SMAHADZIR
Dua hari menjelang Hari Raya Aidilfitri 2011 penulis diizinkan Azzawajalla pula ke kampung halaman di Kg Bukit Hijau, Baling, Kedah. Melalui Grik terus ke Baling melintasi kawasan perkampungan, bendang atau sawah padi di sepanjang jalan, kelihatan anak-anak padi yang subur menghijau. Syukurlah masih ada yang sanggup mengerjakan bendang ketika lebih ramai anak muda hanya berminat berada di bilik berhawa dingin walaupun sekadar operator pengeluaran. Penulis tidak pasti berapa lama tanah itu mampu bertahan sebagai bendang.
Pagi hari raya kedua penulis terus berkejar ke Johor untuk melawat cucu kedua penulis masuk hospital dan penulis mengambil jalan Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Berbanding jalan Grik-Baling, betapa pandangan kontradiksi yang penulis lihat di jalan Seberang Perai Utara, Pulau Pinang ini. Sudah banyak tanah bendang yang ditambak untuk dijadikan rumah dan sebagainya. Sebuah banglo juga sedang dalam pembinaan di atas selembar tanah bendang. Beberapa lot bendang lagi dipacakkan signboard yang mahu dijadikan tanah lot untuk dijual bagi membina rumah. Di sebelah tanah bendang yang sudah ditambak itu, masih kelihatan anak-anak padi yang sedang membesar. Adakah tanah itu mampu bertahan sebagai bendang? Lambat-laun penulis yakin ia pasti mengikut ‘jirannya’ yang sudah ditambak dan bertukar status - tanah pertanian kepada perumahan - malahan mungkin akan bertukar pemilik.
Sebenarnya pemandangan sebegini sudah menjadi lumrah. Dulu bendang terbiar disebabkan tidak ada orang yang sanggup mengerjakannya. Ketika itu tanah terbiar akan bertukar menjadi kolam ikan, udang atau ditanamdengan kelapa sawit. Kini tanah yang masih boleh dikerjakan itu juga sudah menjadi ‘buruan’ untuk ditukarkan statusnya.
Menurut fakta yang penulis dapat dari Pulau Pinang, di kawasan Parlimen Permatang Pauh misalnya sudah lama bendang terbiar dan sesetengahnya masih subur telah dibangunkan dengan projek perumahan, kedai, pejabat, pusat membeli-belah dan institusi pendidikan. Ada juga bendang yang bertukar menjadi jalan raya atau lebuh raya. Akhirnya saiz tanah bendang atau dikategorikan sebagai tanah pertanian yang kebanyakannya dimiliki orang Melayu semakin mengecil. Ini bermakna hak milik tanah orang Melayu terus berkurangan. Pada masa yang sama, tanah yang mampu menghasilkan makanan semakin berkurangan sementara jumlah penduduk termasuk yang tinggal di bekas tanah pertanian itu kian bertambah. Mereka juga memerlukan makanan. Akan melambung lagilah harga makanan yang berasaskan beras. Jika ini berlaku akan bergema lagilah caci-maki kepada kerajaan yang kononnya tak pandai memerintah.
Mungkin secara sinis kita boleh berkata, berapa sangat hasil tanah pertanian itu? Lebih baik kita import makanan dari luar. Tetapi apabila harga makanan naik kerana diimport, maka siapakah yang akan mengeluh? Ketika negara pengeluar menghadapi bencana yang menyebabkan bekalan mereka juga berkurangan, kita juga gelisah. Ketika itu negara pengeluar makanan ini boleh ‘meletak harga’. Kita boleh membina kilang membuat makanan di atas tanah bendang tetapi tidak ada kilang mengeluarkan padi tiruan untuk dijadikan beras.
Hakikatnya, tanah terus berkurangan. Semakin ‘tua’ bumi ini, maka semakin berkurangan tanah - dihakis oleh pembangunan dan dihakis oleh pelbagai faktor alam. Mungkin inilah sebabnya kawasan pantai terpaksa ditambak untuk menambah keluasan tanah bagi tujuan pembangunan tetapi sekali lagi, kerja-kerja menambak itu juga memerlukan tanah. Akhirnya bukit bukau ditarah untuk menambak kawasan laut. Begitulah pusingan yang berlaku terhadap tanah di muka bumi ini. Maka berlakulah juga pelbagai bencana alam akibat kegelojohan tangan manusia itu sendiri sebagaimana firman-Nya dalam surah ar-Rum ayat 40: “Tidak berlaku sebarang mala petala (kerosakan) di muka bumi ini melainkan oleh tangan manusia sendiri.”
Kita kembali sejenak ke Pulau Pinang. Dari fakta yang penulis terima, pegangan tanah Melayu di negeri ini sekarang sudah semakin mengecil. Menurut satu laporan, ‘hakisan’ berlaku akibat tanah digadai termasuk kepada bukan Melayu atas pelbagai sebab. Tidak terkecuali kerana masalah hutang. Jika tidak tergadai kerana hutang pun, tanah Melayu hilang atas nama pembangunan. Baru-baru ini di daerah Timur Laut (sekitar kawasan Georgetown), dilaporkan tanah kubur pun turut diteroka untuk pembangunan. Akhirnya tanah perkuburan orang Islam juga semakin mengecil.
Justeru Melayu jangan cepat lupa diri lebih-lebih lagi apabila mereka mewarisi tanah pusaka nenek moyang. Ada sesetengah waris menjadi ‘gelap mata’ setelah mereka mendapat tanah pusaka sehingga akhirnya tanah itu terlepas ke tangan orang lain. Sikap tamak juga membelenggu golongan ini. Jika dulu tanah yang diteroka oleh nenek moyang dikongsi bersama untuk mereka sekurang-kurangnya membina rumah atau bercucuk tanam, kini tanah itu mahu dipecah dan dibahagikan mengikut waris. Akhirnya tanah itu menjadi kecil dan kemungkinan terlepas ke tangan orang lain. Kerana merebut tanah pusaka, ada juga saudara mara yang bermasam muka dan tidak bertegur sapa.
Orang sebegini sepatutnya malu kepada diri sendiri kerana hanya bergantung kepada tanah nenek moyang. Di tanah yang diwarisi itulah mereka membina rumah walaupun dalam keadaan sesak dan memusnahkan alam. Mereka tidak mampu membeli walau sebuah rumah apatah lagi sebidang tanah di kawasan lain yang dapat menambah pemilikan tanah atau harta keluarga yang diwarisi. Berapa ramai daripada kita mampu membeli tanah untuk menambah stok tanah yang diterokai keluarga terdahulu?
Kita harus sedar bahawa ketika tanah yang diwarisi dibahagikan dalam jumlah yang kecil dan pada masa yang sama tidak ada penambahan stok tanah dilakukan, apakah yang bakal diwarisi oleh generasi seterusnya? Lebih malang lagi apabila tanah itu terjual kepada orang lain. Ketika itu ke mana anak-anak cucu kita akan tinggal? Nak lari ke dalam hutan? Itu pun jika masih ada hutan dan hutan itu pula tidak menjadi milik sesiapa. Untuk pengetahuan pembaca, hutan Bukit Hijau (kampung penulis) sekarang sudah pun digeledah dan dipokah oleh Kerajaan Negeri Kedah untuk tujuan pembalakan sehingga air minum penduduk menjadi keruh pekat berkeladak. Tidak pernah berlaku sebelum ini. Dulu hati penulis amat tenteram bila pulang ke kampung kerana kedamaiannya tetapi kini resah dan gelisah bagai dilingkar dan dicabuh petaka kerana suasananya yang tidak lagi sedamai dulu. Bunyi deruman mesin pemokah penghuni belantara membingitkan anak telinga sepanjang masa akibat kerakusan Kerajaan Negeri Kedah yang kononnya lebih Islamik dan bakal penghuni syurga di akhirat nanti.
Hakikatnya, hari ini, boleh dikatakan setiap inci tanah sudah ada pemiliknya. Cuma apa yang akan berlaku ialah pertukaran hak milik daripada tangan A kepada B. Lebih malang lagi atas nama pembangunan, tanah itu akan terlepas juga. Pada era ini, kebanyakan tanah yang diambil tidak diganti dengan tanah sebaliknya ditukar kepada wang tunai atau mendapat sebuah rumah. Pertukaran hak milik juga berlaku apabila ada projek terbiar di tanah Melayu jatuh ke tangan orang lain. Begitulah hakisan pemilikan tanah yang melibatkan Melayu.
Di atas kertas, kita sudah hilang Tanah Melayu dan jangan sampai tanah yang menjadi milik Melayu akan turut lenyap dalam peredaran masa yang semakin mencabar ini. Mungkin jika tidak diawasi, suatu hari nanti tanah wakaf juga hanya tinggal nama. Jika dosa pahala, syurga neraka boleh diberi pelbagai tafsiran, inikan pula tanah wakaf. Ketika itu benarlah ‘bumi dipijak milik orang’. Semoga orang Melayu Islam tidak menerima nasib seperti Osama Bin Laden yang ‘dikuburkan’ di dalam laut. Sedar dan insaflah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan