SMAHADZIR
PENGUNJUNG ibu negara Filipina ini tidak hanya disambut bunyi hon pengangkutan awam popularnya - jeepney, tetapi tarikan monumen bersejarah serta lokasi pelancongan mewah Roxas Boulevard, Manila Bay, Jalan Mabini dan Plaza Manila. Namun ada syurga beli-belah wajib dikunjungi iaitu Quiapo yang dipenuhi deretan ratusan gerai hasil kraftangan, terutama berasaskan cangkerang siput di bawah jejambat lebuh raya.
Mabuhay atau selamat datang - ucapan yang sinonim dan sentiasa melekat di mulut rakyat Filipina apabila menyambut ketibaan tetamu atau bertemu orang baru dikenali - ramah dan mesra. Kemesraan itu dirasai penulis apabila berada di Manila, ibu negara Filipina yang boleh dikelaskan antara kota metropolitan yang sibuk, padat dan sesak di rantau ini. Sikap ramah penduduk adalah antara ciri kota ini selain kesesakan lalu lintas, jenayah domestik, pencemaran, kemiskinan, gelandangan dan peniaga kecil di simpang jalan yang mewarnai kanvas kehidupan warganya.
Pengangkutan di Manila yang tersohor di kalangan pelancong
Menyusur hiruk pikuk kota Manila agak merimaskan pada mulanya. Apa tidaknya, lalu lintas ala Amerika Syarikat (AS) dengan pemanduan di sebelah kiri, agak memeningkan. Bagi yang teringin memandu tetapi tidak biasa dengan sistem pemanduan di sini, perlulah mahir kerana jalannya sentiasa dibanjiri kenderaan pelbagai guna (MPV), terutama jenama Korea dan Jepun. Jika sekadar penumpang atau menggunakan pengangkutan awam, nikmati saja keletah masyarakatnya atau pemandangan bandar yang dipenuhi monumen sejarah tinggalan penjajah.
Sistem pengangkutan di Manila juga unik kerana jalan raya dipenuhi ‘jeepney,’ bekas trak kegunaan tentera AS yang diubah suai, dibaik pulih dan dihias menjadi pengangkutan awam paling popular di sini. Penumpang masuk dan keluar mengikut pintu belakang kenderaan ini yang boleh memuatkan sehingga 20 orang. Konsepnya sama seperti Angkutan Kota di bandar utama Indonesia. Kelebihan jeepney ialah tambangnya yang murah sekitar 30 peso atau RM2.40 sekali perjalanan selain penampilannya yang berwarna warni dan dilapisi besi aluminium yang menonjolkan sifat garang dan ganasnya di atas jalan.
Majestic Manila
Berada di Manila, tidak sah jika tidak ke lokasi pelancongan mewah Roxas Boulevard, Manila Bay, Jalan Mabini dan Plaza Manila. Di sinilah `syurga dunia’, sama ada membeli-belah, ‘mencuci mata,’ memanjakan diri dengan diurut atau sekadar bersantai melapangkan minda. Roxas Boulevard terletak berhampiran barisan hotel bertaraf satu hingga lima bintang, hanya mengambil masa sekitar 15 hingga 30 minit dari pusat bandar jika menggunakan pengangkutan awam khasnya teksi dan jeepney.
Manila Bay pula tempat nyaman untuk menghabiskan masa petang. Laluan pejalan kaki dipenuhi orang berjoging, bermain kasut roda atau sekadar duduk bersantai di atas tembok sambil menikmati pemandangan teluk, menyaksikan matahari terbenam.
Manila Chinatown
Mungkin kisah ibu negara Filipina sudah banyak diceritakan sebelum ini, namun penulis pasti tidak ramai yang tahu mengenai Quiapo, pinggir bandar Manila yang dikatakan pusat utama komuniti Islam di kota ini. Di sini juga terletaknya pusat beli-belah Plaza Miranda dan Jalan Hidalgo, iaitu syurga jualan kelengkapan dan alat fotografi. Apa yang menarik di Quiapo ialah kewujudan ratusan gerai menjual hasil kraftangan, terutama berasaskan cangkerang siput di bawah jejambat lebuh raya atau dalam bahasa tempatan dipanggil ‘sa ilalim ng tulay’.
Namun, kedudukan barisan gerai terbabit yang terletak berhampiran pasar basah dan `tempat tinggal’ golongan gelandangan, mencipta persekitaran yang tidak begitu menyenangkan, berbau busuk, kotor dan hanyir, tetapi di sinilah tempatnya jika anda mahu membeli cenderahati pada harga murah. Pelbagai produk dihasilkan dan dijual di sini, antaranya jam dinding, lampu bilik tidur, set kelengkapan meja makan seperti alas pinggan dan gelas, lampu siling, rantai dan mutiara, kapal mini dalam botol, rantai kunci, langsir pintu dan bermacam lagi. Rata-rata peniaga di sini menjual produk yang sama, namun harganya berbeza antara satu gerai dengan gerai lain. Terserah kepada pembeli untuk tawar menawar bagi mendapatkan harga terbaik. Perlu diingat, harga pembukaan yang ditawarkan kepada pelancong asing selalunya lebih tinggi.
Di sini, peniaganya begitu ramah dan apa yang membuat penulis tertarik ialah apa mendengar mereka menuturkan perkataan `murah’ untuk menarik perhatian pelanggan. Sebenarnya, `murah’ adalah sebahagian daripada bahasa Tagalog yang sama maksudnya dengan murah di negara kita.
Bagi pengunjung Islam, tidak perlu gusar mencari makanan halal kerana ada restoran Muslim di kawasan perkampungan Islam atau Muslim Town yang turut menempatkan Masjid Hijau, namun agak malang kerana komuniti Islam di sini tidak begitu ramah dengan pelancong asing, mungkin kerana tidak mampu berbahasa Inggeris dengan baik.
Penulis dimaklumkan oleh peniaga setempat bahawa kanak-kanak Islam di situ tidak dihantar belajar ke sekolah kerajaan yang didakwa mereka menerapkan ajaran Kristian dan dibimbangi merosakkan akidah.
Satu lagi tarikan Quiapo ialah kebanjiran perisian komputer, CD, VCD dan DVD cetak rompak pelbagai hasil karya muzik dan filem, termasuk juga filem ‘dewasa’. Jika ke sini, pasti rambang mata membuat pilihan, tambahan pula harga sekeping produk itu hanya sekitar 15 peso atau RM1.20.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan