SMAHADZIR
Pagi masih berkabus. Cahaya matahari belum lagi
tertebar luas malah masih menyelit di celah dedaun lalu membentuk jaluran suam
ke bumi. Unggas-unggas hutan berceridau bebas dan mulai berterbangan
bersimpang-siur untuk mencari rezeki kurniaan Tuhan.
Warung
kopi Pak Ca pagi itu agak sepi. Di sebuah meja panjang mengadap ke arah jalan
raya, duduk Junuh dan Semaun. Kedua-dua sahabat baik itu begitu asyik sekali
menjamah sarapan pagi. Dua cawan kopi keras dan beberapa biji karipap di dalam
piring kecil di hadapan, ditatap berselera. Radio yang diputarkan Pak Ca
bersenandung lagu Bahasa Jiwa Bangsa. Sesekali jari jemari Junuh
mengetuk muka meja mengikut rentak lagu yang berkumandang. Semaun pula kadang-kadang
terangguk-angguk sambil kaki di bawah meja bergoyang-goyang.
Hari
masih pagi lagi. Kabus sejuk menyelubungi suasana di sekitar. Jalan di hadapan
warung sibuk sekali. Warga Kampung Bemban bergegas mengejar masa sendiri untuk
menggarap punca rezeki masing-masing.
Sebuah
kenderaan usang beroda dua tiba-tiba berkeriut dan berhenti betul-betul di
depan warung. Macam semalam juga. Pemandunya terhegeh-hegeh turun dengan
bergaya sekali masuk ke dalam warung dan terus melabuhkan punggungnya di sisi
Junuh. Junuh bagaikan kurang senang seraya melirik wajah Semaun. Sambil mengengsot
sedikit punggungnya menghampiri Semaun, mata dikejitkan. Kemudiannya
masing-masing tersengih lebar.
“Selamat
pagi, Tok Lebam!” sapa Pak Ca sewaktu tertancap pemandu kenderaan usang itu di
sebelah Junuh. “Tok nak minum apa pagi ni?” soalnya pula.
“Minuman
yang keras ada?” tanya Tok Lebam.
“Hish,
minuman keras mana boleh minum, tok? Haram hukumnya!!” sampuk Semaun.
“Siapa
kata minuman yang keras tak boleh minum?” jegil mata Tok Lebam kurang senang.
“Minuman yang keras tu maksud aku air batu. Kenapa haram, kenapa tak boleh
diminum pula?”
Termonyeh-monyeh
Semaun dibuatnya.
“Oooo,
jadi tok nak minum minuman yang ada aislah?” tanya Pak Ca.
“Yalah!
Aku nak minum milo ais gelas besar!” ujar Tok Lebam seraya mengipas-ngipas
badannya dengan kain tuala lasam yang diuraikan dari belitan di kepalanya.
“Aik?
Pagi-pagi limunpun panas?” Junuh pula bersuara.
“Kalau
tubuh kita sihat walafiat, bila-bila masapun badan akan terasa panas dan berpeluh!”
jawab Tok Lebam.
Junuh
menggeleng pendek. Semaun terkerisin besar menyerlahkan gigi karatnya dek tembakau
kasi kerana rakannya turut jadi mangsa kepetahan Tok Lebam.
“Tok
memang macam seorang Sasterawan Negara la!” tiba-tiba Pak Ca bersuara lagi.
Ketika itu pelanggan di warungnya sudah semakin ramai. Meja di bahagian depan
kaunter bayaran sudah penuh sementara beberapa orang lagi sedang berdiri
menunggu pesanan dibungkus untuk dibawa pulang.
“Betul
kata Pak Ca tu, tok!” sambung Semaun seraya tersengih. “Kepetahan tok berbahasa
memang tak boleh ditandingi di kampung ni. Tok bijak dan memang pakar bahasa
dan layak jadi Sasterawan Negara!”
Tok
Lebam sedikitpun tidak tersenyum dengan pujian yang dilemparkan oleh Semaun.
Dia tahu, pemuda itu seolah-olah menyinisnya. Junuh segera melirik wajah Semaun
yang sekadar terkebil-kebil kerana tiada sebarang respon balas dari Tok Lebam.
Sejurus kemudian dia tersenyum geli hati.
“Hei,
kenapa kamu tersenyum-senyum macam kambing jantan tu?” Tok Lebam terkesan senyuman
Junuh lalu pantas bertanya. “Kamu ingat aku tak faham kenapa kamu senyum? Oooo,
kamu perli aku ye? Kamu sinis aku ye? Kamu ingat aku ni apa?”
Junuh
terkesima dan mulai berdebar melihat mata Tok Lebam yang jelas merah kurang
senang. Dia bimbang kemarahan orang tua tiga suku abad itu meledak lagi.
“Apa,
kamu semua ingat aku ni tak layak jadi Sasterawan Negara ke? Orang tua yang pandai
berbahasa macam aku ni tak layak jadi Sasterawan Negara?” suara Tok Lebam
mencerlus lagi.
Semua
tetamu warung Pak Ca segera memandang ke arahnya. Masing-masing menggeleng dan
tersenyum-senyum. Mereka tahu, Tok Lebam memang begitu. Di mana saja suka
bercakap pasal bahasa. Tidak kira dengan siapa - orang tua, orang muda,
kanak-kanak kecil, orang perempuan hatta dengan kambing atau ayam itik
sekalipun.
Pernah
ayam milik Lebai Soud di kepala simpang dipulas tengkok hidup-hidup kerana
tidak mahu menjawab pertanyaannya. Pernah juga anak kambing Pak Su Dollah
dicampak ke dalam tong sampah kerana tak mahu menjawab soalannya dalam bahasa
Melayu.
Nasib
baiklah, setakat ini belum ada lagi orang-orang kampung yang menjadi mangsa
kemarahannya yang keterlaluan atau mencederakan sesiapa.
Junuh
masih diam. Kopi keras di dalam cawan perlahan-lahan ditogok. Semaun juga
begitu. Habis karipap di dalam piring, ketayap dari meja sebelah pula dicapai
lalu dikunyah rakus. Berselera sungguh menjamah kuih buatan tangan Munah Janda
itu.
Mata
Tok Lebam masih melekat ke muka Junuh di sisinya. Merah berkaca. Semaun pula
bagaikan pacat terkena abu. Gelisah dan resah kebimbangan. Dia tidak mahu lagi kejadian
yang sama berulang. Di warung ini juga minggu lepas. Gara-gara mulut gatal Junuh
menafikan kelayakan Tok Lebam sebagai seorang Sasterawan Negara, akibatnya dua
biji pinggan berisi mi rebus melayang hinggap ke mukanya. Ternonong-nonong dia
mencari baldi air kerana matanya dimasuki kuah pedas mi rebus itu.
Kalau
ikut rasa hati, mahu Tok Lebam itu dibelasahnya dengan kayu beluti. Tetapi,
mereka berdua atau sesiapa saja di kampung itu tidak mampu berbuat apa-apa. Undang-undang
yang ada tidak dapat menahan Tok Lebam. Orang tua itu seolah-olah lebih
berkuasa mengatasi segala undang-undang. Kedudukannya ditakuti, dilindungi dan
dihormati oleh undang-undang. Silap-silap haribulan, dia dan Junuh pula yang
akan dipersalahkan. Ini yang kadangkala menakutkan warga Kampung Bemban.
“Kalau
aku jadi Sasterawan Negara, aku akan mertabatkan bahasa Melayu kita ke puncak
dunia!” Tiba-tiba Tok Lebam memulakan ucapannya pagi itu.
Pak
Ca gesit menggeleng. “Biarkan dia!” ujarnya memberi amaran kepada semua yang
ada. “Biarkan dia bercakap, jangan dibangkang atau disangkal. Nanti ada yang
makan cawan dan piring!”
Semua
tersenyum dan ada juga yang terus angkat kaki dari situ kerana tidak mahu
terlibat jika ada sesuatu yang terjadi nanti. Namun, ramai juga yang semakin
mendekat untuk melihat telatah Tok Lebam yang dirasakan lebih menghiburkan dari
telatah Maharaja Lawak dalam televisyen.
“Orang
bijak berbahasa macam aku, memang layak jadi seorang Sasterawan Negara!” suara
Tok Lebam bergema lagi, semakin bersemangat kala dilihatnya orang ramai
seolah-olah tertarik dengannya. “Tapi, kamu semuanya buta, semuanya tongong! Kamu
semua tak nampak permata depan mata. Akulah permata itu. Akulah tokoh yang
boleh dianggap macam sebutir permata di perlimbahan!”
Semua
yang ada di warung Pak Ca tersenyum-senyum. Mereka tahu, kata-kata yang keluar
dari mulut Tok Lebam sebentar tadi adalah kata-kata yang sama seperti semalam,
seperti dua hari semalam atau hari-hari sebelum itu. Tok Lebam memang gemar
mengulangi kata-kata yang sama di mana-mana saja. Namun begitu, tidak pula
menimbulkan jelak di hati mereka untuk mendengar lagi hari ini.
Sebenarnya,
Tok Lebam memang petah bercakap. Bekas guru bahasa Melayu itu bukan
calang-calang orang untuk diajak berdebat soal bahasa. Semua dia tahu, semua
dalam kepalanya. Malah dia bertambah-tambah petah sejak ditinggalkan oleh
isteri-isterinya. Dan kata-katanya akan bertukar menjadi maki hamun jika
sekiranya dia diungkit kisah lama bersama isteri-isterinya dulu. Itu semua warga
Kampung Bemban tahu.
Sebab
itulah, apabila ingin melihat Tok Lebam mengamuk, soal isteri-isterinya
dibangkitkan. Tok Lebam semakin bersemangat dengan sorak-sorai yang bergema.
Dia merasakan seolah-olah sorak-sorakan itu ditujukan kepadanya sebagai perangsang
untuk meneruskan perjuangan.
“Apa
lagi alasan kamu untuk tidak mahu melantik aku jadi Sasterawan Negara?” soal
Tok Lebam lagi beberapa jenak kemudian sambil melirik wajah Semaun.
“Kami
bukan tak mahu lantik tok jadi Sasterawan Negara tapi, jawatan kosong sebagai Sasterawan
Negara dah tak ada, tok!” jawab Semaun bersahaja.
“Semuanya
dah diisi oleh sasterawan yang lebih layak!” tokok pula Junuh.
“Kerana
mereka layak, mereka telah dilantik jadi Sasterawan Negara!” Man Janggut di
sisi Lah Misai turut tumpang sekaki.
Mata
Tok Lebam mulai merah. Ramai benar menafikan kelayakannya. Namun dia masih
mendiamkan diri seolah-olah mencari jawapan yang sesuai untuk diketengahkan.
Sejenak berkelintar menyeluruhi tetamu warung Pak Ca.
Di
luar warung, hari sudah cerah. Matahari sudah memancarkan cahaya panasnya ke
seluruh juzuk Kampung Bemban. Simpang siur warga kampung di jalan raya sudah
lengang dan diganti pula oleh deruan pelbagai jenis kenderaan.
“Tok,
nak tambah air lagi?” tiba-tiba Pak Ca bertanya.
“Tak
payah, aku tak haus!” ujar Tok Lebam keras. “Percayalah…. kalau aku jadi Sasterawan
Negara, aku akan minta kerajaan letakkan bahasa Melayu di tempat yang atas
sekali, aku akan minta kerajaan betulkan semua papan tanda, nak kerja di
pejabat kerajaan atau swasta mesti lulus dan boleh bercakap bahasa Melayu
dengan betul dan nak masuk universiti pun mesti lulus bahasa Melayu,”
“Sungguh
hebat, tok!” satu suara tiba-tiba mencelah. Entah dari siapa.
Tok Lebam kian bersemangat. “Itu tak hebat mana
jika mahu dibandingkan dengan yang ini!” ujarnya. “Ha… kalau aku jadi Sasterawan
Negara, aku nak semua pemimpin mesti pandai berbahasa Melayu sebelum masuk
bertanding jadi YB. Tak pandai berbahasa Melayu dengan fasih tak boleh jadi YB.
Semua warga negara pun mesti fasih berbahasa Melayu, kalau tak fasih berbahasa
Melayu tak boleh jadi warga negara Malaysia!”
“Tapi,
tok tak layak jadi Sasterawan Negara. Nak jadi Sasterawan Negara bukan saja mesti
pandai jaga bahasa tapi juga mesti pandai jaga isteri,” Junuh tiba-tiba
menempelak. Dia seolah-olah mahukan supaya sesi itu cepat selesai kerana kalau
mahu diikutkan telatah Tok Lebam itu, sampai ke malampun tak akan tamat.
Wajah
Tok Lebam gesit berubah, pudar dan jerau mendadak. Jelas dia kurang senang bila
diungkitkan perkara itu.
“Jawablah
tok, kenapa bini-bini tok dulu lari meninggalkan tok?” Junuh semakin galak
menyiram minyak ke dalam api. Semaun terteguk-teguk air liur.
“Apa
boleh buat, mereka dah jadi bini orang lain!” ujar Tok Lebam agak lirih dan
mendatar. “Empat orang bini aku dah menceraikan aku. Mereka memang tak patut. Mereka
tu bodoh dan bangang. Kalau mereka tak menceraikan aku, dah tentu hidup mereka
sekarang senang lenang. Aku ni seorang Sasterawan Negara yang hebat dan
berkuasa!”
“Apa
buktinya tok hebat dan berkuasa?” tanya Junuh lagi.
“Ha,
tengok! Aku boleh menyanyi! Siapa boleh halang aku menyanyi, siapa boleh
marahkan aku. Ini menunjukkan aku berkuasa dan hebat! Aku memang hebat!”
Sejurus
kemudian Tok Lebampun terus menyanyi sambil menari-nari. Lagu Bahasa Jiwa
Bangsa versi lama, kemudian beralih pula ke lagu R Azmi. Bercampur baur
tidak ketahuan butir kalimat. Begitu gembira sekali dia.
Tiba-tiba
matanya merah. Serentak juga cawan kopi di depannya di hempas ke muka meja.
Meja di hadapannya gesit diangkat dan disorongkan ke depan lagi. Semaun yang
berada di situ terlentang menghempap dinding. Tetamu warung Pak Ca yang lain
segera bercempera meninggalkan warung.
“Kamu
memang cari fasal, Junuh!” marah Pak Ca tatkala melihat keadaan kerusi dan meja
di dalam warungnya yang berselerak di sana sini.
Junuh
hanya mendiamkan diri.
“Sudahlah
tok!” tiba-tiba seorang lelaki berpakaian lengkap pegawai polis separuh memujuk
meluru mendekati Tok Lebam. “Negara kita dah ada Sasterawan Negara yang lebih
berkelibar, yang lebih layak dapat gelaran tu!”
“Aku
tak peduli!!” bantah Tok Lebam gerah. “Aku nak jadi Sasterawan Negara juga!!!”
“Kalau
tok nak jadi juga Sasterawan Negara, ayuh ikut saya!” pelawa pegawai polis itu
seraya tersenyum.
“Ke
mana?” tanya Tok Lebam ingin tahu.
“Tanjung
Rambutan!” jawab pegawai polis itu. “Di sana ada jawatan Sasterawan Negara untuk
tok!”
Tok
Lebam tersengih lebar. Tangannya segera dicapai oleh dua orang lagi anggota
polis lalu dibawa ke sebuah land rover
biru gelap yang sudah tercegat megah di sisi basikal tua miliknya di luar
warung.
Sewaktu
menjejakkan kakinya ke dalam land rover
itu, Tok Lebam menyanyi lagi. Sebuah lagu Hindustan. Kemudian tersengih,
menyerlahkan gigi kuningnya yang sudah banyak berkarat dan rongak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan