SMAHADZIR
TERSEBUTLAH bahawa berabad-abad lamanya, bumi Mesir
diperintah oleh raja yang menamakan dirinya Firaun. Mereka memerintah secara
turun-temurun. Kerana kebebasan dan kekuasaan yang ada pada raja Firaun, setiap
yang menjadi raja itu, semakin lama semakin kejam dan ganas. Bukan saja mereka
menganggap diri paling kuasa, malah melebihi dari itu, iaitu mereka beranggapan
bahawa diri mereka itu adalah Tuhan yang harus disembah oleh semua manusia,
kerana mereka berpendapat tidak ada makhluk lain yang lebih berkuasa, selain
daripada mereka. Lebih-lebih lagi terhadap bangsa asing yang hidup di negerinya
iaitu bangsa Israel yang berasal dari daerah Palestin, mereka selalu diseksa,
penghidupannya disempitkan. Dengan kesalahan yang kecil, mereka dianiayai
seberat-beratnya. Demikianlah politik pemerintahan Firaun pada waktu itu.
Anak Lelaki Kalangan Bangsa
Israel
Pada suatu hari, tukang tenungnya sendiri datang
menghadap Firaun dan berkata: ‘Akan lahir seorang anak lelaki di kalangan bangsa
Israel yang tinggal di Mesir ini. Anak itu nanti akan mengalahkan engkau dengan
pemberontakan-pemberontakannya dan tidak akan mengakui engkau sebagai Tuhan dan
rajanya lagi.’
Mendengar ungkapan itu Firaun dengan
segera mengeluarkan peraturan istimewanya di mana dinyatakan bahawa setiap anak
lelaki Bani Israel yang dilahirkan pada waktu itu harus dibunuh, kecuali anak-anak
perempuan saja yang dibiarkan hidup. Demikianlah helah atau muslihat jahat bagi
memusnahkan bangsa Israel yang menetap di situ. Pada waktu berlakunya undang-undang
itulah ibu Musa sedang mengandung dan sudah dekat melahirkan anak, iaitu Nabi
Musa, anak Bani Israel yang mana peraturan itu berlaku bagi dirinya.
Alangkah sedihnya hati Yukabad, iaitu ibu
Nabi Musa yang sedang mengandung dan sudah dekat waktunya untuk melahirkan, kendatipun
dia sendiri belum mengetahui apakah anaknya itu lelaki ataupun perempuan.
Dia terpaksa bersembunyi saja di
rumahnya, agar jangan diketahui orang bila melahirkan anak. Dalam keadaan
sedang bersembunyi itulah pada suatu hari Nabi Musa dilahirkan. Alangkah
terkejutnya demi dilihat si ibu, bahawa bayi yang dilahirkannya itu adalah
seorang anak lelaki. Dia tidak berputus asa dan dia percaya juga bahawa anaknya
itu akan hidup terus, sedapat mungkin akan dia pertahankan, jangan sampai
menjadi korban undang-undang yang dikeluarkan oleh Firaun itu. Khabar kelahiran
ini disimpannya baik-baik, tidak terdengar oleh Firaun dan mata-matanya. Tiga
bulan lamanya bayi Musa itu dapat dijaga oleh ibunya sendiri, dengan tidak
diketahui oleh Firaun dan kakitangannya.
Tetapi makin lama peraturan itu
dijalankan makin bertambah keras juga. Pasukan pengintip diperbanyakkan, untuk
mengetahui tempat dan nama tiap-tiap perempuan mengandung dan anak-anak yang
baru lahir.
Allah s.w.t lalu mewahyukan kepada
Yukabad, agar bayinya diletakkan ke dalam peti, lalu dihanyutkan ke Sungai Nil
yang mengalir di hadapan rumahnya. Dengan hati yang tenang dan sabar, Yukabad
menurutkan ajaran wahyu itu. Bayinya dimasukkan ke dalam peti, lalu dihanyutkan
ke Sungai Nil. Bayi yang dihanyutkan itu diiringkan dengan air mata sedih oleh
saudara perempuan Nabi Musa sendiri, untuk mengetahui ke mana perginya bayi ini
nantinya. Alangkah terkejut saudara perempuan dan Yukabad, ketika diketahuinya,
bahawa peti yang membawa bayinya itu terhenti di hadapan istana Firaun, lalu
diambil oleh isteri Firaun.
Yukabad cemas kalau-kalau bayinya dibunuh
oleh Firaun. Tetapi Allah s.w.t lebih berkuasa. Baru saja isteri Firaun melihat
wajah bayi yang hanyut terapung dengan sebuah peti di dalam sungai itu, timbul rasa
cinta kasih dalam hatinya terhadap bayi itu. Lalu anak itu diambil dan
digendongnya, dibawa dan diperlihatkannya kepada suaminya; iaitu Firaun sambil
berkata: ‘Aku suka kepada anak ini, mari dia kita jadikan anak kita sendiri.’
Firaun sendiri pun lupa akan peraturan
yang dikeluarkannya. Dia turut tertarik untuk menjadikan bayi itu menjadi
anaknya sendiri. Begitulah Nabi Musa dibesarkan dan dididik di rumah musuh
besarnya, dengan siapa nantinya Nabi Musa itu sendiri akan berjuang. Alangkah
senang hati Yakubad melihat dan mendengar keadaan bayinya yang selamat itu,
dipelihara oleh raja Firaun yang besar.
Disusui Ibu Sendiri
Sekarang Firaun dan isterinya sibuk mencari
perempuan yang dapat mengasuh dan menyusui anak angkatnya itu. Ramai sudah
perempuan Mesir datang melamar untuk mengasuhnya, tetapi setiap kali hendak
disusukan oleh mereka ke mulut Musa, Musa menolak tidak mahu menyusu.
Akhirnya Firaun memerintahkan kepada
Haman untuk mencari perempuan yang mahu disusui oleh bayi itu. Haman terpaksa
mengendong Musa ke sana ke mari untuk mencari perempuan yang dimaksudkan itu. Ramai
sudah perempuan yang bersedia, tetapi Musa tetap tidak mahu menyusu kepada
mereka, malah tangisannya semakin keras juga yang menandakan dia sangat
haus.
Bertemulah akhirnya dengan seorang
perempuan, yang juga menawarkan diri untuk menyusukannya. Baru saja dia membuka
susunya, dengan cepat bayi itu menyusu kepadanya. Alangkah hairan Firaun
melihat kejadian itu dan berkata: ‘Siapakah engkau ini, tidak seorang pun
perempuan selain engkau yang mahu dia menyusu kepadanya.’
Perempuan itu ialah Yukabad, ibu kandung
kepada bayi itu sendiri, ibu Nabi Musa. Dijawabnyalah perkataan Firaun itu: ‘Aku
perempuan yang baik bau, juga baik susunya. Setiap bayi suka sekali menyusu
kepada aku.’
Begitulah Musa diserahkan kepada ibunya sendiri
untuk dipelihara, diasuh dan disusukan. Dan Yukabad mendapat upah yang lumayan
dari raja Firaun yang kaya raya itu. Demikianlah caranya Allah memelihara Nabi Musa
dan membalas kesabaran dan ketabahan hati Yukabad yang telah sudi menurutkan arahan
wahyu-Nya.
Meninggalkan Istana Firaun
Dengan bersembunyi Nabi Musa lalu keluar
meninggalkan kota itu, kerana berbahaya buat keselamatan dirinya. Baginda
menghadapkan mukanya ke hadrat Allah s.w.t memohon perlindungan dari segala
bencana yang diniatkan orang atas dirinya.
Lapan hari lapan malam lamanya baginda
berjalan terus menerus menuju ke Madyan (perbatasan Hijaz dan Syam) seorang
diri, tidak ada teman, selain perlindungan Allah s.w.t semata-mata, tidak ada
perbekalan selain takwa kepada Allah s.w.t. Berjalan tanpa kasut pula, sehingga
pecah kakinya. Dengan ditimpa kelaparan hebat, sehingga baginda tidak sanggup
lagi membunuh nyamuk dengan tangannya kerana lemah dan letih. Kendatipun
begitu, perjalanan tetap diteruskan, bukan mencari keuntungan wang dan lainnya,
tetapi semata-mata untuk menjauhkan diri dari bahaya Firaun dan kaumnya,
menghindarkan dirinya dari orang-orang yang berniat buruk dan selalu mencari
baginda.
Akhirnya tibalah baginda di Madyan.
Dilihatnya banyak manusia berkumpul dan berkerumun. Setelah didekatinya,
tahulah baginda bahawa di sana ada sumur. Mereka adalah gembala yang sedang
berebutan dahulu mendahului untuk mengambil air dari dalam sumur itu, untuk
minum atau untuk kambing-kambing mereka. Agak tersisih dari orang ramai, Nabi
Musa melihat pula dua orang anak perempuan sedang menjaga kambing-kambingnya
yang sangat kurus, jauh berbeza dengan kambing-kambing orang ramai yang gemuk semuanya.
Kedua-dua anak perempuan itu terpaksa
menyisihkan diri untuk menjaga kehormatan diri, tidak mahu berasak-asak berebut
mengambil air. Dengan sabar mereka menunggu orang ramai itu selesai semuanya
baru mereka mengambil air untuk kambing-kambing mereka. Kadang-kadang mereka
dapati sumur itu telah kosong, sebab itulah kambing kedua-dua perempuan itu
kurus-kurus, sedang kambing orang ramai itu gemuk-gemuk. Dan ini jugalah yang
menyebabkan kedua-dua anak perempuan itu selalu terlambat pulang ke rumah, kerana
menunggu orang ramai selesai lebih dahulu.
Melihat keadaan yang demikian, bergolak
pulalah dalam jiwa Nabi Musa perasaan untuk melindungi orang yang teraniaya.
Nabi Musa mendekati kedua-dua anak perempuan itu lalu bertanya: ‘Kamu berdua
sedang buat apa di sini?’
Kedua-dua anak perempuan itu pun
menerangkan kepada Nabi Musa, bahawa mereka menunggu selesainya orang ramai,
untuk mengambil air pula dari sumur itu. Kami tidak mahu berdesak-desakan
dengan lelaki sebanyak itu. Kami terpaksa datang mengambil air di sini, kerana
bapa kami sudah tua, tidak mungkin untuk datang sendiri ke mari.’
Mendengar cerita kedua-dua anak perempuan
itu, timbul rasa kasihan di hati Nabi Musa. Baginda bangkit berdiri lalu segera
mengambil air dari sumur itu, berasakkan dengan orang ramai, lalu diberikan
kepada kambing-kambing kedua-dua anak perempuan itu. Kemudian Nabi Musa menuju
ke tempat yang agak teduh, baginda duduk di situ melepaskan letihnya.
Dirasakannya benar-benar penat, letih dan lapar, baginda memohon kepada Allah
s.w.t untuk dikasihi atas kemiskinan dirinya itu.
Kedua anak perempuan itu dengan
pertolongan Nabi Musa dapat pulang ke rumahnya lebih cepat dari yang
sudah-sudah, sehingga bapa mereka merasa hairan, lalu bertanya apa sebab mereka
lekas pulang kali ini.
Mendengar cerita anak-anaknya, timbul
dalam hati orang tua itu (menurut ahli sejarah, orang tua ini ialah Nabi
Syuaib) ingin berkenalan dengan Nabi Musa, sehingga diutuskannya salah seorang
dari anak perempuannya itu untuk memanggil Nabi Musa datang ke rumahnya.
Setelah sampai anak perempuan itu dekat
Nabi Musa, dengan malu-malu dia berkata: ‘Aku diutus bapaku untuk memanggilmu
agar sudi datang ke rumahku, kerana bapa telah berhutang budi atas kebaikanmu
yang telah menolong kami.’
Nabi Musa mengabulkan undangan anak
perempuan yang diperintahkan bapanya itu. Kedua-duanya sekarang berjalan
beriring-iringan menuju rumah anak perempuan tersebut. Anak perempuan di
belakang, sedang Nabi Musa di hadapan, untuk menjaga kehormatan kedua belah
pihak. Setiba di rumah, baginda disambut oleh Syuaib (bapa perempuan itu)
dengan dada yang lapang dan rasa terima kasih atas kebaikan dan pertolongan
Nabi Musa. Anak muda itu diminta menceritakan hal ehwal dirinya; maka
diceritakannya dari awal sampai akhirnya, sehingga tahulah orang tua itu akan
sebab dan rahsia perjalanannya yang jauh tersebut.
Orang tua itu mendengarnya dengan tenang.
Kelihatanlah olehnya sifat-sifat baik yang ada pada Nabi Musa. Orang tua itu
menenangkan jiwa Nabi Musa dengan berkata: ‘Jangan bimbang, di sini engkau akan
bebas dari pengejaran kaum yang zalim itu.’
Nabi Musa Jadi Menantu
Tinggallah Nabi Musa di rumah orang tua itu dengan
perasaan yang lega dan tenang. Begitu juga bagi orang tua serta anak-anaknya
itu. Cahaya keimanan sama-sama berkilauan di hati Nabi Musa dan orang tua itu, demikian
juga perasaan keikhlasan dan ramah-tamah. Pergaulan mereka semakin rapat dan
mendalam.
Kemudian sifat dan tabiat Nabi Musa
berpengaruh besar ke hati orang tua itu dan terhadap anak-anaknya juga,
sehingga kedudukan Nabi Musa dalam pergaulan rumah tangga itu semakin tinggi
dan mulia. Terlebih berpengaruh lagi terhadap kalbu anak perempuannya. Sifat
yang ramah-tamah, kekuatan badan dan kesucian hatinya, semakin mendalam masuk
rasa hormat dari anak perempuan itu. Perasaan hormatnya ini disampaikannya
kepada bapanya dengan berkata: ‘Ya bapaku, ambillah anak muda itu bekerja
dengan kita, kerana bukankah sebaik-baik orang yang akan diambil bekerja itu,
ialah orang yang kuat dan berhati tulus ikhlas? Dan bukankah anak muda itu
telah banyak menolong kita, serta dapat mengangkat tutup sumur yang begitu
berat seorang diri? Bukankah dia berhati bersih dan suci sekali, sehingga
ketika kita mengundangnya, dia hanya menganggukkan kepalanya? Begitu juga
ketika kami berjalan berdua, dia berjalan di depan untuk menjaga kehormatan
perempuan yang mengiringkannya.’
Tiap patah kata yang keluar dari mulut anak
perempuannya, didengar oleh orang tua itu seolah-olah acuh tidak acuh, tetapi
sebenarnya diperhatikannya dengan sungguh-sungguh, kerana perasaan yang
demikian itu lebih dahulu sudah tumbuh serta berurat dalam kalbunya sendiri,
sebelum anaknya bersuara. Kini dia mengerti sedalam-dalamnya, mengapa anaknya
berkata demikian, memecahkan pendiamnya selama ini?
Pada suatu pagi, tatkala sang surya mulai
bersinar, udara penuh dengan cuaca terang dan angin sepoi-sepoi, duduklah orang
tua itu seorang diri di tempat yang sudah disediakan. Nabi Musa dipanggilnya,
lalu berkata: ‘Hai Musa, aku mempunyai cita-cita akan mengahwinkan engkau
dengan salah seorang anakku, dengan harapan engkau dapat menjadi teman hidupnya
serta dapat menolongku. Bekerjalah engkau di sini mengembala kambing lapan
tahun lamanya, sebagai maskahwin bagi perkahwinanmu. Tetapi kalau engkau suka
menambah, tambahlah dua tahun lagi, jadi sepuluh tahun lamanya, itu pun
terserah kepada kesanggupanmu, aku sendiri tidak akan memberatkan dirimu dan
engkau akan mengetahui nanti, bahawa aku adalah orang baik-baik, insya-Allah.’
Mendengar perkataan orang tua itu,
terbentanglah di hadapannya jalan ke arah bahagia yang dicita-citakannya selama
ini terasa dalam hatinya, bahawa doanya kepada Allah s.w.t ketika baginda
termenung melepaskan letihnya tempoh hari itu, telah dikabulkan Allah s.w.t.
Dengan tidak terasa, lidahnya bergerak menjawab perkataan Syuaib, bakal
mertuanya itu: ‘Aku terima segala anjuran bapa. Perjanjian antara aku dengan
bapa, apabila aku turut yang mana pun salah satu antara kedua-dua perjanjian
itu (8 tahun atau 10 tahun), kiranya aku tidak bersalah. Allah s.w.t menjadi
saksi atas perjanjian kita ini.’
Dengan perkahwinan ini, Nabi Musa hidup
bahagia sekali dalam perasaannya, kerana mendapat isteri yang cantik serta
mertua yang baik. Keadaan rumah tangganya cukup dan pekerjaannya pun baik. Baginda
bekerja dengan sebaik-baiknya dalam mengurus urusan orang tua itu, untuk
memenuhi janji yang telah ditetapkan.
Menjelang sampai di batas waktu yang
telah ditetapkan, keinginan Nabi Musa untuk kembali ke tanah airnya mulai
timbul, kendatipun baginda berbahagia dan senang di negeri orang; namun ingatan
ke kampung halaman sendiri pasti timbul juga. Pernah disebut orang dalam
pepatah: ‘Setinggi tinggi terbang bangau akhirnya kembali ke belakang kerbau
hinggapnya.’
Waktu yang ditetapkan dalam perjanjian itu
pun sampailah. Baginda bebas sekarang untuk memilih, akan menetap di situ atau
pulang kembali ke negerinya. Niatnya untuk kembali ke kampungnya bersama
isterinya sudah tetap dan tidak dapat digagalkan lagi.
Baginda mulai bersiap menyediakan bekal
dan membungkusi harta bendanya, untuk segera berangkat ke Mesir bersama
isterinya. Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada mertuanya yang sudah tua,
serta mendoakan agar yang ditinggal selamat, begitu juga yang pergi jangan
sampai kurang suatu apa pun. Kedua-dua suami isteri yang bahagia itu pun
bertolaklah menuju ke utara, meninggalkan negeri Madyan. Setelah lama berjalan
menempuh padang pasir yang luas, akhirnya Nabi Musa dan isterinya tiba di Tur
Sina (Gunung Sinai). Selain penat dan letih, kedua musafir suami isteri itu
kini kehilangan jalan, mereka merasa ragu, arah manakah yang harus ditempuh
untuk meneruskan penjalanan ke Mesir.
Dalam keragu-raguan itu malam pun datang,
satu malam yang sangat bersih, dengan bintang-bintang yang gemerlapan di
langit. Bertambah ragulah kedua-dua musafir itu tentang jalan yang harus
ditempuh. Tiba-tiba, jauh di sana, di sebelah kanan jurang yang dalam, Nabi
Musa melihat ada api berkelip-kelip. Nabi Musa ingin mendekati api yang kelihatan
itu seraya berkata kepada isterinya: ‘Tinggallah engkau sendirian di sini
sementara, aku ingin melihat, api apa yang kelihatan itu. Segera aku akan
kembali ke sini membawa khabar, sambil membawa api yang kelihatan itu, mudah-mudahan
dapat kita jadikan diang untuk memanaskan badan.’
Nabi Musa berjalan menuju tempat itu,
melampaui jurang yang dalam. Baginda akhirnya tiba di bawah sebatang pokok
zaitun yang rendang dekat api yang kelihatan dari jauh tadi. Pokok inilah dalam
sejarah yang dimasyhurkan, dengan nama Syajar Musa. Tiba-tiba dengan terang Nabi
Musa mendengar suara: ‘Hai Nabi Musa, Aku inilah Allah s.w.t Tuhanmu. Maka itu
tanggalkanlah kedua kasutmu, kerana sesungguhnya engkau berada di lembah suci
Tuhan. Dan Aku memilih engkau menjadi Utusan-Ku, sebab itu dengarlah baik-baik apa-apa
yang akan diwahyukan kepadamu: ‘Sesungguhnya Akulah Allah s.w.t, tidak ada
Tuhan selain Aku. Sebab itu sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang
untuk mengingatkan Aku. Sesungguhnya kiamat itu pasti datang, hampir Aku
sembunyikan rahsia, agar tiap manusia akan dibalas apa saja yang pernah
dilakukannya. Janganlah engkau dapat dipalingkan dari kepercayaan ini oleh
orang yang tidak percaya, yang hanya memperturutkan hawa nafsunya, agar engkau
jangan sampai celaka lantaran itu.’
Inilah wahyu pertama dari Allah s.w.t
yang diterima Nabi Musa sebagai keputusan, bahawa baginda telah diangkat
menjadi Rasul, pangkat yang sesuai dengan kebesaran jiwa, kesucian hati dan
kesabarannya.
‘Apakah yang engkau pegang di tangan
kananmu itu, hai Musa?’ bunyi suara itu selanjutnya. Nabi Musa mulai menjawab
akan suara wahyu itu: ‘Ini adalah tongkatku, tempat aku bertekan dan aku gunakan
untuk menghalau kambing gembalaku dan lain-lain keperluan.’
Kemudian Allah s.w.t memerintahkan kepada
Nabi Musa untuk melemparkan tongkat itu. Baru saja tongkat itu dilemparkan oleh
Nabi Musa ke tanah, tiba-tiba tongkat itu menjadi ular yang kelihatannya kecil
saja, tetapi lama kelamaan semakin besar, akhirnya menjadi sangat besar,
sehingga kelihatannya amat berbahaya terhadap apa dan sesiapa saja.
Melihat ular sebesar itu, Nabi Musa mulai
ngeri dan takut, sehingga baginda lari sekuat-kuatnya. Allah s.w.t lalu
berfirman kepadanya: ‘Jangan takut wahai Musa, sesungguhnya orang yang telah
diutus itu tidak boleh takut. Peganglah kembali pasti dia kembali seperti
semula menjadi tongkatmu.’
Mendengar firman Allah s.w.t itu, baru Nabi
Musa sedar, bahawa kepadanya selain telah diberikan keterangan dan
kenyataan-kenyataan, juga diberikan kekuatan mukjizat yang maha hebat, yang
terletak pada tongkatnya itu. Jiwanya mulai tenang dan perasaannya menjadi
lega. Insaf benar baginda sekarang, bahawa baginda telah menjadi Nabi dan Rasul
Allah s.w.t. Baginda mengucapkan syukur ke hadrat Allah s.w.t, atas segala
pemberian yang sangat berharga itu.
Kembali Allah s.w.t berfirman kepada Nabi
Musa: ‘Kepitlah tanganmu ke dalam ketiakmu, ya Musa, nescaya tanganmu itu akan
menjadi putih bersih yang berkilat-kilat, tetapi bukan kerana penyakit.
Pangkulah kedua tanganmu itu, bila engkau dalam ketakutan. Inilah dua
keterangan (mukjizat) dari Tuhanmu (iaitu tongkat menjadi ular, tangan menjadi
putih berkilat-kilat), untuk menjadi senjata bagimu. Sekarang berangkatlah
kamu, hadapilah Firaun serta kaumnya para bangsawan, sungguh mereka itu kaum
perosak.’
Kedua-dua mukjizat yang luar biasa ini
telah dapat menetapkan hati Nabi Musa untuk menjalankan semua perintah yang
diberikan Allah s.w.t terhadap manusia dan untuk menghadapi keingkaran Firaun
serta kaumnya, sehingga kekerasan Firaun akan dapat dihadapinya dengan
kekerasan juga.
Melindungi Orang-Orang Yang
Teraniaya
Nabi Musa makin lama makin besar. Tibalah masanya
untuk menyerahkan Nabi Musa kembali ke istana Firaun, agar baginda hidup di
sana sebagai keluarga raja dan menjadi musuhnya. Setelah Nabi Musa cukup umur,
mulailah golongan yang lemah dan teraniaya di Mesir mempunyai perhatian
terhadap Nabi Musa. Mereka berharap bahawa Nabi Musa akan dapat meringankan
tanggungan kesengsaraan mereka yang sedang dalam cengkeraman Firaun; lebih-lebih
lagi mereka mengetahui bahawa Nabi Musa adalah termasuk golongan pendatang atau
Bani Israel dan baginda mempunyai budi yang tinggi, serta mempunyai rasa kasih
sayang terhadap sesama manusia. Nabi Musa sendiri sudah menetapkan tekad dalam
batinnya akan menjadi pembela dari kaum yang lemah itu.
Pada suatu hari, ketika baginda kembali
dari kota menuju istana, di tengah jalan baginda berjumpa dengan dua orang
lelaki yang sedang bergaduh. Seorang di antaranya adalah berbangsa Ibrani, iaitu
bangsa Bani Israel yang sebangsanya dengannya dan yang seorang lagi berdarah
Mesir atau Firaun. Melihat pergaduhan itu, terbit kemarahan hati Nabi Musa
terhadap bangsa Firaun (Mesir) itu. Orang tersebut dipukul hingga mati ketika
itu juga.
Alangkah menyesalnya Nabi Musa atas
perbuatannya yang kurang baik itu dan baginda mengakui bahawa pekerjaan itu
adalah pekerjaan syaitan. Segera baginda mohon ampun kepada Allah s.w.t atas
kesalahannya itu. Kesalahannya pun diampuni oleh Allah s.w.t, kerana Allah
s.w.t Pengampun lagi Pengasih. Sejak waktu itu baginda berjanji tidak akan
melakukan pekerjaan yang begitu kejam lagi, malah baginda menyiapkan dirinya
untuk melindungi orang-orang yang teraniaya.
Nabi Musa berikhtiar agar tidak diketahui
orang Mesir, bahawa dialah sebenarnya yang membunuh lelaki itu. Dalam baginda
berjalan secara bersembunyi, tiba-tiba baginda bertemu lagi dengan orang yang
ditolongnya tempoh hari. Orang itu kembali minta tolong kepada Nabi Musa untuk
memukul musuhnya pula. Nabi Musa berkata kepadanya: ‘Sungguh engkau ini orang
yang sesat dengan terang.’
Tatkala Nabi Musa hendak menarik musuh
orang itu, musuhnya itu berkata kepadanya: ‘Hai, Musa! Apakah engkau hendak
membunuh aku pula, sebagaimana engkau telah membunuh orang tempoh hari itu?
Rupanya engkau hendak menjadi orang ganas di muka bumi ini dan bukanlah engkau
hendak berbuat kebaikan.’
Kata-kata ini didengar oleh orang-orang
Mesir yang berada di sekitar tempat itu. Kini tahulah orang ramai, bahawa
Musalah yang membunuh orang yang mati tempoh hari itu. Kemarahan umat Mesir
kepada Nabi Musa segera meluap. Mereka mencari Nabi Musa untuk mereka tangkap
dan akan dibunuh kalau dapat.
Untung sekali ada seorang lelaki yang
datang dari hujung kota memberi khabar kepada Nabi Musa: ‘Hai, Nabi Musa! Orang-orang
besar (bangsawan) negeri ini telah bermuafakat untuk membunuh engkau, sebab itu
hendaklah engkau segera lari dari sini, sesungguhnya aku ini cuma memberi
nasihat kepadamu.’
Berhadapan Dengan Firaun
Firaun dengan para bangsawannya berkuasa besar atas
lembah Sungai Nil itu, memerintah bangsa Qibt (Mesir) dan bangsa Israel yang
tinggal di daerah tersebut. Kerana kekuasaannya yang besar itu, pemerintahan
Firaun makin lama makin kejam dan sombong. Oleh kerana raja dan para bangsawan
itu mempunyai kekuasaan yang demikian besar, akhirnya mereka menganggap bahawa
diri mereka adalah Tuhan, yang harus disembah oleh rakyat. Yang mereka ketahui
hanyalah kekuasaan dan kebesaran semata-mata, sedikit pun mereka tidak insaf
dan tidak melihat atas kelemahan-kelemahan serta kebodohan diri mereka sendiri.
Selain itu, perlakuan mereka terhadap
golongan Bani Israel semakin kejam. Mereka dibebani dengan berbagai-bagai cukai
dan kerja yang berat-berat. Dengan sedikit kesalahan, mereka diseksa dengan berbagai-bagai
seksaan dan azab. Bangsa Israel dihimpit, ditindas serta diperbodohkan,
sehingga menjadi bangsa yang tidak mempunyai cita-cita lagi.
Mereka berkecimpungan dalam berbagai-bagai
maksiat dan kejahatan, melepaskan hawa nafsu dan syahwat kebinatangan tanpa batas-batas
perikemanusiaan lagi terhadap sesama manusia. Berpaling mereka dari apa yang
baik, tertolak arah mereka dari apa yang benar, sehingga lenyaplah harga kemanusiaan.
Allah s.w.t lalu memanggil Nabi Musa.
Kepadanya diperintahkan untuk mendatangi Firaun dan kaumnya, memberi pengajaran
kepada mereka, agar mereka menyembah Allah s.w.t dan meninggalkan segala
maksiat dan kejahatan, agar mereka menurut garis lurus yang sudah digariskan
oleh Allah s.w.t. Setelah Nabi Musa menerima perintah Allah s.w.t, baginda
menyiapkan dirinya untuk tugas yang dipikulkan kepadanya itu, dengan hati yang
patuh dan taat. Tetapi baginda ingin lebih yakin dan tenang. Oleh kerana itu Nabi
Musa berdatang sembah kepada Tuhannya: ‘Tuhanku, aku sudah pernah membunuh
salah seorang dari bangsa Firaun itu dan kalau aku datang kembali ke tengah-tengah
mereka, tentu aku akan dibunuhnya.’
Allah s.w.t menegaskan kepada Nabi Musa,
bahawa Allah s.w.t selalu bersama baginda. Dengan penegasan ini bertambah
tenang jiwa Nabi Musa. Tetapi baginda ingin pekerjaannya ini lebih besar dan berjaya,
agar baginda lebih tenang dan sabar dalam menjalankannya, Dari itu Nabi Musa
kembali berdoa kepada Allah s.w.t, supaya dadanya dilapangkan Allah s.w.t,
hingga dapat dan sanggup memikul beban yang besar dan mulia itu, sanggup
mengatasi berbagai-bagai kesukaran dan halangan.
Untuk menghadapi pekerjaan besar, serta
kesukaran-kesukaran hebat yang bakal dihadapi, Nabi Musa memohon lagi kepada Allah
s.w.t, agar diberikan seorang teman dan juga sebagai wazir bagi dirinya, iaitu
saudaranya sendiri yang bernama Nabi Harun.
Permohonan Nabi Musa pun dikabulkan Allah
s.w.t, dengan memerintahkan Nabi Harun yang ketika itu sedang berada di Mesir
untuk segera datang mendapatkan Nabi Musa, agar baginda bekerjasama dalam
menghadapi tugas kewajipan yang telah dipikul itu.
Nabi Harun sedia menjalankan apa yang
diilhamkan Allah s.w.t kepadanya. Dengan segera baginda berangkat mendapatkan Nabi
Musa, iaitu saudaranya sendiri di Tur Sina. Setelah bertemu, kedua-duanya sama-sama
berjanji akan bekerjasama, bantu membantu, tolong menolong, untuk sama-sama
melepaskan bangsa Mesir yang sudah sesat dipengaruhi rajanya yang sombong
itu.
Allah s.w.t lalu memerintahkan kepada
kedua-dua Nabi ini: ‘Berangkatlah kamu berdua sekarang juga kepada Firaun.
Berkatalah kepada Firaun dengan kata-kata yang halus dan lunak, mudah-mudahan
seruan kamu ini dapat diterimanya, hatinya yang keras menjadi lunak.’
Lebih-lebih lagi kalau diingat, bahawa Nabi
Musa itu boleh dikatakan anak angkat Firaun, sudah sepatutnya jika kepadanya
berkata-kata dengan lemah lembut. Allah s.w.t perintahkan pula kepada Nabi Musa
dan Nabi Harun, untuk menyatakan kepada Firaun tentang kenabian dan kerasulan
mereka berdua dan Allah s.w.t menyuruh, mereka berdua berikhtiar membebaskan
semua orang Bani Israel dari azab dan seksaan Firaun.
Nabi Musa dan Nabi Harun segera menuju ke
Mesir, lalu bertemulah dengan Firaun. Firaun mengecilkan maksud kedatangan ini,
tidak diendahkan dan tidak diambil peduli apa yang disampaikan kedua-dua Nabi
itu kepadanya. ‘Engkau, Musa! Bukankah kami yang mendidik dan mengasuhmu semasa
kamu masih bayi dan engkau tinggal bersama kami bertahun-tahun dari umurmu?’
demikian kata Firaun kepada Nabi Musa.
‘Apakah pemeliharaanmu terhadap diriku
itu sebagai tanda kebaikanmu? Bukankah itu kerana kejahatanmu terhadap anak-anak
bayi bangsa Israel?’ jawab Nabi Musa.
‘Begitulah pekerjaanmu, hai Musa, engkau
sudah tidak menghargai lagi akan kebaikan kami kepadamu,’ kata Firaun
pula.
‘Aku tidak mahu tersesat, dan kerana
keganasanmulah aku lari dari rumahmu, akhirnya aku mendapat rahmat dan nikmat Allah
s.w.t. Allah s.w.t telah memberiku ilmu dan hikmat, diangkat-Nya aku menjadi Rasul-Nya,’
jawab Nabi Musa kepada Firaun.
Mendengar itu, merah padam muka Firaun,
kerana kemarahan, lalu dia bertanya kepada Nabi Musa: ‘Siapakah Tuhan
seluruh alam itu?’
‘Tuhan seluruh alam ini bukan kamu,
tetapi Allah s.w.t. Tuhanku yang menjadikan langit dan bumi dan segala yang ada
di antara keduanya,’ jawab Nabi Musa.
Timbullah kemarahan besar dari hati
Firaun, sambil berkata kepada kaumnya: ‘Sudahkah kamu dengar apa yang dikatakan
Musa, sudahkah kamu tahu, siapa Tuhannya Musa?’
Kembali Nabi Musa berkata kepada mereka: ‘Tuhanku,
Tuhan kamu dan Tuhant nenek moyangmu sejak dahulu kala, ialah Allah s.w.t, Tuhan
barat timur dan antara keduanya. Mudah-mudahan kamu dapat menggunakan akalmu.’
Kemarahan Firaun tidak dapat ditahan-tahannya
lagi, kerana dia tidak dapat mengalahkan Nabi Musa dengan kata-kata maka
diambilnya jalan lain, iaitu dengan cara menggunakan kekuatan yang ada padanya,
Nabi Musa akan dipenjarakannya: ‘Kalau engkau menyembah Tuhan selain aku
sendiri, engkau pasti kupenjarakan!’ kata Firaun dengan marahnya.
Dengan tenang Nabi Musa berkata kepada
Firaun: ‘Kalau engkau masih belum percaya akan apa yang aku kemukakan, apakah
perlu aku tunjukkan bukti yang nyata, mukjizat yang hebat agar hilang
keraguanmu dan kebimbangan hatimu?’
‘Aku tidak akan percaya sebelum melihat
bukti yang nyata, dari itu kemukakanlah buktimu yang nyata itu, kalau engkau
betul betul orang yang boleh dipercayai,’ kata Firaun.
Bercakap Dengan Allah
Nabi Musa dan para pengikutnya mengambil tempat di
salah satu bahagian dari tanah baru yang ditemuinya. Kiranya adalah termasuk
daerah Tur Sina, di hujung utara Laut Merah. Untuk pengikutnya yang ramai itu, Nabi
Musa menginginkan peraturan hidup yang tertentu, yang harus dijalankan agar
jangan terjadi kekacauan mengenai moral atau kebendaan. Sebab itu Nabi Musa
memohon kepada Allah s.w.t, agar kepadanya diturunkan sebuah kitab, dengan kitab
tersebut Nabi Musa dapat memberikan petunjuk dan pedoman untuk para
pengikutnya.
Untuk mengabulkan permohonan Nabi Musa
ini, Allah s.w.t memerintahkan kepada Nabi Musa, agar menyucikan diri lebih
dahulu dengan cara berpuasa tiga puluh hari lamanya. Sebaik habis menjalankan
puasa itu, Nabi Musa diperintahkan Allah s.w.t untuk datang ke Tur Sina, di
mana Nabi Musa akan mendapat kesempatan untuk bercakap-cakap dengan Allah s.w.t,
juga Allah s.w.t akan menganugerahkan sebuah kitab, di mana terdapat banyak
petunjuk dan peraturan hidup yang dihajatkan Nabi Musa itu. Untuk pergi ke Tur
Sina, Nabi Musa memilih tujuh puluh orang di antara kaumnya, untuk lebih dahulu
pergi ke Tur Sina itu, Nabi Musa akan berangkat ke sana, selepas tujuh puluh
orang itu berangkat.
Sesudah tiga puluh hari lamanya berjalan,
akhirnya sampailah Nabi Musa di Tur Sina. Tetapi ternyata kaumnya yang
berjumlah tujuh puluh orang itu belum juga sampai di sana, lalu diutusnya
seorang utusan untuk menyelidiki apakah yang terjadi atas kelambatan kaumnya
itu, dengan pesan agar mereka segera datang ke Tur Sina.
Akhirnya Nabi Musa mempunyai pendapat,
bahawa lebih baik baginda lekas sampai di Tur Sina menemui Tuhannya, dengan pandangan
bahawa kedatangannya yang lebih cepat dari waktu yang ditetapkan itu, lebih
menyenangkan bagi Allah s.w.t. Tetapi kemudian Allah s.w.t memerintahkan
kepadanya, agar menunggu sampai bilangan empat puluh hari sejak waktu baginda
berangkat.
Setelah sampai pada waktu yang ditentukan
itu, lalu Nabi Musa berangkat seorang diri menemui Tuhannya di Tur Sina (di
puncak Gunung Sinai). Segala urusan kaumnya yang ditinggalkan itu, oleh Nabi
Musa diserahkan kepada Nabi Harun sebagai wakil atau wazirnya, iaitu untuk
mengatur dan mengamati mereka, sampai kembalinya Nabi Musa yang akan membawa
amanat Allah s.w.t Yang Maha Tinggi.
Di puncak Gunung Sinai, Nabi Musa telah
bercakap-cakap dengan Tuhannya, suatu kejadian yang belum pernah dialami oleh
seorang manusia, selain oleh Nabi Musa sendiri. Dalam percakapan itu Allah
s.w.t menjelaskan hakikat ilmu agama kepada Nabi Musa, begitu juga mengenai pedoman
dan petunjuk, aturan dan hukum yang tidak boleh dilanggar.
Sebaik habis percakapan itu, Nabi Musa
memohon pula kepada Allah s.w.t agar kepadanya diberikan kesempatan untuk dapat
melihat sendiri akan rupa Allah s.w.t, kerana selain keinginan baginda sendiri,
hal yang demikian itu telah pernah diminta oleh kaumnya, agar mereka diberikan
kesempatan untuk dapat melihat Allah s.w.t.
Permintaannya itu dijawab oleh Allah
s.w.t: ‘Engkau tidak dapat melihatku. Tetapi menolehlah engkau ke gunung itu.
Bila gunung itu masih tetap di situ, maka engkau akan dapat melihat Aku.’ Baru
saja Nabi Musa menoleh ke arah gunung yang dimaksudkan itu, tiba-tiba gunung
tersebut bergerak-gerak, lalu tenggelam masuk ke perut bumi. Melihat
pemandangan yang luar biasa itu, gementarlah tubuh Nabi Musa, baginda tertunduk
dan bersimpuh sujud menyembah Tuhannya.
Dengan rahmat Allah s.w.t, Nabi Musa
dipelihara dari keadaan yang luar biasa itu, hatinya ditenangkan kembali, lalu Nabi
Musa berdiri dan mengucapkan tasbih, menyucikan dan membesarkan Allah s.w.t
Yang Maha Besar dan Maha Tinggi.
Setelah menerima kitab yang berisi segala
sesuatu yang diperlukan oleh Bani Israel, yang berisi pengajaran dan ketegasan
dari tiap-tiap segala sesuatu, lalu Nabi Musa berkata: ‘Ya Allah, sungguh aku
telah Engkau beri kemuliaan yang belum pernah Engkau berikan kepada orang lain,
selain terhadapku.’
Allah s.w.t berfirman kepada Nabi Musa: ‘Hai
Musa, Aku telah memilihmu menjadi pembawa risalah-Ku dan perkataan-Ku untuk
manusia. Maka ambillah apa yang telah Aku berikan ini dan berterima kasihlah
engkau kepada-Ku!’
Bani Israel telah menunggu-nunggu akan
kedatangan Nabi Musa lebih kurang tiga puluh hari lamanya sejak pemergiannya.
Menurut perjanjian Nabi Musa, sesudah tiga puluh hari itu, Nabi Musa sudah pasti
berada kembali di tengah-tengah mereka. Akan tetapi tiga puluh hari sudah
berlangsung, namun Nabi Musa belum juga datang, kerana Nabi Musa diperintahkan Allah
s.w.t menunggu sampai empat puluh hari, seperti dijelaskan di atas tadi.
Lantaran itu, maka timbullah berbagai
pendapat dan sangkaan di antara Bani Israel yang ditinggalkannya itu. Ada yang
menuduh bahawa Nabi Musa telah memungkiri janjinya. Nabi Musa telah
meninggalkan mereka dan pergi sendirian buat selama-lamanya, di tengah malam
yang gelap, di tempat yang tidak dikenali. Mereka mulai mencari orang yang akan
dapat dijadikan pemimpin mereka yang baru, yang akan memandu agar hidup mereka
jangan tersesat.
Ketika itu, melihat keadaan Bani Israel
yang demikian rupa, timbullah kemahuan buruk dalam jiwa seorang pengikut, yang
bernama Samiri. Kesempatan itu digunakan untuk menyesatkan Bani Israel yang
sedang dalam kegelisahan itu. Berkatalah dia kepada mereka: ‘Nabi Musa
tidak akan kembali lagi kepada kita, baginda sudah pergi untuk kepentingan
dirinya sendiri, baginda telah melanggar janjinya kepada kita, lebih baik kamu
mencari Tuhanmu sendiri.’
Kebodohan dan kesesatan Bani lsrael itu,
digunakan oleh Samiri untuk menyesatkan dan lebih memperbodohkan mereka lagi.
Samiri menyalakan api, membentuk sebuah patung merupakan anak lembu jantan,
tetapi dapat bersuara kerana sihirnya. Patung yang dibuat Samiri ini
dengan segera menjadi fitnah besar di kalangan mereka. Patung itu disembah
mereka, dan itulahT, kata mereka atas anjuran Samiri juga. Nabi Harun berusaha
keras untuk mengembalikan mereka dari kesesatan yang nyata itu dengan bersusah
payah, serta bersedih hati dan cemas. Berkata Nabi Harun kepada mereka: ‘Hai
kaumku, engkau telah difitnah dengan adanya patung itu. Tuhanmu yang sebenarnya
adalah al-Rahman, ikutlah akan kataku dan taatilah perintahku.’
Kata-kata Nabi Harun ini mereka jawab: ‘Kami
tidak akan berhenti menyembahnya, sampai datangnya Nabi Musa kembali kepada
kami.’
Nabi Harun berusaha keras menenangkan
suasana yang mulai kacau, lebih-lebih lagi terhadap orang yang belum tersesat,
yang masih tetap berpegang kepada ajaran yang benar, agar mereka jangan
tersesat pula. Nabi Harun mulai bimbang, kalau-kalau timbul kekacauan dan
pertempuran antara yang tersesat dengan yang taat.
Kepada Nabi Musa yang masih bertekun di
hadapan Tuhannya, segera diwahyukan Allah s.w.t kepadanya, tentang keadaan yang
telah terjadi di kalangan kaum yang ditinggalkannya itu. Diberitahukan juga
oleh Allah s.w.t, bahawa kaumnya yang ditinggalkannya hanya selama empat puluh
hari itu, sudah dapat disesatkan oleh seorang yang bernama Samiri.
Sesudah selesai pertekunan Nabi Musa di
hadapan Tuhannya, baginda segera kembali mendapatkan kaumnya, Mereka yang
tersesat itu, didapati Nabi Musa sedang menari-nari di keliling patung yang
mereka sembah, dengan suara yang hiruk-pikuk, tanda bergembira mempunyai Tuhan
yang baru.
Hati Nabi Musa mulai marah, mukanya merah
padam, terus menemui Nabi Harun. Dipegangnya kepala dan janggut Nabi Harun,
lalu ditariknya kepadanya dan berkata: ‘Kenapa engkau biarkan saja mereka sesat
begini rupa, mengapa tidak engkau jalankan apa yang sudah aku perintahkan,
tidak engkau padamkan api yang sedang menyala yang menimbulkan kejahatan dan
kekafiran itu?’ Sambil mengeluh dalam penyesalannya, Nabi Harun berusaha
menenangkan hati Nabi Musa, agar kembali lunak serta menaruh kasihan
terhadapnya dengan berkata: ‘Hai anak ibuku sendiri, janganlah engkau menarik
kepala dan janggutku dahulu, mereka begitu banyak sedangkan aku seorang diri;
hampir saja aku dibunuh oleh mereka. Janganlah engkau bertindak terhadapku
sebagai tindakanmu terhadap kaum yang sesat itu. Aku takut mengambil tindakan
kekerasan terhadap mereka, kalau mereka sudah tidak menghiraukan kata-kataku
lagi dan pula aku takut kalau-kalau akan menimbulkan perpecahan yang sangat
buruk.’
Mendengar itu, kemarahan Nabi Musa mulai
berkurang, mulailah baginda berkata-kata dengan tenang, segera dihampirinya
pengkhianat yang telah menyebarkan fitnah besar itu, lalu berkata: ‘Apakah
maksudmu dengan cara ini, ya Samiri? ‘
Maka menjawablah Samiri: ‘Aku mendapat
akal yang tidak diperoleh mereka. Aku ambil sekepal tanah bekas jejak Rasul,
lalu aku tiup dengan kepandaian sihirku, kerana demikianlah yang disenangi oleh
nafsuku.’
Kepada orang ramai yang sesat itu, lalu Nabi
Musa berkata: ‘Apakah kamu menyalahi janjimu itu?’ Mereka segera menjawab:
‘Kami menyalahi janji itu bukan kehendak kami sendiri, tetapi kami sengaja
disesatkan oleh Samiri yang telah membuat patung berupa lembu kecil dan pandai
bersuara, maka itulah kami tersesat dari jalan yang benar.’
Akhirnya mereka menyesali akan kesesatan
dan meminta agar kepada mereka itu diberikan keampunan dengan berkata: ‘Kalau
kiranya Allah tidak mengasihi kami dan tidak memberi keampunan kepada kami,
sungguh kamilah orang yang rugi.’
Berkata pula Nabi Musa: ‘Tetapi kamu
sendiri telah berbuat kesalahan, dengan menjadikan patung itu sebagai tuhanmu!’ Segera
mereka menjawab: ‘Apakah daya kami sekarang ini, wahai Nabi Musa?’
‘Bertaubatlah kamu kepada Tuhanmu,’ jawab
Nabi Musa. ‘Tetapi dengan cara bagaimanakah taubat yang dikehendaki Allah
s.w.t itu?’ tanya mereka pula. Nabi Musa lalu menanyakan kepada Allah
s.w.t, bagaimanakah caranya mereka harus bertaubat. Setelah didapati wahyu Allah
s.w.t, lalu Nabi Musa berkata kepada mereka: ‘Kamu bertaubat kepada Allah s.w.t,
dengan cara membunuh dirimu sendiri, pasti Allah s.w.t akan memberi taubat kepadamu,
kerana Allah s.w.t itu adalah Pemberi Taubat lagi Pengasih.’
Mereka yang telah tersesat itu pun tunduk
kepada ajaran Nabi Musa, segera mereka bertaubat dan membunuh diri masing-masing
dan Allah s.w.t pun memberi ampun atas pertaubatan mereka. Tetapi Samiri tidak
mahu menjalankan taubat yang telah diperintahkan Allah s.w.t itu. Dia tetap
hidup, namun tidak seorang juga manusia yang dibolehkan bergaul dengan beliau
selama hidupnya itu. Umurnya dipanjangkan Allah s.w.t, dengan maksud untuk
memberikan seksa kepadanya di dunia ini. Akhirnya beliau tetap mati, kemudian
akan diseksa oleh Allah s.w.t pula di akhirat dengan seksaan yang lebih berat
lagi.
Patung yang berupa lembu kecil itu,
dibakar oleh Nabi Musa dan dilemparkan ke dalam laut. Dengan ini berakhirlah
kesesatan dan kekacauan yang ditimbulkannya itu.
Tidak Mahu Tunduk Hanya
Dengan Kata-Kata
Dengan harapan penuh supaya Firaun insaf akan
kekurangan dirinya, insaf akan kebesaran Tuhannya, maka Nabi Musa cuba
memperlihatkan mukjizat yang telah dikurniakan Allah s.w.t kepadanya, untuk
dipertontonkan kepada Firaun, sesudah terbukti bahawa Firaun tidak mahu tunduk
kalau hanya dengan kata-kata belaka.
Bukan terhadap Firaun saja, tetapi
hendaknya dapat pula menginsafkan para bangsawan yang tidak lebih dan tidak
kurang pada kekafiran mereka, bahkan mereka itulah sebenarnya yang telah
menghasut dengan nasihat-nasihatnya yang amat kejam, sehingga Firaun menjadi
bertambah sesat dan kejam juga.
Dengan mengucapkan syukur kepada Allah
s.w.t yang telah menurunkan berbagai rahmat dan nikmat, Nabi Musa mulai
memperlihatkan mukjizatnya yang besar. Tongkat yang berada di tangannya,
dilemparkannya ke tanah. Tiba-tiba tongkat itu menjadi ular besar, sehingga
Firaun dan para bangsawannya betul-betul takjub melihatnya.
‘Cubalah tunjukkan yang lain pula!’ kata
Firaun kepada Nabi Musa, dengan harapan Nabi Musa tidak akan dapat lagi berbuat
apa-apa selain semacam itu saja.
Nabi Musa segera memasukkan tangannya ke
ketiaknya. Sejurus kemudian tangan itu dikeluarkannya. Tangan tersebut
mengeluarkan sinar yang berkilau-kilauan, lebih hebat dari cahaya kilat,
sehingga dunia menjadi terang benderang, mata Firaun dan para bangsawannya
menjadi silau.
Firaun merasa sudah tidak mempunyai daya
lagi untuk mengalahkan Nabi Musa. Dia berpaling menuju ke tempatnya
bersama-sama dengan para bangsawannya. Dalam hatinya timbul berbagai-bagai
fikiran jahat, dengan cara bagaimana dapat mengalahkan Nabi Musa. Kehebatan
Nabi Musa itu cuba diperkecil-kecilkannya, dia menganggap bahawa itu semua
sihir semata-mata. Dia lupa akan kebesaran Allah s.w.t yang telah memberikan
mukjizat itu.
Berkata Firaun kepada para
bangsawannya: ‘Kedua-dua tukang sihir itu (Nabi Musa dan Harun), rupanya
ingin mengalahkan kita dengan sihirnya, ingin mengeluarkan kita dari negeri ini
dengan kekuatan sihirnya. Bagaimanakah pandangan kamu sekalian tentang hal
ini?’
Semua bangsawan dan pembesarnya itu menjawab: ‘Kedua-dua
orang itu perlu kita kalahkan, dengan mendatangkan semua ahli sihir bangsa kita
yang telah masyhur kepandaiannya, untuk mengalahkan Nabi Musa, bahkan untuk
melenyapkan kedua-dua mereka itu dari permukaan bumi ini.’
Sebagaimana yang kita ketahui, bahawa
Mesir pada masa Firaun itu masyhur sekali dengan ilmu sihir. Keahlian tukang
sihir Mesir ketika itu telah dapat mengalahkan semua tukang sihir yang
bagaimanapun juga pintarnya di atas dunia ini. Dan atas kehebatan ilmu sihir
para pengikutnya itulah, maka Firaun dapat berkuasa dan menjadi raja
besar.
Fikiran para bangsawan dan pembesar itu
masuk pula di akal Firaun. Semua tukang sihir diperintahkan datang berkumpul,
dari seluruh pelosok Mesir, baik dari kampung mahupun dari kota. Lalu
Firaun berkata kepada Nabi Musa: ‘Apakah engkau sengaja datang ke mari
untuk mengusir kami dari negeri kami dengan kekuatan sihirmu itu, hai
Musa?’
Ditegaskannya oleh Firaun, bahawa Nabi
Musa tidak akan dapat berbuat lebih dari itu, kerana rakyat Firaun sudah termasyhur
ahli tentang ilmu sihirnya. Nabi Musa diperintahkannya untuk berhadapan dengan
tukang-tukang sihir yang sudah dikumpulkannya itu untuk mengadu kehandalan.
Nabi Musa menurut agar pertandingan kepintaran itu diadakan di hadapan rakyat
jelata, agar orang ramai dapat mengetahui, siapa yang benar dan siapa pula yang
tidak benar dan palsu dalam hal ini.
Dalam pada itu Firaun dengan segala daya
upayanya, memilih di antara tukang-tukang sihir yang berpuluh-puluh ribu itu,
beberapa ribu saja yang benar-benar pintar dan telah terbukti kepintaran
mereka. Untuk dihadapkan kepada Nabi Musa, untuk mengalahkannya, bahkan kalau
dapat untuk melenyapkan Nabi Musa sekali.
Kepada tukang-tukang sihir itu dijanjikan
oleh Firaun akan pangkat yang tinggi dan harta sebanyak-banyaknya, bila
tukang-tukang sihir itu berjaya mengalahkan Nabi Musa dalam hal ini. Hari yang
telah ditetapkan itu pun datanglah. Baik Firaun dan para bangsawannya, mahupun
semua tukang sihir yang ribuan jumlahnya itu sama-sama berkumpul di tanah lapang
yang luas, di mana hampir seluruh rakyat pun turut menjadi penonton.
Nabi Musa dan Harun berdua saja, tampil
ke tengah-tengah lapangan pertandingan. Di tempat itu berkatalah Nabi Musa
kepada sekalian tukang sihir Firaun: ‘Celaka besar bagi orang yang berbuat
dusta tentang Allah s.w.t. Kamu sekalian sudah mendustakannya, kamu sangka
mukjizat ini sebagai sihir, kamu samakan saja antara sihir dengan mukjizat,
antara yang batil dengan yang hak. Barangsiapa yang cuba memalsukan yang hak
dan membenarkan yang palsu, maka orang itu akan kalah dan rugi
semata-mata.’
Seruan dan kata-kata Nabi Musa yang
singkat itu, rupanya lancar sekali masuknya ke dalam telinga tiap-tiap tukang
tersebut. Dan kata-kata ini akan memberi saluran yang baik sekali dalam fikiran
mereka untuk mencari jalan yang benar, di antara dua keadaan yang saling
bertentangan, yang sedang mereka hadapi sekarang ini.
Tiba-tiba semua tukang sihir yang puluhan
ribu jumlahnya itu, dipanggil oleh Firaun untuk berkumpul dan berbaris dengan
gagah, di masing-masing tangan mereka tergenggam seutas tali dan sebatang
tongkat. Hal itu sengaja dilakukan oleh Firaun, untuk memperlihatkan
kekuasaannya kepada Nabi Musa dan Harun, agar Nabi Musa dan Harun takut dan
orang ramai bersemangat.
Dengan demikian, orang ramai rata-rata
sekarang ini percaya akan kemenangan tukang-tukang sihir yang banyak itu, yakin
bahawa Nabi Musa dan Harun akan dapat dikalahkan dan dibinasakan di
tengah-tengah pertandingan itu. Firaun segera memerintahkan untuk mulai
pertandingan. Lalu berkata tukang-tukang sihir itu kepada Nabi Musa: ‘Apa kamu
akan memulai mempertunjukkan kehebatanmu, ataukah kami yang akan memulainya
terlebih dahulu?’
Nabi Musa dan Harun sedikit pun tidak
gentar akan semua pertunjukan kekuasaan Firaun itu. Dengan tidak bimbang
sedikit pun, tukang-tukang sihir itu dipersilakan memulai akan kehebatan sihir
mereka. Dengan memperlindungkan diri kepada Allah s.w.t, serta berdoa akan
pertolongan Allah s.w.t, Nabi Musa mempersilakan tukang-tukang sihir itu
melepaskan tali dan tongkat-tongkat mereka.
Dengan serentak, mereka melepaskan tali
dan tongkat dari tangan masing-masing. Di hadapan Nabi Musa dan Harun tiba-tiba
merayaplah beribu-ribu ekor ular kecil, yang kesemuanya menuju ke arah Nabi
Musa dan Harun, untuk membinasakan mereka berdua.
Jelas terdengar oleh Nabi Musa akan wahyu
Allah s.w.t ketika itu: ‘Jangan takut, hai Musa, engkaulah yang lebih
unggul.’
Nabi Musa segera melepaskan tongkatnya,
seketika itu juga menjelma menjadi seekor ular yang luar biasa besarnya. Semua
ular yang kecil-kecil itu segera ditelannya sampai habis, dalam waktu sekejap
mata saja. Melihat kejadian itu semua tukang sihir Firaun merasa takjub dan
tercengang. Kelihatanlah oleh mata kepalanya sendiri, bagaimana kebenaran dapat
melenyapkan kepalsuan, begitu juga yang hak dapat menyapu bersih akan
kesesatan.
Tunduk Dan Bersujud
Sekalian tukang sihir itu, dengan serentak tunduk
dan bersujud di hadapan Nabi Musa dan Harun, kerana mereka menginsafi akan
kesesatan perbuatan serta ilmu, mereka bertaubat dan memohon ampun kepada Allah
s.w.t, atas segala dosa yang telah mereka lakukan selama ini. Menggeletarlah
tubuh Firaun menahan kemarahan, setelah dia melihat kejadian tersebut. Terasa
olehnya mahkota yang berada di kepalanya bergerak mahu jatuh, kekuasaan yang
diharapkannya akan bertambah kuat, tetapi ternyata malah semakin merosot.
Kejadian yang dilihatnya itu, dirasakannya seolah-olah angin taufan yang paling
dahsyat, yang mungkin akan menumbangkan kerajaan yang didirikannya di atas
segala kepalsuan dan kebodohan itu.
Kerana ramainya orang yang tunduk dan
beriman kepada Nabi Musa dan Nabi Harun, lalu Firaun mengeluarkan undang-undang
darurat yang mengancam kepada siapa yang keluar dari ketaatan terhadap dirinya.
Berbagai-bagai hukuman dicantumkan dalam undang-undang yang baru, ada hukuman
potong tangan, potong kaki, hukum gantung, salib dan sebagainya.
Kalau rasa keimanan telah meresap ke
dalam jiwa seseorang manusia, walaupun dengan kekuatan senjata apa pun,
keimanan itu tidak akan dapat dicabut keluar. Tidak ada sebuah kekuasaan yang
besar mana sekalipun yang mampu membelokkan hati orang yang beriman tersebut, kendatipun
dengan ancaman-ancaman yang berat. Mereka yang telah beriman itu hanya berkata:
‘Kami beriman kepada Allah s.w.t, agar diampuni-Nya segala kesalahan dan dosa
dosa kami, yang telah kamu paksakan terhadap kami untuk mengerjakan serta
mempelajari sihir. Allah s.w.t lebih baik dan lebih kekal.’
Rahmat Dan Nikmat Allah
Pada zaman itu sungguh tidak ada satu bangsa di
dunia ini yang paling banyak menerima rahmat dan nikmat serta tuntunan dari Allah
s.w.t, selain bangsa Bani Israel itu. Bukan hanya nikmat yang berupa hasil bumi
dan binatang ternakan serta kekayaan alam, tetapi juga kekuasaan, kepintaran
dan sebagainya. Lebih-lebih lagi rahmat Allah s.w.t yang telah melepaskan
mereka dari beberapa seksaan, ketika mereka berada di Mesir, di bawah jajahan
Firaun. Mereka dilepaskan dan dimerdekakan Allah s.w.t dari kehinaan dan
ketakutan di bawah pimpinan Nabi Musa dan Nabi Harun.
Mereka disesatkan oleh Samiri, kemudian
dibetulkan Allah s.w.t dan diampuni dosa mereka. Begitu juga sewaktu mereka
terkepung oleh tentera Firaun sampai terdesak ke laut, maka dibentangkan Allah
s.w.t jalan raya di atas lautan itu, lalu Allah s.w.t menghancurkan Firaun serta
tenteranya di hadapan mata kepala mereka sendiri, agar mereka dapat hidup selamat
di atas bumi ini. Kepada mereka diturunkan Allah s.w.t makanan dari langit,
yang berupa Manna dan Salwa, ketika mereka sedang berada di tengah-tengah
padang pasir di mana tidak ada makanan dan minuman. Kalau tidak demikian, sudah
pasti mereka akan mati kelaparan di tengah padang pasir yang panas terik
itu.
Lebih besar dan hebat lagi rahmat dan
nikmat Allah s.w.t kepada Bani Israel, kerana bangsa Israellah yang diangkat Allah
s.w.t menjadi orang-orang yang mulia, menjadi Nabi dan Rasul yang besar, untuk
memimpin mereka, mengeluarkan dari lembah kebodohan, kesesatan dan
kesengsaraan, menjadi bangsa yang maju dan bangsa yang memimpin.
Berulang kali nikmat dan rahmat itu silih
berganti diturunkan Allah s.w.t kepada mereka, berulang kali pula mereka silih
berganti sesat dan menderhaka akan ajaran Allah s.w.t. Sungguhpun begitu, Allah
s.w.t masih memberikan juga keampunan kepada mereka, berkat doa dari para Nabi
dan Rasul mereka.
Untuk menyempurnakan rahmat dan nikmat Allah
s.w.t terhadap mereka, telah disediakan Allah s.w.t sebuah negeri yang
dinamakan negeri suci, iaitu Syria sekarang ini. Di situlah mereka hidup selamat
dan tenteram, serta bahagia, berkuasa dan tidak dikuasai bangsa lain. Maka
diperintahkan oleh Allah s.w.t, agar mereka di bawah pimpinan Nabi Musa segera
memasuki negeri yang sudah disediakan Allah s.w.t, untuk tempat tinggal mereka.
Ini adalah suatu perintah Allah s.w.t yang wajib ditaatinya bersama-sama dengan
Nabi Musa dan Nabi Harun.
Perintah ini disampaikan Nabi Musa kepada
mereka itu: ‘Masuklah kamu ke tanah suci Syria yang telah diwajibkan oleh Allah
s.w.t atasmu. Janganlah kamu mundur ke belakang, kerana merasa takut untuk
melawan musuhmu yang sedang berkuasa di negeri itu. Jika ternyata kamu mundur,
sungguh kamu ini adalah orang-orang yang rugi.’
Tetapi kerana mereka mengetahui bahawa di
dalam negeri itu berdiam orang-orang yang kuat dan berani, maka untuk
menghindarkan diri dari pertempuran, sebab takut mati, perintah Allah s.w.t itu
mereka sanggah, serta mereka menjawab kepada Nabi Musa: ‘Hai Musa,
sesungguhnya di dalam negeri ini berdiam beberapa orang yang gagah berani. Kami
tidak akan berani memasukinya, sebelum mereka yang gagah berani itu keluar dari
sana. Jika mereka sudah keluar dari sana, baru kami berani masuk ke dalamnya.’
Mendengar jawapan dan sanggahan mereka, Nabi
Musa dan Nabi Harun yang merasa takut akan ditariknya kembali nikmat dan rahmat
yang telah dijanjikan Allah s.w.t, berkata kepada kaum yang sudah mulai pandai
menyanggah tersebut: ‘Masuklah olehmu negeri itu dari pintunya. Dengan jalan
begitu, bila kamu masuk ke dalamnya, kamu akan dapat mengalahkan mereka.
Hendaklah kamu menyerahkan dirimu kepada Allah s.w.t, sekiranya kamu benar-benar
orang yang beriman!’
Mereka menjawab pula: ‘Ya Musa, sekali
kali kami tidak akan memasuki negeri itu, sebelum mereka keluar. Sebab itu
hendaklah engkau saja yang masuk lebih dahulu ke dalam negeri itu bersama
Tuhanmu. Maka berperanglah engkau dan Tuhanmu dengan mereka itu, kami duduk
menanti di sini.’
Rupanya sanggahan mereka itu sudah tidak
dapat tawar menawar lagi, walau bagaimanapun usaha Nabi Musa dan Nabi Harun
menganjurkan mereka, agar tunduk terhadap perintah Allah s.w.t untuk memasuki
negeri itu. Mereka tetap menolaknya, bahkan menyanggahnya dengan kata-kata
kekafiran lagi. Akhirnya harapan Nabi Musa dan Nabi Harun mulai tipis, kerana Nabi
Musa dan Nabi Harun tidak akan menjalankan paksaan terhadap mereka, hanya
diserahkan kembali urusan ini kepada Allah s.w.t, sambil berkata: ‘Ya
Tuhanku, sesungguhnya aku tidak dapat memaksa mereka, selain dapat memaksa diri
aku sendiri bersama diri saudara aku Nabi Harun. Sebab itu ceraikanlah antara
kami berdua dengan orang-orang yang engkar dan fasik itu.’
Dengan kejadian ini, maka turunlah firman
Allah s.w.t yang menghukum mereka: ‘Sesungguhnya tanah suci itu diharamkan bagi
mereka untuk memasukinya selama empat puluh tahun, sedang mereka akan
bergelandangan hidupnya di bumi ini dengan kesesatan. Sebab itu (hai Nabi Musa)
janganlah engkau berdukacita terhadap orang-orang yang fasik itu. Benar saja,
dalam empat puluh tahun lamanya, mereka tidak keruan tujuan hidupnya di bumi
ini, tidak menentu apa yang harus mereka lakukan, tidak menentu pula makan dan
minumnya. Dalam masa empat puluh tahun itu, boleh dikatakan kesemuanya yang
menjadi biang keladi keingkaran dan kesesatan ini, begitu juga pembesar-pembesar
turut musnah semuanya, kini tinggallah anak-anak dan keturunan mereka saja.
Dari keturunan inilah kemudian ada yang baik dan ada pula yang sesat.’
Yang baik di antaranya, tetap mengikuti
ajaran Nabi mereka dan yang sesat, terus menerus terusir dari sebuah negeri ke
sebuah ke negeri yang lain. Pengusiran ini dialami mereka bukanlah selama empat
puluh tahun saja, tetapi sampai dalam abad kedua puluh ini masih juga
dialaminya.
Nabi Musa Membelah Laut
Bani Israel yang selama ini hidup dalam seksaan dan
penghinaan, mulai terbuka kedua mata mereka, mulai tahu membezakan yang sesat
dari yang benar. Mereka mulai percaya akan Rasul Allah Nabi Musa yang datang
membawa petunjuk kepada mereka. Mereka mulai meninggalkan ketaatan kepada
Firaun. Firaun mulai kekurangan pengaruh, sedang Nabi Musa selalu bertambah
temannya.
Lantaran itu dengan cara yang bagaimana pun,
Firaun harus mengenyahkan Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya dari Mesir, dengan
jalan pembunuhan. Tetapi Nabi Musa dan Bani Israel yang tunduk kepadanya sudah
siap sedia, mereka akan meninggalkan Mesir serentak pada suatu malam yang sudah
ditetapkan.
Pada malam yang sudah ditetapkan itu,
berkumpullah Nabi Musa dengan kaum Bani Israel di sebuah tempat, lalu berangkat
bersama-sama meninggalkan Mesir, menuju ke Tanah Suci Palestin kerana memang
dari situlah mereka semua berasal. Mereka berangkat hati-hati sekali, kerana
tentera Firaun sejak siang tadi telah disiapkan untuk menghalang keberangkatan
ini. Firaun bercita-cita hendak memusnahkan mereka semuanya. Sekian lama mereka
berjalan di atas gurun padang pasir yang kering, akhirnya mereka sampai di
pinggir laut yang luas. Bagaimana akalnya untuk menyeberangi laut yang amat
luas itu, kapal tidak ada, perahu pun tidak, sedang musuh, iaitu Firaun dengan
tenteranya yang kuat, semakin dekat mendesak dari belakang, akan memusnahkan
mereka.
Di situlah Bani Israel mengalami
ketakutan dan kebimbangan yang sehebat-hebatnya, kerana mereka tahu, bahawa
tentera Firaun yang berkenderaan kuda dengan senjata-senjata panah yang tajam,
telah semakin dekat, jauhnya antara mereka dengan tentera Firaun, kira-kira dua
kali jalan anak panah atau kurang.
Bukan lagi takut dan bimbang, malah
mereka telah melihat maut sedang menghampiri, keluh-kesahnya sudah mulai
terdengar dari mulut ke mulut. Di tengah-tengah keluh-kesah yang mendalam itu, tiba-tiba
tampil ke muka seorang di antara Bani Israel yang ikut dalam perjalanan itu,
berkata dengan suaranya yang keras, mengeluarkan kemarahan serta geramnya kepada
Nabi Musa, mengemukakan rasa sesal di hatinya; dia ini pengikut Nabi Musa yang
bernama Yusya bin Nun.
Dengan lancangnya dia berkata: ‘Hai,
orang yang bnoleh berbicara dengan Tuhan! Bagaimana urusan engkau ini? Engkau
telah membawa kami menghadapi nasib yang tidak dapat dihindarkan ini! Laut
terbentang di hadapan sedang musuh sudah mendesak dari belakang, tidak ada
sedikit pun jalan untuk menghindarkan kematian.’
Mendengar kata-kata itu, Nabi Musa hanya
berkata: ‘Tunggulah, mudah-mudahan aku dapat berbuat sesuatu terhadap laut ini!’
Kata-kata itu telah dapat memberikan
harapan hidup kepada mereka, yang sudah yakin akan kematian itu. Tetapi kenapa
belum juga ada apa-apa, sedang musuh sudah terdengar soraknya. Mereka kembali
berputus asa, kesal dan geram terhadap Nabi Musa. Mulai keluar dari isi hati
mereka yang busuk-busuk itu, celaan serta makian yang tidak terbatas. Tiba-tiba
Allah s.w.t mewahyukan kepada Nabi Musa: ‘Pukulkanlah tongkatmu itu ke laut,
hai Musa!’
Segera Nabi Musa memukul laut itu dengan
tongkatnya, dengan tiba-tiba terbentanglah di atas laut itu dua belas jalan raya
yang lapang, sedang di kedua-dua pinggir jalan itu masing-masing berdiri tembok
air yang tebal, yang tidak dapat ditembusi oleh panah atau peluru. Kerana
bangsa Israil yang turut ketika itu terdiri dari dua belas golongan (suku
bangsa), maka tiap-tiap golongan mendapat sebatang jalan raya yang terbentang
itu untuk mereka tempuh.
Dengan gembira dan terima kasih yang sebesar-besarnya,
mereka segera lari melalui jalan raya laut yang sudah terbentang itu, tepat
ketika tentera Firaun kehihatan di belakang, sedia untuk memanah dan
menghancurkan mereka. Firman Allah s.w.t: ‘Dibentangkan bagi mereka jalan
raya di laut, jalan yang kering, tidak perlu takut karam dan basah. Sedang
mereka berjalan dengan selamat di tengah-tengah jalan laut itu, maka
terlihatlah oleh mereka akan Firaun dengan tenteranya sedang mengejarnya, melalui
jalan raya laut itu juga. Setelah mereka tiba dengan selamat di seberang
laut, kembali kebimbangan dan ketakutannya, kerana Firaun pun sudah dalam
perjalanan di tengah-tengah jalan raya haut itu, menuju mereka. Nabi Musa lalu
memerintahkan kepada laut itu agar kembali kepada keadaannya yang asal. Dengan
perintah ini, dua dinding tembok air di pinggir masing-masing jalan itu pun
bertemulah, sehingga semua tentera Firaun yang sedang berada di dalamnya, juga
Firaun sendiri tenggelam, mati dan terkubur di sana semuanya.’
Di situlah tamatnya riwayat Firaun dengan
segala kekejaman dan kesombongannya, sama-sama ditelan oleh laut yang
dibentangkan oleh Allah s.w.t. Sedang Nabi Musa dan kaumnya selamat, tidak
kurang suatu apa pun, sampai ke tempat yang mereka tuju.
Pada waktu jiwa akan meninggalkan jasad
Firaun di tengah-tengah perut laut itu, datanglah keinsafan kepada Firaun yang
selama ini tidak mahu insaf. Insaf akan kebenaran Nabi Musa, akan kebesaran Allah
s.w.t dan kelemahan dirinya, maka baginda berkata: ‘Aku percaya (iman), bahawa
tidak ada Tuhan selain Allah s.w.t, yang sudah diimani oleh Bani Israel dan
sekarang aku turut beriman pula sebagai seorang Muslim.’
Tetapi bukan saatnya ketika itu untuk
menyesal dan memohon ampun, untuk menyatakan beriman atau tidak. Masa itu adalah
masa seksaan yang terakhir. Dari itu taubat Firaun ditolak oleh Allah s.w.t,
kerana terlambat dari waktu yang sudah ditentukan-Nya.
Tatkala kedua-dua tembok air itu bertemu
menelan Firaun dan tenteranya, terdengar bunyi hiruk-pikuk di dalam perut laut
itu, sehingga Bani Israel bertanya kepada Nabi Musa: ‘Suara apakah yang hiruk-pikuk
itu?’ Nabi Musa menjawab: ‘Ya, itulah bunyi seksaan Allah s.w.t yang
ditimpakan kepada Firaun dan tenteranya.’
Rupanya masih ada di antara Bani Israel,
yang menurut pengakuannya sudah beriman, tetapi dalam batinnya masih tertinggal
kepercayaan lama, sehingga dia tidak percaya bahawa Firaun itu sudah mati, sebab
Firaun itu katanya tuhan, dia boleh bisa di Mesir dan boleh pula hidup di dalam
laut. Kepada Nabi Musa dikatakan oleh orang itu, bahawa Firaun belum mati.
Diterangkan oleh Nabi Musa, bahawa sangkaan yang demikian itu adalah
persangkaan yang batil, yang tidak benar belaka. Lalu laut itu memuntahkan
mayat Firaun ke permukaan air, sehingga dapat dilihat oleh mereka, bahawa
Firaun itu benar-benar sudah mati.
Walau demikian, masih saja terdapat di
antara mereka yang belum percaya akan kematian Firaun, malah dia berkata bahawa
Firaun itu masih hidup di alam ghaib, pendekatan menurut kemahuan mereka saja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan