SMAHADZIR
THARIQ
BIN ZIYAD berketurunan suku Barbar dari kabilah Nazafah di Afrika Utara.
Beliau asalnya adalah pembantu kepada Musa bin Nusair, dengan berkhidmat hanya
sebagai budak suruhan. Seorang pemuda yang bersemangat, pintar dan mempunyai
kepimpinan.
Pengenalan
Sebelum
kedatangan Islam ke Andalusia, Islam sudah pun bertapak di Afrika Utara yang
berjaya diperluaskan kawasannya oleh Uqbah bin Naqi’ di bawah pemerintahan
Muawiyyah. Ketika zaman pemerintahan Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik, Musa
bin Nusair telah dilantik menjadi wakil khalifah di Afrika Utara. Dalam tempoh
pemerintahan beliaulah kisah ini berlaku.
Kedatangan Islam Ke
Andalusia
Ketika
rakyat Arika Utara hidup aman dan damai di bawah pemerintahan Kerajaan Islam,
pada masa yang sama rakyat di Andalusia menderita di bawah cengkaman
pemerintahan raja yang kejam iaitu Raja Roderick. Sikap Raja Roderick
sendirilah yang menimbulkan dendam kepada banyak pihak termasuk salah seorang
gabenornya iaitu Gabenor Julaian. Julaian, Gabenor wilayah Ceuta yang puterinya
Florinda telah dinodai Roderick, raja berbangsa Gothic, sangat marah dengan
sikap rajanya dan oleh kerana dendam yang membara ini, Julaian sendiri berjumpa
dengan Musa bin Nusair untuk membuat tawaran.
Dari
sinilah bermulanya penaklukan Andalusia oleh orang-orang Islam apabila panglima
Julaian telah bekerjasama dengan Musa bin Nusair yang menjadi Gabenor di Afrika
Utara untuk menakluki Andalusia. Julaian sendiri telah menemui dan menghadap
Musa bin Nusair untuk membuat tawaran dan meminta pertolongan tentera Islam
bagi menentang Roderick di Andalus. Julaian juga telah menawarkan pertolongan
dalam usaha untuk menakluki Andalus dengan cara memberi segala kemudahan yang
diperlukan oleh tentera Islam seperti kapal, jurupandu dan sebagainya. Walaupun
begitu Musa bin Nusair tidak terus menerima tawaran tersebut kerana khuatir
Julaian hanyalah pengintip yang membuat helah untuk memerangkap tentera Islam.
Namun, setelah berbincang dan semua sebulat suara bersetuju untuk menerima
tawaran itu, Musa bin Nusair telah melantik Thariq bin Ziyad sebagai ketua
pasukan peninjau yang akan belayar ke Andalusia. Walaupun ada yang ragu-ragu
dengan perlantikan Thariq bin Ziyad sebagai ketua, namun Musa bin
Nusair yakin dengan kemampuan Thariq bin Ziyad yang asalnya adalah
budak suruhannya sendiri.
Ketika Thariq
bin Ziyad mempersiapkan tentera-tenteranya untuk dibawa sebagai pasukan
peninjau, Thariq bin Ziyad telah meminta bantuan Julaian untuk menyiapkan
peta Andalusia untuk dikaji sebelum belayar ke sana. Setelah mengkaji peta
Andalusia yang disiapkan Julaian dalam tempoh 3 hari, Thariq bin
Ziyad bercadang untuk mendarat di suatu kawasan yang tidak berpenghuni
sesuai dengan tugas yang dipertanggungjawabkan sebagai pasukan peninjau.
Jabal Thariq
Setelah
belayar, menjelang subuh suatu hari Thariq bin Ziyad bersama 12,000
orang tentera-tenteranya yang terbaik mendarat di bumi Andalusia. Sesampainya
mereka di sana, Thariq bin Ziyad bertanya mengenai nama tempat yang mereka
duduki itu, namun Julaian memberitahu tempat itu masih tidak bernama. Lalu
Julaian menamakan tempat itu sebagai Jabal Thariq bersempena dengan nama Thariq
bin Ziyad yang kini dikenali sebagai Gibraltar. Setelah beberapa ketika
berada di situ, Julaian meminta izin daripada Thariq bin Ziyad untuk
pulang ke rumah bertemu dengan isterinya yang sudah lama ditinggalkan, Flora.
Semua pembantu Thariq bin Ziyad tidak bersetuju dengan permintaan
Julaian kerana dari awal lagi mereka curiga dengan tindak-tanduk Julaian.
Namun
sikap Thariq bin Ziyad yang sentiasa berbaik sangka tidak menghalang
Julaian untuk bertemu dengan isterinya. Malah Thariq bin Ziyad berkata,
‘Jika kamu berada di tempat Julaian sudah pasti kamu juga akan meminta perkara
yang sama’ bagi membuktikan tindakan Julaian bukanlah tindakan yang
mencurigakan. Maka pulanglah Julaian ke rumah bertemu isteri kesayangannya yang
telah lama ditinggalkan. Oleh sebab desakan isterinya yang bimbang keselamatan
Julaian, akhirnya Julaian terpaksa memberitahu keselamatannya terjamin bersama
12, 000 orang tentera Islam.
Flora
lega mendengar berita itu namun Julaian meminta agar berita itu dirahsiakan
bagi menjamin keselamatan tentera Islam. Setelah puas bertemu dengan isterinya,
Julaian meminta diri untuk pulang segera kerana ingin mengintip pergerakan
askar-askar Raja Roderick. Namun tidak lama selepas Julaian berlalu, kelihatan
Flora diheret askar-askar Gothic ke istana Raja Roderick. Julaian bergesa-gesa
pulang ke kubu pertahanan tentera Islam dan merayu kepada Thariq bin
Ziyad supaya menyelamatkan isterinya daripada tangan Roderick. Thariq bin
Ziyad berjanji akan menyelamatkan Flora dan meminta agar dia bertenang dan
yakin dengan pembantu-pembantunya.
Thariq
bin Ziyad mengarahkan Panglima Amir, Sufian, dan Malik untuk menjalankan
misi itu. Dengan akur pembantu-pembantu Thariq bin Ziyad menerima tugasan
itu dan mereka menyamar menjadi rakyat Andalusia dengan Julaian sebagai
penunjuk jalan. Sesampainya mereka di kawasan istana kelihatan isteri Julaian
diseksa. Namun, Panglima Malik selaku ketua misi mengarahkan semua untuk
bersembunyi dalam hutan yang berhampiran. Apabila menjelang malam dan suasana
menjadi sunyi barulah mereka menjalankan misi menyelamatkan isteri Julaian.
Misi
untuk menyelamatkan Flora berjaya tetapi kesemua yang berlaku itu adalah helah
Roderick untuk mengintip kubu pertahanan tentera Islam. Sebenarnya ketika Flora
diseksa oleh askar-askar Gothic, tanpa disengajakan Flora berkata, ’Tidak
lama lagi kamu semua akan dibunuh oleh 12,000 orang tentera Islam’ kerana terlalu
marah dan tidak dapat menahan kesakitan yang ditanggung.
Kerana
terkejut Roderick meminta kepastian daripada Flora namun Flora tersedar bahawa
dia telah membocorkan rahsia penting yang mungkin akan membahayakan nyawa
suaminya dan juga tentera Islam. Lalu Flora berdiam diri tetapi sudah
terlambat. Roderick mengarahkan agar Flora diseksa di khalayak ramai dan
bersiap sedia untuk mengintip kawasan persembunyian Islam, kerana Roderick
yakin Julaian pasti meminta tolong tentera Islam untuk menyelamatkan isterinya.
Dari situlah kawasan persembunyian tentera Islam dikenalpasti pengintip
Roderick.
Peperangan Di
Andalusia
Akhirnya
peperangan tercetus setelah askar-askar Gothic berjaya menjejaki kedudukan kubu
Islam di Jabal Thariq bin Ziyad. Tanpa berlengah Roderick mengarahkan
askar-askarnya untuk menyerang kubu tentera Islam keesokan harinya. Dengan
diketuai Panglima Goted sebagai ketua askar, peperangan antara Islam dan
askar-askar Gothic tercetus. Ketika itu tentera-tentera Islam hanya
bersenjatakan pedang, tombak dan anak panah manakala askar-askar Gothic pula
lengkap dengan baju besinya. Walapun begitu, peperangan antara kedua-dua pihak
tidak menunjukkan kemenangan atau kekalahan sehingga lewat senja. Ini
menyebabkan Roderick mengarahkan askar-askarnya berundur dan kembali lagi
bertempur esok pagi sebelum matahari terbit.
Ketika
semua tentera Islam sedang berehat, Thariq bin Ziyad runsing memikirkan
bagaimana cara untuk menaikkan semula semangat anak-anak buahnya. Malam itu, Thariq
bin Ziyad tidak dapat melelapkan matanya kerana terlalu risau memikirkan
hal tersebut. Thariq bin Ziyad memohon bantuan Allah s.w.t dan berdoa
agar diberi kekuatan.
Keesokan
harinya setelah solat Subuh berjemaah, Thariq bin Ziyad menyuruh
pembantunya membakar kesemua kapal mereka. Ramai yang hairan dengan arahan
ketua mereka dan ada yang bertanya akan keselamatan mereka kelak. Tidak kurang
juga yang bertanya bagaimana mereka akan pulang selepas ini. Lalu Thariq bin
Ziyad berkata, ’Lupakan hasrat kamu semua untuk pulang. Kita datang ke sini
demi syahid ataupun kemenangan.’
Panglima
Sufian pula bertanya, ‘Adakah perkara ini pernah berlaku ketika zaman
Rasulullah? Memusnahkan harta dalam peperangan?’
Namun
dengan tenang Thariq bin Ziyad menjawab, ’Sudah lupakah kalian dengan Perang Muktah?
Dalam perang itu Panglima Jaafar bin Abi Talib yang menggantikan Zaid bin
Harithah yang syahid, telah membunuh kudanya dan bertempur sambil berjalan kaki
sehingga beliau syahid.’ (Nabi Muhammad s.a.w sendiri tidak mencerca perbuatan
itu dan ada para ulama berpendapat tindakan itu diambil kerana dikhuatiri harta
itu akan jatuh ke tangan musuh) Begitulah juga seperti kapal, tindakan itu
sebenarnya untuk menaikkan kembali semangat tentera-tenteranya.
Kemudian
Thariq bin Ziyad berpidato, ’Saudara-saudaraku, di belakang kita laut, di
hadapan kita musuh. Demi Allah kita datang bagi syahid atau mencapai
kemenangan.’
Mendengar
berita tentera Islam membakar kapal-kapal mereka Roderick, Goted dan
askar-askar Gothic mengejek dan mentertawakan perbuatan itu. Mereka
mengatakan Thariq bin Ziyad sudah gila dan tentera-tentera Islam juga
gila kerana akur dengan arahan ketua meraka yang gila. Namun di kalangan mereka
ada seorang sahaja yang tidak ketawa, iaitu paderi yang paling tua di situ. Apabila
ditanyakan mengapa dia tidak ketawa oleh Roderick, paderi itu menjawab bahawa
dia tidak merasakan berita itu suatu yang melucukan bahkan dia kagum dan takut
mendengar berita itu. Roderick hairan dan bertanya kenapa, lalu paderi itu
berkata bahawa kamu semua sepatutnya takut bukannya gembira dengan berita ini.
Apabila tentera Islam membakar kapal-kapal mereka sudah tentu mereka hanya
tinggal sehelai sepinggang dan mereka pasti berjuang habis-habisan untuk
mencapai kemenangan.
Roderick
terkejut dengan pendapat paderi itu namun dia tidak yakin dengan pendapat itu.
Namun sebenarnya terdetik di hati Roderick ada benarnya kata paderinya itu.
Oleh sebab itu sebelum Panglima Goted beredar dia bertanya kepada panglimanya,
‘Jika Thariq bin Ziyad sanggup membakar kapal-kapalnya untuk menaikkan kembali
semangat tentera-tenteranya, apa yang akan kamu lakukan untuk menghalang
askar-askar kita dari lari dari medan peperangan?’
Setelah
berfikir sejenak Goted menjawab, ’Apa kata kita rantai kaki mereka dengan
rantai besi supaya mereka tidak dapat melarikan diri.’ Raja Roderick
berpuas hati dengan jawapan panglimanya itu.
Cahaya Islam Di
Bumi Andalusia
Akibat
pergerakan askar Gothic yang terbatas, akhirnya tentera Islam berjaya
menewaskan mereka. Thariq bin Ziyadmengarahkan tenteranya berundur kerana
yakin mampu menewaskan musuh dengan mudah tanpa mebuang tenaga iaitu dengan
membakar rumput kering di mana askar Gothic berada. Ramai askar Gothic terbunuh
dalam kebakaran itu kerana tidak mampu untuk lari dan Raja Roderick pula
membunuh diri dengan terjun ke dalam Sungai Barbat kerana takut dan tidak mahu
menyerah diri manakala Goted melarikan diri bersama askar-askarnya setelah
mengetahui akan kematian raja mereka.
Dalam
usaha untuk menangkap Goted, Thariq bin Ziyad telah berjaya meluaskan pengaruh
Islam sehingga ke Cordova, Malaga, Granada dan Toledo. Setelah beberapa tahun,
akhirnya perang paling sengit berlaku di Ecija di mana askar Gothic mendapat
bantuan Rom dan Portugal manakala tentera Islam mendapat bantuan Musa bin
Nusair yang sampai tepat pada masanya. Peperangan itu menyebelahi tentera Islam
apabila taktik Thariq bin Ziyad mengarahkan tentera-tenteranya menukar
baju bagi meyakinkan pihak musuh bahawa mereka mendapat bantuan. Kerana
ketakutan Goted melarikan diri dan askar-askar Gothic menyerah diri setelah
mendapat tahu ketua mereka melarikan diri.
Semangat Thariq Bin
Ziyad
Walaupun
sudah mencapai kemenangan Thariq bin Ziyad tidak pernah berpuas hati
kerana baginya semua tanah di bumi Allah ini berhak mendapat cahaya Islam. Oleh
sebab itu, Thariq bin Ziyad meminta izin Musa bin Nusair untuk menyebarkan
Islam ke seluruh Eropah. Belum sempat Thariq bin Ziyad belayar ke
Eropah, beliau telah didatangi utusan dari Damsyik yang mengatakan khalifah di
sana mengarahkannya untuk datang ke Damsyik dengan segera. Thariq bin
Ziyad yang terkenal dengan kepatuhannya kepada ketua akur dengan arahan
itu.
Sebenarnya
arahan itu dilakukan oleh khalifah di Damsyik setelah disogok oleh Raja-raja di
Eropah. Raja-raja Eropah tahu akan kelemahan khalifah itu yang gemar akan
harta-benda dan gadis-gadis cantik. Sebelum itu taktik itu telah dilakukan
kepada Thariq bin Ziyad namun tidak berjaya, namun usaha mereka
mengena terhadap khalifah di Damsyik itu. Oleh yang demikian, usaha Thariq
bin Ziyad untuk belayar ke Eropah tidak dapat dilaksanakan walaupun segala
persiapan telah siap dijalankan. Manusia hanya merancang namun Allah yang
menentukan. Mungkin belum masanya untuk cahaya Islam sampai ke sana. Thariq
bin Ziyad meninggal dunia tidak lama selepas sampai di Damsyik.
Raja Roderic Dan Tentera Islam
Sewaktu
Thariq bin Ziyad memasuki bumi Sepanyol, raja Kristian yang memerintah tanah
Sepanyol pada ketika itu ialah raja Roderic. Beliau berbangsa Goths. Bangsa ini
dikatakan berasal dari negara Scandinavia. Raja Roderic memerintah dalam
masa yang singkat sahaja iaitu dari tahun 710-712 Masehi. Ini kerana sewaktu
kedatangan tentera Islam, Roderic baru saja merampas kuasa dari raja Sepanyol
sebelumnya, tidak lama selepas itu pula berlaku peperangan yang telah mengakibatkan
kematian Roderic dan tamatnya kuasa kaum Goths atau Visigoth di
Sepanyol. Dalam peperangan itu sebahagian pengkaji mengatakan bahawa
tentera Kristian berjumlah 100,000 orang menentang tentera Islam yang berjumlah
12,000 orang sahaja. Bilangan yang sedikit tidak menjejaskan prestasi tentera
Islam, sebaliknya kejayaan cemerlang tentera Islam telah memberi tamparan yang
hebat kepada kuasa Kristian di Eropah. Jika kita mengambil pendapat Ibnu
Khaldun yang mengatakan tentera musuh berjumlah 40,000 orang pun masih
menunjukkan kekuatan tentera Islam.
Persoalannya
ialah mengapa umat Islam begitu kuat? Mereka telah berjalan berminggu-minggu.
Mereka jauh dari sanak saudara dan anak isteri. Mereka tidak biasa dengan
bentuk muka bumi dan simpang-siur jalan di negara orang. Bagi orang Malaysia
ada soalan tambahan untuk mereka tanya, apakah tentera Islam ini boleh terbang,
ghaib, atau kebal? Tiada sebarang berita yang menunjukkan mereka memiliki
sifat-sifat tersebut. Rahsia kekuatan orang Islam ketika itu ialah semangat
jihad yang menyala-nyala. Mereka keluar dari rumah dan negara mereka untuk
mendapat kelebihan syahid. Mereka meredah panas dan hujan demi mencari keredaan
Allah s.w.t. Pada ketika itu segala kuasa di bumi tidak dapat menahan kuasa
akidah dan perjuangan mereka.
Teringat
penulis kepada kisah Bani Israel yang dipimpin oleh Talut. Jumlah mereka amat
sedikit tetapi akhirnya mereka mampu mengalahkan Jalut yang lebih kuat dan
ramai tenteranya. Satu perkara yang boleh kita pelajari ialah kuasa
semangat dan kehendak adalah lebih kuat dari kuasa kebendaan. Sewaktu musuh
bersandarkan kekuatan kebendaan semata-mata sedangkan orang Islam bersandarkan
persediaan kebendaan dan kekuatan semangat dan kesatuan.
Salah
satu rahsia kekuatan orang Islam ialah mereka membelah bahagikan hati musuh
untuk menentang mereka. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Dalam
membincangkan kejayaan Islam untuk berkembang ke dunia Eropah, tidak dapat
diabaikan satu bandar penting iaitu Qairawan. Bandar itu terletak di dalam
negara Tunisia sekarang. Qairawan pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan
Islam. Di sinilah pemerintahan Musa Ibn Nusair berpusat. Musa bin Nusair adalah
Gabenor Kerajaan Umawi yang berpangkalan di Damsyik Syiria.
Pembukaan
bandar Qairawan dilakukan oleh Uqbah Bin Nafie’ yang akhirnya mati syahid di
sana. Dalam era pembukaan Islam dan kegemilangannya, semangat jihad membara
dalam diri pembesar Islam. Musa bin Nusair sediri akhirnya menuruni takhta
sebagai gabenor utara Afrika kerana ingin menyertai siri jihad yang di pelopori
oleh Thariq bin Ziyad. Akhirnya mereka berdua menguasai Sepanyol dalam masa 3
tahun sahaja. Sejarah kemenangan perjuangan tentera Islam di dataran Sepanyol
dan Eropah, Thariq bin Ziyad mengukir karang dengan namanya sebagai tanda
bahawa Islam akan bertapak di bumi Andalusia.
Peradaban Islam Di
Andalusia
Setelah
berakhirnya period klasik Islam, ketika Islam mulai memasuki masa kemunduran,
Eropah bangkit dari keterbelakangannya. Kebangkitan itu bukan saja kelihatan
dalam bidang politik dengan kejayaan Eropah mengalahkan kerajaan-kerajaan Islam
dan bahagian dunia lainnya, tetapi terutama dalam bidang ilmu pengetahuan dan
teknologi.
Bahkan,
kemajuan dalam bidang ilmu dan teknologi itulah yang mendukung kejayaan
politiknya. Kemajuan-kemajuan Eropah ini tidak boleh dipisahkan dari
pemerintahan Islam di Sepanyol. Dari Sepanyol Islamlah Eropah banyak menimba
ilmu. Pada period klasik, ketika Islam mencapai masa yang sangat penting,
menyaingi Baghdad di Timur. Ketika itu, orang-orang Eropah Kristian banyak
belajar di institusi-institusi tinggi Islam di sana. Islam menjadi ‘guru’ bagi
orang Eropah. Kerana itu, kehadiran Islam di Sepanyol banyak menarik perhatian
para sejarawan.
Masuknya Islam Ke
Sepanyol
Islam
pertama kali masuk ke Sepanyol pada tahun 711 Masehi melalui jalur Afrika
Utara. Sepanyol sebelum kedatangan Islam dikenali dengan nama Iberia atau
Asbania, kemudian disebut Andalusia, ketika negeri subur itu dikuasai bangsa
Vandal. Dari perkataan Vandal inilah orang Arab menyebutnya sebagai Andalusia.
Sebelum
penaklukan Sepanyol, umat Islam telah menguasai Afrika Utara dan menjadikannya
sebagai salah satu wilayah dari dinasti Bani Umaiyyah. Penguasaan sepenuhnya
atas Afrika Utara itu terjadi pada zaman Khalifah Abdul Malik (685-705 Masehi).
Khalifah Abd Al-Malik mengangkat Hasan ibn Nu’man Al-Ghassani menjadi gabenor
di daerah itu.
Pada
masa Khalifah Al-Walid, Hasan ibn Nu’man sudah digantikan oleh Musa ibn
Nushair. Pada zaman Al-Walid itu, Musa ibn Nushair memperluaskan wilayah
kekuasaannya dengan menduduki Aljazair dan Morocco. Selain itu, beliau juga
menyempurnakan penaklukan ke daerah-daerah bekas kekuasaan bangsa Barbar di
pergunungan-pergunungan. Penaklukan atas wilayah Afrika Utara itu dari pertama
kali dikalahkan sehingga menjadi salah satu wilayah dari Khalifah Bani Umaiyyah
memakan waktu selama 53 tahun, iaitu mulai tahun 30 Hijrah (masa pemerintahan
Muawiyah ibn Abi Sufyan) sehingga tahun 83 Hijrah (masa Al-Walid). Sebelum
dikalahkan dan kemudian dikuasai Islam, di kawasan ini terdapat kantung-kantung
yang menjadi asas kekuasaan kerajaan Romawi, iaitu kerajaan Gotik.
Dalam
proses penaklukan Sepanyol terdapat tiga pahlawan Islam yang boleh dikatakan
paling berjasa memimpin satuan-satuan pasukan ke sana. Mereka adalah Tharif ibn
Malik, Tharik ibn Ziyad, dan Musa ibn Nushair. Tharif boleh disebut sebagai
perintis dan penyelidik. Beliau menyeberangi selat yang berada di antara
Morocco dan benua Eropah itu dengan satu pasukan perang lima ratus orang di
antaranya adalah tentera berkuda, mereka menaiki empat buah kapal yang
disediakan oleh Julaian.
Beliau
menang dan kembali ke Afrika Utara membawa harta rampasan yang tidak sedikit
jumlahnya. Didorong oleh kejayaan Tharif dan kemelut yang terjadi dalam tubuh
kerajaan Visigothic yang berkuasa di Sepanyol pada ketika itu, serta dorongan
yang besar untuk memperoleh harta rampasan perang, Musa ibn Nushair pada tahun
711 Masehi mengirim pasukan ke Sepanyol sebanyak 7,000 orang di bawah pimpinan
panglima Thariq bin Ziyad. Panglima Thariq bin Ziyad lebih banyak dikenali
sebagai penakluk Sepanyol kerana pasukannya lebih besar dan hasilnya lebih
nyata. Pasukannya terdiri dari sebahagian besar suku Barbar yang disokong oleh
Musa ibn Nushair dan sebahagian lagi orang Arab yang dikirim oleh Khalifah Al-Walid.
Pasukan itu kemudian menyeberangi selat di bawah pimpinan Thariq bin Ziyad.
Sebuah
gunung tempat pertama kali Thariq bin Ziyad dan pasukannya mendarat dan
menyiapkan pasukannya, dikenali dengan nama Gibraltar (Jabal Thariq). Dalam
pertempuran di Bakkah, Raja Roderick dapat dikalahkan. Dari situ seperti
Cordova, Granada dan Toledo (ibu kota kerajaan Goth ketika itu) kemudiannya
ditawan pula.
Kebudayaan
Islam memasuki Eropah melalui beberapa jalan, antara lain melalui Andalusia.
Ini kerana kaum Muslimin telah menetap di negeri itu sekitar abad 8 abad
lamanya. Pada masa itu kebudayaan Islam di negeri itu mencapai puncak
perkembangannya. Kebudayaan Islam di Andalusia mengalami perkembangan yang
pesat di berbagai pusatnya, misalnya Cordova, Sevilla, Granada, dan Toledo. Kemenangan
pertama yang dicapai oleh Thariq bin Ziyad membuka jalan untuk penaklukan
wilayah yang lebih luas lagi. Selanjutnya, kedua-duanya berjaya menguasai
seluruh kota penting di Sepanyol, termasuk bahagian utaranya mulai dari
Saragosa sehingga ke Navarre.
Gelombang
perluasan wilayah berikutnya muncul pada masa pemerintahan Khalifah Umar ibn
Abdil Aziz tahun 99 Hijrah atau 717 Masehi, dengan sasarannya menguasai daerah
sekitar pergunungan Pyrenia dan Perancis Selatan. Gelombang kedua terbesar dari
penyerbuan kaum Muslimin yang geraknya dimulai pada permulaan abad ke-8 Masehi
ini, telah menjangkau seluruh Sepanyol dan melebar jauh ke Perancis Tengah dan
bahagian-bahagian penting dari Itali. Kemenangan-kemenangan yang dicapai
umat Islam nampak begitu mudah. Hal itu tidak dapat dipisahkan dari adanya
faktor luaran dan dalaman. Faktor luarannya antara lain pada masa
penaklukan Sepanyol oleh orang-orang Islam, keadaan sosial, politik, dan
ekonomi negeri ini berada dalam keadaan yang menyedihkan.
Begitu
juga dengan adanya perebutan kekuasaan di antara elit pemerintahan, adanya
konflik umat beragama yang menghancurkan kerukunan dan toleransi di antara
mereka. Keadaan terburuk terjadi pada masa pemerintahan Raja Roderick,
raja terakhir yang dikalahkan Islam. Awal kehancuran Ghot adalah ketika Raja
Roderick memindahkan ibu kota negaranya dari Seville ke Toledo, sementara
Witiza yang ketika itu menjadi penguasa atas wilayah Toledo diberhentikan
begitu saja.
Perkara
yang menguntungkan tentera Islam lainnya adalah bahawa tentera Roderick yang
terdiri dari para hamba yang tertindas tidak lagi mempunyai semangat perang.
Selain itu orang Yahudi yang selama ini tertekan juga telah mengadakan
persekutuan dan memberikan bantuan bagi perjuangan kaum Muslimin. Adapun faktor
dalamannya iaitu suatu keadaan yang terdapat dalam tubuh penguasa, tokoh-tokoh
perjuangan dan para perajurit Islam yang terlibat dalam penaklukan wilayah
Sepanyol pada khususnya. Para pemimpin adalah tokoh-tokoh yang kuat, tenteranya
kompak, bersatu dan penuh percaya diri. Sikap toleransi agama dan persaudaraan
yang terdapat dalam peribadi kaum Muslimin itu menyebabkan penduduk Sepanyol
menyambut kehadiran Islam di sana.
Perkembangan Islam
Di Sepanyol
Sejarah
panjang yang dilalui umat Islam di Sepanyol itu dibahagi menjadi enam penggal
iaitu:
Penggal Pertama (711-755 Masehi)
Pada
penggal ini, Sepanyol berada di bawah pemerintahan para wali yang diangkat oleh
Khalifah Bani Umaiyyah yang terpusat di Damaskus. Pada penggal ini stabiliti
politik negeri Sepanyol belum tercapai secara sempurna, gangguan-gangguan masih
terjadi, baik dari dalam mahupun dari luar.
Gangguan
dari dalam antara lain berupa perselisihan di antara elit penguasa, terutama
akibat perbezaan etnik dan golongan. Di samping itu, terdapat perbezaan
pandangan antara Khalifah di Damaskus dan gabenor Afrika Utara yang berpusat di
Kairawan. Masing-masing mengaku bahawa merekalah yang paling berhak menguasai
daerah Sepanyol ini.
Oleh
kerana itu, terjadi dua puluh kali pergantian wali (gabenor) Sepanyol dalam
jangka waktu yang amat singkat. Perbezaan pandangan politik itu menyebabkan
seringnya terjadi perang saudara. Hal ini ada hubungannya dengan perbezaan
etnik, terutama antara Barbar asal Afrika Utara dan Arab. Di dalam etnik Arab
sendiri terdapat dua golongan yang terus-menerus bersaing iaitu suku Qaisy
(Arab Utara) dan Arab Yamani (Arab Selatan). Perbezaan etnik ini sering kali
menimbulkan konflik politik, terutama ketika tidak ada figur yang tangguh.
Itulah sebabnya di Sepanyol pada ketika itu tidak ada gabenor yang mampu
mempertahankan kekuasaannya untuk jangka waktu yang agak lama. Penggal ini
berakhir dengan datangnya Abd Al-Rahman Al-Dakhil ke Sepanyol pada tahun 138
Hijrah atau 755 Masehi.
Penggal Kedua (755-912 Masehi)
Pada
penggal ini, Sepanyol berada di bawah pemerintahan seorang yang bergelar amir
(panglima atau gabenor) tetapi tidak tunduk kepada pusat pemerintahan Islam,
yang ketika itu dipegang oleh Khalifah Abbasiyah di Baghdad. Amir pertama
adalah Abdurrahman I yang memasuki Sepanyol tahun 138 Hijrah atau 755 Masehi
dan diberi gelar Al-Dakhil (yang masuk ke Sepanyol). Beliau berjaya mendirikan
dinasti Bani Umaiyyah di Sepanyol. Penguasa-penguasa Sepanyol pada penggal ini
adalah Abd Al-Rahman Al-Dakhil, Hisyam I, Hakam I, Abd Al-Rahman Al-Ausath,
Muhammad ibn Abd Al-Rahman, Munzir ibn Muhammad, dan Abdullah ibn
Muhammad.
Pada
penggal ini, umat Islam Sepanyol mulai memperoleh kemajuan-kemajuan baik di
bidang politik mahupun bidang peradaban. Abd Al-Rahman Al-Dakhil mendirikan
Masjid Cordova dan sekolah-sekolah di kota-kota besar Sepanyol. Hisyam dikenali
sebagai pembaharu dalam bidang ketenteraan. Dialah yang mempelopori tentera
bergaji di Sepanyol. Sedangkan Abd Al-Rahman Al-Ausath dikenali sebagai penguasa
yang cinta ilmu.
Pemikiran
falsafah juga mulai pada penggal ini, terutama pada zaman Abdurrahman
Al-Ausath. Pada pertengahan abad ke-9 stabilitas negara terganggu dengan
munculnya gerakan Kristian fanatik yang mencari kesahidan (Martyrdom). Gangguan
politik yang paling serius pada penggal ini datang dari umat Islam sendiri.
Golongan pemberontak di Toledo pada tahun 852 Masehi membentuk negara kota yang
berlangsung selama 80 tahun. Di samping itu sejumlah orang yang tidak puas hati
membangkitkan revolusi.
Yang
terpenting di antaranya adalah pemberontakan yang dipimpin oleh Hafshun dan
anaknya yang berpusat di pegunungan dekat Malaga. Sementara itu, perselisihan
antara orang-orang Barbar dan orang-orang Arab masih sering terjadi. Namun
ada yang berpendapat pada penggal ini dibahagi menjadi dua iaitu masa Keamiran
(755-912) dan masa ke Khalifahan (912-1013).
Penggal Ketiga (912-1013 Masehi)
Penggal
ini berlangsung mulai dari pemerintahan Abd Al-Rahman III yang bergelar
‘An-Nasir’ sehingga munculnya ‘raja-raja kelompok’ yang dikenali dengan sebutan
Muluk Al-Thawaif. Pada penggal ini Sepanyol diperintah oleh penguasa dengan
gelaran Khalifah, penggunaan khalifah tersebut bermula dari berita yang sampai
kepada Abdurrahman III, bahawa Muktadir, Khalifah daulah Bani Abbas di Baghdad
meninggal dunia dibunuh oleh pengawalnya sendiri.
Menurut
penilainnya, keadaan ini menunjukkan bahawa suasana pemerintahan Abbasiyah
sedang berada dalam kemelut. Beliau berpendapat bahawa ketika ini merupakan
ketika yang tepat untuk memakai gelaran khalifah yang telah hilang dari
kekuasaan Bani Umaiyyah selama 150 tahun lebih. Kerana itulah gelaran ini
dipakai mulai tahun 929 Masehi. Khalifah-khalifah besar yang memerintah pada
penggal ini ada tiga orang iaitu Abd Al-Rahman Al-Nasir (912-961 Masehi), Hakam
II (961-976 Masehi), dan Hisyam II (976-1009 Masehi).
Pada
penggal ini umat Islam Sepanyol mencapai puncak kemajuan dan kejayaan menyaingi
kejayaan daulat Abbasiyah di Baghdad. Abd Al-Rahman Al-Nasir mendirikan
Universiti Cordova. Akhirnya pada tahun 1013 Masehi, Dewan Menteri yang
memerintah Cordova menghapuskan jabatan khalifah. Ketika itu Sepanyol sudah
terpecah dalam banyak sekali negara kecil yang berpusat di kota-kota
tertentu.
Penggal Keempat (1013-1086 Masehi)
Pada
penggal ini, Sepanyol terpecah menjadi lebih dari tiga puluh negara kecil di
bawah pemerintahan raja-raja golongan atau Al-Mulukuth-Thawaif yang berpusat di
suatu kota seperti Seville, Cordova, Toledo dan sebagainya. Yang terbesar di
antaranya adalah Abbadiyah di Seville.
Pada
penggal ini umat Islam memasuki masa pertikaian dalaman. Ironisnya, kalau
terjadi perang saudara, ada di antara pihak-pihak yang bertikai itu yang
meminta bantuan kepada raja-raja Kristian. Melihat kelemahan dan kekacauan yang
menimpa keadaan politik Islam itu, untuk pertama kalinya orang-orang Kristian
pada penggal ini mulai mengambil inisiatif penyerangan. Meskipun kehidupan
politik tidak stabil, namun kehidupan intelektual terus berkembang pada penggal
ini. Istana-istana mendorong para sarjana dan sasterawan untuk mendapatkan
perlindungan dari satu istana ke istana yang lain.
Penggal Kelima (1086-1248 Masehi)
Pada
penggal ini Sepanyol Islam meskipun masih terpecah dalam beberapa negara,
tetapi terdapat satu kekuatan yang dominan, iaitu kekuasaan dinasti Murabithun
(1086-1143 Masehi) dan dinasti Muwahhidun (1146-1235 Masehi). Dinasti Murabithun pada mulanya adalah sebuah
gerakan agama yang didirikan oleh Yusuf ibn Tasyfin di Afrika Utara. Pada tahun
1062 Masehi ia berjaya mendirikan sebuah kerajaan yang berpusat di Marakesy.
Pada masa dinasti Murabithun, Saragosa jatuh ke tangan Kristian, tepatnya tahun
1118 Masehi.
Dinasti
Muwahhidun didirikan oleh Muhammad ibn Tumazi (meninggal dunia pada tahun
1128). Dinasti ini datang ke Sepanyol di bawah pimpinan Abd Al-Mun’im. Pada
tahun 1212 Masehi, tentera Kristian memperoleh kemenangan besar di Las Navas de
Tolesa. Kekalahan-kekalahan yang dialami Muwahhhidun menyebabkan penguasanya
memilih meninggalkan Sepanyol dan kembali ke Afrika Utara tahun 1235 Masehi.
Tahun 1238 Masehi Cordova jatuh ke tangan penguasa Kristian dan Seville jatuh
tahun 1248 Masehi. Seluruh Sepanyol kecuali Granada lepas dari kekuasaan Islam.
Penggal Keenam (1248-1492 Masehi)
Pada
penggal ini iaitu antara tahun (1232-1492) ketika umat Islam Andalusia bertahan
di wilayah Granada di bawah kuasa dinasti Bani Amar. Pendiri dinasti ini adalah
Sultan Muhammad bin Yusuf bergelar Al-Nasr, oleh kerana itu kerajaan itu
disebut juga sebagai Nasriyyah. Penggal ini, Islam hanya berkuasa di daerah
Granada, di bawah dinasti Bani Ahmar (1232-1492). Peradaban kembali mengalami
kemajuan seperti pada zaman Abdurrahman an-Nasir. Kekuasaan Islam yang
merupakan pertahanan terakhir di Sepanyol ini berakhir kerana perselisihan
orang-orang istana dalam perebutan kekuasaan.
Abu
Abdullah Muhammad merasa tidak senang kepada ayahnya kerana melantik anaknya
yang lain sebagai penggantinya menjadi raja. Dia memberontak dan berusaha
merampas kekuasaannya. Dalam pemberontakan itu, ayahnya terbunuh dan digantikan
oleh Muhammad ibn Sa’ad. Abu Abdullah kemudian meminta bantuan kepada Ferdenand
dan Isabella untuk menjatuhkannya. Dua penguasa Kristian ini dapat mengalahkan
penguasa yang sah dan Abu Abdullah naik takhta. Tentu saja, Ferdenand dan
Isabella yang mempersatukan kedua-dua kerajaan besar Kristian melalui
perkahwinan itu tidak cukup puas. Kedua-duanya ingin merebut kekuasaan terakhir
umat Islam di Sepanyol.
Abu
Abdullah tidak berkuasa menahan serangan-serangan orang Kristian tersebut dan
pada akhirnya mengaku kalah. Beliau menyerahkan kekuasaan kepada Ferdenand dan
Isabella, kemudian berhijrah ke Afrika Utara. Dengan demikian berakhirlah
kekuasaan Islam di Sepanyol tahun 1492 Masehi. Umat Islam selepas itu
dihadapkan kepada dua pilihan, masuk Kristian atau pergi meninggalkan Sepanyol.
Pada tahun 1609 Masehi, boleh dikatakan tidak ada lagi umat Islam di daerah
ini.
Kemajuan
Peradaban
Kemajuan Intelektual
Sepanyol
adalah negara yang subur. Masyarakat Sepanyol Islam merupakan masyarakat majemuk
yang terdiri dari komuniti-komuniti Arab (Utara dan Selatan) Al-Muwalladun
(orang-orang Sepanyol yang masuk Islam), Barbar (umat Islam yang berasal dari
Afrika Utara), Al-Shaqalibah (penduduk daerah antara Konstantinopel dan
Bulgaria yang menjadi tawanan Jerman dan dijual kepada penguasa Islam untuk
dijadikan tentera bayaran), Yahudi, Kristian Muzareb yang berbudaya Arab, dan
Kristian yang masih menentang kehadiran Islam.
Semua
komuniti itu, kecuali yang terakhir memberikan saham intelektual terhadap terbentuknya
lingkungan budaya Andalusia yang melahirkan kebangkitan ilmiah, sastera, dan
pembangunan fizikal di Sepanyol.
Falsafah
Islam
di Sepanyol telah mencatat satu lembaran budaya yang sangat briliant
dalam bentangan sejarah Islam. Ia berperanan sebagai jambatan penyeberangan
yang dilalui ilmu pengetahuan Yunani-Arab ke Eropah pada abad ke-12. minat
terhadap falsafah dan ilmu pengetahuan mulai dikembangkan pada abad ke-9 Masehi
selama pemerintahan penguasa Bani Umaiyyah yang ke-5, Muhammad ibn Abd Al-Rahman
(832-886 Masehi).
Tokoh
utama dan pertama dalam sejarah falsafah Arab-Sepanyol adalah Abu Bakr Muhammad
ibn Al-Sayigh yang lebih dikenali dengan panggilan Ibn Bajjah. Tokoh utama yang
kedua adalah Abu Bakr ibn Thufail, penduduk asli Wadi Asa, sebuah dusun kecil
di sebelah timur Granada dan meninggal dunia pada usia lanjut tahun 1185
Masehi. Bahagian akhir abad ke-12 Masehi menjadi saksi munculnya seorang
pengikut Aristoteles yang terbesar di gelanggang falsafah dalam Islam, iaitu
Ibnu Rusyd dari Cordova. Pada abad ke 12 diterjemahkan buku Al-Qanun
karya Ibnu Sina (Avicenne) mengenai kedoktoran. Di akhir abad ke-13
diterjemahkan pula buku Al-Hawi karya Ar-Razi yang lebih luas dan lebih
tebal dari Al-Qanun.
Sains
Abbas
ibn Fama termasyhur dalam ilmu kimia dan astronomi. Beliau merupakan orang yang
pertama kali menemukan pembuatan kaca dari batu. Ibrahim ibn Yahya Al-Naqqash
terkenal dalam ilmu astronomi. Beliau dapat menentukan waktu terjadinya gerhana
matahari dan menentukan berapa lamanya. Beliau juga berjaya membuat teropong
moden yang dapat menentukan jarak antara tata surya dan bintang-bintang. Ahad
ibn Ibas dari Cordova adalah ahli dalam bidang ubat-ubatan. Umi Al-Hasan bint
Abi Ja’far dan saudara perempuan Al-Hafidzh adalah dua orang pakar kedoktoran
dari kalangan wanita.
Dalam
bidang sejarah dan geografi, wilayah Islam bahagian barat melahirkan banyak
pemikir terkenal. Ibn Jubair dari Valencia (1145-1228 Masehi) menulis tentang
negeri-negeri Muslim Mediteranian dan Sicilia dan Ibn Bathuthah dari Tangier
(1304-1377 Masehi) sampai ke Lautan Pasai dan China. Ibn Khaldun (1317-1374
Masehi) menyusun riwayat Granada, sedangkan Ibn Khaldun dart Tum adalah perumus
falsafah sejarah. Semua sejarawan di atas bertempat tinggal di Sepanyol yang
kemudiannya berpindah ke Afrika.
Fikih
Dalam
bidang fikih, Sepanyol dikenali sebagai penganut mazhab Maliki. Yang
memperkenalkan mazhab ini di sana adalah Ziyad ibn Abd Al-Rahman. Perkembangan
selanjutnya ditentukan oleh Ibn Yahya yang menjadi qadhi pada masa Hisyam ibn
Abd Al-Rahman. Ahli-ahli fikih lainnya ialah Abu Bakr ibn Al-Quthiyah, Munzir
ibn Sa’id Al-Baluthi dan Ibn Hazm yang terkenal.
Sedillot
berkata, ‘Mazhab Maliki itulah yang secara khusus memikat pandangan kita kerana
hubungan kita dengan bangsa Arab Afrika. Pada waktu itu pemerintah Perancis
menugaskan Dari Peron untuk menerjemahkan buku Fiqh Al Mukhtashar karya
Al Khalik bin Ishaq bin Ya’qub (meninggal dunia pada 1422 Masehi).
Muzik Dan Kesenian
Dalam
bidang muzik dan seni suara, Sepanyol Islam mencapai kecemerlangan dengan
tokohnya Al-Hasan ibn Nafi yang dijuluki Zaryab. Setiap kali diadakan pertemuan
dan jamuan, Zaryab selalu tampil mempersembahkan kebolehannya. Beliau juga
terkenal sebagai pengubah lagu. Ilmu yang dimilikinya itu diturunkan kepada
anak-anaknya baik lelaki mahupun wanita, dan juga kepada para remaja, sehingga
kemasyhurannya tersebar luas.
Bahasa Dan Sastera
Bahasa
Arab telah menjadi bahasa pentadbiran dalam pemerintahan Islam di Sepanyol. Di
antara para ahli yang mahir dalam bahasa Arab, baik keterampilan berbicara
mahupun tata bahasa ialah Ibn Sayyidih, Ibn Malik pengarang Alfiyah, Ibn
Huruf, Ibn Al-Hajj, Abu Ali Al-Isybili, Abu Al-Hasan Ibn Usfur, dan Abu Hayyan
Al-Gharnathi.
Kemegahan
Pembangunan Fizikal
Orang
ramai memperkenalkan pengaturan hidariolik untuk tujuan irigasi. Kalau dam
digunakan untuk menyedut curahan air wuduk dibuat untuk konservasi. Pengaturan
hydariolik itu dibina dengan memperkenalkan roda air asal Persia yang dinamakan
na’urah (Sepanyol Noria). Namun pembangunan fizikal yang paling menonjol
adalah pembangunan gedung-gedung, seperti pembangunan kota, istana, masjid,
pemukiman, taman-taman. Di antara pembangunan yang megah adalah Masjid Cordova,
kota Al-Zahra, Istana Ja’fariyah di Saragosa, tembok Toledo, Istana Al-Makmun,
Masjid Seville dan Istana Al-Hamra di Granada.
Faktor Penyokong
Kemajuan
Sepanyol
Islam, kemajuannya sangat ditentukan oleh adanya penguasa-penguasa yang kuat
dan berwibawa, yang mampu mempersatukan kekuatan-kekuatan umat Islam, seperti
Abd Al-Rahman Al-Dakhil, Abd Al-Rahman Al-Wasith dan Abd Al-Rahman
Al-Nashir. Kejayaan politik pemimpin-pemimpin tersebut ditunjang oleh
kebijaksanaan penguasa-penguasa lainnya yang mempelopori kegiatan-kegiatan
ilmiah dan adanya toleransi yang ditegakkan oleh penguasa terhadap penganut
agama Kristian dan Yahudi.
Penyebab Kemunduran
Dan Kehancuran
- Konflik Islam
dengan Kristian
- Tidak adanya
Ideologi Pemersatu
- Kesukaran
Ekonomi
- Tidak Jelasnya
Sistem Peralihan Kekuasaan
- Keterpencilan.
Namun
ada faktor lain yang menyebabkan kemunduran kebudayaan Islam iaitu:
- Kelemahan di
bidang politik
- Munculnya
orang-orang Moghul
- Munculnya unsur
Turki
- Ditemukannya
Mesiu.
Pengaruh Peradaban
Sepanyol Islam Di Eropah
Sepanyol
merupakan tempat yang paling utama bagi Eropah menyerap peradaban Islam, baik
dalam bentuk hubungan politik, sosial, mahupun perekonomian dan peradaban
antara negara. Orang-orang Eropah menyaksikan kenyataan bahawa Sepanyol berada
di bawah kekuasaan Islam jauh meninggalkan negara-negara tetangga Eropah,
terutama dalam bidang pemikiran dan sains di samping bangunan fizikal.
Bermula
dari gerakan Averroeisme inilah di Eropah kemudian lahir reformasi pada abad
ke-16 Masehi dan rasionalisme pada abad ke-17 Masehi. Pengaruh ilmu
pengetahuan Islam atas Eropah yang sudah berlangsung sejak abad ke-12 Masehi
itu menimbulkan gerakan kebangkitan kembali (renaissance) pusaka Yunani
di Eropah pada abad ke-14 Masehi. Walaupun Islam akhirnya terusir dari
negeri Sepanyol dengan cara yang sangat kejam, tetapi ia telah membidani
gerakan-gerakan penting di Eropah. Gerakan-gerakan itu adalah kebangkitan
kembali kebudayaan Yunani klasik (renaissance) pada abad ke-14 Masehi
yang bermula di Itali, gerakan reformasi pada abad ke-16 Masehi, rasionalisme
pada abad ke-17 Masehi, dan pencerahan (aufklaerung) pada abad ke-18
Masehi.
Kesimpulan
Islam
pertama kali masuk ke Sepanyol pada tahun 711 Masehi melalui jalur Afrika
Utara. Wilayah Andalusia yang sekarang disebut dengan panggilan Sepanyol di
hujung selatan benua Eropah, masuk ke dalam kekuasaan Dinasti Bani Umaiyyah
semenjak Thariq bin Ziyad, bawahan Musa bin Nushair gabenor Qairuwan,
mengalahkan pasukan Sepanyol pimpinan Roderik Raja bangsa Gothia (92 Hijrah
atau 711 Masehi). Sepanyol diduduki umat Islam pada zaman Khalifah Al-Walid
(705-715), salah seorang khalifah dari Bani Umaiyyah yang berpusat di
Damaskus.
Perkembangan
Islam di Sepanyol berlangsung lebih dari tujuh setengah abad. Perkembangan itu
dibahagi menjadi enam penggal iaitu: Penggal Pertama (711-755 Masehi), Penggal
Kedua (755-912 Masehi), Penggal Ketiga (912-1013 Masehi), Penggal Keempat
(1013-1086 Masehi), Penggal Kelima (1086-1248 Masehi), dan Penggal Keenam
(1248-1492 Masehi). Kemajuan peradaban itu dipengaruhi oleh kemajuan
intelektual yang di dalamnya terdapat ilmu falsafah, sains, fikih, muzik dan
kesenian, begitu juga dengan bahasa dan sastera, dan kemegahan pembangunan
fizikal.
Faktor-faktor
penyokong kemajuan Sepanyol Islam, di antaranya kemajuannya sangat ditentukan
oleh adanya penguasa-penguasa yang kuat dan berwibawa, yang mampu mempersatukan
kekuatan-kekuatan umat Islam, seperti Abd Al-Rahman Al-Dakhil, Abd Al-Rahman
Al-Wasith dan Abd Al-Rahman Al-Nashir. Kejayaan politik pemimpin-pemimpin
tersebut ditunjang oleh kebijaksanaan penguasa-penguasa lainnya yang
mempelopori kegiatan-kegiatan ilmiah dan adanya toleransi yang ditegakkan oleh
penguasa terhadap penganut agama Kristian dan Yahudi.
Kemunduran
dan kehancuran Islam di Sepanyol antara lain, konflik Islam dengan Kristian,
tidak adanya ideologi pemersatu, kesukaran ekonomi, tidak jelasnya sistem
peralihan kekuasaan keterpencilan.
Semangat Islam
Semangat
Cordova yang selalu ‘haus’ ilmu pengetahuan perlu menjadi jawaban atas
kelemahan-kelemahan yang terjadi di dunia Muslim ketika ini. Harus dihilangkan
asumsi Muslim sebagai yang terbelakang, gagap teknologi, dan malas berfikir
(rasional dan ilmiah), lebih-lebih lagi di dunia ketiga.
Selain
peradaban Baghdad di bawah Dinasti Abbasiyah, Islam mencapai kecemerlangan
ketika fasa Cordova dalam naungan Bani Umaiyyah. Dua peradaban itu, Baghdad dan
Cordova, pernah menjadi pusat kekuatan di dua kutub Islam: timur dan barat.
Nama-nama besar seperti Marshal Hodgson, Karen Armstrong dan Montgomery Watt
juga harus mengakui Islam Baghdad dan Cordova sebagai catatan sejarah
‘peradaban emas’ (the golden civilization) Islam yang menjadi ‘kiblat’
peradaban lain, termasuk barat, dalam progresiviti pemikiran, seni, keilmuan,
teknologi, dan kebudayaan.
Cordova
yang menjadi ibu kota kekaisaran Andalusia (Sepanyol), awalnya ditaklukkan
Thariq Bin Ziyad melalui Selat Giblatar (Jabal Thariq) dengan panglima
perangnya, Musa Bin Nusair. Kedatangan Islam di Sepanyol merupakan titik
penting bagi penyebaran Islam di Eropah. Kerana itu, Sepanyol dianggap sebagai
gerbang pertama masuknya Islam di Eropah.
Kedatangan
Islam di Sepanyol tidak terlalu banyak ‘menghabiskan darah’ seperti ‘ekspansi’
Islam ke wilayah-wilayah lain. Kerana itu, selama memasuki Andalusia
(Sepanyol), satu-satunya peperangan yang dialami pasukan Islam di bawah Thariq
Bin Ziyad dari tahun 711 sehingga 714 Masehi, adalah peperangan dengan pasukan
raja Roderick, raja Kristian yang memaksakan keyakinan triniti kepada kaum
Nasrani Aria yang lebih meyakini Nabi Isa sebagai utusan Tuhan semata.
Ini
menjelaskan bahawa perkenalan Islam di Sepanyol bukan dengan kekerasan,
melainkan secara damai dan toleran. Kerana itu, Watt (1992) kemudian cuba
meluruskan Islam yang tidak menakutkan, kejam, dan manusiawi yang acapkali
dipersepsikan oleh para orientalis. Watt juga menuliskan bahawa tidak adanya
sekatan pembatas antara ilmu pengetahuan, etika dan ajaran agama di Cordova
menjadikan Islam cepat meraih kejayaan Andalusia (Sepanyol). Antara
pengalamalan syariat dan kajian ilmiah dapat dibersamakan. Islam Cordova
merupakan Islam otentik sekali gus moden. Tidak ada ‘saling kunci’ antara
keduanya.
Ini
mungkin berbeza dengan di barat ketika terkongkong dalam abad kegelapan (dark
age). Konon Galileo Galilei dengan heliosentrisme-nya melawan arus geosentrisme
gereja harus mendapatkan hukuman berat. Pengetahuan di barat begitu
‘dikongkong’ dalam keperkasaan (kuasa) agama. Di Cordova, proses lain yang
terjadi. Pencarian ilmu diterima dengan tangan terbuka. Khalifah Abdurrahman
Adh-Dakhil (756-788 Masehi) merupakan khalifah pertama di Andalusia yang mahu
menerima tradisi keilmuan dengan baik. Pada ketika kekhalifahannya, ad-Dakhil
membina Masjid Cordova (755 Masehi) yang masih megah hingga kini. Bangunan ini
diakui oleh dunia sebagai bukti masa keemasan Cordova di bawah kekhalifahan
Islam.
Zaman
keemasan berlanjutan hingga kekhalifahan Abdul Rahman An-Nashir atau
Abdurrahman III (912-961 Masehi). Meskipun menjadi khalifah di usia belia (23
tahun), namun Abdurrahman III mampu mengukir sejarah yang luar biasa. Dia merupakan
khalifah yang mampu menjaga stabiliti negerinya dengan baik. Pada masanya, di
Cordova dibina sebuah universiti yang megah dengan perpustakaan yang di
dalamnya terdapat ratusan ribu buku.
Demikianlah
Cordova mampu menjadi pusat peradaban. Keadaan kota yang menakjubkan,
rumah-rumah yang indah, kesejahteraan rakyatnya, perpustakaan dengan jumlah
yang tidak sedikit, dan keteraturan dalam berbagai hal, termasuk kehidupan
sosial multiagama (Islam, Kristian dan Yahudi) yang mampu berjalan beriringan.
‘Kiblat
peradaban’ yang dipegang Cordova menjadi pengajaran yang berharga bagi barat
ketika itu, khususnya antara kurun waktu abad ke-8 sehingga ke-13. Ramai di
antara para ilmuwan Cordova seperti Ibnu Thufail (1107-1185), Ibnu Baitar
(1190-1248), Ibnu Arabi (1164-1240), Ibnu Bajjah (1082-1138), dan tentu saja
Ibnu Rusyd (1126-1198) yang menjadi guru bagi barat untuk ‘melek’ pengetahuan.
Sehingga, dalam kurun waktu tersebut barat banyak mengirimkan sarjana untuk
belajar di Cordova, meskipun pada akhirnya Cordova sendiri – setelah dua
setengah abad – harus ‘tenggelam’ dihancurkan kekuatan oleh Kristiani (Aragon
dan Isabella dari Castile pada tahun 1492) yang kemudiannya telah menguburkan
kecemerlangan Islam di sana.
Sejarah
Cordova merupakan ketika di mana Islam mampu difahami sebagai pendorong
pengetahuan, bukan mengongkongnya. Teknologi, asalkan itu maslahat, maka
kewajiban bagi umat Muslim untuk selalu mengejarnya. Jika ada sebuah hadis
Rasulullah s.a.w, uthlubul ilm walau bi shin (kejarlah ilmu meski ke
negeri China), maka itu mencerminkan baginda s.a.w selalu mengiyakan umat Islam
untuk senantiasa mencari pengetahuan dari mana pun dan sampai bila pun, min
al mahdi ila lahdi.
Proses
itu juga yang telah menjadikan Cordova gemilang selama berabad-abad di Sepanyol.
Kerananya, teladan itulah yang perlu diikuti umat Islam masa kini. Semangat
Cordova yang selalu ‘haus’ ilmu pengetahuan perlu menjadi jawaban atas
kelemahan-kelemahan yang terjadi di dunia Muslim ketika ini. Harus dihilangkan
asumsi Muslim sebagai yang termundur, gagap teknologi, dan malas berfikir
(rasional dan ilmiah), lebih-lebih lagi di dunia ketiga.
Di
dalam karyanya yang berjudul The Arabs: A Short History (1970), Philip K
Hitti dengan jujur menyebut Islam di Sepanyol sebagai pemimpin utama dalam budaya
dan peradaban di seluruh dunia di antara pertengahan abad ke-8 dan permulaan
abad ke-13. Mengejar kembali peradaban Islam bukan bererti harus kembali
mengulang sejarah keemasan Cordova masa lampau, kerana situasinya memang sudah
berbeza.
Tetapi,
dengan semangat era keemasan seperti Cordova, umat Muslim dapat jauh lebih
menghargai ilmu pengetahuan dan teknologi untuk menjayakan kembali Islam. Semangat
Cordova adalah semangat dengan catatan sejarah klasik yang moden dengan
kecemerlangan pemikiran dan penemuan-penemuan ilmiahnya. Kerana itu, mari
membangun ‘Cordova-Cordova’ baru yang akan menjadi pemimpin peradaban pada masa
mendatang.
Meniti Sejarah Thariq Bin Ziyad
Mendung
hitam menyelubungi bumi Sepanyol. Eropah sedang dikongkong sepenuhnya oleh penjajah
iaitu Raja Gotik yang zalim. Kaum wanita terancam kesuciannya, petani dikenakan
cukai tanah yang tinggi, dan banyak lagi penindasan yang tidak
berperikemanausiaan. Raja dan konconya bersuka ria dalam kemewahan sedang
rakyat merintih dalam kesengsaraan. Thariq Bin Ziyad dikenali dalam
sejarah Sepanyol sebagai legenda dengan sebutan Taric el Tuerto
(Taric yang memiliki satu mata), adalah seorang jenderal dari
Dinasti Umayyah yang memimpin penaklukan Muslim atas wilayah Al-Andalus (Sepanyol,
Portugal, Andorra, Gibraltar dan sekitarnya) pada tahun 711 Masehi.
Pada
tanggal 29 April 711, pasukan Thariq bin Ziyad telah mendarat
di Gibraltar (nama Gibraltar berasal dari bahasa Arab, Jabal Thariq
yang ertinya Gunung Thariq). Setelah pendaratan, beliau memerintahkan untuk
membakar semua kapal dan berbicara di hadapan anak buahnya untuk membangkitkan
semangat mereka: ‘Tidak ada jalan untuk melarikan diri! Laut di belakang
kalian, dan musuh di depan kalian: Demi Allah, tidak ada yang dapat kalian
sekarang lakukan kecuali bersungguh-sungguh penuh keikhlasan dan kesabaran.’
Pasukan
Thariq bin Ziyad menyerbu wilayah Andalusia dan pada musim panas tahun 711
berjaya meraih kemenangan yang menentukan atas kerajaan Visigothic, di mana
rajanya, Roderic terbunuh pada tanggal 19 Julai 711 dalam pertempuran
Guadalete. Selepas itu, Thariq bin Ziyad menjadi gabenor wilayah
Andalusia sebelum akhirnya dipanggil pulang ke Damarkus oleh Khalifah
Walid I.
Tindakan Membakar
Kapal
Menurut
sejarah barat, kemenangan pasukan Muslim dalam penaklukan Andalusia banyak
dipengaruhi oleh semangat juang yang berjaya dikobarkan oleh Thariq bin Ziyad
di mana beliau memerintahkan untuk membakar semua kapal sehingga tidak ada
jalan untuk melarikan diri selain bertempur habis-habisan melawan musuh
sehingga meraih kemenangan atau mati sebagai syuhada. Thariq bin Ziyad
merupakan sosok pahlawan yang mampu membawa kejayaan Islam pada
masanya.
Siapakah Thariq bin
Ziyad?
Mengenai
asal-usul dan sejarah hidupnya, sangat sedikit buku sejarah yang menceritakannya.
Thariq bin Ziyad berasal dari bangsa Barbar, mengenai sukunya, para sejarawan
masih berbeza pendapat; sama ada beliau dari suku Nafza atau suku Zanata.
Thariq bin Ziyad merupakan bekas seorang hamba yang kemudiannya dimerdekakan
oleh Musa bin Nushair, Gabenor Islam di Afrika Utara dan di tangan Musa inilah
Thariq bin Ziyad memeluk Islam bersama orang-orang Barbar yang lainnya yang
tunduk di bawah kekuasaannya setelah penaklukkan daerah Tanja.
Dikisahkan
bahawa setelah masuk Islam, mereka menjalankan ajaran agama Islam dengan baik.
Oleh kerana itu, sebelum Musa pulang ke Afrika, beliau meninggalkan beberapa
orang Arab untuk mengajar mereka Al-Quran dan ajaran-ajaran Islam. Setelah itu
Musa mengangkat Thariq bin Ziyad, yang merupakan perajurit Musa yang terkuat
untuk menjadi penguasa daerah Tanja, hujung Morocco dengan kekuatan 19,000
tentera dari bangsa Barbar, lengkap dengan persenjataannya. Apa yang pasti,
Thariq bin Ziyad merupakan antara kerlipan bintang yang bersinar setelah
kewafatan Rasulullah s.a.w dan selepas zaman Khulafah Ar-Rasyidin.
Bermulanya
Penaklukan Ke Atas Andalusia
Ini
bertepatan dengan mendung hitam yang melanda Sepanyol dengan kekejaman penjajah
Eropah yang pada ketika itu dikuasai oleh Raja Bangsa Gothik yang kejam bernama
Raja Roderick. Golongan wanita merasa terancam kesuciannya, petani dikenakan
cukai tanah yang tinggi, dan banyak lagi penindasan yang tidak
berperikemanausiaan. Raja dan para kroninya bersuka ria dalam kemewahan sedang
rakyat merintih dalam kesengsaraan. Sebahagian besar penduduk yang beragama
Kristian dan Yahudi, berhijrah ke Afrika untuk mendapat ketenangan yang lebih
menjanjikan. Dan ketika itu Afrika adalah sebuah daerah yang makmur dan
mempunyai toleransi yang tinggi kerana berada di bawah naungan pemerintahan
Islam.
Satu
dari jutaan penghijrah itu adalah Julaian, Gabenor Ceuta yang anak perempuannya
iaitu Florinda telah dinodai oleh Roderick. Mereka memohon pada Musa bin
Nusair, raja muda Islam di Afrika untuk memerdekakan negeri mereka dari
penindasan raja yang zalim tersebut. Setelah mendapat persetujuan Khalifah,
Musa melakukan pengintipan ke atas pantai selatan Sepanyol.
Akhirnya,
pada bulan Rejab tahun 97 Hijrah (bersamaan Julai 711 Masehi), Musa bin Nushair
memerintahkan pembantunya Thariq bin Ziyad untuk menyerang Semenanjung Sepanyol
dengan memimpin 12,000 tentera Muslim menyeberangi selat antara Afrika dan
daratan Eropah yang dipisahkan oleh Lautan Mediterranean sejauh 13 batu ini
dengan kapal-kapal pemberian Julaian, Gabenor Ceuta.
Peperangan Menentang
Nasrani Di Andalusia
Setelah
mendarat di pantai karang, Thariq bin Ziyad dan pasukannya berhadapan dengan
100,000 tentera Visigoth di bawah pimpinan Roderick. Kedatangan pasukan Thariq
bin Ziyad ini menimbulkan kehairanan kepada Tudmir, penguasa setempat yang
berada di bawah kekuasaan Raja Roderick, kerana tentera Islam datang dari arah
yang tidak diduga atau disangka-sangka, iaitu dari arah laut. Pada mulanya,
bilangan tentera Kristian yang besar ini menggerunkan tentera kaum Muslimin.
Namun, Thariq bin Ziyad dengan pantasnya mengumpulkan tentera Muslimin di atas
sebuah bukit karang, dan Thariq bin Ziyad berucap memberi dorongan jihad di
atas bukit itu. Bukit itu kini dikenali sebagai Jabal Thariq (Bukit Thariq)
yang kemudiannya ditukar kepada Gibratar.
Di
atas bukit karang setinggi 425 meter di pantai tenggara Sepanyol inilah Thariq
bin Ziyad memerintahkan pembakaran semua kapal-kapal yang telah menyeberangkan
mereka. Tentu saja perintah ini membuatkan tentera kaum Muslimin kehairanan.
‘Kenapa anda melakukan ini?’ tanya mereka. ‘Bagaimana kita akan kembali nanti?’
tanya yang lain. Namun Thariq bin Ziyad tenang dan tetap dengan pendiriannya.
Dengan gagah berani Thariq bin Ziyad berseru, ‘Kita datang ke sini tidak untuk
kembali. Kita hanya punya pilihan, menaklukkan negeri ini dan menetap di sini,
atau kita semua syahid’.
Keberanian
dan perkataannya yang luar biasa menggugah Iqbal, seorang penyair Persia, untuk
menggubahnya dalam sebuah syair berjudul Piyam-i Mashriq: ‘Tatkala
Thariq bin Ziyad membakar kapal-kapalnya di pantai Andalusia (Sepanyol),
perajurit-perajurit mengatakan bahawa, tindakannya itu tidak bijaksana.
Bagaimana mungkin mereka kembali ke negeri asal, dan peralatan peperangan
adalah bertentangan dengan hukum Islam. Malahan kekuatan bilangan tentera musuh
melebihi ribuan dari tentera kaum Muslimin.’
Mendengar
itu semua, Thariq bin Ziyad menghunus pedangnya, dan menyatakan bahawa ‘setiap
negeri kepunyaan Allah adalah kampung halaman kita.’
Kata-kata
Thariq bin Ziyad itu bagaikan mencabut cambuk yang meledakkan semangat tentera
Muslimin yang dipimpinnya. Bala tentera Muslimin yang berjumlah 12,000 orang
mara melawan tentera Gothik yang berkekuatan 100,000 tentera. Pasukan Kristian
jauh lebih unggul baik dalam jumlah mahupun persenjataan. Namun semua itu tidak
mengecutkan hati pasukan Muslim setelah mendengarkan pidato dari Thariq bin
Ziyad yang menggentarkan jiwa mereka untuk memburu syahid Allah.
Tanggal
19 Julai 711 Masehi, pasukan tentera Muslimin dan Nasrani bertemu dan bertempur
dekat muara Sungai Barbate. Thariq bin Ziyad memecahkan pasukannya menjadi 4
kelompok, dan menyebarkan mereka ke Cordova, Malaga, dan Granada. Sedangkan dia
sendiri bersama pasukan utamanya menuju ke Toledo, ibukota Sepanyol. Semua
kota-kota itu menyerah tanpa penentangan yang sukar. Kecepatan gerak dan
kehebatan pasukan Thariq bin Ziyad ini berjaya melumpuhkan pasukan tentera
bangsa Gothik.
Bahkan
Raja Roderick sendiri awal-awal lagi telah tewas di Sungai Barbate. Kemenangan
Thariq bin Ziyad yang luar biasa ini, menjatuhkan semangat orang-orang Sepanyol
dan semenjak itu mereka tidak berani lagi menghadapi tentera Islam secara
terbuka. Dalam buku yang berjudul Tarikh al-Andalus, disebutkan bahawa
sebelum meraih kemenangan ini, Thariq bin Ziyad telah bermimpi melihat
Rasulullah s.a.w bersama keempat-empat Khalifah Khulafa’ Ar-Rasyidin berjalan
di atas air hingga menemuinya, lalu baginda Rasulullah s.a.w memberitakan
khabar gembira bahawa dia akan berjaya menaklukkan Andalusia. Rasulullah s.a.w
menyuruhnya untuk selalu bersama kaum Muslimin dan menepati janji.
Selepas Penaklukan
Islam Ke Atas Sepanyol
Rakyat
Sepanyol yang telah sekian lama tertindas dengan penjajahan bangsa Gothik,
mengalu-alukan kedatangan tentera Muslimin. Selain itu, perilaku dan akhlak Thariq
bin Ziyad dan orang-orang Islam begitu mulia menyebabkan disayangi oleh
bangsa-bangsa yang ditaklukkannya. Salah satu pertempuran paling hebat terjadi
di Ecija, yang membawa kemenangan bagi pasukan Thariq bin Ziyad. Dalam
pertempuran ini, Gabenor Musa bin Nusair telah bergabung dengan Thariq bin
Ziyad untuk mengalahkan tentera Nasrani. Selanjutnya, kedua jenderal perang itu
bergerak mara terus berdampingan dan dalam kurun waktu kurang dari 2 tahun
seluruh Semenanjung Sepanyol telah jatuh ke tangan Islam. Portugis kemudiannya
turut ditakluk pula beberapa tahun kemudian. Ketika inilah nama Sepanyol telah
ditukar kepada Andalusia.
Philip
K. Hitti, pemerhati berbangsa Eropah telah menulis: ‘Ini merupakan perjuangan
utama yang terakhir dan paling sensasi bagi bangsa Arab itu. Penaklukan ini
membawa masuknya wilayah Eropah yang paling luas yang belum pernah mereka
(tentera Islam) peroleh sebelumnya ke dalam kekuasaan Islam. Kecepatan
pelaksanaan dan kesempurnaan operasi ke Sepanyol ini telah mendapat tempat yang
unik di dalam sejarah peperangan abad pertengahan.’ Penaklukkan Sepanyol oleh
orang-orang Islam mendorong timbulnya revolusi sosial di mana kebebasan
beragama benar-benar diakui. Ketidaktoleransi dan penganiayaan yang biasa
dilakukan orang-orang Kristian dan bangsa Eropah telah digantikan oleh
toleransi yang tinggi dan kebaikan hati yang luar biasa.
Keadilan
ditegakkan tanpa pandang bulu, sehingga jika tentera Islam yang melakukan
kesalahan akan dikenakan hukuman berat. Tidak ada harta benda atau tanah milik
rakyat yang disita. Orang-orang Islam memperkenalkan sistem percukaian yang
sangat jitu yang dengan cepat membawa kemakmuran di semenanjung itu dan
menjadikan negeri teladan di Barat. Orang-orang Kristian dibiarkan memiliki
hakim sendiri untuk memutuskan perkara-perkara mereka. Semua komuniti mendapat
kesempatan yang sama dalam pelayanan umum.
Pemerintahan
Islam yang baik dan bijaksana ini membawa kesan luar biasa. Orang-orang
Kristian termasuk pendeta-pendetanya yang pada mulanya meninggalkan rumah
mereka dalam keadaan ketakutan, kembali pulang dan menjalani hidup yang bahagia
dan makmur. Seorang penulis Kristian terkenal menulis: ‘Muslim-muslim Arab itu
mentadbir kerajaan Cordova dengan baik dan ia merupakan sebuah keajaiban Abad
Pertengahan, mereka mengenalkan obor pengetahuan dan peradaban, kecemerlangan
dan keistimewaan kepada dunia Barat. sedangkan ketika itu bangsa Eropah sedang
dalam situasi pergolakan dan kebodohan yang biadab.’
Thariq
bin Ziyad berhajat melakukan penaklukkan ke atas seluruh Eropah, tetapi Allah
s.w.t menentukan lainnya. Ketika merencanakan penyerbuan ke negara-negara
Eropah, telah datang panggilan dari Khalifah untuk pergi ke Damaskus. Dengan
disiplin dan kepatuhan ang tinggi, Thariq bin Ziyad memenuhi panggilan Khalifah
dan berusaha tiba seawal mungkin di Damaskus. Tidak lama kemudian, Thariq bin
Ziyad meninggal dunia di sana. Hamba atau abdi Barbar, penakluk Sepanyol,
wilayah Islam terbesar di Eropah yang selama lapan abad di bawah kekuasaan
Islam telah memenuhi panggilan Rabbnya. Semoga Allah merahmatinya dan menerima
roh Thariq bin Ziyad.
Kebijaksanaan Thariq Bin Ziyad
Membakar
kapal sendiri setelah menyeberangi sesebuah tasik, lautan atau sungai adalah
satu tindakan kurang kurang cerdik kerana dengan apakah pengangkutan yang akan
membawa para penumpangnya pulang ke tempat asal semula? Namun tindakan Thariq
bin Ziyad membakar kapal-kapal yang membawa tentera Islam sebaik tiba di pantai
Andalusia, mempunyai falsafahnya yang tersendiri.
Falsafah
Tersembunyi
Apakah
falsafah di sebalik membakar kapal dalam kehidupan kita seharian? Apakah
falsafah itu? Bertauladankan kebijaksanaan Thariq bin Ziyad, seorang komandan
perang yang bijaksana semasa zaman kekhalifahan Al-Walid 1 sekitar tahun 711
Masehi. Thariq bin Ziyad bersama armadanya telah diutuskan untuk menyerang
Sepanyol. Merentasi lautan Meditranean dari Algeria, beliau sampai ke tempat
yang kini dinamakan Jabal Thariq (Bukit Thariq), di sini beliau membuat
keputusan yang berani dengan membakar kesemua armadanya. Dan ini apa yang
beliau katakan: ‘Oh my warriors, whither would you flee? Behind you is
the sea, before you, the enemy. You have left now only the hope of your courage
and your constancy.’
‘Remember that in this country you are more unfortunate
than the orphan seated at the table of the avaricious master. Your enemy is
before you, protected by an innumerable army; he has men in abundance, but you,
as your only aid, have your own swords, and, as your only chance for life, such
chance as you can snatch from the hands of your enemy. If the absolute want to
which you are reduced is prolonged ever so little, if you delay to seize
immediate success, your good fortune will vanish, and your enemies, whom your
very presence has filled with fear, will take courage. Put far from you the
disgrace from which you flee in dreams, and attack this monarch who has left
his strongly fortified city to meet you.’
‘Here is a splendid opportunity to defeat him, if you
will consent to expose yourselves freely to death. Do not believe that I desire
to incite you to face dangers which I shall refuse to share with you. In
the attack I myself will be in the fore, where the chance of life is always
least. Remember that if you suffer a few moments in patience, you will
afterward enjoy supreme delight. Do not imagine that your fate can be separated
from mine, and rest assured that if you fall, I shall perish with you, or
avenge you. You have heard that in this country there are a large number of
ravishingly beautiful Greek maidens, their graceful forms are draped in
sumptuous gowns on which gleam pearls, coral, and purest gold, and they live in
the palaces of royal kings.’
‘The Commander of True Believers, Alwalid, son of
Abdalmelik, has chosen you for this attack from among all his Arab warriors;
and he promises that you shall become his comrades and shall hold the rank of
kings in this country. Such is his confidence in your intrepidity. The one
fruit which he desires to obtain from your bravery is that the word of God
shall be exalted in this country, and that the true religion shall be
established here. The spoils will belong to yourselves. Remember that I place
myself in the front of this glorious charge which I exhort you to make. At the
moment when the two armies meet hand to hand, you will see me, never doubt it,
seeking out this Roderick, tyrant of his people, challenging him to combat, if
God is willing.’
‘If I perish after this, I will have had at least the
satisfaction of delivering you, and you will easily find among you an experienced
hero, to whom you can confidently give the task of directing you. But should I
fall before I reach to Roderick, redouble your ardor, force yourselves to the
attack and achieve the conquest of this country, in depriving him of life. With
him dead, his soldiers will no longer defy you.’
Lihatlah
apabila hidup kita kurang pilihan, pastinya kita akan lebih fokus untuk
sesuatu. Tentera Thariq bin Ziyad akhirnya berjaya menewaskan bala tentera
Sepanyol yang jumlahnya berkali ganda ramainya. Di belakang mereka laut, di
hadapan mereka musuh. Hidup adalah satu harapan apabila kemenangan itu
diperolehi. Jadi, adakah kita ada pilihan lain?
Isu
bagaimana Islam menjadi satu bangsa (bukan lagi agama atau sistem) kurang bijak
pada zaman ini disebabkan terlalu selesa dengan pilihan dan alternatif. Cerita
yang sama juga pernah diceritakan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
yang berprinsip untuk berjaya seperti panglima Thariq bin Ziyad ke sebuah pulau
dan kemudian kita bakar sampan atau jambatan. Di situ kita belajar tentang
kehidupan dan juga kejayaan.
Agar
pasukannya tidak gentar menghadapi musuh, Thariq bin Ziyad menggunakan taktik
di mana sesampai sahaja angkatan perang (laut) setelah menyeberangi Selat
Andalusia, beliau berkata kepada para perajuritnya bahawa perahu (bahtera) yang
diberikan oleh Julaian itu telah sengaja dibakar. Thariq bin Ziyad pun berucap
dengan penuh semangat: ‘Wahai manusia, ke mana kau akan lari? Laut di
belakangmu dan musuh di depanmu. Maka, tidak ada jalan lain untuk selamat
kecuali berjuang berhabis-habisan’.
Taktik Yang
Berkesan
Taktik
yang digunakan oleh Thariq bin Ziyad itu ternyata amat berkesan. Akhirnya,
pertempuran itu dimenangi oleh Thariq bin Ziyad dan Raja Roderick sendiri tewas
dalam pertempuran tersebut.
Kemudian
Thariq bin Ziyad meminta tambahan pasukan kepada Musa bin Nusair. Lalu Musa bin
Nusair menghantar 5,000 orang perajurit yang sebahagian besar berbangsa Barbar.
Satu demi satu kota di Andalusia berjaya ditawan oleh para perajurit Thariq bin
Ziyad; kota-kota tersebut termasuklah Toledo, Elvira, Granada, Cordova, Malaga,
dan Arichidona.
Mendengar
kejayaan yang dicapai oleh Thariq bin Ziyad, Musa bin Nusair berasa iri hati.
Pada tahun 712 Masehi, beliau menyusul Thariq bin Ziyad bersama 18,000
perajuritnya melalui jalan lain yang ditempuh oleh Thariq bin Ziyad. Musa bin
Nusair berjaya menguasai Sidonia, Kormona, Merida, dan Sevilla. Beliau juga
menewaskan kerajaan Visigith, Theodomir di Orihuela.
Beliau
bertemu Thariq bin Ziyad dan pasukannya di Telodo. Mereka berjaya menakluki
Zaragoza, Aragon, Leon, Aturia, dan Galicia. Dengan demikian, seluruh daratan
semenanjung Andalusia berjaya dikuasai oleh perajurit Muslim. Selepas itu,
mereka kemudiannya dipanggil pulang ke Damsyik oleh Khalifah Al-Walid.
Setelah
berjuang bermati-matian menakluki Sepanyol, bukan penghargaan yang diterima
oleh Thariq bin Ziyad melainkan pemecatan yang dilakukan oleh Musa bin Nusair.
Thariq bin Ziyad dipecat atas alasan tidak patuh arahan Musa bin Nusair walhal
sebenarnya Musa bin Nusair iri hati terhadap kejayaan Thariq bin Ziyad.
Namun,
kejadian ini tidak mengganggu usaha penaklukan ke atas Sepanyol. Jauh sebelum
penaklukan ke atas Sepanyol, antara Musa bin Nusair dengan Thariq bin Ziyad
sememangnya sudah terdapat bibit-bibit persaingan. Namun, Thariq bin Ziyad
tetap menghormati ketuanya. Peristiwa pemecatan Thariq bin Ziyad diketahui oleh
Khalifah Al-Walid. Ketika memanggil kedua-dua, jelas khalifah memberi perhatian
yang lebih kepada Thariq bin Ziyad.
Tenggelam Dalam
Lipatan Sejarah
Setelah
Khalifah Al-Walid meninggal dunia, nama Thariq bin Ziyad seakan-akan tenggelam,
namun Gibraltar yang terus ‘timbul’ di dalam lipatan sejarah telah mengharumkan
nama seorang panglima Islam yang hidupnya berjuang di jalan Allah dengan
menegakkan syiar Islam menyeberangi sempadan benua, hingga Islam dapat diterima
di Eropah. Thariq bin Ziyad kembali ke rahmatullah pada tahun 270 Masehi.
Ada
beberapa pengajaran yang dapat dipetik dari kisah panglima pasukan Islam
berkenaan dengan keputusannya untuk membakar perahunya.
Thariq
bin Ziyad memberikan iktibar kepada kita sebagai umat Islam dalam mengharungi
kehidupan ini, bila seseorang ingin memenangi pertarungan dalam kehidupannya
hendaknya jangan sekali-kali lari dari permasalahan yang dihadapinya. Ada kata-kata
hikmah yang bergulir dalam khazanah kehidupan:
- ‘Pelaut ulung
tidak akan lahir di laut yang tenang’.
- ‘Orang-orang
yang hebat tidak akan lahir dari sebuah situasi tanpa cabaran dan
halangan.’
Kita
diajarkan oleh Thariq bin Ziyad untuk tidak silau dengan kejayaan masa lalu,
kerana kejayaan masa lalu belum tentu terjadi ketika ini jika tidak dikemas dan
dijaga dengan benar. Armada kapal yang ditumpangi Thariq bin Ziyad dan
pasukannya telah mampu mengantarkan mereka sampai di daratan Sepanyol.
Misi
itu, adalah misi yang luar biasa. Sebab ketika itu alat pengangkutan belumlah
secanggih sekarang. Ketika ‘dunia’ yang dihadapi kemudian berubah menjadi
daratan, Thariq bin Ziyad tidak terlena mengagumi kapal-kapal laut yang telah
menyeberangkan mereka. Singkirkan zon selesa dalam diri kita. Bila kapal tetap
ada, mental bertempur pasukan tentu akan lemah. Boleh jadi sebahagian pasukan
akan berfikir: ‘Ah, bila kita terdesak, kita boleh kembali ke negeri kita
dengan kapal ini. Tenang saja!’
Dunia
berubah sangat cepat. Cabaran yang kita hadapi juga makin kompleks. Bila kita
tidak ingin dilindas zaman, segeralah bakar kapal anda. Lalu kemudian
bertempurlah dengan cara kesateria.
Tamadun Islam Andalusia
‘Pemuda-pemuda
kita yang beragama Kristian, mereka tampan, kemas, beretika dan mempunyai
kenderaan yang baik. Mereka fasih berbahasa Arab serta tinggi kecenderungan
untuk menggeluti buku-buku Islam. Mereka amat kagum dengan bahasa Arab yang
indah, teruja dengan galur sastera dan pemikiran ilmu Islam sehingga karya-karya
ilmuwan Islam lebih dikenali berbanding sastera gereja (Kristian). Malahan, di
kalangan mereka ramai yang memandang rendah terhadap budaya dan sastera
Kristian. Sayang, orang-orang Kristian jahil tentang undang-undang mereka
sendiri. Orang-orang Latin tidak mengendahkan bahasa mereka sendiri.’
Kata-kata
ini diucapkan oleh Paderi Alwaro di Cordova pada tahun 854 Masehi terhadap
bangsa Sepanyol yang beragama Kristian. Beliau kesal hegemoni Islam telah
membuatkan budaya Kristian diabaikan, malahan rata-rata penganutnya lebih
berbangga untuk bertutur dan bertingkah-laku seperti orang-orang Islam
khususnya Arab.
Golongan Mozarab (orang
Kristian tempatan yang bernaung di bawah pemerintahan Islam Sepanyol) baik di
kalangan awam dan aristokrat terpesona dengan undang-undang dan kebudayaan
Islam apabila Islam bertapak di Sepanyol pada tahun 710 Masehi. Kedatangan
Islam dilihat sebagai wira ‘yang menyelamatkan’ bangsa Sepanyol yang dimomoki
pemerintahan kejam Clasas Elevadas (kaum atasan Rom dan Visigoth) yang
diketuai golongan paderi, raja-raja dan bangsawan.
Bagi
golongan Hispano-Rumawi di kalangan kaum tani dan hamba, penindasan
yang dialami menyebabkan mereka mudah menerima pengaruh Islam. Ini termasuklah
orang Yahudi, yang hidup bergelandangan beberapa abad, Islam dianggap membawa
pembelaan dan sinar baru buat Sepanyol. Pembukaan Sepanyol sebagai wilayah
Islam di Eropah secara besar-besaran diterokai panglima Thariq bin Ziyad
bersama 12,000 orang tentera (711 Masehi). Kemenangan tentera Islam mengalahkan
pasukan Witiza Roderick juga berfaktorkan sokongan penduduk tempatan. Tentera
Islam mara ke Cordova, Toledo, Seville, Merida, Saragossa, Narbonne, Asturias
Pamplona, Gerona, Malaga dan Elvira. Selama 5 tahun (711-715 Masehi),
lengkaplah wilayah-wilayah al-Andalus yang keluasannya adalah 2/3 bumi Sepanyol
jatuh ke tangan tentera-tentera Islam.
Masjid Cordova
Andalusia
adalah momen keagungan pemerintahan Islam sejak zaman Bani Umaiyyah. Umumnya,
Islam mengawani bumi Andalusia selama 8 abad (711- 1492) dengan turun naik
pemimpin Islam dari pelbagai monarki. Tahap kegemilangannya dicapai antara
tahun 912 Masehi - 976 Masehi pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Rahman
III. Cabaran terbesar yang perlu dihadapi para pemimpin Islam adalah perpecahan
masyarakat yang pelbagai bangsa, agama dan budaya termasuklah Islam, Kristian
dan Yahudi dari bangsa Sepanyol, Arab Syam, Afrika (Barbar) dan Arab Yaman.
Oleh kerana itu, pertahanan dan ketenteraan adalah sektor penting bagi kerajaan
Islam ketika itu untuk mentadbir Andalusia.
Faktor Kegemilangan
Islam Andalusia
Abdul
Rahman ad-Dakhil adalah khalifah Islam pertama di bumi Andalusia yang
sebelumnya hanya diwakili para gabenor Muslim, mendirikan kerajaannya dengan
wajah, semangat dan cita-cita tersendiri, luar daripada pengaruh politik
monarki Khalifah Abbasiyah yang mulai utuh. 32 tahun pertama, Andalusia
diperkukuhkan dengan benteng pertahanan Islam di setiap sisi muka buminya.
Kecemburuan tentera musuh terutama puak Kristian tempatan dan Perancis sentiasa
menceroboh keamanan Andalusia.
Justeru,
seramai mungkin rakyat dikerah menjadi pegawai tentera, sama ada dari
kalangan baladiyyun (peneroka Arab awal), syamiyyun (muhajirin
Arab dari Syam) dan kaum Barbar (Orang Islam Afrika dan Negro). Selain itu,
khalifah juga mengambil pendekatan licik iaitu berbaik dengan pihak musuh
terutama panglimanya bagi mematahkan penentangan. Baginda juga mengambil
tentera upahan dari kalangan kaum Slavs, Frank, Barbar dan Negro yang dibeli
dan dibawa ke Sepanyol. Selain tentera upahan, terdapat juga sukarelawan Muslim
yang tekad berjihad demi Islam.
Khalifah
Abdul Rahman III, memerintah Sepanyol selama 27 tahun. Seusia itu juga
pasukan baginda tidak pernah mengalami kekalahan dalam mana-mana
serangan dan peperangan dengan pihak Kristian. Baginda turut menyediakan 200
buah kapal perang bagi menghadapi musuh samudera. Separuh pertama
pemerintahannya ditumpukan kepada menghapuskan musuh dari dalam dan luar
negeri. Manakala separuh kedua pemerintahannya ditumpukan kepada pembangunan
fizikal dan intelektual. Selain itu, aktiviti ekspedisi khalifah ke
wilayah-wilayah taklukan Kristian memberi kesan positif apabila raja-raja
Kristian di Leon, Navarre, Castile dan Bercelona tunduk kepada pemerintahan
Islam.
Walaupun
ketenteraan adalah kekuatan khalifah Islam Andalusia, ia bukanlah pendesak
masyarakat Sepanyol memilih Islam. Penyebab dominasi utama adalah ukhuwah dan
akidah Islamiah. Aspirasi inilah tunggak kekuatan yang mempertautkan
masyarakat pelbagai kaum di Sepanyol menerima sistem pemerintahan Islam selama
8 abad.
Walaupun
khalifah memiliki autokrasi politik, namun penasihat dan tulang-belakang mereka
adalah ulama. Perundangan Islam dilaksanakan secara integriti dan efisien. Bagi
golongan non Muslim, mereka dibenarkan mengamalkan agama mereka secara bebas
dan mengambil bahagian dalam pentadbiran negara. Toleransi khalifah
mengurangkan polarisasi kaum. Namun, jika berlaku penentangan terhadap agama
Islam, khalifah tidak akan teragak-agak melancarkan jihad terhadap golongan
tersebut.
Sistem
pemerintahan tersusun sistematik. Khalifah sebagai ketua tentera dan ketua
kehakiman. Di bawahnya adalah perdana menteri yang dibantu para menteri lain
bagi mengendalikan kerja-kerja pentadbiran yang berpusat di istana Cordova.
Setiap wilayah ditadbir seorang gabenor. Setiap kawasan majoriti bukan Muslim
pula mempunyai ketua di kalangan mereka sendiri yang bertanggungjawab memungut
jizyah atau cukai untuk diserahkan kepada pemerintah. Mereka juga bebas
mempunyai mahkamah dan hakim sendiri. Toleransi ini menyebabkan di kalangan
masyarakat non Muslim Sepanyol berasa terlindung dan aman. Menurut
mereka; ’Kami lebih suka hidup di bawah pemerintahan orang Islam dari
pemerintahan orang Franks atau Goth.’
Ilmu
pengetahuan dan kesusasteraan sangat padu dan erat dengan kelangsungan
politik di Andalusia. Sesetengah sarjana mengatakan, pada waktu itu sesiapa
yang mahu menjadi ahli intelektual sains, falsafah dan agama maka perlulah
datang ke Cordova; pusat pemerintahan Andalusia. Khalifah Al-Hakam II misalnya
telah mengumpulkan naskhah ilmu dari dalam dan luar Sepanyol termasuk Damsyik,
Baghdad dan Kaherah. Jumlah kitab yang terkumpul di perpustakaan Cordova
berjumlah 400,000 salinan. Bahkan semuanya ditulis tangan dengan seni yang
halus oleh para penulis dan penyalin profesional kerana belum ada teknologi
percetakan pada waktu itu.
Pada
akhir abad ke 10 Masehi, bidang fikah adalah yang paling pesat berkembang di
Sepanyol selain ilmu hadis, Al-Quran, tafsir, tauhid dan lain-lain. Khalifah
telah menjemput ulama dari pelosok jajahan Islam ke Sepanyol untuk mengajar di
masjid dan sekolah-sekolah. Para ulama ini dimuliakan dengan ganjaran yang
setimpal. Tokoh ulama yang lahir ketika itu termasuklah Imam Al-Ghazali r.a,
Ibn Khaldun dan Ibn Rusyd.
Andalusia
adalah bumi perkembangan ilmu falsafah, matematik, astronomi dan muzik. Menurut
Mahayudin Yahya (1990), sumbangan ilmu pengetahuan khalifah Islam Sepanyol
telah menyentakkan kegelapan dunia barat. Pakar-pakar barat seperti Adelard dan
Morley dari Britain telah berguru dengan ilmuwan Islam di Sepanyol serta
menterjemahkan karya agung Islam ke dalam bahasa Eropah. Misalnya karya
al-Khawarizmi tentang geometri dan statistik, manakala Liber aba’ci
karya Leonardo Fibonacci of Pisa (1202) adalah cedokan daripada tokoh-tokoh matematik
Islam seperti Ibn al-Zarqiyali.
Manakala sistem
pendidikan pada zaman Bani Umaiyyah di Sepanyol terbahagi kepada tiga
tahap iaitu rendah, menengah dan tinggi. Di peringkat rendah, para pelajar
diajar membaca Al-Quran dan nahu. Guru-guru mengajar mereka di masjid dan
diberi elaun. Pendidikan menengah lebih khusus dan tidak mempunyai sukatan
pengajian yang tetap seperti agama, nahu, sastera, sejarah, sains kesihatan,
astronomi, matematik, metafizik, khat dan lain-lain.
Pelajar
yang lulus dikurniakan ijazah dan ditauliahkan untuk menjadi tenaga pengajar.
Banyak universiti didirikan di Cordova dan Toledo serta diuruskan oleh para
profesor dan intelektual Islam. Malahan, Cordova adalah pusat pengilangan
kertas dan mengimport sebahagiannya dari negara China.
Persekitaran
ilmu mewujudkan masyarakat Andalusia yang cendekiawan serta menjadi rujukan
golongan barat yang masih hidup di zaman kegelapan. Khalifah juga sangat
menyanjung golongan sasterawan. Mereka dibayar digaji sehingga 2,000 dinar jika
mengarang syair dan cerita. Penyemarakan seni sastera seterusnya berkembang di
seluruh peringkat masyarakat. Tukang-tukang cerita memeriahkan pasar-pasar
perniagaan dengan kisah klasik dan legenda, yang popular tentunya Hikayat
1001 Malam.
Kisah-kisah
ini turut mempengaruhi negara Eropah yang kemudiannya melahirkan kisah Reynard
dan Bocaccacio. Buku-buku bahasa Arab dan kamus disebar-luaskan sehingga di
kalangan masyarakat tempatan lebih selesa berbahasa Arab. Bagi masyarakat
Sepanyol yang masih diimbau kejahilan barat, budaya Islam dan Arab memberi
pencerahan baru kepada identiti mereka. Rata-ratanya lebih sanggup menjadi ‘musta’ribun’ (orang
Eropah yang di-Arabkan) daripada menoleh budaya asal mereka iaitu Kristian.
Seni Bina Andalusia
Tentunya
tanpa pertumbuhan ekonomi yang subur dan kukuh, Andalusia tidak dapat
menjadi kuasa besar khususnya kepada Sepanyol. Ketika zaman Visigoth, penduduk
Sepanyol kurang didedahkan dengan struktur pemodenan bandar. Ini kerana,
golongan petani dan tuan tanah lebih dimuliakan dan mereka kebanyakan tinggal
di desa.
Justeru,
bandar sebagai kawasan strategik terabai. Pemerintahan Islam Andalusia telah
mengubah posisi menjadikan bandar Cordova setanding bandar elit Islam yang lain
seperti di Damsyik, Basrah, Kaherah, Mekah dan Madinah. Ahli Perbadanan Bandar
dilantik untuk memajukan pembangunan kota Cordova. Masjid, sekolah, hotel,
bangunan kedai antara yang dibina. Malahan, pemerintah memberi peluang kepada
ahli sastera, seni dan arkitek untuk mengekspresikan bakat mereka mengukir dan
mencantikkan kota Cordova.
Penubuhan Dan
Pembinaan Kerajaan Bani Umaiyyah
Terdapat
empat orang ‘Amir yang memerintah kerajaan Bani Umaiyyah iaitu:
- Abdul Rahman I
al-Dakhil (756M – 788Masehi)
- Hisham I (788 –
796 Masehi)
- Al-Hakam I (796
– 822 Masehi)
- Abdul Rahman II
(822 – 852 Masehi)
Keempat-empat
‘Amir ini bertanggungjawab menubuh dan membina asas-asas penting kerajaan Bani
Umaiyyah. Mereka ini merupakan pemimpin-pemimpin yang berkaliber khususnya
Abdul Rahman I dan Abdul Rahman II.
Kerajaan
Bani Umaiyyah di Damsyik telah jatuh pada tahun 750 Masehi. Abdul Rahman
al-Dakhil dan kaum keluarga Bani Umaiyyah ditangkap, disiksa dan dibunuh oleh
pemerintah Abasiyyah yang baru. Beliau dan khadamnya, Badr, berjaya
melarikan diri dari cengkaman kejam pemerintah yang baru. Mereka berdua telah
melarikan diri ke Palestin, kemudian ke Mesir dan seterusnya ke kawasan pantai
Maghribi pada 755 Masehi.
Sesampainya
di sana, mereka telah menetap bersama keluarga berbangsa Badar. Pada awal
cadangannya, mereka ingin ke Sepanyol untuk mencari pengaruh dan lari dari
ancaman yang mereka hadapi. Oleh itu beliau mengutus khadamnya, Badr, ke
Sepanyol untuk mendapatkan sokongan. Badr telah berjumpa dengan ketua kumpulan
tentera Syria (Syamiyyin) dan Badr berjaya meyakinkan pemimpin-pemimpin tentera
tersebut.
Mereka
bersedia menyambut kedatangan Abdul Rahman al-Dakhil. Badr dan wakil dari
Sepanyol iaitu Abdul Ghalib Tamman pulang ke Maghribi untuk memberitahu Abdul
Rahman al-Dakhil. Selepas itu mereka berangkat ke Sepanyol pada bulan September
755 Masehi. Pada bulan Mei 756 m, Abdul Rahman al-Dakhil dan tentera Syria
bertempur dengan tentera suku Qais yang memerintah pada masa itu. Mereka
berjaya menewaskan tentera Qais. Selepas itu Andalusia jatuh ke tangan Abdul
Rahman al-Dakhil dan diisytiharkan menjadi Amir di Andalus.
Kerajaan
Bani Umaiyyah memerintah sendiri dan bebas dari kuasa luar kerana dahulunya
kerajaan Islam di Andalus diletakkan di bawah kerajaan Bani Umaiyyah di Damsyik
yang mewakilkan kepada gabenornya di Afrika Utara untuk melantik pemimpin atau
gabenor di Andalus. Akan tetapi setelah berlaku perubahan itu, maka
kerajaan Bani Umaiyyah di Andalus berada di bawah pimpinan seorang Amir yang
akan mencari identitinya sendiri.
Sistem Pentadbiran
Kerajaan
Bani Umaiyyah diperintah mengikut sistem autokrasi iaitu pemerintah mempunyai
kuasa penuh. Amir ini bertindak sebagai ketua tentera dan kehakiman. Sejak
institusi Khalifah ditubuhkan pada tahun 929 Masehi, kuasa dan imej pemerintah
lebih ditonjolkan. Di bawah Amir terdapat seorang Perdana Menteri (Hajib) sama
fungsinya dengan wazir di kawasan di kawasan timur Empayar Islam.
Bawah
Hajib pula terdapat menteri-menteri yang tugasnya mengendalikan kerja-kerja
pentadbiran yang berpusat di Istana Cordova. Di bawah menteri terdapat gabenor
(wali) yang bertugas sebagai pentadbir wilayah (kura). Orang bukan Islam
mempunyai kuasa autonomi di mana mereka mempunyai ketua sendiri tetapi mereka
terpaksa membayar jizyah (cukai perlindungan) dan setelah itu diserahkan kepada
kerajaan.
Mereka
juga mempunyai mahkamah dan hakim mereka sendiri. Ulama pula menjadi penasihat
kepada Khalifah yang mempunyai pengaruh yang kuat ke atas Amir, khususnya dalam
bidang agama. Oleh itu system pemerintahan Bani Umaiyyah adalah berlandaskan
undang-undang Syariah.
Ketenteraan
Kerajaan
Bani Umaiyyah mempunyai barisan tentera yang kuat iaitu sebanyak tiga markas di
utara, tengah dan selatan. Al-Hakami (796 – 822 Masehi) telah membentuk satu
pasukan tentera upahan (murtaziqah) yang kuat gabungan tentera Saqalibah
(Slavs), Frank dan lain-lain (termasuklah Negro dan Barbar). Kerajaan ini
juga mempunyai tentera sukarelawan yang berperang untuk menegakkan agama Islam.
Selain itu terdapat golongan yang ketiga iaitu tentera biasa yang dianggotai
oleh semua kaum.
Masalah Dan Jalan
Penyelesaian
Sebaik
sahaja Muawiyah dilantik manjadi Khalifah pada 41 Hijrah/661 Masehi oleh hampir
seluruh umat Islam, pelbagai masalah timbul dan terpaksa dihadapi oleh beliau.
Pada ketika itu perang saudara baru sahaja berakhir iaitu Perang Jamal dan
Perang Siffin. Kesan daripada perang ini, umat Islam telah berpecah kepada
beberapa puak.
Di
antara puak-puak ini, puak Syiah adalah yang paling berbahaya kerana mereka
mempunyai penyokong yang ramai di Iraq dan Madinah. Di samping itu
terdapat juga tokoh-tokoh lain yang berpengaruh daripada keturunan Quraisy
seperti Abdullah bin al-Zubair dan al-Husain bin Ali. Satu lagi puak yang
berbahaya adalah puak Khawarij yang sudah menunjukkan penentangan terhadap
Muawiyah dalam Perang Siffin.
Matlamat
politik yang sangat kompleks dan berbeza-beza merupakan penghalang kepada satu
jalan penyelesaian yang menyeluruh. Berdasarkan pengalaman para khalifah yang
terdahulu ianya adalah terbukti benar. Sungguhpun begitu, ia bukanlah
penghalang untuk Muawiyah menyelesaikan masalah tersebut. Dengan kesabaran dan
kepintaran yang dimiliki oleh beliau, segala masalah tersebut dapat
diselesaikan.
Muawiyah
telah mengambil langkah dengan mengadakan perbincangan dan usaha damai secara
meluas bagi mencapai satu kata sepakat menerusi kompromi tanpa menunjukkan
kuasanya sebagai pemerintah. Langkah bijak Muawiyah ialah dengan menunjukkan
penghormatan terhadap tokoh-tokoh Quraisy dan tokoh-tokoh lain yang sudah
berpengaruh dengan mengekalkan atau mengimbangkan kuasa-kuasa mereka yang sedia
ada tanpa menunjukkan permusuhan terhadap mereka. Setiap rancangan kerajaan
akan dilaksanakan hanya jika terdapat tentangan atau bantahan. Langkah beliau
yang seterusnya adalah dengan menjauhkan diri daripada kumpulan pemberontak
Quraisy di bawah pimpinan Abdullah bin al-Zubair. Hasil daripada tindakan ini
beliau telah berjaya melaksanakan rancangannya untuk mendamaikan masyarakat dan
sekaligus mengukuhkan lagi pemerintahan Bani Umaiyyah.
Seterusnya
Muawiyah terpaksa memindahkan pusat pemerintahan Islam dari Madinah dan Kufah
ke Damsyik. Perpindahan ini dianggap penting kerana terdapat sokongan yang kuat
terhadap kerajaan Bani Umaiyyah di Damsyik. Dengan ini pengawalan terhadap
urusan pentadbiran pusat mudah dilakukan. Satu angkatan tentera juga telah
ditubuhkan oleh Muawiyah yang dianggotai oleh penduduk Syam yang digelar jund.
Mereka inilah yang memainkan peranan penting bagi mengawal keselamatan dan
keamanan pemerintahan Bani Umaiyyah daripada sebarang ancaman dari dalam atau
luar negara.
Langkah
Penyelesaian Masalah Perkauman
Selepas
zaman kebangkitan dan keunggulan yang dialami oleh Kerajaan Bani Umaiyyah di
Andalusia pada tahun 912 Masehi – 976 Masehi. Berlakunya pelbagai masalah yang
dialami oleh kerajaan Bani Umaiyyah. Antaranya adalah kerajaan Abbasiyyah yang
cuba untuk menjatuhkan kerajaan Bani Umaiyyah dan juga masalah perkauman di
mana penganut-penganut agama Kristian cuba untuk menyelewengkan akidah
orang-orang Islam di Andalusia.
Oleh
itu, terdapat beberapa langkah yang diambil oleh Abdul Rahman al-Dakhil dan
Amir-amir selepas beliau, bagi menyelesaikan masalah puak dan perkauman. Antara
langkah-langkahnya adalah menubuhkan satu pasukan tentera yang bertaraf
profesional. Pasukan tentera ini kebanyakannya terdiri daripada kaum-kaum hamba
yang diperoleh dari utara Pyrenees. Dengan cara ini, kedudukan beliau sebagai
Amir adalah lebih selamat kerana tenteranya itu bukan dari rakyatnya. Namun
begitu, perkara ini juga telah menimbulkan masalah yang serius kepada Amir mereka
kelak.
Selain
itu, Abdul Rahman al-Dakhil juga cuba untuk menyatupadukan rakyat yang
berbilang kaum dan agama menerusi Islam. Ini adalah merupakan langkah jangka
panjang yang tidak dapat dilihat kesannya dalam jangka masa yang singkat. Abdul
Rahman al-Dakhil juga telah menjalankan dasar pemerintahan yang tegas dan
mengambil tindakan serta-merta terhadap sesiapa yang cuba mengugat kestabilan
negara.
Sebagai
contoh yang jelas ialah dalam peristiwa tahun 797 Masehi di mana pada zaman
Amir al-Hakam I apabila sekumpulan muwalladun yang cuba untuk menentang
kerajaan telah dihukum bunuh di Istana Amir di Taledo dan mayat-mayat mereka
telah dibuang ke dalam parit. Peristiwa ini dikenali sebagai ‘Hari Parit’. Abdul
Rahman al-Dakhil juga mendirikan markas-markas tentera yang kuat bagi tujuan
mempertahankan negara dari serangan dalam dan luar negeri. Di Saragossa, dibina
sebuah sebuah markas tentera bagi menyekat kemaraan tentera Kristian dari arah
Pyrenees, terutama dari Perancis.
Markas
ini telah menjalankan fungsinya dengan berkesan ketika menewaskan tentera
Charlemagne pada tahun 778 Masehi. Di bahagian tengah, markas tentera Islam
berpusat di Taledo. Di bahagian selatan bertempat Merida. Kedua-dua markas
tentera ini beroperasi bagi menyekat sebarang ancaman dari dalam dan juga luar
negeri.
Mengadakan
pembangunan dari segi fizikal dan intelektual serta meninggikan taraf ekonomi
negara menerusi projek-projek pertanian dan perdagangan adalah salah satu
daripada langkah-langkah yang diambil oleh Abdul Rahman al-Dakhil. Abdul Rahman
al-Dakhil misalnya telah mendirikan sebuah masjid besar di Cordova sebagai
pusat ibadat dan ilmu pengetahuan agama. Di samping itu, beliau juga
membangunkan kota-kota besar dan mengindahkannya. Abdul Rahman al-Dakhil telah
melakukan pelbagai kemudahan bagi kemudahan rakyatnya. Selepas itu, hal-hal
yang berkaitan dengan pembangunan ini kemudiannya diperluaskan oleh anaknya
Hisyam, al-Hakam bin Hasyim dan Abdul Rahman II.
Hisyam
telah mengindahkan lagi Bandar Cordova dengan bangunan-bangunan yang besar,
serta taman-taman yang indah. Di samping itu, beliau memperbaiki sistem
perparitan dan tali air bagi memajukan pertanian. Langkah yang seterusnya
adalah dengan melantik pemimpin yang berkaliber. Abdul Rahman al-Dakhil telah
melantik anaknya Hisyam sebagai penggantinya, walaupun Hisyam bukan anaknya
yang paling tua, Hisyam terkenal sebagai pemimpin yang bijak dari segi siyasah
dan peperangan.
Di
samping itu, Hisyam juga terkenal sebagai seorang yang kuat berpegang kepada
agama. Pada zaman beliau, penyebaran agama dan ilmu pengetahuan Islam tersebar
dengan meluasnya. Beliau turut mengambil berat terhadap orang bukan Islam iaitu
kaum Yahudi dan Nasrani. Mereka ini dibenarkan mengamalkan agama mereka dengan
bebas turut serta dalam pentadbiran negara.
Sikap
toleransi yang ditunjukkan oleh Hisyam ini dapat mengurangkan polarisasi kaum
yang berbilang agama dan keturunan. Bagi menyatupadukan orang-orang Islam yang
berbagai keturunan Hisyam mengamalkan lambang jihad dalam peperangan. Jihad
ialah peperangan suci dengan nama Islam, tidak kira bangsa atau keturunan, bagi
menentang orang-orang kafir.
Selain
itu, Hisyam turut mengadakan beberapa ekspedisi ke bahagian utara Sepanyol.
Pertama kali dilakukan pada tahun 793 Masehi pada zaman Hisyam bin Abdul Rahman
al-Dakhil iaitu ke arah Narbonne. Kali kedua pula adalah pada tahun 841 Masehi
iaitu pada zaman Abdul Rahman II (822 – 852 Masehi).
Tujuan
ekspedisi ini dilakukan ialah untuk mengukuhkan negara serta mempertahankan
kedaulatannya dari diancam pihak musuh dari bahagian utara yang menganut agama
Kristian. Walaupun kedua-dua ekspedisi ini dikatakan tidak banyak mencapai
kejayaan, tetapi kedudukan pemerintahan Bani Umaiyyah di Sepanyol pada ketika
itu sudah cukup kuat, khususnya selepas kenaikkan Abdul Rahman II pada tahun
822 Masehi.
Pada
waktu ini terdapat kerjasama yang erat antara orang Islam dan Kristian yang
hidup di bawah naungan Kerajaan Bani Umaiyyah. Walaupun masih terdapat
pemberontakan kecil yang dilakukan oleh individu tertentu, tetapi ini tidak
sedikit pun menjejaskan pentadbiran kerajaan pusat di Cordova.
Pemberontakan-pemberontakan itu dapat dipatahkan dengan mudah oleh tentera
kerajaan, masyarakat yang bersatu padu dan hidup secara aman damai ini sudah
tentu memudahkan usaha Abdul Rahman II untuk meneruskan projek-projek
pembangunan yang dimulakan sejak Abdul Rahman al-Dakhil dulu.
Antara
projek terbesar yang dilaksanakan oleh Abdul Rahman II ialah projek pembinaan
menara-menara lampu di pelabuhan-pelabuhan untuk memudahkan kapal-kapal
perdagangan datang berlabuh di pantai-pantai Andalus. Hasil daripada
tindakan-tindakan yang progresif lagi adil ini menyebabkan orang-orang bukan
Islam turut berpuas hati dengan pemerintahan kerajaan Bani Umaiyyah. Dalam
tempoh ini dan sebelumnya tidak ada satu pun pemberontakan yang bercorak agama
terhadap kerajaan.
Zaman Kegemilangan
Kerajaan Bani Umaiyyah Di Damsyik
Pada
zaman kegemilangan kerajaan Bani Umaiyyah inilah telah berlaku pertukaran kuasa
dari keluarga Muawiyyah kepada keluarga Marwan b. Hakam pada 683 Masehi (64
Hijrah). Abdul malik ialah khalifah Bani Umaiyyah yang penting dan dianggap
sebagai pengasas kedua Bani Umaiyyah.
Pemberontakan
dan kekacauan yang berlaku sebelum pemerintahan Abdul Malik hampir-hampir
menghancurkan kerajaan Bani Umaiyyah tetapi dengan kebijaksanaan Abdul Malik
semua musuhnya dapat dihapuskan dan keadaan politik kembali stabil, selepas itu
Abdul Malik diganti oleh anaknya al-walid yang telah mengikut jejak langkah
ayahnya bergerak memajukan negara dan mengembangkan jajahan takluk hingga ke
negara-negara Asia, Afrika dan Eropah.
Kekuasaan
negara Islam di bawah Bani Umaiyyah amat cemerlang dalam tempoh pemerintahan
khalifah-khalifah al-Walid bin Abdul Malik hingga kepada Umar bin Abdul Aziz.
Abdul Malik telah menyusun semula pentadbiran negara. Sistem pemerintahan Rom
dan Parsi yang masih kekal di beberapa wilayah telah dihapuskan dan diganti
dengan sistem Arab. Gerakan melaksanakan pembukaan Islam adalah bertujuan untuk
menjamin keselamatan dari ancaman luar negeri. Khalifah al-Walid telah banyak
melakukan kebajikan dan pembangunan dengan mendirikan hospital untuk
orang-orang buta, penyakit kusta, penyakit bodoh sejak dilahirkan dan
lain-lain.
Dari
sudut keagamaan beliau telah membangunkan masjid dan sekolah-sekolah tinggi di
serata wilayah. Dalam bidang pertanian dan perdagangan, beberapa buah terusan
dibina dan pedagang Islam juga telah pun membuat perdagangan hingga ke negeri
China. Begitu juga bidang pelajaran dan pendidikan di mana kesusasteraan dan
kebudayaan telah mencapai kemajuan dalam zaman al-Walid ini.
Zaman Kegemilangan
Kerajaan Bani Umaiyyah Di Sepanyol
Zaman
kegemilangan kerajaan Bani Umaiyyah di Sepanyol bermula dari tahun 912 Masehi
hingga ke tahun 976 Masehi iaitu kira-kira 64 tahun dan telah melibatkan dua
orang Amir (khalifah) iaitu Abdul Rahman III Al-Nasir (912-961 Masehi) dan
anaknya, al-Hakam II al-Mustansir (961-976 Masehi).
Kerajaan
Bani Umaiyyah mencapai kegemilangan dalam pelbagai aspek politik, ekonomi,
sosial dan intelektual. Semasa pemerintahan Abdul Rahman III keadaan dan
suasana negara agak tegang kerana pemberontakan dan penderhakaan berlaku. Tugas
utama Abdul Rahman III selepas dilantik ialah mententeramkan keadaan negara
bagi menyatupadukan semua masyarakat akibat daripada pemberontakan Ibn
Hafsun. Tahun-tahun berikutnya Abdul Rahman mengalihkan pandangannya
kepada markas-markas tentera yang mengawal di kawasan yang menjadi rebutan di
kawasan sempadan bagi tujuan meletakkan pengawalan sepenuhnya di bawah kerajaan
pusat.
Tentangan Dari Raja
Leon
Setelah
memerintah dengan gagah selama kira-kira 27 tahun, tiba-tiba pada tahun 939
Masehi, Romiro II raja Leon bangun semula menentang Abdul Rahman III. Romiro II
dibantu oleh rakannya, Theuda, puteri pemangku raja Navarre telah melancarkan
serangan ke atas tentera Abdul Rahman III pimpinan Najdah di Simancas pada 5
Ogos 939 Masehi. Dalam pertempuran itu Najdah terbunuh. Namun begitu, selepas
Romiro mati pada 950 Masehi telah berlaku perpecahan dikalangan
pemimpin-pemimpin Kristian yang menyebabkan mereka lemah dan tidak berdaya lagi
untuk menghadapi tentera Abdul Rahman III yang sudah dipulihkan berikutan
kegagalan dalam peperangan di Simancas.
Kira-kira
selama 27 tahun Abdul Rahman III menghadapi serangan dan peperangan di bumi
Sepanyol bagi memulihkan semula kestabilan dan keamanan negara, dan tidak satu
pun beliau mengalami kegagalan. Rahsia kejayaan Abdul Rahman III dalam bidang
ketenteraan ialah bergantung pada kecekapan dan kelicinannya mengendalikan
tenteranya. Dari tahun 961 hingga akhir abad ke-10 Masehi kawasan takluk
Islam di Sepanyol boleh dikatakan yang terluas yang pernah di capai oleh
mana-mana pemimpin Islam di Sepanyol. Pada waktu itu seluruh Semenanjung Iberia
terletak di bawah kerajaan Islam Sepanyol, termasuk kawasan barat laut di mana
terletaknya kerajaan Kristian Leon.
Cabaran Dari
Kerajaan Fatimiyyah
Setelah
setelah musuh-musuh dari dalam dapat ditewaskan, maka lahir pula musuh dari
luar yang cuba menggugat kedudukan kerajaan Bani Umaiyyah di Sepanyol iaitu
kerajaan Fatimiyyah. Kerajaan Fatimiyyah diasaskan oleh ‘Ubaidullah al-Mahdi
dari keturunan Muhammad bin Ismail bin Ja’far al-Sadiq yang mengamalkan ajaran
syiah di Tunisia pada tahun 904 Masehi.
Kewujudan
kerajaan Syiah di Afrika Utara menjadi ancaman besar kepada krajaan Bani
Umaiyyah di Sepanyol yang mengamalkan ajaran Sunni. Kaum Syiah mengisytiharkan
bahawa komuniti Islam harus diperintah oleh seorang pemimpin atau iman yang
dilantik dari kalangan Imam Syiah (keluarga Nabi Muhammad s.a.w) dan pemimpin kerajaan
Bani Umaiyyah di Sepanyol bukan dari kalangan Imam Syiah dan harus
disingkirkan.
Di
Sepanyol ejen Syiah telah mempengaruhi puak-puak pemberontak, tidak terkecuali
pemimpin-pemimpin kaum pemberontak yang terkenal seperti Ibn Hafsun yang
memberi laluan kepada kerajaan Syiah di Tunisia untuk berkuasa di Sepanyol.
Dengan sebab itu Abdul Rahman III cepat-cepat bertindak untuk memadamkan api
pamberontakan yang sebahagiannya mempunyai unsur-unsur ajaran Syiah.
Dalam
pada itu beliau cuba mengapi-apikan pemberontakan terhadap kerajaan Fatimiyyah
di Afrika Utara, supaya dengan itu kerajaan Syiah terpaksa menyelesaikan
masalah mereka sendiri sebelum meluaskan kuasa ke Sepanyol. Kelahiran kerajaan
Fatimiyyah di Afrika Utara telah membawa perubahan kepada pemerintahan Bani
Umaiyyah iaitu ke atas diri Abdul Rahman sendiri. Buat pertama kalinya beliau
mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah atau Amir al-Mu’minin setelah
memerintah dengan nama Amir selama kira-kira 17 tahun iaitu pada 317 Hijrah
(929 Masehi).
Beliau
adalah pemimpin pertama Islam di Andalus yang memakai gelaran ‘khalifah’.
Antara sebab-sebab penting ialah untuk mengikut jejak langkah pemimpin kerajaan
Fatimiyyah yang menggelarkan diri mereka khalifah. Sebab kedua ialah status dan
dan kedudukan beliau akan menjadi lebih tinggi dan lebih dihormati. Untuk
memperkukuhkan kedudukannya sama ada dari segi kebendaan dan kerohanian dengan
mewujudkan gelaran baru sebagai tambahan kepada gelaran khalifah iaitu ‘al-Nasr
li dinillah’ (pembela agama Allah). Ia diwujudkan bagi melengkapkan kuasa
khalifah dalam bentuk duniawi dan ukhrawi.
Ia
juga bertujuan untuk menyekat pengaruh kerajaan Fatimiyyah yang mendakwa
sebagai pemimpin masyarakat Islam di seluruh dunia. Beliau mahu kerajaan
Fatimiyyah mengikhtiraf beliau sebagai khalifah kerajaan Islam di Sepanyol.
Keadaan ini dirasakan beliau setelah beliau mencapai kejayaan besar di sana. Abdul
Rahman III adalah orang yang yang bertanggungjawab memulih serta memakmurkan
bumi Islam di Sepanyol serta menjadi pembela maruah keturunan Bani Umaiyyah dan
boleh dianggap sebagai pengasas kedua kerajaan Bani Umaiyyah Sepanyol selepas
pengasas pertamanya iaitu Abdul Rahman al-Dakhil. Beliau meninggal dunia pada
16 Oktober 961 ketika berumur 71 tahun. Beliau meniggalkan jasa dan bakti yamg
begitu besar terhadap pembangunan agama, masyarakat dan negara di Sepanyol.
Selepas
kematian Abdul Rahman III, beliau digantikan oleh anaknya al-Hakam II
al-Mustansirbillah. Beliau memerintah selama lebih kurang 15 tahun (961-976
Masehi). Beliau adalah seorang yang pemimpin yang sederhana kerana keadaan
masyarakat dan negara sudah makmur dan stabil serta membangun dengan pesat
membolehkan beliau malaksanakan tugasnya dengan mudah.
Oleh
itu beliau banyak menyumbang dalam bidang pendidikan dan ilmu pengetahuan.
Tiada perubahan dalam dasar pemerintahan. Malah kedudukan pentadbiran awam dan
ketenteraan juga kukuh. Beliau yang sangat berminat membaca dan menyelidik
banyak mengumpulkan buku atau kitab sama ada dari Sepanyol atau luar Sepanyol
dan dikumpulkan di perpustakaan di Cordova. Oleh kerana itu ramai yang datang
mengunjungi Cordova termasuk para ulama’ bagi mendalami ilmu pengetahuan.
Al-hakam
II meninggal dunia pada 22 Safar 366 (1 Oktober 976 Masehi) setelah memerintah
selama kira-kira 15 tahun. Selepas itu keadaan pemerintahan Bani Umaiyyah
di Sepanyol terus maju dan makmur sehingga berlaku perubahan mengejut selepas
tahun 1000M di mana kerajaan Bani Umaiyyah mengalami kelemahan dan
kejatuhan.
Sumbangan Kerajaan
Bani Umaiyah
Selepas
mengukuhkan kedudukannya di Andalusia, kerajaan Bani Umaiyyah telah berjaya
memperlihatkan sumbangan peradabannya sama ada dari segi ekonomi, politik,
sosial dan lain–lain lagi. Bertitik tolak dari kesedaran para ilmuan atau
sarjana dan sumbangan yang diberikan mereka secara tidak langsung ia
mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan kerajaan Bani Umaiyyah di Sepanyol. Sebagai
contoh Ibnu Khaldun, Ibnu Sina dan Ibnu Rusyd; masing–masing telah
memperlihatkan zaman kegemilangan mereka walaupun selepas kerajaan Bani Umaiyyah,
namun nama–nama ini telah menjadi suatu yang sinonim kepada para sarjana barat
yang mengagung–agungkan ilmu yang mereka miliki.
Pada
zaman kerajaan Bani Umaiyyah, sistem ekonomi yang membangun dan sistematik
telah pun diperkenalkan untuk memudahkan lagi rutin harian penduduk di kawasan
itu. Selain itu, sistem ekonomi yang diwujudkan adalah lebih kepada kemudahan
tanaman untuk diperdagangkan di negara–negara asing. Selain mendatangkan
keuntungan ia juga telah menyebabkan berlakunya pengkhususan kerja bagi para
penduduk setempat. Ini menyumbangkan peluang pekerjaan yang banyak dan secara
tidak langsung kitaran ekonomi akan sentiasa berjalan dengan lancar, seimbang
dan stabil.
Hubungan
dagangan dengan negara luar juga dipertingkatkan agar dapat mewujudkan satu
lingkaran persahabatan antara negara lain. Ini amat penting kerana tanpa
usahasama daripada pelbagai pihak maka kestabilan dalam bidang ekonomi tidak
akan tercapai.
Antara
kegiatan ekonomi yang termasyhur sekali ialah kegiatan dari segi pertanian iaitu
kerajaan Bani Umaiyyah telah memperkenalkan sistem pengairan yang teratur dan
sistematik. Dengan kewujudan sistem ini maka, ia telah menyebabkan hasil
tahunan pertanian semakin bertambah dari setahun ke setahun.
Pada
masa itu, kualiti hasil yang dikeluarkan amat bermutu tinggi dan turut
menghasilkan sayur–sayuran yang segar. Dengan ini secara tidak langsung hasil
dalam negara akan lebih banyak dan ianya dapatlah digunakan untuk tujuan yang
sama iaitu mengemaskinikan sistem ekonomi yang sedia ada. Antara jenis tanaman
yang terkenal pada ketika itu ialah limau, tebu, padi dan kapas. Lazimnya
benih–benih tanaman ini dibawa masuk dari negara–negara jiran.
Kerajaan
Bani Umaiyyah merupakan kawasan yang paling maju dan membangun dari sektor
pertaniannya. Selain itu, kerajaan ini juga turut kaya dengan hasil logamnya.
Apabila sektor ini dimajukan dengan jayanya maka ia juga turut menyumbang
kepada kemasukkan modal kepada negara itu sendiri. Dengan sistem yang terkini
dan maju maka kerajaan Bani Umaiyyah dapat bersaing dengan negara lain dengan
mudahnya.
Maka
dengan adanya sistem yang teratur boleh dikatakan negara Islam adalah pemangkin
ke arah kemajuan berikutan dengan beberapa penemuan dari segi ekonomi itu
sendiri. Kemajuan ini menandakan bahawa kerajaan Islam pada ketika itu sudah
mampu untuk membangun dan berjaya seperti negara–negara yang wujud ketika itu.
Kebudayaan Dan
Intelektual
Sesunggguhnya
Kerajaan Bani Umaiyyah amat terkenal dengan pengembangan pengaruh kebudayaan
dan turut menjadi tumpuan para intelektual serta telah melahirkan para cerdik
pandai yang cukup disegani hingga ke hari ini. Bidang kebudayaan boleh
dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu intelektual, sastera dan seni yang pada
masa yang sama telah pun berkembang maju mengikut aliran masing–masing.
Berikutan
daripada itu kesannya dapat kita lihat hingga ke hari ini dan telah menjadi
ikutan para sarjana barat hasil daripada kajian yang mereka buat ke atas
buku–buku yang di keluarkan oleh para intelektual Islam. Malah mereka turut mengakui
bahawa hasil karya mereka bermutu tinggi hasil dari kajian para sarjana Islam
ke atas Al-Quran yang diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada hamba-Nya untuk
dikaji dan dinilai isinya.
Jika
di kaji dari segi intelektual, bidang yang maju berkembang ialah bidang syariah
di mana hukum–hukum agama islam adalah bersandarkan kepada Al–Quran dan Hadith.
Ia juga adalah berdasarkan kepada Qiyas dan Ijma’ ulama yang pada ketika itu
terdapat pelbagai aliran atau mazhab yang popular di dalam Islam iaitu Mazhab
Sunni, Syiah, Khawarij’, Mu’tazilah, Zahari dan Awza’I tetapi mazhab yang
selalunya diikuti ialah dari Mazhab Sunni dan Awza’I .
Antara
tokoh–tokoh ulama Mazhab Sunni ialah Isa bin Dinor dan Yahya bin Yahya
al–Laith; dan selepas itu muncul pula Al–‘utbi. Pada ketika itu, juga ada yang
mengikut mazhab iaitu sebagai contoh tokoh Ibnu Hazm mengikut aliran Syafi’ dan
Al–Jazis menganut aliran Muta’zilah. Namun bilangan mereka hanyalah sedikit
sahaja dan kumpulan ini dan telah pun menjadi penasihat kerajaan dan mahkamah.
Aktiviti mereka dianggap penting dalam bidang intelektual dan keagamaan pada
zaman Bani Umaiyyah yang kebanyakkanya membuat kajian Islam mengenai Fikah
Mazhab Maliki.
Ilmu–ilmu
agama lain seperti hadis, tafsir dan ilmu kalam turut diperkembangkan dan
diajar. Kajian dalam bidang duniawi juga tidak ketinggalan di mana para ilmuan
telah pun mengkaji ilmu falsafah, perubatan, astronomi dan matematik iaitu pada
zaman Al–Hakam II. Bidang sejarah dan biografi masih lagi di tempat setempat.
Tokoh yang pertama mengaku bahawa beliau adalah seorang ahli Sejarah ialah
Ahmad al-Razi. Karya beliau adalah berkisarkan kepada dokumen-dokumen Sepanyol
yang berjudul ‘cronica demoro Rusis’. Sebuah buku para kadi (hakim) di
Cordova berjudul ‘History of the Judges of Cordova’ iaitu
terjemahan dari bahasa Sepanyol oleh Al-Khuzani.
Dalam
kesusasteraan pula, Bani Umaiyyah telah banyak melahirkan ramai para saterawan
dan penyair. Pelbagai bentuk sajak dan syair dapat diilhamkan terutamanya
penyair dari kawasan Timur iaitu Abu Nawas, Abu Al–Atahiyah dan lain–lain lagi.
Antara penyair yang terbilang ialah Ibnu Abd al–Rabbih dengan karyanya yang
berjudul ‘Al-iqd al-Farid’ (Rantai yang Tiada Taranya). Beliau
dilahirkan di kalangan golongan bukan Arab (Mawla). Manakala puisi Ibnu Hani
banyak berkisar kepada politik yang memihak pada kerajaan Fatimmiyah serta
menghasilkan sebuah antologi (diwan).
Pada
zaman akhir pemerintahan Bani Umaiyyah bidang syair telah berkembang dengan
lebih pesat lagi. Antara tokoh yang terkenal hingga ke hari ini ialah Ibnu Sina
atau Avincenna (Panggilan Barat) yang telah berjaya memaparkan sejarah
cendekiawan pada zaman pertengahan. Penghormatan yang diberikan kepadanya amat
tinggi kerana telah berjaya mewujudkan sistem sains yang telah bertahan selama
beberapa kurun.
Pengaruh
Plato dan Aristotle telah banyak mempengaruhi Ibnu Sina dalam banyak perkara
dan beliau turut telah membetulkan Aristotle dengan membuat peraturan. Contoh
hasil karyanya ialah kitab al-Shifa (kaedah penyembuhan penyakit).
Falsafah Islam telah mencapai kepada kemuncaknya dalam zaman Ibnu Rusyd, Ibnu
Bajjah dan lain–lain lagi dan pada ketika itu Abd. Rahman telah pun mengambil
tampuk pimpinan malah beliau adalah seorang penyair. Kisah–kisah yang
berunsurkan binatang dan tauladan telah mula menular dikebanyakan kawasan
Eropah dan melahirkan kisah seperti Renard, Bocaccacio dan Chauser.
Kesenian
Pada
zaman perkembangan kesenian Islam di Sepanyol sejak pembukaannya, ianya
bolehlah dianggap sebagi tahap pembinaan tamadun Islam di Sepanyol. Dalam
jangka masa itu terbinalah masjid besar di Cordova yang mula dibina oleh Abd
Al-Rahman Al-Dakhil, yang diperluas dan diperindahkan oleh Abd. Al-Rahman II,
al Hakam dan al Mansur. Ianya dibina sebegitu rupa sehingga dikagumi seluruh
dunia. Kehalusan seni binanya amat menakjubkan sehingga pernah disifatkan
sebagai ‘keajaiban seni bina dunia’. Kos pembinaan adalah sebanyak 80,000 dinar
yang berukuran 360 kali 270 kaki. Mimbarnya diperbuat daripada gading dan
kayu yang berharga seerta dilekatkan dengan paku–paku emas.
Di
samping itu juga, ia mempunyai 1,000 buah lampu yang di tengah–tengahnya
mempunyai air pancut. Selain itu, terdapat juga benteng–benteng pertahanan yang
dibina pada zaman Bani Umaiyyah yang menarik seninya, begitu juga dengan alat
perhiasan rumah yang diperbuat dari emas, perak, gading kristal dan marmar yang
ditemui di Cordova.
Pendidikan
Islam
memandang tinggi terhadap ilmu pemgetahuan sebagai suatu yang amat penting. Hal
ini dibuktikan kepada ajaran–ajaran Islam yang berlandaskan kepada Al–Quran dan
Sunnah. Islam menyuruh manusia supaya menuntut ilmu agar mudah mentadbir alam.
Maka, bagi Kerajaan Bani Umaiyyah ilmu pengetahuan merupakan bidang yang
terpenting walaupun tiada sistem pendidikan yang percuma namun amatlah
digalakkan oleh Kerajaan Bani Umaiyyah. Salah satu komitmen Bani Umaiyyah
terhadap penduduknya ialah dengan mendirikan masjid–masjid sebagai tempat
menimba ilmu.
Penyebaran
Islam juga digalakkan yang pada ketika itu ditadbir oleh Abd. Al-Rahman
al-Dakhil. Sistem pendidikan yang diamalkan oleh kerajaan Bani Umaiyyah
terbahagi kepada tiga tahap iaitu tahap rendah yang diajar membaca Al–Quran dan
tatabahasa Arab yang di tempatkan di masjid–masjid. Murid–murid juga diajar
menggunakan pena dakwat malah guru–guru tidak dibayar gaji tetapi menerima
elaun daripada murid–muridnya.
Peringkat
menengah pula diajar secara persendirian dan tiada sukatan pelajaran yang
tertentu. Mereka diajar ilmu Matematik, astronomi dan lain–lain. Mereka yang
layak akan diberi diploma atau ijazah manakala di peringkat yang lebih tinggi
pula diwujudka secara informal yang dikendalikan oleh profesor dan berpusat di
Cordova serta Toledo, di mana ia merupakan pusat menuntut ilmu terutamanya di
kalangan masyarakat barat dan Eropah.
Terdapat
banyak kemudahan yang disediakan dan ini termasuklah buku–buku, alat tulis dan
lain–lain lagi. Berhampiran dengan Cordova terletaknya sebuah kilang kertas dan
ada yang diimport dari negara China. Namun wujud juga pesaing-pesaing kepada
kerajaan Abasiyyah seperti kerajaan Kristian di barat yang telah menyebabkan
pendidikan bertambah pesat di Andalusia.
Andalusia - Sejarah
Islam Yang Disembunyikan
Masuknya
Islam di Sepanyol, pada zaman Khalifah Al-Walid (705-715 Masehi), khalifah dari
Bani Umaiyyah yang berpusat di Damaskus. Dalam proses penaklukan Sepanyol ini
terdapat tiga pahlawan Islam yang boleh dikatakan paling berjasa iaitu Tharif
Ibn Malik, Thariq bin Ziyad, dan Musa Ibn Nushair.
Tharif
Ibn Malik merupakan panglima Muslim yang merintis dan sebagai penyelidik penaklukan
wilayah Sepanyol, ia menyeberangi selat yang berada di antara Morocco dan benua
Eropah. Dalam penyerbuan itu tharif tidak mendapat perlawanan yang berarti.
Thariq
bin Ziyad lebih banyak dikenali sebagai penakluk Sepanyol kerana pasukannya
lebih besar dan hasilnya lebih nyata. Pasukan ini kemudian menyeberangi selat
di bawah pimpinan Thariq bin Ziyad, menguasai Gunung Gibraltar (Jabal Thariq),
kemudian di daerah ini membuat pertahanan serta tempat menyiapkan pasukan untuk
memulai penaklukan. Dalam pertempuran yang dikenali sebagai Pertempuran
Guadalete, raja Roderic dapat dikalahkan. Dari situ Thariq bin Ziyad dan
pasukannya terus menakluk kota-kota penting, seperti Cordova, Granada dan
Toledo (ibu kota Visigoth ketika itu).
Sedangkan
Musa Bin Nushair membantu Thariq bin Ziyad dengan suatu pasukan yang besar,
menakluk dan menawan Sidonia, Karmona, Seville, dan Merida serta mengalahkan
penguasa kerajaan Goth lainnya, Theodomir di Orihuela. Kemudian bergabung
dengan Thariq bin Ziyad di Toledo. Keduanya berjaya menguasai seluruh kota
penting di Sepanyol, termasuk bahagian utaranya, mulai dari Saragosa hingga ke
Navarre.
Kemenangan
yang telah dicapai di Sepanyol mengukir sejarah baru Islam di Eropah, kerana
Sepanyol merupakan pintu gerbang masuk ke Eropah. Untuk selanjutnya dapat
menyampaikan dakwah Islamiah ke seluruh benua Eropah dengan mudah. Penaklukan
yang dilakukan oleh Thariq bin Ziyad inilah merupakan asal-usul Islam di
Sepanyol.
Gelombang
kedua terbesar dari penyerbuan kaum Muslimin, dimulai pada permulaan abad ke-8
Masehi, menjangkau seluruh Sepanyol dan melebar jauh menjangkau Perancis tengah
dan bahagian-bahagian penting dari Itali. Kemenangan-kemenangan yang dicapai
umat Islam nampak begitu mudah. Pada masa penaklukan Sepanyol oleh orang-orang
Islam, keadaan sosial, politik, dan ekonomi negeri ini berada dalam keadaan
yang amat menyedihkan. Secara politik, wilayah Sepanyol terkoyak-koyak dan
terbahagi-bahagi ke dalam beberapa negeri kecil.
Setelah
Sepanyol dikuasai Islam, ternyata perkembangan ilmu pengetahuan dan kebudayaan
sangat berkembang dengan pesat. Islam di Sepanyol telah mencatat satu lembaran
budaya yang sangat briliant dalam bentangan sejarah Islam. Ia berperanan
sebagai jambatan penyeberangan yang dilalui ilmu pengetahuan Yunani-Arab ke
Eropah pada abad ke-12. Bahkan boleh dikatakan seluruh perkembangan ilmu
pengetahuan dalam masyarakat intelek Islam Sepanyol mempengaruhi perkembangan
ilmu pengetahuan di dunia barat, terutama setelah memasuki abad pertengahan.
Bahagian
akhir abad ke-12 Masehi menjadi saksi munculnya seorang pengikut Aristoteles
yang terbesar di gelanggang filsafat dalam Islam, iaitu Ibnu Rusyd dari
Cordova. Pada abad ke 12 diterjemahkan buku Al-Qanun karya Ibnu Sina (Avicenne)
mengenai kedoktoran. Di akhir abad ke-13 diterjemahkan pula buku Al-Hawi
karya Ar-Razi yang lebih luas dan lebih tebal dari Al-Qanun.
Abbas
Ibn Fama termasyhur dalam ilmu kimia dan astronomi. Beliau merupakan orang yang
pertama kali menemukan pembuatan kaca dari batu. Ibrahim Ibn Yahya Al-Naqqash
terkenal dalam ilmu astronomi. Beliau dapat menentukan waktu terjadinya gerhana
matahari dan menentukan berapa lamanya. Beliau juga berjaya membuat teropong
moden yang dapat menentukan jarak antara tata suria dan bintang-bintang. Ahad
Ibn Ibas dari Cordova adalah ahli dalam bidang ubat-ubatan. Umi Al-Hasan Bint
Abi Ja’far dan saudara perempuan al-hafidzh adalah dua orang ahli
kedoktoran dari kalangan wanita.
Tahap
selanjutnya, adalah tahap-tahap kecurigaan ketakutan yang luar biasa dan secara
diam-diam kecemburuan dan kekaguman terhadap Islam, masyarakat Eropah akhirnya
berjaya memindahkan metodologi ilmiah intelek masyarakat Islam. Ironisnya
masyarakat Islam justeru terpuruk dalam fasa jumud: fasa kemunduran.
Metode
eksperimen, eksplorasi, opservasi, yang pada awalnya dipakai setiap kajian
ilmiah, berubah menjadi metode pengulangan pendapat para guru, yang
kebelakangan diketahui bahawa metode tersebut dipakai oleh sedikit masyarakat
terpelajar abad pertengahan di Eropah sebelum datangnya Islam.
Dari
sini kemunduran dan kehancuran Islam di Sepanyol bermula. Konflik Islam dengan
Kristian, tidak adanya ideologi pemersatu, kesukaran ekonomi, tidak jelasnya
sistem peralihan kekuasaan keterpencilan. Terjadi beberapa peristiwa dan
pemberontakan dan keharusan yang dilakukan oleh golongan-golongan tertentu yang
merasa tidak puas, tidak senang, dan cemburu terhadap khalifah yang berkuasa.
Orang-orang
Kristian rupanya tahu tentang keadaan umat Islam yang sudah lemah itu. Oleh
kerana itu, raja-raja Kristian di utara memperkuatkan kedudukan mereka untuk
memerangi kaum Muslimin yang telah berpecah belah. Orang-orang Kristian yang
pada mulanya abad ke-10 membayar upeti kepada orang Islam, tetapi menjelang
pertengahan abad ke-II mereka dengan leluasa menuntut pembayaran upeti dari
beberapa penguasa kecil Islam.
Bersatunya
dua kerajaan Kristian, Lean dan Castille pada tahun 1230 Masehi, telah
meningkatkan usaha perebutan kekuasaan terhadap kekuasaan Islam di Sepanyol
semakin efektif. Tahun 1236 Masehi, Cordova dapat direbut, dan tahun 1248
Masehi, Seville jatuh pula ke tangan orang-orang Kristian. Pada waktu yang
bersamaan tentera Castille semakin kuat, dan satu persatu kota-kota kekuasaan
Islam dapat dikuasainya. Kota Malaga pun jatuh satu tahun kemudian. Sampai pada
akhirnya Islam terusir dari negeri Sepanyol dengan meninggalkan sisa-sisa ilmu
pengetahuan dan kebudayaan yang berpengaruh pada peradaban barat.
Thariq Bin Ziyad Dan Awal Penaklukan Andalusia
Sejarah
kejayaan Islam di Andalusia (Sepanyol selatan) dari abad 8 – 15 Masehi
merupakan sejarah besar dunia kerana dari sanalah pintu gerbang ilmu dan
peradaban Eropah moden dan dunia dibangunkan. Selain itu sejarah tersebut
membuktikan bahawa sistem tatanan Islam telah dapat memberikan nuansa
masyarakat yang penuh rahmat bagi dunia tanpa pandang bangsa, agama dan ras
sebagaimana pada waktu itu umat Islam, Kristian dan Yahudi dapat hidup rukun
secara bersama-sama membangun masyarakat yang beradab, suatu fenomena yang
sangat sukar dapat dirasakan di jaman sekarang.
Sejarah
awal penaklukan Andalusia tidak boleh lepas dari kejayaan pasukan bangsa Berber
dari Afrika utara yang dipimpin oleh panglima Thariq bin Ziyad yang berjaya
mengalahkan pasukan raja Sepanyol pada waktu itu yang bernama Roderic dalam
pertempuran efektif selama 8 (lapan) hari, suatu waktu yang sangat singkat
serta merupakan sejarah pertempuran legenda kerana jumlah pasukan musuh 6
hingga 8 kali ganda lebih ramai. Di samping itu kekalahan bangsa Eropah oleh
bangsa Afrika Islam tersebut merupakan sejarah penting yang boleh digunakan
sebagai rujukan bahawa Eropah atau barat pernah dikalahkan sekaligus dalam
perjalanan panjangnya kekuatan yang dimiliki Eropah dapat mengalahkan
negara-negara Islam.
Untuk
itu dalam bahagian ini akan dibahas peperangan yang dilakukan oleh Thariq bin
Ziyad yang telah membawa kemenangan gemilang untuk selanjutnya membuka pintu
gerbang kejayaan Islam untuk masa waktu 8 abad lamanya. Tidak banyak sejarah
yang menguak mengenai tokoh ini sebenarnya serta peranan penting bangsa Berber
dalam sejarah penaklukan tersebut meskipun banyak sejarah bercerita tentang
zaman kejayaan Islam di bumi Andalusia.
Sehingga
dalam bahagian ini keterbatasan ulasan juga disebabkan keterbatasan sumber
rujukan. Namun demikian tokoh seperti Thariq bin Ziyad dapat menjadi contoh
bahawa kombinasi kekuatan keimanan, keberanian, kecerdikan dan ketulusan
seorang Muslim dapat memberikan sumbangan yang besar dalam mengantarkan dunia
pada peradaban tinggi umat manusia. Sejarah peperangan yang sangat singkat telah
mampu menancapkan tonggak sejarah Islam dan peradaban manusia untuk waktu yang
lama.
Bangsa Berber Atau
Moro
Bangsa
Berber adalah bangsa Afrika utara (bukan Arab) yang banyak mendiami kawasan
utara Morocco, Aljazair yang dulu merupakan sebahagian dari wilayah Mauritania.
Mereka merupakan bangsa nomad yang hidup berpindah-pindah. Sebelum Islam datang
bangsa Berber ramai yang menganut aliran animisme, selain ada yang menganut
agama Yahudi.
Bangsa
Berber memiliki banyak suku seperti Jarawa, Sanhaja, Lamtuna, Jazula, Zenata,
Masmuda, Botr, dan Beranes. Dalam sejarah Andalusia hingga sekarang dikenali
istilah bangsa Moor yang tidak lain adalah bangsa Berber itu sendiri yang telah
memeluk agama Islam. Istilah Moor berasal dari bahasa Yunani iaitu ‘maures’
yang bererti hitam atau gelap sebagaimana warna kulit bangsa Afrika.
Sedangkan
istilah moor dalam bahasa Sepanyol menjadi Moro sebagaimana istilah ini
digunakan dalam bahasa Malaysia. Bangsa Berber (Moro) asal usulnya dari
Mauretania yang sekarang meliputi wilayah Morocco dan Aljazair bahagian barat.
Sebagai maklumat bahawa bangsa Moro (Berber) ini tidak sama dengan bangsa atau
orang Moro di wilayah Mindanao, Filipina, meskipun istilah Moro juga diberikan
oleh bangsa Sepanyol setelah menguasai Filipina.
Pada
tahun 708 Masehi, Islam di bawah kekuasaan Dinasti Umaiyyah yang berpusat di
Damaskus, Syria menyebarkan Islam dan akhirnya menguasai kawasan Afrika utara
di mana bangsa Berber banyak berada. Sedangkan ajaran Islam pada waktu itu
dibawa oleh da’i dari orang-orang Arab yang jumlahnya sedikit. Dalam
perkembangannya, bangsa Berber setelah memeluk Islam meskipun belum lama
menjadi sangat fanatik.
Penaklukan
Andalusia
Sepanyol
jatuh ke tangan kekuasaan bangsa Barbarian atau Vandal Visigoth dari kekuasaan
Romawi pada abad 5 Masehi. Nama Al-Andalus yang merupakan sebahagian dari
wilayah Sepanyol bererti ‘tanah orang-orang vandal’. Istilah ini digunakan
setelah wilayah tersebut ditaklukkan oleh pasukan Islam. Sebelum orang Islam
datang, pada waktu itu yang menjadi raja Sepanyol waktu itu adalah Roderic.
Roderic merupakan raja terakhir dari Dinasti Visigoth yang salasilahnya berasal
dari Jerman. Meskipun mereka menganut agama Kristian, namun perangainya sangat
menyimpang dari ajarannya.
Sejarah
bermula ketika Julaian, Gabenor Ceuta (yang wilayahnya menyatu dengan
daratan Morocco) yang di bawah kekuasaan Sepanyol memendam kebencian kepada
pimpinannya iaitu raja Roderic yang telah memperkosa atau menghamilkan anak
perempuannya, Florinda yang dikirim olehnya untuk menuntut ilmu kepadanya.
Florinda merahsiakan masalah ini dan mengirim surat kepada bapanya.
Setelah bapanya yakni Julaian mendapat khabar dari anak Florinda, ketika itu
marahnya luar biasa, dia tidak lagi setia pada rajanya, namun kebencian
tersebut tidak mungkin dilampiaskan begitu saja kepada raja mengenangkan
kekuasaan dan kekuatan Julaian sangat terbatas. Sehingga waktu Julaian
menjemput Florinda untuk pulang, Roderic meminta Julaian datang membawa burung
helang khusus untuk keperluan berburu.
Kemudian
dijawab oleh Julaian dengan kata-kata tersembunyi iaitu Julaian nantinya akan
membawa kepadanya burung helang yang istimewa yang belum pernah dia lihat
(maksudnya adalah akan dipanggil pasukan dari Afrika utara untuk mengalahkan
Roderic).
Oleh
kerana itu untuk merealisasikan keinginannya membalas kejahatan Roderic,
setelah sampai di Ceuta dia segera mendatangi Gabenor Tangier iaitu
panglima Thariq bin Ziyad. Thariq bin Ziyad waktu itu dilantik oleh Gabenor
Musa Ibn Nusair dari penguasa Dinasti Umaiyyah untuk kawasan kawasan Afrika
utara.
Thariq
bin Ziyad sebagai Gabenor Tangier memang menjaga hubungan baik dengan Julaian
sehingga tidak ada permusuhan di antara kedua belah pihak. Thariq bin Ziyad
merupakan orang Berber yang mendapat pangkat tertinggi dalam karier tentera.
Pada waktu itu Thariq bin Ziyad berada di Tlemsen (kawasan Aljazair bahagian
utara) sedangkan Musa ada di Al-Qairwan (wilayah Tunis bahagian utara).
Pada
Thariq bin Ziyad, Julaian memujuk dia untuk memerangi Roderic dan menakluk Sepanyol
sedangkan dia akan membantu serta menunjukkan jalan untuk misi tersebut. Dari
raut muka Julaian, Thariq bin Ziyad dapat melihat kebencian yang sangat pada
Julaian terhadap Roderic. Diceritakannya bahawa kawasan Sepanyol memiliki
sumber alam yang melimpah dan tanahnya subur. Tawaran tersebut ditanggapi
Thariq bin Ziyad dengan sangat hati-hati. Sebagai langkah awal pada 710 Masehi,
Thariq bin Ziyad mengutus anak buahnya iaitu Tarif Ibn Malik dengan membawa 400
tentera untuk mengadakan kajian ke Andalusia.
Sedangkan
Julaian membantu menyediakan 4 buah kapal untuk menyeberangi selat. Tempat di
mana pasukan Tarif Ibn Malik mendarat di Sepanyol kemudian hari hingga sekarang
dinamakan tarifa yang berada di hujung selatan Sepanyol berhadapan
dengan wilayah Morocco dipisahkan oleh selat. Setelah kepulangan ekspedisi
Tarif Ibn Malik ke Morocco dan membawa khabar bahawa apa yang diceritakan
Julaian adalah benar, Thariq bin Ziyad semakin bersemangat untuk segera membawa
pasukannya ke Sepanyol untuk menghadapi pasukan Roderic. Thariq bin Ziyad
dikenal sebagai orang yang berani dan tentera yang handal.
Dengan
salah satu strategi pada waktu itu bahawa Roderic sedang sibuk mengurusi
kekuasaannya di wilayah Sepanyol utara yang sedang muncul pemberontakan oleh
kelompok basque, Thariq bin Ziyad segera memulakan misinya. Perjalanan pasukan
Thariq bin Ziyad dimulai dari wilayah Ceuta kemudian menyeberangi
selat yang kemudian hari hingga sekarang diberi nama selat Jabal-el-Thariq
atau Gibraltar dan mendarat di suatu bukit karang pada musim semi
tepatnya pada 30 April 711 Masehi.
Di
tempat tersebut iaitu di kaki Bukit Mount Calpe, untuk beberapa waktu Thariq
bin Ziyad dan pasukannya membuat tempat sementara (camp) untuk persiapan
sebelum melakukan penyerangan sambil menyusun strategi. Kemudian hari hingga
sekarang bukit tersebut dinamakan Gibraltar (Jabal-el-Thariq, Bukit
Thariq) yang sekarang merupakan wilayah autonomi negara Britain yang berada di
kawasan semenanjung Iberia (Sepanyol) demikian juga selat yang
memisahkan antara daratan Morocco dan Sepanyol. Pada waktu itu Thariq bin Ziyad
membawa pasukan berjumlah 7,000 orang dari bangsa Berber dan kemudian mendapat
tambahan lagi berjumlah 5,000 orang sehingga jumlah keseluruhan adalah 12,000
orang.
Kedatangan
pasukan Thariq bin Ziyad tersebut setelah beberapa lama akhirnya diketahui oleh
gabenor wilayah yang berdekatan dengan kawasan Gibraltar yang bernama
Edeco yang segera memberitahu kepada raja Roderic di Toledo. Mendengar berita
itu, Roderic sangat marah dan mengirimkan pasukan untuk menghadang pasukan
Thariq bin Ziyad. Mendengar invasi pasukan Thariq bin Ziyad, Roderic segera
menghadangnya dengan jumlah pasukan yang jauh lebih ramai iaitu enam kali ganda
bahkan lebih hingga sampai 100,000 pasukan. Peperangan terjadi di muara sungai
kecil bernama Rio Barbate, dekat Guadalete yang terletak di sebelah selatan
kota Cadiz.
Aliran
Rio Barbate berasal dari Sungai Guadalete yang mengalir ke LautAN Atlantik dari
Tanjung Trafalgar di Semenanjung Iberia. Sehingga tempat pertempuran
berlangsung disebutkan oleh ramai penulis sejarah berada di aliran Rio Barbate
atau Guadalete atau di kota Medina Shedonia di mana semua wilayah tersebut
berdekatan antara satu sama lain dan dapat difahami bahawa wilayah pertempuran
tidak bertumpu di satu tempat saja. Dalam menghadapi musuh yang jumlahnya
sangat ramai dan tidak berimbang tersebut, pasukan Thariq bin Ziyad pun pada
mulanya berasa agak gemetar juga, lebih-lebih lagi pasukan Roderic dilengkapi
senjata berat. Namun begitu Thariq bin Ziyad telah berucap dengan lantang
kepada pasukannya dengan kata-kata seperti berikut:
‘Saudara-saudaraku,
musuh ada di depanmu sedangkan laut ada di belakangmu. Ke mana kamu akan lari?
(Mereka berseru: ‘Kami akan mengikutimu, Thariq bin Ziyad’). Kita hanya ada
satu pilihan sahaja iaitu menang.’
Ketika
itu juga semangat pasukan Thariq bin Ziyad membara dan maju untuk berperang
berhadap-hadapan dengan pasukan raja Roderik. Pertempuran berlangsung sekitar
satu minggu tanpa henti sehingga berakhir dengan kekalahan pasukan Roderic.
Peperangan terjadi mulai tanggal 11 Julai 711 Masehi, tiga hari pertama
peperangan berdarah terjadi dan korban berjatuhan di kedua belah pihak
khususnya di pihak Roderic.
Mulai
hari keempat peperangan terjadi secara besar-besaran dan berlangsung terus
tanpa henti hingga akhirnya pada 19 Julai 711 Masehi (atau 28 Ramadhan 92
Hijrah) pasukan Roderik mulai kalah dan ramai yang terkorban dan Roderic
melarikan diri dengan menaiki kudanya meninggalkan pasukannya yang kucar-kacir
serta serakan mayat-mayat pasukannya yang jumlahnya mencapai 16,000 orang.
Sehari
setelah pertempuran usai, kuda, sandal, dan mahkota Roderic ditemui di tepi
sungai namun jasadnya tidak ditemui, dipercayai jasadnya dibawa arus sungai dan
tenggelam di laut. Dengan demikian pertempuran penentuan secara efektif hanya
memakan waktu 8 hari, suatu rentang waku yang teramat singkat.
Setelah
berjaya mengalahkan pasukan Roderic di Rio Barbate, Thariq bin Ziyad kemudian
membahagi pasukannya menjadi 3 kesatuan pasukan untuk terus menyebar ke
beberapa penjuru semenanjung. Thariq bin Ziyad dan pasukannya terus melanjutkan
misi penaklukan ke Toledo yang menjadi pusat kerajaan Roderic, sedangkan
Mughith Al-Rumi (Mugheyath Errumi) yang memimpin kavaleri pasukan Thariq bin
Ziyad, menuju Cordova dengan membawa 700 pasukan berkuda.
Selepas
itu Thariq bin Ziyad kembali ke Cordova dan menulis surat kepada Musa Ibn
Nusair mengenai kejayaan penaklukan Andalusia, kemudian Musa Ibn Nusair
memberitakannya kepada Khalifah Walid di Damaskus. Musa Ibn Nusair melukiskan
suasana penaklukan atau kemenangan tersebut tidak seperti penaklukan yang
biasa, namun kemenangan itu sangat menakjubkan dan agung sebagaimana pertemuan
antara negara pada hari pembalasan.
Kemudian
Musa Ibn Nusair menulis surat kepada Thariq bin Ziyad agar tidak meninggalkan
Cordova sebelum dia menyusul ke sana. Namun Thariq bin Ziyad dan pasukannya
meneruskan misi penaklukan ke wilayah lain. Setelah kemenangan pasukan Thariq
bin Ziyad, berbondong-bondong bangsa Moro dari Afrika utara menyeberangi Selat
Gibraltar dan hidup di Andalusia yang kemudian terjadi asimilasi dengan
penduduk asli Sepanyol.
Setelah
kemenangan pasukan Thariq bin Ziyad yang di luar dugaan tersebut, Gabenor Musa
Ibn Nusair menyusulnya pada musim panas tahun 712 Masehi dengan disertai 18,000
pasukan untuk memperluaskan wilayah yang akan ditaklukkan. Pertemuan antara
Thariq bin Ziyad dan Musa Ibn Nusair terjadi di Talavera dekat Toledo.
Pertemuan
keduanya nampak tidak bersahabat, Thariq bin Ziyad menerima kedatangan Musa Ibn
Nusair dengan penuh hormat sedangkan kecemburuan Musa Ibn Nusair terhadap
Thariq bin Ziyad terlihat dengan sikap sebaliknya. Kepada Musa Ibn Nusair,
Thariq bin Ziyad berkata: ‘Saya hanyalah hambamu atau anak buahmu, penaklukan
ini untukmu’ dan Thariq bin Ziyad memberikan semua barang rampasan kepada Musa
Ibn Nusair.
Thariq
bin Ziyad dan Musa Ibn Nusair akhirnya bersama-sama melakukan penaklukan ke
atas wilayah-wilayah semenanjung Iberia lainnya hingga tahun 714 Masehi. Namun
demikian Khalifah Walid di Damaskus, Syria mendengar berita tersebut dan
menyuruh Musa Ibn Nusair kembali ke Damaskus, sedangkan Thariq bin Ziyad dan
pasukan diberi perintah untuk tetap di Andalusia.
Penaklukan
selanjutnya diteruskan oleh pasukan Islam. Wilayah yang ditaklukkan pasukan
Islam hinga tahun 721 meliputi seluruh Semenanjung Iberia dan sebahagian
wilayah Perancis bahagian selatan. Hingga abad ke 10 Masehi, wilayah kekuasaan
Islam masih meliputi sekitar 4/5 Semenanjung Iberia, kemudian dengan adanya penentangan
dari kerajaan-kerajaan di bahagian utara Sepanyol yang semakin agresif untuk
memerangi kekuasaan pemerintahan Islam, wilayah yang akhirnya dapat
dipertahankan mencakup seluruh wilayah Sepanyol bahagian selatan yang sekarang
disebut sebagai Andalusia.
Kemenangan
pasukan Islam di sebahagian besar Semenanjung Iberia yang meliputi wilayah
Sepanyol dan Portugal (kecuali di bahagian utara Sepanyol seperti kerajaan
Castile, Galicia, Aragon, yang masih berdiri kerajaan sendiri) masih dianggap
sebahagian dari kekuasaan Umaiyyah yang berpusat di Damaskus hingga kekuasaan
Dinasti Umaiyyah di Damaskus berakhir setelah dikalahkan oleh Dinasti Abassiyah
pada tahun 750 Masehi.
Pada
tahun 755 Masehi datanglah Abdurrahman I, satu-satunya keluarga penguasa
Dinasti Umaiyyah yang berjaya melarikan diri dari pembunuhan yang dilakukan
oleh penguasa Dinasti Abassiyah. Sebelum datang ke Andalusia, selama 4 tahun
Abdurrahman terkatung-katung di kawasan Afrika utara untuk meloloskan diri.
Kemudian oleh masyarakat Andalusia yang terdiri dari orang-orang Andalusia
(Sepanyol) asli dan juga orang Moro yang ramai berdatangan dari Afrika utara,
Aburrahman I dilantik sebagai pemimpin (Amir) di wilayah tersebut. Dalam
perkembangannya wilayah Andalusia akhirnya terkenal sebagai wilayah kekalifahan
yang merdeka (independent), kemudian mulai abad 11 Masehi kekuasaan
dikendalikan oleh penguasa Al-Marabout (Almoravides).
Kemudian
diteruskan oleh Almohad yang berasal dari bangsa Berber Islam Afrika utara
hingga kejatuhannya pada abad 15 Masehi iaitu kejatuhan setelah istana Granada
pada tahun 1492 Masehi yang bererti berakhirnya kekuasaan Islam di Andalusia,
Sepanyol (Eropah) diikuti dengan pilihan yang diberlakukan oleh penguasa baru
kerajaan Sepanyol terhadap umat Islam iaitu pengusiran dari bumi Sepanyol, atau
berpindah agama, atau dibunuh.
Dalam
kurun waktu kejayaan Islam di Andalusia, Cordova sebagai pusat kerajaan
Andalusia menjadi kota yang paling maju dan megah dibandingkan kota-kota di
negara Eropah lainnya. Sebagai suatu gambaran bahawa pada abad ke 10 Masehi,
jumlah penduduk di Cordova mencapai 500,000 orang.
Jumlah
perpustakaan umum di Cordova ada 70 buah, di sebuah perpustakaan di Córdova
memiliki koleksi buku berjumlah lebih dari 600,000 buah. Sedangan pada waktu
itu di kawasan Andalusia ada universiti berjumlah 17 buah dengan keadaan semua
penduduk dapat membaca dan menulis (tidak buta huruf).
Di
Cordova juga ramai doktor termasuk doktor wanita. Terdapat 600 masjid, 50 rumah
sakit atau hospital, 900 bilik mandi umum, juga lampu penerangan jalan
sepanjang 15 km. Sebagai perbandingan dengan keadaan di negara Eropah lainnya,
pada waktu itu peradaban Eropah masih sangat kekurangan (yang biasa disebut
sebagai zaman kegelapan) dengan belum membudayanya mandi di bak, tingkat buta
huruf yang sangat tinggi iaitu sekitar 99% kerana belum banyak sekolahan atau
universiti, dan jalan-jalan yang gelap.
Dalam
zaman kejayaan Islam yang berakhir pada abad 15 Masehi tersebut beberapa
ilmuwan besar untuk berbagai bidang ilmu seperti falsafah, kedoktoran, biologi,
hukum yang lahir atau pernah mendapat pendidikan di kawasan tersebut antara
lain ialah Averroes (Ibn Rush), Avenzoar (Ibn Zuhr), Darieses (Al-Idariisi),
Ibn Al-Baitar, Albucasis (Abu Al-Qasim Al-Zahravi), Arzachel (Al-Zarqali),
Al-Dinawari, Al-Thahabi, Ibn Hazm, Ibn Jubair dan ramai yang lainnya.
Di
samping itu pada masa tersebut ramai raja Kristian dari negara Eropah lainnya
mengirimkan anak mereka datang ke Andalusia untuk menuntut ilmu. Sebagai suatu
gambaran bahawa karya ilmiah dari salah seorang ilmuwan tersebut (Averroes) di
berbagai bidang seperti falsafah, kedoktoran, hukum dimasukkan dalam silibus di
Universiti Paris dan sebahagian besar universiti di Eropah selama 500 tahun lamanya
hingga abad ke 18 Masehi.
Dalam
bidang falsafah karya averrors telah mempengaruhi fikiran bangsa Eropah dari
abad 12 hingga 16 m. Karya-karyanya pada waktu itu telah diterjemahkan dalam
bahasa latin, inggris, jerman dan ibrani. Dengan melihat kualiti karya tersebut
jika dibandingkan dengan ilmuwan jaman sekarang tentu saja para ilmuwan
tersebut sebanding atau malah jauh lebih tinggi dengan kualiti ilmuwan pemenang
hadiah nobel.
Sekarang
ini Andalusia merupakan suatu daerah autoriti yang mencakup wilayah Cordova,
Sevilla, Granada, Malaga, Jaen, Almeria, Cadiz, Ceuta, dan Huelva. Penduduk
kota Cordova sendiri sekarang berjumlah sekitar 300,000 orang. Hingga sekarang
masjid bersejarah Cordova masih berdiri tegak dengan tambahan di bahagian
tengah masjid berupa katedarial yang selalu digunakan untuk acara ritual.
Bangunan
mihrab masih asli dan lengkap yang dilindungi pagar besi untuk membatasi gerak
para pelancong yang berkunjung. Sedangkan menara masjid juga masih menjulang
tinggi yang tidak lagi terdengar azan di setiap waktu tetapi sebagai gantinya
akan selalu berdentang loceng katedarial.
Di
seberang jalan depan masjid sampai sekarang masih terdapat sebatang sungai
besar yang dulu bernama Wadi-Al-Khabir sekarang namanya menjadi
Quadalquivir yang airnya masih mengalir dengan jumlah yang relatif sedikit.
Jambatan yang bernama Puente Roman yang menghubungkan jalan depan
masjid ke benteng di seberang sungai masih ada dan masih dilalui oleh kenderaan
umum.
Sedangkan
patung Averroes dibina agak jauh dari bangunan masjid. Nama Averroes juga
diabadikan menjadi salah satu nama aula di Universiti Cordova, Rabanales,
Cordova. Di tempat lain di Andalusia, Istana Al-Hambra di Granada masih berdiri
megah dengan arkitektur kaligrafi yang indah dan memiliki tingkat seni yang
tinggi menghiasi dinding-dinding istana yang sampai sekarang dijadikannya
tempat wisata yang menarik di kawasan Sepanyol.
Meskipun
Islam pernah berjaya selama berabad-abad, komuniti Muslim di Andalusia sangat
sedikit, namun demikian arkitektur bangsa Moro berupa bangunan pintu masuk
dengan reka bentuk lengkung bahagian atas bergaris lorek selang-seling warna
merah hati dan putih sampai sekarang menjadi ciri khas arkitektur kawasan
Andalusia.
Penutup
Beberapa
pengajaran penting yang dapat kita ambil dari sejarah Thariq bin Ziyad dan
penaklukan Andalusia antara lain adalah bahawa pasukan Thariq bin Ziyad dari
bangsa Moro Afrika utara merupakan seorang penakluk yang hebat wilayah
Andalusia Sepanyol pada tahun 711 Masehi.
Pertempuran
efektif yang memakan waktu 8 hari di Rio Barbate melawan pasukan Eropah (raja
Sepanyol) diteruskan dengan penaklukan sisa-sisa kekuatan Roderic beberapa
bulan lamanya merupakan sejarah penting pembangunan kekuasaan Islam di
Andalusia, Sepanyol sehingga Islam dapat membangun peradaban di wilayah
tersebut yang akhirnya merupakan pusat ilmu dan peradaban serta kemudian hari
menjadi pintu gerbang utama terjadinya pemindahan peradaban dan ilmu ke
negara-negara Eropah lainnya.
Dengan
fenomena tersebut akar kebudayaan Eropah dapat ditelusur pada bangsa Moro yang
memiliki peradaban tidak hanya pada bidang seni, sains dan perdagangan, namun
juga pada sikap toleran yang luar biasa terhadap ras dan kebudayaan lain.
Selain itu sikap berani, cerdik dan rendah hati panglima Thariq bin Ziyad
menunjukkan peribadi Muslim yang dapat dijadikan iktibar bagi kita.
Sifat
rendah hati ini ditunjukkan oleh Thariq bin Ziyad dengan memberikan atau
mempersembahkan kemenangannya serta semua yang diperoleh dari kemenangannya
termasuk harta rampasan perang kepada penguasa Islam pada waktu itu (Dinasti
Umaiyyah).
Beliau
tidak mempunyai niat atau cita-cita kekuasaan yang dalam kalkulasi politik
beliau sudah wajar memperolehnya. Ini mungkin suatu sikap yang sukar ditemui
pada peribadi Muslim zaman sekarang sebagaimana sikap ini menjadi tuntunan
ajarannya. Selanjutnya Thariq bin Ziyad meninggalkan Andalusia dan pencen dari
kerjaya tentera, kemudian kembali menjadi orang biasa.
Kekalahan
Islam atas Sepanyol (barat) pada masa lalu dampaknya berlangsung hingga kini di
abad 21 Masehi dengan fenomena yang menyedihkan berupa penjajahan di bidang
sains dan teknologi, politik, ekonomi, budaya, dan lain-lain. Untuk
mengembalikan kejayaan pada masa silam bukan suatu perkara yang mudah, namun
sebahagian kata-kata Thariq bin Ziyad mungkin dapat menjadi titik pemicu upaya
tersebut iaitu ’kita hanya ada satu pilihan iaitu menang!’.
Keruntuhan Kerajaan Islam Di
Sepanyol
Bila
sebut perkataan Eropah, dalam fikiran penulis cuma terfikir sebuah negara yang
penduduknya terdiri dari orang-orang barat sahaja. Tidak terfikir langsung nak
ambil tahu tetapi, jangan tertipu hanya pada nama. Hakikatnya, di sinilah
pernah terbinanya sebuah negara Islam terkuat di dunia. Pertama kali penulis
ditanya tentang Andalusia, tentulah nama Thariq bin Ziyad hadir dalam ingatan.
Namun ada kisah yang menarik dan pahit terhadap umat Islam di sini. Mungkin
ramai yang tidak tahu atau menyedarinya, tetapi inilah hakikatnya.
Permusuhan,
kesenangan serta kecintaan terhadap dunia faktor keruntuhan kerajaan Islam di
Sepanyol. ‘Menangislah anakku bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang
hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki.’
Begitulah
ucapan seorang bonda Raja dalam sejarah Islam di Andalusia, Sepanyol. Ia
diucapkan oleh Aisyah kepada anaknya Abu Abdullah daripada puak Bani Al-Ahmar,
Raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharram 897 Hijrah yang memeterai
perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan
Isabella. Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di bumi Eropah yang
berkuasa selama 800 tahun. Bani Al-Ahmar adalah puak yang menguasai wilayah
Islam terakhir di Sepanyol iaitu Granada daripada 620 Hijrah hingga 897 Hijrah,
pada tahun di mana perjanjian di atas dimeterai.
Perjanjian Jaminan
Keselamatan
Perjanjian
yang membabitkan 67 perkara itu termasuk jaminan keselamatan orang Islam di
Sepanyol yang pada akhirnya tidak pernah direalisasikan bahkan selepas 300
tahun kemudian, Islam dan tanda-tandanya terhakis di bumi Sepanyol, seolah-olah
Islam dan tamadunnya tidak pernah wujud di negara itu walaupun ia pernah
menyinari dan menerajuinya selama 800 tahun.
Perjanjian
ini akhirnya dimeterai kerana menerima banyak tekanan daripada orang Kristian
Sepanyol termasuk kejadian paling memilukan dalam sejarah Islam pada 892
Hijrah. Pada masa itu ribuan umat Islam yang dijanjikan boleh menyelamatkan
diri dengan berlayar ke Afrika dibunuh beramai-ramai secara kejam dan tidak
berperikemanusiaan.
Dalam
kejadian itu, ribuan umat Islam mati bergelimpangan bermandi darah selepas
tentera Kristian membunuh mereka. Sebelum itu, ketika mereka bersembunyi di
dalam rumah, dengan lantang tentera Kristian membuat pengumuman bahawa orang
Muslim Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman bagi membolehkan
mereka menaiki kapal untuk berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang
keperluan masing-masing.
Tentera
Kristian turut memaklumkan keselamatan orang Islam yang ingin meninggalkan
Sepanyol terjamin. Ramai umat Islam yang meragui tawaran tentera Kristian itu.
Bagaimanapun, selepas umat Islam melihat sendiri kapal yang akan membawa mereka
berlabuh di pelabuhan, mereka kemudian mengambil keputusan menerima tawaran
tersebut.
Keesokan
harinya, ribuan penduduk Muslim Granada keluar beramai-ramai membawa seluruh
barang keperluan mereka pergi ke pelabuhan itu. Bagaimanapun, ada umat Islam
yang tidak mempercayai tawaran Tentera Salib itu terus bertahan dan bersembunyi
di rumah masing-masing.
Membakar Rumah Dan
Kapal
Selepas
ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentera
Kristian menggeledah rumah yang ditinggalkan mereka sebelum membakarnya. Ribuan
umat Islam yang berada di pelabuhan pula tergamam apabila tentera Kristian
membakar kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka keluar dari Sepanyol.
Kapal
itu kemudian tenggelam dan umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka
tidak bersenjata. Kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak, sedangkan
tentera Kristian mengepung mereka dengan pedang terhunus. Selepas menerima
arahan pemimpin, ribuan tentera Kristian itu kemudian membunuh umat Islam
Sepanyol tanpa perasaan belas kasihan. Jerit tangis dan takbir terdengar tetapi
dengan buas tentera Kristian terus membunuh warga awam yang sama sekali tidak
berdaya. Seluruh Muslim Sepanyol di pelabuhan itu habis dibunuh dengan kejam.
Darah bergenang di mana-mana. Laut yang biru berubah menjadi merah
kehitam-hitaman. Itulah kisah menyedihkan dalam sejarah umat Islam yang tidak
boleh dilupakan.
Banyak
cerita yang menyayat hati seperti ini dibukukan seperti Al-Ihatah fi Akhbar
Gharnatah (Berita Menyeluruh Mengenai Granada) dan Al-Muqtabas min
Akhbar Al-Andalusia (Sekelumit Sejarah Andalusia), malah seorang ulama
terkenal seperti Ibn Hazam menceritakannya dalam kitab mashyurnya Al-Fisal
fi Al-Milal wa Al-Nihal.
Selepas
kejadian itu dan memerintah Sepanyol selama 300 tahun, tidak ada tanda atau
simbol Islam yang kekal di negara itu. Umat Islam juga diugut dan diseksa oleh
tentera Kristian Sepanyol dengan pelbagai ugutan dan seksaan yang sangat kejam,
mengerikan dan menakuntukan dan tidak ada belas kasihan. Orang Kristian di
Sepanyol tidak mahu Islam wujud lagi. Oleh itu kita dapati umat Islam sangat
tersepit sehingga ada yang mengaku Kristian padahal mereka seorang Muslim
kerana terlalu perit dugaan yang dialami mereka. Islam mula masuk ke Sepanyol
pada 92 Hijrah di bawah kepemimpinan panglima Thariq bin Ziyad, Musa bin Nusair
dan Abdul Aziz bin Musa. Selepas kemasukan mereka melalui Jabal Thariq (Gibral
Tar) pada tahun itu, Sepanyol beransur-ansur muncul menjadi sebuah negeri yang
makmur.
Pasukan
Islam tidak saja berhenti di Sepanyol, malah terus meluaskan empayar di negeri
sekitar seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours
dan sebagainya jatuh ke tangan umat Islam. Walaupun pasukan Islam sangat kuat
dan memiliki kekuasaan yang luas, mereka masih tetap memberikan toleransi
kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah Barat yang juga kawasan
pergunungan.
Islam
sudah menerangi Sepanyol dan oleh kerana sikap penguasa Islam begitu baik dan
rendah hati, maka ramai orang Sepanyol yang tulus dan ikhlas memeluk Islam.
Mereka bukan hanya beragama Islam, namun mereka sungguh-sungguh mempraktikkan
kehidupan secara Islam. Mereka tidak hanya membaca Al-Quran malah bertingkah
laku berdasarkan Al-Quran.
Keadaan
tenteram seperti itu berlangsung hampir 6 abad lamanya. Penguasa dan pemimpin
Islam pada masa itu sangat berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman Al-Dakhil,
sebagai contoh, adalah orang yang mendirikan Khilafah Bani Umayyah di
Andalusia. Ketika dijemput pemimpin Kristian yang dibantunya dalam memerangi
musuh mereka, beliau dipelawa minum arak, tetapi beliau menolak secara
diplomasi dengan katanya: ‘Aku memerlukan tambahan untuk otakku bukan untuk
mengurangkannya.’
Bagaimanapun,
selama Islam berada di Andalusia berabad-abad lamanya itu, mereka tetap di
keliling orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk menghapuskan Islam di
negara itu, namun mereka selalu gagal. Beberapa kali dicuba tetapi selalu tidak
berjaya. Mereka kemudian menghantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam
di Sepanyol.
Melemahkan Iman
Akhirnya
perisik itu menemui cara untuk menakluki Islam di Sepanyol, iaitu melemahkan
iman mereka dengan serangan pemikiran dan budaya. Mereka secara senyap
menghantar arak dan rokok secara percuma ke wilayah Sepanyol. Muzik
diperdengarkan untuk memujuk kaum mudanya agar lebih suka menyanyi dan menari
daripada membaca Al-Quran.
Mereka
juga mengirim sejumlah ulama palsu yang kerjanya meniupkan perpecahan di
kalangan umat Islam Sepanyol. Akhirnya usaha mereka membuahkan hasil apabila
satu persatu daerah di Sepanyol jatuh. Di samping itu, antara punca lain yang
membuatkan Andalusia hilang daripada peta sejarah umat Islam adalah perbalahan
dan permusuhan sesama sendiri antara mereka sehingga menjadi lebih daripada 20
puak yang mempunyai negeri sendiri. Antaranya Bani Jahur, Bani ‘Ibad, Bani
Al-Aftas, Bani Nun dan lain-lain.
Dengan
wujudnya ramai puak ini, mudahlah musuh Islam di Andalusia merebut kembali
tanah mereka kerana mereka mengetahui kelemahan umat Islam. Apa yang
menyedihkan ada umat Islam yang menjual agama dan negara demi kepentingan
peribadinya. Sebagai contoh, Abu Zaid, gabenor daerah Balansiah ketika
rakyatnya memberontak dia membuat perjanjian dengan Raja Kristian Choinawi
untuk membantu memadamkan pemberontakan itu.
Sebagai
habuannya, Abu Zaid akan memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi dan
membayar ‘jizyah’ tahunan kepadanya. Jizyah dalam Islam mesti dibayar bukan
Islam kepada pemerintah Islam, tetapi apa yang dilakukan Abu Zaid yang beragama
Islam adalah terbalik apabila berjanji membayar jizyah kepada Choinawi yang
beragama Kristian.
Lapan
ratus tahun bukan masa yang singkat. Selepas umat Islam ‘menghidupkan’ Sepanyol
dan menjadikannya bangsa yang bertamadun, berbanding bangsa lain di Eropah,
akhirnya ia seolah-olah tidak pernah wujud di negara itu? Peristiwa ini amat
menyedihkan bagi umat Islam sepanjang zaman. Sepanyol sekarang bukan Sepanyol
dahulu. Sepanyol hari ini bukanlah Andalusia pada satu masa dulu.
Musuh Islam Satu
Sebenarnya
musuh Islam dan umatnya tetap satu. Dari dulu hingga sekarang musuh Islam tetap
ada, cuma ia berbeza orang dan jenteranya. Mereka tetap ingin melenyapkan Islam
sedapat mungkin dga apa juga cara. Dengan mengambil contoh Andalusia yang
hilang dan mencari sebab kehilangannya termasuk kelemahan akidah dan terlepas
daripada jalur yang lurus, permusuhan sesama sendiri, berpihak kepada bukan
Islam, kesenangan yang tidak terkawal dan kecintaan terhadap dunia, tidak
mustahil ia juga akan berlaku di mana-mana.
Dan
ketika itu ucapan bonda Aisyah pada permulaan tulisan ini akan terdengar
kembali. Perubahan hebat berlaku ke atas tamadun di serata dunia tidak terlepas
daripada pengaruh Islam dan kebangkitan tamadun Eropah Barat Moden dicorakkan
oleh Islam yang pernah berkuasa selama 800 tahun di Sepanyol dan Andalusia.
Cahaya
Islam pernah meresap masuk menguasai Eropah. Islam sudah berlabuh di Sepanyol
hingga ke tembok Vienna. Islam tidak memisahkan agama dari negara dan menolak
sekularisme dalam bentuk apa pun yang bertujuan memisahkan agama daripada
kehidupan yang menjadikan kehidupan lepas bebas daripada neraca agama. Apabila
ketiga-tiga ciri dapat direalisasikan generasi Islam kini, konspirasi musuh
Islam akan dapat diatasi.
Andalusia Seribu
Keindahan
Andalusia
yang sering digambarkan dengan seribu keindahan (pancuran air, tamadun yang
dimegah-megahkan, lagu dan syair digubah untuk mengungkapkan keindahannya, dan
keilmuan sains dan teknologinya sering menjadi bahan paparan media) namun hanya
indah khabar dari berita. Hakikatnya, ‘Andalusia itu pahit dan derita, penuh
kebinatangan yang terbit pada wajah manusia’. Betapa pahitnya peristiwa sejarah
ini bagi kita umat Islam namun pada hari ini nama Andalusia terus terpadam dan
luput dalam kamus hidup manusia. Kegemilangan empayar Islam yang terbina
beratus-ratus tahun dahulu dengan mudahnya dimusnahkan oleh musuh-musuh Islam
yang tidak pernah berhenti untuk menghapuskan agama suci ini.
Ayuh
ambil iktibar dari peristiwa ini. Janganlah terus mendiamkan diri membuta tuli.
Maruah Islam sudah tercalar sepertimana tercalarnya luka yang dalam di hati ini
bila menyedarinya. Apakah kita masih selesa dengan kemewahan dan kemajuan dunia
yang semakin hari semakin mencipta jurang antara seorang hamba terhadap
Tuhannya? Mungkin sukar untuk mengambil semula Andalusia, tetapi kita mampu
mengembalikan suasana dan kegemilangan Andalusia semula di mana pun kita berada
asalkan kita bersatu demi Islam tercinta. Ingatlah, sesungguhnya kekuatan umat
Islam itu bila kita bersatu di bawah panji-panji Islam manakala senjata
utamanya adalah doa maka berdoalah sepertimana doanya seorang ‘abid merintih
pada malam hari di hadapan Tuhannya.
Penaklukan Sepanyol – Misi Andalusia
Menurut
buku-buku sejarah Islam, pembukaan Sepanyol adalah berkat Thariq bin Ziyad dan
Musa bin Naseer pada 711 – 712 Masehi semasa Khalifah Umaiyyah Walid bin Abdul
Malik memerintah. Thariq bin Ziyad berasal dari bangsa Barbar, mengenai
sukunya, para sejarawan masih berbeza pendapat; sama ada beliau dari suku Nafza
atau suku Zanata.
Thariq
bin Ziyad merupakan bekas seorang hamba abdi yang kemudian dimerdekakan oleh
Musa bin Nushair, Gabenor Islam di Afrika Utara dan di tangan Musa inilah
Thariq bin Ziyad memeluk agama Islam bersama orang-orang Barbar yang lainnya
yang tunduk di bawah kekuasaannya setelah penaklukkan daerah Tanja.
Dikisahkan
bahawa setelah masuk Islam, mereka menjalankan agama Islam dengan baik. Oleh
kerana itu, sebelum Musa pulang ke Afrika, beliau meninggalkan beberapa orang
Arab untuk mengajar mereka Al-Quran dan ajaran-ajaran Islam. Setelah itu Musa
mengangkat Thariq bin Ziyad, yang merupakan perajurit Musa yang terkuat untuk
menjadi penguasa daerah Tanja, hujung Morocco dengan kekuatan 19,000 tentera
dari bangsa Barbar, lengkap dengan persenjataannya
Sistem Politik Dan
Perluasan Wilayah
Pada
zaman Muawiyah, Tunisia dapat ditaklukkan. Di sebelah timur, Muawiyah dapat
menguasai daerah Khurasan hingga ke Sungai Oxus dan Afganistan hingga ke Kabul.
Angkatan lautnya melakukan serangan-serangan ke Ibu Kota Byzantium,
Konstantinopel. Ekspansi ke timur yang dilakukan oleh Muawiyah kemudian
diteruskan oleh Khalifah Abd Al-Malik, beliau menyeberangi Sungai Oxus dan
berjaya menundukkan Baikh, Bukhara, Khawarizm, Ferghana dan Samarkand.
Majoriti
penduduk di kawasan ini kaum Paganis. Pasukan Islam menyerang wilayah Asia
Tengah pada tahun 41 Hijrah atau 661 Masehi. Pada tahun 43 Hijrah atau 663
Masehi mereka mampu menaklukkan Salistan dan sebahagian wilayah Thakaristan
pada tahun 45 Hijrah atau 665 Masehi. Mereka sampai ke wilayah Quhistan pada
tahun 44 Hijrah atau 664 Masehi. Abdullah Bin Ziyad tiba di pergunungan
Bukhari. Pada tahun 44 Hijrah atau 664 Masehi para tenteranya datang ke India dan
berjaya menguasai Balukhistan, Sind, dan daerah Punjab hingga ke Maitan.
Ekspansi
ke barat secara besar-besaran diteruskan pada zaman Al-Walid Ibn Abd Abdul
Malik (705-714 Masehi). Masa pemerintahan Walid adalah masa ketenteraman,
kemakmuran dan ketertiban. Umat Islam merasa hidup bahagia, tidak ada
pemberontakan pada masa pemerintahanya. Beliau memulai kekuasaannya dengan
membina Masjid Jami’ di Damaskus. Masjid Jami’ ini dibina dengan sebuah
arkitektur yang indah, beliau juga membina Kubbatu Sharkah dan memperluas
Masjid Nabawi, di samping itu juga melakukan pembangunan fizikal dalam skala
besar.
Pada
masa pemerintahannya terjadi penaklukan yang demikian luas, penaklukan ini
dimulai dari Afrika utara menuju wilayah barat daya, benua Eropah iaitu pada
tahun 711 Masehi. Setelah Al Jazair dan Morocco dapat ditaklukkan, Thariq bin
Ziyad pemimpin pasukan Islam dengan pasukannya menyebrangi selat yang
memisahkan antara Morocco dengan Benua Eropah dan mendarat di suatu tempat yang
sekarang dikenali dengan nama Bibraltar (Jabal Thariq). Tentera Sepanyol dapat
dikalahkan, dengan demikian Sepanyol menjadi sasaran ekspansi.
Selanjutnya
Ibu Kota Sepanyol Cordova dengan cepatnya dapat dikuasai, menyusul setelah itu
kota-kota lain seperti Sevi’e, Elvira, dan Toledo yang dijadikan ibu kota
Sepanyol yang baru setelah jatuhnya Cordova. Pasukan Islam memperoleh sokongan
dari rakyat setempat yang sejak lama menderita akibat kekejaman penguasa. Pada
masa inilah pemerintah Islam mencapai wilayah yang demikian luas dalam rentang
sejarahnya. Beliau meninggal dunia pada tahun 96 Hijrah atau 714 Masehi dan
memerintah selama 10 tahun.
Pada
zaman Umar Ibn Ab Al-Aziz masa pemerintahannya diwarnai dengan banyak reformasi
dan perbaikan. Beliau banyak menghidupkan dan memperbaiki tanah-tanah yang
tidak produktif, menggali telaga-telaga baru dan membina masjid-masjid. Beliau
mengedarkan sedekah dan zakat dengan cara yang benar hingga kemiskinan tidak
ada lagi pada zamannya.
Pada
masa pemerintahannya tidak ada lagi orang yang berhak menerima zakat ataupun
sedekah. Berkat ketakwaan dan kesolehannya, beliau dianggap sebagai salah
seorang Khulafaur Rasyidin. Penaklukan pada masa pemerintahannya pasukan Islam
melakukan penyerangan ke Perancis dengan melewati pergunungan Baranese mereka sampai
ke wilayah Septomania dan Profanes, lalu melakukan pengepungan Toulan sebuah
wilayah di Perancis. Namun kaum Muslimin tidak berjaya mencapai kemenangan yang
bererti di Perancis. Sangat sedikit terjadi perang pada masa pemerintahan Umar.
Dakwah Islam marak dengan menggunakan nasihat yang penuh hikmah sehingga ramai
orang masuk Islam, masa pemerintahan Umar Bin Abd Aziz terhitung pendek.
Pada
zaman Hasyim Ibn Abd Al-Malik (724-743 Masehi) pemerintahannya dikenali dengan
adanya perbaikan-perbaikan dan menjadikan tanah-tanah produktif. Beliau membina
kota Rasyafah dan membereskan tata pentadbiran. Hasyim dikenali sangat jeli
dalam berbagai perkara dan pertumpahan darah. Namun beliau dikenali sangat
kikir dan pelit.
Penaklukan
pada masa pemerintahannya dipimpin oleh Abdur Rahman Al-Ghafiqi. Beliau mulai
dengan menyerang Bordeau, Poitiers, dari sana ia mencuba menyerang Tours. Namun
dalam peperangan yang terjadi di luar kota Tours, Al-Ghafiqi terbunuh, dan
tenteranya mundur kembali ke Perancis pada tahun 114 Hijrah atau 732 Masehi.
Peristiwa penyerangan ini merupakan peristiwa yang sangat membahayakan Eropah. Dengan
kejayaan ekspansi ke beberapa daerah, baik di timur mahupun barat. Wilayah
kekuasaan Islam masa Bani Umaiyyah ini betul-betul sangat luas. Daerah-daerah
itu meliputi Sepanyol, Afrika utara, Syiria, Palestin, Jazirah Arab, Iraq,
sebahagian Asia kecil, Persia, Afganistan, daerah yang sekarang disebut
Pakistan Purkmenia, Ulbek, dan Kilgis di Asia Tengah.
Khususnya
di bidang Tashri, kemajuan yang diperoleh sedikit sekali, sebab kurangnya
sokongan serta bantuan pemerintah (kerajaan) waktu itu. Baru setelah masa
khalifah Umar Bin Abd Al-Aziz kemajuan di bidang Tashri mulai meningkat, beliau
berusaha mempertahankan perkembangan hadis yang hampir mengecewakan, kerana
para penghafal hadis sudah meninggal dunia sehingga Umar Bin Abd Al-Aziz
berusaha untuk membukukan hadis.
Meskipun
kejayaan banyak dicapai dinasti ini, namun tidak bermakna bahawa politik dalam
negeri boleh dianggap stabil. Muawiyah tidak mentaati isi perjanjiannya dengan
Hasan Ibn Ali ketika beliau naik takhta yang menyebutkan bahawa persoalan
pergantian pemimpin setelah Muawiyah diserahkan kepada pemilihan umat Islam.
Deklarasi pengangkatan anaknya Yazid sebagai putera mahkota menyebabkan munculnya
gerakan-gerakan oposisi di kalangan rakyat yang mengakibatkan terjadinya perang
saudara beberapa kali dan berkelanjutan.
Sistem Ekonomi
Bidang-bidang
ekonomi yang terdapat pada zaman Bani Umaiyyah terbukti berjaya membawa
kemajuan kepada rakyatnya iaitu:
- Dalam bidang
pertanian Umaiyyah telah memberi tumpuan terhadap pembangunan sektor
pertanian, beliau telah memperkenalkan sistem pengairan bagi tujuan
meningkatkan hasil pertanian.
- Dalam bidang
industri pembuatan khususnya kraftangan telah menjadi nadi pertumbuhan
ekonomi bagi Umaiyyah.
Sistem Peradilan
Dan Pengembangan Peradaban
Meskipun
sering kali terjadi pergolakan dan pergumulan politik pada masa pemerintahan
Daulah Bani Umaiyyah, namun terdapat juga usaha positif yang dilakukan daulah
ini untuk kesejahteraan rakyatnya. Di antara usaha positif yang dilakukan oleh
para khilafah daulah Bani Umaiyyah dalam mensejahterakan rakyatnya ialah dengan
memperbaiki seluruh sistem pemerintahan dan menyusun pentadbiran, antara lain
organisasi kewangan. Organisasi ini bertugas mengurusi masalah kewangan negara
yang digunakan untuk:
- Gaji pegawai
dan tentera serta gaya tata usaha negara.
- Pembangunan
pertanian, termasuk irigasi.
- Biaya
orang-orang hukuman dan tawanan perang
- Perlengkapan
perang
Di
samping usaha tersebut daulah Bani Umaiyyah memberikan hak dan perlindungan
kepada warga negara yang berada di bawah pengawasan dan kekuasaannya.
Masyarakat mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan hukum dan kesewenangan.
Oleh kerana itu, Daulah ini membentuk lembaga kehakiman. Lembaga kehakiman ini
diketuai oleh seorang ketua Hakim (Qathil Qudhah). Seorang hakim (Qadli)
memutuskan perkara dengan ijtihadnya. Para hakim menggali hukum berdasarkan
Al-Quran dan sunnah Nabi.
Di
samping itu kehakiman ini belum terpengaruh atau dipengaruhi politik, sehingga
para hakim dengan kekuasaan penuh berhak memutuskan sesuatu perkara tanpa
mendapat tekanan atau pengaruh suatu golongan politik tertentu. Di samping itu,
kekuasaan Islam pada masa Bani Umaiyyah juga banyak berjasa dalam pengembangan
peradaban seperti pembangunan di berbagai bidang, seperti:
- Muawiyah
mendirikan dinas pos dan tempat-tempat tertentu dengan menyediakan kuda
dengan peralatannya di sepanjang jalan. Beliau juga berusaha mentertibkan
angkatan bersenjata.
- Lambang
kerajaan sebelumnya Al-Khulafaur Rasyidin, tidak pernah membuat lambang
negara baru pada masa Umaiyyah, menetapkan bendera merah sebagai lambang
negaranya. Lambang itu menjadi ciri khas kerajaan Umaiyyah.
- Arkitektur
semacam seni yang kekal pada tahun 691 Hijrah, Khalifah Abd Al-Malik
membina sebuah kubah yang megah dengan arkitektur barat yang dikenal
dengan ‘The Dame Of The Rock’ (Gubah As-Sakharah).
- Pembuatan mata
wang pada zaman Khalifah Abd Al Malik yang kemudian diedarkan keseluruh
penjuru negeri Islam.
- Pembuatan pusat
asuhan untuk anak-anak yatim, juga tempat-tempat untuk orang-orang yang
infalid, segala fasiliti disediakan oleh Umaiyyah.
- Pengembangan
angkatan laut Muawiyah yang terkenal sejak masa Uthman sebagai Amir
Al-Bahri, tentu akan mengembangkan ideanya pada masa beliau berkuasa,
sehingga kapal perang waktu itu berjumlah 1,700 buah.
Pada
masa Umaiyyah, (Khalifah Abd Al-Malik) juga berjaya melakukan
pembenahan-pembenahan pentadbiran pemerintahan dan memberlakukan bahasa Arab
sebagai bahasa resmi pentadbiran pemerintahan Islam.
Kemajuan Sistem
Ketenteraan
Salah
satu kemajuan yang paling menonjol pada masa pemerintahan dinasti Bani Umaiyyah
adalah kemajuan dalam sistem ketenteraan. Selama peperangan melawan kekuatan
musuh, pasukan Arab banyak mengambil pengajaran dari cara-cara teknik bertempur
kemudian mereka memadukannya dengan sistem dan teknik pertahanan yang selama
itu mereka miliki. Dengan perpaduan sistem pertahanan ini akhirnya kekuatan
pertahanan dan ketenteraan Dinasti Bani Umaiyyah mengalami perkembangan dan
kemajuan yang sangat baik. Dengan kemajuan-kemajuan dalam sistem ini akhirnya
para penguasa dinasti Bani Umaiyyah mampu melebarkan sayap kekuasaannya hingga
ke Eropah.
Secara
garis besar formasi kekuatan tentera Bani Umaiyyah terdiri dari pasukan
berkuda, pasukan pejalan kaki dan angkatan laut.
Sistem Pergantian
Ketua Negara Dan Keruntuhan Umaiyyah
Ada
beberapa faktor yang menyebabkan dinasti Bani Umaiyyah lemah dan membawanya
kepada kehancuran. Faktor-faktor itu antara lain adalah:
- Sistem
pergantian khalifah melalui garis keturunan adalah sesuatu yang baru
(bid’ah) bagi tradisi Islam yang lebih menekankan aspek senioriti.
Pengaturannya tidak jelas. Ketidakjelasan sistem pergantian khalifah ini
menyebabkan terjadinya persaingan yang tidak sihat di kalangan anggota
keluarga istana.
- Latar belakang
terbentuknya dinasti Bani Umaiyyah tidak boleh dipisahkan dari
konflik-konflik politik yang terjadi pada masa pemerintahan Saidina Ali.
Sisa-sisa Syiah (para pengikut Abdullah bin Saba’ Al-Yahudi) dan Khawarij
terus menjadi gerakan oposisi, baik secara terbuka seperti pada masa awal
dan akhir mahupun secara tersembunyi seperti pada masa pertengahan
kekuasaan Bani Umaiyyah. Penumpasan terhadap gerakan-gerakan ini banyak
menyedut kekuatan pemerintah.
- Pada masa
kekuasaan Bani Umaiyyah, pertentangan etnik antara suku Arabia Utara (Bani
Qays) dan Arabia Selatan (Bani Kalb) yang sudah ada sejak zaman sebelum
Islam, makin meruncing. Perselisihan ini mengakibatkan para penguasa Bani
Umaiyyah mendapat kesukaran untuk menggalang persatuan dan kesatuan. Di
samping itu, sebahagian besar golongan mawali (bukan Arab),
terutama di Iraq dan wilayah bahagian timur lainnya, merasa tidak puas
kerana status mawali itu menggambarkan suatu inferioriti, ditambah
dengan keangkuhan bangsa Arab yang diperlihatkan pada masa Bani Umaiyyah.
- Lemahnya
pemerintahan daulat Bani Umaiyyah juga disebabkan oleh sikap hidup mewah
di lingkungan istana sehingga anak-anak khalifah tidak sanggup memikul
beban berat kenegaraan tatkala mereka mewarisi kekuasaan. Di samping itu,
para ulama banyak yang kecewa kerana perhatian penguasa terhadap
perkembangan agama sangat kurang.
- Penyebab
langsung tergulingnya kekuasaan dinasti Bani Umaiyyah adalah munculnya
kekuatan baru yang dipelopori oleh keturunan Al-Abbas ibn Abd Al-Muthalib.
Gerakan ini mendapat sokongan penuh dari Bani Hasyim dan kaum mawali
yang merasa dikelasduakan oleh pemerintahan Bani Umaiyyah.
Sejarah Islam Di Andalusia
Sebelum
kedatangan umat Islam, daerah Iberia merupakan kerajaan Hispania yang dikuasai
oleh orang Kristian Visigoth. Pada tahun 711 Masehi, pasukan Umaiyyah yang
sebahagian besar merupakan bangsa Moor dari Afrika Barat Laut, menyerbu
Hispania dipimpin jenderal Thariq bin Ziyad, dan di bawah perintah dari Kekhalifahan
Umaiyyah di Damaskus. Pasukan ini mendarat di Gibraltar pada 30 April, dan
terus menuju ke utara. Setelah mengalahkan Raja Roderic dari Visigoth dalam
Pertempuran Guadalete (711 Masehi), kekuasaan Islam terus berkembang hingga
pada tahun 719 Masehi. Hanya daerah Galicia, Basque dan Asturias yang tidak
tunduk kepada kekuasaan Islam.
Setelah
itu, pasukan Islam menyeberangi Pirenia untuk menakluk Perancis, namun berjaya
dihentikan oleh kaum Frank dalam pertempuran Tours (732 Masehi). Daerah yang
dikuasai Muslim Umaiyyah ini disebut sebagai wilayah Al-Andalusia, terdiri dari
Sepanyol, Portugal dan Perancis bahagian selatan yang disebut sekarang.
Perkembangan
Politik
Pada
awalnya, Al-Andalusia dikuasai oleh seorang wali Yusuf Al-Fihri (gabenor) yang
dilantik oleh Khalifah di Damaskus, dengan masa jawatan biasanya 3 tahun. Namun
pada tahun 740-an Masehi, terjadi perang saudara yang menyebabkan melemahnya
kekuasaan Khalifah. Dan pada tahun 746 Masehi, Yusuf Al-Fihri memenangi perang
saudara tersebut, menjadi seorang penguasa yang tidak terikat kepada
pemerintahan di Damaskus.
Pada
tahun 750 Masehi, Bani Abbasiyah menjatuhkan pemerintahan Umaiyyah di Damaskus,
dan merebut kekuasaan atas daerah-daerah Arabia. Namun pada tahun 756 Masehi,
Abdurrahman I (Ad-Dakhil) melengserkan Yusuf Al-Fihri, dan menjadi penguasa
Cordova dengan gelaran Amir Cordova.
Abdurrahman
menolak untuk tunduk kepada kekhalifahan Abbasiyah yang baru terbentuk, kerana
pasukan Abbasiyah telah membunuh sebahagian besar keluarganya. Beliau memerintah
selama 30 tahun, namun memiliki kekuasaan yang lemah di Al-Andalusia dan beliau
berusaha menekan penentangan dari penyokong Al-Fihri mahupun Khalifah
Abbasiyah.
Selama
satu setengah abad berikutnya, keturunannya menggantikannya sebagai Amir Cordova,
yang memiliki kekuasaan tertulis atas seluruh Al-Andalusia bahkan kadang-kadang
meliputi Afrika Utara bahagian barat. Pada kenyataannya, kekuasaan Amir
Cordova, terutama di daerah yang berbatasan dengan kaum Kristian, sering
mengalami naik-turun politik, itu bergantung kepada kecekapan dari sang Amir
yang sedang berkuasa. Amir Abdullah bin Muhammad bahkan hanya memiliki
kekuasaan atas Cordova saja.
Cucu
Abdullah, Abdurrahman III, menggantikannya pada tahun 912 Masehi, dan dengan
cepat mengembalikan kekuasaan Umaiyyah atas Al-Andalusia dan bahkan Afrika
Utara bahagian barat. Pada tahun 929 Masehi beliau mengangkat dirinya sebagai
Khalifah, sehingga keamiran ini sekarang memiliki kedudukan setara dengan
kekhalifahan Abbasiyah di Baghdad dan kekhalifahan Syiah di Tunis.
Masa Kekhalifahan
Andalusia
diduduki umat Islam pada zaman Khalifah Al-Walid Rahimahullah (705-715 Masehi),
salah seorang khalifah dari Bani Umaiyyah yang berpusat di Damaskus, di mana
umat Islam sebelumnya telah menguasai Afrika Utara. Dalam proses penaklukan
Sepanyol ini terdapat tiga pahlawan Islam yang boleh dikatakan paling berjasa
iaitu Tharif ibn Malik, Thariq bin Ziyad, dan Musa ibn Nushair.
Tharif
ibn Malik boleh disebut sebagai perintis dan penyelidik. Beliau menyeberangi
selat yang berada di antara Morocco dan benua Eropah itu dengan satu pasukan
perang, lima ratus orang di antaranya adalah tentera berkuda, mereka menaiki
empat buah kapal yang disediakan oleh Julaian.
Dalam
penyerbuan itu Tharif ibn Malik tidak mendapat penentangan yang bermakna.
Beliau menang dan kembali ke Afrika Utara membawa harta rampasan yang tidak
sedikit jumlahnya. Didorong oleh kejayaan Tharif dan kemelut yang terjadi dalam
tubuh kerajaan Visigothic yang berkuasa di Sepanyol pada ketika itu, serta dorongan
yang besar untuk memperoleh harta rampasan perang, Musa ibn Nushair pada tahun
711 Masehi mengirim pasukan ke Sepanyol sebanyak 7,000 orang di bawah pimpinan
Thariq bin Ziyad.
Thariq
bin Ziyad lebih dikenali sebagai penakluk Sepanyol kerana pasukannya lebih
besar dan hasilnya lebih nyata. Pasukannya terdiri dari sebahagian besar suku
Barbar yang disokong oleh Musa ibn Nushair dan sebahagian lagi orang Arab yang
dikirim Khalifah Al-Walid Rahimahullah. Pasukan itu kemudian menyeberangi Selat
di bawah pimpinan Thariq bin Ziyad. Sebuah gunung tempat pertama kali Thariq
bin Ziyad dan pasukannya mendarat dan menyiapkan pasukannya, dikenali dengan
nama Gibraltar (Jabal Thariq).
Dengan
dikuasainya daerah ini, maka terbukalah pintu secara luas untuk memasuki Sepanyol.
Dalam pertempuran di suatu tempat yang bernama Bakkah, Raja Roderick dapat
dikalahkan. Dari situ Thariq bin Ziyad dan pasukannya terus menakluk kota-kota
penting, seperti Cordova, Granada dan Toledo (ibu kota kerajaan Gothik ketika
itu).
Sebelum
Thariq bin Ziyad Rahimahullah berjaya menaklukkan kota Toledo, beliau meminta
tambahan pasukan kepada Musa ibn Nushair di Afrika Utara. Musa mengirimkan
tambahan pasukan sebanyak 5,000 personel, sehingga jumlah pasukan Thariq bin
Ziyad seluruhnya 12,000 orang. Jumlah ini belum sebanding dengan pasukan Gothik
yang jauh lebih besar, 100,000 orang.
Kemenangan
pertama yang dicapai oleh Thariq bin Ziyad membuat jalan untuk penaklukan
wilayah yang lebih luas lagi. Untuk itu, Musa ibn Nushair merasa perlu melibatkan
diri dalam gelanggang pertempuran dengan maksud membantu perjuangan Thariq bin
Ziyad. Dengan suatu pasukan yang besar, beliau berangkat menyeberangi selat
itu, dan satu persatu kota yang dilewatinya dapat ditaklukkannya.
Setelah
Musa berjaya menakluk Sidonia, Karmona, Seville, dan Merida serta mengalahkan
penguasa kerajaan Gothic, Theodomir di Orihuela, beliau bergabung dengan Thariq
bin Ziyad di Toledo. Selanjutnya, keduanya berjaya menguasai seluruh kota
penting di Sepanyol, termasuk bahagian utaranya, mulai dari Saragosa hingga ke
Navarre.
Gelombang
perluasan wilayah berikutnya muncul pada masa pemerintahan Khalifah Umar ibn
Abd Al-Aziz tahun 99 Hijrah atau 717 Masehi. Kali ini sasaran ditujukan untuk
menguasai daerah sekitar pergunungan Pyrenia dan Perancis Selatan. Pimpinan
pasukan dipercayakan kepada Al-Samah Rahimahullah, tetapi usahanya itu gagal
dan beliau sendiri terbunuh pada tahun 102 Hijrah.
Selanjutnya,
pimpinan pasukan diserahkan kepada Abdurrahman ibn Abdullah Al-Ghafiqi. Dengan
pasukannya, beliau menyerang kota Bordarieu, Poiter, dan dari sini beliau cuba
menyerang kota Tours. Akan tetapi, di antara kota Poiter dan Tours itu beliau
ditahan oleh Charles Martel, sehingga penyerangan ke Perancis gagal dan tentera
yang dipimpinnya mundur kembali ke Sepanyol.
Selepas
itu, masih juga terdapat penyerangan-penyerangan, seperti ke Avirignon tahun
734 Masehi, ke Lyon tahun 743 Masehi, dan pulau-pulau yang terdapat di Laut
Tengah, Majorca, Corsia, Sardinia, Creta, Rhodes, Cyprus dan sebahagian dari
Sicilia juga jatuh ke tangan Islam pada zaman Bani Umaiyyah.
Gelombang
kedua terbesar dari penyerbuan kaum Muslimin yang gerakannya dimulai pada
permulaan abad ke-8 Masehi ini, telah menjangkau seluruh Sepanyol dan melebar
jauh menjangkau Perancis Tengah dan bahagian-bahagian penting dari Itali.
Kemenangan-kemenangan yang dicapai umat Islam nampak begitu mudah. Hal itu
tidak dapat dipisahkan dari adanya faktor luaran dan dalaman yang
menguntungkan.
Yang
dimaksudkan dengan faktor luaran adalah suatu keadaan yang terdapat di dalam
negeri Sepanyol sendiri. Pada masa penaklukan Sepanyol oleh orang-orang Islam,
keadaan sosial, politik, dan ekonomi negeri ini berada dalam keadaan
menyedihkan. Secara politik, wilayah Sepanyol terkoyak-koyak dan terbahagi-bahagi
ke dalam beberapa negeri kecil.
Bersamaan
dengan itu penguasa Gothic bersikap tidak toleran terhadap aliran agama yang
dianut oleh penguasa, iaitu aliran Monofisit, apalagi terhadap penganut agama
lain, Yahudi. Penganut agama Yahudi yang merupakan bahagian terbesar dari
penduduk Sepanyol dipaksa dibaptis menurut agama Kristian. Yang tidak bersedia
disiksa, dan dibunuh secara kejam.
Rakyat
dibahagi-bahagi ke dalam sistem kelas, sehingga keadaannya diliputi oleh
kemelaratan, ketertindasan, dan ketiadaan persamaan hak. Di dalam situasi
seperti itu, kaum tertindas menanti kedatangan juru pembebas, dan juru
pembebasnya mereka temukan dari orang Islam. Berkenaan dengan itu Amer Ali,
seperti dikutip oleh Imamuddin mengatakan, ketika Afrika (Timur dan Barat)
menikmati kenyamanan dalam segi material, kebersamaan, keadilan, dan
kesejahteraan, tetangganya di jazirah Sepanyol berada dalam keadaan menyedihkan
di bawah kekuasaan tangan besi penguasa Visighotic.
Di
sisi lain, kerajaan berada dalam kemelut yang membawa akibat pada penderitaan
masyarakat. Akibat perlakuan yang keji, koloni-koloni Yahudi yang penting
menjadi tempat-tempat penentangan dan pemberontakkan. Perpecahan dalam negeri
Sepanyol ini banyak membantu kejayaan campur tangan Islam di tahun 711 Masehi.
Perpecahan itu amat banyak coraknya, dan sudah ada jauh sebelum kerajaan Gothic
berdiri.
Perpecahan
politik memperburukkan lagi keadaan ekonomi masyarakat. Ketika Islam masuk ke
Sepanyol, ekonomi masyarakat dalam keadaan lumpuh. Padahal, sewaktu Sepanyol
masih berada di bawah pemerintahan Romawi (Byzantium), berkat kesuburan
tanahnya, pertanian maju dan pesat. Demikian juga perlombongan, industri dan
perdagangan kerana disokong oleh sarana pengangkutan yang baik.
Akan
tetapi, setelah Sepanyol berada di bawah kekuasaan kerajaan Goth, perekonomian
lumpuh dan kesejahteraan masyarakat menurun. Hektaran tanah dibiarkan terlantar
tanpa digarap, beberapa kilang ditutup, dan antara satu daerah dan daerah lain
sukar dilalui akibat jalan-jalan tidak mendapat perawatan.
Buruknya
keadaan sosial, ekonomi, dan keagamaan tersebut terutama disebabkan oleh
keadaan politik yang kacau. Keadaan terburuk terjadi pada masa pemerintahan
Raja Roderick, Raja Goth terakhir yang dikalahkan Islam. Awal kehancuran
kerajaan Ghoth adalah ketika Raja Roderick memindahkan ibu kota negaranya dari
Seville ke Toledo, sementara Witiza, yang ketika itu menjadi penguasa atas
wilayah Toledo, diberhentikan begitu saja.
Keadaan
ini memancing amarah dari Oppas dan Achila, kakak dan anak Witiza. Kedua-duanya
kemudian bangkit menghimpun kekuatan untuk menjatuhkan Roderick. Mereka pergi
ke Afrika Utara dan bergabung dengan kaum Muslimin. Sementara itu terjadi pula
konflik antara Roderick dengan Ratu Julaian, mantan penguasa wilayah Septah.
Julaian juga bergabung dengan kaum Muslimin di Afrika Utara dan menyokong usaha
umat Islam untuk menguasai Sepanyol, Julaian bahkan memberikan pinjaman empat
buah kapal yang dipakai oleh Tharif, Thariq bin Ziyad dan Musa.
Hal
menguntungkan tentera Islam lainnya adalah bahawa tentera Roderick yang terdiri
dari para hamba yang tertindas tidak lagi mempunyai semangat perang. Selain
itu, orang Yahudi yang selama ini tertekan juga mengadakan persekutuan dan
memberikan bantuan bagi perjuangan kaum Muslimin.
Adapun
yang dimaksudkan dengan faktor dalaman adalah suatu keadaan yang terdapat dalam
tubuh penguasa, tokon-tokoh pejuang dan para perajurit Islam yang terlibat
dalam penaklukan wilayah Sepanyol pada khususnya. Para pemimpin adalah
tokoh-tokoh yang kuat, tenteranya kompak, bersatu, dan penuh percaya diri.
Mereka pun cakap, berani, dan tabah dalam menghadapi setiap persoalan.
Yang
tidak kalah pentingnya adalah ajaran Islam yang dilantikkan para tentera Islam,
iaitu toleransi, persaudaraan, dan tolong menolong. Sikap toleransi agama dan
persaudaraan yang terdapat dalam peribadi kaum Muslimin itu menyebabkan
penduduk Sepanyol menyambut kehadiran Islam di sana.
Perkembangan
Peradaban
Umat
Islam di Sepanyol telah mencapai kejayaan yang gemilang, banyak prestasi yang mereka
peroleh, bahkan pengaruhnya membawa Eropah dan juga dunia kepada kemajuan yang
lebih kompleks, terutama dalam hal kemajuan intelektual. Dalam masa lebih dari
tujuh abad kekuasaan Islam di Sepanyol, umat Islam telah mencapai kejayaannya
di sana. Banyak prestasi yang mereka peroleh, bahkan pengaruhnya membawa
Eropah, dan kemudian membawa dunia kepada kemajuan yang lebih kompleks.
Kemajuan
Intelektual
Sepanyol
adalah negeri yang subur. Kesuburan itu mendatangkan penghasilan ekonomi yang
tinggi dan pada gilirannya banyak menghasilkan pemikir. Masyarakat Sepanyol
Islam merupakan masyarakat majemuk yang terdiri dari:
- Komuniti-komuniti
Arab (Utara dan Selatan)
- Al-Muwalladun
(orang-orang Sepanyol yang masuk Islam)
- Barbar (umat
Islam yang berasal dari Afrika Utara)
- Al-Shaqalibah
(tentera bayaran yang dijual Jerman kepada penguasa Islam)
- Yahudi
- Kristian
Muzareb yang berbudaya Arab
- Kristian yang
masih menentang kehadiran Islam
Semua
komuniti itu, kecuali yang terakhir, memberikan saham intelektual terhadap terbentuknya
lingkungan budaya Andalusia yang melahirkan Kebangkitan Ilmiah, sastera, dan
pembangunan fizikal di Andalusia – Sepanyol.
Dendam Rakyat Andalusia
Jika dibaca sejarah
perjuangan Thariq bin Ziyad, didapati perjuangan membuka Andalusia adalah berpunca
dari dendam rakyat Andalusia kepada pemerintah mereka yang bernama Roderiga
yang berbangsa Gotik. Roderiga adalah seorang pemerintah yang terlalu zalim
terhadap rakyatnya.
Ekoran dari kebencian
rakyat itu, menyebabkan salah seorang dari panglima perang kepada Roderiga yang
bernama Julaian beragama Kristian, telah berjumpa dengan wakil Khalifah Islam di Afrika bernama Musa bin Nusair bagi menggulingkan
kerajaan Andalusia. Pertemuan antara Julaian dan Musa bin Nusair itu melahirkan satu
keputusan bahawa tentera Islam akan pergi menyerang pemerintah Andalusia demi
memberikan keadilan kepada rakyatnya, waima rakyat Andalusia tidak beragama
Islam.
Pihak Musa bin Nusair
pun bermesyuarat, yang akhirnya melahirkan satu keputusan bahawa Thariq bin
Ziyad perlu dilantik menjadi panglima perang dalam menggulingkan Roderiga,
Walaupun dari sudut salsilah Thariq bin Ziyad, beliau adalah seorang budak
suruhan dan dari bangsa Barbar yang bukan dari keturunan Arab. Maka bermulalah permusafiran
Thariq bin Ziyad ke Andalusia yang ditunjuk jalankan oleh seorang yang bukan
beragama islam, iaitu Panglima Julaian.
Jika diperhatikan
dalam sejarah perjuangan Thariq bin Ziyad dalam menguasai Andalusia, didapati
serangan bersenjata yang dilancarkan hanya beberapa kali sahaja. Adapun yang
lain, penguasaan terhadap sesuatu daerah di Andalusia, semuanya disebabkan
dakwah Islamiyyah yang disampaikan oleh Thariq bin Ziyad; dengan menceritakan
Islam dalam bentuk yang sebenar, di samping akhlak Islam yang ditunjukkan oleh
tentera Islam kepada masyarakat Andalusia.
Apabila serangan
mematikan kekuasaan Roderiga sudah berjaya, menyebabkan kekuasaan itu hendak
disambung oleh salah seorang Panglima Rideriga yang bernama Goted. Ceuta yang menjadi tempat
terletakkanya istana Roderiga telah berjaya dikuasai oleh tentera Islam,
menyebabkan Goted telah lari keluar dari Ceuta dan berlindung di bawah daerah
Andalusia yang lain. Di sana, Goted menyusun strategi bagi mengalahkan tentera
Islam, tetapi ternyata gagal, apabila rakyat mereka dari daerah lain agak tidak
mahu menerima mereka disebabkan mereka amat terkenal sebagai pemerintah yang
terlalu zalim.
Keadaan menjadi lebih
menggerunkan lagi kepada Goted, apabila masuknya tentera Islam ke dearah-daerah
di bawah kekuasaan Andalusia, menyebabkan ramai rakyat Andalusia memeluk Islam
ekoran melihat akhlak Islam yang ditunjukkan oleh Tentera Islam pimpinan Thariq
bin Ziyad, juga penerangan Islam yang dilakukan secara serius oleh Thariq bin
Ziyad sendiri. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan sebelum Thariq bin Ziyad meninggalkan
sesuatu daerah, Thariq mengarahkan tenteranya mengajar ilmu peperangan kepada
sesuatu daerah yang telah diislamkan, agar mereka dapat menyelamatkan diri
dikala datang tentera goted untuk menyerang mereka.
Apa yang menarik dari
kisah Thariq bin Ziyad, sebelum Thariq bin Ziyad menguasai sesuatu daerah,
beliau tidak terus masuk ke daerah-daerah tersebut, tetapi terlebih dahulu
berhenti bermalam di sempadan daerah. Kemudiannya, beliau akan menghantar
wakilnya yang bernama Julaian, iaitu seorang yang tidak beragama Islam agar
mempengaruhi rakyat dalam daerah tersebut bagi menggambarkan kehadiran tentera
Islam bukanlah mahu berperang, tetapi hanyalah mahu memberikan keadilan kepada
manusia sejagat.
Disebabkan Julaian
seorang yang bijak berkata-kata, menyebabkan rata-rata rakyat terpedaya dengan
kata-katanya, dan apabila tentera Islam pimpinan Thariq bin Ziyad masuk,
ternyata kata-kata Julaian itu benar, menyebabkan ramai rakyat dalam
daerah-daerah di Andalusia tertarik dengan Islam dan akhirnya memeluk Islam dan
mereka mengislamkan daerah-daerah yang mereka duduki itu.
Teladan
Dari Keberanian Dan Kebijakan Thariq Bin Ziyad
Setelah Rasulullah s.a.w. wafat, Islam menyebar dalam
spektrum yang luas. Tiga benua lama - Asia, Afrika, dan Eropah - pernah
merasakan rahmat dan keadilan dalam naungan pemerintahan Islam. Tidak
terkecuali Sepanyol (Andalusia). Ini negeri di daratan Eropah yang pertama kali
masuk dalam pelukan Islam pada zaman Pemerintahan Kekhalifahan Bani Umaiyah.
Sebelumnya, sejak tahun 597 Masehi, Andalusia dikuasai
bangsa Gotic, Jerman. Raja Roderick yang berkuasa ketika itu. Beliau berkuasa
dengan zalim. Beliau membahagi masyarakat Andalusia ke dalam lima kelas sosial.
Kelas pertama adalah keluarga raja, bangsawan, orang-orang kaya, tuan tanah,
dan para penguasa wilayah. Kelas kedua diduduki para pendeta. Kelas ketiga
diisi para pegawai negara seperti pengawal, penjaga istana, dan pegawai pejabat
pemerintahan. Mereka hidup sekadar cukup makan dan diperalat penguasa sebagai
alat memeras rakyat.
Kelas keempat adalah para petani,
pedagang, dan kelompok masyarakat yang hidup bercukupan lainnya. Mereka
dibebani cukai dan pungutan yang tinggi. Dan kelas kelima adalah para buruh
tani, serdadu rendahan, pelayan, dan hamba. Mereka paling menderita hidupnya. Akibat klasifikasi sosial itu, rakyat Andalusia tidak dapat
hidup dengan sempurna dan bahagia. Sebahagian besar mereka berhijrah ke Afrika
Utara. Di sini di bawah Pemerintahan Islam yang dipimpin Musa bin Nusair,
mereka merasakan keadilan, kesamaan hak, keamanan, dan menikmati kemakmuran.
Para imigran Andalusia itu kebanyakannya beragama Yahudi dan Kristian. Bahkan,
Gabenor Ceuta, bernama Julaian, dan anak perempuannya Florinda - yang dinodai
Roderick - ikut mengungsi.
Melihat kezaliman itu,
Musa bin Nusair merancang ingin membebaskan rakyat Andalusia sekaligus
menyampaikan Islam ke negeri itu. Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik memberi
izin. Musa segera mengirim Abu Zar’ah dengan 400 pasukan pejalan kaki dan 100
orang pasukan berkuda menyeberangi selat antara Afrika Utara dan daratan
Eropah.
Khamis, 4 Ramadhan 91 Hijriah atau 2 April 710 Masehi, Abu Zar’ah meninggalkan Afrika Utara menggunakan 8 buah kapal di mana 4 buah adalah pemberian Gabenor Julaian. Tanggal 25 Ramadhan 91 Hijrah atau 23 April 710 Hijrah, pada malam hari pasukan ini mendarat di sebuah pulau kecil dekat Kota Tarife yang menjadi sasaran serangan pertama.
Pada petang harinya,
pasukan ini berjaya menakluk beberapa buah kota di sepanjang pantai tanpa
penentangan yang sengit. Padahal jumlah pasukan Abu Zar’ah kalah banyak.
Setelah penaklukan ini, Abu Zar’ah pulang. Kejayaan ekspedisi Abu Zar’ah ini
membangkitkan semangat Musa bin Nusair untuk menakluk seluruh Andalusia. Maka,
beliau memerintahkan Thariq bin Ziyad membawa pasukan untuk penaklukan yang
kedua.
Thariq bin Ziyad bin
Abdullah bin Walgho bin Walfajun bin Niber Ghasin bin Walhas bin Yathufat bin
Nafzau adalah putera suku Ash-Shadaf, suku Barbar, penduduk asli daerah
Al-Atlas, Afrika Utara. Beliau lahir sekitar tahun 50 Hijriah. Beliau pakar
menunggang kuda, menggunakan senjata, dan ilmu bela diri.
Isnin, 3 Mei 711
Masehi, Thariq membawa 70,000 pasukannya menyeberang ke daratan Eropah dengan
kapal. Sesampai di pantai wilayah Andalusia, beliau mengumpulkan pasukannya di sebuah
bukit karang yang sekarang dikenali dengan nama Gibraltar - diambil dari bahasa
Arab ‘Jabal Thariq’, Bukit Thariq. Lalu beliau memerintahkan pasukannya
membakar semua armada kapal yang mereka miliki.
Pasukannya terkejut. Mereka bertanya, ‘Apa maksud anda? Kalau kapal-kapal itu dibakar, bagaimana nanti kita boleh pulang?’ tanya yang lain.
Pasukannya terkejut. Mereka bertanya, ‘Apa maksud anda? Kalau kapal-kapal itu dibakar, bagaimana nanti kita boleh pulang?’ tanya yang lain.
Dengan pedang
terhunus dan kalimat tegas, Thariq berkata, ‘Kita datang ke sini bukan untuk
kembali. Kita hanya memiliki dua pilihan: menakluk negeri ini lalu tinggal di
sini atau kita semua binasa!’ Kini pasukannya
faham. Mereka menyambut panggilan jihad Panglima Perang mereka itu dengan
semangat yang berkobar-kobar. Lalu Thariq
meneruskan ucapannya. ‘Wahai seluruh pasukan, kalau sudah begini ke mana lagi kalian akan lari? Di belakang
kalian ada laut dan di hadapan kalian ada musuh. Demi Allah s.w.t.,
satu-satunya milik kalian ketika ini hanyalah kejujuran dan kesabaran. Hanya
itu yang dapat kalian andalkan. Musuh dengan jumlah pasukan yang besar dan
persenjataan yang lengkap telah sedia menyongsong kalian. Sementara senjata
kalian hanyalah pedang. Kalian akan terbantu jika kalian berjaya merebut
senjata dan perlengkapan musuh kalian. Kerana itu, secepatnya kalian harus
boleh melumpuhkan mereka. Sebab kalau tidak, kalian akan menemui kesukaran yang
besar. Itulah sebabnya kalian harus lebih dahulu menyerang mereka agar kekuatan
mereka lumpuh. Dengan demikian semangat juang kita akan bangkit.’
‘Musuh kalian itu sudah bertekad bulat akan mempertahankan negeri mereka sampai titik darah penghabisan. Kenapa kita juga tidak bertekad untuk menyerang mereka hingga mati syahid? Saya sama sekali tidak bermaksud menakut-nakuti kalian. Tetapi marilah kita galang rasa saling percaya di antara kita dan kita galang keberanian yang merupakan salah satu modal utama perjuangan kita.’
‘Kita harus bahu
membahu. Sesungguhnya saya tahu kalian telah membulatkan tekad serta semangat
sebagai pejuang-pejuang agama dan bangsa. Untuk itu kelak kalian akan menikmati
kesenangan hidup, di samping itu kalian juga memperoleh balasan pahala yang
agung dari Allah s.w.t. Hal itu kerana kalian telah mahu menegakkan kalimat-Nya
dan membela agama-Nya.’
‘Percayalah,
sesungguhnya Allah s.w.t. adalah penolong utama kalian. Dan sayalah orang
pertama yang akan memenuhi seruan ini di hadapan kalian. Saya akan hadapi
sendiri Raja Roderick yang sombong itu. Mudah-mudahan saya boleh membunuhnya.
Namun, jika ada kesempatan, kalian boleh saja membunuhnya mendahului saya.
Sebab dengan membunuh penguasa zalim itu, negeri ini dengan mudah kita kuasai.
Saya yakin, para pasukannya akan ketakutan. Dengan demikian, negeri ini akan
ada di bawah bendera Islam.’
Mendengar pasukan
Thariq telah mendarat, Raja Roderick mempersiapkan 100,000 tentera dengan
persenjataan lengkap. Beliau memimpin pasukannya itu. Musa bin Nusair mengirim
bantuan kepada Thariq hanya dengan 5,000 orang. Sehingga jumlah keseluruhan
pasukan Thariq hanya 12,000 orang sahaja.
Ahad, 28 Ramadhan 92
Hijrah atau 19 Julai 711 Masehi, kedua-dua pasukan bertemu dan bertempur di
muara Sungai Barbate. Pasukan Muslimin yang kalah banyak terdesak. Julaian dan
beberapa orang anak buahnya menyusup ke kubu Roderick. Beliau menyebarkan
khabar bahawa pasukan Muslimin datang bukan untuk menjajah, tetapi hanya untuk
menghentikan kezaliman Roderick. Jika Roderick terbunuh, peperangan akan
dihentikan. Usaha Julaian berjaya. Sebahagian
pasukan Roderick menarik diri dan meninggalkan medan pertempuran. Akibatnya
barisan tentera Roderick kacau. Thariq memanfatkan situasi itu dan berjaya
membunuh Roderick dengan tangannya sendiri. Mayat Roderick tenggelam lalu
hanyat dibawa arus Sungai Barbate.
Terbunuhnya Roderick
mematahkan semangat pasukan Andalusia. Markas pertahanan mereka dengan mudah
dikuasai. Kejayaan ini disambut gembira Musa bin Nusair. Baginya ini adalah
permulaan yang baik bagi penaklukan seluruh Andalusia dan negara-negara Eropah. Setahun kemudian, Rabu, 16 Ramadhan 93 Hijrah, Musa bin Nusair
bertolak membawa 10,000 pasukan menyusul Thariq. Dalam perjalanan beliau
berjaya menaklukk Merida, Sionia, dan Sevilla. Sementara pasukan Thariq
membahagi pasukannya untuk menakluk Cordova, Granada, dan Malaga. Beliau sendiri
membawa sebahagian pasukannya menakluk Toledo, ibu kota Spantol ketika itu.
Semua ditaklukkan tanpa sebarang penentangan.
Pasukan Musa dan
pasukan Thariq bertemu di Toledo. Kedua-duanya bergabung untuk menakluk Ecija.
Setelah itu mereka bergerak menuju wilayah Pyrenies, Perancis. Hanya dalam
waktu 2 tahun, seluruh daratan Andalusia berjaya dikuasai. Beberapa tahun
kemudian Portugis mereka taklukkan dan mereka ganti namanya dengan panggilan
Al-Gharb (Barat). Sungguh itu kejayaan yang luar
biasa. Musa bin Nusair dan Thariq bin Ziyad merancang membawa pasukannya terus
ke utara untuk menakluk seluruh Eropah. Sebab, waktu itu tidak ada kekuatan
dari mana pun yang boleh menghadapi mereka. Namun, niat itu tidak tereaslisasi
kerana Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik memanggil mereka berdua pulang ke
Damaskus. Thariq pulang terlebih dahulu sementara Musa bin Nusair menyusun
pemerintahan baru di Andalusia.
Setelah bertemu
Khalifah, Thariq bin Ziyad ditakdirkan Allah s.w.t. tidak kembali ke Eropah.
Beliau sakit dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Thariq bin Ziyad telah
menorehkan namanya di lembaran sejarah sebagai putera asli Afrika Utara Muslim
yang berjaya menakluk daratan Eropah.
Kegemilangan Umat Islam Dalam Pentas Sejarah Dunia
Sejarah
perjuangan umat Islam dalam pentas peradaban dunia berlangsung sangat lama
sekitar 13 abad, iaitu sejak masa kepemimpinan Rasulullah s.a.w di Madinah
(622-632 Masehi); Masa Daulat Khulafaur Rasyidin (632-661 Masehi); Masa Daulat
Umaiyyah (661-750 Masehi) dan Masa Daulat Abbasiyah (750-1258 Masehi) sehingga
tumbangnya Kekhilafahan Turki Utsmaniyyah pada tanggal 28 Rajab tahun 1342
Hijrah atau bertepatan dengan tanggal 3 Mac 1924 Masehi, di mana masa-masa
kejayaan dan puncak keemasannya banyak melahirkan ilmuwan Muslim berkaliber
antarabangsa yang telah menorehkan karya-karya luar biasa dan bermanfaat bagi
umat manusia yang terjadi selama kurang lebih 700 tahun, dimulai dari abad 6
Masehi sehingga abad 12 Masehi. Pada masa tersebut, kendali peradaban dunia
berada pada tangan umat Islam.
Pada ketika
berjayanya peradaban Islam, semangat pencarian ilmu sangat kental dalam
kehidupan sehari-hari. Semangat pencarian ilmu yang berkembang menjadi tradisi
intelektual secara sejarah dimulai dari pemahaman (tafaqquh) terhadap
Al-Quran yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w yang kemudian difahami,
ditafsirkan dan dikembangkan oleh para sahabat, tabiin, tabi’ tabiin dan para
ulama yang datang kemudian dengan merujuk pada Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
Era Rasulullah Dan Penggal
Daulat Khulafaur Rasyidin
Kejayaan Rasulullah s.a.w dalam membina peradaban Islam yang tiada taranya dalam sejarah dicapai dalam kurun waktu 23 tahun, 13 tahun langkah persiapan pada penggal Mekah (Makiyyah) dan 10 tahun penggal Madinah (Madaniyah). Penggal 23 tahun merupakan rentang waktu kurang dari satu generasi, di mana baginda s.a.w telah berjaya memegang kendali kekuasaan atas bangsa-bangsa yang lebih tua peradabannya ketika itu khususnya Romawi, Persia dan Mesir.
Seorang
ahli fikir Perancis yang bernama Dr. Gustave Le Bone mengatakan: ‘Dalam satu
abad atau 3 keturunan, tidak ada bangsa-bangsa manusia dapat mengadakan
perubahan yang bererti. Bangsa Perancis memerlukan 30 keturunan atau 1,000
tahun baru dapat mengadakan suatu masyarakat yang bercelup Perancis. Hal ini
terdapat pada seluruh bangsa dan umat, tidak terkecuali selain dari umat Islam,
sebab Nabi Muhammad sudah dapat mengadakan suatu masyarakat baru dalam tempoh
satu keturunan (23 tahun) yang tidak dapat ditiru atau dilakukan oleh orang
lain’.
Masa kerasulan
Muhammad s.a.w pada akhir penggal Madinah merupakan puncak (kulminasi)
peradaban Islam, kerana di situlah sistem Islam disempurnakan dan ditegakkan
dalam kehidupan bermasyarakat, berbangsa dan bernegara.
‘Pada hari
ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu
nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu’. (surah
Al-Maidah ayat 3). Generasi masa itu merupakan generasi terbaik sebagaimana
firman Allah s.w.t: ’Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk
manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang munkar, dan
beriman kepada Allah’. (surah Ali Imran ayat 110).
Penggal Daulat Umaiyyah
Masa
kedaulatan Umaiyyah berlangsung selama lebih kurang 90 tahun. Beberapa orang
khalifah besar Bani Umaiyyah ini adalah Muawiyah bin Abi Sufyan (661-680
Masehi), Abdul Malik bin Marwan (685- 705 Masehi), Al-Walid bin Abdul Malik
(705-715 Masehi), Umar bin Abdul Aziz (717- 720 Masehi) dan Hasyim bin Abdul
Malik (724- 743 Masehi).
Awal
berlangsungya penggal Daulat Umaiyyah lebih memprioritikan pada perluasan
wilayah kekuasaan. Ekspansi wilayah yang terhenti pada masa Khalifah Utsman dan
Khalifah Ali diteruskan kembali oleh Daulat Umaiyyah. Pada zaman Muawiyah,
Tunisia ditaklukkan. Di sebelah Timur, Muawiyah dapat menguasai daerah Khurasan
sampai ke Sungai Oxus dan Afganistan sampai ke Kabul. Angkatan lautnya
melakukan serangan-serangan ke ibu kota Byzantium, Konstantinopel.
Ekspansi ke
timur yang dilakukan Muawiyah kemudian diteruskan oleh Khalifah Abdul Malik.
Beliau mengirim tentera menyeberangi Sungai Oxus dan dapat berjaya menundukkan
Balkh, Bukhara, Khawarizm, Ferghana dan Samarkand. Tenteranya bahkan sampai ke
India dan dapat menguasai Balukhistan, Sind dan daerah Punjab sampai ke Maltan.
Ekspansi ke
Barat secara besar-besaran diteruskan pada zaman Al-Walid bin Abdul Malik. Masa
pemerintahan Walid adalah masa ketenteraman, kemakmuran dan ketertiban, di mana
umat Islam merasa hidup bahagia. Pada masa pemerintahannya yang berjalan kurang
lebih sepuluh tahun, tercatat bahawa pada tahun 711 Masehi merupakan suatu
ekspedisi ketenteraan dari Afrika Utara menuju wilayah Barat Daya, benua
Eropah. Setelah Al-Jazair dan Morocco dapat ditundukan, Thariq bin Ziyad,
panglima pasukan Islam, dengan pasukannya menyeberangi selat yang memisahkan
antara Morocco dengan benua Eropah, dan mendarat di suatu tempat yang sekarang
dikenali dengan nama Gibraltar (Jabal Thariq).
Tentera
Andalusia dapat dikalahkan. Dengan demikian, Andalusia menjadi sasaran ekspansi
seterusnya. Ibu kota Andalusia, Cordova, dengan cepatnya dapat dikuasai.
Menyusul setelah itu kota-kota lain seperti Sevi’e, Elvira dan Toledo yang
dijadikan ibu kota Andalusia yang baru setelah jatuhnya Cordova. Pasukan Islam
memperoleh kemenangan dengan mudah kerana mendapat sokongan dari rakyat
setempat yang sejak lama menderita akibat kekejaman penguasa.
Pada zaman
Umar bin Abdul Aziz, serangan dilakukan ke Perancis melalui pergunungan
Piranee. Serangan ini dipimpin oleh Aburrahman bin Abdullah Al-Ghafiqi. Beliau
mulai dengan menyerang Bordeau, Poitiers. Dari sana beliau cuba menyerang
Tours. Namun, dalam peperangan yang terjadi di luar kota Tours, Al-Ghafiqi
terbunuh, dan tenteranya mundur kembali ke Andalusia. Di samping daerah-daerah
tersebut di atas, pulau-pulau yang terdapat di Laut Tengah juga jatuh ke tangan
Islam pada zaman Bani Umaiyyah.
Dengan
kejayaan ekspansi ke beberapa daerah, baik di timur mahupun barat, wilayah
kekuasaan Islam masa Bani Umaiyyah ini betul-betul sangat luas. Daerah-daerah itu
meliputi Andalusia, Afrika Utara, Syria, Palestin, Jazirah Arabia, Iraq,
sebahagian Asia Kecil, Persia, Afganistan, daerah yang sekarang disebut
Pakistan, Purkmenia, Uzbek, dan Kirgis di Asia Tengah.
Di samping
ekspansi kekuasaan Islam, Bani Umaiyyah juga banyak berjasa dalam pembinaan di
berbagai bidang. Pada bidang pengembangan keilmuan, Daulat Umaiyyah
memulakannya dengan mengeluarkan sebuah tindakan startegik. Adalah Khalifah
Abdul Malik (685-705 Masehi) merupakan Khalifah pertama yang berjaya melakukan
berbagai pembenahan pentadbiran pemerintahan di mana beliau memerintahkan
penggunaan Bahasa Arab sebagai bahasa resmi pentadbiran pemerintahan dan
kenegaraan di seluruh wilayah Islam yang membentang dari Pergunungan Thian Shan
di sebelah timur sampai Pergunungan Pyrenees di sebelah barat termasuk dalam
berbagai pentadbiran kenegaraan lainnya yang pada perkembangan seterusnya
Bahasa Arab menjadi bahasa umum sebagai bahasa pengantar dunia (lingua
franca), juga menjadi bahasa diplomatik antara bangsa di antara Barat dan
Timur bahkan berkembang menjadi bahasa ilmiah sehingga kepada zaman
renaissance.
Sehingga
Roger Bacon (1214-1294 Masehi) dari Oxford, ahli fikir Inggeris terbesar itu,
menurut Ecyclopedia Britanica, 1951, volume II, halaman 191-197, mendorong
sedemikian rupa untuk mempelajari Bahasa Arab bagi memperoleh pengetahuan yang
sangat murni, yang menyatakan bahawa: ‘Roger Bacon, placing Averroes
beside Aristole and Avicenna, recomends the study of Arabic as the only way of
getting the knowledge which bad versions obscured’, yakni ‘menganjurkan
mempelajari Bahasa Arab sebagai jalan satu-satunya bagi memperoleh ilmu yang
telah dikaburkan oleh versi-versi yang buruk’ sebelumnya.
Kemajuan
tradisi intelektual dan ilmu pengetahuan pada zaman Daulat Umaiyyah di
Andalusia dirasakan oleh masyarakat Eropah. Oliver Leaman menggambarkan keadaan
kehidupan intelektual di sana sebagai berikut:
‘Pada masa
peradaban agung wujud di Andalus, siapa pun di Eropah yang ingin mengetahui
sesuatu yang ilmiyah beliau harus pergi ke Andalus. Pada waktu itu banyak
sekali masalah dalam literatur Latin yang masih belum terselesaikan, dan jika
seseorang pergi ke Andalus maka sekembalinya dari sana beliau tiba-tiba mampu
menyelesaikan masalah-masalah itu. Jadi Islam di Andalusia mempunyai reputasi
selama ratusan tahun dan menduduki puncak tertinggi dalam pengetahuan falsafah,
sains, tehnik dan matematik. Ia mirip seperti posisi Amerika ketika ini, di
mana beberapa universiti penting berada’. Pada bidang lainnya, pembinaan
yang dilakukan Muawiyah di antaranya mendirikan pejabat pos dan tempat-tempat
tertentu dengan menyediakan kuda yang lengkap dengan peralatannya di sepanjang
jalan. Beliau juga berusaha mentertibkan angkatan bersenjata dan mencetak mata
wang. Pada masanya, jabatan khusus seorang hakim (qadhi) mulai berkembang
menjadi profesyen tersendiri. Qadhi adalah seorang yang pakar di bidangnya.
Khalifah
Abdul Malik mengubah mata wang Byzantium dan Persia yang dipakai di
daerah-daerah yang dikuasai Islam. Untuk itu, dia mencetak wang tersendiri pada
tahun 659 Masehi dengan memakai kata-kata dan tulisan Arab. Kejayaan Khalifah
Abdul Malik diikuti oleh puteranya Al-Walid bin Abdul Malik (705-715 Masehi)
seorang yang berkemahuan keras dan berkemampuan melaksanakan pembinaan dan
pembangunan. Dia membina panti-panti untuk orang cacat. Semua kakitangan yang
terlibat dalam kegiatan yang humanis ini digaji oleh negara secara tetap. Dia
juga membina jalan-jalan raya yang menghubungkan suatu daerah dengan daerah
lainnya, kilang-kilang, bangunan-bangunan pemerintahan dan masjid-masjid yang
megah.
Dalam
lapangan perdagangan yakni pada ketika peradaban Islam telah menguasai dunia
perdagangan sejak permulaan Daulat Umaiyyah (661-750Masehi), di mana pesisir
Lautan Hindi sampai ke Lembah Sind, sehingga terjalin kesatuan wilayah yang
luas dari Timur sampai Barat yang berimplikasi terhadap lancarnya lalu-lintas
dagang di dataran antara China dengan dunia belahan Barat pergunungan Thian
Shan melalui Jalan Sutera (Silk Road) yang terkenal itu, yang kemudian terbuka
pula jalur perdagangan melalui Teluk Parsi, Teluk Aden yang menghubungkannya
dengan kota-kota dagang di sepanjang pesisir benua Eropah, menyebabkan
‘keperluan Eropah pada ketika itu amat bergantung pada kegiatan dagang di dalam
wilayah Islam’.
Penggal Daulat Abbasiyah
Masa
kedaulatan Abbasiyah berlangsung selama 508 tahun, sebuah rentang sejarah yang
cukup lama dalam sebuah peradaban. Berdasarkan perubahan pola pemerintahan dan
politik, para sejarawan biasanya membahagi masa pemerintahan Bani Abbas menjadi
lima penggal:
- Penggal Pertama (132 Hijrah/750 Masehi-232
Hijrah/847 Masehi), disebut penggal pengaruh Persia pertama;
- Penggal Kedua (232 Hijrah /847 M-334 Hijrah/945
Masehi), disebut penggal pengaruh Turki pertama;
- Penggal Ketiga (334 Hijrah/945 Masehi-447
Hijrah/1055 Masehi), masa kekuasaan dinasti Buwaih dalam pemerintahan
khilafah Abbasiyah. Penggal ini disebut juga masa pengaruh Persia kedua;
- Penggal Keempat (447 Hijrah/1055 Masehi-590
Hijrah/l194 Masehi), masa kekuasaan dinasti Bani Seljuk dalam pemerintahan
khilafah Abbasiyah; biasanya disebut juga dengan masa pengaruh Turki
kedua;
- Penggal Kelima (590 Hijrah/1194 Masehi-656
Hijrah/1258 Masehi), masa khalifah bebas dari pengaruh dinasti lain,
tetapi kekuasaannya hanya efektif di sekitar kota Baghdad.
Tidak
seperti pada penggal Umaiyyah, penggal pertama Daulat Abbasiyah lebih
memprioritikan pada penekanan pembinaan peradaban dan kebudayaan Islam daripada
perluasan wilayah. Fakta sejarah mencatatkan bahawa masa Kedaulatan Abbasiyah
merupakan pencapaian cemerlang di dunia Islam dalam bidang sains, teknologi dan
falsafah. Pada ketika itu dua pertiga bahagian dunia dikuasai oleh Kekhilafahan
Islam.
Masa
sepuluh khalifah pertama dari Daulat Abbasiyah merupakan masa kejayaan (keemasan)
peradaban Islam, di mana Baghdad mengalami kemajuan ilmu pengetahuan yang
pesat. Secara politik, para khalifah betul-betul merupakan tokoh yang kuat dan
merupakan pusat kekuasaan politik dan agama sekaligus. Di sisi lain, kemakmuran
masyarakat mencapai tingkat tertinggi. Penggal ini juga berjaya menyiapkan
landasan bagi perkembangan falsafah dan ilmu pengetahuan dalam Islam. Namun
setelah penggal ini berakhir, pemerintahan Bani Abbas mulai menurun dalam
bidang politik, meskipun falsafah dan ilmu pengetahuan terus berkembang.
Pada masa
sepuluh khalifah pertama itu, puncak pencapaian kemajuan peradaban Islam
terjadi pada masa pemerintahan Harun Al-Rasyid (786-809 Masehi). Harun
Al-Rasyid adalah figur khalifah soleh ahli ibadah; senang bersedekah; sangat
mencintai ilmu sekaligus mencintai para ‘ulama; senang dikritik serta sangat
merindukan nasihat terutama dari para ‘ulama. Pada masa pemerintahannya
dilakukan sebuah gerakan penterjemahan berbagai buku Yunani dengan menggaji
para penterjemah dari golongan Kristian dan penganut agama lainnya yang ahli.
Beliau juga
banyak mendirikan sekolah, yang salah satu karya besarnya adalah pembinaan
Baitul Hikmah, sebagai pusat penterjemahan yang berfungsi sebagai institusi
pengajiaan tinggi dengan perpustakaan yang besar. Perpustakaan pada masa itu
lebih merupakan sebuah universiti, kerana di samping terdapat kitab-kitab, di
sana orang juga dapat membaca, menulis dan berdiskusi.
Harun
Al-Rasyid juga menggunakan kekayaan yang banyak untuk dimanfaatkan bagi
keperluan sosial. Rumah sakit, lembaga pendidikan doktor, dan farmasi
didirikan. Pada masanya sudah terdapat paling tidak sekitar 800 orang doktor.
Di samping itu, tandas-tandas awam atau tempa-tempat pemandian umum juga
dibina. Kesejahteraan, sosial, kesihatan, pendidikan, ilmu pengetahuan, dan
kebudayaan serta kesusasteraan berada pada zaman keemasannya. Pada masa inilah
negara Islam menempatkan dirinya sebagai negara terkuat yang tidak tertandingi.
Terjadinya perkembangan lembaga pendidikan pada masa Harun Al Rasyid mencerminkan terjadinya perkembangan dan kemajuan ilmu pengetahuan. Hal ini sangat ditentukan oleh perkembangan bahasa Arab, baik sebagai bahasa pentadbiran yang sudah berlaku sejak zaman Bani Umaiyyah, mahupun sebagai bahasa ilmu pengetahuan.
Terjadinya perkembangan lembaga pendidikan pada masa Harun Al Rasyid mencerminkan terjadinya perkembangan dan kemajuan ilmu pengetahuan. Hal ini sangat ditentukan oleh perkembangan bahasa Arab, baik sebagai bahasa pentadbiran yang sudah berlaku sejak zaman Bani Umaiyyah, mahupun sebagai bahasa ilmu pengetahuan.
Pada masa
pemerintahan Abbasiyah pertama juga lahir para imam mazhab hukum yang empat
iaitu Imam Abu Hanifah (700-767 Masehi); Imam Malik (713-795 Masehi); Imam
Syafi’e (767-820 Masehi) dan Imam Ahmad bin Hanbal (780-855 Masehi).
Pencapaian
kemajuan dunia Islam pada bidang ilmu pengetahuan tersebut tidak terlepas dari
adanya sikap terbuka dari pemerintahan Islam pada ketika itu terhadap berbagai
budaya dari bangsa-bangsa sebelumnya seperti Yunani, Persia, India dan yang
lainnya. Gerakan penterjemahan yang dilakukan sejak Khalifah Al-Mansur (745-775
Masehi) hingga Harun Al-Rasyid berimplikasi terhadap perkembangan ilmu
pengetahuan umum, terutama di bidang astronomi, kedoktoran, falsafah, kimia,
farmasi, biologi, fizik dan sejarah.
Menurut
Demitri Gutas, proses penterjemahan pada zaman Abbasiyah didorong oleh motif
sosial, politik dan intelektual. Ini bererti bahawa pelbagai pihak baik dari
unsur masyarakat, elit penguasa, pengusaha dan cendekiawan terlibat dalam
proses ini, sehingga dampaknya secara kultural sangat besar.
Gerakan
penterjemahan pada zaman itu kemudian diikuti oleh suatu penggal kreativiti
besar, kerana generasi baru para ilmuwan dan ahli fikir Muslim yang terpelajar
itu kemudian membina dengan ilmu pengetahuan yang diperolehnya untuk menyumbangankannya
dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan.
Menurut
Marshall, proses pengislaman tradisi-tradisi itu telah dibuat lebih jauh dari
sekadar mengintegrasikan dan memperbaiki, hal itu telah menghasilkan energi
kreatif yang luar biasa. Menurutnya, penggal kekhalifahan dalam sejarah Islam
merupakan penggal pengembangan di bidang ilmu, pengetahuan dan kebudayaan, di
mana pada zaman itu telah melahirkan tokoh-tokoh besar di bidang falsafah dan
ilmu pengetahuan seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Al-Farabi.
Berbagai
pusat pendidikan tempat menuntut ilmu dengan perpustakaan-perpustakaan besar
bermunculan di Cordova, Palermo, Nisyapur, Kaherah, Baghdad, Damaskus, dan
Bukhara, di mana pada ketika yang sama telah mengungguli Eropah yang tenggelam
dalam kegelapan selama berabad-abad. Kehidupan kebudayaan dan politik baik dari
kalangan orang Islam mahupun bukan Muslim pada zaman kekhilafahan dilakukan
dalam kerangka Islam dan bahasa Arab, walaupun terdapat perbezaan-perbezaan
agama dan suku yang plural.
Pada ketika
itu umat Islam telah berjaya melakukan sebuah akselerasi, jauh meninggalkan
peradaban yang ada pada ketika itu. Hidupnya tradisi keilmuan, tradisi
intelektual melalui gerakan penterjemahan yang kemudian diteruskan dengan
gerakan penyelidikan yang disokong oleh kuatnya elaborasi dan spirit pencarian,
pengembangan ilmu pengetahuan yang berkembang secara pesat tersebut,
mengakibatkan terjadinya lompatan kemajuan di berbagai bidang keilmuan yang
telah melahirkan berbagai karya ilmiah yang luar biasa.
Menurut
Oliver Leaman, proses penterjemahan yang dilakukan ilmuwan Muslim tidak hanya
menterjemahkan karya-karya Yunani secara ansich, tetapi juga mengkaji
teks-teks itu, memberi komentar, memodifikasi dan mengasimilasikannya dengan
ajaran Islam. Proses asimilasi tersebut menurut Thomas Brown terjadi ketika
peradaban Islam telah kukuh.
Sains,
falsafah dan kedoktoran Yunani diadapsi sehingga masuk ke dalam lingkungan
pandangan hidup Islam. Proses ini menggambarkan betapa tingginya tingkat
kreativiti ilmuwan Muslim sehingga dari proses tersebut telah melahirkan
pemikiran baru yang berbeza sama sekali dari pemikiran Yunani dan bahkan boleh
jadi asing bagi pemikiran Yunani.
Pada
masa-masa permulaan perkembangan kekuasaan, Islam telah memberikan sumbangan
kepada dunia berupa tiga jenis alat penting iaitu paper (kertas), compass
(kompas) dan gunpowder (mesiu). Penemuan alat cetak (movable types)
di China pada penghujung abad ke-8 Masehi dan penemuan alat cetak serupa di
Barat pada pertengahan abad 15 oleh Johann Gutenberg, menurut buku Historians’
History of the World, akan tidak ada makna dan gunanya jika bangsa Arab
tidak menemukan lebih dahulu cara-cara bagi pembuatan kertas.
Pencapaian
prestasi yang gemilang sebagai implikasi dari gerakan terjemahan yang dilakukan
pada zaman Daulat Abbasiah sangat jelas kelihatan pada lahirnya para ilmuwan
Muslim yang mashyur dan berkaliber bertaraf antarabangsa seperti Al-Biruni
(fizik, kedoktoran); Jabir bin Hayyan (geber) pada ilmu kimia; Al-Khawarizmi
(algorism) pada ilmu matematik; Al-Kindi (falsafah); Al-Farazi, Al-Fargani,
Al-Bitruji (astronomi); Abu Ali Al-Hasan bin Haythami pada bidang teknik dan
optik; Ibnu Sina (Avicenna) yang dikenali sebagaai Bapa Ilmu Kedoktoran Moden;
Ibnu Rusyd (Averroes) pada bidang falsafah; Ibnu Khaldun (sejarah, sosiologi).
Mereka telah meletakkan dasar pada berbagai bidang ilmu pengetahuan.
Beberapa
ilmuwan Muslim lainnya pada masa Daulat Abbasiyah yang karyanya diakui dunia di
antaranya ialah:
- Al-Razi (guru Ibnu Sina), berkarya di bidang
kimia dan kedoktoran, menghasilkan 224 judul buku, 140 buku tentang
pengubatan, diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Bukunya yang paling
masyhur adalah Al-Hawi Fi ‘Ilm At Tadawi (30 jilid, berisi tentang
jenis-jenis penyakit dan usaha penyembuhannya). Buku-bukunya menjadi bahan
rujukan serta panduan doktor di seluruh Eropah hingga abad 17. Al-Razi
adalah kedaih pertama yang membezakan antara penyakit cacar dengan measles.
Dia juga orang pertama yang menyusun buku mengenai kedoktoran anak.
Sesudahnya, ilmu kedoktoraan berada di tangan Ibnu Sina;
Al-Battani (Al-Batenius), seorang ahli astronomi. Hasil perhitungannya tentang bumi mengelilingi pusat tata suria dalam waktu 365 hari, 5 jam, 46 minit, 24 saat, mendekati lengkap. Buku yang paling terkenal adalah Al Zij dalam bahasa Latin: De Scienta Stellerum u De Numeris Stellerumet Motibus, di mana terjemahan tertua dari karyanya masih ada di Vatikan; - Al Ya’qubi, seorang ahli geografi, sejarawan dan
pengembara. Buku tertua dalam sejarah ilmu geografi berjudul Al Buldan
(891), yang diterbitkan kembali oleh Belanda dengan judul Ibn Waddih
qui dicitur al-Ya’qubi historiae;
- Al Buzjani (Abul Wafa). Beliau mengembangkan
beberapa teori penting di bidang matematik (geometri dan trigonometri).
Sejarah
telah membuktikan bahawa sumbangan Islam pada kemajuan ilmu pengetahuan di
dunia moden menjadi fakta sejarah yang tidak dapat dinafikan. Bahkan bermula
dari dunia Islamlah ilmu pengetahuan mengalami transmisi (penyebaran,
penularan), diseminasi dan proliferasi (pengembangan) ke dunia Barat yang
sebelumnya diliputi oleh masa ‘the Dark Ages’ mendorong munculnya zaman
renaissance atau enlightenment (pencerahan) di Eropah.
Melalui
dunia Islamlah mereka mendapat akses untuk mendalami dan mengembangkan ilmu
pengetahuan moden. Menurut George Barton, ketika dunia Barat sudah cukup masak
untuk merasakan perlunya ilmu pengetahuan yang lebih dalam, perhatiannya
pertama sekali tidak ditujukan kepada sumber-sumber Yunani, melainkan kepada
sumber-sumber Arab.
Sebelum
Islam datang, menurut Gustav Le Bon, Eropah berada dalam keadaan kegelapan,
tidak satu pun bidang ilmu yang maju bahkan lebih percaya pada
tahayul. Sebuah kisah menarik terjadi pada zaman Daulat Abbasiah ketika
kepemimpinan Harun Al-Rasyid, tatkala beliau mengirimkan jam sebagai hadiah pada
Charlemagne seorang penguasa di Eropah. Penunjuk waktu yang setiap jamnya
berbunyi itu oleh pihak Uskup dan para Rahib disangka bahawa di dalam jam itu
ada jin sehingga mereka merasa ketakutan, kerana dianggap sebagai benda sihir.
Pada masa itu dan masa-masa berikutnya, baik di belahan Timur Kristian mahupun
di belahan Barat Kristian masih menggunakan jam pasir sebagai penentuan waktu.
Bagaimana
keadaan kegelapan Eropah pada zaman pertengahan (Abad 9 Masehi) bukan hanya
pada aspek mental - di mana cenderung bersifat tahayul, demikian juga halnya
dalam aspek fizik material. Hal ini sebagaimana digambarkan oleh William
Drapper:
‘Pada zaman
itu ibu kota pemerintahan Islam di Cordova merupakan kota paling beradab di
Eropah, 113,000 buah rumah, 21 kota satelit, 70 perpustakaan dan kedai-kedai
buku, masjid-masjid dan istana yang banyak. Cordova menjadi mashyur di seluruh
dunia, di mana jalan yang panjangnya berbatu-batu dan telah dikeraskan
diterangi dengan lampu-lampu dari rumah-rumah di tepinya. Sementara keadaan di
London 7 abad sesudah itu (yakni abad 15 Masehi), satu lampu awam pun tidak
ada. Di Paris berabad-abad sesudah zaman Cordova, orang yang melangkahi ambang
pintunya pada ketika hujan, melangkah sampai kakinya ke dalam lumpur’.
Menurut
Philip K. Hitti, jarak peradaban antara kaum Muslimin di bawah kepemimpinan
Harun Al-Rasyid jauh melampaui peradaban yang ada pada orang-orang Kristian
pimpinan Charlemagne. Pertengahan abad 9 Masehi peradaban Islam telah meliputi
seluruh Andalusia. Masuknya Islam ke Andalusia iaitu setelah Abdur Rahman
ad-Dakhil (756 Masehi) berjaya membina pemerintahan yang berpusat di
Andalusia.
Melalui
Andalusia, Sicilia dan Perancis Selatan yang berada di bawah pemerintahan
Islam, peradaban Islam memasuki Eropah. Bahasa Arab menjadi bahasa antarabangsa
yang digunakan berbagai suku bangsa di berbagai negeri di dunia. Baghdad di
Timur dan Cordova di Barat, dua kota raksasa Islam menerangi dunia dengan
cahaya gilang-gemilang. Sekitar tahun 830 Masehi, Alfonsi - Raja Asturia
telah mendatangkan dua sarjana Islam untuk mendidik ahli warisnya.
Sekolah
Tinggi Kedoktoran yang didirikan di Perancis (di Montpellier) dibina oleh
beberapa orang mahaguru dari Andalusia. Keunggulan ilmiah kaum Muslimin
tersebar jauh memasuki Eropah dan menarik kaum intelektual dan bangsawan Barat
ke negeri-negeri pusatnya. Di antara mereka terdapat Roger Bacon (Inggeris);
Gerbert d’Aurillac yang kemudian menjadi Paus Perancis pertama dengan gelaran
Sylvester II, selama 3 tahun tinggal di Todelo mempelajari ilmu matematik,
astronomi, kimia dan ilmu lainnya dari para sarjana Islam.
Tidaklah
menghairankan, kerana pada ketika kekhilafahan Islam berkuasa ketika itu
Andalusia menjadi pusat pembelajaran (centre of learning) bagi
masyarakat Eropah dengan adanya Universiti Cordova. Di Andalusia itulah mereka
banyak menimba ilmu, dan dari negeri tersebut muncul nama-nama ulama besar
seperti Imam Asy-Syathibi pengarang kitab Al-Muwafaqat, sebuah kitab
tentang Ushul Fiqh yang sangat berpengaruh; Ibnu Hazm Al-Andalusi pengarang
kitab Al-Fashl fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa an-Nihal, sebuah kitab tentang
perbandingan sekte dan agama-agama dunia, di mana bukti tersebut telah
mengilhami penulis-penulis Barat untuk melakukan hal yang sama.
Di
Andalusia (bahagian Selatan), berbagai universitinya pada ketika itu dipenuhi
oleh ramai mahasiswa Katolik dari Perancis, Britain, Jerman dan Itali. Pada
masa itu, para pemuda Kristian dari berbagai negara di Eropah dikirim
berbondong-bondong ke sejumlah institusi pengajian tinggi di Andalusia bagi
menimba ilmu pengetahuan dan teknologi dari para ilmuwan Muslim.
Adalah
Gerard dari Cremona; Campanus dari Navarra; Aberald dari Bath; Albert dan
Daniel dari Morley yang telah menimba ilmu demikian banyak dari para ilmuwan
Muslim, untuk kemudiannya pulang dan menggunakannya secara efektif bagi
penelitian dan pengembangan untuk bangsa masing-masing. Dari sini kemudian
sebuah revolusi pemikiran dan kebudayaan telah pecah dan menyebarluas ke
seluruh masyarakat dan seluruh benua.
Para pemuda
Kristian yang sebelumnya telah banyak belajar dari para ilmuwan Muslim, telah
berjaya melakukan sebuah transformasi nilai-nilai yang unggul dari peradaban
Islam yang kemudian diimplementasikan pada peradaban mereka (Barat) yang
seterusnya berimplikasi terhadap kemajuan di berbagai bidang ilmu pengetahuan.
Semaraknya
pengembangan ilmu dan pengetahuan di dunia Islam diindikasikan dengan banyaknya
perpustakaan tersebar di kota-kota dan negeri-negeri Islam yang jumlahnya
sangat fantastik. Sejarah telah mencatatkan, perpustakaan di Cordova pada abad
10 Masehi mempunyai 600,000 jilid buku. Perpustakaan Darul Hikmah di Kaherah
mempunyai 2,000,000 jilid buku. Perpustakaan Al Hakim di Andalusia mempunyai
berbagai buku dalam 40 bilik yang setiap biliknya berisi 18,000 jilid buku.
Perpustakaan Abudal Daulah di Shiros (Iran Selatan) buku-bukunya memenuhi 360
bilik. Sementara ratusan tahun sesudahnya (abad 15 Masehi), menurut catatan Catholik
Encyclopedia, perpustakaan Gereja Canterbury yang merupakan perpustakaan
dunia Barat yang paling kaya ketika jumlah bukunya tidak melebihi 1,800 jilid
buku.
Sejarah
juga telah mencatatkan bahawa Uskup Agung Raymond di Andalusia mendirikan Badan
Penterjemah di Todelo bagi menterjemahkan sebahagian besar karangan
sarjana-sarjana Muslim tentang ilmu pasti, astronomi, kimia, kedoktoran,
falsafah, dan lain-lain lagi, di mana waktu yang diperlukan untuk
menterjemahkannya iaitu lebih dari satu setengah abad (1135-1284
Masehi). Dari pusat-pusat peradaban Islam yang meliputi Baghdad, Damaskus,
Cordova, Sevilla, Granada dan Istanbul, telah memancarkan sinar gemerlap yang
menerangi seluruh penjuru dunia terlebih Cordova, Sevilla, Granada yang
merupakan sebahagian dari kekuasaan Islam di Andalusia telah banyak memberikan
sumbangan besar terhadap tumbuh dan berkembangnya peradaban moden di dunia
Barat.
Penggal Selepas Daulat
Abbasiyah
Pada masa
Khilafah Utsmaniyyah, para ahli sejarah sepakat bahawa zaman Khalifah Sulaiman
Al-Qanuni (1520-1566 Masehi) merupakan zaman kejayaan dan kebesaran yang pada
masanya telah jauh meninggalkan negara-negara Eropah di bidang ketenteraan,
sains dan politik.
Pasca
berakhirnya keluasaan Daulat Abbasiyah, kepemimpinan Islam berterusan dengan
kepemimpinan Daulat Utsmaniyah. Daulat Utsmaniyah yang juga dikenali dengan
sebutan Kesultanan atau Kekaisaran Turki Ottoman, didirikan oleh Bani Utsman,
yang selama lebih dari enam abad kekuasaannya (1299 s.d. 1923) dipimpin oleh 36
orang sultan, sebelum akhirnya runtuh dan terpecah menjadi beberapa negara
kecil.
Kesultanan
ini menjadi pusat interaksi antara Barat dan Timur selama enam abad. Pada
puncak kekuasaannya, Kesultanan Utsmaniyah terbahagi menjadi 29 wilayah dengan
Konstantinopel (sekarang Istambul) sebagai ibu kotanya. Pada abad ke-16 dan
ke-17, Kesultanan Usmaniyah menjadi salah satu kekuatan utama dunia dengan
angkatan lautnya yang kuat. Kekuatan Kesultanan Usmaniyah terkikis secara
perlahan-lahan pada abad ke-19, sehingga akhirnya benar-benar runtuh pada abad
20.
Musuh-musuh
Islam memerlukan waktu selama satu abad untuk melepaskan ikatan ideologi Islam
dari tubuh umat Islam, yang pada akhirnya tanggal 3 Mac 1924 Masehi yang
bertepatan dengan tanggal 28 Rajab 1342 Hijriah, melalui Mustafa Kemal Attaturk
yang merupakan agen Inggeris dan anggota Freemasonry (sebuah organisasi Yahudi),
membubarkan institusi Kekhilafahan Islam terakhir di Turki dan menggantikannya
dengan Republik Turki. Maka, sejak ketika itu ideologi Islam benar-benar
terkubur ditandai dengan dihilangkannya institusi khilafah oleh majlis nasional
Turki dan diusirnya khalifah terakhir.
Beberapa Catatan Penting
Menyemak
betapa besar sumbangan Islam terhadap lahirnya peradaban Islam berskala dunia
terutama dalam hal ilmu pengetahuan dan teknologi, sesungguhnya kemajuan yang
dicapai Barat pada mulanya bersumber dari peradaban Islam. Dunia Barat sekarang
sewajarnya berterima kasih kepada umat Islam. Akan tetapi pada kenyataannya
pihak Barat (bukan Muslim) telah sengaja menutup-nutupi peranan besar atas jasa
para pejuang dan ilmuwan Muslim tersebut yang pada akhirnya terabaikan bahkan
sampai terlupakan. Oleh kerana itu, umat Islam perlu kembali menggelorakan
semangat keilmuan para ilmuwan Muslim atas sumbangsih yang amat besar bagi
peradaban umat manusia di dunia dalam menyongsong kembali kejayaan Islam dan
umatnya.
Kita dapat
melihat bahawa puncak pencapaian penguasaan sains dan teknologi pada zaman
kejayaan umat Islam masa lalu terkait erat dengan tegaknya sistem kekhilafahan,
di mana adanya sistem komando yang terintegrasi secara global yang peranan
secara politik sejalan dengan peranan agama. Kita juga mendapatkan gambaran
dalam sejarah bahawa sosok para pemimpin terdahulu yang soleh selain sebagai
seorang negarawan yang handal dan hebat, juga sebagai seorang ulama warak yang
takut pada Rabb-nya, mencintai ilmu serta mencintai rakyatnya. Pada aspek ini
kita boleh melihat adanya integrasi tiga pilar utama dalam pembentukan
peradaban Islam iaitu agama, politik dan ilmu pengetahuan terpadu dalam satu
kendali sistem kekhilafahan di bawah pimpinan seorang khalifah.
Keberlangsungan
sistem kekhilafahan terutama sejak zaman Daulat Umaiyyah dan Daulat Abbasiyah
walaupun bersifat khalifatul mulk (estapeta kepemimpinan didasarkan pada
keturunan/dinasti) yang adakalanya dipimpin oleh orang soleh dan sekali waktu
dipimpin oleh orang zalim dan derhaka, tetapi seburuk-buruk keadaan pada masa
kehilafahan, masih jauh lebih baik daripada masa setelah tercerabutnya
kehilafahan, kerana pada masa kekhilafahan hukum Islam masih tegak dan ditaati
oleh umat Islam, demikian juga adanya ketaatan terhadap berbagai fatwa para
ulama.
Segala hal
yang baik dari para pendahulu umat Islam sayugiannya menjadi cerminan teladan
bagi kita, sementara segala hal yang kurang baik, sejatinya dijadikan sebagai
pelajaran yang sangat berharga. Awal meredupnya peradaban Islam yang terjadi
sejak abad ke-8 Hijriah (abad 13 Masehi) hingga abad ke-14 Hijriah (abad 20
Masehi) yang telah mengakibatkan proses peralihan dari peradaban Islam ke
peradaban Barat yang ditandai dengan masa pencerahan di dunia Barat serta terjadinya
penjajahan, penaklukan dan aneksasi terhadap negeri-negeri Muslim oleh armada
perang dari negara-negara Barat lebih disebabkan oleh melemahnya legitimasi
politik dunia Islam kerana peranan kekhilafahan cenderung bersifat simbol serta
hanya sebatas seremonial saja hingga tumbangnya sistem kekhilafahan di dunia
Islam. Dari situlah kemudian dimulainya hegemoni dunia Barat terhadap dunia
Islam.
Jadi,
sesungguhnya faktor utama kekalahan dan melemahnya peranan umat Islam bukanlah
terletak pada kuatnya pihak musuh-musuh Islam, tetapi lebih disebabkan oleh
melemahnya kekuatan umat Islam yang diakibatkan oleh perbuatan kemaksiatan yang
dilakukan. Kemaksiatan terbesar terutama berupa sikap menyekutukan Allah s.w.t
(musyrik) dalam beribadah serta tidak mempedulikan lagi atas berbagai aturan
(syariat) yang diperintahkan-Nya.
Perbuatan
maksiat yang dilakukan oleh umat Islam itulah yang telah dikhawatirkan oleh
Umar bin Kaththab r.a. ketika beliau menjadi khalifah, hal ini sebagaimana
dapat kita semak dari pesan tertulis beliau yang pernah disampaikannya kepada
Sa’ad bin Abi Waqash ketika akan menghadapi sebuah pertempuran. Pada surat itu ditulis
pesan sebagai berikut:
‘Umar bin
Kaththab ra. telah menulis sepucuk surat kepada Sa’ad bin Abi Waqash r.a.:
‘Sesungguhnya kami memerintahkan kepadamu dan kepada seluruh pasukan yang kamu
pimpin, agar takwa dalam segala keadaan, kerana takwa kepada Allah merupakan
seutama-utamanya persiapan dan strategi paling kuat dalam menghadapi
pertempuran. Aku perintahkan pula kepadamu dan pasukan yang kamu pimpin agar
benar-benar menjaga diri dari berbuat maksiat. Kerana maksiat yang engkau
perbuat pada ketika berjuang lebih aku khawatirkan daripada kekuatan musuh,
sebab engkau akan ditolong Allah jika musuh-musuh Allah telah berbuat banyak
maksiat, kerana jika tidak demikian kamu tidak akan punya kekuatan sebab jumlah
kita tidaklah sebanyak jumlah pasukan mereka, di mana persiapan mereka berbeza
dengan persiapan yang kita lakukan. Jika kita sama-sama berbuat maksiat
sebagaimana yang dilakukan oleh musuh-musuh kita, maka kekuatan musuh akan
semakin hebat. Sangatlah berat kita akan dapat mengalahkan musuh kita jika
hanya mengandalkan pada kekuatan yang kita miliki, kecuali dengan mengandalkan
ketakwaan kita kepada Allah dan senantiasa menjaga diri dari berbuat
maksiat...’ (Lihat: Al ‘Aqdul Farid jilid I, hlm. 101; Nihayatul
Arab jilid VI, hlm. 168; Ikhbarul Umar wa Ikhbaru Abdullah bin Umar
jilid I, hlm. 241-242; Ikbasu min Ikhbarul Khulafa Ar-Rosyidin hlm 779,
serta buku Jihad tulisan Dr. Mahfudz Azzam, hlm. 28).
Rujukan:
- ’Andalus,
al-’ Oxford Dictionary of Islam. John L. Esposito, Ed. Oxford
University Press. 2003. Oxford Reference Online. Oxford University Press.
Accessed 12 June, 2006.
- Sejarah Bani
Umaiyyah, Muhammad Syu'ub, Penerbit PT. Bulan Bintang.
- Perpustakaan
Nasional: Katalog Dalam Terbitan (KDT), Ensiklopedi Mini Sejarah dan
Kebudayaan Islam, Logos Wacana Ilmu, Jakarta 1996.
- Dari, Badarii
Yatim, M.A, Sejarah Peradaban Islam, PT: Gravindo Persada: 2003, hlm. 89.
- Abdul Mun’im Majid,
Sejarah Kebudayaan Islam, Pustaka: 1997 hlm. 182.
- Badarii Yatim,
M.A, PT. Gravindo Persada: 2003, hlm. 91
- Katalog Dalam
Terbitan (KDT), Ensiklopedi Mini Sejarah dan Kebudayaan Islam, Logos
Wacana Ilmu Jakarta 1996
- Badarii Yatim,
M.A, Sejarah Peradaban Islam, PT: Gravindo Persada: 2003, hlm 93
- As-Siba’i
Mustafa, Peradaban Islam Dulu, Kini dan Esok. Gema Insani Press,
Jakarta: 1993
- Yatim Badarii,
M.A, Sejarah Peradaban Islam, PT: Gravindo Persada: 2003
- Katalog Dalam
Terbitan (KDT), Ensiklopedi Mini Sejarah dan Kebuidayaan Islam, Logos
Wacana Ilmu Jakarta 1996
- Majid Mun’im
Abdul, Sejarah Kebudayaan Islam, Pustaka: 1997
- Perpustakaan
Nasional: Katalog Dalam Terbitan (KDT), Ensiklopedi Mini Sejarah dan
Kebudayaan Islam, Logos Wacana Ilmu, Jakarta 1996.
- Prof. Hj.
Sunanto Musyrifah, Sejarah Islam Klasik, Jakarta Timur, Penada Media: 2003
- Abu Khalil, Syauqi. Harun Al Rasyid, Pemimpin
dan Raja yang Mulia. Jakarta: Pustaka Azzam, 2002.
- Al-Sharqawi, Effat. Falsafah Kebudayaan Islam.
Bandung: Penerbit Pustaka, 1986.
- Enan, M.A. Decisive Moments in the History of
Islam (Detik-detik Menentukan dalam Sejarah Islam). Alih Bahasa oleh
Mahyuddin Syaf, Surabaya: Bina Ilmu, 1979.
- Gibbon, Edward. The Decline and The Fall of
Roman Impire, Abridged and Illustrated London. United Kingdom: Bison Books
Ltd. 1979.
- Gutas, Dimitri. Greek Thought, Arabic Culture,
The Graeco-Arabic Translation Movement in Baghdad and Early Abbasid
Society (2nd-4th/8th-10 centuries). Routledge, London-New York, 1998.
- Muttaqo Al Hindi. Kitab ‘Muntakhob Kanzu’l-Ummal,
Jilid VI.
- Koentjaraningrat. Kebudayaan, Mentalitas dan
Pembinaan. Jakarta: Gramedia, 1985.
- Leaman, Oliver. Scientif and Philosophical
Enquiry: Achievement and Reaction in Muslim History dalam Farhad Daftary
(ed), Intellectual Traditions in Islam, I.B Tauris, London-New York in
Association with The Institute of Ismaili Studies, 2000.
- Leaman, Oliver. An Introduction to Medieval
Islamic Philosophy, Cambridge: University Press, Cambridge, 1985.
- Muhammad Ash-Shalabi, Ali. Bangkit &
Runtuhnya Khilafah Utsmaniyah. Jakarta: Pustaka Al-Kautsar, 2004.
- Nasution, Harun. Islam Ditinjau dari berbagai
Aspeknya. Jilid I, cetakan kelima. Jakarta: UI Press, 1985.
- Sou’yb, Joesoef. Sejarah Daulat Khulafaur
Rasyidin. Jakarta: Bulan Bintang, 1979.
- Sou’yb, Joesoef. Sejarah Daulat Umaiyyah.
Jakarta: Bulan Bintang, 1977.
- Sou’yb, Joesoef. Sejarah Daulat Abbasiah.
Jakarta: Bulan Bintang, 1977.
- Stryzewska, Bojena Gajane. Tarikh al-Daulat
al-Islamiyah. Beirut: Al Maktab Al-Tijari, tanpa tahun.
- Suyuthi, Imam. Tarikh Khulafa. Jakarta: Pustaka
Al Kautsar, 2006.
- Syalabi, A. Sejarah dan Kebudayaan Islam, Jilid
I. Jakarta: Pustaka Alhusna, 1987, cet. V.
- Watt, W. Montgomery. Kejayaan Islam: Kajian
Kritis dari Tokoh Orientalis. Yogyakarta: Tiara Wicana Yogya, 1990.
- Yatim, Badri. Sejarah Peradaban Islam, Dirasah
Islamiyah II, Jakarta: PT. Raja Grafindo Persada, 2006.
- Zarkasyi, Hamid Fahmy. Membina Peradaban Islam.
Makalah Workshop Pemikiran Ideologis, Forum Ukhuwwah Islamiyah, Daerah
Istimewa Yogyakarta, 15 April 2007.
- Zallum, Abdul Qadim. Konspirasi Barat
Meruntuhkan Khilafah Islamiyah, Telaah Politik Menjelang Runtuhnya Negara
Islam. Bangil: Al-Izzah, 2001.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan