Penulis sentiasa berpegang
kepada prinsip bahawa tidak salah untuk mencari sesuatu kebenaran asalkan tidak
menjejaskan akidah sebagai seorang Muslim. Sebenarnya penulis benar-benar
tertarik dengan satu cabang kajian yang sering dipandang sepi oleh umat Islam
iaitu egyptologi. Egyptologi adalah kajian yang terperinci merangkumi sejarah, adat,
agama, bahasa dan tatacara hidup masyarakat Mesir yang dipercayai telah
mendiami lembah Sungai Nil sejak 3000 Sebelum Masehi sehingga abad ke-4 selepas
Masehi. Di Amerika Syarikat, egyptologi diklasifikasikan sebagai salah satu
cabang kepada bidang arkeologi.
Ahli Egytologi Yang Pertama
Ahli egyptologi yang pertama
dipercayai adalah Firaun Mesir itu sendiri iaitu Tutmoses IV. Tutmoses IV
dikatakan telah memulihkan patung Sphinx yang tersergam di hadapan Sungai Nil.
Manakala ahli egyptologi Islam yang pertama adalah ahli sufi terkenal, Zun Nun
al-Misri. Zun Nun al-Misri diriwayatkan sangat meminati tulisan Hiroglif Mesir
dan dikatakan telah memahami sebahagian besar tulisan berkenaan.
Seorang lagi ilmuwan Islam yang
pertama digelar ahli egyptologi adalah Ibnu Washiyya. Ibnu Washiyya dikatakan
telah mendahului Jean-François Champollion dalam mentafsir tulisan Higrolif
sebanyak empat abad. Champollion dikenali pada hari ini sebagai individu
pertama yang mentafsir tulisan Higrolif susulan terjumpanya batu Rosetta.
Begitulah besarnya cabang
bidang egytologi ini. Meskipun banyak yang sudah dibongkar dan dibuat kajian.
Namun, masih banyak lagi yang belum terbongkar sepenuhnya. Antaranya berkenaan
persoalan siapakah Firaun yang memusuhi Nabi Musa a.s. Al-Quran tidak
mencatatkan siapakah Firaun tersebut. Begitu juga dengan Injil dan Taurat.
Walau bagaimanapun, penulis
telah tertarik dengan kajian yang dilakukan oleh seorang ahli egyptologi warga
British berkelahiran Mesir, Ahmed Osman. Ahmed Osman secara terperinci telah
mendakwa bahawa seorang figura Mesir Purba yang bernama Yuya adalah
Nabi Yusuf a.s yang diceritakan Allah s.w.t dalam Al-Quran sebagai seorang
menteri kerajaan Mesir Purba.
Sejak satu abad yang lalu, pencarian
tentang siapakah Nabi Yusuf a.s dalam peradaban Mesir Purba giat dilakukan. Kebanyakan
dilakukan oleh ahli arkeologi daripada Eropah dengan bersandarkan kepada
Kitab New Tastement (Injil) dan Old Tastement (Taurat). Namun, kajian
tersebut menemui jalan buntu kerana hasil penemuan yang tidak menepati dengan
apa yang disifatkan dalam kedua-dua kitab suci agama Kristian dan Yahudi.
Dalam kitab tersebut ada
menceritakan bagaimana Nabi Yusuf a.s telah dikhianati oleh adik-beradiknya
dengan meletakkan baginda di dalam perigi tua. Adik-beradik baginda juga telah
menipu bapa mereka iaitu Nabi Ya’kub a.s dengan mendakwa Nabi Yusuf a.s telah
dibaham serigala dengan menunjukkan baju yang dilumur darah haiwan sebagai
barang bukti. Nabi Ya’kub a.s yang mengetahui anak-anaknya telah berbohong
bagaimanapun terpaksa redha dan meratapi nasib dirinya. Akibatnya, mata Nabi Ya’kub
menjadi buta kerana kerap menangisi kehilangan anak kesayanganya itu.
Dalam ketiga-tiga kitab tidak
menyalahi fakta asal antara satu sama lain. Ketiga-tiga kitab suci tersebut ada
menyatakan bagaimana Nabi Yusuf a.s akhirnya diselamatkan daripada perigi buta
tersebut dan dibawa ke Mesir untuk dijadikan hamba abdi. Nabi Yusuf a.s
kemudiannya dibeli oleh seorang menteri dan dijagakan bagaikan anak mereka
sendiri. Menteri tersebut hanya digelar Al-Aziz. Al-Aziz hanyalah panggilan
bagi seorang menteri dan bukanlah nama sebenar menteri yang menjaga Nabi Yusuf a.s.
Dalam Injil dan Taurat, nama menteri tersebut disebut sebagai Potiphar.
Apabila meningkat dewasa, Nabi
Yusuf a.s telah melalui satu dugaan yang maha hebat apabila digoda oleh ibu
angkatnya sendiri, Zulaikha. Di dalam Injil mahupun Taurat, nama Zulaikha
langsung tidak dinyatakan. Akibat fitnah daripada Zulaikha, Nabi Yusuf a.s
kemudiannya dihumban ke dalam penjara. Di dalam penjara, Nabi Yusuf a.s telah
menunjukkan mukjizatnya dengan mentafsir mimpi seorang banduan. Kebolehan
Nabi Yusuf a.s telah sampai kepada Firaun yang memerintah Mesir pada waktu itu.
Nabi Yusuf a.s telah dipanggil untuk mentafsir mimpi Firaun. Kejayaan mentafsir
mimpi Firaun dengan tepat akhirnya telah membuatkan baginda diangkat menjadi
wazir negara Mesir Purba.
Dakwaan Ahmed Osman
Ahmed Osman telah mendakwa Yuya
adalah Nabi Yusuf a.s dengan beberapa bukti yang boleh dikatakan kukuh. Ahmed
Osman yang menggunakan tiga sumber rujukan iaitu Al-Quran, Injil dan
Taurat sebagai sokongan dalam kajian beliau berkenaan dengan Yuya. Antara
dakwaan Ahmed Osman berkenaan Yuya adalah:
1. Tangan Yuya
Mumia Yuya menurut Ahmed Osman tidak
seperti mumia-mumia yang lain. Tangan mumia Yuya tidak menyilangkan tangan
seperti mumia Firaun dan mumia pembesar-pembesar Firaun. Adat menyilang tangan
di dada sebenarnya adalah mengikut tatacara Osiris iaitu salah satu dewa besar
Mesir Purba. Tangan Mumia Yuya bagaimanapun diletakkan pada bawah dagunya. Adat
letak tangan di bawah dagu seperti menyerupai adat resam bangsa Semitik atau Bani
Israel. Ia memungkinkan bahawa Yuya adalah individu yang bukan berasal daripada
Mesir.
2. Yuyu Dan Janggut
Wajah Yuya menyerupai wajah
bangsa Semitik. Ia bersandarkan kepada janggut, dagu dan wajah mumia Yuya yang
bujur seperti wajah tipikal bangsa Semitik. Ia ditambah dengan fakta bahawa
tiada Firaun dan pembesar Firaun yang menyimpan janggut kecuali Yuya sahaja.
Adat menyimpan janggut biasa dilakukan oleh Bani Israel pada zaman dahulukala. Ia
bersandarkan kepada tafsir al-Qummi melalui Jaafar al-Sadiq yang
berkata bahawa Allah s.w.t telah menganugerahkan kepada moyang kepada bangsa Israel
dan Arab (Bangsa Semitik), Nabi Ibrahim a.s sebanyak sepuluh kebaikan. Lima
di kepala dan lima lagi di badannya.
Di kepala ialah bercukur misai,
menyimpan janggut, bercukur rambut di kepala, memberus gigi dan memutihkan gigi.
Manakala di badan ialah berkhatan, memotong kuku, membersih badan dengan air
bersih, mencukur bulu ari-ari dan membersih diri selepas berjimak (mandi hadas
besar).
Maka ia jelas sekali
menunjukkan bahawa anak cucu Nabi Ibrahim a.s perlu mengikut syariat yang
diturunkan daripada baginda termasuklah Nabi Yusuf a.s yang merupakan cicit
baginda sendiri melalui datuknya, Nabi Ishak a.s. Melalui penemuan mumia Yuya
yang tidak bercukur janggut jelas membuktikan bahawa ia adalah berasal daripada
bangsa Semitik dan bukannya seseorang yang berbangsa Mesir.
3. Bapa Kepada Firaun
Yuya adalah satu-satunya
individu yang digelar ‘Bapa kepada Firaun’. Ia selari dengan apa yang tercatat
dalam Injil melalui Genesis 45:8: ‘So
then, it was not you who sent me here, but God. He made me father to Pharaoh, lord of his entire household and
ruler of all Egypt.’
Mana-mana individu tidak pernah
digelar bapa kepada Firaun. Dan gelaran seperti ini adalah kebesaran
yang dianugerahkan kepada Yuya sebagai orang kepercayaan Firaun. Ia jelas
dinyatakan dalam Al-Quran dalam surah Yusuf ayat 54: ‘Dan raja (Firaun) berkata: ‘Bawalah Yusuf kepadaku, agar aku memilih
dia sebagai orang yang rapat kepadaku.’ Maka tatkala raja (Firaun) telah
bercakap-cakap dengan dia, dia berkata: ‘Sesungguhnya kamu (mulai) hari ini menjadi
seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai pada sisi kami (Firaun dan
pembesar-pembesar lain).’
Menurut ahli egyptologi, Yuya
digelar ’Father of Pharoah’ kerana Yuya merupakan bapa mertua kepada
Firaun Amenhotep III melalui perkahwinannya dengan anak perempuan Yuya, Tiye.
Tiye adalah salah seorang Isteri Diraja Terhebat (Great Royal Wife) dan
dianggap nenek moyang kepada fahaman Monoteisme. Tiye digelar nenek-moyang
kepada fahaman Monoteisme kerana anaknya, Firaun Akhanaten telah melakukan revolusi
agama dengan menghapuskan fahaman menyembah banyak tuhan kepada satu tuhan
sahaja.
Persoalannya, bagaimana Tiye
boleh digelar sedemikian rupa? Amat mustahil Tiye mendapat visi daripada Tuhan
kerana tiada nabi daripada gologan wanita melainkan terpengaruh dengan
seseorang yang paling rapat dengannya. Dan orang paling rapat dengan Tiye
semestinya bapanya sendiri iaitu Yuya.
Kaitan Yuya dengan Tiye dan
gelaran ‘bapa kepada Firaun’ amat menyakinkan bahawa Yuya sebenarnya adalah
Nabi Yusuf a.s yang diceritakan dalam tiga kitab suci agama Samawi (agama
langit).
4. Isteri Dan Gelaran Nabi Yusuf a.s
Firaun juga telah
menganugerahkan Nabi Yusuf a.s dengan isteri daripada bangsa Egypt dan nama
dalam bahasa Mesir purba. Isteri Nabi Yusuf a.s telah dinyatakan dalam Taurat
melalui Book of Genesis
sebagai Asenath. Asenath adalah anak kepada seorang paderi Firaun yang
bernama Potipherah.
Sejarawan Mesir, Manetho telah
menulis sejarah negaranya pada abad ketiga Sebelum Masehi. Beliau telah
menyebut berkenaan Firaun Amenhotep III mempunyai seorang menteri yang
digelar Sef. Ia kelihatan seperti nama Josef dalam bahasa Ibrani dan Yusof
dalam bahasa Arab. Jika digabungkan dengan Yu (merujuk kepada tuhan Bani Israel,
Yahweh) dan gelaran Mesir purba kepada Nabi Yusuf a.s iaitu Sef, ia jelas boleh
mengabungkan perkataan: Y.U.S.E.F.
Telah menjadi kebiasaan kepada
adat orang dahulu kala mengabungkan nama sepertimana yang biasa kita dengar
iaitu Tutankhamun (hasil gabungan nama gelarannya, Tutan dan nama tuhan
sembahannya, Amon), Amenhotep (gabungan tuhan Amen dan nama gelarannya Hotep)
dan banyak lagi. Maka, tidak mustahil nama Nabi Yusuf a.s adalah hasil gabungan
tersebut. Waallahualam.
5. Bandar Seratus Pintu Gerbang
Melalui perbandingan antara
ketiga-tiga kitab suci dan rekod sejarah Mesir purba, terdapat satu fakta yang
boleh menguatkan lagi dakwaan bahawa Yuya adalah Nabi Yusuf a.s. Dalam Al-Quran,
Nabi Ya’kub a.s telah berpesan kepada anak-anaknya supaya memasuki pintu
gerbang yang berlainan atas sebab-sebab tertentu. Ia termaktub dalam surah
Yusuf ayat 67: ’Dan Ya’qub berkata: ‘Hai
anak-anakku janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang, dan
masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlain-lain; namun demikian aku tiada
dapat melepaskan kamu barang sedikit pun dari pada (takdir) Allah. Keputusan
menetapkan (sesuatu) hanyalah hak Allah; kepada-Nya-lah aku bertawakkal dan
hendaklah kepada-Nya saja orang-orang yang bertawakkal berserah diri.’
Dalam tradisi masyarakat Yahudi
ada memperkatakan perihal kebimbangan adik-beradik Yusuf a.s berkenaan niat
jahat bangsa Mesir sehingga mereka telah melalui sepuluh pintu gerbang yang
berlainan. ‘His brothers, fearing the evil
eye, entered the city at ten different gates’. (Midrash Bereshith Rabbah 89)
Mengikut penyajak terkenal
berbangsa Yunani, Homer dalam sajaknya yang ditulis pada abad ke-8 Sebelum Masehi,
bandar Thebes mempunyai lebih seratus pintu gerbang yang berlainan. Bandar
Thebes yang terletak di timur tebing Sungai Nil adalah pusat pemerintahan
kerajaan Mesir Purba. Homer menggelarnya ‘Bandar Seratus Pintu Gerbang’. Maka, ia
jelas menggambarkan wahyu yang disampaikan dalam Al-Quran adalah merujuk kepada
bandar Thebes yang juga tempat bersemayamnya Firaun dan para menterinya
termasuklah Nabi Yusuf a.s sendiri.
Mengikut tradisi Bani Israel, keranda
Nabi Yusuf a.s telah tenggelam ke dalam Sungai Nil. Walau bagaimanapun, terdapat
juga dakwaan yang menyatakan bahawa jenazah Nabi Yusuf disemadikan dalam Istana
Diraja sesuai dengan statusnya sebagai menteri paling kanan Firaun ketika
hayatnya.
Semasa Exodus, Nabi Musa a.s
dikatakan telah dibantu oleh Serah, anak kepada Asher untuk menaikkan keranda
Nabi Yusuf yang tenggelam di dalam Sungai Nil. Serah kemudian menunjukkan
tempat di mana keranda Nabi Yusuf berada. Nabi Musa a.s tanpa berlengah telah
melontar batu ke dalam sungai dan berseru, ’Yusuf!
Yusuf! Masanya telah tiba untuk Bani Israel diselamatkan daripada musuh mereka;
bangkitlah dan jangan berlengah lagi!’
Ajaib sekali, keranda tersebut
telah timbul dan terus diambil untuk dibawa bersama ke tanah yang dijanjikan. Namun,
tradisi Bani Israel tidak boleh dibenarkan sepenuhnya terutamanya kita sebagai
umat Islam. Kebanyakan telah pun ditokok tambah untuk kepentingan mereka
sendiri. Begitulah yang terjadi kepada kisah jenazah Nabi Yusuf a.s yang
dikatakan tenggelam dalam Sungai Nil. Dalam kajian Ahmed Osman, ia adalah
satu-satunya penyangkalan daripada individu yang menentang teorinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan