Khamis, 21 Disember 2023

RUMAH KUTAI TIANG 12

SMAHADZIR

 

RUMAH sesapan peninggalan datuk itu nampak usang. Sudah lebih 100 tahun usianya, sejak datuk meninggal dunia, rumah kutai tiang 12 itu memang antik, dibuat dari papan, kayu meranti, cengal, resak dan nyatuh yang tahan lama. Keunikannya dapat dilihat pada bumbungnya yang panjang dan mempunyai ruang penyimpanan di bumbung yang dikenali sebagai loteng. Rumah kutai pusaka ini juga mempunyai hiasan yang menarik seperti tunjuk langit, papan pemeleh, kekisi, pagar musang dan sebagainya. Mempunyai pengaruh seni bina Acheh dan Bugis yang mempunyai sejarah dengan Kesultanan Perak.  Ayah dan Pak Cik Hassan, bapa saudara saya telah diamanahkan oleh arwah datuk sebagai pewarisnya, tetapi mereka tidak mahu tinggal di situ.

Menurut kepercayaan masyarakat kampung saya, rumah kutai pusaka peninggalan orang tua memang tabu untuk dihuni oleh anak-anaknya. Dan sesiapa sahaja yang berani tinggal di situ pasti akan mendapat nasib yang malang: Selalu sakit atau mati muda. Meskipun kepercayaan itu dilingkung oleh batas-batas takdir, tetapi tidak seorang pun yang berani menentangnya.

Maka di kampung saya, semua rumah kutai pusaka yang dianggap usang selalu dibiarkan, sebelum akhirnya dijual kepada tukang-tukang kayu yang mahu membelinya. Maka kini rumah kutai tiang 12 pusaka peninggalan datuk itu menjadi satu-satunya rumah kutai tiang 12 yang masih ada di kampung saya. Padahal, sewaktu saya masih kecil, seperempat abad silam, rumah kutai di kampung saya terlalu banyak, jumlahnya puluhan.

Meski usang, rumah kutai tiang 12 memang sangat mahal harganya. Ramai orang kaya di bandar-bandar besar berlumba-lumba membeli rumah kutai pusaka atau rumah kayu berukiran dengan harga yang tinggi. Alasannya, tentulah kerana rumah kutai pusaka tersebut dibuat dari kayu yang tahan serta ukiran-ukiran bernilai seni yang tinggi.

Menurut khabar yang beredar, harga sebuah rumah kutai tiang 12 sekarang lebih kurang empat puluh ribu ringgit! Harga semahal itu dianggap wajar, kerana sesuai dengan nilai seni yang ada padanya.

Meski hanya orang kampung, saya sendiri juga faham bahawa rumah kutai tiang 12 pusaka arwah datuk saya itu memiliki nilai seni yang tinggi. Sebab, semua tiang, alang, tingkap, pintu, dan tangganya diukir indah dan halus. Dan menurut cerita datuk, waktu yang diperlukan untuk membina sebuah rumah kutai tiang 12 seperti itu  sangat lama, makan waktu bertahun-tahun.

Rumah kutai tiang 12 milik arwah datuk saya ini rumah ibunya terdiri daripada enam batang tiang panjang dan enam batang tiang serambi naik. Tiang-tiang itu disusun dalam tiga baris dan setiap baris mempunyai empat batang tiang yang merupakan dua tiang panjang dan dua tiang serambi. Kebiasaannya, tapak rumah ibu rumah kutai tiang 12 berbentuk empat persegi tepat dengan keluasan 30’x30’ persegi.

Oleh kerana tiang rumah ini dibuat daripada kayu keras yang bertujuan menahan bebanan berat pada rumah, maka bahan-bahan pada kemasan bumbungnya pula dibentuk dengan keadaan mudah dilentur, dibuat dari atap rumbia. Setiap penjuru bumbung mempunyai sudut di antara 45 darjah hingga 50 darjah. Di sudut dinding tepinya dipasang tabir layar yang dibuat dari pelupuh berkelarai manakala di bawah kaki tebar layar terdapat pula alang para buang atau peran iaitu ruang yang beratap dan berlantai sebagai tempat menyimpan barang-barang.

Rumah ibu terdiri daripada ruang serambi, ruang tamu dan bilik. Di sebelah belakangnya ialah rumah dapur yang dipisahkan oleh ruang selang yang tidak beratap. Bahan-bahan binaannya ialah kayu dan buluh. Kayu digunakan untuk tiang dan rangka bumbung manakala dindingnya daripada buluh yang dianyam cantik.

Selain itu, rumah kutai tiang 12 milik arwah datuk saya ini tidak menggunakan sebarang paku tetapi pasak. Sungguhpun begitu ia kukuh dan mampu bertahan daripada bencana alam seperti ribut taufan dan banjir. Keunikan lain ialah kehalusan ukiran yang terdapat pada bukaan tingkap, pintu serta dinding dan penggunaan tanggamnya yang pelbagai. Dibina berpanggung iaitu lantainya lebih tinggi dari tanah yang bertujuan untuk menghindarkan bau busuk yang mungkin datang daripada air basuhan yang berlimbahan dari bawah ruang dapur rumah.

Lantainya pula dibuat daripada bilah-bilah jeria yang disusun agak jarang. Selain dapat digunakan untuk mengintai musuh, lantai yang jarang itu dapat memudahkan air bah surut dan mengalir dengan deras melalui celah-celah lantai pada musim banjir besar sekali gus menggelakkan daripada rumah berkenaan musnah. Selain itu, pembuatan lantai sedemikian dapat membantu binaan rumah supaya tidak hanyut walaupun tekanan air yang dibawa banjir besar itu agak kuat.

Dinding rumah pula dibina daripada kulit kayu tepas. Walaupun cuma dibuat daripada kulit kayu, ia memang kuat dan tidak mudah dikopak dan dirosakkan oleh pencuri atau sesiapa saja yang berniat jahat. Saya lihat pengaruh Islam juga kuat dalam seni pembinaan rumah kutai tiang 12 ini kerana selain lelaki dan perempuan mempunyai bilik berasingan, ia juga mempunyai ruang-ruang khas tersendiri. Contohnya, serambi hanya khusus untuk kaum lelaki dan ruang selang pula untuk kaum perempuan dan fungsinya dapat dilihat dengan jelas semasa aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri-kendara.

Saya pernah memujuk ayah dan bapa saudara saya supaya menjual rumah kutai tiang 12 peninggalan arwah datuk ini. Alasannya, selain harganya sangat mahal, rumah itu akan rosak kalau terus menerus dibiarkan tidak dihuni. Kini, rumah itu sudah dihuni oleh kelelawar.

Binatang berwajah hodoh dan berbau hapak itu beranak-pinak dan setiap hari bau makin menyengat hidung. Beberapa orang jiran sering mengeluh muak dan pening kerana setiap hari hidung mereka terganggu oleh bau busuk kelelawar. Mereka juga pernah mendesak ayah dan bapa saudara saya supaya segera menjual rumah itu.

Tetapi ayah dan adiknya itu merasa keberatan untuk menjual rumah tersebut. Alasannya, arwah datuk pernah berwasiat agar rumah itu tidak dijual kepada sesiapa pun. Kalau ayah dan adiknya tidak mahu tinggal di situ, mungkin cucu-cucu datuk seperti saya nanti akan bersedia tinggal di situ. Dan jika di antara cucu-cucu datuk tidak ada yang bersedia tinggal di situ, rumah itu tetap tidak boleh dijual.

“Wasiat datuk kamu harus kita hormati!” tegas ayah dan bapa saudara saya ketika saya kembali memujuk supaya menjual rumah itu.

“Tetapi kalau dibiarkan terus menerus, rumah itu akan rosak! Daripada rosak, lebih baik dijual saja! Lebih-lebih lagi harganya sangat mahal!” desak saya.

Ayah dan bapa saudara saya tetap tidak mahu menjual rumah itu. Bahkan ketika ada seorang pembeli datang menawarnya dengan harga lima puluh ribu ringgit, mereka berdua tetap tidak mahu menjualnya.

“Jangankan lima puluh ribu ringgit, enam puluh ribu sekalipun tidak akan kami jual!” tegas ayah kepada pembeli itu.

Bukan, bukan kerana ayah dan bapa saudara saya sombong atau sudah kaya, tidak mahu menjual rumah itu. Saya mengerti, mereka berdua tidak mahu menjual rumah itu kerana takut terkena tulah. Mereka tentu tidak ingin mengalami nasib malang kerana terkena tulah seperti Pak Jalus, Pak Dakin, Pak Diman, dan orang lain yang telah menjual rumah kutai pusaka milik mereka.

Pak Jalus, Pak Dakin dan Pak Diman telah menderita sakit dan tidak sembuh-sembuh meski sudah menghabiskan banyak wang untuk berubat. Bahkan, setelah semua wang dari hasil penjualan rumah sudah habis untuk belanja berubat, mereka tetap juga sakit. Seolah-olah penyakit yang kononnya penyakit dalam itu, tidak akan boleh sembuh.

Setelah pembeli itu pergi, saya termangu-mangu.

“Untuk apa ada banyak wang, kalau hidup tak senang?” gerutu ayah.

“Betul, bang! Wang banyak tak bererti apa-apa dibandingkan dengan kesihatan!” sokong bapa saudara saya.

Saya menelan liur. Sebab saya telah berangan-angan. Seandainya rumah kutai tiang 12 pusaka itu dijual, ayah dan bapa saudara saya tentu akan senang. Dan jika saya dan anak-anak bapa saudara saya meminta untuk dibelikan motosikal, tentu akan dituruti. Atau, wang sebanyak itu boleh digunakan untuk membeli barangan lain yang lebih diperlukan.

“Seandainya rumah itu dijual, ayah dan pak cik boleh pergi ke Mekah, buat umrah atau haji!” saya berusaha memujuk mereka dengan pendekatan agama.

Saya berharap, mereka akan berfikir kembali supaya segera menjual rumah kutai tiang 12 pusaka tersebut, jika mereka mempunyai keinginan untuk menunaikan umrah atau rukun Islam yang kelima itu. Mungkin ayah mahupun adiknya, yang belum pernah pergi ke Mekah, sangat ingin melaksanakan ibadah tersebut.

Tetapi harapan saya ternyata sia-sia. Ayah dan adiknya menegaskan bahawa mereka berdua tidak mahu pergi ke Mekah dengan belanja dari harta pusaka. “Harta warisan tidak wajar digunakan untuk umrah atau naik haji!”

Saya merasa tidak ada gagasan lagi untuk memujuk mereka supaya bersedia menjual rumah kutai tiang 12 pusaka itu. Ayah mahupun bapa saudara saya jelas bertegas untuk mempertahankannya.

Lalu saya cuba bersabar. Kalau ayah dan bapa saudara saya sudah meninggal dunia, nasib rumah itu akan bergantung pada saya dan anak-anak bapa saudara saya yang lain.

Hari-hari berlalu. Saya, meski cuba bersabar, seringkali dalam diam-diam berdoa semoga ayah dan bapa saudara saya segera meninggal dunia. Saya sering merasa sangat malu dan berdosa kerana berdoa seperti itu. Saya merasa sudah menjadi seorang anak yang jahat. Saya pernah membayangkan yang diri saya telah membunuh ayah dan bapa saudara saya, dengan tujuan untuk segera menjual rumah kutai pusaka itu.

Sebagai penjual songkok secara kecil-kecilan, sebagaimana ayah dan bapa saudara saya, saya merasa masih miskin. Saya tetap tinggal di rumah ayah. Saya memerlukan banyak wang. Dan jalan paling mudah untuk mendapatkan banyak wang, ialah dengan menjual rumah kutai tiang 12 pusaka itu. Wang hasil menjual songkok amat lambat untuk membeli kenderaan bermotor seperti yang selalu saya impikan.

Gelisah. Itulah yang saya rasakan setiap hari, gara-gara belum berjaya memujuk ayah dan bapa saudara saya untuk segera menjual rumah itu. Dan ternyata, kegelisahan saya diketahui oleh isteri saya.

“Apa yang difikirkan, bang? Sejak beberapa hari ini saya lihat abang nampak gelisah saja,” tegur isteri saya, menjelang tidur.

Saya gesit berterus terang.

Isteri saya terbelalak. “Ternyata fikiran kita sama, bang!”

“Kamu juga ingin supaya rumah kutai pusaka itu segera dijual?”

Syaitan terus berbisik supaya saya segera membunuh ayah. Hanya dengan cara itu saya mempunyai hak untuk memaksa bapa saudara saya supaya segera menjual rumah itu dengan alasan saya sangat memerlukan wang.

“Tidak! Saya tidak mahu menjadi seorang pembunuh!” pekik saya dalam hati.

Syaitan itu ketawa terbahak-bahak. Lalu berbisik lagi: “Kamu jangan jadi pengecut dan bodoh! Kalau kamu sudah pernah berdoa semoga ayah kamu segera mati, kenapa kamu tidak membunuhnya saja? Apa susahnya membunuh lelaki tua yang kurus itu? Dengan sekali tolak saja, ketika ayah kamu hendak mengambil wuduk di bilik mandi tengah malam ini, dia pasti akan tersungkur dan tidak bernafas lagi! Bukankah setiap malam ayah kamu selalu mengambil wuduk sebelum solat tahajjud?”

Saya mendengus berat. Memang benar. Ayah selalu bersolat tahajjud setiap tengah malam. Telinga saya sering mendengar pintu bilik ayah dibuka. Saya juga mendengar langkah kaki ayah yang memakai terompah menuju bilik mandi.

Syaitan itu berbisik lagi: “Ayuh, cepat bangkit dan kejar ayahmu! Percayalah, hanya dengan sekali tolak saja, ayahmu yang sedang berwuduk pasti akan jatuh tersungkur dan mati! Jangan sia-siakan kesempatan ini! Isterimu sedang nyenyak tidur! Tidak ada saksi!”

Dada saya berdebar-debar. Kalau saya segera bangkit dan menyusul ayah ke bilik mandi, kemudian menolaknya sehingga jatuh tersungkur, itu memang kerja mudah.

“Ayuh bangkit! Tunggu apa lagi?” bisik syaitan itu lagi.

Dada saya semakin berdebar-debar. Membayangkan helaian wang berjumlah lima atau enam puluh ribu ringgit memenuhi poket saya.

“Ayuh! Kamu mampu membunuh ayahmu sendiri!” bisik syaitan itu lagi.

“Tidak! Saya tidak akan membunuh ayah! Saya mengasihi dan menyayanginya!” pekik saya dengan tubuh menggigil. Terbayang arwah ibu saya. Sewaktu masih hidup, ibu sering berpesan supaya selalu mengasihi dan menyayangi ayah.

Hingga pagi tiba, saya tetap tidak dapat tidur. Dan ketika anak-anak baru saja berangkat ke sekolah, seorang pembeli muncul lagi dan menawar rumah itu dengan harga enam puluh lima ribu ringgit.

Ayah menggeleng tegas. “Rumah itu tidak akan dijual!”

Pembeli itu tersenyum. “Bagaimana kalau saya naikkan lima ribu ringgit lagi?”

Ayah menggeleng-gelengkan kepalanya lagi.

Pembeli itu lalu pergi dengan wajah yang kecewa.

Ayah segera mengeluarkan basikalnya. Sudah waktunya dia berangkat ke pekan untuk menjual songkok. Ketika ayah sudah pergi, isteri saya menggeleng-geleng. Lalu berkata: “Ayah memang tegas! Kuat betul pendiriannya!”

Saya mengangguk dan tiba-tiba saja saya rasa ayah seorang yang amat berprinsip. Mantap dengan keputusan yang telah dibuatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan