SMAHADZIR
INI ada sebuah cerita. Ada seorang kanak-kanak lelaki berumur lima atau
enam tahun. Dia memakai kemeja putih dan pullover kotak-kotak hijau
dengan logo taman kanak-kanak di dada kiri. Di bahunya tersandang sebuah beg
merah dan di dadanya tersilang tali botol minuman. Kanak-kanak itu kelihatan comel
dan manis sekali.
Sebaik masuk ke dalam
bas, kanak-kanak itu terus menunjukkan hasil kerjanya kepada seorang wanita
yang mungkin ibunya. Kerjanya itu merupakan seekor burung yang sedikit kusut
dan penyok. Kanak-kanak itu juga menyanyikan sebuah lagu. Katanya lagu baru
yang dipelajari di sekolah tadi.
Lihat ini keretaku yang baru,
Cukup
besar untuk ayah dan ibu,
Beroda
empat hasil buatanku,
Kita ke pekan membeli buku.
Aku
yang kebetulan berada tidak jauh dari kanak-kanak tersebut tersenyum mendengar
suaranya yang agak sumbang tetapi penuh semangat. Kanak-kanak itu tersenyum
padaku, kemudian kembali asyik berbual dengan ibunya dengan berbagai cerita.
Sambil itu mulutnya tidak henti-henti mengunyah donat yang barangkali dibelikan
ibunya di sebuah warung di hadapan sekolah.
Ibunya
menyahut sesekali dengan anggukan atau gumaman separuh tidak peduli, sementara
tangannya mengibaskan lukisan krayon anaknya untuk menghalau panas.
Aku tidak
menyalahkannya. Cuaca siang itu memang panas dan kesendatan jalan membuatkan
udara pengap. Melihat bungkusan yang terserak di kakinya, aku yakin dia telah
menghabiskan paginya untuk berbelanja keperluan dapur. Tidak hairan dia
kelihatan sangat letih, mengantuk namun begitu bersemangat mendengar cerita
anaknya di sekolah hari itu.
Udara yang menyengat
tidak mengalihkan perhatianku dari kanak-kanak itu. Kureguk tiap kata dan lagu
yang dinyanyikannya seperti pengembara kehausan yang menemui oasis di tengah
gurun. Alangkah rindunya aku akan semua itu. Aku tidak ingin membandingkan
anakku dengan kanak-kanak comel di dalam bas itu, tetapi mahu tidak mahu Khalid
singgah juga ke dalam benakku dan mengganggu keselesaanku.
Aku masih ingat, setiap
kali arwah isteriku membuat pemeriksaan selama mengandungkan Khalid, bidan
selalu mengatakan kehamilannya normal dan bayi kami sihat. Kerana itu aku dan arwah
isteriku sama sekali tidak dapat menerima hakikat sewaktu doktor memberitahu
bahawa Khalid tidak normal. Dia lahir dalam keadaan down syndrome.
Menyakitkan. Masa
hadapan anakku sudah ditentukan oleh doktor hanya beberapa minit selepas
kelahirannya. Khalid tidak akan membesar seperti kanak-kanak normal yang lain
dan dia tidak akan menjadi orang dewasa normal yang mampu mengurus dirinya
sendiri.
Selain itu doktor juga
menemui kelainan pada jantungnya yang harus diperbaiki dengan pembedahan. Ada
juga gangguan mata dan tonsil. Hal yang menurut doktor biasa menimpa anak down syndrome.
Tekanan
yang kualami selepas Khalid dilahirkan ditambah dengan kematian isteriku, cukup
berat hingga aku harus dirawat agak lama di hospital. Aku sangat tertekan
hingga tidak mampu menjaga Khalid. Tugas menjaganya kuserahkan kepada seorang pembantu
rumah sehingga aku keluar dari hospital. Doktor memperkenalkan aku dengan
seorang doktor wanita pakar rawatan anak down syndrome. Doktor wanita itu
memberikan buku-buku dan brosur kepadaku.
Tetapi, semua yang
kubaca semakin membuatkan aku tertekan. Sejak doktor menyatakan bahawa isteriku
positif mengandung, aku selalu berdoa dan bermimpi tentang seorang anak yang
cerdas dan lincah. Anak yang akan aku bimbing mengenal Allah dan Rasul-Nya.
Yang akan aku ajari mengaji dan solat agar dia mampu mendoakan kedua-dua orang
tuanya. Dia akan kubawa menikmati keindahan alam semula jadi yang damai agar
pandai bersyukur dan memiliki sifat tawaduk kepada Yang Maha Esa.
Aku akan
memperkenalkannya kepada saudara-saudaranya yang yatim dan piatu agar hatinya
lembut dan peka. Yang akan mencintai buku-buku seperti aku dan arwah ibunya.
Anak yang akan menjadi seorang pejuang di jalan Allah, demi kebangkitan dan
kejayaan Islam seperti panglima gagah itu, Khalid bin Walid.
Kubayangkan jari
mungil anakku menyusuri huruf-huruf dalam helaian mushaf al-Quran. Jika
lelaki, dia pasti comel dalam jubah coklat dan ketayap mungilnya dan jika
perempuan, dia pasti manis dalam jilbab kecilnya yang berbunga dan berenda.
Rasanya aku bahkan
sudah mampu mendengar suaranya yang bening melantunkan ayat-ayat suci itu.
Suara terindah yang pernah kudengar. Lalu ke mana mampu kukuburkan rasa
kecewaku ketika mendapati Khalid tidak mungkin mewujudkan semua impianku. Aku
hanya mampu berdoa siang dan malam memohon kekuatan. Aku bermuhasabah diri,
mengingati kembali apa yang telah aku lakukan sehingga Allah menghukumku dengan
menganugerahkan aku Khalid.
Hingga suatu hari
kalimat itu menohokku. Anakku adalah amanat-Nya, bukan hukuman, bukan aib.
Hanya pinjaman, bukan milikku. Apakah aku berhak menyesal jika pinjaman-Nya
ternyata tidak seperti kanak-kanak lain? Aku hanya ditugaskan menjaga dan
mengasuhnya dengan cinta, kerana dia dipinjamkan Allah yang rahman dan rahim-Nya
tidak pernah surut dari sisiku. Bukan tugasku menilai apakah Khalid layak jadi
anakku atau tidak. Selepas itu aku kembali menemui ketenangan.
Tetapi tidak kurang
kesedihan itu kerap benar merasuk hatiku. Sangat menyakitkan. Tiap kali kukeseorangan
membawa Khalid bertemu dengan doktor dan melihat ibu dan bapa lain dengan bayi
seumur Khalid, aku kembali terbenam dalam kepiluan. Entah untuk Khalid atau
untuk diriku sendiri.
Bulan demi bulan
berlalu. Sementara bayi lain mulai tertawa dan mengeluarkan suara-suara lucu,
Khalid hanya diam. Dia memandang kosong ke hadapan.
Tiap hari pembantu
rumah dan aku harus bergantian merangsang otaknya dengan mainan warna-warna dan
kerincingan yang bingar. Khalid baru menunjukkan reaksi ketika usianya hampir
lapan bulan.
Khalid baru belajar
berjalan pada usia dua tahun. Bicaranya tidak pernah selancar kanak-kanak lain
dan kosa katanya sangat terbatas. Dia tidak mampu mandi dan berpakaian sendiri
hingga usianya hampir sembilan tahun. Dia harus disuapi tiap waktu makan sehingga
dia mampu makan sendiri beberapa bulan terakhir ini.
Yang paling
menjengkelkan, sukar sekali membiasakannya buang air di bilik mandi walaupun
aku dan pembantu rumah sudah mengajarnya selama lapan tahun dari sepuluh tahun
usianya. Mengajar Khalid solat dan mengaji hampir tidak mungkin. Khalid hanya
mampu mengikuti gerakan-gerakan solat tanpa mampu menghafal bacaannya.
Setelah beberapa lama,
aku menyedari kekhilafan dan mulai dari awal semula. Mengakrabkan Khalid dengan
Allah SWT dan Islam. Sesuatu yang lebih mudah dilakukan dan difahami Khalid.
“Di
belakang rumah ada pohon mempelam!!!” suara lantang kanak-kanak berseragam
taman kanak-kanak itu mematikan ngeluyur benakku pada anakku Khalid. Tetapi
kali ini aku tidak mampu menikmatinya tanpa merasa iri.
Iri
pada ibu yang tidak menyedari besarnya nikmat Allah yang dimilikinya. Ada
kegeraman dan rasa kasihan pada diri sendiri yang tiba-tiba bergolak dan
menenggelamkanku. Membuat dadaku sesak dan leherku tercekik. Aku tidak tahu
apakah aku harus menyesal atau gembira ketika kanak-kanak itu akhirnya turun bersama
ibunya dari bas sekolah.
Di bangku yang mereka
tinggalkan kulihat burung kertas itu terpenyek. Kupungut dan kuperbaiki.
Tiba-tiba mataku kabur oleh air mata. Khalid tidak mampu melukis dengan krayon
atau membuat origami. Koordinasi tangannya lemah sekali.
Dalam kepalaku yang yongyat
libang-libu, burung kertas itu kuramas menjadi gumpalan. Aku tidak sanggup lagi
menahan tangis. Dengan suara tercekat kusuruh pemandu berhenti. Kusodorkan wang
tambang dan turun, walaupun rumahku masih jauh.
Aku duduk di hentian
yang sepi. Menarik nafas dalam-dalam dan mengeringkan air mata. Ketika aku
menengadah, mataku tertambat pada papan tanda putih di seberang jalan. Sebuah
masjid. Ya Allah, inikah teguran-Mu? Aku gesit menyeberang. Segera kuambil
wuduk dan solat dua rakaat. Air mataku menitis ketika kubaca ayat kedua belas
dari surah Lukman... Syukriminallah....
Usai mengucap salam
aku tercenung. Kekalutan yang sempat menguasai sudah berjaya kukendalikan. Aku
merasa kosong, tetapi damai. Lalu satu-satu fragmen kehidupan Khalid mulai
kembali ke dalam benakku. Bukan gambaran muram tentang kekurangannya, tetapi
keistimewaan-keistimewaan kecil yang mengimbangi dan melengkapi hidupnya.
Khalid suka sekali
pada muzik. Dia sukar menangkap dan menghafal lirik, tetapi kenikmatan yang
terlukis di wajahnya ketika mendengar muzik adalah keindahan tersendiri. Dia
juga tidak pernah nakal dan usil, selalu mesra dan murah senyum. Dia tidak
pernah marah dan merajuk, dan jika dimarahi, cepat kembali ceria.
Dia sangat menyayangi
adik tirinya Aisyah, yang lahir empat tahun lalu. Aku dan isteri baruku bimbang
juga takut kalau-kalau Khalid akan cemburu dengan kehadiran adik tirinya itu.
Tetapi dia gembira sekali membantu ibu tirinya mengurus Aisyah. Sering kudapati
Khalid duduk menatap adik tirinya yang tertidur dengan ekspresi terpesona yang
tidak terlukiskan.
Aisyah normal dan
cerdas sekali tetapi dia menerima abang tirinya itu tanpa syarat. Kemesraan di
antara kedua-duanya selalu menerbitkan rasa syukur di hatiku. Mengurus Khalid oleh
seorang bapa sepertiku memang menuntut kesabaran dan kegigihan tambahan
dibandingkan mengasuh anak biasa. Tetapi Khalid memang bukan anak biasa.
Dia telah
mengajarkanku makna mencintai tanpa pasrah yang hakiki. Pada zaman ketika orang
memburu segala yang superlatif; tercantik, terpandai, tergesit, anakku tidak
akan mampu bersaing. Dia tidak mungkin menjadi teknologi, ekonomi atau da’i
tersohor.
Tetapi apakah itu akan
mengurangi cintaku kepadanya? Mengurangi kegembiraan melihat prestasi-prestasi
kecilnya yang dianggap remeh dan tidak seperti orang lain yang mampu berpakaian
dan makan sendiri? Aku dan ibu tirinya tidak akan memperoleh apa-apa darinya.
Kemungkinan besar Khalid akan terus bergantung pada kami. Dan setelah kami
sudah tiada lagi, mungkin pada Aisyah.
Tetapi kami memang
tidak lagi mengharapkan apapun darinya. Kami hanya menyayanginya. Kurapati
gerbang rumah dan kuserukan salam. Sahutan riang menyambutku. Pintu terkuak.
Aisyah menghambur memelukku sementara abangnya tersenyum lebar sambil berjalan
goyah di belakangnya.
“Ayah
bawa apa, bawa apa?” tanya Aisyah.
Dia menjerit kegembiraan ketika kukeluarkan sekantung mempelam ranum
dari beg plastik belanjaku. Khalid tersenyum. Matanya yang kosong mulai
berbinar. Mempelam adalah buah kesukaannya.
Aku masuk ke kamar
untuk berganti baju setelah berpesan pada pembantu rumah supaya mencuci dan
mengupaskan mempelam buat anak-anakku. Ketika aku keluar, mereka tidak berada
di meja makan. Kupanggil mereka dan kudengar sahutan dari halaman belakang. Di
hadapan sangkar besar burung serindit, Aisyah melonjak-lonjak dan tertawa
melihat abangnya dengan sabar menghulurkan potongan mempelam melalui jeruji
besi.
“Ayuh
hijau! Jangan diam saja! Huh, ambil buah ni!” ujar Aisyah.
Satu
demi satu burung-burung serindit dalam sangkar terbang menyambar potongan
mempelam dari tangan Khalid. Aku bertasbih. Mataku pedih. Sudah lama aku
mengamati keistimewaan Khalid untuk mencintai dengan keikhlasan yang bersih
dari egoisme anak seusianya. Cintanya sangat tulus pada burung-burung
kesayanganku, pada ikan hiasan dan ayam serama yang aku pelihara untuk mengajar
anak-anak bertanggungjawab.
Bahkan pada
bunga-bunga isteriku di halaman rumah. Dia gembira mengurus semua itu, walaupun
tidak pernah mendapat imbalan apapun dari kami. Kelembutannya terhulur bahkan
pada kucing-kucing liar yang sering diberinya makan atau anak-anak jiran yang
kerap mendapat bahagian dari jatah kuih dan buahnya tanpa menuntut balasan
apa-apa.
Aku memang tidak ada alasan untuk bersedih dan
kecewa. Khalid mungkin tidak mampu membaca dan mengaji. Tetapi perasaannya
halus dan penuh kasih sayang. Dan aku sangat bersyukur atas kelebihannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan