Isnin, 30 Julai 2012

Seloka Raja Sehari

Bila kata sepakat sudah dimeterai,
Tersarung pula cincin berlian di jari,
Hati terikat kejap janji erat terpateri,
Lunaslah segala ikrar nak sehidup semati.

Kini tibalah hari yang dinanti-nanti,
Impian sekian lama jadi raja sehari,
Pengantin perempuan berdebar di hati,
Menggeletar lagi lutut pengantin lelaki.

Tangan tok kadhi digenggam rapi,
Syarat mahu bergelar suami,
Lafaz akad harus hati-hati,
Mohon Allah tenangkan hati.

Bila perkahwinan sudah diredha,
Hilang segala resah dalam jiwa,
Dingin dirasa walau hari panas menggila,
Dahi dikucup suami isteri tercinta.

Di dalam hati kembang berbunga,
Sudah berteman dalam rumahtangga,
Bahtera boleh dilayar bersama-sama,
Menuju ke pantai di pulau bahagia.

Sungguh meriah hari persandingan,
Riuh rendah suara jemputan,
Kompang dipalu menjadi iringan,
Pengantin diarak ke pelamin persandingan,
Singgahsana yang indah lagi mahal tiada tandingan,
Tetamu yang hadir menjeling makanan,
Semuanya gembira meraikan pasangan,
Pengantin baru yang sudah lama berkenalan,
Baru diijabkabulkan di masjid semalam,
Kini tiada lagi halangan nak bergurauan.

Di atas singgahsana duduk bersanding,
Mata dua sejoli melirik jeling-menjeling,
Pengantin perempuan duduk mengiring,
Setia menemani jejaka pilihan tersenyum sumbing,
Sesekali terjungkit misai melenting.

Berkilat sungguh keris raja sehari,
Dibaur lembut busana sang permaisuri,
Tersenyum manis sejak pagi tak henti-henti,
Tercapai sudah segala impian di hati,
Kini semuanya sudah menjadi realiti.

Bila melihat pengantin bersanding,
Tersenyum simpul mata menjeling,
Tetamu yang hadir turut mengerling,
Yang duda yang janda mata menjuling,
Menunggu jodoh nak naik pelamin,
Memang sudah lama rasa teringin.

Bila mata bertentang mata,
Kasih berpadu cinta terjalin mulut bungkam tanpa suara,
Bila sudah seiya sekata,
Lalu bersanding di atas pelamin mata berkaca hati gembira,
Lembu kambing jadi korban tidak terkira,
Ayam itik jadi mangsa tanda bersuka,
Peluh menitik letih pening sanak saudara,
Emak bapa dapat menantu tersengih saja,
Dapat cucu pula memang dicita,
Bertambah banyaklah ahli keluarga.

Naik pelamin memang hasrat tersirat,
Bermula dengan usik mengusit dan orat-mengorat,
Bila jodoh dan pertemuan sudah tersurat,
Semoga berbahagia diredhai Allah dunia akhirat.

Muafakat kata sudah disepakati,
Tersarunglah cincin intan di jari,
Kasih terikat cinta terpateri,
Tunailah janji sehidup semati.

Kini tiba hari yang dinanti,
Tersenyum lebar jadi raja sehari,
Pengantin perempuan gemuruh di hati,
Tersengih suka pengantin lelaki.

Digenggam erat tangan tok kadhi,
Lafaz akad nikah harus hati-hati,
Jangan disebut berkali-kali,
Mohon Allah tenangkan hati.

Bila nikah sudah berlalu,
Hilang segala resah dan malu,
Pengantin perempuan tersipu-sipu
Dahi dikucup suami bertalu-talu.

Dalam hati kembang berbunga,
Sudah berteman dalam rumahtangga,
Bahtera boleh dilayar bersama,
Menuju pantai pulau bahagia.

Sungguh meriah hari persandingan,
Riuh rendah suara jemputan,
Kompang dipalu menjadi iringan,
Pengantin diarak ke pelamin persandingan.

Singgahsana indah tiada tandingan,
Tetamu yang hadir menjeling makanan,
Semuanya gembira meraikan pasangan,
Pengantin baru jadi perhatian.

Di atas singgahsana duduk bersanding,
Mata melirik jeling-menjeling,
Pengantin perempuan duduk mengiring,
Suami di sisi tersenyum sumbing.

Keris di pinggang raja sehari,
Labuci kemerlap pakaian permaisuri,
Tersenyum manis tak henti-henti,
Tercapai sudah impian di hati,

Perkahwinan itu suatu amanah,
Kerana mengikut sunah Rasulullah,
Jagalah jangan sampai berpisah,
Kekal  sehingga  ajal menjengah.

Waktu bercinta semuanya indah,
Lautan api sanggup diredah,
Semuanya manis melepa di lidah,
Janji berpadu jangan berpisah.

Bila dah jadi pengantin baru,
Banyak bersabar jangan terburu,
Ikut minda jangan ikut nafsu,
Bila tak tahu carilah ilmu.

Suami isteri perlu sejiwa,
Susah senang harus bersama,
Cubit paha kiri kanan sakit jua,
Sama berpakat agar bahagia.

Jika berpisah suami isteri,
Semua itu ketentuan Ilahi,
Namun kadang-kadang kehendak diri,
Yang pentingkan seronok sendiri.

Sebelum berpisah harus teliti,
Agar tidak menyesal nanti,
Jangan dibuat perkara yang rugi,
Anak merana ke sana sini.

Bila mata bertentang mata,
Lidah kelu hilang suara,
Bila sudah seiya sekata,
Kata sepakat jumpa keluarga.

Ibu bapa minta direstu,
Sanak-saudara pun perlu tahu,
Buat kenduri jemput tetamu,
Moga bahagia ke anak cucu.

Bila melihat pengantin bersanding,
Tersenyum simpul mata menjeling,
Tetamu yang hadir turut mengerling,
Duda dan janda mata terjuling.

Lembu terkorban tidak terkira,
Berhabis duit sesekali tak apa,
Bergotong-royong sanak-saudara,
Emak dan bapa tersengih saja.

Naik pelamin hasrat tersirat,
Bermula dengan orat-mengorat,
Bila jodoh sudah tersurat,
Diberkati Allah dunia akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan