Frasa ‘Satu Bahasa Mendaulatkan
Negara’ memberi makna bahawa apabila Bahasa
Melayu kita daulatkan, bahasa itulah yang akan
membentuk jiwa kita seterusnya mendaulatkan negara kita. Bahasa itulah yang
akan memercikkan jatidiri kebangsaan. Jika seluruh rakyat Malaysia tanpa
mengira perbezaan agama, kebudayaan dan asal-usul mendaulatkan bahasa
kebangsaan, akan cagunlah citra dan keperibadian kita sebagai satu bangsa yakni
Bangsa Malaysia. Namun begitu, jika kita mendaulatkan bahasa-bahasa asing, akan
tercuarlah ‘jatidiri asing’. Akibatnya, akan terencatlah pembentukan jatidiri
kita sebagai Bangsa Malaysia.
Sejarah telah membuktikan bahawa kejayaan pembentukan negara-bangsa Jepun,
Korea, selain pengasasan negara-bangsa di benua Eropah dan Amerika Syarikat,
adalah sesuatu yang wajar kita teladani. Mereka terbukti telah berupaya
memodenkan negara sekali gus membina bangsa dengan mendaulatkan bahasa
kebangsaan negara-bangsa masing-masing. Ini satu bukti menunjukkan bahawa satu
bahasa mampu mendaulatkan sesebuah negara. Jadi, tidak ada salahnya kita di
Malaysia ini mempraktikkan apa yang telah dilakukan oleh rakyat negara-negara
tersebut demi mendaulatkan negara kita dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai
bahasa utama dalam negara.
Bahasa
Kebangsaan merupakan jatidiri bangsa yang perlu diperteguhkan terus menerus,
manakala kemahiran berbahasa Inggeris atau mempelajari bahasa-bahasa tambahan
lain akan menambahkan lagi daya saing bangsa Malaysia di persada global. Kita harus
sedar bahawa dunia satu bahasa atau monolingual sudah tiada lagi. Maka
memanglah bangsa kita akan kerugian jika rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa
asing yang diperlukan itu dengan baik.
Cuma kita
memerlukan persepsi dan perspektif yang betul dan jelas. Mesej yang perlu kita
dukung adalah, apabila kita mengatakan bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa itu
penting, kita perlu memperteguhkan pegangan bahawa bahasa kebangsaan atau Bahasa
Melayu itu lebih penting lagi. Belajarlah bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa
tetapi jangan lupakan bahasa kebangsaan. Kita memerlukan gerakan psikologi
kesedaran berbahasa. Kita perlu meneguh dan menegakkan Bahasa Melayu sebagai
bahasa negara dan pacakkan pancang menjadikannya sebagai salah satu bahasa
komunikasi antarabangsa yang berpengaruh bermula di wilayah nusantara ini.
Sesungguhnya, pelbagai
usaha telah dilakukan oleh kerajaan dalam hasrat meninggikan lagi tahap kesedaran
terhadap bahasa dan persuratan bangsa terutama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP). Selama ini, pelbagai program seperti Bulan Bahasa Kebangsaan, Gerakan
Cintailah Bahasa Kita, Minggu Sastera Negara dan lain-lain lagi telah menjana
sikap rakyat pelbagai kaum ke arah kenal dan cinta terhadap bahasa kebangsaan. Lagu
‘Bahasa Jiwa Bangsa’ berkumandang di segala ceruk rantau negara setiap kali
program dan kegiatan kebahasaan dilaksanakan. Natijah daripada setiap pelaksanaan
program ini, adalah bertujuan bagi mengangkat kesedaran setiap lapisan rakyat
menghayati dan menjulang keperkasaan sebuah bahasa negara.
Gagasan 1Malaysia
yang telah diwujudkan oleh YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak
bermatlamatkan perpaduan rakyat pelbagai kaum berteraskan Perlembagaan dan
prinsip-prinsip Rukun Negara. Selaku Perdana Menteri yang kaya gagasan, YAB
Datuk Seri Mohd Najib Razak telah merangka pelbagai perubahan dan transformasi
demi kesejahteraan hidup rakyat tanpa mengira bangsa, budaya dan kepercayaan.
Malah tidak
ada satu bangsa pun yang akan dipencilkan dalam menikmati pembahagian kek
ekonomi negara. Inilah hasrat murni Perdana Menteri untuk memajukan kehidupan
rakyat dengan gagasan dan dasar-dasar disepadukan bagi Malaysia mencapai status
negara maju pada 2020, sekali gus menjadikan Malaysia negara berpendapatan
tinggi. Untuk merealisasikan hasrat gagasan 1Malaysia tersebut maka Bahasa
Melayu harus menjadi katalisnya yang utama. Hanya melalui Bahasa Kebangsaan
saja bunga-bunga perpaduan dapat dimurupkan dan menggerbak seluruh pelosok
dunia.
Timbul satu
persoalan, kenapakah aspek bahasa menjadi sangat penting dalam gagasan 1Malaysia?
Jawapannya, jika kita berpegang kepada Perlembagaan Malaysia sebagai teras
kenegaraan dan aspirasi perpaduan negara bangsa, maka setiap tonggak negara
adalah bersifat hak-hak kenegaraan, khususnya status bahasa ini sebagai bahasa
rasmi dan bahasa kebangsaan. Kita tidak ada jalan lain, kecuali menjulang Dasar
Bahasa Negara sebagai wahana ilmu, pendidikan, komunikasi dan alat pembinaan
tamadun bangsa.
Dari segi
logik pula, tidak akan ada bahasa lain yang boleh mengambilalih peranan dan
fungsi Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan sendiri sebagai alat pemersatuan
bangsa Malaysia. Bahasa lain, hatta bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa sekali
pun hanya wajar menjadi satu keperluan tambahan dalam konteks kita berbahasa
atau demi penggunaan dalam konteks tertentu.
Jadi,
janganlah ada lagi segelintir pihak yang mahu memanipulasikan keutuhan Bahasa
Melayu atau bahasa kebangsaan yang sudah memperoleh martabat sebagai bahasa
negara, yang telah dikanunkan sebagai Perkara 152 Perlembagaan dan diperkukuhkan
dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (disemak 1971).
Sesungguhnya, kepentingan Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan sebagai
wadah terpenting, selain wadah pendidikan dan kebudayaan kebangsaan, untuk
membentuk keperibadian bangsa Malaysia bersemboyankan gagasan ‘satu bahasa,
satu bangsa, satu nusa’, tidak sewajarnya disangsikan oleh sesiapa pun dan
mana-mana pihak. Sebabnya ialah Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan yakni
bukannya bahasa asing atau bahasa ibunda yang mampu mencuarkan semangat satu
bangsa, menyerapkan roh sebangsa, senegara dan menyemarakkan jatidiri
kebangsaan lawannya identiti perkauman, di samping pendaulatan bahasa
kebangsaan yang menjadi bukti ketaatsetiaan, penghormatan dan pemuliaan kepada
nusa tercinta. Malah, Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan jugalah yang
berperanan sebagai bahasa ilmu dalam segenap bidang, bahasa pentadbiran, bahasa
ekonomi, bahasa sosial dan bahasa peradaban moden
Kita harus sedar bahawa wasilah terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia
ialah bahasa kebangsaan atau Bahasa Melayu kerana ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Ini
bermakna, bahasa apa yang kita daulatkan, maka bahasa itulah yang akan
membentuk jiwa kita. Dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia dan kemajuan
negara menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa
kebangsaan, bukannya bahasa-bahasa asing. Inilah prinsip umbi yang seharusnya
kita junjung dan pegang teguh, jika benar kita serius untuk menghakikatkan
gagasan pembentukan bangsa Malaysia, seperti kata pepatah... di mana bumi
dipijak, di situ langit dijunjung.
Sejak merdeka
pada tahun 1957, bahasa kebangsaan telah memainkan peranannya yang tersendiri
dalam membentuk kesatuan dan kesefahaman antara kaum di negara kita. Justeru
tidak dapat dinafikan lagi bahawa bahasa adalah asas pembinaan tamadun dan
perpaduan bangsa. Sebab itulah, dalam gagasan 1Malaysia, prinsip-prinsip
aspirasi berteraskan penerimaan, Perlembagaan dan Rukun Negara serta keadilan
sosial wajar dihayati rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia perlu memahami hakikat
kepelbagaian negara bangsa kita. Jika hakikat ini dihayati dan dibudayakan,
sudah pasti kita akan berjaya membina ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’ tersebut.
Gagasan
1Bahasa juga penting kerana kita mempunyai satu bahasa negara, yakni peranan
dan fungsi satu bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kita
adalah satu bangsa, tetapi terdiri daripada pelbagai etnik, bersatu dengan
berkongsi nilai-nilai persamaan, ada rasa sepunya dan kekitaan. Segala-galanya
itu mengarah kepada kefahaman bahawa tidak ada negara lain, selain daripada
Malaysia, satu-satunya negara kita di dunia ini. Apabila hakikat ini berjaya
direalisasikan, maka akan terjulangkah negara kita di pentas dunia sebagai
sebuah negara yang berdaulat.
Hakikat
yang tidak dapat dinafikan ialah asas keterampilan sesuatu bangsa boleh digambarkan
melalui bahasa yang dituturkan oleh masyarakatnya. Kekuatan sesuatu bangsa
boleh dilihat melalui kesatuan masyarakat terhadap budaya yang diwarisi sejak
turun-temurun terutamanya aspek bahasa. Maka tidak hairanlah kita lihat pada
hari ini, banyak negara maju kekal menggunakan bahasa masing-masing yang
diwarisi sejak turun-temurun. Rakyat negara Perancis, German, Itali, Jepun,
Korea Selatan, Denmark dan lain-lain lagi membuktikan bahawa bahasa mereka
berupaya menjadikan mereka masyarakat yang berdaya saing, maju dan dikagumi
masyarakat di seantero dunia.
Yakinlah
bahawa Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan mampu menyatupadukan rakyat
Malaysia seterusnya merealisasikan gagasan 1Malaysia. Tetapi Bahasa Melayu yang mampu menjadi teras perpaduan bangsa
Malaysia ialah Bahasa Melayu standard yang digunakan secara bersama dan meluas.
Bukannya Bahasa Melayu rojak yang diselangseli dan dicampuradukkan dengan
bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa.
Sedarlah bahawa Bahasa Melayu bukan sahaja
berfungsi sebagai bahasa basahan, tetapi juga sebagai bahasa rasmi dan tidak
rasmi. Bahasa
Melayu bukan sahaja dijadikan bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan
universiti tetapi penggunaannya menjangkau ke peringkat antarabangsa. Buktinya
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib telah bertutur dalam Bahasa Melayu
sepenuhnya di sebuah universiti di China semasa lawatan beliau ke sana
baru-baru ini.
Ini bermakna, Bahasa Melayu yang dimaksudkan ialah Bahasa
Melayu yang standard dan mengikut struktur Bahasa Melayu baku dan mempunyai
sistem yang sama untuk semua. Slanga atau loghat mungkin sesuai untuk orang
Melayu di negeri-negeri tertentu, tetapi apabila bertutur dengan bangsa Melayu
dari kawasan atau negeri yang lain dan dengan orang bukan Melayu, Bahasa Melayu
yang standard wajar digunakan. Inilah bahasa yang diajar dan digunakan di
sekolah, dalam buku teks, buku-buku dan majalah serta dalam dokumen rasmi yang
lain.
Selain itu, Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan
utama mempunyai masa depan yang cerah kerana Bahasa Melayu bersikap terbuka
kepada bahasa lain. Sesuatu bahasa yang terlalu rigid, terpencil dan statik
tidak akan mampu mengadaptasikan dirinya dengan perubahan semasa.
Kendatipun
begitu, untuk merealisasikan ini, terlebih dahulu kita perlu memperbetulkan beberapa kesilapan mengenai konsep bahasa
kebangsaan dan bahasa ibunda. Pertama, sejak Bahasa Melayu diangkat sebagai
bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu
yang merdeka, ia bukan lagi menjadi milik tunggal peribumi Melayu. Malah, Bahasa
Melayu menjadi milik bersama seluruh warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Jadi, Bahasa Melayu dengan sendirinya menjadi hak milik orang Cina, India,
Kadazan, Iban, Murut, Mahmeri, Dayak, Semai, Senoi, Rungus dan semua bangsa
yang menghuni mandala yang bernama Malaysia ini, atau dalam lain perkataan... yang
menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu ini. Lebih penting lagi, Bahasa
Melayu itulah yang menjadi bahasa kebangsaan Cina, India, Kadazan, Iban, Murut,
Mahmeri, Dayak, Semai, Senoi, Rungus dan semua bangsa yang telah menjadi
warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Kesimpulannya,
frasa ‘satu bahasa mendaulatkan negara’ adalah sesuatu yang benar dan mampu
direalisasikan jika rakyat Malaysia akur membudayakan Bahasa Melayu atau bahasa
kebangsaan dalam kehidupan seharian mereka tanpa sebarang kompromi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan