Ahad, 7 November 2010

Puisi Mutakhir SMAHADZIR

PUISI 1
Apabila Banjir Datang Melanda
(simpatiku sempena banjir yang melanda rakyat negeri Kedah, Perlis dan Kelantan)


Tanpa isyarat tiba-tiba langit bergelora,

tanpa guntur tiba-tiba hujan mendera rasa,

mengganyang bahagia menyubur derita,
menjulang nestapa ke mercu sengsara,

sebak tangis mengiringi suara tanpa kata,

meratapi kehilangan segala harta dan benda,
dan kemusnahan yang tiada tara.


Di ruang pelarian terpapar wajah-wajah haru,
di serata tempat bergelimpang jasad ternakan bertukar biru,

tanaman menjadi rata;

ayam itik hilang entah ke mana;

kampung halaman porak peranda;

harta benda menjadi sirna;

kini mereka semua terpuruk di dewan-dewan sempit,

menunggu redanya simbahan hujan dan banjir yang menghimpit.


Derita mereka yang kehilangan bahagia,

dalam sekelip mata lenyap segala,

telah tiba kiranya imbalan untuk tangan-tangan berdosa,

yang tamak meratah kekayaan dunia,

tanpa insaf amaran dan firman-Nya,

walau pakaian diri berjubah agama.


Sampai bila pun banjir akan melanda lagi,

derita dan sengsara akan terus menggulat diri,

tanaman dan ternakan akan hilang pergi,

selagi kesedaran dan keinsafan tidak terpatri,
firman dan amaran-Nya dinafi,
terimalah azab balasan yang tidak terperi.


Secebis simpati yang kita hulurkan,

bersama doa yang kita tadahkan,

kepolosan telah tumbuh di medan bantuan,

jangan kita leka mengumpul nama dan sokongan,

sehingga tidak sempat menjulang keikhlasan,

sedang kita asyik menghebahkan pemberian,

di podium riyak dan kebanggaan.


Percayalah,
apabila banjir melanda,

akan terbuka sebuah medan simpati sesama manusia,

akan terserlah juga aksi watak-watak utama,

dan badut-badut pelbagai warna pelbagai rupa,

berjubah pura-pura di sebalik agama,

mencari sokongan dan mencari nama,
di mana-mana.


SMAHADZIR

Banting,
November 2010


PUISI 2
Tulislah Anakku

Setelah hujan reda, bersama titis-titis air,
yang jatuh dari dedaunan,
tulislah tentang aku,
yang berdiri mematung di jujuhan hujan,
bukan kerana cerita atau khayalan seketika,
engkau tuliskan tentang aku,
tentang ayahmu seorang pengarang,
yang bernama manusia.

Tulislah anakku, kerana penamu tergerak,
oleh dalamnya persentuhan kemanusiaan,
dirimu menemuiku dengan kecintaan dan rasa sayang.

Anakku, tulislah dengan tulus,
kerana sekali tinta tertumpah,
akan membawa sejuta makna untuk dunia,
tulislah untuk wujudkan dunia yang indah dan beradab,
untuk manusia menyemaikan benih-benih persaudaraan yang tulus.

SMAHADZIR
Shah Alam
2010


PUISI 3
Selamat Pagi Yang Berhormat
(sempena pilihanraya kecil Galas dan Batu Sapi)

Selamat pagi Yang Berhormat,
kami tak ingin rasa ini bertepi,
ketika kau ucapkan kata-kata indah,
dalam kempen,
sewaktu kita berkenalan.

Selamat pagi Yang Berhormat,
kami hendak mencangkul sebongkah hatimu,
membelai jazirah harapan,
kini carik rindu terbang melayang berserakan,
diterpa desah bayu menggelandang,
jangan kau biarkan rasa ini berwarna hitam.

Selamat pagi Yang Berhormat,
sesungguhnya kaulah aspirasi kami,
menjadi wadah berkeluh kesah,
telah hilangkah rasa cintamu pada kami?
kau tahu bahawasanya benakmu bukanlah batu,
yang hanya terdiam duduk manis di kerusi.

Selamat pagi Yang Berhormat,
kami pun tahu kini kita telah berbeza,
kau laksana dewa yang menggaungkan genta di langit,
kami yang berpijak di tanah mengharap genta itu berbunyi,
lantang, merdu, dan mempesona.

Selamat pagi Yang Berhormat,
ingatkah siapa yang telah mengangkatmu,
sehingga dirimu telah bertakhta,
kamilah yang kini berpeluh airmata,
kerana kecewa dan salah, memilih kucing di dalam karung.

Selamat pagi Yang Berhormat,
masihkah kau mencintai kami?
kami di sini mengharap sumpah dari mulutmu,
yang pernah menabuh genderang telinga ini,
kini segumpal kabut telah nyata bersandar,
singgah selimuti kehidupan kami,
kerana janji manismu,
telah pahit terasa,
menjadi arang dalam kehidupan kami.

SMAHADZIR
Shah Alam, Selangor
November 2010


PUISI 4
Puisi Buat Isteri
(dedikasi buat isteriku yang banyak meredam prahara duka dalam jiwa)

Isteriku,
usah gusar bila melalui jalan sukar,
kerana kita harus sedar,
hidup tidakkan mudah jika semangat kita tersasar.

Isteriku,
usah membisu jika ada rasa terbuku,
bukankah kita ditakdirkan bersatu,
berkongsi rindu dan sendu,
kerana kita harus tahu,
beratnya beban menanggung pilu.

Isteriku,
memang tidak mudah,
untuk meredah prahara gundah,
tetapi kita tongkah dengan seribu tabah,
dan bermusim sudah,
kita bersama menganyam jaring-jaring pasrah,
untuk ditebarkan di samudera indah,
semua yang sukar jadi mudah,
bila haluan kita searah.

Isteriku,
menjelang malam ini,
ingin kupinjamkan cahaya bintang,
dan gebar bulan,
biar ia menyinar hingga ke siang,
mengapung mimpimu ke langit lepas,
kerana kilaunya adalah kasih sayang polosmu,
kerana panasnya adalah pengorbanan mulusmu.

SMAHADZIR
November 2010


PUISI 5
Sewaktu Berdiri Di Gigi Alun
(kenangan bermalam di Persiaran Gurney, Pulau Pinang – Hotel Ever Green mendakap mesra)

Sewaktu berdiri di gigi alun,
mendengar mersiknya suara ombak,
sambil menghadap ufuk masyrik,
dan tunduk menatap samudera pagi,
keindahan Jambatan Pulau Pinang terpasak teguh,
mencecah muka alun,
alangkah ayunya wajahmu Persiaran Gurney,
damai dengan hembusan pawana segar,
tenang dengan lambaian alunan air,
dalam lembut kabus senyum tersipu,
menggamit keriangan dalam kemewahan.

Dari tengah segara yang luas terhampar,
bunga-bunga ombak bagai berlumba berkejar-kejar,
membelai putih pantai yang panjang mendatar,
bebayang bangunan tinggi melangit mencakar,
menambah pesonakan lagi suasana latar,
Pulau Pinang yang dahulunya hambar,
tanpa sebarang halangan yang mencabar.

Sewaktu berdiri di tepian tingkap,
hanya dari hotel Ever Green bertaraf mewah,
terbaik sudut untuk melihat panorama alam,
Persiaran Gurney bagaikan menghambat,
pergerakan dan langkah-langkah bebas,
segalanya amat mahal untuk dibayar,
segala amat bernilai untuk disukat,
segala indahnya amat berharga untuk digarap.

SMAHADZIR
Persiaran Gurney, Pulau Pinang
April 2010


PUISI 6
Citra Tiga Jelitawan
(Buat tiga jelitawan SMSAH – Kak Kiah, Kak Jah dan Kak Maliah yang sering dijuluki panggilan GG oleh Prof Kaswandi)

i
Tiga jelitawan SMSAH ini,
laksana sebungkah kristal biru,
hening dan jernih bercahaya di mercu,
sinarnya memantul bertembang syahdu,
berlepa hukum yang terpatri,
kalau tercampak ke batu,
serpihannya yang runcing umpama sembilu,
tajam menyiat dan menghiris kalbu.


ii
Tiga jelitawan SMSAH ini,
laksana ratna yang bersinar dan berkilau,
cahayanya yang terpancar cukup kemilau,
harganya selembar pulau,
berwajah indah dan memukau,
kudrat terbatas tidak terjangkau,
sekadar meluputkan hasrat yang terpantau.

iii
Tiga jelitawan SMSAH ini,
laksana seungkap rantaian mutiara,
jata tenang, harmoni dan bahagia,
namun dialah penjerut dan pendera,
berlengkar menunggu mangsa,
membelit segala impian dan kata-kata.

iv
Tiga jelitawan SMSAH ini,
adalah seorang isteri dan ibu,
yang teguh berdiri dengan setia membatu,
di kaki seorang lelaki yang keras melulu,
berkawan seribu berkasih satu.

SMAHADZIR
Taman Damai, Banting
2010


PUISI 7
Malam Di Pulau Pangkor

Malam di Pulau Pangkor menebar jaring bimbang,
selebar lautan menyelaput ruang,
damai hilang di celahan pulau-pulau terbentang.

Setiap langkah yang bergerak adalah gelisah,
yang menyelinap di celah pasir-pasir yang basah,
yang mengendap di pintu yang resah,
sebuah keyakinan hilang di hujung malam,
meninggalkan debar yang mendalam,
berdetak keras di kelopak masa silam.

Dalam gegar gelora laut Selat Melaka,
menghitung waktu-waktu berlalu amat cepatnya,
kesepian sebuah pulau adalah rasa tersisih dari kemeriahan kota,
seakan kesepian sebuah belantara,
tanpa ceria tanpa suara tawa dan gurau senda.

Akulah pengunjung Pulau Pangkor yang sepi,
yang terhadiah dari sejarah silam diri,
perjuangan yang berkecai dan mati,
dan mengairi bersama lencun peluh mencucuri,
mengumpul perjalanan masin di hujung musim bersemi.

Terdampar di Pulau Pangkor ini,
dengan mentari yang hilang bersembunyi,
merdunya semilir wayu yang bernyanyi,
dan lunak suara ombak berlari di gigi hari,
adalah soneta-soneta terkini,
yang semakin mengharukan hati.

Kesepian dari sebuah pulau,
yang semarak suburnya di ingatan yang galau,
membuatkan seluruh jasadku menjadi sasau.

SMAHADZIR
Pulau Pangkor, Perak
Januari 2009 


PUISI 8
Kepada Zulaikha Dan Zuleika Anakku
(dedikasi buat dua puteriku Zulaikha dan Zuleika yang sentiasa menyebarkan senyum keibuan)

Zulaikha dan Zuleika,
kemerduan suara senandung itu mengalun,
setiap malam menjelang dan ambang senja berlalu,
dan jiwa kami berbiak cemas-cinta dan tiupan doa di ubun-ubun,
kami ingin redakan kata-kata menjadi bisikan lembut pengantar tidur,
agar pupus isak tangis dalam lelap seiring pupuk subur,
yang kami bacakan dalam lubuk dada,
kami tak hafal tembang purba ini,
hanya larik-larik kata yang kami kais dari ingatan usang,
namun kami tahu engkau mengerti,
betapa kami tak mampu menanggung tangis.

Zulaikha dan Zuleika,
bacalah, seperti kau sibuk mengeja nama-nama benda,
merabai tekstur dan ulir,
menganyam warna dan matra,
bacalah mantera dalam kata-katamu sendiri,
yang kau pinjam dari bahasa langit,
sebagaimana kami mengeja hujan yang mematuk-matuk jendela,
seperti morse isyarat rahsia,
sebab kami tak ingin berhenti inginkan doa darimu,
mengaji setiap helai detik,
yang terjilid rapi dalam kalam indah-Nya.

SMAHADZIR
Ipoh, Perak
Jun 2010


PUISI 9
Kau Nurisya
(buat anak bongsuku yang terlalu banyak meredam rasa jelu dalam kalbu)

Kepada Azzawajalla;
aku dan isteriku sering meredam denting hujan dalam senyap malam,
yang tak pernah mampu membatasi angan,
tentang ragam renyah anak bongsu kami,
tak pernah habis pula kami hitung tiap bulir waktu,
yang dipenuhi barisan aksara permata anugerah-Mu,
membentuk sebuah narasi tanpa jeda,
dari kasih dan sayang yang kian melangkah,
kian dalam terpatri di dada,
relung hati yang tak mampu membohongi rasa,
semakin menggeliat resah tentang dia,
tak terbersit sekejap saja,
gundah, gulana, nestapa, sengsara jiwa,
sejuta tanya, sejuta pasrah dan sejuta doa,
menusuk dalam benak yang rusuh,
selalu ada bayangnya yang menggelodak,
zuriat itu - Nurisya.

SMAHADZIR
Taman Damai,
Oktober 2010


PUISI 10
Janji Perkahwinan Abadi

Satu masa nanti kita pasti dirisik,
pertunangan sejak azali,
di hujung hidup berkahwin dengan maut,
hantarannya sakit dan nazak,
tetamu hadir menghadiahkan tangis,
pengantin dimandi dan dipakaikan baju putih,
wangian gaharu, bunga-bunga melur,
pengantin bersanding sendirian,
diarak keliling kampung,
berkompangkan azan dan kalimah kudus,
aqadnya talkin,
berwalikan liang lahad,
bersaksi nisan-nisan,
siraman mawar keluarga,
malam pertama bersama kekasih yang dindingnya tanah,
dan menuntut janji perkahwinan kullunafsin zaiqatul maut.

SMAHADZIR
Taman Damai
12.00 mlm 10.10.2010


PUISI 11
Aku Meradang Melihat Bangsaku

Aku meradang melihat bangsaku,
bangsaku ini mengaku beradab,
tapi sering biadab menyebar asap,
asap begitu membumbung tapi di mana bara api,
tak disangka tersimpan di dalam hati,
sesak paru-paru penduduk seperti dicekak,
seringkali tertelan sendiri gumpalan kahak di hujung tekak,
mulut pengap, nafas tak sedap,
berkecap seperti melahap.

Aku meradang melihat bangsaku,
bangsaku ini mengaku bersatu,
tapi sering berseteru menebar debu,
debu begitu menggunung tapi di mana angin berarak,
tak disangka terhembus di dalam benak,
pedih mata penduduk seperti dicucuk,
seringkali tergenang sendiri aliran air mata di pelupuk,
hidung mampat, hingus membatu,
bernafas seperti membeku.

Aku meradang melihat bangsaku,
bangsaku ini mengaku berhemah,
tapi sering beraksi melempar fitnah,
fitnah begitu menumpuk tapi di mana benarnya,
tak disangka terganjal di dalam akal,
sakit tenggorokan penduduk seperti dikelar,
seringkali tersedak sendiri getaran suara di leher,
kerongkongan gosong, batuk mengejan,
berbicara seperti mengigau.

SMAHADZIR
Pekan, Pahang
Oktober 2010


PUISI 12
Sesekali Pulang Ke Kampung
(sempena kepulangan berhariraya di Kampung Bukit Hijau, Baling - 2010)

Sesekali pulang ke kampung,
menyalami tangan sanak-saudara,
bertandang ke rumah sahabat-sahabat lama,
bertanya khabar kepada semua,
serasa akrab tali simpulan,
ikatan ukhuwah sesama agama,
walau taraf hidup jauh berbeza,
memang ketara,
kampung tidak sesesak kota,
kereta tidak sarat membecak jalan,
tak pernah berubah wajah,
beginilah,
sejak aku mula mengenal alam,
masa tidak pernah berdusta.

Sesekali bersolat jemaah,
sesama rakan taulan,
di masjid lama Bukit Hijau,
tepian kuburan hujung kampung,
mengundang rasa derita, menyiat jiwa,
seakan rabak luka tak terbawa,
pantas tergenang kolam air mata,
dan terus tumpah, pada dindingnya, yang berlubang asai,
tiang dan tangga semakin puhu,
atap berlubang tanah berselut,
bagai tak dipeduli, terkucil disimbah tempias kemajuan.

Masjid lama Bukit Hijau,
lewat empat puluh tahun dulu,
di anjungnya pernah bersimpuh ayah,
bercerita tentang usrah, israk mikraj dan hijrah Rasul,
dengan rotan menggedik di tangan,
mengarah kami membetul sebutan,
kalam Allah landasan hidup.

Sesekali pulang ke kampung,
terasa bergegar kehidupan nyaman,
bingar deruan lori memanjat bukit,
gempita enjin mesin penumbang pokok,
damai dan tenang lenyap menguasai masa,
terasa hidup dihimpit sengsara,
kemajuan telah menggadai kedamaian,
kekayaan telah menyirnakan kelestarian,
kemunafikan telah menjadi jubah pentadbiran,
di seluruh mandala air menjadi kontang,
kehidupan terus dilanda penderitaan.

Sesekali pulang ke kampung,
terkenang kemajuan kota,
subur dan tumbuh pelbagai,
mercu tanda dan bangunan canggih,
semakin menyentak sendu,
antara hutan batu tegak terbina,
sedang suasana kampungku,
sekadar sebuah monumen,
pengisi nota sejarah, luka dan tersisih.

SMAHADZIR
Kg Bukit Hijau, Baling
September 2010


PUISI 13
Dalam Tanah Yang Disebut Kehidupan
(Buat sahabat-sahabat SMSAH yang telah pergi...)

Dalam tanah yang mereka sebut keabadian,
aku bersemayam bersama ingatan tentang sahabat lama,
kudakap dan kuucap nama mereka satu demi satu,
sebelum lautan cahaya melarutkan kita dan waktu,
walau tiada aksara di sana,
walau tiada wujud yang serupa,
tanpa pernah tertukar aku menemuimu semua,
sebagaimana sahabat semua menemuiku,
empat, lima, dan enam,
berapa pun ramainya kita berkumpul,
perlahan-lahan lebur menjadi tunggal, dua, satu, dan kosong,
bersama kita lenyap menjadi tiada.

Dalam tanah yang mereka sebut kehidupan,
aku dan sahabat menangis dan meregang di antara ruang,
aku dan sahabat tersesat dalam belantara nama dan rupa,
masihkah kau mengenali aku?
masihkah aku mengenalimu?
jiwa kita tertawa dan berkata:
berjuta kelahiran dan kematian telah kita dayakan,
berjuta kata dan sabda telah kita ucapkan,
berjuta wadah dan kaedah telah kita mainkan,
hanya untuk tahu tiada kasih selain cinta,
dan tiada jalinan selain persahabatan,
meski tak terkira banyaknya nama dicipta,
meski tak terhingga rasa menjadi pembeza,
aku akan menemui sahabat semua,
sebagaimana sahabat semua menemuiku,
sahabat, jika kita berpecah raga,
satu, jika kita memadu raga,
tiada, jika hanya jiwa.

Inilah kenangan yang kucuri simpan,
sewaktu aku bersemayam dalam tanah yang mereka sebut keabadian.

Inilah kenangan yang kusisipkan di sela-sela mentari dan bulan,
yang kelak mereka bisikkan sewaktu kucari sahabat,
dalam belantara yang dinamakan kehidupan.

Ingatan pertama dan terakhir,
yang mengikuti sewaktu aku lahir,
yang bersembunyi hingga sahabat semua hadir,
yang menemani sewaktu udara usai mengalir.

Cinta dan sahabat,
sahabat dan cinta,
itulah jiwa yang terpecah dengan sederhana.

Sisanya fana.

SMAHADZIR
Banting, Selangor
2010


PUISI 14
Di Pantai Pertemuan
(Mengenang pertemuan sempena Hari Raya Aidilfitri 2010 dengan sahabat lama – istimewa untuk Zamri, Dr Alias, Zack, Bakar, Ishak Saiman, Khairudin, Alias Rawter, Nor Asri, Norizan, Zaini, Md Desa, Mahizan, abang Wahab dan abang Kahar)

Sewaktu menjenguk pantai pertemuan ini,
setelah lebih 30 tahun ditinggalkan sepi,
wajahmu sahabat-sahabat tetap seperti dulu,
laksana gadis pingitan yang malu dan asyik bersembunyi,
tanpa polesan kosmetik yang mewangi,
namun aku tetap menganyam rindu dan cinta sejati,
yang indah kugarapkan di kanvas puisi,
sejak mula memasang hasrat,
untuk bertemu lagi.

Aku di pertemuan ini,
memendam jelu yang tak pernah padam menggulat diri,
di mana aku pernah dihenyak sebuah tragedi,
yang episodnya silih berganti,
namun kuntuman insaf telah mekar di taman hati,
menggerbak mengapung dan menyelubungi,
seluruh ruang kehidupan abadi,
menyedarkan aku bahawa kehidupan ini harus ditelusuri,
dengan tulus dan teguh iman di sanubari,
selaras firman Ilahi, sejajar sabda Nabi.

Dan pasir-pasir di pantai pertemuan ini,
akan tetap menjadi penggarap monumen,
sebuah persahabatan dan jalinan keakraban,
masa-masa lampau yang sudah lama ditinggalkan,
perjuangan untuk masa depan di antara kita,
masih panjang dan penuh berliku,
dan perlu diteruskan.

Di pantai pertemuan ini,
aku cegatkan sebuah doa dan harapan,
agar segalanya akan dirahmati Azzawajalla,
yang limpahannya terus mengalir di sungai masa.

SMAHADZIR
Baling-Sg Petani, Kedah
September 2010


PUISI 15
Puteriku

Puteriku,
menjelang kakimu menjejak ambang dewasa,
pintallah benang–benang keimanan,
untuk pakaian seharianmu,
anyamlah tikar-tikar ketakwaan,
untuk sujud di depan Khalikmu,
jalinlah permaidani kebenaran,
untuk alas gerak-gerimu,
ukirlah hiasan kejujuran,
untuk pameran di ruang hatimu,
lukislah arca keikhlasan,
untuk huluran pemberianmu,
bentanglah sejadah kepasrahan,
untuk segala urusan Tuhanmu,
jangan kau lupa sebutlah nama Rabb-mu,
dalam setiap tarikan nafasmu,
agar engkau selamat,
tidak diperkosa dan dianiya,
oleh kaum durjana, kaum jin, kaum iblis yang serakah,
dan tidak diperdaya situasi masa,
yang memang sudah gila tak kenal usia.

Puteriku,
lindungilah tabir kesucianmu,
dengan sifat malu dan dengan benteng imamat,
yang berwujud pesona cahaya,
yang terpancar pada surah An-Nur,
ayat tiga puluh sampai tiga puluh tiga.

Kelak, jika tiba masanya nanti,
pilihlah suami yang soleh,
kuat agama, tidak miskin,
fasih menyebut ayat-ayat dan kalamullah - Al-Quran,
fasih mengumandangkan kebenaran dan keadilan,
setia dalam cinta,
jujur dalam berkata-kata,
setia dalam suka dan duka, nestapa dan lara,
dan setia dalam menjaga keluarga, anak isteri tercinta,
dari hal-hal yang tidak diredhakan Azzawajalla.

Lantas lahirkan dari kesucian rahimmu,
seribu generasi teladan,
seribu generasi pilihan,
sebagaimana disabdakan Junjungan,
sebagaimana difirmankan Tuhan,
yang terukir dengan impian surah Al-Kahfi ayat tiga belas.

Akhirnya, jadilah engkau seorang ibu sejati,
sepanjang hayat selagi dikandung badan,
hingga pada saatnya, akhir masa nanti,
engkau akan dikenali sebagai muslimah sejati,
puteri ayah yang hakiki,
puteri ibu yang molek pekerti,
penyuar akhlak dan moral para nabi,
untuk peradaban umat manusia ini.

SMAHADZIR
Banting
Julai 2010


PUISI 16
Tahajud Malam Sepi

Dalam kegelapan malam yang sepi,
aku bangun mengadapmu ya Rabbi,
dengan curahan air yang dingin malam bening,
mencari susur galur ketenangan yang hakiki,
air yang bercurahan,
penyegar jiwa yang kehausan,
merayap dingin ke seluruh jasadiah,
membasuh segala kekotoran,
melenyaplah segala kekusutan,
di atas hamparan sejadah yang suci,
takbir kuangkat mengapung langit kirmizi,
ya Rabbi,
terimalah segala pengampunan ini.

Hari silam adalah lembaran yang sarat dengan noda,
kejahilan menjadikan aku manusia gila,
hedonistik, kebendaan merajalela,
rumah Allah jarang bermain di mata,
aku terlalu jauh dalam jurang kealpaan,
sehingga aku tersungkur di lembah serakah,
syukur aku akas bingkas,
gesit menyarung pakaian keinsafan,
taubat nasuha kucegatkan,
kumohon maghrifah kurayu keredhaan,
agar segala dosaku diampunkan.

Tahajud malam sepi itu,
telah membawa aku ke langit yang jauh,
di bawah lautan yang terlalu luas,
terbentang sayup-sayup membawa ketenangan,
dan terdampar di pantai kesejahteraan,
niat yang hadir menyusul qiam yang diam,
rukuk, iktidal, sujud, iftirasy semua kulalui sarat ketakwaan,
tasyahud dengan linangan airmata keinsafan,
segala dosa silam kubiarkan lenyap dalam taslim dan muhasabah.

Ya Rabbi yang maha esa,
berilah petunjuk-Mu untukku meneruskan perlangkahan,
maya ini penuh lorong ke neraka,
jauhkan aku dari anasir-anasir durjana,
tetapkan imamat teguhkan mujahadah,
aku ingin khali dalam iman dan akidah,
moga tahajud ini menjadi pendorong,
untukku terus bermuhasabah,
agar hidup dilingkung berkah.

SMAHADZIR
Masjid KLIA
Ogos 2010


PUISI 17
Setelah Menjelma Lagi 31 Ogos

Setelah menjelma lagi 31 Ogos,
seperti tahun-tahun yang berlalu,
masih merdekakah anak bangsa setelah lebih 50 tahun?
masih merdekakah warganegara dalam minda?
masih merdekakah generasi remaja dalam mengharung pancaroba?
masih merdekakah kita dalam menghayati agama?
masih merdekakah?
sedang citra budaya dan maruah bangsa ibarat si buta yang meraba-raba,
tergapai-gapai mencari peribadi yang hilang entah ke mana,
tercungap-cungap umpama lemas tanpa udara,
yongyat laksana kolek di samudera luas saujana, menunggu karam dan bakal lenyap tanpa kesannya.

Sekalipun bangsa kita berhati perut berkata mesra tersenyum suka,
tatkala disepak dihenyak bahasa ibunda kita,
tatkala mahu dilenyapkan hak keistimewaan kita,
tatkala dihina sesuka hati raja berdaulat kita,
tatkala diperlekehkan agama Islam kita,
tatkala masjid dan surau kita dijadikan pentas sengketa,
tatkala bangsa kita disamakan dengan Sakai di belantara,
tatkala lagu Negaraku diubahsuai sesuka rasa,
tiada siapa pernah rasa dihina,
sekalipun berkali-kali dicerca.

Bangsa kita terlalu lunak dalam berbicara,
bangsa kita terlalu mesra dalam sengketa,
bangsa kita selalu senyum walau dihina,
bangsa kita hanya diam bila dicerca,
bangsa kita seolah-olah tiada maruah,
bangsa kita seolah-olah tiada berguna,
bangsa kita seolah-olah tiada beragama,
bangsa kita seolah-olah pengecut,
bangsa kita seolah-olah haprak.

Setelah menjelma lagi 31 Ogos,
kita pun melaung-laung ungkapan merdeka,
di segenap pojok dan pelosok,
sedang riwayat anak cucu Sang Sapurba itu,
jika seorang pemimpin yang jiwanya ibarat hamba,
pengecut lagi menikus,
justeru tidak layak bergelar pahlawan,
panglima di bumi sendiri,
jika seorang Muslim imannya senipis kulit bawang,
mudah disogok manisan kesenangan,
dikembungkan saku dengan kertas-kertas bernilai,
justeru tidak layak digelar mujahid,
pembela agama Allah di bumi sejati.

Jika demikianlah maknanya merdeka,
yang dinanti setiap kali 31 Ogos,
mustahil bahasa Melayu akan menjadi bahasa dunia,
mustahil raja Melayu akan bertakhta lama di singgahsana,
mustahil hak istimewa Melayu akan menjadi milik kita,
mustahil agama Islam akan menjadi agama resmi negara,
mustahil masjid dan surau akan lagi dibina,
akan tibalah juga waktu dan ketika sebuah kehancuran,
akan menjelma sebuah kelenyapan,
anak cucu kita nanti bakal menangisi sebuah kehilangan,
kerana nenek moyangnya telah menggali kubur sendiri,
lalu sama-sama menanam apa sahaja bentuk pusaka,
yang pernah menjadi milik kita sejak dahulu kala,
walau sudah disepakati bersama,
sekian lama sejak negara merdeka.

Setelah sekian 31 Ogos berlalu pergi,
setelah sekian banyak laungan merdeka dikumandangkan,
setelah sekian banyak peringatan diberikan,
setelah sekian banyak iktibar dipaparkan,
setelah sekian banyak keinsafan disuburkan,
bangsa kita tetap tak mahu memahami,
malah memandang sepi,
maka tunggulah waktunya,
kita akan merempat di tanahair sendiri.

SMAHADZIR
Stadium Bukit Jalil
31 Ogos 2010


PUISI 18
Rindu Masjid Nabawi

Kuukir arca rindu di Babus Salam,
gapura bersemadinya tafakur dan sujud,
semua Muslimin dari serata sudut,
bertemu di sini untuk niat yang sejati,
bertemu Khalik di Masjid Nabi,
mencari keredhaan sepenuh hati,
menyubur keinsafan di dasar nubari.

Kutadah tangan ini memanjat doa,
bukalah pintu hati yang sarat noda,
berjelaga dengan karat-karat dosa,
lepakan arca insafku dengan warna-warna redha,
dan canangkan pintaku dengan silau permata,
bagaimana seharusnya,
mahu aku beradu di kamar sebuah cinta,
Allah dan Rasul-Nya.

Aku datang dari jauh jutaan marhalah,
bertujuan satu sepolos pasrah,
aku ini insan biasa yang sentiasa kalah,
dengan ketajaman senjata noda dan serakah,
di Masjid Nabawi ini aku menitip mujahadah,
seluruh jiwa dan perasaanku kepada Allah,
bawalah aku ke puncak-puncak cinta,
senandungkan aku dengan irama-irama dari syurga,
sebelum bergegar tiupan sangkakala,
menutup pintu nasuha.

SMAHADZIR
Babus Salam, Masjid Nabawi
2009


PUISI 19
Perempuan Tua Di Lembah Sepi

Sungai yang berliku ini mengalirkan air mata lara,
seorang perempuan tua yang sering membilang usia,
di penghujung masa seorang perempuan tua di lembah sepi,
sabar dan resah dalam menanti,
setelah kehilangan suami,
anak-anak pula membawa diri,
mencari rezeki sendiri,
seorang perempuan tua adalah seorang ibu,
yang kasihnya tidak pernah dicatu,
ikhlas dan polos memberi restu,
menyarat dada anak-anak dengan ilmu,
tapi kini bila masa telah berlalu,
kesepian menghenyak kerana tiada siapa di sisi,
yang menjadi teman hanyalah rindu dan sepi,
kepada anak-anak yang bakal ditatapi,
pulanglah walau hanya sejenak,
jangan biarkan penantian ini menjadi sesak,
dalam harapan yang menghenyak,
dalam pilu tangis dan isak.

Perempuan tua melangu di ambang pintu,
setiap hari yang menjelma ditunggu dengan pilu,
bersama air mata yang mengalir lesu,
di hati berkata dengan sayu,
pulanglah wahai anak-anakku,
biar hanya sedetik waktu,
untuk mengubat luka rindu di hati ibu,
kerana di dada nafas kian sesak,
dalam gamitan tangan-tangan yang sering mengajak,
kembali ke alam barzakh,
pulanglah anak-anakku,
sebelum penyesalan bertamu,
sebelum kepergian ibu.

SMAHADZIR
Persiaran Gurney, Pulau Pinang
April 2010


PUISI 20
Melihat Daun-daun Kering

Di suatu senja,
sewaktu menguak pintu-pintu silam,
ada daun-daun kering yang rontok,
lalu bertunaslah kudup-kudup pilu,
jelu dan terharu,
mencengkam di lubuk kalbu,
betapa usiaku juga begitu,
kian tua dan bakal merontok seperti daun-daun kering itu.

Melihat daun-daun kering yang rontoh berselerakan,
fikiranku melayang kepada rakan-rakan seperjuangan,
kini sudah ramai yang tiada lagi,
ke pangkuan Khalik tempat bersemadi,
benarlah firman Ilahi,
setiap yang muda akan menemui tua,
setiap yang bernyawa akan menghadapi mati,
daun-daun juga begitu,
kalau dulunya hijau segar di hujung julai,
kini rontok satu persatu menyembah bumi.

Kuselak kembali janji-janji Ilahi,
melalui ayat-ayat dalam kitab suci yang memang tidak dapat dinafi,
amalan baik balasan syurgawi,
amalan jahat neraka yang hakiki,
lalu terpacaklah pancang keinsafan di dasar sanubari,
sebuah istiqamah buat introspeksi,
dalam menjalani sebuah kehidupan yang abadi,
aku harus menjadi insan yang diredhai,
yang taat kepada ajaran Nabi,
yang setia kepada firman Ilahi.

SMAHADZIR
Hadapan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam
Julai 2010


PUISI 21
Anak-Anakku
(buat anak-anakku yang sering membenamkan kata-kata, 'lemparkan duka itu jauh-jauh...')

Anak-anakku,
dari rahim ibu yang disalut kegelapan,
diberi hidayah melihat kehidupan,
perlangkahan penuh ranjau dan cabaran,
kalian adalah permata yang berkilauan,
penyeri sungai kebahagiaan,
penyubur pohon keindahan,
penyegar daun kesengsaraan.

Dengan jerit tangis senda gurau tawa riangmu,
itulah kebahagiaan yang mengisi ruang,
itulah suara-suara anugerah Yang Maha Esa,
yang nilainya intan permata,
kami rela bertarung nyawa,
demi kesenangan zuriat tercinta,
tidak pernah kami mengharap,
balasan dan imbalan jasa,
yang telah tercurah.

Anak-anakku,
bawalah segala ilmu akhlak dan peribadi luhur,
ke muara sungai hidup,
binalah pulau yang makmur,
disalut pakaian takbur,
ratiplah zikir-zikir syukur,
selalulah bertafakur,
untuk membina diri yang zuhud.

SMAHADZIR
Shah Alam, Selangor
20 April 2010


PUISI 22
Sebelum Ramadan Pergi

Dalam langkah menguak duri hari,
padang putih terbentang saujana,
kuhampiri mercup tunas takwa,
bebunga syurga kembang pancawarna,
meliuk dipuput pawana syurga.

Di muka jambatan emas,
hurul aini menuangkan narwastu,
memenuhi segenap cangkir waktu,
di sana sudah berbaris para aulia,
melaungkan zikir tasbih jernih bersilih,
dengan suara semerdu simfoni yang lirih,
sewaktu kemilau ufuk diterjah nur Ramadan,
hati nirmala terluang seluas pasrah,
dari langit terbias seribu duga,
dengan dingin hujan, dengan pijar sinaran.

Tangan-tangan iman seluruh umat,
biar akrab kudus wuduk setiap saat,
agar ampuh menguak gerbang ujana syurgawi,
dengan setiap butir zikir dan rentetan panjang tahmid dan takbir,
segera luruskan saf-saf hadapan selurus patuh dan takwa anbia,
menjelang sore ketika mersik muazin melontar alun,
kembalilah ke dalam barisan,
dengan tangan berganding setelah sekian lama terasing.

Malammu Ramadan adalah denai ke laman jannah,
memetik bebunga mekar narwastu,
hingga santak dinihari,
pasrah belum teruji pasti,
sehingga saat kembali meraih mimpi,
dan malam pun jangan sampai terbuang usang,
tanpa sujud yang panjang,
dan subuh itu jangan sampai kecundang ditujah ilalang.

Di padang putih ini,
anak-anak hilang di celah rumpun tawaduk,
memilih tangkai benih bernas bersih,
dicambah ketika melewati jambatan itu,
buat bekalan seberkat azimat,
di pintu kiamat,
nun, santaklah keranjang ibadat,
ketika purnama Syawal cagun tercegat,
berkibar panji-panji taufik dan hidayat,
bersama gema takbir yang hebat.

Inilah padang putih itu,
medan permainan anak-anak mengusir nafsu,
dan semuga nurani insani,
berubah bersih,
setelah melalui Ramadan yang mulus!
sepurnama itu, siapkah sebuah lorong tanpa ranjau?
menyambut takbir mengimbau,
menangislah!
sementara menanti saat diberi kunci,
membuka hati,
sebelum Ramadan pergi.

SMAHADZIR
Banting, Selangor
2010


PUISI 23
Petani Berwajah Lesu
(mengenang banjir yang melanda di sekitar daerah Baling)

Kala simbahan hujan merudum garang,
menyimbahi dada usang ladang dan bendang,
kebun dan sawah basah bergenang,
kalau dulu bermusim sudah kering gersang,
tanah merekah semua saliran kontang,
apabila banjir tiba-tiba menjenguk,
pohon padi kini habis reput terjeruk,
hidup petani tambah terpuruk,
hilang lenyap tempayan dan geluk,
dibawa air ke dalam lubuk,
ke pusat perpindahan duduk sementara,
makan tidur bersama sanak-saudara,
berkunjunglah semua manusia seagama,
menghulurkan bantuan apa yang ada,
namun petani wajahnya lesu,
hidup mendatang tentulah dalam sendu,
kerugian melanda tak kenal jemu.

Petani berwajah lesu,
mengenang anak-anak tak bersekolah sudah berminggu,
banjir yang datang bertamu,
membawa bersama pakaian dan buku,
jelu hati didakap pilu, sengsara jiwa dipeluk sendu,
menagih simpati kepada kerajaan,
tidur tak lena dirasuk kebimbangan,
doanya sentiasa kepada Tuhan,
janganlah musibah ini berpanjangan,
pohon kembalikan segala kebahagiaan.

Setelah banjir kian mereda,
petani pulang dengan perasaan yang hiba,
melihat rumah dan segala harta benda,
bagai diamuk serangan garuda,
padi di bendang menjadi rata,
bersimbahanlah air mata,
pasti kehidupan digulat derita,
berbekal kedhaifan yang tak pernah dipinta,
duka lara menghiris jiwa hamba,
basah dalam rembas hujan sengsara,
sesekali pak menteri dan YB tiba,
untuk menghitung kerosakan yang ada,
kehilangan nyawa dan harta benda,
kepada petani diminta redha,
ini semua takdir Yang Esa,
ke hadapan Allah doa dipinta,
harapkan bencana tak berulang tiba,
namun dalam hati petani berkata,
segala bencana segala malapetaka,
kerana tangan manusia,
yang melakukannya.

SMAHADZIR
Ogos 2010


PUISI 24
Kehadiran Seorang Bapa
(Mengenang bapaku yang telah lama pergi...)

Seperti dian yang menyala terang,
pada penghujung waktu akan cair jua,
lalu mengalir membasahi lantai dan membeku,
hening pun menyapa menutup lawang hari,
tinggallah kenangan dan sinar yang pernah menerangi,
mengakhiri sejarah panjang,
di penghujung usia yang tetap bertandang.

Seperti seorang petani rajin yang datang dalam hidupku,
menaburkan benih-benih ilmu menyarat padang mindaku,
lalu suburlah pohon-pohon sarat buah dan bunga mengharum,
dialah seorang bapa yang suatu ketika dulu membawa senyum,
menerangi jalan hidup yang gelap,
betapa dalam gelintin jagat raya,
dia telah perkenalkan aku dengan cahaya di ruang maya,
mentari dan bintang cakerawala di langit tujuh,
sehingga seluruh alam buana ini,
serta segala isi,
semuanya menjadi milikku yang hakiki.

Kehadiran seorang bapa dalam hidupku adalah suatu anugerah,
mengenalkan aku dengan indahnya warna bianglala,
tapi lepas itu,
dia kulupakan setelah aku berada di mercu,
kukira bapaku itu kesepian dihenyak usia yang kian uzur,
bersama kenangan berbakti dalam sejarah hidupmu,
tanpa sebarang rasa kasih dan pingat jasa bakti,
aku anak kandungmu yang sudah tersohor,
yang telah engkau berikan jamung dan obor.

Tetapi pada hari bapa yang diberkati ini,
kudakap wajah bapaku dalam kenangan sepenuh hati,
seorang anak yang pernah engkau marahi,
kini telah menjadi seorang insani,
yang akan berbakti menyambung budi silammu.

SMAHADZIR
Kuala Lumpur – Ipoh


PUISI 25
Tersimpul Kasih Buat Pertama Kali
(sempena pertama kali menjejakkan kaki di Surakarta)

Desiran berita diterima,
kemelut warna rasa – terpesona, nalar terus bicara,
enam purnama hanya sementara,
aku diterima sebagai tamu di lembah indah,
tersergam gagah gedung ilmu,
seperkasa mahligai dalam lakaran lipur lara.

Tapak mula melakar,
senyum mula melempar - bersua pertama,
membuah rasa naïf anak sebangsa seagama,
benar madah lama ‘tak kenal maka tak cinta’,
tunas mesra subur tanpa diduga,
kini tapak-tapak telah penuh, dalam lorong perjalanan,
membedah lautan ilmu,
antara kuliah pembelajaran,
Malim Deman perkasa menawan Puteri Bungsu,
lalai dan lali dalam dakapan si Kembang Cina,
kembali jadi lelaki bila sempadan diri diterjah malu,
sama sikap lelaki dalam Rama,
benturan nilai meledak antara Rama-Rawana,
Sita jadi penentu,
kasih cinta suci sesuci sumpah dewi.

Kerakusan Rawana musnah,
jadilah Ramayana iktibar buat semua,
walau kita berlainan percaya,
iktibar terus menjalar lebar,
Pandawa dan Korawa - dua sosok diri manusia,
berlainan rona dan cita,
medan Kurukshetra jadi tanda,
Krishna memacu kuda,
kualiti dan kuantiti,
menjadi pemisah antara dua.

Kekuatan akal budi,
menjadi lilitan ampuh,
Pandawa berjaya merungkai kemelut penyakit jiwa saudara,
bahagia di akhir menjadi bunga iktibar kehidupan.

Bahagia seindah kuntum cinta,
antara Inu Galuh - dua sosok tegar memagar cinta,
merentas benteng halangan,
cinta kepada negara,
kekuatan akal budi dilakar perkasa,
tokoh Tuah seorang wira, ‘takkan Melayu hilang di dunia!’,
sumpah taat setia, sumpah menjunjung maruah bangsa,
melakar indah mempesona,
menjalin benang percaya,
dalam bundelan warkah lama,
Sastera Hikayat, Sastera Sejarah,
menyatu namun arah berbeza.

Tapak-tapak sampai di penghujung,
semoga dalam warkah lama - bersua lagi,
untuk kita mengenal diri,
menghirup madu warisan,
yang menghidup rongga fikir bangsa.

SMAHADZIR
Surakarta, Indonesia
2 Mei 2009


PUISI 26
Puisi Akhir Tahun


Sesak langkah kehidupan menempuh alam dunia,

menghabiskan waktu yang tidak lama,

usia bertambah senja tanpa terasa,

semakin dekat akhir tahun,
menjelang tiba.


Akhir tahun sebagai sarana evaluasi,

melihat kualiti hidup dari aspek diri,

menjadi kualiti peribadi yang mandiri,

untuk mencapai prestasi yang hakiki.


Era baru datang menyongsong,

persiapkan diri jangan sampai kosong,

jangan mimpi di siang bolong,

perjuangan hidup terus disokong.


Patah tumbuh hilang berganti,

semangat bersimpuh tanpa henti,

untuk hidup yang lebih baik dan hakiki,

semoga Azzawajalla meredhai.

SMAHADZIR
Pulau Ketam, Selangor
Mei 2006


PUISI 27
Tanah Ini Warisan Kita

Hitam putih warna sejarah silam kala terjarah,
dalam belenggu hitam durja yang gundah,
kita terhina sujud di bawah telunjuk serakah,
maruah lenyap terpanar di henyak kaki penjajah.

Lorong waktu membiak tunas insaf seluruh warga,
musibah lalu jangan lagi meragut sejahtera wangsa,
tanah ini warisan kita pesaka warisan pejuang,
dari darah, dari keringat dan semangat menjulang,
bangsa melayu, bangsa peneraju mewangi seribu restu,
melimpah sejuta anugerah dari rahmat teguh bersatu,
menjulang wawasan gemilang ke puncak persada mercu,
membias bayu kecundang jelmaan cemburu sejuta seteru,
anak-anak melayu tercinta,
hulurkan tangan memalu genta kelangsungan merdeka,
rapatkan barisan keramat berbekal azimat muafakat,
teguhkan tunjang kuasa wibawa presiden di puncak utama,
lenyapkan suara-suara angkuh rusuh dengan minda yang ampuh.

Tanah ini warisan kita,
pewaris pejuang bangsa,
tempat bermula dan berakhir,
di sini kasih terukir,
setia pertama dan tempat hayat berakhir!

Alaf ini tempoh memacu asmara cinta berahi bumi pertiwi,
membilas noda hitam dari kemelut sengketa selisih semalam,
muhibah rimbun, mesra anggun, menghijau santun,
tanah ini rumah terbaik,
takhta tonggak tercantik,
di sini arena perjuangan bangsa terdidik,
bersama mengorak langkah,
berkongsi arah membina tugu terindah,
sahutlah gemersik suara merdangga seruan perjuangan,
panji kebebasan biar lestari kukuh dalam genggaman,
tanah ini milik hakiki zaman berzaman,
jangan sampai berulang lagi diulet kehinaan.

Kita bukan tidak pernah berada di puncak,
tetapi kita kehilangan rentak di tengah pencak,
melerai simpul perjuangan atas desak kehendak,
merungkai ikatan takzim di pangkal riak membuak,
padahnya kita bakal kehilangan tonggak,
runtuh gah peradaban dibaur kental gejolak ahmak.

Tanah ini warisan kita,
pewaris pejuang bangsa,
tempat bermula dan berakhir,
di sini setia terukir,
cinta pertama dan terakhir!
ini darah kita, nafas kita, roh dan jiwa generasi merdeka,
tonggak ini maruah kita, citra kita, martabat daulat perkasa,
kesatuan ini wadah wacana hitam putih katalis wibawa,
tanah ini warisan kita,
tempat nafas bermula dan denyut nadi berakhir,
biar luluh jiwa raga,
darah setia tetap mengalir,
di sini kasih terukir,
setia pertama dan tempat hayat berakhir,
biar sampai darah terpercik,
janji ini tiada mungkir.

SMAHADZIR
Dataran Merdeka
Mei 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan