SMAHADZIR
TERSEBUTLAH bahawa pada masa itu Oria bin Hannan
sudah meningkat umur remajanya. Badannya sihat. kuat dan segar bugar, baik rupa
dan tampan. Tiada pula kekurangan dalam penghidupannya. Sungguhpun begitu, dia
selalu kelihatan gelisah saja, sering pula dia duduk mengelamun. Tidak lain
yang menggoda fikirannya yang menyebabkan dia sering mengelamun itu, ialah cita-cita
baru yang timbul dalam hatinya, cita-cita yang datangnya keras maha dahsyat,
iaitu cita-cita ingin mempunyai teman hidup. Kenapa hal ini menyebabkan dia
gelisah dan mengelamun? Bukankah di kalangan orang sekampung dan bangsanya
sendiri ramai gadis yang tidak keberatan berkahwin dengan dia, kalau dia
mahu?
Yang menyebabkan gelisahnya, bukanlah
kerana kekurangan gadis, tetapi adalah kerana ramai anak-anak gadis itu. Dia
menginginkan seorang gadis yang paling cantik dan manis, yang paling menarik
hatinya. Menetapkan yang paling cantik dan menarik inilah yang sangat dia susah
dan inilah yang menyebabkan dia melamun dan gelisah tersebut.
Kegelisahan ini tidak dibiarkannya lama. Dia
bangun dari lamunannya, berdiri dan berkata kepada dirinya: ‘Dengan sekadar
mengelamun saja, tidak akan menamatkan perjuangan batinku ini. Lebih baik aku mulai
hari ini juga berjalan dan terus berjalan mencari wanita atau gadis yang sesuai
dengan kehendak hatiku. Siapa tahu, bahawa di sana, di bawah lingkaran langit
yang biru ini, ada seseorang yang dapat memenuhi hasrat hati, yang sesuai
dengan syarat mutlak yang terguris dalam kalbuku ini.’
Panah Asmara
Tidak lama dia berjalan mencari-cari itu, dengan
takdir Allah s.w.t, pada suatu hari di sebuah tempat, panah asmara yang
tersembur dari matanya sendiri jatuh tertambat di wajah seorang gadis dari
kaumnya juga, bernama Sabiq binti Syaik. Dalam pandang pertama yang lamanya
hanya sekejap itu, Oria bin Hannan melihat, lalu menimbang, lantas mengusul,
akhirnya memutuskan dalam hatinya, bahawa inilah dia gadis yang dicari-carinya
itu.
Memang pilihannya tidak salah lagi.
Memang Sabiq adalah seorang gadis yang cantik jelita, termasuk gadis-gadis yang
mulia di negerinya, tenang dan dalam pula pemikirannya. Yang semua itu, kalau
dikirakan akan menambah molek dan jelitanya pula, dengan pandangan lahir, lebih-lebih
lagi dengan batin manusia yang melihatnya.
Segera dia datang kepada keluar gadis tersebut.
Pinangan dan lamarannya disambut dengan tangan terbuka dan dada yang lapang.
Perkahwinan antara kedua merpati itu segera berlangsung. Hasrat pemuda kita itu
segera terkabul, sehingga dunia yang selama ini gelap dalam pandangannya,
menjadi sinar diterangi surya bahagia rumah tangga.
Sedang kedua-dua suami isteri itu hidup dalam
suasana asyik dan masyuk, seakan-akan selalu dalam bulan madu, tiba-tiba Raja Daud
mengumumkan adanya bahaya dari luar. Pemuda-pemuda Israel diperintahkan untuk
mencatatkan diri menjadi tentera pembela tanah air dan agama, untuk menghadapi
perang dan jihad dalam jalan Allah s.w.t.
Berat hati Oria bin Hannan untuk
melangkahkan kakinya ke medan perang, yang mungkin menjadi medan maut tatkala dia
sedang terpaku di tengah-tengah alam bahagia di samping isterinya yang
dicintainya itu. Takut dia kalau lama dia tidak dapat pulang, lebih takut lagi
kalau dia mati syahid di medan perang. Bagaimanakah isterinya tinggal tanpa dia
dan bukankah kedua-duanya sudah begitu asyik, sehingga terpisah sebentar saja pun
akan menguraikan air mata?
Tetapi kewajipan terhadap tanah air dan
agama, adalah kewajipan yang berdiri atas segala kewajipan. Kewajipan yang
harus ditunaikan kendatipun akan menyebabkan membanjirnya air mata dan darah.
Oria bin Hannan terjunkan dirinya dalam ketenteraan dan terus dikirimkan ke medan
perang menghadapi serangan musuh yang kuat. Pertempuran terjadi dan berkobar
dengan hebatnya. Pertempuran demi pertempuran, silih berganti tidak ada putus-putusnya.
Kerana sama-sama kuat, maka perang itu bukan berjalan dalam masa satu dua hari
saja, tetapi puluhan dan ratusan hari, belum juga berkesudahan.
Fikiran Oria bin Hannan sebaik habis tiap-tiap
pertempuran yang dihadapinya, selalu terbang melayang ke rumah, kepada isteri
tercintanya. Kewajipan dijalankan sebaik-baiknya, dengan harapan dan doa yang
saban waktu diucapkannya kepada Allah s.w.t, mudah-mudahan perang lekas
berakhir dengan kemenangan yang gilang gemilang bagi negeri dan agamanya.
Tetapi perang tidak kunjung berhenti, malah semakin sengit.
Mengajukan Lamaran
Takdir Allah s.w.t menentukan, bahawa pada suatu
hari mata Raja Daud, Nabi Yang Mulia ini terpandang ke wajah Sabiq bin Syaik,
isteri Oria bin Hannan, hati Nabi Daud bergetar dibuatnya, ingin mempersuntingkan
wanita jelita itu menjadi isterinya pula. Dengan segera Nabi Daud mengajukan
lamaran kepada keluarga Sabiq. Siapakah gerangan yang akan menolak lamaran dari
seorang Nabi Yang Mulia, raja yang besar seperti Nabi Daud itu? Raja dan Nabi
yang terbesar di seluruh dunia tatkala itu, lebih-lebih lagi suami Sabiq
sendiri sudah lama benar tidak terdengar beritanya, mungkin tewas atau sudah
meninggal dunia.
Perkahwinan Nabi Daud dengan Sabiq binti
Syaik segera pula terjadi, dengan riang gembira bagi Nabi Daud dan keluarga
sendiri. Tetapi di sana, di bawah ufuk yang tinggi, ada seorang pemuda yang
mendengar terjadinya perkahwinan ini, seperti pukulan yang hebat menimpa
dirinya, pukulan yang menghancurkan segala sendi dan urat sarafnya, menembusi
jantung dan kalbunya.
Sejak perkahwinan dengan Sabiq binti
Syaik ini, Nabi Daud lebih gembira dalam menjalankan tugasnya sebagai raja dan
Nabi Allah s.w.t. Rencana pekerjaannya ditetapkan dan diatur begitu rupa,
sehingga segala-galanya berjalan dengan lancar dan baik. Rencana itu ialah
dengan membahagi waktunya kepada empat bahagian. Bahagian pertama untuk
kepentingan dirinya sendiri, hari kedua untuk kepentingan kepada Tuhannya, hari
ketiga untuk menghukum dan menyelesaikan urusan-urusan umat dan hari yang
keempat untuk mengajar dan memimpin rakyat ke jalan yang dikehendaki oleh Allah
s.w.t. Begitulah dijalankan seterusnya oleh Nabi Daud.
Sebagai raja besar dan Nabi Mulia, rumah Nabi
Daud selalu dijaga oleh penjaga-penjaga dan tentera. Tidak seorang pun yang
dibolehkan masuk menemui Nabi Daud, sebelum mendapat izin dari penjaga dan
sesudah dibenarkan oleh Nabi Daud sendiri dan tidak seorang juga yang dibolehkan
masuk, kalau tidak sepadan dan sesuai dengan rencana pekerjaan yang sudah
ditetapkan oleh Nabi Daud itu. Pada hari baginda beribadat, siapa pun tidak
diizinkan masuk untuk mengadukan perkara.
Begitulah seterusnya, pada suatu hari ada
dua orang lelaki yang tidak ada bezanya dengan lelaki lain, minta izin masuk
kepada penjaga-penjaga itu, untuk bertemu dengan Nabi Daud. Setelah aturan itu
diterangkan oleh penjaga, tetapi kedua-dua orang lelaki ini mendesak mahu
bertemu. Bagaimana pun desakan dan permintaan ini, tidak dapat dikabulkan
oleh penjaga-penjaga itu. Tetapi hairan, keadaan yang sangat luar biasa, yang
belum pernah terjadi. Dengan keadaan pintu tertutup, tiba-tiba kedua-dua orang
itu sudah sampai di hadapan kamar Nabi Daud, lantas masuk menemui Nabi Daud.
Memang kedua-dua lelaki itu bukanlah
manusia biasa, kedua-duanya adalah Malaikat yang diutus Allah s.w.t berbentuk
manusia untuk mendatangi Nabi Daud dan memberikan peringatan dan pengajaran
kepada baginda. Alangkah terkejutnya Nabi Daud dengan kedatangan kedua-dua tetamu
itu ke dalam kamarnya sendiri, sedang dia sendiri tidak pernah mengizinkan
masuknya kedua-dua orang tersebut.
Kedua-dua Malaikat itu segera duduk dekat
Nabi Daud dan berkata: ‘Jangan takut hai Nabi Daud, kami ini dua orang
bersaudara yang bertentangan satu sama lain. Maka berilah kami hukuman yang
benar, atas pertentangan dan perselisihan kami, tetapi jangan dihukum dengan cara
yang tidak adil. Tunjukkanlah kami kepada jalan yang sebaik-baiknya.’
Nabi Daud tidak dapat menolak perkara
yang sudah ada di hadapannya itu, kendatipun hari itu bukan hari untuk
menyelesaikan sebarang perkara. Dia bersedia untuk menjatuhkan keputusan hukum
terhadap dua orang yang berselisih itu. Setelah mendengar keterangan-keterangan
yang diperlukan dalam perkara ini, akhirnya seorang di antara kedua-dua orang
itu berkata kepada Nabi Daud: ‘Saudara aku ini mempunyai sembilan puluh
sembilan ekor kambing dan aku hanya mempunyai seekor kambing. Tetapi saudara aku
ini menuntut kepada aku untuk mengambil kambing aku itu, agar kambingnya genap
menjadi seratus, sedang aku tidak mempunyai kambing sama sekali. Tuntutan ini
sudah beberapa kali aku tolak, tetapi dia membantah dengan kata-kata yang
fasih, sehingga aku kalah dengan kefasihannya itu.’
Setelah mendengar itu semua, Nabi Daud
lalu menghadapkan mukanya kepada yang seorang lagi dan bertanya kepadanya
tentang duduk perkara yang sebenarnya. Orang itu menjawab, bahawa memang dia
sudah mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing dan lagi seekor kepunyaan
saudaranya itu, agar cukup kambingnya berjumlah seratus ekor.
Mendengar keterangan itu, merah padamlah
muka Nabi Daud kerana marahnya; dengan badan gementar dan suara yang keras, dia
berkata kepada orang yang menuntut itu: ‘Tuntutanmu itu tidak baik, kalau
engkau tetap menuntut begitu, akan kami pukul dahi dan hidungmu itu.’
Baru saja Nabi Daud berkata demikian
Malaikat itu berkata: ‘Engkau seharusnya yang lebih baik dipukul, sebab
engkau sudah mempunyai sembilan puluh sembilan orang isteri, lantas mengambil
isteri Oria bin Hannan yang hanya mempunyai isteri seorang itu saja.’
Mendengar kata-kata yang terang dan tepat
itu, Nabi Daud tunduk kepalanya, gementar badannya, terbuka kepadanya hakikat
keadaan yang dihadapinya itu, bahawa yang dihadapinya itu adalah dua orang
Malaikat yang diutus Allah s.w.t untuk membetulkannya. Nabi Daud lalu tunduk
dan sujud minta ampun kepada Allah s.w.t, atas kekeliruannya, Allah s.w.t
segera memberi ampun dan taubat buat Nabi Daud, dengan berkat petunjuk-petunjuk
dan peringatan-peringatan dari Allah s.w.t.
Tetap Diperhatikan Allah
Allah s.w.t memperlihatkan kepada manusia dan Nabi
Daud sendiri, bahawa baik soal kecil apa lagi soal besar, tetap diperhatikan
oleh Allah s.w.t. Bukan saja terhadap manusia biasa, tetapi juga terhadap orang-orang
pilihan Allah s.w.t, Nabi-nabi mulia dan Rasul-rasul yang suci, dengan tidak dibezakan
sedikit pun antara Nabi dan manusia biasa, antara raja dan rakyat biasa. Hanya
bezanya, para Nabi itu senantiasa dapat menerima ajaran Allah s.w.t dan
menjalankannya dengan baik dan patuh, sedang manusia biasa kadang-kadang engkar
dan tidak ambil peduli semua petunjuk yang baik-baik itu.
Berbagai-bagai pendapat telah dikemukakan
para ahli tafsir mengenai cerita perkahwinan Nabi Daud dengan Sabiq ini. Ada
yang mengatakan bahawa Nabi Daud mengahwininya setelah yakin bahawa suaminya
telah lama mati di medan perang. Pendapat yang lain mengatakan pula bahawa setelah
suami Sabiq hilang tanpa berita demikian lama, maka dianggaplah talaknya telah
gugur, barulah dikahwini Nabi Daud.
Ada juga yang mengatakan bahawa peraturan zaman
itu tidak melarang seorang lelaki melamar seorang perempuan yang telah bersuami
asalkan si perempuan itu ingin kepada lelaki yang melamarnya, lalu dimintakan
fasakhnya. Bahkan ada pula para mufassir
yang menolak sama sekali berita perkahwinan Nabi Daud dengan Sabiq itu dan
dianggap berita itu sebagai cerita-cerita dongeng Israeliyat yang tidak patut
dipercayai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan