SMAHADZIR
ADA seorang kanak-kanak lelaki berumur sekitar
enam tahun, berkemeja putih dan pullover kotak-kotak hijau dengan logo tadika di dada kiri. Di bahunya
tersandang sebuah beg merah. Sebaik masuk ke dalam bas, kanak-kanak itu terus
menunjukkan hasil kerjanya kepada ibunya, origami sebuah sampan yang sedikit penyok
sembari menyanyikan sebuah lagu.
Ini sebuah sampan,
Dibuat
dari papan,
Cantik
hasil buatan,
Untuk ayah menangkap ikan.
Aku tersenyum mendengar suaranya, agak
sumbang tetapi penuh semangat. Kanak-kanak itu tersenyum padaku, kemudian
kembali berbual dengan ibunya.
Ibunya sesekali menyahut dengan
anggukan, sementara tangannya asyik mengelap peluh di dahi. Cuaca siang itu
memang panas dan kesendatan jalan membuatkan udara pengap namun tidak
mengalihkan perhatianku dari kanak-kanak itu. Kureguk tiap kata dan lagu yang
dinyanyikannya seperti pengembara kehausan menemui oasis di tengah gurun.
Alangkah rindunya aku akan semua itu. Aku tidak ingin membandingkan anakku
dengan kanak-kanak comel itu, tetapi mahu tidak mahu Khalid singgah juga ke
benakku.
Aku
masih ingat, setiap kali arwah isteriku membuat pemeriksaan selama mengandungkan
Khalid, bidan selalu mengatakan kehamilannya normal dan sihat. Kerana itu aku
dan arwah isteriku sama sekali tidak dapat menerima hakikat sewaktu doktor
memberitahu bahawa Khalid tidak normal. Dia lahir dalam keadaan down syndrome.
Menyakitkan.
Masa hadapan anakku sudah ditentukan oleh doktor hanya beberapa minit selepas
kelahirannya. Khalid tidak akan membesar seperti kanak-kanak normal lain dan
tidak akan menjadi orang dewasa normal yang mampu mengurus dirinya sendiri. Doktor
juga menemui kelainan pada jantungnya yang harus diperbaiki dengan pembedahan.
Ada juga gangguan mata dan tonsil, menurut doktor biasa menimpa anak down syndrome.
Tekanan kualami selepas Khalid dilahirkan
ditambah dengan kematian isteriku, cukup berat hingga aku harus dirawat agak
lama di hospital. Aku sangat tertekan hingga tidak mampu menjaga Khalid. Tugas
menjaganya kuserahkan kepada pembantu rumah sehingga aku keluar dari hospital.
Doktor memperkenalkan aku dengan seorang pakar rawatan anak down syndrome. Pakar itu memberikan buku-buku dan brosur kepadaku.
Tetapi
semakin membuatkan aku tertekan. Sejak doktor menyatakan bahawa isteriku
positif mengandung, aku selalu berdoa dan bermimpi tentang seorang anak yang
cerdas dan lincah. Anak yang akan kubimbing mengenal Allah dan Rasul-Nya, kuajari
mengaji dan solat agar mampu mendoakan kedua-dua orang tuanya. Akan kubawa menikmati
keindahan alam semulajadi yang damai agar pandai bersyukur dan memiliki sifat
tawaduk kepada-Nya.
Aku
akan memperkenalkannya kepada saudara-saudaranya yang yatim piatu agar hatinya
lembut dan peka. Anak yang akan menjadi seorang pejuang seperti panglima gagah
itu, Khalid Al-Walid.
Kubayangkan
jari mungil anakku menyusuri huruf-huruf dalam helaian mushaf al-Quran.
Lalu ke mana mampu kukuburkan rasa kecewaku ketika mendapati Khalid tidak
mungkin mewujudkan semua impianku. Aku hanya mampu berdoa siang malam memohon
kekuatan, bermuhasabah diri, mengingati kembali apa yang telah aku lakukan sehingga
Allah menghukumku dengan menganugerahkan Khalid kepadaku.
Hingga
suatu hari kalimat itu menjerbaku. Anakku adalah amanat-Nya, bukan hukuman,
bukan aib. Hanya pinjaman, bukan milikku. Apakah aku berhak menyesal jika pinjaman-Nya
tidak seperti kanak-kanak lain? Aku hanya ditugaskan menjaga dan mengasuhnya
dengan cinta, kerana dipinjamkan Allah yang rahman dan rahim-Nya
tidak pernah surut. Bukan tugasku menilai apakah Khalid layak jadi anakku atau
tidak. Selepas itu aku kembali tenang.
Tetapi
kesedihan itu kerap benar merasuk hatiku. Sangat menyakitkan. Tiap kali kukeseorangan
membawa Khalid bertemu doktor dan melihat ibubapa lain dengan bayi seumur
Khalid, aku kembali terbenam dalam jelu. Entah untuk Khalid atau untuk diriku
sendiri.
Bulan
demi bulan berlalu. Sementara bayi lain mulai tertawa dan mengeluarkan suara-suara
lucu, Khalid hanya diam, memandang kosong ke hadapan.
Tiap
hari pembantu rumah dan aku harus bergantian merangsang otaknya dengan mainan
pelbagai warna dan kerincingan yang bingar. Khalid baru menunjukkan reaksi
ketika usianya hampir lapan bulan.
Khalid
baru belajar berjalan pada usia dua tahun. Bicaranya tidak selancar kanak-kanak
lain dan kosakatanya sangat terbatas. Dia tidak mampu mandi dan berpakaian
sendiri hingga usianya sembilan tahun. Harus disuapi tiap waktu makan sehingga
mampu makan sendiri beberapa bulan terakhir ini.
Yang
paling menyedihkan, sukar sekali membiasakannya buang air di bilik mandi
walaupun kami sudah mengajarnya selama lapan tahun dari sepuluh tahun usianya.
Mengajar Khalid solat dan mengaji hampir tidak mungkin. Khalid hanya mampu
mengikuti gerakan-gerakan solat tanpa mampu menghafal bacaannya.
Setelah
beberapa lama, aku menyedari kekhilafan dan mulai dari awal semula.
Mengakrabkan Khalid dengan Allah SWT dan Islam. Sesuatu yang lebih mudah
dilakukan dan difahami Khalid.
“Ibu, kita sudah sampai!!!”
Suara kanak-kanak tadika itu gesit mematikan ngeluyur benakku pada Khalid.
Tetapi kali ini aku tidak mampu menikmatinya tanpa merasa iri. Iri pada ibu
yang tidak menyedari besarnya nikmat Allah yang dimilikinya. Ada kegeraman dan
rasa kasihan pada diri sendiri yang tiba-tiba bergolak dan menenggelamkanku. Membuat
dadaku sesak. Aku tidak tahu apakah aku harus menyesal atau gembira ketika kanak-kanak
itu akhirnya turun bersama ibunya dari bas.
Di
bangku yang mereka tinggalkan kulihat sampan kertas itu terpenyek. Kupungut dan
kuperbaiki. Tiba-tiba mataku kabur oleh air mata. Khalid tidak mampu melukis
atau membuat origami. Koordinasi tangannya lemah sekali.
Dalam
kepalaku yang yongyat libang-libu, sampan kertas itu kuramas menjadi gumpalan.
Aku tidak sanggup lagi menahan tangis. Dengan segera kupicit loceng bas dan
turun, walaupun rumahku masih jauh.
Aku
duduk di hentian yang sepi. Menarik nafas dalam-dalam dan mengeringkan air
mata. Ketika aku menengadah, mataku tertambat pada masjid di seberang jalan. Ya
Allah, inikah teguran-Mu? Aku gesit menyeberang. Segera kuambil wuduk dan solat
dua rakaat. Air mataku menitis ketika kubaca ayat kedua belas surah Lukman.
Usai
mengucap salam aku tercenung. Kekalutan yang sempat menguasai sudah berjaya
kukendalikan. Aku merasa kosong, tetapi damai. Lalu satu-satu fragmen kehidupan
Khalid mulai kembali ke benakku. Bukan gambaran muram tentang kekurangannya,
tetapi keistimewaan-keistimewaan kecil yang mengimbangi dan melengkapi
hidupnya.
Khalid
tidak pernah nakal dan usil, selalu mesra dan murah senyum, sangat menyayangi
adik tirinya Aisyah, yang lahir empat tahun lalu. Aku dan isteri baruku bimbang
juga takut kalau-kalau Khalid akan cemburu dengan kehadiran Aisyah. Tetapi dia gembira
sekali membantu ibu tirinya mengurus Aisyah. Sering kudapati Khalid duduk
menatap adik tirinya yang tertidur dengan ekspresi terpesona tidak terlukiskan.
Aisyah
normal dan cerdas sekali, menerima abang tirinya itu tanpa syarat. Kemesraan
kedua-duanya selalu menerbitkan rasa syukur di hatiku. Mengurus Khalid memang
menuntut kesabaran dan kegigihan tambahan dibandingkan mengasuh anak biasa.
Khalid telah mengajarku makna mencintai tanpa pasrah hakiki. Pada zaman
ketika orang memburu segala superlatif; tercantik, terpandai, tergesit, Khalid
tidak akan mampu bersaing. Dia tidak mungkin menjadi teknologi, ekonomi atau
da’i tersohor.
Tetapi
apakah itu akan mengurangi cintaku kepadanya? Mengurangi kegembiraan melihat
prestasi-prestasi kecilnya yang dianggap remeh dan tidak seperti orang lain
yang mampu berpakaian dan makan sendiri? Aku dan ibu tirinya tidak akan
memperoleh apa-apa darinya. Kemungkinan besar Khalid akan terus bergantung pada
kami. Setelah kami sudah tiada lagi, mungkin pada Aisyah.
Tetapi
kami memang tidak lagi mengharapkan apapun darinya. Kami hanya menyayanginya. Kurapati
gerbang rumah dan kuserukan salam. Sahutan riang menyambutku. Pintu terkuak.
Aisyah menerkam memelukku sementara abangnya tersenyum lebar sambil berjalan
goyah di belakangnya.
Kukeluarkan sekantung mempelam ranum. Khalid tersenyum. Matanya yang
kosong mulai berbinar. Mempelam adalah buah kesukaannya.
Aku
masuk ke kamar untuk berganti baju setelah berpesan pada pembantu rumah supaya
mencuci dan mengupaskan mempelam buat anak-anakku. Ketika aku keluar, mereka
tidak berada di meja makan. Kupanggil mereka dan kudengar sahutan dari halaman
belakang. Di hadapan sangkar besar burung serindit, Aisyah melonjak-lonjak dan
tertawa melihat abangnya dengan sabar menghulurkan potongan mempelam melalui
jeruji besi.
Satu
demi satu burung-burung serindit mematuk potongan mempelam dari tangan Khalid.
Aku bertasbih. Mataku pedih. Sudah lama aku mengamati keistimewaan Khalid
mencintai dengan keikhlasan yang bersih dari egoisme anak seusianya. Cintanya
sangat tulus pada burung-burung kesayanganku dan ayam serama yang aku pelihara
untuk mengajar anak-anak bertanggungjawab.
Bahkan
pada bunga-bunga isteriku di halaman rumah. Dia gembira mengurus semua itu,
walaupun tidak pernah mendapat imbalan apapun dari kami. Kelembutannya terhulur
bahkan pada kucing-kucing liar yang sering diberinya makan atau anak-anak jiran
yang kerap mendapat bahagian dari jatah kuih dan buahnya tanpa menuntut balasan
apa-apa.
Aku memang
tidak ada alasan untuk bersedih dan kecewa. Khalid mungkin tidak mampu membaca
dan mengaji. Tetapi perasaannya halus dan penuh kasih-sayang. Dan aku sangat
bersyukur atas kelebihannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan