Jumaat, 17 Jun 2011

Menoreh Getah Waktu Malam

BAGI orang yang tidak pernah menoreh getah pada waktu malam, mungkin perbuatan ini pelik dan agak mustahil untuk dilakukan. Tetapi bagi penulis, menoreh getah pada waktu malam adalah perkara biasa yang dilakukan oleh ramai penoreh getah di kampung kelahiran penulis iaitu Kg Bukit Hijau, Baling, Kedah.

Penulis lahir dalam keluarga yang miskin, daif, papa kedana, susah, dan serba serbi kekurangan. Makan nasi dengan garam adalah perkara biasa bagi penulis. Ke sekolah tak pakai kasut, berseluar koyak, berbaju rabak juga adalah perkara biasa bagi penulis. Sewaktu kecil dulu penulis selalu menolong ayah dan ibu penulis menoreh getah. Biasanya pada musim kemarau yakni waktu daun getah luruh, kami akan keluar menoreh pada waktu malam. Ini adalah kerana pada waktu siang angin terlalu kuat menderu. Kata arwah ayah penulis, bila angin menderu kuat, susu getah akan lari ke pucuk atau ke atas. Sebab itulah kami menoreh pada waktu malam. Penulis tidak pasti apakah kata-kata arwah ayah penulis itu benar atau tidak.

Seorang penoreh getah sedang menoreh demi sesuap nasi

Zaman sekarang, apabila disebut menoreh waktu malam, pasti ramai yang bukan saja kehairanan, tetapi tertanya-tanya apakah faedah menoreh pokok getah pada waktu itu berbanding kelaziman pada awal pagi atau siang hari. Itulah yang dilakukan sekumpulan penduduk yang juga penoreh getah di Kampung Sawa atau Kampung Teknologi RISDA di Pendang, Kedah, yang memanfaatkan tempoh ‘kegemilangan’ usaha menoreh getah yang sebelum ini profesion yang dipinggirkan. Ini berikutan harga komoditi itu yang diramal kekal tinggi sepanjang tahun 2011 ini dengan memberi pendapatan lumayan yang mencecah ribuan ringgit sebulan kepada pemilik kebun.

Namun, ada sebabnya mengapa penduduk Kampung Sawa atau Kampung Teknologi RISDA ini sanggup menoreh pada waktu malam. Ia berikutan suhu dingin pada waktu malam yang menjadi faktor penggalak kepada penghasilan susu getah secara lebih banyak, berbanding pada waktu siang ketika musim daun luruh berlaku. Bermula kira-kira jam 9.00 malam iaitu selepas waktu solat Isyak seramai lebih 30 penduduk kampung itu akan berkumpul di satu kawasan lapang berhampiran persimpangan masuk ke ladang getah untuk bersiap bagi menjalankan aktiviti itu bersama-sama. Mereka akan memasuki kawasan ladang masing-masing beramai-ramai sebelum keluar semula bersama-sama sekitar jam 11.00 malam dan pulang ke rumah masing-masing.

Pokok getah yang setia mengeluarkan susunya untuk kehidupan manusia

Kampung Sawa atau Kampung Teknologi RISDA ketika ini mempunyai seramai 200 keluarga dan keluasan kebun getah pula kira-kira 270 hektar dengan purata pendapatan penduduk hasil menoreh getah ialah antara RM6,000 dan RM8,000 sebulan. Bagi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Mohd Nasri Lateh, 45, aktiviti menoreh malam bukan perkara yang asing kepada penduduk kampung berkenaan dan ia sudah diamalkan ketika musim panas dan daun luruh sejak beberapa tahun lalu bagi memastikan pendapatan mereka yang bergantung dengan hasil getah terus stabil. Katanya, pada musim daun luruh penghasilan susu getah boleh menurun sehingga 50 peratus dan jika tidak keluar menoreh pada waktu malam ia akan menyebabkan pendapatan mereka terjejas teruk.

Pasangan suami isteri sedang menoreh getah

Justeru, bagi mengambil kesempatan di atas harga getah sekerap yang mahal iaitu kira-kira RM7.50 sekilogram ketika ini dia bersama penduduk kampung berpakat untuk keluar menoreh malam bermula Januari. ‘Ia berhasil apabila kebanyakan kami mampu mendapat 50 kilogram (kg) getah sekerap bagi setiap hektar dalam sehari, berbanding hanya 35 kg jika menoreh pada waktu siang. Kami mula menoreh pada waktu malam sejak Januari lalu kerana tidak mahu pendapatan terjejas berikutan musim panas dan daun luruh yang dijangka berlarutan dua bulan lagi. Kami lega apabila usaha ini berhasil kerana hasil yang dicatatkan lebih berbaloi. Penduduk juga tidak bimbangkan keselamatan mereka kerana kami keluar beramai-ramai menoreh sehingga kecoh suasana dalam kebun getah,’ katanya ketika ditemui penulis.

Pokok getah yang sedang ditoreh

Beliau yang juga Pemaju Masyarakat RISDA kampung itu berkata, pengeluaran susu getah lebih tinggi pada waktu malam kerana suhu yang lebih sejuk membolehkan susu getah mengalir lebih lama kerana lambat kering berikutan waktu malam yang panjang. Seorang lagi penduduk, Mat Saad Hussin, 50, berkata, dia dan keluarganya tidak berasa takut untuk keluar menoreh pada waktu malam kerana sudah biasa melakukannya di samping keadaan kebun yang bersih.

‘Kami tidak takut sebab sudah biasa dengan aktiviti ini, lagi pun kami keluar ramai-ramai bersama jiran serta rakan-rakan yang lain. Saya tidak pernah mengalami apa-apa masalah malah saya rasa lebih seronok kerana ramai kawan. Selain itu menoreh getah pada waktu malam juga secara tidak langsung mengekang masalah kecurian getah di kampung kami kerana susu getah tidak sempat kering sehingga pagi. Biasa kes kecurian adalah membabitkan getah sekerap dan dalam hal ini getah tidak beku sepanjang malam jadi lebih selamat sehingga kami sendiri yang mengutipnya pada sebelah pagi,’ katanya.

Menoreh getah waktu malam menggunakan lampu yang diikatkan di kepala

Zakiah Mahmud, 57, pula berpendapat menoreh pada waktu malam lebih selesa kerana keadaan lebih sejuk, berbanding menoreh pada waktu siang. ‘Kalau keluar awal pagi pun boleh tetapi lebih rumit sebab kena tunggu lama sedikit. Kalau malam kami toreh dan tinggal esoknya sekitar jam 6.00 hingga 7.00 pagi kami kutip dan terus jual. Masa yang terluang biasanya kami isi dengan aktiviti lain seperti bersawah atau menghadiri jemputan kenduri di sekitar kawasan kampung,’ katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA