Generasi merdeka di negara kita
Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Di tangan generasi
inilah berjaya atau tidaknya gagasan 1Malaysia yang bermatlamatkan perpaduan di
kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Justeru generasi merdeka perlu
menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke
arah mencapai matlamat murni negara tersebut.
Perpaduan yang
sedia terjalin antara kaum di negara kita perlu diperkukuhkan lagi bagi
mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. Gagasan 1Malaysia
yang diperkenalkan oleh YAB Dato’ Sri Najib selari dengan apa yang
termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.
Gagasan 1Malaysia
membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat
Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang
perlu ada dalam diri setiap generasi merdeka pelbagai kaum dalam semangat
perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling
mempercayai antara kaum.
Perasaan
hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum ini pastinya
akan dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang
menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Dengan itu tidak akan wujud
perasaan tidak berpuas hati mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah
Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan
citarasa untuk bersama memajukan negara.
Pembinaan negara
bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting
terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas
dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai,
budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa
bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan
kesetiaan.
Justeru, generasi
merdeka perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1Malaysia iaitu kebersamaan dan
kekitaan bagi menjayakan gagasan ini. Selain dari kepimpinan, 1Malaysia juga
memerlukan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur,
berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk
melaksanakan tanggungjawab kepada negara. Gagasan 1Malaysia memerlukan generasi
merdeka yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab
dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara
Generasi
merdeka juga perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara
mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara
untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman
politik. Generasi merdeka dari semua kaum perlu menganggap
bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu
dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada
masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan
dan pembelaan daripada kerajaan.
Gagasan
1Malaysia adalah katalis kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat
membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan
di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung
kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan. Generasi
merdeka perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya
kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi,
pendidikan dan integiti.
Selain itu
gagasan 1Malaysia juga menekankan elemen-elemen yang perlu menjadi amalan
mana-mana masyarakat yang ingin berdaya maju dan berjaya. Elemen-elemen
tersebut merangkumi budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan
tanggungjawab; budaya ketepatan dari segi menghormati waktu dan meningkatkan
kecekapan; keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru;
meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya
berlandaskan undang-undang dan dasar negara; kesetiaan yang tidak berbelah bahagi
kepada tanah air tercinta; ketabahan dalam mengharungi sebarang cabaran yang
mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi. Pembudayaan
nilai-nilai aspirasi ini akan menyerlahkan masyarakat Malaysia yang berwibawa,
dihormati dan disegani, bersesuaian dengan identiti sebuah negara bangsa yang
maju dan berjaya.
Generasi
merdeka perlu mengamalkan budaya cemerlang dalam kehidupan seharian mereka
kerana pengamalan budaya cemerlang akan membawa negara kita ke tahap
kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat
dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh
rakyatnya. Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan
prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan. Prinsip ketepatan
menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat
penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila
berurusan dengan pihak-pihak luar negara. Ketepatan pengukuran, jadual
penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan
kejayaan.
Perjuangan
untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan generasi
merdeka yang tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan. Penggemblengan
semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan
dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat. Ketabahan dalam
menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan
kesilapan atau kegagalan yang terdahulu. Kegagalan yang dialami perlu
dikaji dan perlu memperbaikinya secara positif. Sikap mudah mengalah,
kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya.
Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil
bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan.
Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai
kejayaan diri, masyarakat dan negara.
Selain itu
generasi merdeka juga perlu mengamalkan sikap rendah hati. Dalam Islam, rendah
hati dikatakan tawaduk. Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat
merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh
terhadap sesuatu prinsip. Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan
masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.
Kritikan dan
pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi
menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau
kekurangan adalah lambang setia kawan. Kritikan dalam usaha membina kekuatan
perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala
kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.
Kesetiaan
perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang. Nilai atau
ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan
kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan. Kesetiaan atau perhubungan
yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan
yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalahgunakan
oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.
Pendidikan dan
pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan.
Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang
berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan. Negara perlu
memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari
segala-galanya. Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia
yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka.
Selain itu
nilai integriti juga perlu diamalkan oleh generasi merdeka. Bersikap jujur
terhadap sesuatu tindakan dan percakapan. Bercakap benar walaupun perkara yang
disampaikan itu pahit dan sukar diterima. Menepati janji dan
masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam.
Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.
Mengetepikan
kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan
negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat
ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.
Kesimpulannya,
tanggungjawab generasi merdeka dalam menjana gagasan 1Malaysia amat besar dan
perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan penuh komitmen agar hasrat murni
negara ini akan tercapai dengan jayanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan