Isnin, 8 November 2010

Budaya Pelita Menjelang Syawal

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Tidak berapa lama lagi kita semua akan menyambut kedatangan Syawal. Lantaran itu saya teringatkan pelita kerana semasa saya kecil dulu pasang pelita pada malam menjelang Syawal merupakan sesuatu yang mesti dilakukan. Mungkin tidak ramai generasi hari ini yang pernah mengalami suasana berhari raya di kampung. Beraya di kampung dianggap kurang meriah jika tidak merasakan suasana malam likur.

Likur bermaksud kiraan antara 20 hingga 30. Justeru satu likur bermaksud malam Ramadhan ke 21. Dua likur bermaksud malam Ramadhan ke 22. Dalam budaya Melayu di kampung-kampung, malam tujuh likur adalah malam yang paling meriah. Pada waktu itulah kampung-kampung terang benderang bermandikan cahaya dan gegak gempita dengan bunyi meriam katak, meriam buluh, meriam batang kelapa, bunga api serta sorak-sorai kanak-kanak dan dewasa.

Malam 7 likur dianggap malam keramat yang istimewa. Kebanyakan masyarakat Melayu percaya bahawa pada malam itulah malaikat akan turun menziarahi masyarakat Islam. Kehadiran cahaya di sekeliling rumah seolah-olah mengalu-alukan kedatangan mereka.

Keseronokan malam tujuh likur lebih dirasai oleh kanak-kanak kerana mereka seolah-olah mendapat permit untuk terus bermain-main melewati waktu tidur. Pada malam itulah mereka akan berseronok bermain bunga api.

Beberapa persiapan dilakukan sebelum ketibaan malam tujuh likur. Orang kampung akan bersedia memacakkan tiang-tiang setinggi 1 meter yang disusun jarak antara 1 meter hingga 2 meter, sekeliling halaman rumah. Di puncak tiang akan dipasang papan untuk menempatkan pelita. Ada juga orang kampung yang memaku bahagian atas tiang supaya pelita boleh disangkutkan di situ.

Pelita yang bersumbu akan diletakkan di tiang itudan kemudian dinyalakan pada malam hari. Sumbu merupakan benang atau kain yang dipasang pada lubang persumbuan pelita. Fungsi sumbu ialah untuk menyerap minyak tanah dari dalam pelita dan mengekalkan nyalaan api pada pelita. Sumbu akan ditarik ke atas sekiranya sumbu itu sudah semakin pendek dek dibakar api.

Pelita yang digunakan berbeza mengikut tempat, daerah dan negeri. Kebanyakan kampung di Semenanjung menggunakan pelita ayan biasa atau pelita ayan berkaki. Yang kurang berkemampuan akan membuat sendiri pelita mereka. Ada yang menggunakan tin-tin susu kosong sebagai ganti pelita ayan. Tin kosong itu diubahsuai dan ditebuk lubang di tengah bahagian atas untuk lubang sumbu. Kemudian tin kosong itu diletakkan sumbu dan diisi minyak tanah.

Ada masyarakat kampung yang lebih kreatif dalam pembuatan pelita menjelang Ramadhan. Di kampung saya iaitu Kampung Bukit Hijau, Baling misalnya, masyarakat kampung menggunakan buluh untuk membuat pelita. Buluh sepanjang dua atau tiga ruas dipotong dan permukaan buluh ditebuk lubang untuk diletakkan sumbu. Melalui lubang itu jugalah akan diisi dengan minyak tanah. Pelita itu dinamakan pelita buluh atau pelita panjut dan akan diikat pada tiang di sekeliling halaman rumah.

Masyarakat Melayu di kampung saya ini turut mengadakan pertandingan pelita panjut pada bulan Ramadhan. Bilah buluh akan dipotong dan disusun untuk membentuk binaan arca yang diingini. Jelas, pertandingan pelita panjut di kampung saya bukan sahaja menambahkan kemeriahan Ramadhan tetapi juga mengeratkan hubungan dan menyatupadukan masyarakat.

Masyarakat Melayu yang tinggal di sesetengah kampung masih mengamalkan budaya pelita menjelang raya. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu yang tinggal di flat, rumah pangsa atau kondominum budaya pelita pada malam tujuh likur tidak lagi dapat dikecapi. Sistem perumahan hari ini yang kebanyakannya rumah pangsa atau rumah yang bertingkat-tingkat telah mengikis budaya berpelita.

Walau bagaimanapun, masyarakat Melayu di taman-taman perumahan masih lagi mengekalkan suasana malam tujuh likur yang meriah dan terang benderang. Kini, pelita-pelita telah pun digantikan dengan lampu kelap kelip yang berwarna warni dan berbagai reka bentuk. Biarpun suasananya berlainan, lampu kelap kelip lebih selamat dan tidak mudah mengakibatkan kebakaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan