SMAHADZIR
PANTAINYA yang indah dan lautan jernih bagai kristal sudah menarik kunjungan jutaan pelancong dari seluruh dunia, menikmati sinaran mentari sambil berteduh di bawah deretan pepohon palma yang melambai-lambai, berebut-rebut dengan kumpulan penjaja, tukang urut dan pengusaha bot. Namun, tarikan pulau peranginan Phuket di barat daya Thailand bukan sekadar sinaran mentarinya kerana banyak lagi keistimewaan dan tarikan luar biasa menunggu anda - daripada biji gajus yang rangup, kisah keturunan lanun, taman tema penuh meriah dan gajah import, Phuket begitu menggembirakan, istimewa dan amat menarik.
Pulau peranginan terkenal menyajikan pelbagai tarikan istimewa yang pasti memukau
Anda mungkin biasa dengan biji gajus walaupun ia agak mahal di Malaysia. Di Phuket, biji gajus berharga lebih murah dan dipanggang bersama garam serta ditambah perisa madu, cili, coklat, mentega, bawang putih, kopi, gula, lada, minyak bijan, malah kari! Dimaklumkan ada beberapa tempat di Phuket menjual biji gajus berperisa durian atau tom yam, tetapi saya tidak berani mengesahkannya. Kreativiti penduduk Phuket tidak terhenti setakat itu saja kerana mereka juga menghasilkan jus gajus, mempromosinya sebagai ‘Buah Suci Warisan Thai’ yang penuh zat, baik untuk kesihatan dan menambah tenaga.
Daun gajus muda dijadikan antara hidangan tempatan yang unik, manakala kulit buahnya yang lembut diproses menjadi jem yang pasti memikat selera. Tidak cukup dengan itu, getah gajus turut diguna bagi menghasilkan gam, manakala ranting pokoknya dijadikan bahan bakar untuk memanggang biji gajus dari pokok sama. Sebahagian besar pengusaha gajus di Phuket kini tidak lagi menggunakan kaedah tradisional ketika menghasilkan produk dari tumbuhan itu, diganti teknologi baru yang mementingkan kebersihan dan keselesaan. Di kedai pula, ada pembantu yang cantik serta ramah. Sebagai kenangan, anda boleh bergambar dengan gajus gergasi di sesetengah kedai.
Phuket memang terkenal sebagai pengeluar gajus
Berada di Phuket, anda dinasihat meluangkan sedikit masa berkunjung ke Perkampungan Gipsi Laut atau dikenali sebagai ‘Phuket Choa Lei’ yang asal usul mereka masih diselubungi misteri, manakala budaya penuh rahsia masih kekal diamalkan sehingga kini. Mengikut ahli antropologi, masyarakat itu dipercayai keturunan lanun dari Kepulauan Andaman dan Nicobar. Gipsi laut di Phuket menggunakan bahasa unik, manakala penampilan mereka berkulit gelap dengan rambut coklat kerinting dan bulu kening yang lebat.
Terkenal dengan budaya kehidupan mistik dan sinonim dengan lautan, mereka mewarisi ilmu mengenai lautan yang diturunkan dari generasi ke generasi. Musim monsun dihabiskan dengan belayar di sekitar perairan Laut Andaman dan Teluk Bengal, mengikut tiupan angin ke Malaysia, Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India dan kembali ke Phuket. Hari selebihnya, mereka berlindung di pulau terpencil dikelilingi hutan bakau menjalani kehidupan primitif. Keseluruhannya, masyarakat ini hidup dalam kemiskinan dan tinggal di penempatan kecil, menampung hidup dengan memancing, mengutip kerang dan mengumpul sarang burung.
Walaupun jauh dari pembangunan, masyarakat gipsi laut semakin terbuka menerima kehadiran pelawat dan menghargai manfaat yang diperoleh mereka daripada industri pelancongan. Selain lautan, ada juga tarikan pelancongan moden di pulau peranginan ini bergelar ‘Phuket Fantasea’ yang dilabel sebagai taman tema budaya Thai pertama di dunia yang menggabungkan tradisi asli, pesona dan keindahan Thai dengan kecanggihan teknologi, kesan khas menakjubkan serta hiasan seni berkilauan.
Kompleks seluas 56 hektar ini meriah pada setiap malam dengan persembahan bercorak hiburan dan pendidikan di bawah cahaya lampu terang benderang dan penuh bertenaga, sesuai untuk semua golongan, baik muda atau tua. Ada juga deretan restoran makanan bercita rasa tinggi, pusat beli-belah bertemakan Thailand, arked video serta pasar malam yang dihiasi lampu berwarna warni dan dimeriahkan dengan persembahan sarkas, silap mata, pertunjukan bunga api dan pelbagai lagi keistimewaan yang pasti membuatkan pengunjung terhibur.
Rakan saya yang pernah berbulan madu di sini masih lagi bercerita mengenai keunikan dan kehebatan Phuket Fantasea, manakala pemandu pelancong saya menggelarkan tarikan di tempat berkenaan sebagai gabungan Las Vegas, Bangkok dan Disneyland. Jika anda terlepas menyaksikan persembahan gajah atau bergambar dengan mamalia terbesar di darat itu yang pandai melakukan pelbagai aksi, jangan bimbang kerana ada kira-kira 170 gajah berpusat di lebih 12 lokasi di pulau ini. Gajah terbabit dibawa ke sini sedekad lalu sebagai daya tarikan pelancongan dan kini menjadi ikon pelancongan Phuket.
Di taman safari, mamalia berkenaan dijaga dengan baik dan diberikan layanan penuh istimewa. Di Siam Safari, anda boleh menunggang gajah melalui dataran tinggi Chalong dan menikmati pemandangan Teluk Chalong menghadap Pulau Phi Phi di sepanjang perjalanan. Siam Safari juga mempunyai Klinik Bergerak Gajah Phuket yang diwujudkan dengan kerjasama Asian Elephant Foundation of Thailand di mana doktor haiwan dari semasa ke semasa melakukan pemeriksaan kesihatan dan memberikan rawatan yang perlu kepada haiwan berkenaan.
Anda juga boleh ke Kok Chang Safari yang turut menyediakan gajah untuk ditunggang melalui pantai Kata Noi sehingga Ocean Viewpoint. Pelancong dinasihat tidak menggunakan khidmat pemilik gajah jalanan yang dikatakan lebih gemar mengurangkan kos dan gagal memberi layanan terbaik kepada haiwan peliharaan mereka. Ketika ini, gajah tidak lagi dibenarkan dibawa masuk ke Phuket. Gajah yang ada sekarang dimiliki pelbagai pihak, dari pusat peranginan bertaraf lima bintang, syarikat pemilik safari hinggalah keluarga miskin dan individu yang hanya mahu mengaut keuntungan.
Secara umumnya, haiwan bersaiz besar ini memang disayangi, dihormati dan amat diberikan perhatian oleh masyarakat tempatan kerana ia antara tarikan terpenting sektor pelancongan di Phuket.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan