Ahad, 7 November 2010

Tragedi Pemikiran Melayu

SYED MAHADZIR

Fikiran merupakan asas di dalam berlogika, sebenarnya apakah yang disebut dengan fikiran itu? Apakah semua orang sudah menyedari bahawa fikiran boleh bekerja sendiri secara automatik dan juga boleh bekerja dengan tuntunan si pemilik fikiran?

Sebagaimana telah diketahui bahawa ilmu logika pada dasarnya adalah untuk mempelajari soal hukum dan rumusan berfikir. Apa yang menjadi pertanyaan kita adalah semua pemikiran yang sering kita kemukakan dan pemikiran seseorang yang disampaikan kepada kita dinilai logik atau tidak?

Membicarakan hal serupa ini terasa sukar, sukar kerana kebanyakan kita yang hanya berfikir melalui pengaruh. Pengaruh naluri, apa yang kita rasakan, apa yang kita yakini, pengaruh fikiran dalam kelompok ahlinya, bagaimana kecenderungan peribadi dan sokongan maklumat apa yang kita dapati, maka itulah yang akan kita sampaikan sebagai buah fikiran.

Namun demikian terdapat sebahagian kita yang mengemukakan buah fikirannya dengan mengikut emosi seperti caci-maki, kata pujian atau pernyataan kehairanan dan kekaguman, bertujuan mengatakan fakta apa adanya atau hanya sekadar ingin memutarbalikkan fakta, bertujuan untuk memperoleh keuntungan peribadi dan kelompok atau untuk tujuan kebenaran dan lain-lain.

Bagaimana cara kita untuk mengetahui apa yang disampaikan seseorang dalam buah fikirannya adalah merupakan tugas ilmu logika untuk mengukurnya. Ilmu logika akan menyelediki, dan menilai buah fikiran seseorang dengan cara serius dan terpelajar serta bertujuan mendapakan kebenaran terlepas dari segala kepentingan. Merumuskan, menetapkan dan memberikan hukum-hukum yang harus ditaati agar manusia boleh berfikir benar, efisien dan teratur. Konsep logik melakukan hal serupa di atas dengan dua cara, pertama dengan meneliti konsep logik formalnya, iaitu melakukan penelitian terhadap kaedah logikanya, hukum-hukum logikanya yang digunakan, apakah sudah tetap atau masih berubah dalam menarik kesimpulan atau rumusannya.

Kedua dengan melakukan penelitian terhadap logika kezahirannya, persesuaian antara fikiran yang diutarakan dengan kenyataan. Maka konsep fikir berdasarkan logika dan sumber kerohanian terdapat perbezaan yang akan dikenali melalui penelitian yang halus.

Asas Berfikir

Sebahagian besar individu sering menzahirkan fikirannya dalam bentuk tulisan, perkataan, perbualan, isyarat dan sebagainya. Fikiran yang disampaikan itu tentu beraneka ragam, ada yang kelihatannya bagus dan masuk akal, ada juga yang kelihatan bagus tetapi tidak masuk akal, ada juga yang kelihatannya tidak bagus tetapi masuk akal dan ada juga yang tidak bagus dan tidak masuk akal pula.

Sekarang bagaimana cara kita untuk membezakan manakah buah fikiran yang bagus dan manakah buah fikiran yang tidak berasas? Untuk membezakannya kita boleh menggunakan atau menerapkan fakta dan teori serta hukum-hukum logika yang sudah ada. Hukum, fakta dan asas logika sering juga disebut sebagai ‘Asas Berfikir’.

Asas sebagaimana yang kita ketahui adalah pangkal atau asal dari mana sesuatu itu muncul dan dimengertikan, atau disebut sebagai asas fikir sesuatu di mana sesuatu itu bermula. Dalam hal ‘asas pemikiran’, maka yang disebut dengan asas pemikiran adalah pengetahuan di mana pengetahuan lain muncul dan dimengerti. Muatan asas ini bagi kelurusan berfikir adalah mutlak, dan salah benarnya suatu pemikiran bergantung kepada salah benarnya asas-asas ini. Ia adalah dasar daripada pengetahuan dan ilmu. Asas berfikir itu dapat dibezakan melalui:

Pertama, Asas Pengenalan Kedirian, iaitu sebuah asas yang paling mendasar. Fakta yang diasaskan melalui asas KEDIRIAN mengatakan bahawa segala sesuatu itu adalah dirinya sendiri BUKAN yang lainnya. Contohnya, Jika kita mengakui bahawa sesuatu itu adalah MEJA, maka ia adalah MEJA, bukan KERUSI, ALMARI ataupun yang lainnya. KEDIRIAN MEJA adalah MEJA sendiri. Kalau kita mengenali seseorang bernama A, maka yang dimaksudkan dengan nama A adalah A yang menunjukkan KEDIRIAN seseorang yang kita kenali, bukan A yang lainnya dan bukan pula A yang ada persamaan namanya.

Kedua, Asas PERCANGGAHAN iaitu sebuah aturan dasar yang mengatakan bahawa pengingkaran sesuatu TIDAK MUNGKIN sekaligus sebagai pengakuan terhadap sesuatu itu. Misalnya kita mengatakan benda itu BUKAN A, maka tidak mungkin sekaligus kita mengakui benda itu adalah A sebab kedirian A yang kita maksudkan adalah A yang sama sebagaimana yang dimaksudkan oleh Asas Pengenalan, bahawa segala sesuatu itu adalah dirinya sendiri. Dengan kata lain boleh dirumuskan bahawa tidak mungkin dua kenyataan yang bercanggah menyatu secara bersamaan sekaligus. Tidak mungkin menyatu kebenaran dan kebatilan sekaligus pada detik yang sama, tertawa sekaligus menangis, pergi sekaligus tidak pergi dan seterusnya. Asas berfikir pada dasar ini mengatakan bahawa ‘Tidak ada pernyataan yang sekaligus benar dan salah.’

Ketiga, Asas PENAFIAN kemungkinan ketiga iaitu sebuah aturan mendasar yang mengatakan bahawa antara pengingkaran dan pengakuan maka kebenaran terletak pada salah satunya. Pengakuan dan pengingkaran merupakan pertentangan mutlak, kerana itu di samping tidak mungkin benar keduanya juga boleh dipastikan tidak mungkin salah keduanya. Asas ini menolak kemungkinan ada kebenaran yang ketiga.

Dalam surah al-Kahfi diceritakan bagaimana Nabi Musa ingin berguru dengan Khidhir. Khidhir mulanya menolak, namun Nabi Musa terus mendesak. Perhatikan redaksi Al-Quran ketika mengutip penolakan Khidhir, ‘Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana kamu dapat sabar atas sesuatu yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu?’. (QS 18:67-6)

Khidhir menolak Nabi Musa bukan dengan argumen bahawa Nabi Musa itu bodoh atau malas. Khidhir menolak Nabi Musa kerana Nabi Musa tidak akan boleh bersikap sabar. Soalnya, kata Khidhir, bagaimana kamu boleh sabar pada persoalan yang kamu tidak punya ilmu tentangnya? Begitulah yang terjadi. Nabi Musa selalu memprotes dan menyalah-nyalahkan perbuatan Khidhir yang dipandang dari sudut pengetahuan Nabi Musa, merupakan perbuatan yang keliru.

Sayang, kita jarang mahu belajar dari kisah Khidhir dan Nabi Musa ini. Seringkali kita sebar kata ‘sesat’, ‘kafir’, ‘menyimpang’, ‘bid’ah’ kepada saudara-saudara kita, yang dipandang dari sudut pengetahuan yang kita miliki, melakukan kesalahan besar. Kita menjadi emosional, kita menjadi tidak sabar. Pada saat itu, ada baiknya kita ingat kembali kisah Khidhir dan Nabi Musa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan