Selasa, 26 Disember 2023

FETTY FATEHAH

SMAHADZIR

 

Tiga puluh tahun lalu, gelaran ratu cantik yang cukup tersohor itu telah menjadi miliknya. Dengan gelaran gah itu, Fatehah dijulang tinggi. Namanya harum, meniti saban hari dari bibir ke bibir warga santak meruah ke negara jiran. Wajah ayunya selalu terpampang di dada-dada akhbar dan majalah. Dengan mahkota ratu cantik itu, sekian lama Fatehah mengharung hidup di tengah-tengah kota metropolis Kuala Lumpur, mengumpul duit dan harta.

Kendati begitu, semakin lama semakin kerdil pula rasa diri. Sewaktu memerhati dan menyusur kembali gelaran yang telah pudar ini, tiba-tiba saja Fatehah diterpa rasa serba salah tidak menentu. Perasaannya jadi yongyat, hatinya berkecamuk libang-libu dan seluruh jiwa raganya terasa nano lebih-lebih lagi kala mengenangkan wajah gemulah ayah yang saban detik mengirap ke sepasang mata dengan suara sayu sedih.

          “Ayah memilih Fatehah untuk nama kamu. Nama itu ayah petik dari sebuah surah, indah amat nama itu. Murni amat maknanya. Biarlah nama itu seindah peribadi. Seindah akhlak yang termaktub dalamnya. Tidak ada apa yang akan ayah warisi kecuali ilmu agama. Gunakanlah akal anugerah Tuhan dengan sebaiknya dan jadikan agama itu sebagai pendinding dari sebarang kekufuran serta kefasikan. Ingat Fatehah! Hanya agama saja yang dapat membantu kamu berjalan dalam dunia yang gelita ini. Iman kamu harus teguh, ilmu kamu harus kukuh dan amal kamu harus utuh dalam diri. Insya-Allah, kamu akan sentiasa dalam redha-Nya.”

Begitu pesan panjang lebar gemulah Haji Dasilah suatu hari lebih tiga puluh tahun lalu. Hari itu adalah hari terakhir gemulah menyampaikan pesanannya. Seisi keluarga bagaikan terkesima dengan kata-kata yang terbit dari bibir Haji Dasilah yang sekian lama kejur di pembaringan. Pesanan itu juga seolah-olah ingatan kepada Fatehah dan seisi keluarga bahawa Haji Dasilah yang menjadi penaung dan tempat bergantung harapan hidup selama ini tidak akan lama bersama mereka.

          Suatu malam yang kusam, wajah langit sebam. Tiada sebutirpun bintang mengerdip galak seperti selalu. Angin pula seolah-olah mati membuatkan alam diapung khali. Cengkerik bisu. Bulan hilang digebar awan gemawan. Fatehah dipanggil untuk berada di sisi Haji Dasilah. Si ayah menguit tangannya agar anak gadis itu menghampiri tempat pembaringan. Gontai sekali Fatehah mendekati Haji Dasilah.

Dengan suara lirih dan tertahan, Haji Dasilah bersuara, “Fatehah! Kamu anak ayah yang cantik. Wajah kamu seiras wajah arwah ibu kamu yang telah pergi lebih lima tahun lalu. Turutilah akhlak molek ibu kamu itu. Wajah kamu yang cantik itu akan lebih cantik lagi jika dihias dengan amal ibadah sepanjang masa. Harumnya akan menggerbak menyuar ke langit tujuh. Semua manusia akan memuji kamu dengan kecantikan abadi itu. Inilah kecantikan sebenar dan berkekalan.”

Fatehah mengangguk, memahami bahawa Haji Dasilah telahpun memutuskan keputusannya. Dia yang sulung ini telah diletakkan satu tanggungjawab amat berat di pundak. Dia menjadi cerminan luhur kepada empat orang adik perempuan yang tentunya mengharapkan kakak sebagai pengganti ayah dan ibu. Ibu sudah lama pergi. Ayah pula akan menyusul. Hanya kepada dia adik-adiknya itu akan bergantung harap demi sebuah kehidupan hari mendatang.

          Cukup hari menujuhnya, Fatehah bagaikan bermimpi bahawa ayahnya benar-benar sedang berada dalam keadaan fana, menyerah kepada Khaliknya.

Malam itu bulan menyembunyikan diri, seolah-olah tidak sanggup melihat Fatehah dan adik-adiknya meratapi kehilangan seorang ayah. Gerimis kecil merengek sejak lepas senja bagaikan turut sama jelu dengan kepergian Haji Dasilah. Gumpalan awan gelintin memekup kerdip lesu jutaan buruj yang bergantungan di dada langit. Angin sesekali garang menerpa, melengking dan menampan dedaun sekitar rumah seakan mahu menghalang pemergian Haji Dasilah ke rahmatullah. Tetapi, orang tua lewat 70-an itu tetap pergi juga, pergi dalam tenang dan lapang. Menyerah kepada Pencipta.

Fatehah terpaksa juga merelakan kehilangan tempat bergantung kasih dan harap itu walaupun dengan perasaan yang sungguh berat. Dia tiada kendati sekumin upaya untuk menghalang kepergian itu. Apa yang dia mampu lakukan hanyalah memanjat ratusan demi ratusan doa menujah jendela langit mengiringi perjalanan gemulah yang panjang dan baru. Pintu langit seolah-olah terkuak lebar menerima ketukan tangan Haji Dasilah di pintunya. Elusan lunak dan mesra gumpalan awan walau gelintin seolah-olah mendakap karib tubuh gemulah yang telahpun fana dalam fananya.

Lebih setahun Haji Dasilah pergi, Fatehah bagaikan masih bermimpi. Sukar amat untuk menerima hakikat bahawa jasad Haji Dasilah sebenarnya telah reput kerana dikambus dalam tanah. Tulang temulangnya barangkali sudah luluh sedang pesanan serta amanatnya masih membelai dan membelit diri. Serasa amat berat untuk dipikul di pundaknya. Meleweh dengan beban yang amat merengsakan.

Arus dan gelora hidup berolak rakus serta ganas itulah yang menghanyutkan Fatehah ke lubuk metropolis Kuala Lumpur. Kesempitan dan keperitan mencanai sebuah kehidupan di desa pingitan telah menghimbaunya menghargai kecantikan rupa paras bentuk tubuh anugerah Tuhan kepada diri. Dia berjinak-jinak dengan dunia modelling memperagakan pelbagai fesyen tradisional dan moden. Selepas itu bertukar ke dunia ratu cantik sehingga berjaya meraih gelaran itu ke ribaan. Fatehah menjadi pemuja hedonistik berlebihan, membanggakan mediocrity, manifestasi wacana fenimisme ala Madonna telah mulai murup subur meresapi diri.

Jagat kemewahan ditelusuri sehingga iman yang terpancang kukuh di dasar nubari terlerai-berai. Antara pasang dan surutnya air, antara air yang mengalir keras di hulu dan berakhirnya dengan tenang di hilir itulah juga yang mengejutkan Fatehah dari tidur panjang. Realiti antara hidup ada mati, kembang ada layunya, baru ada buruknya, segalanya bersifat sementara. Sementara juga semua makhluk di sisi-Nya.

Suatu ketika, gelaran ratu cantik yang megah dilambung pujian, simbahan kemewahan bertali arus dipasang surut arus masa, sirna dari diri. Kala diri Fatehah menjangkau tua, dia tidak lagi dipedulikan. Gelaran yang pernah menjadi bualan warga dan khalayak kini sudah dirangkul oleh gadis lain yang lebih mungil dan cantik darinya.

Fatehah kehilangan. Fatehah kelenyapan, segalanya lupus dari kemegahan. Umpama ikatan kolek di tengah samudera, terlerai dan pengikatnya putus di hujung lalu kolek itu mulai hanyut entah ke mana. Kehilangan dan kelenyapan yang sungguh. Dia merasa amat bersalah sekali kerana telah mengabaikan pesanan serta amanat gemulah ayah.

“Sungguh, kecantikan lahiriah hanya sementara. Bila tiba ketikanya, akan sirna dari diri. Tatkala itu, segala kemegahan, pujian, yang membanggakan diri, akan sirna. Hanya kecantikan amal ibadah yang akan kekal abadi hingga akhir hayat.” Mengiang kata-kata gemulah Haji Dasilah ke sepasang telinga serentak wajahnya mengirap mesra.

“Hei Fetty! Apa yang kamu menungkan ni?”

Fatehah mendadak tersentak. Segala ngeluyur benak berjela panjang gesit bubar. Dia bagai kelinglungan dan kemamar kala pundaknya dicuit tangan rakan serumah sewaan. Namun begitu, anak matanya sempat meloncat jauh ke rusuk awan gemawan yang bergumpal-gumpal di dada langit melalui kuakan tingkap kaca di pinggir diri.

“Apa yang kamu menungkan, Fetty?” Merry yang dahulunya Mariam, bertanya lagi. Rasa ingin tahu amat menggelodar hati. Bagaikan tidak sabar mahu mendengar penjelasan Fatehah.

“Maaf, Merry! Maaf… namaku bukan lagi Fetty!” begitu jawapan Fatehah, tegas dan waras tanpa menjawab pertanyaan rakan baiknya itu.

          “Errr, aku… aku tak faham apa maksud kamu!” Merry terkejut.

          “Mulai hari ini, nama aku bukan lagi Fetty! Ingat, Merry! Aku sudah kembali ke nama asal pemberian arwah ayahku iaitu Fatehah!” jawab Fatehah.

Merry terkesima dan melongo. Fatehah senyum senang. Dia mendongak lagi ke langit, mencari gumpalan awan yang dirasakan semakin gelintin. Pantulan keluhan menyusuri rengkongan tekaknya. Irama keluhan itu bersahut-sahutan dari setiap arah dan kemudian melenyap dalam ruang jagat yang kian udam.

          “Fatehah! Dalam perjalanan ayah di alam fana ini, ayah telah bertemu dengan dua buah rumah. Satunya terang dan gerbak harumnya segenap ruang. Inilah rumah manusia yang teguh beriman kepada-Nya. Sepanjang hayat mencantikkan diri dengan amal ibadah dan memperbanyakkan bekalan ke akhirat. Inilah kecantikan dan keindahan sebenar dan berkekalan. Dan sebuah rumah lagi, gelap dan kohong. Inilah rumah manusia semasa hidupnya di dunia terlalu ghairah memuja kecantikan lahiriah semata-mata. Amalan diredha-Nya tiada, iman kepada-Nya hilang entah ke mana, ilmu yang baik tuntutan-Nya terhumban jauh dibawa arus. Dosa pahala haram halal dipandang sama. Rumah manakah antara kedua-dua rumah ini yang bakal menjadi pilihanmu untuk didiami esok, Fatehah?”

          Wajah gemulah Haji Dasilah bagaikan mengirap bergentayangan, suaranya seolah-olah cagun mengiang menggugah kedamaian gegendang telinga. Fatehah gesit bungkam, berjenak-jenak. Anak matanya berkaca dan bergenang. Beberapa titis air mata menjujuh lesu ke pipi. Sewaktu dia menyeka air jernih itu, ribuan kesalan mulai menyelusup ke dalam kalbu. Taubat nasuha melepa kemas di dasar nubari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan