MESKIPUN Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan seorang tokoh yang penulis amat kagumi, namun ada pandangan mengenai isu semasa yang penulis setuju dan tidak setuju dengan bekas Perdana Menteri itu, khususnya sebab kami sekarang adalah penulis blog atau blogger. Satu yang penulis setuju dengan Tun Dr Mahathir adalah dalam hal Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Dari dulu pun penulis kata macam itu. Walaupun penulis antara peserta Kongres Kebudayaan Melayu II dulu yang sakit telinga bila ada segelintir pembentang kertas kerja menyelar tindakan Tun dalam PPSMI. Bukan soal nak banggakan bahasa Inggeris, apatah lagi nak merendahkan bahasa Melayu, tetapi pasal nak tinggikan mutu bahasa Melayu. Tengok sajalah istilah sains, kalau tidak kerana ada orang kita yang fasih bahasa Inggeris, macam mana kita nak cipta istilah sains dalam bahasa Melayu. Itu pun banyak istilah sains cuma padanan istilah bahasa Inggeris. Satu lagi, kalau kita ada istilah dalam bahasa Melayu pun tidak tentu lagi kita faham kalau kita tidak baca sumber asal. Hari ini, suka tidak suka, kebanyakan sumber asal ilmu dan maklumat adalah dalam bahasa Inggeris.
Pasal itulah orang berlawan-lawan nak belajar bahasa Inggeris. Bukan nak bangga-banggakan bahasa itu, tetapi pasal nak cari maklumat dan ilmu, pasal nak cari pasaran dunia, pasal nak jalin diplomasi. Kita tidaklah mahu bahasa kita hanya sesuai diguna bercakap sepatah dua dengan pendatang Bangladesh, Nepal dan Burma. Tetapi penulis langsung tidak kata guna bahasa Melayu dengan orang Bangladesh, Nepal dan Burma tidak baik. Bukan saja baik, malah sangat baik.
Kalau tidak kerana pendatang Bangladesh, Nepal, Myanmar, Sri Lanka dan India, boleh jadi pengguna bahasa Melayu tidak bertambah. Pendatang Filipina jarang sangat yang cakap Melayu pasal mereka tidak kerja dengan orang Melayu atau di rumah orang Melayu. Mereka cakap bahasa Inggeris macam di negeri mereka. Pendatang dari negeri China pun macam itu juga. Mereka tidak payah cakap Melayu pasal boleh guna bahasa Mandarin atau dialek-dialek Cina. Ramai yang datang kononnya belajar bahasa Inggeris, tetapi mereka buat kerja lain – haram dan halal.
Tetapi pasal kita sambil lewa dan tidak berapa hormat bahasa kebangsaan sendiri, maka bahasa Melayu yang pendatang asing pakai adalah bahasa pasar atau bahasa yang mereka cipta sendiri. Misalnya, kalau mereka minta laluan, mereka kata, ‘panas, panas, panas’ tidak kiralah kalau yang mereka bawa itu seguni air batu. Amaran ‘panas’ sudah jadi tolong bagi laluan.
Apa nak salahkan pendatang asing di kedai India dan mamak kalau pembesar negara dan pegawai tinggi kerajaan pun bahasa Melayunya masih tunggang-langgang. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pun nampak macam bersenang diri saja, bukan lagi DBP yang penulis kenal dan cintai semasa Bulan Bahasa Kebangsaan pada 1960-an. Apatah lagi kalau kita tidak belajar bahasa lain untuk cari ilmu dan maklumat bagi kayakan bahasa Melayu.
Sebelum PPSMI diumumkan akan dimansuh, ramai suku sakat penulis di kampung hantar anak-anak ke kelas tambahan bahasa Inggeris. Lepas diumumkan akan dimansuhkan, ramai dah tidak hantar lagi. Inilah penyakit kita orang Melayu. Kita ramai dan kita terajui kuasa, tetapi bila benda yang baik untuk bangsa kita, kita liat nak buat atau kita cepat-cepat buang pasal orang lain tidak suka. Pemimpin masa lalu yang cerdik dan prihatin terhadap orang Melayu buat benda-benda yang baik, tetapi hari ini satu demi satu orang kita sendiri buang. Undang-undang, dasar dan rancangan memang macam itu. Lama kelamaan nampak macam ketinggalan zaman. Macam rumah pusaka tok nenek kita juga, lama-lama robek kalau tidak dijaga.
Jadi kita jagalah rumah pusaka kita itu. Kalau rosak kita perbaiki. Kalau ada yang tidak sesuai lagi, kita pinda. Kalau kita asyik robohkan saja, lama-lama tidak ada lagilah apa yang kita boleh anggap sebagai pusaka atau legasi. Janganlah kerana orang luar atau orang kita sendiri yang tidak kenal sejarah atau yang ada agenda tertentu tegur, kita pun terus nak robohkan rumah pusaka kita.
Kalau kita tengok betul-betul, orang Cinalah yang paling kuat pertahankan rumah pusaka dan harta benda mereka. Kalau boleh, semua rumah pusaka nak mereka isytiharkan sebagai warisan. Yang bukan warisan pun mereka nak isytiharkan sebagai warisan juga bagi elak kerajaan ambil untuk buat pembangunan. Tetapi ambil tanah Melayu tidak ada masalah. Tanah rizab pun kena ambil tetapi tidak diganti balik.
Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr Mahathir tinggalkan banyak rumah pusaka, warisan dan legasi yang baik-baik, tetapi kita gatal tangan nak runtuhkan kononnya dah tidak ‘cool’. Penulis minta ampun banyak-banyak. Bila dah lama hidup dan nasib baik boleh hidup dan cari rezeki bawah semua Perdana Menteri, penulis terpaksa bagi tahu dan bagi ingatan kepada orang yang muda-muda, yang hari ini ada kuasa, jangan nafi sejarah dan jangan putar belit sejarah.
Bangsa yang nafi sejarah samalah dengan pokok yang tidak ada akar tunjang yang mudah tumbang bila dipukul ribut. Bila pokok sebesar pokok Melayu tumbang sebab ada orang sengaja potong akar tunjangnya, bukan Melayu saja yang kena timpa, orang bukan Melayu yang caci-cerca pokok Melayu pun akan kena timpa juga.
Ingatlah ramai Melayu, ada yang masih hidup dan ada yang terkorban, pertahankan rumah pusaka dan pohon Melayu itu. Jangan sekali-kali abaikan jasa dan emosi mereka. Buruk padahnya.
Overemphasis on grammar is the bane for our people to be good in English. I'm appalled at Muhyuddin's statement in relations to grammar teaching.
BalasPadam