SMAHADZIR
KETIKA itu baru saja fajar menyingsing di ufuk
timur, orang tua yang telah bongkok belakangnya dan lemah persendiannya, bangun
dari tidurnya. Dengan langkah yang tenang dan nafas yang sesak, sambil memegang
tongkat di tangan, orang tua itu keluar dari rumahnya, menuju ke kebun. Sebelum
matahari terbit, sudah pasti beliau berada dalam kebunnya itu setiap pagi,
untuk bekerja, menjaga dan memelihara kebunnya itu.
Dengan kerajinan yang ditumpahkan terhadap
kebunnya itu, maka tidaklah hairan bila kebun itu sangat baik dan teratur,
subur tanamannya, serta banyak sekali buah-buahan yang dihasilkan setiap tahun. Semua
orang senang melihat kebun itu. Malah di sanalah mereka sering melepaskan lelah
dan bersenang-senang, sambil menghirup hawa sejuk pada waktu pagi mahupun
petang, lebih-lebih lagi bila sedang panas matahari terik orang-orang sama
berteduh di bawah pohon-pohon kayu yang terdapat dalam kebun itu, sambil
melepaskan pemandangan yang indah di sekitarnya.
Merasa Bahagia
Setelah orang tua itu selesai melihat dan mengawasi
kebunnya, iaitu memeriksa buah yang masih putik dan yang sudah matang, melihat
bunga-bunga yang masih kuncup dan yang sudah kembang, setelah beliau mendengar
bunyi burung-burung yang juga sama merasa bahagia tinggal dalam kebun itu, baru
beliau pulang ke rumah, lalu bersembahyang dan bersujud syukur kepada Allah
s.w.t yang telah memberikan nikmat yang demikian berharga kepadanya dan beliau
bermohon ke hadrat Allah s.w.t agar dipelihara oleh Allah s.w.t dari segala
dosa yang mungkin timbul dari kekayaan yang ada padanya, minta agar beliau
dijauhkan Allah s.w.t dari fitnah kesenangan dunia, serta pengaruh syaitan dan
hawa nafsu.
Demikianlah cara hidup orang tua itu,
sejak waktu mudanya sampai menjadi tua seperti sekarang ini. Begitu pada waktu
pagi dan petang, pada waktu malam berganti siang. Dan bila waktu memetik buah
dari kebunnya itu sudah datang, dipanggilnyalah tukang-tukang kebun dan para
pekerjanya untuk bekerja menyediakan sabit dan keranjang, dipanggilnya juga semua
fakir miskin untuk menolong. Setelah selesai memetik buah hasil perkebunannya
itu, masing-masing diberinya upah menurut hasil tenaga mereka. Diberi pula sewa
sabit dan keranjang yang mereka bawa. Kemudian, bila hasil itu sampai nisabnya
semua fakir miskin itu dipanggil untuk menerima bahagian masing-masing, sebagai
zakat dari hasil bumi tersebut.
Demikianlah halnya saban tahun, sehingga
kebun yang besar dan luas kepunyaan orang tua itu dapatlah semua orang yang
tidak berpunya di sekitar kampung itu ikut serta mengecap hasilnya, sehingga
mereka tidak bimbang tertadap kemiskinan mereka dan tidak dengki atas kekayaan
orang tua tersebut. Tetapi anak-anak orang tua itu yang sekarang ini sudah
besar-besar, berakal dan berfikir pula, maka adat kebiasaan orang tua yang
sebaik itu dibantah dan disanggah mereka, tidak suka kalau hasil kebunnya dibahagi-bahagikan
kepada fakir miskin begitu rupa saban tahun.
Salah seorang dari anak-anaknya itu
berkata: ‘Bapaku, bila setiap orang yang miskin diberi, tiap orang yang
minta-minta dikasi begitu rupa, maka itu bererti bahawa bapa sudah mengurangi
hak-hak kami kerana makin sedikit hasil yang kami peroleh dari kebun kita itu.’
Berkata pula anak yang lainnya: ‘Hai bapa, kalau terus-menerus begitu, akhirnya
habislah semua kekayaan kita dan hasil perkebunan kita ini, sepeninggalan bapa
nanti, kami semua pasti melarat dan terpaksa mengemis kepada orang lain.’
Mendengar segala sanggahan itu, tampil
pula anak yang ketiga. Dengan segala keterangan dan kesabaran anak yang tinggi
mutunya ini pun berkata: ‘Semua yang kamu ucapkan itu adalah berdasarkan
fikiran yang salah semata-mata, berdasarkan perhitungan manusia yang membelok
dari kebenaran dan hanya dengan sangkaan-sangkaan belaka. Kamu tidak tahu akan
apa yang sebenarnya harta kekayaan dunia itu. Harta itu bukan hanya harta
kepunyaan aku dan kepunyaanmu saja. Kebun kita yang luas itu, bukan hanya kebun
kita. Tetapi adalah harta dan kebun Allah s.w.t, yang diamanatkan Allah s.w.t
kepada kita untuk menyelenggarakannya, dengan perjanjian dan aturan Allah s.w.t,
bahawa semua hasilnya itu digunakan sebaik-baiknya kepada yang lebih memberi
manfaat, dengan tidak boleh melupakan hak orang-orang fakir dan miskin, orang
yang terlantar dan kekurangan syarat hidup atau dalam perjalanan. Sebahagian
lagi untuk burung-burung yang datang ke dalam kebun ini. Burung-burung itu pun
mempunyai hak, kerana ada pula jerih dan jasanya terhadap kebun itu. Sebab itu
janganlah hak-hak orang fakir dan miskin itu dihalang-halangi dan disanggah.
Salah benar perbuatan kita bila menyanggah aturan Allah s.w.t.’
Bapa mereka yang sudah tua dan tidak
berdaya lagi itu pun turut memberi nasihat: ‘Aku sudah tua, kekuatanku sudah
habis, tulang-temulangku sudah terasa kaku dan aku tidak lama lagi akan pergi
meninggalkan kamu sekalian. Nasihat dan fatwaku yang penghabisan, ialah agar
kamu sekalian yang menerima kebun itu sebagai pusaka dariku, pandai-pandailah
menggunakan nikmat dan pemberian Allah s.w.t itu. Dua kalimat sebagai amanatku hendaklah
kamu tanamkan dalam ingatanmu, jangan sampai dilupakan dan dilanggar: Bila kamu
dapat menggunakan nikmat itu dengan baik, sepanjang aturan Allah s.w.t akan
menambah nikmat-Nya atas kamu sekalian. Tetapi bila kamu bakhil dan menggunakan
nikmat itu dengan cara yang salah, Allah s.w.t tentu akan kuasa mencabut nikmat-Nya
itu dengan sekali gus. Kamu sekalian tidak akan luput dari tinjauan Allah s.w.t
atas segala perbuatanmu. Dari itu hendaklah kamu berhati-hati.’
Tidak lama kemudian, orang tua yang baik itu
pun meninggal dunia, semua kekayaan dan kebun itu menjadi hak anak-anaknya itu,
sebagai pusaka.
Mendekati Hari
Hari berganti bulan, semua tanaman-tanaman dari
kebun itu dengan buah-buahannya yang lebat dan subur, semakin mendekati hari
untuk dipetik hasilnya. Musim sekarang ini lebih baik dari musim-musim
sebelumnya, berkat nikmat dan pemberian Allah s.w.t terhadap anak-anak itu.
Datanglah masanya untuk memetik segala hasilnya.
Tatkala itu mereka pun berkumpul. Yang paling
tua di antara mereka mulai berkata dalam pertemuan itu: ‘Mulai saat ini tidak
ada hak lagi bagi fakir miskin dan orang-orang yang mengemis atas hasil kebun
kita ini. Semua hasil itu akan kita bahagi sama banyak antara kita saja, juga
merdeka untuk menggunakan bahagian kita masing-masing, menurut kehendak
masing-masing juga, baik untuk disimpan mahupun ditukarkan. Tetapi kalau
bahagian itu kita simpan bersama-sama dan tidak disedekahkan kepada sesiapa pun
juga, pasti kita akan semakin kaya raya dan harta kita akan bertambah banyak.’
Anak yang soleh antara anak-anak itu pun
menjawab: ‘Engkau merencanakan sebuah rencana yang baik menurut fikiranmu,
tetapi yang sebenarnya salah dan pasti membawa keburukan dalam masyarakat
ini. Rencana yang engkau kira akan membawa manfaat itu, sebenarnya akan
menimbulkan siksa dan bencana saja. Cuba, kalau hak fakir miskin itu kamu
sanggah dan kamu langgar, akan timbullah perasaan hasad dan dengki di kalbu
mereka. Akhirnya kita tidak akan merasakan keamanan lagi dalam hidup kita,
sebab mungkin mereka akan memberontak terhadap kita. Sebab itu, janganlah
rencanamu itu dijalankan dan mari kita kembali kepada rencana yang sudah
diamanatkan almarhum bapa kita sendiri, dengan cara memberikan hak fakir
miskin, dengan tidak menguranginya sedikit pun. Sesudah hak mereka kita
keluarkan, maka yang tinggal itu adalah hak kita, hak yang diredhai Allah s.w.t
dan akan penuh dengan berkat.’
Mendengar pendapat anak yang soleh ini,
mereka sama menjerit dengan suara keras menyanggahkan: ‘Jangan kau kemukakan kata-kata
itu, berhentilah kamu dari berkata-kata demikian. Hanya engkau saja yang tidak
bersetuju dari apa yang sudah kami setujui bersama!’
Mendengar sanggahan sekeras ini, dengan
sabar anak yang soleh itu berkata pula: ‘Sebelum menyanggah kata-kataku yang
benar ini, lebih baik kamu bersabar dan berfikir tenang terlebih dahulu. Kalau
masih juga belum dapat bersabar dan tenang hatimu, kuanjurkan agar kita
sekalian lebih dahulu bersembahyang, kerana sembahyang itu adalah ubat
ketenangan dan kesabaran batin!’
Ajakan ini tidak mereka jawab, yang
ertinya mereka tidak mahu menerimanya sama sekali.
Kembali Berunding
Matahari sudah mulai turun dan hari pun menjelang
malam. Pada waktu senjakala yang lengang dan sepi itu, mereka kembali berunding
dan bermusyawarah lagi. Yang mereka muafakatkan ialah bagaimana cara
mereka dapat memungut hasil kebun itu dengan tidak setahu fakir miskin dan
orang ramai, agar semua fakir miskin jangan sampai turut serta dan tidak perlu
mendapat bahagiannya. Hasil dari permusyawaratan itu, ialah mereka akan memetik
segala hasil kebun pada waktu pagi buta, sebelum terbit matahari dan sebelum
orang-orang di sekitarnya bangun dari tidur. Semua hasil itu akan mereka bahagikan
untuk mereka saja.
Mereka menetapkan, bahawa esok hari
sebelum matahari terbit, semua hasil kebun itu sudah berada dalam gudang
masing-masing dengan pasti, tanpa ragu-ragu dan tanpa perlu dirisaukan
lagi. Allah s.w.t Maha Mendengar dan Maha Mengetahui atas segala perbincangan
dan keputusan yang mereka ambil itu. Pada malam itu juga dikirim Allah s.w.t
bala besar kepada kebun itu, sehingga seluruh tanaman dan buahnya kering, gugur
dan hancur di atas tanah, sehingga tidak ada barang sebiji pun yang dapat
diambil hasilnya.
Pagi-pagi lagi mereka sudah bangun dari
tidur masing-masing. Dengan diam-diam mereka menuju ke kebun dengan membawa
sabit dan keranjang-keranjang buah. Setelah tiba di pagar kebun, mereka melihat
apa yang sudah terjadi terhadap kebun serta tanaman mereka. Kesemuanya sudah
kering, gugur, menjadi hancur dan busuk, serta menjadi satu dengan tanah.
Kata mereka: ‘Petang kelmarin kita lihat
kebun ini masih menghijau subur, tidak kurang air yang mengalir di antara
tanaman-tanaman yang sedang berbuah lebat dan sudah matang-matang itu. Kenapa
sekarang jadi begini? Barangkali ini bukan kebun kita, mungkin kita salah
jalan, kerana hari masih gelap.’
Berkata pula anak yang soleh: ‘Ah, ini
memang benar kebun kita sendiri, nyata sekali yang ini adalah kebun kita, Allah
s.w.t rupanya telah menghukum kita, kerana kamu telah membuat rencana yang
salah. Bukankah sudah kuterangkan dan diamanatkan pula oleh bapa kita sendiri,
bahawa semua itu mudah saja bagi Allah s.w.t? Allah s.w.t tidak rela nikmat dan
pemberian-Nya itu diperkosa oleh orang-orang yang berdosa dan aniaya.’
Barulah mereka insaf, lalu
hadap-menghadapi, salah-menyalahkan antara satu sama lain dan akhirnya mereka
mengeluh: ‘Maha Suci Allah s.w.t, kami mengaku bahawa kami sudah berbuat aniaya.
Ya, kiranya kami sudah derhaka, kami berjanji akan tunduk pada aturan Allah s.w.t
kami.’
Sesal yang sudah terlambat. Sesal
kemudian yang sudah tidak berguna lagi. Ini baru siksaan dunia bagi mereka. Di
akhirat nanti, untuk mereka disediakan lagi azab dan siksa yang lebih kejam
dari itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan