Sabtu, 4 Disember 2010

Pesona Rebak Memang Memukau

SMAHADZIR


DISCOVER your own private island.’ Nota itu diterima penulis pada sepucuk surat. Ia diletakkan di atas meja konsol pada satu sudut di vila kayu tempat penulis inap. Memegang janji yang ditawarkan, penulis ingin merasai sendiri kelainan berada di Rebak Island Resort sepanjang percutian selama tiga hari dua malam itu. Ternyata janji tersebut dikota sewajarnya. Lewat jemputan dari lapangan terbang lagi, kemudian menaiki bot khas dari Port Langkasuka ke Pulau Rebak, kemesraan layanan sudah dapat dirasa. Pasti itu antara signatur Rebak Island Resort yang tiada tara.


Keindahan Langkawi tidak perlu diterjemahkan. Dan sebagai salah satu daripada 99 buah gugusan pulau yang membentuk jajahan legenda itu, pesona Rebak cukup memikat. Berkeluasan 390 ekar, ia terletak kira-kira empat kilometer dari pulau utama. Pulau kecil itu dibarisi hutan hujan tropika yang dipenuhi pohon-pohon balak, herba, pandan dan pelbagai tumbuhan renek lain yang mencipta satu kanvas alam tersendiri.


Pantai memutih menghadap resort, menjanjikan kedamaian buat pengunjung.


Selain resort kampung dan kontemporari bertaraf empat bintang, keunikan pulau itu pastinya terletak pada marina yang menempatkan berpuluh-puluh kapal layar dan dikatakan yang terbesar di Langkawi. Resort itu dimiliki sepenuhnya DRB-Hicom. Taj Hotel, sebuah kumpulan perhotelan terkemuka di India serta mempunyai banyak lagi cawangan di seluruh dunia, diberi tanggungjawab menguruskannya.


Tersendiri


Abadi. Perkataan itu diulang berkali-kali oleh Pengurus Besar, Samir Khanna tatkala disoal mengenai keistimewaan Rebak Island Resort jika dibandingkan dengan yang lain. Jelas beliau, apa yang cuba diberikan oleh pihaknya kepada pengunjung adalah satu percutian yang akan dikenang sampai bila-bila.


“Kami mahu pengunjung yang datang ke sini merasa bebas, tenang dan jauh dari suasana yang menyesakkan. Anda boleh lakukan apa sahaja yang anda mahu di sini, habiskan masa anda sepuasnya dan jaminan kami ketenangan milik anda,” kata beliau yang menerajui resort itu sejak tiga tahun lalu. Lokasi paling sesuai buat pasangan yang baru berkahwin untuk memadu kasih, berada di Rebak ibarat sebuah dunia baru yang menjadi milik anda berdua.


Tidak hairanlah pulau kecil itu telah menjadi saksi termeterai ikatan sah antara dua hati beberapa pasangan sejak ia wujud lagi. Malah ketika penulis di sana sempat juga menyaksikan perkahwinan romantis sepasang pengantin dari ibu negara.


Pelbagai aktiviti turut disediakan. Pengunjung boleh sahaja menghabiskan masa di tepian pantai yang sememangnya tenang tanpa sesak dengan pengunjung. Tidak mustahil andai hanya anda sahaja yang berada di sana. Pengunjung juga boleh memilih untuk berkayak di sepanjang Selat Senari yang memisahkan antara Pulau Rebak dan rebak Kecil. Juga disediakan basikal mengelilingi kawasan resort yang luas atau cuba aktiviti memanah.


Mahukan aktiviti lebih lasak, Rebak menawarkan ‘jungle walk’ pada waktu siang atau malam di kawasan hutan yang agak mencabar. Jangan risau mengenai keselamatan kerana pihak resort turut menyediakan juru pandu berpengalaman. Perjalanan dari kaki bukit bersebelahan marina menuju ke Pantai Merah (pantai di sebelah Laut Andaman) mengambil masa lebih kurang 30 minit perjalanan. Pendakian bukit secara menegak mungkin agak memenatkan, namun tatkala kaki melangkah ke pantai sunyi itu, satu perasaan kagum sukar digambarkan dengan kata-kata.


Batu kapur merah yang terhakis oleh ombak laut menghasilkan satu lukisan alam yang cukup indah. Seketika penulis berada di situ membuatkan diri tidak henti memuji keindahan alam ciptaan Ilahi. Sayangnya waktu yang kurang sesuai, paras air pasang tidak mengizinkan penulis sampai ke sebuah gua yang terbentuk akibat hakisan ombak.


Percutian Lengkap


Rebak Island Resort memiliki 82 buah bilik yang terdiri daripada tujuh jenis kediaman berlainan. Anda boleh memilih sama ada menginap di bilik atau vila menghadap pantai dan Selat Senari. Atau mencuba suasana lebih sunyi di vila dikelilingi pokok asam jawa dan tumbuhan pantai yang lain.


Menjamu selera tidak sukar, Restoran Senari menawarkan pelbagai juadah istimewa tempatan dan antarabangsa. Mahu lebih santai, Minum-Minum Lounge menyediakan ruang berbual sambil didendangkan persembahan jazz yang mengasyikkan. Atau berada di tepian pantai, menghirup jus segar yang disediakan pondok kecil Lepak. Juga menikmati makan malam romantis di tepian pantai, mungkin antara momen yang sukar dilepaskan.


Melepaskan penat dan lelah, manja dan belai diri dengan urutan tradisional Melayu di Ulik Mayang Spa. Pastinya aroma minyak bunga kemboja, mawar, halia dan teh putih bisa membuatkan anda terlelap seketika. Tidak terasa masa yang berlalu, sukar diungkap dengan kata-kata. Hanya nikmati ia sewajarnya, Rebak Island Resort tentunya percutian idaman anda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan