Rabu, 10 November 2010

Bertindik


SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM


ADAT RESAM bertindik dahulunya dilakukan dengan mengadakan kenduri kendara di mana tukang tindik cuma perlu menebuk kedua-dua cuping telinga anak perempuan yang berumur antara lima hingga sepuluh tahun dengan menggunakan sejenis daun.


Adat bertindik ini sebenarnya dilakukan untuk meraikan anak perempuan yang dianggap akan meningkat remaja bagi mendidik mereka agar pandai berhias apabila meningkat dewasa kelak. Bagi keluarga Melayu zaman kini, ia merupakan suatu simbolik titik permulaan pemberian sesuatu yang berharga daripada ibu bapa kepada anak perempuan mereka yang berupa barang kemas.


Selain itu, adat bertindik juga dilakukan sempena mengingati peristiwa di zaman Rasulullah di mana seorang wanita telah cedera di telinganya semasa terlibat dalam peperangan. Untuk menutup kecederaan di telinganya, beliau telah meletakkan sesuatu di lubang tersebut sebagai perhiasan. Inilah yang dikatakan asal-usul adat bertindik di kalangan masyarakat Melayu. Akan tetapi, pada zaman sekarang ini, kerja tersebut tidak banyak lagi dilakukan walaupun oleh orang-orang Melayu kampung.


Pada masa sekarang, bertindik ini dilakukan sendiri dengan apa sahaja cara yang mudah, asalkan cuping telinga anak masing-masing dapat ditebuk dengan selamat. Tambahan pula di bandar-bandar dan pekan-pekan besar sekarang, pelbagai jenis subang dan anting-anting moden yang cantik-cantik boleh dibeli dengan murah.


Malah ada juga anting-anting yang boleh dibeli dan dipakai di cuping telinga dengan hanya pakai ketap sahaja. Walaubagaimanapun, dalam zaman moden kini, perkara bertindik telinga tidak lagi menjadi suatu perkara yang perlu bagi setiap kanak-kanak perempuan.

Telinga

Telinga merupakan sebuah organ badan yang mampu mengesan bunyi dan juga berperanan dalam keseimbangan dan kedudukan tubuh. Telinga pada haiwan vertebrata memiliki dasar yang sama daripada ikan hingga manusia, dengan beberapa kepelbagaian bergantung kepada fungsi dan spesies.


Setiap vertebrata memiliki satu pasang telinga, kedua-duanya terletak bersimetri pada bahagian yang berlawanan di kepala, untuk menjaga keseimbangan dan kedudukan bunyi. Bunyi adalah bentuk tenaga yang bergerak menerusi udara, air, atau benda lain, dalam bentuk gelombang. Walaupun telinga yang mengesan bunyi, fungsi pengenalan dan tafsiran dilakukan di otak dan sistem saraf pusat. Rangsangan bunyi disampaikan ke otak melalui saraf yang menyambungkan telinga dan otak (nervus vestibulokoklearis).


Bahagian telinga


Telinga terdiri dari tiga bahagian: telinga luar, telinga tengah, dan telinga dalam.


Telinga Luar


Bahagian luar merupakan bahagian terluar dari telinga. Telinga luar terdiri daripada cuping telinga, lubang telinga, dan saluran telinga luar. Telinga luar meliputi cuping telinga atau pinna, lubang telinga atau meatus auditorius eksternus, dan gegendang telinga atau membrana timpani.


Bahagian cuping telinga berfungsi untuk membantu mengarahkan bunyi ke dalam lubang telinga dan akhirnya menuju ke gegendang telinga. Bentuk yang begitu rumit pada telinga luar berfungsi untuk menangkap bunyi dan bahagian terpenting adalah lubang telinga. Saluran ini merupakan hasil susunan tulang dan rawan yang dilapisi kulit tipis.


Di dalam saluran terdapat banyak kelenjar yang menghasilkan zat seperti lilin yang disebut serumen atau tahi telinga. Hanya bahagian saluran yang menghasilkan sedikit serumen yang memiliki rambut. Pada hujung saluran terdapat gegendang telinga yang meneruskan bunyi ke telinga dalam.


Keradangan pada bahagian telinga ini disebut sebagi otitis eksterna. Hal ini biasanya terjadi kerana kebiasaan mengorek telinga dan akan menjadi masalah bagi pesakit diabetes mellitus.


Telinga Luar Dan Kebudayaan


Walaupun bahagian cuping telinga tidak begitu penting, bahagian ini sering digunakan untuk memperbaiki wajah. Dalam masyarakat Barat, telinga yang terlalu besar dan kelihatan tidak simetri akan memburukkan penampilan. Pembedahan pertama untuk mengatasi hal ini diterbitkan pada 1881.


Telinga juga menjadi tempat perhiasan selama ribuan tahun, terutama dengan menindik telinga. Dalam beberapa kebudayaan, perhiasan tersebut ditempatkan untuk menarik dan memperbesar daun telinga.


Telinga Tengah


Telinga tengah meliputi gegendang telinga, 3 tulang osikel pendengaran (tukul, andas dan rakap). Pinggir tiub Eustachio juga berada di telinga tengah. Getaran suara yang diterima oleh gegendang telinga akan disampaikan ke tulang pendengaran. Setiap tulang pendengaran akan menyampaikan getaran ke tulang berikutnya. Tulang stap yang merupakan tulang terkecil di tubuh meneruskan getaran ke koklea. Pada manusia dan haiwan darat yang lain, telinga tengah dan saluran pendengaran akan terisi udara dalam keadaan normal. Tidak seperti pada bahagian luar, udara pada telinga tengah tidak berhubungan dengan udara di luar tubuh.


Tiub Eustachio menghubungkan ruangan telinga tengah ke kerongkong. Dalam keadaan biasa, hubungan tiub Eustachio dan telinga tengah tertutup dan terbuka ketika mengunyah dan menguap. Hal ini menjelaskan mengapa penumpang kapal terbang berasa 'pekak sementara' ketika mendarat. Rasa 'pekak' disebabkan wujudnya perbezaan tekanan antara udara sekeliling.


Tekanan udara di sekitar telah menurun, sedangkan di telinga tengah merupakan tekanan udara biasa. Perbezaan ini dapat diatasi dengan mekanisme mengunyah sesuatu atau menguap. Peradangan atau jangkitan pada bahagian telinga ini disebut sebagai Otitis Media.


Telinga Dalam


Telinga dalam terdiri daripada labirin bertulang, sebuah rangkaian rongga pada tulang pelipis yang dilapisi periosteum yang berisi cairan perilimfa dan labirin bermembran, yang terletak lebih dalam dan memiliki cairan endolimfa. Di depan labirin terdapat koklea.


Bahagian atas skala media dihadkan oleh membran vestibularis atau membran Reissner dan sebelah bawah dihadkan oleh oleh membran basilaris. Di atas membran basilaris terdapat organo corti yang berfungsi mengubah getaran suara menjadi impuls. Organo corti terdiri daripada sel rambut dan sel penyokong. Di atas sel rambut terdapat membran tektorial yang terdiri dari gelatin yang lentur, sedangkan sel rambut akan dihubungkan dengan bahagian otak dengan saraf vestibulokoklearis.

Keseimbangan

Selain bahagian pendengaran, bahagian telinga dalam terdapat pengesan keseimbangan. Bahagian ini secara struktur terletak di belakang labirin yang membentuk struktur utrikulus dan sakulus serta tiga salur separa bulat atau kanalis semisirkularis. Kelima-lima bahagian ini berfungsi mengatur keseimbangan badan dan memiliki sel rambut yang akan dihubungkan dengan bahagian keseimbangan dari saraf vestibulokoklearis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan