Selasa, 13 November 2012

REMAJA HARUS MENILAI HIDUPNYA


Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Setiap remaja harus waspada bahawa bumi kita ini bukanlah sebuah syurga yang selama-lamanya aman damai. Remaja harus mengerti bahawa dunia ini sebenarnya sebuah gelanggang hidup yang penuh dengan pergolakan dan percubaan.
Lantaran itu setiap remaja harus dibimbing dengan satu sikap hidup yang tegas dan pandangan hidup yang tabah. Masa demi masa akan berlalu memahami usia setiap remaja. Jadi ke arah mana harus remaja meniti lorong-lorong hidup ini jika mereka tidak punya perancangan yang tetap dalam menilai aspek hidup ini?
Allah s.w.t berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud: ‘Orang yang kafir di dalam usaha mereka (mencapai kesenangan dunia) adalah seperti fatamorgana di padang pasir. Dari jauh disangka air, setelah mereka sampai di tempat itu kiranya tidak ada satu apa pun juga. Mereka itu dihisab di sisi Allah s.w.t dan Allah s.w.t cepat sekali menghisab.’ (surah An Nur: 39)
Masa yang kita tempuh sering membuatkan insan itu belajar dari kehidupan. Dengan bimbingan agama Islam, seseorang itu dapat memandang hidup ini dengan pandangan yang optimis. Dengan pedoman Islam seseorang itu akan mendapat kedamaian dan ketenteraman dalam hidup ini.
Waktu yang begitu berharga janganlah digunakan ke jalan yang menyimpang dari lunas-lunas Islam. Akibatnya seseorang itu akan hidup dalam kerugian yang berpanjangan dan penyesalan yang tidak berkesudahan. Menyesali nasib memang tidak ada gunanya jika sudah terlanjur jauh.
Justeru itu waspadalah pada hakikat hidup yang sebenarnya tanpa mengetepikan nilai yang baik dalam menghayati agama. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: ‘Maka berlumba-lumbalah di dalam membuat kebaikan.’ (surah Al Baqarah: 148)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan