Selasa, 26 Disember 2023

BILA SENJA BERLABUH

SMAHADZIR

 

RASA takutku kepada malam bermula sejak kecil lagi. Kebetulan aku hidup di sebuah kampung serba dhaif, serba kekurangan dan jauh dari proses modenisasi kota. Kampungku tidak mempunyai bekalan elektrik yang membuatkan suasana malam akan lebih menyeramkan.

          Waktu malam dirasakan suatu ketika yang cukup merimaskan, gelisah, resah, terkurung, terbelenggu dan sebagainya di mana aku tidak dapat bergerak bebas baik di dalam rumah apalagi di halaman. Aku tidak dapat bermain-main dengan rakan-rakan sebaya terutamanya ‘menggetah’ burung yang amat kugemari itu.

          Pelita minyak tanah yang dipasang di rumahku hanya berupaya menerangkan satu kawasan kecil saja. Ini membuatkan keadaan menjadi temaram, kusam, kelam dan biji mataku nyalar saja ditipu oleh pelbagai bayangan rupa hodoh dan menakutkan kepunyaan hantu yang bersembunyi sebalik pintu, tiang, almari, dapur, di bawah pangkin, katil, dalam bilik tidur dan sebagainya.

          Boleh dikatakan, aku amat takut walaupun disuruh oleh ayah atau ibu ke dapur untuk mengambil sesuatu. Ketika itu seluruh tubuhku akan menggigil kerana merasakan seolah-olah ada hantu yang berada di sampingku walau ke mana aku pergi.

          Kala tidur pula, aku akan mencari ruang di celah-celah ketiak ibu atau ayah biarpun adik kecilku sering merengek kerana kebebasannya terganggu. Aku tidak pedulikan itu semua. Yang penting aku dapat tidur di sisi ayah atau ibu kerana takutkan hantu malam.

          Setelah aku akil baligh, perasaan seram dan geman kepada malam masih melepa erat kendatipun tidak sehebat waktu masih kecil. Aku mencari-cari sebab kenapa aku menjadi takut dan seram kepada malam sedangkan sejak kecil aku tidak pernah bertemu atau terserempak dengan apa-apa lembaga pada waktu tersebut.

          Aku tidak pernah bertemu dengan sebarang hantu yang amat kutakuti itu. Aku juga tidak pernah terkelih sebarang kelibat yang menggerunkan. Aku terfikir sendiri, apakah kerana mainan perasaan yang sememangnya takut lantaran nyalar ditakut-takutkan oleh ayah, ibu dan orang-orang kampung lain dengan omongan seperti iblis, syaitan, hantu, polong, pelesit, hantu raya, jerangkong, langsuir dan sebagainya?

          “Ya!” kata ayah. “Makhluk-makhluk halus itu dari golongan jin jahat lagi merosakkan.”

          “Err, bagaimana ayah tahu?” soalku.

          “Hadis Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan, dari Jabir bin Abdullah. Beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Matikanlah lampu-lampu itu pada malam hari ketika kalian tidur. Tutuplah pintu-pintu, ikatlah mulut-mulut geriba, tutuplah makanan dan minuman,” jelas ayah memulakan mukadimah penceritaannya.

          Aku mengangguk dan mendengar dengan teliti.

          “Dalam sebuah riwayat lain, ditambahkan, “Peluklah bayi-bayi kalian pada waktu tengah hari kerana jin berkeliaran dan menyambar pada waktu tersebut,” jelas ayah.

          Sejurus kemudian ayahpun menerangkan bahawa dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW telah memerintahkan kita melakukan lima perkara sebelum menutup hari dengan tidur. Ini sebuah langkah antisipasi demi mengelakkan dari berlakunya kemaslahatan terhadap diri dan keluarga. Lima perkara tersebut sekiranya dilaksanakan, akan menjauhkan kita dari sebarang musibah lebih-lebih lagi kala sedang nyenyak atau sewaktu usai tidur.

          “Apakah lima perkara yang Junjungan arahkan supaya perlu kita laksanakan itu, ayah?” soalku ingin tahu.

          “Pertama: padamkan semua lampu,” jelas ayah.

          “Kenapa?” tanyaku dengan dahi berkerut. “Kenapa kita perlu tutup semua lampu sewaktu hendak tidur?”

          “Barangkali ada antara kita yang suka atau selesa tidur dalam suasana terang-benderang,” jelas ayah. “Kalau tidur dalam suasana gelap gelita, diri akan berasa tak selesa, lemas atau rimas. Ada yang berasa macam tidur dalam gua. Ada yang berasa nafas mereka tak senormal ghalib. Namun, alangkah baiknya kalau semua ruang dalam rumah kita dalam keadaan off. Biar keadaan gelap-gelemat atau biar dalam keadaan gelintin pekat setiap juzuk. Sekiranya terang-benderang, akan lebih memudahkan sese-orang yang berniat jahat jadi tambah tertarik setelah menyaksikan kekayaan yang begitu menggoda nafsu mata mereka.”

          “Kita ni orang miskin, ayah!” tukasku mencegatkan hakikat kehidupan kami. “Mana ada harta kekayaan yang mampu menarik minat orang jahat?”

          Ayah tersenyum nipis. “Orang jahat tak semestinya berniat nakkan harta kekayaan saja. Mereka bukan sekadar nak mencuri atau menyamun saja. Kamu mesti ingat itu.”

          “Habis, apa yang mereka mahukan lagi ayah?” soalku.

          “Boleh jadi mereka ada niat nak merogol atau membunuh?” ujar ayah agak tegas dan waras. “Kalau melihat seseorang tu sedang tidur dalam keadaan yang boleh membangkitkan nafsu syahwat mereka terutamanya orang perempuan, tentulah mereka akan menceroboh masuk ke dalam rumah untuk melunaskan niat jahat mereka. Selepas itu, mereka akan membunuh pula kerana takut rahsia mereka terbongkar yang boleh menyebabkan mereka dibawa ke muka pengadilan untuk menerima hukuman dari perbuatan yang telah mereka laksanakan.”

          “Benar juga kata ayah,” ujarku mulai faham. “Lagi?”

          Ayah tersenyum senang. “Kedua: tutup pintu,” ujarnya. “Meskipun kita sangat letih atau ada pembantu rumah yang boleh diharap untuk melakukan kerja-kerja itu, kita tetap juga mesti memeriksa setiap pintu dan tingkap sebelum tidur supaya tertutup dan dikunci rapi.”

          “Kenapa ayah?”

          “Selain mengantisipasi datang atau masuknya orang-orang jahat yang akan merugikan kita seperti yang telah ayah jelaskan tadi, juga untuk menjaga kemungkinan masuknya binatang-binatang berbisa seperti ular, kala jengking, lipan dan sebagainya ke dalam rumah. Binatang-binatang ini kalau sudah menggigit, boleh membawa maut kalau lambat diberi rawatan,” ujar ayah.

          Aku sekadar mengangguk.

          “Yang ketiga dan keempat pula, kita mesti menutup teko, mengikat geriba atau menudung semua mangkuk, pinggan, gelas, cawan, periuk, belanga atau bekas-bekas lain yang berisi makanan serta minuman,” tegas ayah.

          “Kenapa kita harus berbuat begitu?” soalku tak dapat ditahan-tahan.

          “Sebabnya, sewaktu kita sedang tidur nyenyak, itulah waktu paling selesa bagi tikus, cicak, lipas, kelkatu atau serangga-serangga lain melaksanakan tugas mereka terutamanya di dapur. Jadi, dengan menutup semua bekas tersebut, tak dapatlah serangga-serangga tu hinggap, jilat, pijak, merayap dan meninggalkan kuman yang boleh membawa penyakit atas makanan atau minuman kita. Serangga-serangga ni sangat kotor. Kaki mereka dipenuhi pelbagai kuman atau virus pembawa penyakit. Kita harus berjaga-jaga supaya mereka tak membiakkan kuman-kuman berpenyakit tu dalam makanan kita.”

          “Yang kelima pula ayah?”

          “Yang kelima, kita mesti melindungi setiap ahli keluarga kita dari sebarang bahaya malam,” ujar ayah.

          “Maksudnya?”

          “Maksudnya, kanak-kanak kecil macam kamu ni jangan dibiarkan terlalu bebas terutama jika hendak berkeliaran pada waktu malam.”

          “Kenapa pula tak boleh?”

          “Malam terlalu banyak mengundang bahaya yang tidak terjangkakan,” tegas ayah. “Tambahan kanak-kanak kecil macam kamu ni masih belum mampu menduga apalagi nak menjaga diri sendiri atau mengelakkan diri daripada musibah yang mungkin diwujudkan oleh bahaya-bahaya tersebut.”

          “Contohnya, ayah?”

          “Contohnya, jika kamu berkeliaran pada waktu malam, berkemungkinan besar kaki kamu akan tersandung akar kayu, tunggul-tunggul kayu, batu-batu di jalan, terpelosok ke dalam lubang, tersepak kepala atau badan ular yang berbisa, terpijak kala jengking atau juga tersentuh lipan yang bisanya boleh membawa maut dalam sekelip mata.”

          Aku mengangguk-angguk faham. Dengan penerangan ayah itu, jelaslah kepadaku betapa larangan ayah ibu supaya tidak berkeliaran pada waktu malam mempunyai banyak kebaikan tersirat kendatipun objek-objek yang digunakan oleh mereka untuk menakutkan aku ialah hantu atau syaitan yang hodoh lagi menyeramkan.

          Sejak itu, barulah aku mengerti bahawa ugutan takut oleh ayah dan ibu kala aku masih kecil dulu ada asasnya tersendiri. Jin dan syaitan memang suka berkeliaran terutama pada waktu malam. Makhluk ciptaan Allah SWT ini mampu menyelinap ke dalam kaca-kaca televisyen yang ada di setiap rumah manusia. Anak-anak yang tidak diawasi akan mudah dialpakan menyebabkan kerja lebih berfaedah seperti membaca buku-buku pelajaran atau menyiapkan kerja-kerja sekolah yang diberi guru akan terbengkalai.

          Secara logiknya, banyak kerja maksiat atau perbuatan-perbuatan jahat mungkin berlaku pada waktu malam. Barangkali kerana pelakunya lebih selesa menyempurnakan niat busuk mereka kerana kegelapan malam berupaya menutup pandangan mata orang ramai dari melihat perbuatan salah yang mereka lakukan. Tentu saja syaitan telah melindungi mereka dari penglihatan orang ramai lalu mereka akan berasa tidak terganggu. Bukankah syaitan itu suka kepada kerja-kerja yang dimurkai-Nya?

          Walau bagaimanapun, aku tetap mengakuri kata-kata ayah ini supaya sentiasa beringat dan berwaspada kala menjelang malam. Sebaik senja berlabuh, berhati-hatilah! Biarpun ayahku sudah jadi gemulah lebih sepuluh tahun lalu, kata-katanya tetap erat melepa di dasar nubari. Aku panjangkan kata-kata berupa peringatan dan nasihat yang amat berguna itu kepada anak-anak, kepada isteri, seluruh ahli keluarga, anak-anak jiran dan sesiapa saja serta nyalar menekankan perhatian kepada malam baik dalam soal keselamatan diri, rumah tangga mahupun dalam ibadat kepada Allah SWT.

          Berhati-hatilah kerana malam berupaya mengundang pelbagai peristiwa yang sukar hendak diramalkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan