SMAHADZIR
“URGHHHHH!!!!”
Itu yang nyalar terpacul. Tidak diketahui asal usul. Sekonyong-konyong saja Urghhhh wujud di sini, warawiri di sini, terkucil di sini, menggerumuk di sini, di tengah kemajuan dan kecanggihan Kuala Lumpur ini, dengan urghhhhhnya yang tidak pernah lekang dari bibir. Tengok LRT - urghhhhh.., tengok KLCC – urghhhh.., dengar MSC - urghhhh.., dengar Stadium Bukit Jalil - urghhhh…
Pendek kata, apa saja tentang kemajuan dan kecanggihan
negara yang beribu-kotakan Kuala Lumpur ini menyergap mata dan telinganya,
bibirnya akan mencerlus dengan bunyi urghhhhhh…
Itulah sebabnya dia dipanggil Urghhhh. Dia amat
membenci kemajuan dan kecanggihan Kuala Lumpur. Kebencian itu dilahirkan dalam
dengusan urghhhhh yang panjang. Semakin besar bencinya, semakin panjanglah
urghhhhhhhhhhnya.
Setiap kali meluahkan urghhhhhhhhnya, diri seakan-akan
terpelanting disepak oleh kemajuan dan kecanggihan Kuala Lumpur. Itulah
Urghhhh.
Hari ini Urghhhh tidak seperti
semalam atau dua hari yang lalu atau juga hari-hari sebelum hari ini dan
semalam. Hari ini Urghhhh dijerba ketakjuban yang amat sangat. Dunia Kuala
Lumpur yang dibenci dengan urghhhhhhhhnya sudah menjadi sebuah dunia
kontradiksi yang sungguh-sungguh menakjubkan membuatkan Urghhhh tidak berdaya mengeluarkan
urghhhhhhnya seperti selalu.
Hari ini urghhhhhhhhh milik Urghhhh telah hilang di
kerongkongan. Urghhhh sendiri tidak tahu kenapa dia gagal melontarkan
urghhhhhhhhnya, meluahkan kebenciannya terhadap Kuala Lumpur.
Sungguh menakjubkan. Sungguh menghairankan.
Urghhhh sungguh hairan dan takjub kerana suasana dan wajah Kuala Lumpur yang
amat dibencinya itu tiba-tiba saja berubah. Dia sendiri tidak tahu bagaimana
tiba-tiba saja tercampak ke situ. Urghhhh seperti tidak percaya!
Bermimpikah aku? Inilah yang sedang bermain di benak
Urghhhh, galak, miang dan menggelinyau. Urghhhh jadi nano dan yongyat
memikirkan ketakjuban ini. Cagunnya mendadak, seolah-olah sebuah mimpi yang
tidak pernah wujud dalam diri.
Urghhhh memejamkan matanya rapat-rapat.
Terpisat-pisat. Terkesip-kesip. Tidak puas, digenyeh-genyeh pula setiap juzuk
kelopak mata berkedut dengan telapak tangannya yang sudah kecut berut itu.
Sekejap dijegil-jegil pula untuk menyakinkan bahawa
ini bukan sebuah mimpi namun Kuala Lumpur tetap begitu juga, tidak seperti
semalam atau dua hari lalu atau hari-hari sebelum itu. Suasana tetap tidak
berubah. Segalanya bukan sebuah ilusi tetapi realiti yang menjerba ruang
lingkup diri.
Kabus berjerubu seputih kapas.
Onggok-onggok wap sejuk yang menyengat barangkali sisa-sisa molekul dari
kesejukan malam masih melekat di seluruh tubuh Urghhhh, lalu menyentuh-nyentuh
kulit ari yang hitam melegam bagaikan sumbu pelita ayam itu. Juga
menyentuh-nyentuh ke serata juzuk liang roma yang berkematu bagaikan sisik
tenggiling yang sedang tercacak, membuatkan Urghhh bersedakap dan menggeletar
kecil menahan tusukan kedinginan hawa.
Tubuh Urghhh benar-benar sejuk.
Tidak ubah seperti terkurung di dalam bilik pejabat berhawa dingin diputar
maksimum. Lapisan epidemis mula berkeriput, membentuk sisik-sisik kasar yang
makin gabai di sesetengah juzuk.
Urghhhh semakin yakin. Dirinya kini
sedang terkujur di bawah satu lengkungan sebuah bilik empat persegi bersinar
indah yang tinggi mencapai awan di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur yang
lebih canggih dari Kuala Lumpur yang pernah dilewatinya dulu.
Walaupun malam tadi Urghhhh hanya terlelap di atas
sebuah bangku simen di Changkat Pavilion yang beratapkan gumpalan awan bolong,
bulan dan bintang yang malas. Dia juga bergebarkan jujuh kasar embun jantan
yang deras dari langit yang membuatkannya berkerekot sepanjang malam santak
dinihari menjelang. Begitulah nyalarnya.
Nyedar tidur Urghhhh semalam juga
dalam keadaan perut berkeleneng yang bukan kepalang, setelah seharian dalam
kepanasan serta bergelandangan ke setiap cerok kecanggihan Kuala Lumpur.
Dari stesen kereta api, mengalir ke Masjid Negara,
dari Masjid Negara merayap pula ke bangunan Daya Bumi, terus ke Dataran
Merdeka, Dewan Bandaraya, menyelinap di antara lorong dan simpang menuju ke
Menara Berkembar Petronas lalu bergegas pula ke Stesen LRT di pinggir Pasar
Seni, segalanya itu membuatkan dirinya rengsa.
Sementelahan kala itu sebutir nasi pun tidak masuk ke
dalam perut. Malah Urghhhh sungguh-sungguh letih, kerana terlalu banyak
warawiri ke sana ke mari sambil menadah tempurung kepada orang-orang yang
ditemui sepanjang perjalanan yang dilewatinya tadi.
Memang menyedihkan, entah di mana
silapnya hari itu, tiada seorang pun yang sudi mencampakkannya walau sekeping wang
syiling. Barangkali juga kerana kegawatan ekonomi dan gejala Covid-19 membuatkan
orang jadi kikir.
Hingga akhirnya, mahu tak mahu terpaksalah juga
Urghhhh menadah mulut di paip awam tepi Jalan Raja Laut, buat mengalas perut
dan menampung lapar yang amat menggelecak itu. Dan akhirnya Urghhhh tertidur di
Changkat Pavilion dengan berbantalkan lengan sendiri sambil cuba berusaha
mengusir derita yang menghenyak diri.
Kesejukan di bilik empat persegi
bersinar yang baru dijengah ini, Urghhhh berasa serupa saja. Kalau bangku simen
di Changkat Pavilion yang dia tidur semalam dibuat dari campuran simen dan
batu, kini tubuhnya juga terkujur di atas lapisan batu.
Cuma batu yang Urghhh perasan ini agak sedikit lunak
dan gebu yang mengampu agak sopan tubuh tuanya. Dan sejuk yang menggerbak dari
permukaan batu itu, tak ubah kesejukan batu-batu ubin dari Turki atau Langkawi,
agak nyaman menampung tulang temulang yang nyalar saja menggerutup dan
mengeliot itu.
Tetapi, ini semua Urghhhh tidak
kisah. Yang menghairankan benaknya, siapa yang telah membawanya ke sini? Ya,
siapa? Siapakah yang begitu mengambil berat tentang dirinya sampai sanggup
membawanya ke sini? Sehinggakan sedikit pun Urghhhh tidak sedar atau merasa
tubuhnya diangkat atau ditandu orang.
Malah Urghhhh juga tidak mengalami apa-apa mimpi pun
semalam. Tidur nyedar sekali, macam orang mati. Kepulesan tidak terganggu
persis dipukau. Urghhh sungguh hairan! Urghhhh sungguh takjub dengan keadaan
ini.
Sejurus kemudian, Urghhh
menggosok-gosok perut kempisnya. Eh, hairan lagi! Perut yang nyalar berkeroncongan
minta diisi itu tiba-tiba sebu dan tepu pula. Rasa kenyang bagaikan baru
menjamah makanan membuatkan Urghhh semakin dihenyak kehairanan dan ketakjuban
menggila. Bila pula aku makan?
Kelintar mata Urghhhh terpelanting
warawiri seluruh pojok dan jihat - kiri, kanan, depan dan belakang. Namun jagat
Kuala Lumpur tetap juga temaram dan sebam. Segalanya ilam-ilam pada pandangan
mata tuanya.
Objek yang terkelih tidak jelas dan amat mengelirukan.
Semuanya kelihatan berbalam-balam, berjerubu dan udam sekali. Aduh, kota Kuala
Lumpur apa pula ini? Benak Urghhhh terus dihenyak kehairanan dan ketakjuban.
Ah, barangkali pandanganku ini sudah
terlalu renta! Mungkin sudah serenta tubuhku yang semakin rengsa! Sebab itu
segalanya kabur dan suram, udam dan temaram juga ilam-ilam. Mungkin juga ini
bukan Kuala Lumpur yang aku benci dan jelak itu.
Mungkin juga satu ilusi dalam sebuah jagat
kontradiksi. Mungkin. Takkanlah seorang gelandangan renta hina dina dengan
pakaian sebam cepuah campeng compang begini mahu dibawa ke bilik empat persegi
bersinar indah begini! Begitu Urghhhh memutuskan.
Tiba–tiba Urghhhh merasa ada sesuatu
yang telah lenyap dari pendengarannya. Telinganya dipeluk sepi sejak di bilik
ini. Khali bungkam kendati secuit suara dan bunyi. Kalau kota Kuala Lumpur
tentulah bingar dengan lengking hon dan geru enjin kenderaan yang memualkan.
Kuala Lumpur apa pula kalau segala tempat hanya dikelilingi gumpalan awan sebam
dan ilam.
Lagipun, tak mungkin pula hanya aku seorang saja di sini?
Mana pula perginya warga kota Kuala Lumpur yang berjuta-juta itu? Lalu copeng
telinga dicapang gabai-gabai, cuba menangkap dan mengamati bunyi-bunyi atau
suara-suara di sekitar. Kosong. Khali. Sunyi juga. Hanya desis sendalu bisu
kejur yang membeku serata juzuk. Tidak ada satu apapun yang mencium deria
dengarnya.
Urghhhhhhhhhhhhhh!!!!!!
Barulah urghhhhhhhhhhnya terpersil
keluar tanpa dapat dibendung lalu dalam suasana khali bungkam itu Urghhhh cuba
menguasai diri. Dihimpun sisa-sisa kekuatan yang masih melepa di dalam anggota.
Disatu, dikuatkan dengan sepenuh hati lalu digumpalkan menjadi gemal semangat
untuk mengetahui lebih jauh apa yang ada di sekitar bilik empat persegi
bersinar indah itu.
Urghhhh cuba bangun dari
perbaringan. Terketar-ketar pada mulanya seperti pengidap parkinson. Dalam keadaan bergelentar, dibaur segala apa yang
terdaya, Urghhhh cuba mencegatkan sedikit harapan yang masih bersinar.
Dijegilkan bundar-bundar dua kelopak mata, menyeluruhi
seluruh pojok, dilontarkan busar mata itu berpusar-pusar, serentak
ditunjal-tunjal ke kejauhan. Segalanya dilakukan untuk memberi keyakinan kepada
diri sendiri apa benarkah dia tidak berilusi, apakah ini kota Kuala Lumpur yang
selalu tercangip diwarawiri.
Tiba-tiba dalam keadaan sebam, ilam,
temaram dan udam itu dapatlah Urghhhh melihat sesuatu yang bercahaya beberapa
kaki di hadapannya. Memerlip-merlip bagai buruj tujuh. Gesit Urghhh mengatur
langkah gontai ke arah itu. Dengan harapan yang masih bersisa itulah dijamah
pantas benda yang bercahaya itu dengan hujung jari.
Sekonyong-konyong pula Urghhhh
disentak gamam menjola-jola. Suatu perasaan lain pula cagun dalam diri.
Kepalanya mendadak terasa bengang, yongyat, berpusing-pusing. Urghhhh terkejur
bertagal-tagal. Beberapa jenak kemudian, seluruh penglihatannya mulai pulih
kembali seperti semalam.
Semakin lama semakin jelas. Segala yang temaram, udam,
sebam dan ilam-ilam tadi dapat dikelihnya dengan jelas. Barulah Urghhhh tahu
bilik empat persegi bersinar indah ini ialah sebuah kotak aluminium terapung-apung
di bumantara Kuala Lumpur.
Urghhhh dapat melihat bandar raya Kuala Lumpur dari
bilik empat persegi itu jauh-jauh di bawah sana. Di sebalik gumpalan awan
gemawan yang putih serlah, bangunan KLCC, Dayabumi, Stesen Keretapi Tanah
Melayu, Masjid Negara, Menara Kuala Lumpur dan sebagainya dapat dilihat kendati
berbalam-balam kerana terlalu jauh.
Pendengarannya juga menjadi lebih segar dan Urghhhh
dapat mendengar segala apa yang berbunyi di sekitar tempat itu. Deruman
kenderaan yang berjejal-jejal di jalan raya, lengking hon juga dengung suara manusia
penghuni bandar raya itu mengasak-ngasak gegendang. Suasana baru ini membuatkan
Urghhhh tersengih sendiri. Benarlah, aku masih berada di Kuala Lumpur yang aku
benci itu!
“Selamat datang, Tuan Urghhh! Selamat
datang ke pelancaran sistem pengangkutan tercanggih alaf baru!” Tiba-tiba satu
suara lunak seorang perempuan gemersik nadanya mencecah gegendang telinga
Urghhhh. Mendadak dia dijerba kelinglungan dan kemamar.
“Pengangkutan tercanggih alaf baru?
Errr, apa maksudnya?” Urghhhh terkebil-kebil, Lopong dua ulas bibir kedut tidak
berupaya dikacip.
“Ya, pengangkutan tercanggih alaf
baru!” suara itu menjawab tenang. “Tuan sekarang berada di atas sebuah
sistem pengangkutan yang paling canggih di Kuala Lumpur ini. Pengangkutan ini
dinamakan LRT Udara yakni satu sistem pengangkutan yang akan bergerak tanpa
landasan. Seperti sebuah kapal terbang, sistem ini akan membawa tuan keluar
dari Kuala Lumpur yang tuan benci ini. Tidak berpemandu…”
“Pergerakannya lancar, tidak terganggu. Tuan telah dipilih
untuk merasmikan pelancaran sistem ini bagi pihak warga Kuala Lumpur yang
terkucil oleh henyakan kemajuan dan kecanggihannya. Tuan boleh pilih destinasi
yang tuan suka dan sistem pengangkutan ini akan membawa tuan ke situ!”
“Ta…
ta… tapi… tapi kau siapa? Hanya suara tanpa muka. Tampilkan diri untuk aku
kenal kau siapa!” dalam kegamaman itu Urghhhh terus bertanya seraya biji mata
berkelitar cergas menyeluruhi ruang.
Berjenak-jenak dia tercangak-cangak mencari arah suara
yang datang. Tetapi hanya gumpalan awan gemawan saja yang mampu tertayang di
matanya. Gumpalan-gumpalan awan gemawan itu seolah-olah berkitar-kitar di
sekeliling, melontarkan silir dingin berkesiur-kesiur.
“Tuan Urghhhh tidak perlu tanya soal
itu. Yang penting tuan harus gembira kerana telah terpilih dari segelintir
warga terkucil itu untuk perasmian sistem pengangkutan tercanggih ini!”
“Ya… ya… aku memang gembira! Tetapi,
berilah kesempatan untuk aku mengenali siapa kau sebelum aku memilih destinasi pilihanku!”
“Sabar dulu, Tuan! Jangan risau dan gusar. Akulah
antara gadis tercantik yang telah diarahkan untuk mengiringi tuan sepanjang
perjalanan di atas sistem pengangkutan tercanggih ini,” suara perempuan itu
terus bergema mematikan segala persoalan singkat yang bertamu di hati Urghhhh.
“Errr… kenapa kau panggil aku tuan? Aku cuma seorang
gelandangan cabuk, melarat dan keparat yang terkucil dihenyak kemajuan dan
kecanggihan Kuala Lumpur. Tidak ada apa-apa keistimewaan pada diriku yang
mewajarkan kau memanggil aku tuan!” Urghhhh mulai mencungkil. Benak semakin
dijerba kehairanan dengan pelbagai persoalan yang belum berjawab. Segalanya
membuncah-buncah saraf serebrum.
“Seorang juru iring perlu memanggil
orang yang diiringnya dengan panggilan tuan. Lagipun, tuan adalah antara yang
terpilih dan aku juga antara yang terpilih untuk mengiringi tuan!”
Urghhhhhhhhhh!!!!
Terpacul lagi sebutan itu dari mulut merut Urghhhh.
Urghhhhhhhhhnya yang kedua sejak berada di sini.
Khali sejenak.
“Apa yang harus aku buat sekarang?” tiba-tiba Urghhhh melampiaskan
pertanyaan.
“Baiklah Tuan
Urghhhh! Ikut saja arahan aku. Di hadapan tuan sekarang ada berbagai punat.
Tekan punat biru. Lawang bilik sistem pengangkutan tercanggih alaf baru ini
akan terbuka,” suara itu bagaikan memberi perintah pula.
“Untuk apa pula pintu itu nak
dibuka?” Urghhhh bertanya lagi penuh kehairanan.
“Ikut sajalah arahan aku. Sekejap
nanti tuan akan dapat jawapan pasti!” cerlusan suara perempuan itu lunak, manja
dan mesra.
Dengan hati yang menggelugut dan
fikiran yang kecut, tanpa memikirkan apa-apa lagi, Urghhhh terus menekan punat
biru yang bercahaya di dinding aluminium bersinar itu. Tekadnya sudah bundar
total, apa nak jadipun jadilah. Mungkin ada sesuatu yang dia perlukan apabila
menekan punat itu nanti, bisik hati.
Beberapa saat kemudian, berkeriot
sebuah pintu di sisi kanan tempat Urghhhh berdiri. Pegun Urghhhh gesit
terpantul. Lidah kejur mendadak. Sinar emas yang memancar dari jenang lawang
itu amat memijarkan mata. Urghhhh dijerba gemuruh dada menggerutup kala seorang
wanita yang amat cantik tiba-tiba kelihatan muncul melalui lawang tersebut.
Urghhhh sungguh tergamam jola, perempuan itu sejuta
kali lebih cantik dari Tipah, si pelacur sambilan yang pernah dia jatuh cinta,
tetapi tidak pernah pula mendapat layanan. Malah sejuta kali juga lebih muda
dari Munah, si peminta sedekah yang ego itu, yang sering menjuihkan bibir kala
diajak Urghhhh jalan-jalan sekitar Taman Tasik Titiwangsa.
Bertegok-tegok Urghhhh menelan air
liur terpegun dengan kecantikan perempuan tersebut. Urghhhh dapat rasakan,
kecantikan perempuan itu tak ubah bintang-bintang filem Bollywood yang gah
dipuja warga Kuala Lumpur kini. Alis mata lentik, berpantis. Bibir kecil mungil
ghairah merah. Potongan badan bak kerengga ramping.
Dan Urghhhh semakin terpana kala perempuan muda jelita
itu mulai melangkah mendekatinya. Biji mata Urghhhh terpaku pada jejari kaki
putih serlah. Kuku bersinar gaseng. Betis bunting padi malinja. Semakin lama
semakin rapat dan gesit pula merangkul lengannya.
“Ayuh Tuan Urghhhh! Ayuh ikut aku… errr… kita
jalan-jalan!” Tidak terlalu lama untuk perempuan jelita itu menekan satu punat
lain di hadapan Urghhhh. Sistem pengangkutan tercanggih alaf baru terus
bergerak perlahan-lahan. Dari atas bumantara, Urghhhh dapat melihat bandar raya
Kuala Lumpur yang semakin ditinggalkan.
“Tuan Urghhhh tentu suka kalau kita jalan-jalan makan
angin sekitar KLCC!”
Urghhhhhhhh!!! Rasa benci dengan mercu tanda kemajuan
dan kecanggihan itu gesit membuar namun gesit pula melenyap kala perempuan
jelita tersebut merangkul lengannya buat kali kedua, penuh kemanjaan dan kasih
sayang. Hati Urghhhh bagai dielus-elus dengan rasa riang yang terlalu sukar
hendak digambarkan.
Inilah pertama kali dia berdua-duan dengan seorang
perempuan cantik seperti bintang Bollywood itu. Kalau boleh biarlah kala ini
ada mata empat orang saksi yang melihat supaya cepat ditangkap Majlis Agama
Islam Wilayah Persekutuan dan dinikahkan.
Urghhhh rela dan reda andai tangkapan itu terjadi.
Biarlah dia didakwa di mahkamah syariah kerana berdua-duan dengan perempuan
jelita itu. Sungguh-sungguh Urghhhh rela.
Pergerakan terus lancar. Tidak
terlalu laju persis Mercedez dipandu berhemah. Perempuan itu cuma memurup
senyum memandang ke arah Urghhhh. Ada sedikit gigir kecil yang Urghhhh dapat
rasai, bagaikan sedang membelah silir lunak dan awan-awan kemulus juga sitratus
yang berketul-ketul di angkasaraya. Tetapi amat perlahan sekali derumannya.
“Errr, apa kata kalau kita ke
Putrajaya, Tuan Urghhh!” perempuan jelita tersebut tiba-tiba bertanya. Lehernya
dilentukkan ke pundak Urghhhh.
Urghhhhh lekas tersenyum. Air
liurnya meleleh-leleh tidak dapat ditahan. “Aku ikut saja ke mana kau pergi!”
ujarnya seraya turut melentukkan lehernya ke pundak perempuan jelita itu.
“Kebetulan, di sebuah hotel bertaraf
sepuluh bintang di sana ada satu jamuan makan. Tuan boleh makan banyak-banyak!”
Lagi sekali perempuan jelita itu tersenyum.
Kali ini lebih manis dan bersari untuk Urghhhh,
seolah-olah sebilah pedang tajam meradak jantung hati lelaki tua renta itu.
Aduh! Seribu kali lebih manis dari senyuman sumbing Tipah dan Munah. Alangkah
seronoknya kalau senyuman itu berkekalan, tidaklah aku kesunyian dan kesepian
dalam hidup, hati miang berbisik.
“Hotel?” Urghhhh terlunga dan
terjeda.
“Ya, hotel! Aku tahu tuan lapar. Aku
juga tahu tuan jarang dapat makan yang sedap-sedap. Kehidupan tuan yang
terkucil di tengah kemajuan dan kecanggihan membuatkan tuan tidak berpeluang
menjamah makanan yang lazat-lazat seperti orang lain. Betulkan?”
Urghhhh tidak mampu menjawab kerana
itu semua benar. Pendapatannya sebagai gelandangan cabuk sekadar mampu membeli
sekeping roti canai, segelas sirap dan sepinggan nasi berlauk temenung goreng
campur kuah kari semalam dari kedai mamak.
Kadang-kadang, jika rezeki murah, dapatlah Urghhhh
menjamah dua keping capati dan segelas besar susu lembu. Itupun bukannya
selalu. Rezeki murah begitu tidak lagi menjelma sejak era gawat Covid-19 ini.
“Aku
kasihan pada tuan! Sudahlah daif dan melarat, nak kahwin pun tak mampu!” Merdu
sungguh suaranya, walaupun bernada sinis, menusuk lunak dan lembut ke telinga
Urghhhh bagai suara nyanyian seorang puteri kayangan saja lagaknya.
Kepala Urghhhh dielus-elus bagaikan seorang ibu
mengelus anak kecilnya. Oh, indahnya dunia ini jika setiap detik aku dibelai
dan disenandungkan oleh suara perempuan semerdu ini. Aku rasa, aku ingin hidup
seribu tahun lagi. Hati Urghhhh kian galak menggelinyau, dalam rasa
keterpesonaan yang amat sangat.
Lidahnya jadi kelu. Suaranya jadi
bisu. Urghhhh sungguh-sungguh tidak tahu apa yang harus dilakukan. Fikirannya
bagaikan kosong terawang-awang, teroleng-oleng diseligi kitar di bumantara,
kecuali rasa harmoni, damai dan hanyut dalam gelodar asmara ciptaan perempuan
jelita tersebut.
“Sebentar saja lagi kita akan tiba
di Putrajaya. Tuan Urghhh bolehlah menikmati apa saja yang tuan dambakan selama
ini di hotel itu!” suara perempuan itu menerjah lagi gegendang telinga Urghhhh.
“Eh, aku tak pernah dambakan
apa-apa!” tukas Urghhh acuh tak acuh.
“Bohong! Tuan usahlah berbohong
dengan aku! Aku tahu apa yang tuan inginkan!” tingkah perempuan itu sambil
tersenyum sinis.
“Ya, ya! Aku berbohong! Maafkan
aku!” Urghhhh tersengih-sengih. Terasa malu pula kerana berbohong tadi.
“Ah! Lupakanlah itu semua tuan! Aku
akan membawa tuan ke tempat yang tuan inginkan itu! Sekejap lagi kita akan
sampai,” perempuan itu bagaikan faham apa yang sedang berlegar di benak
Urghhhh. Kata-kata itu juga gesit melenyapkan rasa malu dan segan di hati orang
tua itu.
“Memang selama ini aku teringin dan
bercita-cita untuk ke tempat yang banyak makanan. Di situ, aku boleh makan
hingga perut buncit. Aku teringin nak makan sate, ayam tandoori, nasi beriani yang mahal, makanan yang tak pernah aku
jumpa. Aku juga inginkan tempat yang enak untuk tidur. Ada tilam yang empuk,
ada dayang-dayang yang menyanyikan aku lagu. Sesungguhnya, seumur hidup aku
belum pernah lagi aku rasa itu semua,” Urghhhh berterus terang.
“Usah tuan bimbang! Di situ
segala-galanya ada. Sebut saja hajat tuan, semuanya akan tercapai,” jelas
perempuan jelita tersebut, senyum manis masih murup di bibir mungil.
“Wow, seronoknya!” Urghhhh bagaikan
mahu menjerit mendengar penjelasan perempuan cantik itu. Aku nak makan
puas-puas, aku nak tidur enak-enak, dia mula memahat harapan.
Akhirnya sistem pengangkutan tercanggih alaf baru itu
berhenti. Bunyinya sedikit menggegarkan. Punggung Urghhhh serasa melekat. Malas
sekali mahu turun dari pengangkutan itu. Dia lebih suka berdua-duaan dengan
perempuan jelita pengiring itu biar lama mana sekalipun.
Urghhhh sungguh-sungguh rela dan sanggup. Selama inipun
dia amat sukar untuk bermesra apalagi untuk bercinta dengan perempuan. Bukan
kerana malu tetapi keadaan dan situasi diri yang tidak mengizinkan.
Sehinggakan rakan sejawat seperti Munah yang hodoh dan
jelek itupun amat payah mahu menyerahkan cinta padanya. Inikan pula perempuan
lain. Memikirkan itu, alangkah ruginya jika kesempatan berdua-duaan dengan
perempuan cantik itu dibiarkan berlalu begitu cepat.
“Kita dah sampai tuan!”
“Urghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh!”
Urghhhhhhh terpanjang yang pernah dicerluskan oleh Urghhhh.
Urghhhh sungguh kesal kerana perjalanan masa terlalu pantas. Seboleh-bolehnya
biarlah lama sikit. Biarlah berhari-hari atau berbulan-bulan bersama perempuan
jelita itu. Setagal kemudian, Urghhhh segera dipimpin turun melalui sebuah tangga
dengan sopan penuh beradat.
“Inilah Putrajaya!”
Urghhhh mengangguk kecil, terpegun dengan
kecanggihannya. Urghhhhhhhh bersembunyi di balik kerongkong.
Perempuan
jelita tersebut terus membawa Urghhhh ke sebuah bangunan berupa hotel bertaraf
sepuluh bintang di tengah-tengah kecanggihan Putrajaya itu.
Sampai di hadapan satu pintu, pintu itu gesit pula
dikuakkan luas. Urghhhh di persilakan masuk dengan hormat ke dalam sebuah
bilik. Dia menurut saja dengan akur.
Sebaik menjijakkan kaki ke dalam bilik tersebut, biji
mata Urghhh segera berkelintar menyeluruhi suasana sekeliling. Urghhhh dapat
rasakan satu keadaan yang terlalu asing sekali. Bilik itu tidak seperti bilik
hotel bertaraf sepuluh bintang, berserabut, pontang-panting dan berselerak di
sana sini.
Dalam keasingan itu, tiba-tiba menjelma satu perasaan
baru dalam kotak fikirnya. Dia merasa amat mencurigai kata-kata perempuan
jelita tadi kerana di depannya sekarang bukanlah makanan-makanan yang
diinginkan sebaliknya larung-larung dan kain putih yang disusun bertingkat-tingkat.
Serata juzuk dinding tergantung kalimah-kalimah Allah
Muhammad dan syahadah. Di satu pojok pula beberapa buah liang lahud sudah
tergali dengan longgok-longgok tanah merah di sisi. Fikiran Urghhhh mula
dihenyak tanda tanya.
Urghhhhhhhhhhh… bilik apakah ini?
Seolah-olah bilik menunggu detik dimasukkan ke dalam lahud saja rasanya!
Urghhhh mulai menggelentar, beraduk rasa geman, nyeri dan entah apa lagi perasaan
beragaman. Gigir tubuh kian menggelugut, lebih-lebih lagi kala mata tertancap
beberapa orang lelaki hampir sebaya di sisi larung-larung tersebut. Ya Allah,
bilik apakah ini sebenarnya? Perempuan jelita? Hoi puteri jelita, bilik apakah
iniiiiiiii??????
Urghhhhhhhhhhhh… Ya Tuhan! Di mana
sebenarnya aku sekarang? Urghhh tergamam dan terkedu. Gesit dicari perempuan
jelita itu tetapi sudah tiada lagi. Lenyap entah ke mana. Tiba-tiba terjangan
silir sendalu bertukar garang menjadi langkisau dari arah pintu yang masih
terkuak lebar, menjinjing bersama gerbak kemenyan yang memengitkan hidung.
Bersama-sama langkisau itu juga bersipongang kalimah innalillahhiwainnaillahhirajiun merodok gegendang telinganya.
Urghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh!!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan