Isnin, 17 Oktober 2011

Kem Gajah

SMAHADZIR

THAILAND yang menerima jolokan negara ‘Gajah Putih’ sememangnya dikenali hasil usaha pemuliharaan gajah terutama di rantau ini. Gajah putih yang dianggap simbol kedaulatan, pengiktirafan kuasa Raja oleh kuasa-kuasa ghaib dan lambang kesucian menjadikan haiwan itu dijaga begitu rapi di negara itu terutama ia adalah simbol kebanggaan Raja negara terbabit. Namun, peluang penulis menyertai kembara anjuran Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) selama enam hari di kawasan pelancongan menarik di Chiang Mai, suatu ketika dulu, memberikan tanggapan baru bukan saja terhadap usaha murni memastikan kelangsungan haiwan mamalia itu, tetapi juga menyingkap keistimewaan wilayah di utara Thailand itu.

Pengalaman menunggang gajah di Pusat Konservasi Gajah Thailand (TECC) di Chiang Mai sambil merentasi sungai dan hutan sudah cukup memberi kepuasan tersendiri. Namun, melihat kemampuan haiwan mamalia ini yang bijak menerima arahan melakukan pelbagai aksi melukis setanding manusia, sememangnya luar biasa.

Silap jika ada yang mengaitkan keunikan Chiang Mai terletak di kawasan bandarnya, terutama pasar malamnya, sebaliknya ia lubuk pelbagai tarikan daripada Kem Gajah atau Pusat Konservasi Gajah Thailand (TECC), Bhubing Palace atau istana hinggap kerabat dirajanya yang turut dihiasi taman bunga ros serta lawatan ke Flight of Gibbon - pengalaman menyelami alam semula jadi menerusi ‘jambatan’ dipasang pada pokok besar selain pelbagai gerai penghasilan kraftangannya.

Bagaimanapun, pengalaman menyelami kehidupan gajah di TECC itu ternyata meninggalkan kesan kepada penulis sehingga ke hari ini. Apa tidaknya, selain mendekati rutin harian haiwan mamalia itu, rasa terhibur dan takjub melihat gelagat gajah mempamerkan bakat seperti manusia - melukis. Malah, kesempatan menunggang gajah selama lebih 30 minit merentasi kawasan berair, berbukit dan pinggir hutan antara aktiviti menyeronokkan.

TECC terletak kira-kira 66 kilometer dari bandar Chiang Mai dan menjadi antara tempat pelancongan terkenal. Tidak hairanlah, tahun lalu saja dianggarkan 100,000 pelancong dalam dan luar negara mengunjungi pusat konservasi gajah terbesar di rantau ini. Ada 70 gajah yang dilatih di TACC sejak 18 tahun lalu. Sebelum ini, gajah ini dipelihara di kawasan lain selama 40 tahun sebelum dipindahkan ke sini. Setiap ekor gajah ini pula hanya boleh dikendalikan dan patuh dengan seorang ‘tuannya.’ Gajah yang dilatih tidak akan mendengar arahan selain tuannya.

Memasuki kawasan TACC pengunjung akan disajikan dengan persembahan daripada gajah termasuk menyaksikan kehebatan gajah ini melukis. Pengunjung juga boleh mendekati gajah, menyentuh, bergambar dan memberinya makan tebu yang dijual dengan harga RM2 (20 bath) seikat. Gajah yang dilatih mahir bermain angklung, melukis, menari, bermain bola, menarik kayu balak dan kemahiran lain mengikut arahan si tuan. Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman baru, boleh menunggang gajah dengan ditemani tuannya selama 30 minit dengan bayaran RM39 (400 bath) atau 10 minit dengan bayaran RM5 (50 bath).


Selain berperanan sebagai pusat pembiakan tempat ini juga menjadi tempat latihan, penjagaan kesihatan dan lokasi menarik pelancongan di Chiang Mai. TECC juga, pada masa sama, menjaga kira-kira 10 gajah putih diraja. Lebih menarik lagi, mereka yang berhasrat ingin menjadi pelatih gajah juga boleh mempelajarinya di sini dengan pakej tertentu selama beberapa hari sehingga mampu mengendalikan gajah. Setiap gajah yang berada di TACC dilatih selepas usia tiga tahun dan jangka masa setahun diperlukan bagi melatih seekor gajah.

Menunggang gajah adalah pengalaman menarik kerana dengan saiz mamalia itu yang besar dan tinggi ia dengan mudah merentasi laluan berair dan melalui kawasan pinggir hutan. Penulis sendiri berasa agak cuak ketika si gajah menaiki atau menuruni bukit kerana pergerakannya yang perlahan. Seperti mana beberapa tempat pelancongan di Chiang Mai, orang ramai dilarang merokok dalam kawasan TACC untuk menjaga alam sekitar dan kesihatan gajah daripada bau asap rokok. Pengunjung turut berpeluang membeli cenderamata yang banyak di jual di kawasan TACC dengan harga yang berpatutan.

Apa yang menarik, pusat ini turut mengamalkan proses kitar semula apabila najis gajah itu tidak dibuang begitu saja, sebaliknya diproses menjadi kertas serta barangan kraftangan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA