Jumaat, 17 Disember 2010

Labuhan Cinta Terakhir

Betapa indah sebuah nama yang ingin disirnakan, terlalu lama terpahat dalam arca kehidupan. Wajah itu mengirap dan menyapa, tersenyum, mengusik, ketawa, serius, sedih atau memberi cerlungan redup yang maha aneh, yang hanya dia saja dapat berbuat demikian.

Milan Zarhan dilambung ombak gelora gelisar. Dia lemas terkapai dalam arus kenangan yang ingin disirnakan. Berpintal-pintal. Kolam rasanya baru mulai tenang, kenapa dikocaki alunnya dengan mawar merah ini?


Telefon di meja sisi melengking tiba-tiba. Gagang gesit dicapai lalu ditekapkan ke copeng telinga,

“Hello!”

“Hello, itu Milan Zarhan?”

“Ya, cakap! Siapa di sana?”

“Aku… Armiya! Armiya Sanders, ingat lagi?”

“Hai, mana tahu aku di London ni?”

“Dari Marta Francisca!”

Milan Zarhan tergamam jola, Kejur. Nama itu lagi.

Memang Armiya Sanders mengenali Marta Francisca. Sering bertemu di Kedutaan Malaysia di London, akhirnya jadi rakan rapat. Marta Francisca sering ke kediaman Armiya Sanders. Kadang-kadang ke Hyde Park bersama sembari menceritakan kisah tentang tanah air.

Bagi Milan Zarhan, Armiya Sanders adalah teman lama sewaktu di Kuala Lumpur dulu. Terlalu bertuah kerana berwajah cantik. Tidak selesai kuliah, terus dilamar. Sekarang sudah punya dua anak, berkahwin dengan ataseMalaysia di London. Dia mula berkisah dengan suara yang sesekali pelat garau namun manja. MengucapkanWelcome to London dan entah keberapa kali menjemput Milan Zarhan ke rumah.

Milan Zarhan terhibur pada telatah dan kemanjaan Armiya Sanders. Pada suaranya yang masih belum berubah walau lama tidak berjumpa. Atau pada suara si kecil yang riuh rendah, yang sesekali cagun bergerapak dalam gagang telefon, yang menjadi lambang pada sebuah kehidupan bahagia? Mereka berbicara panjang tentang itu dan ini, juga tentang Marta Francisca.

“Okeylah, aku akan datang!” Begitu yang dijanjikan kepada Armiya Sanders.

Betapa bahagianya anak gadis corporate warrior itu, fikirnya. Memang Armiya Sanders patut bahagia, seolah-olah kebahagiaan yang dikecap dari tempayan yang berisi air madu melimpah ruah. Datuk Ikram, atase punya kewibawaan, mandiri sebagai suami dan dua orang anak, suami penyayang, anak-anak yang comel dan nakal metah, hidup pula di kota London sudah cukup untuk menjadi sumber kebahagiaan dan nyanyian hidup.

Dan dia?

Diakah seorang penggubah lagu atau komposer yang terlalu meminta daripada hidup ini lantas tidak dapat merealisasikan simfoni yang diimpikan? Begitu? Mungkin. Yang pasti, dia masih lagi mengejar impian. Seorang lelaki yang bergelar remaja hingusan yang masih lagi mencari hala tuju kehidupan yang entah bagaimana. Menjengah dan beradu di kota London sekadar untuk menggarap ilmu kemudian pulang ke tanah air untuk mencurahkan bakti. Lebih dari itu? Dia belum tahu.

Mawar merah terang yang geradang warnanya itu dibawa keluar dari bilik. Menuruni tangga apartement penginapan dan terus mendapatkan tube untuk ke Knightsbridge. Merentasi Trafalgar Square yang juga digelar William Pitt the Elder sebagai paru-paru London itu dia terbayangkan Marta Francisca di sisi dan mereka berjalan berpimpinan tangan. Fikiran Milan Zarhan terus sesak lebih-lebih lagi tatkala merenung mawar merah di ribaan.

Mawar merah?

Apa yang dimaksudkan dengan menghantar jambangan mawar merah ini? Lambang hari-hari yang sudah berlalu atau lambang cinta yang akan kembali menjelma atau cuba disuburkan? Dapatkah geradang warnanya ini menyerikan kembali rasa cinta yang bagaikan di awangan itu?

Kenapa hari ini mahu berbicara melalui mawar merah yang bisu ini? Kenapa masih lagi mengharapkan cinta sedang cinta itu umpama debu yang kian menghilang ditiup angin? Akukah orangnya yang tidak tahu menghargai indahnya warna mawar ini? Berbondong soalan terpacul, bagai berperang sesamanya. Sedang tube terus bergerak gesit seolah-olah mahu meninggalkan segala keresahan dan persoalan di dada Milan Zarhan.

Suara lunak Celine Dion dari corong radio menyisih sapaan wayu dingin yang menjerba dari luar. Milan Zarhan agak terhibur, sejenak dia terlupakan jambangan mawar merah di atas ribaan. Betapa terasa ritma dan lirik lagu itu begitu mengusik nubari. Lunak mengelus dengan sentuhan seni di hati persis tali temali pada sebuah sitar yang dipetikkan perlahan, menggetarkan irama kepedihan. Engkaukah sebuah lagu dari dekad silam, yang indah tetapi memilukan?

Knightsbridge. Dari jauh sudah dapat dilihat kemewahannya. Hebat bagaikan bernyawa. Megah dengan Harrods, gedung terkemuka, tersohor di dunia. Menyusun kaki ke perutnya, perasaan didakap mesra keindahan seni reka bentuk Edward. Benar kata Armiya Sanders:

“Knightsbridge has been a favourite shopping area for Londoners for over the century. Here is London’s largest, oldest and most famous store Harrods, a world of its own.The newer Harvey Nichols futher along Knightsbridge on the corner of Sloane Street is a rival to Harrods with exellent designer fashion departments. Plenty of small fashion and show shops are here, but for a shops of more character turn into expensive but chaming Beauchamp Place and Walton Street. Sloane Street has a number of good fashion boutiques at the Knightsbridge end. Look for Kenzo and Joseph/Jap and the Laura Ashley shop in Harriet Walk.”

Ya, di sini dunia fesyen yang mempersonakan. Segalanya mengagumkan.

“Kamu memang hipokrit, Zarhan!” suara Marta Francisca bagaikan terdengar, seolah di sisi. Tetapi di sisi hanyalah jambangan mawar merah.

“Jangan terlalu pentingkan diri sendiri, Zarhan!” suara itu meletus di pekarangan Trafalgar Square. Angin musim dingin yang himpang berbahang pada pagi itu bagaikan mahu berhenti kerananya. Wajah yang selalu tenang kini menjadi sedikit jerau, mata yang nyalar redup manja begitu tajam mencerlung menikam wajah Milan Zarhan.

Milan Zarhan bungkam.

“Jangan sangka aku ni barang mainan yang kamu boleh permainkan sesuka hati kamu, Zarhan!” ujarnya lagi setelah Milan Zarhan bertagal membungkam. “Buat apa bersusah payah memerah kotak fikir berlanjutan. Kamu sendiri tahu, itu tak mustahil. Tak mustahil untuk kamu mencintai perempuan seperti aku. Aku tak punya apa-apa ikatan dengan Datuk Robert Eng. Aku hanya perempuan simpanannya saja,” Marta Francisca melontar geram. Entah kali yang ke berapa dia melontarkan pandangannya itu dengan harapan Milan Zarhan faham duduk perkara yang sebenar.

“Masih ada lagi perkara yang terpaksa aku fikirkan. Nak bercinta memang senang. Nak mencurahkan kata-kata cinta memang mudah, semudah rel tube meluncur di landasan. Aku harus berpijak di bumi nyata. Aku masih lagi bergelar pelajar atau mahasiswa, Marta! Kamu tak pernah merasai keperitan hidup kerana kemewahan dan darjat ningrat kamu!”

“Itu bukan soalnya, Zarhan! Aku tak kisah dengan apa yang kamu fikirkan. Aku yakin boleh menangani semua masalah ini secara mudah. Sekarang aku cuma menanti keputusan kamu untuk menerima cinta aku atau tidak. Itu saja!” gerahnya melonjak beberapa takah.

Milan Zarhan jadi khali. Kenapa Marta Francisca begitu memaksa? Bimbang terhadap gadis lain yang begitu ramai di kolej? Bukankah sudah sering aku katakan bahawa cinta tak boleh dipaksa? Cuma Marta Francisca yang tidak pernah mahu memahami atau sengaja tidak mahu memahami. Alasannya soal kedudukan diri bukan persoalan yang besar dan dia mampu menanggung segaja perbelanjaan hidup.

“Aku rasa ini satu persoalan yang besar, Marta! Ini soal hidup masa depanku. Aku beragama Islam. Aku masih ada keluarga yang amat mengharapkan. Aku berhak mencegatkan segala harapan yang diletakkan di atas pundakku!”

“Huh, alasan melulu!” tukasannya bagaikan satu cemuhan jengkel.

Milan Zarhan mencerlung tunak figura segak Marta Francisca, tidak terduga kata-kata begitu yang terpacul. Apakah dia betul-betul ikhlas dengan kata-katanya? Seorang mahasiswa yang menjadi harapan seluruh keluarga untuk mencorak sebuah kehidupan geg selepas bergelar graduan? Tambahan, ke mana saja sering bersama pelajar-pelajar perempuan yang mengenali di sekitar kolej. Sedang antara aku dan Marta Francisca bagaikan asing walau acap kali bertemu di perut London.

Barangkali juga dia tidak percaya bahawa perhubungan boleh terjalin antara seorang perempuan dan lelaki tanpa disarati unsur nafsu dan cinta! Pun dia kurang yakin bahawa tugas seorang yang hidup di bumi asing boleh membuat orang berkenaan perlu beramah mesra dengan semua orang tetapi mengkhususkan keistimewaan atau rasa cinta hanya untuk seorang! Atau, barangkali juga cara bertindak dan tumpuanku sekarang sudah jauh menyimpang dari landasan harapan dan dirinya!

Zeera Arfina.

Kuala Lumpur.

Milan Zarhan,

Sudah hampir dua tahun bulan kamu di kota London. Sejak itu aku tidak pernah mendapat sebarang berita darimu. Aku tahu, hari-hari sibukmu tidak bisa mengundang walau sesaat terluang untuk menitip sebaris ayat buatkan. Barangkali juga kota London sudah mengajarmu erti lupa - lupa kepada orang yang pernah kamu sematkan sebuah harapan.

Milan Zarhan,

Mengertilah, setiap pagi kala embun terjun menjelang datang, aku tahu ada gelora nestapa yang panjang menanti. Sudah berkali-kali aku ikrarkan; kesucian cinta tidak merobah kamu. Biar berbulan masa sudah direai atau berapa ramaipun lelaki yang aku dampingi, pesona aku masih tetap utuh buatmu.

Dan hari-hari sepiku ini kamu seolah-olah meragui cintaku. Percayalah, Zarhan! selagi mentari menjengah dirinya dari jihat timur, ingatan ini tidak mungkin pudar dan yakini jugalah, selagi mentari membenamkan dirinya di jihat barat, kasih ini akan kupujuk sejujurnya.

Jangan kamu menyimpan walau secubit pun rasa sangsi atau mahu menuduhku curang. Sepemergianmu; dunia yang kamu tinggalkan adalah dunia lara. Kota Kuala Lumpur bukan lagi kota asmara yang aku impikan. Segalnya kacau dan rusuh. Kuala Lumpur bagaikan memperlihatkan aku resah mendaki ke puncaknya segesit cahaya. Berapa ramai yang cuba mendekati? Berapa ramai yang cuba memikat? Atau pernahkah engkau mempersoalkan berapa banyak rindu dan setia yang harus aku kumpulkan.

Milan Zarhan,

Kamu tahu sayang, cinta terlalu agung padaku. Aku bagaikan mahu menghambat mentari berguling ke timur dengan cinta. Aku bagaikan mahu menghembus sumbunya sehingga terpadam cahaya. Dengan ini aku bisa mengganggu dengkur tidur jutaan kejora supaya berjaga sepanjang malam. Padaku cinta membuatkan malam ibarat belayar di segara kasih yang kocaknya buih asmara.

Cinta sudah seperti menggigit jaluran pelangi yang warnanya pancaran rindu. Ingatkah lagi katamu dulu: malam tanpaku, malam sepi tanpa kekasih di hati - ibarat penyair kehilangan nota puisi - meraba-raba dalam kelam. Sesungguhnya kata-katamu itu sentiasa melemaskan aku di segara kasih dan membikin aku semput di jalur pelangi.

Ya, Zarhan, kata-kata romantismu itu, yang kini telah hilang, menurutmu sama ke kota raya London yang mencabar itu. Hilang sirna.

Zeera Arfina –

Kuala Lumpur.

10.00 malam.

Antara rasa cinta dan simpati, Milan Zarhan dihenyak dilema. Cinta Marta Francisca dan Zeera Arfina laksana peniti menusuk hati. Cinta yang sejati dan kepalsuan yang sering bersulam di dasar nubari, telah mencegatkan sebuah jatidiri untuk terus melangkah mencari erti peribadi.

London bukan sebuah kota yang boleh mengubah tradisi dan budaya Milan Zarhan. Biar di mana dia berada, maruah sebagai remaja Malaysia berbangsa Melayu tetap dipertahankan. Kota London telah mengajarnya menjadi lebih dewasa biar pelbagai pancaroba datang melanda. Cinta yang diluahkan Marta Francisca, bekas model terkenal, gadis kacukan Cina-Portugis, perempuan simpanan Datuk Robert Eng yang mencari kebahagiaan di London semakin membakar semangat Milan Zarhan untuk terus mempertahankan jatidirinya.

Terkurung di dalam dilema antara cinta seorang remaja dan kejayaan dalam pelajaran, Milan Zarhan digugah pula oleh kisah abangnya Milan Effendi di Kuala Lumpur yang telah bersekedudukan dengan Haslinda, bekas temannya sewaktu bersekolah dulu. Apakah Milan Zarhan mempercayai segala tuduhan sumbang terhadap abangnya Milan Effendi? Apakah Milan Zarhan terus dilambung tekanan emosi oleh berita yang diterima? Apakah niat sebenar Milan Effendi membawa Haslinda tinggal bersamanya?

Namun, Milan Zarhan menemui juga noktah terakhir untuk cintanya bertapak. Siapakah gadis yang telah berjaya mencuri hati Milan Zarhan? Bagaimana pula dengan Milan Effendi? Siapakah yang bakal mengisi kekosongan hidupnya? Semuanya bakal terjawab dengan membaca novel LABUHAN CINTA TERAKHIR karya Syed Mahadzir ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan