Khamis, 4 Julai 2013

Abu Ma’shar (Pakar Astrologi Islam Dari Parsi)


SMAHADZIR

 AL-FALAKI, gelaran itu ditabalkan oleh para ilmuan di era kejayaan Kekhalifahan Abbasiyah kepada Abu Ma’shar berkat kehebatannya dalam bidang astrologi (ilmu perbintangan). Gerrit Bos dalam tulisannya yang berjudul Abu Ma’shar: The Abbreviation of the Introduction to Pakar astrologiy, Together with the Medieval Latin Translation of Adelard of Bath, menyebut bahawa Abu Ma’shar sebagai pakar astrologi hebat di abad ke 9 Masehi. Namun hampir semua karya Abu Ma’shar dalam bidang astronomi telah hilang, dan hanya karya astrologinya dalam bahasa Arab yang masih tersisa.

‘Karya-karya Abu Ma’shar dalam bidang astrologi begitu populer dan sangat berpengaruh bagi peradaban masyarakat Eropah Barat di abad pertengahan,’ ujar Bos. Betapa tidak, sederet karya besar ahli astrologi Islam ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Menurut Bos, Abu Ma’shar tidak hanya berpengaruh dalam bidang astrologi, beliau juga memberi sumbangan yang besar dalam bidang kedoktoran.

Penjelasan mengenai epidemik, ujar Bos, merupakan salah satu pengaruh besar Abu Ma’shar dalam bidang kedoktoran di Eropah. Beliau menghubungkan masalah kedoktoran dengan fenomena luar angkasa melalui teorinya yang sangat popular, yakni Theory of the Great Conjunctions. ‘Menurut teori ini, hubungan planet tertentu boleh menyebabkan bencana alam dan politik,’ ujar Bos. Salah satu bencana besar yang dihubung-hubungkan para doktor di abad ke 14 dengan teori yang dicetuskan oleh Abu Ma’shar adalah fenomena Black Death. Hal ini menunjukkan betapa pemikiran Abu Ma’shar begitu berpengaruh terhadap peradaban Barat.

Keiji Yamamoto dalam tulisannya tentang sejarah hidup Abu Ma’shar mengungkapkan, ilmuan Islam terkemuka di abad ke 9 Masehi itu dilahirkan pada 10 Ogos 787 Masehi di Balkh, Parsi (sekarang Afganistan). Hakikatnya beliau memiliki nama lengkap Ja’far ibnu Muhammad Abu Ma’shar Al-Balkhi. Selain dikenali dengan sebutan Abu Ma’shar, beliau juga biasa disebut dengan panggilan Abulmazar. Abu Ma’shar merupakan seorang ilmuan serba boleh. Selain dikenali sebagai seorang pakar astrologi (ilmu perbintangan), Abu Ma’shar juga menguasai ilmu matematik, astronomi dan falsafah Islam. Beliau menekuni ilmu matematik sewaktu berusia 47 tahun, setelah kenal dan berkecimpung dalam dunia astrologi.

Beliau merupakan murid kepada seorang guru yang sangat tersohor, yakni Al-Kindi, ilmuan Islam di abad ke 8 Masehi. Seperti gurunya, nama Abu Mas’har begitu populer di dunia Barat. Abu Ma’shar telah berjasa menyatukan pelajaran ilmu perbintangan dari berbagai sumber Islam yang luas. Menurut Yamamoto, Abu Ma’shar juga merupakan salah seorang orang yang berperanan penting dalam pengembangan ilmu pengetahuan dalam Islam. Sayangnya, tidak ramai umat Islam di era moden yang mengetahui kisah hidup Abu Mashar. Para sejarawan sains juga jarang mengupas kisah hidup ilmuan ini. Tidak hairanlah, jika banyak hal dalam sejarah hidup beliau yang masih misteri dan menjadi perdebatan di kalangan sejarawan.

Menurut Yamamoto, Abu Ma’shar terkenal dengan karya astrologinya. Yamamoto menjelaskan bahawa Abu Ma’shar pernah menulis mengenai ilmu perbintangan, termasuk tabel astronomi. Ada beberapa persoalan mengenai tanggal kelahiran dan kematiannya, kerana pendahulunya mengetahuinya hanya semata-mata berdasarkan pada kutipan horoskop (zodiak) yang tidak dikenali dalam bukunya yang berjudul The Revolutions of the Years of Nativities, ujar Yamamoto.

Sejarah hidup Abu Ma’shar, ditulis seorang sejarawan pada abad ke 10 Masehi bernama Ibnu Al-Nadim (meninggal dunia 995 atau 998 Masehi). Salah satu misteri yang belum terungkap secara pasti tentang Abu Ma’shar adalah tahun meninggal dunianya. Yamamoto menjangkakan, Abu Ma’shar meninggal dunia di Iraq pada tahun 886 Masehi. Sementara itu, Al-Biruni (973-1048 Masehi) dalam karyanya yang berjudul Chronology of the Ancient Nation menyatakan bahawa Abu Ma’shar masih melakukan kajian astrologi pada tahun 892 Masehi atau enam tahun sesudah tahun kematian yang disebutkan oleh para sejarawan. Al-Biruni dalam karyanya Book of Religions and Dynasties juga mengambil rujukan dari karya Abu Ma’shar mengenai kedudukan bintang yang ditulis pada tahun 896 atau 897 Masehi.

Karya tersebut ditulis Abu Ma’shar ketika berusia lebih dari 100 tahun. Ibnu Al-Nadim dalam karyanya Fihrist mengungkapkan bahawa Abu Ma’shar merupakan ilmuan dan ahli falsafah yang menentang pandangan Helenistik. Pandangan Abu Ma’shar ini kemudian dimanfaatkan oleh Al-Biruni untuk memetahkan pendapat ahli falsafah Islam sebelumnya yakni Al-Kindi (801-873 Masehi). Kemasyhuran Abu Ma’shar sebagai pakar astrologi hebat di istana Kekhalifahan Abbasiyah di Baghdad membuatkan namanya termasuk dalam cerita tentang astrologi.

Bahkan, Ibnu Tawus (1193n1266 Masehi) mengumpulkan beberapa anekdot Abu Ma’shar dalam karyanya yang berjudul Faraj Al-Mahmum (Biografi Para Pakar Astrologi). Sayangnya, hampir semua karya Abu Ma’shar dalam bidang astronomi telah hilang, dan hanya karya astrologi dalam bahasa Arab yang masih tersisa. Nama Abu Ma’shar nampaknya lebih populer di dunia Barat, berbanding dengan di dunia Islam moden. Hampir tidak ada pelajaran yang diajarkan di sekolah di manaa-mana yang menyebut nama dan sumbangan Abu Ma’shar di era kekhalifahan.

Sumbangan Dalam Bidang Astrologi

Siapa yang membaca akan mengetahui. Siapa yang menulis tidak akan pernah mati. Peribahasa Perancis itu memang ada kebenarannya. Meski Abu Ma’shar telah tiada belasan abad silam, namun namanya tetap dikenang dan diperbincangkan terutama di kalangan ilmuan, khususnya di dunia Barat. Salah sebuah buku yang ditulis Charles Burnett berjudul Abu Ma’shar: The Abbreviation of the Introduction to astrologiy merupakan bukti betapa pemikiran ilmuan ini masih dianggap penting oleh dunia Barat.

Richard Lemay dalam karyanya berjudul Abu Ma’shar and Latin Aristotelianism in the Twelfth Century, The Recovery of Aristotles Natural Philosophy through Iranian astrologiy, masih tertarik dengan pemikiran pakar astrologi Islam ini. Dalam bukunya itu Lemay berargumentasi bahawa tulisan Abu Ma’shar sangat mirip dengan salah sebuah karya terpenting teori Aristoteles tentang alam. Salah sebuah karya Abu Ma’shar dalam bidang astrologi yang sangat berpengaruh berjudul Al-Mudkhal Al-Kabir. Buku ini terdiri dari 106 bab. Karyanya ini diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada tahun 1133 Masehi dan tahun 1140 Masehi. Selain itu, buku yang ditulis Abu Mafshar juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Yunani. Tidak hairanlah, jika buah fikir Abu Mafshar telah memiliki pengaruh yang signifikan kepada pakar falsafah Barat, salah seorangnya Albert The Great.

Abu Ma’shar juga menulis sebuah versi ringkas dalam mengenali karyanya Mukhtafar al-Mudkhal yang diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Adelard of Bath. Buku lain yang ditulis Abu Ma’shar yang terkenal dan diterjemahkan ke dalam bahasa Latin berjudul Introductorium in Astronmiam. Buku itu merupakan terjemahan dari buku berbahasa Arab yakni Al-Mudkhal Al-Kabir ila eIlm Ahkam Annujjum, yang ditulis Abu Ma’shar di Baghdad pada 848 Masehi. Kali pertama, buku itu dialihbahasakan ke dalam bahasa Latin oleh John of Seville pada 1133 Masehi, dan selanjutnya, literatur dibuat lebih sedikit dan ringkas oleh Herman of Carinthia pada 1140 Masehi.

Karya lain yang ditulis Abu Ma’shar adalah sejarah astrologi yang memperkenalkan tradisi Sasaniah. Ini dibuat pada era kekuasaan Khalifah Al-Mansur, khalifah kedua Dinasti Abbasiyah. Ini merupakan sebahagian dari strategi politik Al-Mansur untuk memberikan sebuah yayasan bagi kelahiran dinasti baru, dan tentu saja itu digunakan paling efektif antara Dinasti Abbasiyah sebelumnya.

Buku Abu Ma’shar yang monumental dalam kategori sejarah adalah Al-Milal wa-l-Duwal (tentang agama-agama dan dinasti). Buku itu terdiri dari lapan bahagian dalam 63 bab. Karyanya yang satu ini diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan dibaca oleh Roger Bacon, Pierre Ailly, dan Pico della Mirandola (1463-1494 Masehi). Pemikiran Abu Ma’shar ini tentunya juga dibahas dalam karya besar mereka. Karya lain dalam kategori ini meliputi Fi Dhikr Ma Tadullu Elayhi Al-Ashkhas Al-Fulwiyya, Aldalalat Elaalittisalat Waqiranat Al-Kawakib dan Aluluf (Book of Thousands), yang tidak bertahan lama tetapi ringkasannya dipelihara oleh Sijzi (945-1020 Masehi).

Karya lain ilmuan ini dikategorikan dalam genethlialogi, ilmu pengetahuan mengenai pemilihan kelahiran. Salah satu contoh adalah Tahawil Sini Al-Mawalid (Book of the revolutions of the years of nativities). Buku ini juga telah dialihbahasakan ke dalam bahasa Yunani. Buku itu terdiri dari sembilan volume dan terbahagi menjadi 96 bab. Yang diterjemahkan ke dalam bahasa Yunani hanya lima volume dan terdiri dari 57 bab.

Karya lain Abu Ma’shar yang masuk dalam kategori ini adalah Mawalid Al-Rijal wa-Al-Nisa atau Asal lelaki dan Wanita. Dalam karyanya Introductorium in astronomiam and De magnis coniunctionibus, Abu Ma’shar mengatakan bahawa dunia diciptakan ketika tujuh planet bergabung dengan Aries, dan ramalan itu boleh berakhir ketika fenomena yang sama terjadi pada Pisces.

Terjemahan ke dalam bahasa Latin dan dalam bahasa sehari-hari menjadikan karyanya beredar luas di Eropah dan menjadi sumber inspirasi untuk literatur penggambaran astrologi dengan beberapa pengarang kecil awal era moden.


Abu Ma’shar mengembangkan model planet yang beberapa penafsiran sebagai sebuah model heliosentrik. Ini menunjukkan pada revolusi orbital planet diberikan sebagai revolusi heliosentrik lebih baik daripada revolusi geosentrik dan hanya diketahui teori planet di kejadian ini dalam teori heliosentrik. Karyanya dalam teori planet tidak dapat bertahan, tetapi data astronominya terakhir dIraqam oleh Al-Hashimi dan Al-Biruni, jelas Bartel Leendert van der Waerden dalam karyanya yang berjudul The Heliocentric System in Greek, Persian and Hindu astronomiy.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan