Shuib terdiam, yang
lainnya juga. Sunyi sekejap, tetapi kemudian Pak Aris memecah keheningan.
“Tetapi kenapa kekejaman itu harus terjadi di Palestin. Kenapa tidak di tempat
lain?”
“Ya, kenapa Tuhan tidak
membunuh saja para pengganas macam Amerika? Kenapa Tuhan tidak menghabisi para
pembunuh macam Israel?” soal Pak Bani menimpali.
“Kenapa di negara yang sudah
tertindas, di negara yang banyak rakyatnya menderita kerana kemiskinan, kenapa
di negara yang ramai umat Islam, negeri para ambia. Kenapa?” kata Makmun, ketua
belia yang sejak tadi hanya diam. “Apakah itu juga asrar-Nya, rahsia Tuhan?”
tokoknya lagi.
Pak Shuib yang dipandangnya
tidak memberikan sebarang reaksi. Tak ada jawapan.
“Mudah-mudahan bantuan yang
mengalir untuk Palestin, untuk membina semula Tebing Barat, Semenanjung Gaza
dan rakyatnya benar-benar mampu dinikmati umat Islam di sana. Mudah-mudahan
tidak diselewengkan. Tidak dimakan oleh tikus-tikus bertali leher,” kata Pak
Razak.
Kemudian hening. Semua mata
tertuju ke layar televisyen di pojok ruang pejabat ketua kampung, yang sedang
menyiarkan warta berita. Satu sama lainnya saling berpandangan sesama sendiri ketika
seorang tokoh yang pernah dihadapkan ke mahkamah kerana kes penyelewengan wang
bantuan rakyat sedang memberi penjelasan, menyatakan sedia membantu rakyat
Palestin, menyatakan perang terhadap rejim Israel.
“Bukankah dia yang pernah
dipenjara, kemudian dibebaskan. Boleh ke? Boleh ke dia jadi pembela dan
pembanteras penyelewengan? Bukankah dia pernah menyelewengkan wang bantuan
untuk rakyat dulu? Barangkali ini juga asrar-Nya, rahsia Tuhan… dia sudah
bertaubat…”
Hening. Tak seorang pun
ingin bersuara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan