Isnin, 8 November 2010

Berhati-hatilah Dengan Al-Ghaugha Dalam Masyarakat Sekarang

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Dalam sejarah Islam, kemunculan ekstremis agama bermula apabila berlakunya fitnah yang menyebabkan kematian khalifah ketiga, iaitu Saiyidina Uthman Ibn Affan r.a. Penolong kegiatan ke arah tersebut adalah percampuran api fitnah politik dengan pelampau agama. Sekalipun Khalifah Uthman cuba menyangkal kebanyakan daripada fitnah itu serta kesilapan yang dilakukan dalam pemerintahannya, namun puak pelampau berusaha menyalakan api fitnah untuk menghukum khalifah dan menghasut supaya membunuhnya.

Saiyidina Ali bin Abi Talib yang menggantikan tempatnya menyebut peristiwa itu sebagai fitnah dan huru-hara besar, manakala orang ramai yang terlibat di dalam kancah rusuhan itu dikenali sebagai al-ghaugha. Al-ghaugha adalah satu gerakan massa yang melampau dan tidak diketahui siapa pemimpinnya. Mereka berkumpul kerana disatukan oleh rasa kemarahan yang sama. Biasanya sasaran kemarahan itu ialah ‘kuasa yang diwujudkan’. Namun setelah ia berhasil melaksanakan apa yang diinginkan, ia kemudiannya perlahan-lahan menghilang dan kembali ke tempat masing-masing secara normal.

Mereka menampilkan keperibadian seorang insan yang normal. Kemungkinan juga di dalam al-ghaugha itu wujud pakatan jahat yang diterajui oleh kekuatan yang tidak diketahui dengan tujuan untuk menghancurkan Islam. Mereka mungkin didalangi oleh golongan munafik moden. Mengenai al-ghaugha ini, Saiyidina Ali menjelaskan perwatakannya secara puitis: ‘Mereka adalah kelompok orang yang apabila berkumpul sangat membahayakan, dan apabila berpisah mereka sangat menguntungkan.’ Orang bertanya, ‘Kami mengerti akan bahaya kumpulan mereka, tetapi apa manfaat perpisahan mereka.’ Ali menjelaskan, ‘Orang yang bekerja kembali kepada pekerjaan asalnya sehingga memberikan manfaat kepada masyarakat, iaitu tukang bangunan ke tempat bangunan, tukang tenun ke pertenunan dan tukang roti ke dapur membuat roti.’

Jadi, al-ghaugha adalah kumpulan manusia biasa iaitu perkumpulan orang-orang normal. Tetapi kekuatan ‘luar biasa’ yang telah mengumpulkan mereka dan menjadikan mereka ganas. Sebelum menjadi al-ghaugha, mereka adalah anggota masyarakat yang memberikan sumbangan masing-masing kepada masyarakat. Setelah menjadi al-ghaugha, mereka kehilangan arah, tunduk kepada kemahuan massa dan seakan-akan mereka dirasuk. Sikap seumpama ini menjatuhkan martabat mereka sebagai manusia dan secara tidak langsung telah menuruni beberapa anak tangga peradaban.

Mengenai al-ghaugha ini Khalifah Al-Ma’mun berkata, ‘Setiap kejahatan dan kezaliman di dunia ini berasal dari al-ghaugha. Merekalah pembunuh para Nabi bahkan sesiapa sahaja yang dianggap musuh. Mereka memecahbelahkan masyarakat, para pemimpin dan rakyat dan merosakkan orang-orang yang saling berjuang untuk kebaikan. Dalam kalangan mereka ada pencuri, perompak, guru, ustaz dan lain-lain lagi termasuk yang bergelar ulama dan orang-orang sombong dan bongkak yang suka membawa fitnah kepada pemerintah.’ Khalifah Al-Ma’mun yang tersohor mungkin agak keterlaluan dalam mendefinisikan al-ghaugha kerana situasi pemerintahannya yang agak keras, khususnya dalam menghadapi musuh-musuh politiknya.

Al-ghaugha sebenarnya bukanlah satu kumpulan manusia yang jahat kerana ia lahir dan bertindak akibat dari sesuatu yang jahat yang menjadikan mereka tidak berpuas hati. Mereka bertindak atas tujuan dan niat yang sama yang akhirnya menimbulkan satu suasana yang boleh memecahbelahkan sesiapa sahaja, pemerintah, masyarakat mahupun individu-individu tertentu. Sesiapa sahaja mungkin akan bertindak sedemikian rupa sekiranya ia berhadapan dengan apa yang dihadapi oleh al-ghaugha.

Mungkin sesuatu itu adalah perasaan tidak berdaya seseorang individu ketika berhadapan dengan sistem yang dianggap telah menindasnya. Kadang-kadang, al-ghaugha ini termasuk juga golongan bijak pandai yang mempunyai kepentingan politik lalu menciptakan al-ghaugha untuk memancing di air keruh atau melempar batu sembunyi tangan. Justeru, Saidina Ali menjelaskan segala sebab dan akibat terjadinya rusuhan sosial adalah dicetuskan oleh al-ghaugha. Dan al-ghaugha itu disebutnya sebagai fitnah dan dianjurkan kita agar berhati-hati dengannya.

Dalam hal ini Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: ‘Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.’ (surah a-Anfal: 25)

Fitnah-fitnah yang dicetuskan oleh al-ghaugha yang dalam sejarah ketuanya ialah Abdullah bin Saba’ inilah yang mencetuskan perang antara Aishah dengan Ali, Muawiyah dan Ali (Perang Siffin), lahirnya gerakan Khawarij dan tumbangnya Bani Umayah oleh kekuatan Bani Abbasiyah. Ingatlah firman Allah yang bermaksud: ‘Dan (ingatkah bahawa angkara) fitnah, iaitu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.’ (surah al-Baqarah: 191)

Dalam apa juga tindakan, janganlah kita jadi seumpama al-ghaugha kerana akibat dan kemudaratannya boleh menghancurkan sebuah peradaban. Segala sesuatu perkara yang menimbulkan ketidakpuasan hati haruslah diselidiki dengan tenang kerana ketenangan itu adalah dari Allah dan gopoh-gapah itu adalah daripada syaitan (maksud hadis). Apa juga berita yang diterima harus diperiksa kesahihan fakta-faktanya kerana mungkin ia hanya bersifat provokasi atau fitnah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan