Isnin, 30 Julai 2012

Seloka Hari Raya


ANAK RANTAU NAK PULANG BERHARIRAYA

Dendang Perantau nyanyian P Ramlee,
Meninggalkan Ramadhan berlalu pergi,
Menyambut tiba cahaya Aidilfitri,
Riang gembira tidak terkira dalam nubari.

Sudah dirancang di dalam hati,
Kepada anak-anak buah yang disayangi,
Kerana aku dimurahkan rezeki,
Pada hari raya tahun ini,
Duit raya akan diberi,
Semuanya akan terkejut nanti,
Apabila poket masing-masing penuh berisi.

Namun tiket bas balik kampung belum tempah lagi,
Sedang Aidilfitri hanya tinggal sehari,
Bergegas aku ke stesen bas dan keretapi,
Tapi semua tiket dah habis dibeli,
Melopong aku sambil menggigit jari,
Sanak saudara di kampung tentu sudah menanti,
Malang sungguh Aidilfitri tahun ini,
Terpaksalah aku beraya seorang diri,
Tak ada lemang, tak ada ketupat dan kari,
Yang ada hanya mi segera jenama Maggi.

Alunan takbir bergema di pagi raya,
Menggamit rasa sayu tidak terkira,
Mengalir jernih si air mata,
Terkenang ayah ibu sanak saudara,
Yang jauh di kampung sana.

Dari jauh rindu diutuskan di angin lalu,
Buat pengubat hati yang pilu,
Untuk rakan taulan, ayah dan ibu,
Semoga Aidilfitri diulit gembira selalu,
Walaupun aku tiada di sisimu.

Rindu dan pilu di hati tidak terkata,
Ibarat pungguk di langit saujana,
Serasa meriahnya ketibaan raya yang mulia,
Zakat fitrah janganlah dilupa,
Salam Syawal di angin lalu buat semua.

Ketupat dan rendang syahdu beraroma,
Di kejauhan sana sayup-sayup takbir bergema,
Bagaikan merestui Syawal menjelma,
Kumohan ampun dan maaf kepada semua,
Kalau ada salah dan silap terkasar bahasa.

Salah silap terpalit noda dan dosa,
Tentulah ada kerana kita insan biasa,
Bermaaf-maafanlah seikhlas hati sesama kita,
Tali ukhuwah terjalin erat untuk selamanya,
Bersyukurlah kita ke hadrat Azzawajalla,
Melimpahkan inayah rezeki dan rahmat-Nya.


SELOKA AIDILFITRI


Aidilfitri hari yang mulia,
Tasbih, tahmid dan selawat bergema,
Semua Muslimin sambut dengan doa,
Tibanya menghapuskan segala dosa,
Rakan taulan dan sanak saudara,
Semua berkumpul dalam riang ria,
Jauh dan dekat semuanya ada,
Menyantap hidangan penuh selera.

Ada yang beraya dalam duka nestapa,
Ada yang beraya dalam riang gembira,
Ada yang beraya sepi tanpa sesiapa,
Ada yang beraya berjauhan pula,
Yang kaya meriah dengan rumah terbuka,
Berduyun-duyung datang pelbagai bangsa,
Yang miskin hanya makan apa yang ada,
Namun ikatan kekeluargaan tetap mesra.

Tidak dilupa zakat dan fitrah,
Tidak dilupa kepada yang miskin dan susah,
Semuanya ingin menyambut Aidilfitri dengan meriah,
Tanpa sebarang rasa sedih dan gundah,
Dengan rezeki kurniaan-Nya yang meruah,
Insaflah kemakmuran hidup di bumi bertuah,
Kegembiran melampau dengan hiburan riuh rendah,
Boleh membawa dosa dan mengundang padah.

Aidilfitri bukan hanya untuk bergembira saja,
Insaflah diri kepada yang tiada berharta,
Yang hidup susah dan selalu menderita,
Bantulah mereka dengan keikhlasan yang nyata,
Bukan memberi untuk mendapat nama,
Semoga kegembiraan kita sesama manusia,
Dapat dinikmati bersama di hari raya,
Diberkati Allah Azzawajalla Yang Maha Berkuasa.

Mercun berdentum jadi iringan,
Tanda meriahnya hari lebaran,
Insan gembira bersenda gurauan,
Riuh rendah rakan dan taulan,
Berbaju Melayu cantik dan tampan,
Teruna dara bertukar senyuman,
Pelbagai juadah jadi hidangan,
Kunjung mengunjung erat persaudaraan.

Ketupat dan rendang pelbagai sajian,
Kuih dan muih pelmacam hidangan,
Ruang tamu beraneka hiasan,
Meriahnya Aidilfitri tiada tandingan,
Maaf bermaafan penuh keikhlasan,
Huluran sedekah insan budiman,
Yang miskin dan kaya tiada sempadan,
Semoga hidup diberkati Tuhan.

Hari raya hari yang mulia,
Umat Islam bersuka ria,
Yang jauh dan dekat bertemu semula,
Salah dan silap maaf dipinta,
Rakan dan taulan tersenyum suka,
Sahabat dan handai ceria bersama,
Yang terpisah lama bersua juga,
Tali ukhuwah akrab tercipta.

Genap Ramadhan sebulan berpuasa,
Menjelma kini Syawal yang mulia,
Marilah kita bersyukur ke hadrat Azzawajalla,
Atas kurniaan inayah dan rahmat-Nya. 

Bergema takbir di pagi raya,
Hati yang sayu menjadi gembira
Tangan diangkat doa dipinta,
Semoga Aidilfitri berjalan tanpa sengketa.

Maaf bermaafan akui kesilapan,
Halalkan segala minum dan makan,
Ziarah menziarahi rakan dan taulan,
Ketupat dan lemang jangan dilupakan.

Anak rantau yang jauh beribu batu,
Jangan lupakan ayah dan ibu,
Kampung halaman sedang menunggu,
Sanak saudara amat merindu.

Dalam kita gembira berhariraya,
Jangan dilupakan kepada yang tiada,
Ringankan tangan hulurkan seikhlasnya,
Semoga rezeki yang melimpah diredhai-Nya.

Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Salah dan silap harap dimaafi,
Jangan disimpan di dalam hati,
Tahun depan Insya-Allah kita jumpa lagi.


NASIB ANAK RANTAU

Riang gembira Syawal menjelma,
Ramadhan berlalu tidak terasa,
Rasa ceria tidak terhingga,
Dapat beraya di kampung tercinta,
Akulah anak rantau yang bakal pulang ke desa,
Yang sudah bekerja penuh dompetnya,
Rezeki Tuhan akan dikongsi bersama,
Nak cari peluang untuk berderma.

Sudah dirancang di dalam hati,
Kepada anak-anak buah yang disayangi,
Kerana aku dimurahkan rezeki,
Pada hari raya tahun ini,
Duit raya akan diberi,
Semuanya akan terkejut nanti,
Apabila poket masing-masing penuh berisi.

Cadang nak pulun ketupat dan lemang,
Nak cicah dengan kari dan rendang,
Nak minta maaf kepada semua rakan,
Salah dan silap yang pernah dilakukan.

Namun tiket bas balik kampung belum tempah lagi,
Sedang Aidilfitri hanya tinggal sehari,
Ibu ayah sanak-saudara tentu sedang menanti,
Alamak... macam mana nak buat ni?
Kalau tak dapat balik menggigitlah jari,
Terpaksalah pulang pada Hari Raya Haji.


HARAPAN DI AIDILFITRI

Aidilfitri ini satu kesempatan,
Untuk kita saling melupakan,
Semua perselisihan dan persengketaan,
Untuk kita saling memaafkan,
Segala kesilapan dan kesalahan,
Agar tali ukhuwah kita erat berkekalan.

Di Aidilfitri ini semoga tidak ada lagi,
Bergaduh, bertengkar dan berkelahi,
Rasa dendam kesumat dan hasad dengki,
Bermasam muka dan berkecil hati,
Bercakaran dan bermusuhan sesama sendiri,
Semoga hari-hari yang bakal dilalui,
Disirami kemesraan yang mewangi,
Disinari ukhuwah sejati,
Dilimpahi rahmat Ilahi,
Kekal dan abadi.


BILA SYAWAL MENJELMA

Ramadhan berlalu Syawal menjelma,
Aidilfitri menjelang tiba,
Ayam dan itik menjadi hiba,
Lembu dan kambing mengalir airmata,
Jadi korban di hari raya,
Untuk santapan sanak saudara.

Sungguh meriah hari lebaran,
Ramai berkunjung rakan dan taulan,
Mercun dibakar menjadi iringan,
Tapi ada yang terbakar tangan.
Sambut raya janganlah berlebihan,
Hutang sini hutang sana nak tunjuk kekayaan,
Semua itu bukannya satu tuntutan.

Yang jauh pulang beraya,
Sesak dan sedat di jalan raya,
Sepanjang jalan berwajah ceria,
Dapat bertemu ayah dan bonda,
Andai ada terkasar bahasa,
Setulus hati maaf dipinta.

Syawal menjelma setahun sekali,
Bandar raya Kuala Lumpur lengang dan sepi,
Yang berkeliaran cuma pendatang yang bekerja di sini,
Di stesen teksi, bas dan kereta api,
Sesaknya menggetarkan hati,
Semuanya nak pulang menyambut Aidilfitri.

Ada yang sudah berangan-angan,
Nak jumpa sanak saudara rakan dan taulan,
Nak minta ampun maaf semua kesalahan,
Nak balun wajik, rendang dan segala makanan,
Nak makan dodol, kuih muih, ketupat dan lemang,
Nak sedekah duit pada semua yang bertandang.

Bila hari raya sudah menjelma,
Saling berkunjunglah kita sesama,
Yang sudah berumah tangga,
Jenguklah emak mertua dan saudara mara,
Jangan hanya ke rumah saudara sebelah kita sahaja,
Bagi yang belum berumah tangga,
Janganlah merayau ke sana ke mari berdua-dua,
Kerana ada orang ketiga iaitu iblis turut serta,
Di bulan Syawal janganlah pula membuat dosa.

Sambutlah Aidilfitri secara sederhana tidak terlalu,
Berbelanja sakan sampai duit di bank tinggal buku,
Main mercun putus tangan sampai ke siku,
Kerusi meja tirai langsir semuanya bertukar baru,
Sepatutnya hari raya seronok tapi jadi haru-biru,
Lepas raya emak tergaru-garu, bapa menggigit kuku.


CARA KITA BERHARIRAYA

Bila Ramadhan menghilang Syawal menjelma,
Maka bertukarlah semua yang ada,
Kerusi dan meja, langsir dan jendela,
Semua baru nampak bercahaya,
Ayam dan itik yang dah lama dibela,
Jadi hidangan pembuka selera,
Lembu dan kambing menjadi mangsa,
Untuk sajian sanak saudara,
Ketupat rendang kuih-muih beraneka,
Sarat sealmari penuh semeja,
Itulah cara kita berhariraya,
Tanpa peduli hutang berjela.

Cucuh mercun sampai ke pagi,
Berdentum berdentam menggetarkan hati,
Ada yang putus tangan, ada yang putus kaki,
Itu semua tak kisah dan tak peduli,
Walau beraya di hospital seorang diri.

Fahamilah makna sebenar Aidilfitri,
Sambutlah ia dengan rasa insaf sepenuh hati,
Jangan ikut syaitan yang merugikan diri,
Bermaaf-maafanlah dengan hati yang murni,
Dengan jalinan kemesraan yang mewangi,
Semoga hidup kita sentiasa diberkati,
Dilimpahi rahmat Rabul Izzati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan