Ahad, 31 Disember 2023

ISLAM MENGATUR PERGAULAN YANG SUCI, SELAMAT DAN MULIA

SMAHADZIR 

SETIAP manusia perlukan pergaulan dan Islam mengatur pergaulan bagi kaum Muslimah dengan pergaulan yang suci, selamat, dan mulia kerana syaitan berusaha untuk menghancurkan keimanan kaum Muslimah dengan segala tipu dayanya. yang paling banyak menyelewengkan wanita dari agama dalam pergaulan adalah ajakan mereka mengenai kebebasan wanita, emansipasi dan sebagainya. Ditambah lagi dengan suapan-suapan globalisasi yang berkiblatkan budaya-budaya Barat sehingga, seolah-olah memaksa kaum Muslimah untuk keluar dari budaya Islam yang aman dan bijaksana.

Untuk itu Rasulullah SAW mengingatkan kaum lelaki, “Berhati-hatilah kamu berkhalwat dengan wanita. Demi diriku yang berada dalam genggaman-Nya, tidak akan pernah seorang lelaki yang berdua-duaan dengan wanita melainkan syaitan akan masuk di antara mereka. Seorang lelaki yang rapat dengan babi yang penuh dengan lumpur masih lebih baik daripada dia merapat dengan paha wanita yang tidak halal baginya.” (hadis riwayat Thabrani).

Syeikh Muhammad bin Abdullah mengulas dalam hal tipu daya syaitan ini bahawa pergaulan bebas antara lawan jenis seperti yang sering kali terjadi hanya akan mendorong wanita untuk bersolek, berpenampilan mencabar, menarik pandangan kaum lelaki dan membangkitkan pesona mereka. Sebab keinginan seksual yang sudah menjadi fitrah lelaki dan wanita akan bertambah kuat kerana adanya pergaulan antara lawan jenis dan jika pembatasannya mudah ditembus.

Dalam masyarakat yang membuka pergaulan seperti ini akan muncul pembawaan baru dalam diri lelaki dan wanita iaitu saling menampakkan keindahan dan pesonanya untuk menarik minat lawan jenis. Lama kelamaan tindakan ini bukanlah sesuatu yang perlu diingkari dan dicela kerana adanya perubahan teori moraliti. Bahkan kemudian semua itu dianggap sesuatu yang perlu disenangi. Kemudian berkembang semakin jauh hingga masing-masing tidak memiliki lagi satu sempadan pun.

Islam yang bijaksana tahu bahaya akibat pergaulan yang tiada tara dalam kehidupan individu dan umat tatkala dorongan berahi sudah memuncak. Syariat Islam sudah membuat berbagai cara penjagaan dan perlindungan yang boleh menghalang terlepasnya keinginan berahi dari pagarnya. Maka Islam memberi perhatian dalam penguatan ketakutan kepada Allah dalam diri manusia dengan memperkuatkan fitrah dengan rasa malu agar perasaan ini boleh menjadi pengawal secara dalaman.

Islam juga mensyariatkan hijab kepada wanita agar dia menutupi keindahan dirinya daipada lelaki, meminta izin tatkala memasuki suatu rumah, memerintahkannya agar menundukkan pandangan mata, baik lelaki mahupun wanita, melarang secara bebas antara lelaki dan wanita, memperingatkan wanita berpergian tanpa disertai mahram, kemudian meletakkan hukuman bagi orang yang melanggar larangan ini.

Muhammad Qutub mengatakan bahawa nafsu berahi atau seks itu sendiri bukanlah sesuatu yang kotor atau haram tetapi harus diletakkan dalam suatu lingkungan yang benar lagi bersih. Sedangkan kebebasan yang dilakukan wanita di dunia Barat dan diseru oleh para propagandis kebebasan di negara Timur yang beragama Islam, justeru akan merosakkan wanita dan lelaki serta generasi seterusnya.

Padahal dalam Huququl Mar’ah ditulis bahawa kebebasan sebenarnya adalah melepaskan diri dari bisikan hawa nafsu dan syahwat, juga dari tradisi dan kebiasaan-kebiasaan yang menyimpang dan sesat. dari sini jelaslah, majlis yang di situ ada kaum lelaki wanita bercampur sama sekali tidak sesuai dengan tabiat murni dan ajaran Islam. Sebab pesona berahi yang ada dalam naluri lelaki dan wanita mempunyai suatu kekuatan yang tidak boleh dielak, yang akan menjadi bertambah kuat jika kedua-duanya saling berkumpul.

Disebutkan dalam Nailul Autsar bab ‘Larangan Berkhalwat dengan Wanita Bukan Mahram’: “Berkhalwat dengan wanita lain sudah disepakati oleh para ulama tentang pengharamannya sebagaimana hal ini telah dikisahkan Al-Hafizh di dalam Al-Fath. Alasan pengharaman tersebut kerana apa yang disebut di dalam hadis tentang kewujudan syaitan sebagai orang ketiga daripada keduanya yang boleh mengheret kedua-duanya ke dalam kederhakaan. Namun jika khalwat itu disertai oleh mahram, itu dibolehkan kerana kemungkinan terjadinya kemaksiatan boleh dicegah kerana kehadiran mahram tersebut.”

Sebab tabiat kekeluargaan itu cenderung mendorong lelaki berani memasuki tempat wanita kerana beralasan adanya hubungan saudara. Sehingga mereka berani mengetuk pintu baik pada siang mahupun malam hari, baik ada kepentingan ataupun tidak ada. Tetapi justeru sering terjadi akhirnya hal ini menimbulkan akibat yang sangat fatal dan boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan atau bahkan penceraian.

Luqman Hakim berwasiat kepada anak lelakinya: “Takutlah kamu terhadap wanita yang buruk kerana ia membuatmu beruban sebelum kamu beruban. dan takutlah wanita-wanita yang jahat kerana mereka tidak mengajak kepada kebaikan dan jadilah kamu berhati-hati dalam memilih mereka.”
 
Wanita dan Politik
 
Rasulullah SAW bersabda, bermaksud, “Tidak beruntung suatu kaum yang menyerahkan kepimpinan negaranya kepada seorang wanita.” (hadis riwayat an-Nasa’i)

Dalam Huququl Mar’ah ditulis bahawa Muslimah pada awal Islam tidak mempunyai peranan apapun dalam urusan politik, meskipun Islam memberinya hak yang sama dengan hak lelaki. Tidak pernah diriwayat bahawa selepas Rasulullah SAW wafat, ada wanita yang ikut bermusyawarah dengan kaum lelaki, ikut serta dalam membuat keputusan siapa yang akan menjadi khalifah sesudah Baginda SAW. Juga dalam memilih salah seorang di antara Khulafa’ur Rasyidin yang empat itu.

Tidak pula diriwayat bahawa Khulafa’ur Rasyidin mengumpul para wanita secara khusus untuk mengajak bermusyawarah dalam berbagai urusan daulah seperti yang mereka lakukan bersama kaum lelaki. Kalaupun ada dalil yang digunakan oleh orang-orang yang beranggapan bahawa wanita juga ikut turut campur dalam urusan politik serta hukum. Mereka menguatkan pendapat itu dengan alasan bahawa Saiyidatina Aisyah r.a pernah keluar untuk menuntut pembunuhan Saiyidina Ustman r.a.

Padahal ternyata Aisyah r.a telah menyesal atas perbuatannya itu. Sehingga perbuatan ini tidak boleh dijadikan dalil untuk menciptakan sesuatu yang baru di dalam Islam. Tatkala Saiyidina Ali r.a menulis surat kepada Ummul Mukminin untuk mengingatkan bahawa apa yang hendak dibuatnya itu adalah melanggar ketetapan syariat, maka dia berkata di dalam suratnya itu: “Amma ba’d, sesungguhnya engkau keluar dalam keadaan marah kepada Allah dan Rasul-Nya. Engkau menuntut sesuatu yang engkau sendiri tidak memiliki kemampuan. Apa urusan wanita dan peranan serta perbaikan yang boleh dilakukan di antara manusia? Engkau menuntut darah Ustman r.a. Demi hidupku, apakah yang mendorong engkau untuk membuka diri bagi bencana yang membawamu kepada kederhakaan yang justerunya dosanya lebih besar bagimu daripada orang-orang yang membunuh Ustman r.a?”

Sewaktu Perang Jamal telah berakhir, maka Saiyidina Ali r.a. datang menemuinya, seraya berkata kepadanya, “Wahai wanita yang berada di dalam hijab, Allah memerintahkan agar engkau berdiam di dalam rumahmu namun engkau keluar untuk berperang.” Maka Aisyah r.a tidak mampu memberikan jawapan yang dapat menyokong perbuatannya itu dan bahawa Islam membolehkan hal itu baginya. Padahal beliau adalah orang yang memiliki ilmu pengetahuan.

Bahkan diriwayatkan bahawa Aisyah r.a masih bergelut dengan rasa sesal atas perbuatannya hingga kemudian hari. Diriwayatkan di dalam Al’-Isti’ab oleh Ibnul Abdil Barr bahawa Aisyah r.a mengadu kepada Ibnu Umar r.a seraya berkata: “Mengapa dulu engkau tidak melarangku sama sekali keluar, wahai Abu Abdurrahmaan?” Ibnu Umar r.a menjawab. “Kerana aku melihat ada seorang lelaki telah menguasai urusanmu dan aku tidak melihatmu menentangnya sama sekali.” Aisyah r.a berkata, “Andaikata engkau melarang aku dahulu, tentu aku tidak akan pergi.”

Maka apa lagi alasan bagi wanita solehah untuk terjun dalam urusan politik dan pemerintahan? Dalam Balaghat Annisaa diceritakan bahawa pada saat dekat ajalnya, Aisyah r.a rasa gelisah ketika ditanya apa sebabnya, Aisyah r.a menjawab, “Sesungguhnya hari terjadinya Perang Jamal telah menghalang tengggorokanku! Ahh, seandainya aku lupa atau dapat melupakan peristiwa itu.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan