Sabtu, 4 Disember 2010

Dua Makam Di Perak Yang Wajar Dilawati

SMAHADZIR

MAKAM I:

Makam Sultan Iskandar Zulkarnain

Makam Sultan Iskandar Zulkarnain (Marhum Kaharullah) ini terletak di Pulau Indera Sakti, iaitu sebuah kampung tinggal yang terletak di Kuala Sungai Kinta (berkuala ke Sungai Perak). Pelawat sukar ke situ kerana tidak ada jalan yang boleh dilalui oleh kenderaan. Walau bagaimanapun, boleh menyewa bot yang terdapat di pengkalan bandar Teluk Intan. Jauhnya makam sultan ini kira-kira 9 km ke utara bandar tersebut.

Sultan Iskandar Zulkarnain, Sultan Perak ke 15 adalah sultan yang paling terkenal sekali dalam pemerintahan beraja di negeri Perak. Baginda ini telah membangunkan negeri Perak menjadi sebuah negeri yang makmur dan aman damai. Pada masa pemerintahan, baginda telah memperkenalkan sebuah undang-undang yang dipanggil Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan.

Undang-undang tersebut telah dijalankan sepenuhnya dalam hal ehwal pentadbiran negeri Perak. Gelaran orang-orang besar juga telah diperkembangkan. Baginda menambahkan lagi gelaran orang besar-besar. Gelaran dan pangkat Bendahara yang dahulunya dipegang oleh orang-orang keturunan Megat yang bermula daripada Megat Terawis telah dihapuskan dan pangkat Bendahara diberi pula kepada keturunan Raja.

Pada masa pemerintahan baginda, orang-orang Belanda telah memonopoli pembelian bijih timah yang dikeluarkan dari negeri Perak. Begitu juga dengan orang-orang Cina dan India telah ramai membuka kedai perniagaan di bandar yang dinamakan ‘bandar makmur’ yang terletak di Pulau Indera Sakti.

Sultan Iskandar Zulkarnain telah mangkat di Pulau Indera Sakti pada 1770 iaitu setelah memerintah negeri Perak selama empat belas tahun (1756-1770). Baginda digantikan oleh Sultan Mahmud Syah (1770-1778).

MAKAM II:

Makam Sultan Muzaffar Syah I

Makam Sultan Muzaffar Syah I (Marhum Tanah Abang) terletak di Teluk Bakong iaitu kira-kira 11 km ke selatan pekan Bota Kanan. Sultan Muzaffar Syah I adalah putera kedua kepada Sultan Mahmud Syah Melaka terakhir yang telah berundur ke Kampar (Sumatera) setelah Melaka dikalahkan oleh Portugis pada 1511.

Baginda diputerakan di Melaka kira-kira dalam tahun 1505. Dalam tahun 1528, baginda telah ditabalkan oleh orang-orang besar Perak sebagai Sultan Perak yang pertama, di Tanah Abang (Teluk Bakong sekarang) dengan gelaran Paduka Seri Sultan Muzaffar Syah.

Waktu pemerintahan baginda, seorang kerabat Diraja Pagar Ruyong yang bernama Megat Terawis Ibni Daulat Pagar Ruyong telah dilantik oleh baginda menjadi Bendahara menggantikan Tun Mahmud, Bendahara Perak yang pertama dan bergelar Bendahara Paduka Raja. Dari masa itulah pangkat Bendahara disandang oleh keturunan Megat. Sultan Muzaffar Syah I mangkat pada 1549.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan