Ahad, 14 November 2010

Al-Hambra - Bukti Kejayaan Islam Di Sepanyol

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM


PEMBACA tentunya sudah mengenali salah satu bangunan monumental dengan sejarahnya yang cukup panjang, yakni Istana al-Hambra. Al-Hambra dalam bahasa Arab hamra’ bentuk jamak dari kata ahmar yang bermakna ‘merah.’ Kerana bangunannya banyak dihiasi dengan ubin-ubin, batu-bata berwarna merah, serta penghias dinding yang agak kemerah-merahan dengan seramik yang bernuansa seni Islam, di samping marmar-marmar yang putih dan indah. Ada juga yang berpendapat bahawa al-Hambra dinamakan demikian kerana diambil dari seorang pendirinya yakni al-Ahmar. Hingga kini bangunan bernilai tinggi seni arkitektur ini memperlihatkan peradaban tinggi orang-orang Islam suatu ketika dulu. Istana ini terletak di Bukit La Sabica, masih tetap berdiri sebagai bukti kejayaan Islam di Granada, Sepanyol.


Menurut cacatan sejarah, awal kedatangan pasukan Islam kerana mendengar khabar dari Julian, seorang Gabernor Ceuta, yang memohon kepada Musa bin Nusair, raja Muda Islam di Afrika untuk memerdekakan negerinya, kerana di negerinya (Andalusia) sedang dilanda kekacauan yang hebat. Kemudian atas perintah Raja Muda tersebut, beliau memerintahkan Thariq bin Ziyad keturunan Barbar salah seorang Panglima Islam untuk Raja Muda iaitu Musa bin Nusair. Maka Tariq dan pasukannya pun mengunjungi tanah Andalusia.


Tariq bersama ahli pasukannya seramai lebih kurang 12,000 orang ke Gibraltar pada Mei tahun 711 M. Tanggal 19 Julai 711 M, Raja Muda dan Tariq bin Ziyad bersama pasukannya telah mengalahkan pasukan Kristian di daerah muara Sungai Barbate. Kemudian, Thariq bin Ziyad membahagikan pasukannya kepada empat wilayah penting iaitu Toledo, Kordoba, Malaga, dan Granada.


Timbullah hasrat mendirikan kerajaan Islam di tanah Sepanyol dengan Raja Mudanya di Toledo yang berkuasa pada tahun 711-756 M berada di bawah pengawasan Bani Umayyah di Damaskus. Kemudian disusul oleh kerajaan-kerajaan Islam lainnya dan juga terdiri daripada Mulukuth Thawaif atau raja-raja kecil, seperti di Malaga di bawah Raja Hamudian (1010-1057); Saragoza di bawah pimpinan Raja Tujbiyah (1019-1039) yang dilanjutkan oleh Raja Huddiyah (1039-1142); Valencia di bawah pimpinan Raja Amiriyah (1021-1096); Badajos dengan Raja Aftasysyiyah (1022-1094); Sevilla di bawah Raja Abbadiyah (1023-1069) dan Toledo di bawah pimpinan Raja Dzun Nuniyah (1028-1039).


Hampir lapan abad lamanya Islam berkuasa di Sepanyol, dari Kordoba hingga Granada adalah bukti nyata sebagai kejayaan Islam suatu ketika dulu serta peradaban tinggi di tanah Andalusia. Salah satu bukti adalah Istana al-Hambra, sebuah bangunan yang telah berdiri hingga sekarang yang hampir lapan abad pula usianya masih tetap kukuh walaupun sebahagian kecil ada yang sudah lenyap. Kemasyhuran istana ini kerana daya pesona serta keindahan arkitekturnya yang sungguh luar biasa.


Sejarah mencatatkan bahawa Istana al-Hambra telah didirikan oleh kerajaan Bani Ahmar atau bangsa Moor (Moria) (bangsa yang berasal dari daerah Afrika Utara), satu kerajaan Islam terakhir yang berkuasa di Andalusia atau Sepanyol. Kerajaan ini adalah Daulah Bani Ahmar yang berkuasa antara 1232-1492 M, didirikan oleh Sultan Muhammad bin al-Ahmar atau Bani Nasr yang berketurunan Sa’id bin Ubaidah, seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang berasal dari suku Khazraj di Madinah.


Bangunan Istana al-Hambra dibina kurang lebih pada tahun 1238 dan 1358 M oleh sultan tersebut yang diteruskan oleh keturunan raja-raja Bani Ahmar. Istana al-Hambra didirikan secara bertahap. Istana ini dilengkapi dengan taman mirta sejenis pohon myrtuscommunis dan juga bunga-bunga yang indah harum semerbak, serta suasana yang nyaman.


Kemudian, ada juga Hausyus Sibb (Taman Singa), taman yang dikelilingi oleh 128 batang tiang yang dibuat dari marmar. Di taman ini juga terdapat kolam air pancut yang dihiasi dengan dua belas patung singa yang berbaris melingkar, yakni dari mulut patung singa-singa tersebut keluar air yang memancar. Di dalamnya terdapat berbagai ruangan yang indah, iaitu Ruangan al-Hukmi (Baitul Hukmi), yakni ruangan pengadilan dengan luas 15 m x 15 m, yang dibina oleh Sultan Yusuf I (1334-1354); Ruangan Bani Siraj (Baitul Bani Siraj), ruangan berbentuk bujur sangkar dengan luas bangunan 6.25 m x 6.25 m yang dipenuhi dengan hiasan-hisan kaligrafi Arab; Ruangan Bersiram (Hausy ar-Raihan), ruangan yang berukuran 36.6 m x 6.25 m yang terdapat juga al-birkah atau kolam pada kedudukan tengah yang lantainya dibuat dari marmar putih.


Luas kolam ini 33.50 m x 4,40 m dengan kedalaman 1.5 m, yang di hujungnya terdapat teras serta deretan tiang dari marmar; Ruangan Dua Perempuan Bersaudara (Baitul al-Ukhtain), iaitu ruang yang khusus untuk dua orang saudara perempuan Sultan al-Ahmar; Ruangan Sultan (Baitul al-Mulk); dan masih banyak ruangan lainnya seperti Ruangan Duta, Ruangan As-Safa’, Ruangan Barkah, Ruangan Peristirehatan sultan dan permaisuri di sebelah utara ruangan ini ada sebuah masjid yakni Masjid al-Mulk.


Selain itu, istana merah ini dikelilingi oleh benteng dengan batu-bata yang kemerah-merahan. Yang lebih unik lagi pada bahagian luar dan dalam istana ini ditopang oleh tiang-tiang panjang sebagai penyangga juga penghias istana al-Hambra. Kemudian, dinding istana itu baik di luar ataupun dalam banyak dihiasi dengan kaligrafi-kaligrafi Arab dengan ukiran yang khas yang sukar dicari tandingannya.


Menurut catatan sejarah, pada mulanya kerajaan ini hanya sebuah kerajaan yang kecil saja namun dengan cepat menjadi kuat dan megah sehingga mampu berkuasa lebih dua setengah abad. Kekuatan ini bukan saja dari kematangan pola fikir para pemimpinnya, tetapi keadaan alam ikut juga menyokong kejayaannya. Wilayah Granada termasuk daerah sebuah perbukitan yang indah dengan ketinggian lebih kurang 150 m, dengan luas kira-kira 14 hakter, satu daerah yang sukar dimasuki oleh musuh dan mudah dipertahankan. Bukit tersebut ialah Bukit La Sabica.


Pada masa kejayaannya, istana al-Hambra ini dilengkapi dengan barang-barang berharga seperti barang yang dibuat dari logam, perak, dan permadani-permadani indah yang masih semulajadi buatan tangan manusia. Raja-raja Bani Ahmar sangat mengambil berat soal kemakmuran rakyat sehingga pada ketika itu bidang pertanian, dan roda perniagaan sangat maju. Selama 260 tahun kerajaan raja-raja Bani Ahmar berkuasa, tetapi akhirnya timbul juga perselisihan dan sengketa di antara mereka. Inilah yang menyebabkan lemahnya kerajaan Bani Ahmar. Bagaimanapun gigihnya usaha Sultan Muhammad XII Abu Abdillah an Nashriyyah (raja terakhir Bani Ahmar) berusaha menyelamatkan kerajaannya, akhirnya runtuh juga oleh dua buah kerajaan Kristian yang bersatu dari utara. Percantuman dua buah kerajaan ini adalah melalui perkahwinan antara Karel, Ferdinand V (1452-1516) dari Aragon dengan adik perempuan Henry IV iaitu Ratu Isabella (1451-1504) dari Castille dan Leon.


Keduanya berkahwin pada tahun 1469. Raja Ferdinand V dan Ratu Isabella ini, merupakan penyokong dan giat membantu rancangan penjelajahan Columbus pada tahun 1492. Pada pertengahan tahun 1491 M, Raja Ferdinand V telah mengepung Granada selama tujuh bulan, Ferdinand V berkhemah di Gumada di sebelah selatan kota. Sebelum itu Ferdinand V telah menguasai kota-kota lain seperti Malaga pelabuhan terkuat di Andalusia, kemudian Guadix dan Almunicar, Baranicar, dan Almeria. Yang terakhir adalah Granada yang diserahkan oleh raja terakhir Bani Ahmar Abu Abdillah. Penyerahan Granada ini dilakukan di halaman Istana al-Hambra.


Demikianlah Granada ditakluk dan menyerah kemudian diduduki oleh pengikut-pengikut Raja Ferdinand V dan Ratu Isabella pada tanggal 2 Januari 1492 M, 2 Rabiul Awwal-898 H. Kerana kegigihan dan perjuangan Raja Ferdinand V dan Ratu Isabella, Paus Alexander VI (1431-1503) yang terkenal dengan perjanjian Tordesillasnya, pada tahun 1494 beliau memberi gelaran ‘Catholic Monarch’ atau ‘Los Reyes Catolicos’ atau Raja Katolik kepada raja dan ratu ini.


Dengan kemenangan umat Kristian inilah orang-orang Islam dipaksa keluar dari tanah Sepanyol. Kepada yang mahu menetap harus bertukar agama. Selain dari itu, orang-orang Yahudi juga ikut terusir dari tanah ini. Padahal, ketika kekuasaan Islam, mereka mendapat tempat, kehormatan, dan pekerjaan yang layak oleh orang-orang Muslim Sepanyol.


Yang sangat menyedihkan, perpustakaan-perpustakaan Islam turut dibakar dan dihancurkan. Karya tulisan yang sampai kepada kita hanyalah sebahagian kecil dari karya-karya agung pemikir Islam. Al-Hambra yang megah dengan benteng berwarna kemerah-merahan kian tidak terjaga, kusam, dan tidak kelihatan lagi wajah aslinya, dan dijadikan Istana Kristian. Kemudian, Masjid Kordoba yang didirikan oleh Sultan Abu Yusuf al-Muwahhid pada tahun 785 M dan diperbesarkan pada tahun 848, 961, 1187 M, dialih-fungsikan menjadi Gereja Santa Maria de la Sede.


Dengan semua kejadian ini, umat Muslim harus berfikir apakah hikmahnya di sebalik semua itu, ketahuilah bahawa Islam adalah agama rahmatan lil ‘alamin, bukan sebagai agama teroris yang merosakkan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan