Isnin, 15 Mac 2010

Wayu Gersang Dari Tihama

SMAHADZIR 

CABUH dan rusuh amat jiwa mengenangkan. Dunia ini bagai sudah kacau. Kelut dan huru-hara di mana-mana. Manusia yang berakal sudah dijajah oleh syaitan. Begitu dia mentafsirkan dalam lajur angin dari Tihama yang panas dan gersang. Angin itu tidak berupaya menyejukkan rasa membahang dalam diri sejak selesai solat asar tadi.

Dicepu kepala terbayangkan negara sendiri. Perpecahan ummah yang berlaku kerana perbezaan politik kian meroyak. Kebakaran di Mina yang meragut nyawa rakan baik dari Mesir juga membekas. Lebih-lebih lagi dua saudara masih terkandas di KLIA kerana visa. Itulah akibat tidak berurusan dengan Tabung Haji untuk ke Mekah. Tidak termasuk tragedi Kosovo yang getol menggelupur dalam dada. Selebihnya, ‘Bosnia Nusantara’ yang sudah menanah. Semuanya itu amat membuncah dan menggelodar nubari.

Iqbal terhenyak di hadapan Babus Salam. Wayu yang miang berhimpang dari Tihama tetap berkesiur membahang namun hamparan awan di pundak langit comel berambal persis hari dia mula menjejaki Madinah tiga hari yang lalu.

“Kita ini antara Islam yang telah dijajah!”

Begitu kata Mubarak, rakan baik dari Mesir yang baru kembali ke rahmatullah dalam tragedi Mina lima hari yang lalu. Kala itu mereka di ruang lobi Hotel Abassy sebaik selesai maghrib di Baitullah.

Pada mulanya Iqbal agak terjeda dengan kata-kata Mubarak tetapi benak waras tidak menafikan. Benar dan berlaku di mana-mana. Paling terbaru di Kosovo, penghapusan etnik Islam itu satu buktinya. Isu yang berterusan sejak 200 tahun lalu cagun semula tahun 1998, membabitkan emosi, agama dan penafsiran sejarah.
“Saya tidak maksudkan negara lain!” Mubarak bagai faham apa yang berlegar di cepu kepala Iqbal. “Saya lebih tumpukan pada negara saya sendiri.” Dia bagai mengeluh berat namun tangan gesit mencapai cawan, meneguk habbatus sawda perlahan dan tertib. Setagal menyeka serdak bijirin hitam itu yang melekat di hujung kumis lebat.

“Maksud saudara?” Iqbal tercolek ingin tahu.

“Di Malaysia mungkin berbeza tapi di negara saya keadaan bagai tak terbendung. Rakyat miskin seperti saya tersepit di celah kemajuan. Semuanya kerana penjajahan!”

Dahi Iqbal berkerut dengan mata mengesip. Sukar menangkap maksud tersirat. 

“Penjajahan syaitan?”

Mubarak tersenyum waras. “Syaitan Yahudi!”

“Maksud saudara?”

“Ada antara pemimpin kami yang kononnya menentang penjajahan tapi mereka sebenarnya mendewakan Barat! Mereka mengamalkan metodologi dan rasionalisme Barat untuk mempertahan kedudukan modernis mereka!” Mubarak berwajah kesal.

“Paling penting merekalah pelopor jalan riba berleluasa di dunia Islam di samping terkenal dengan gerakan antimazhab dan antisufi.”

Iqbal tersenyum nipis. Dapat dibaca siapa yang dimaksudkan Mubarak tetapi tidak yakin untuk diteka. “Apa dia pernah jadi mufti Besar Mesir tahun 1899?” Sekadar menduga.

“Mana kamu tahu?” Mubarak terlunga.

“Lantikannya atas usaha Lord Cromer dari keluarga yang empunya Bank Baring, menghalalkan bank di Mesir khasnya dan dunia Islam amnya. Tak gitu?”
Mubarak gesit mengangguk. “Kamu tahu banyak tentang negara saya!”

“Saya orang Islam, wajar peka apa yang berlaku di dunia Islam!” Iqbal sikit bangga dengan pengetahuan diri.

“Sungguh saya kesal, fatwa Azhar tahun 1898 – bank adalah haram. Cromer pernah berkata: “Aku rasa kawanku ini seorang agnostik. Pergerakan salafi mereka adalah rakan kepada pergerakan reformis Eropah.” Wajah Mubarak pudar mendadak.

“Jadi dialah pembuka pintu bank di dunia Islam!” Iqbal mendengus panjang. 

“Ramai pemimpin begini. Saya ingat, fatwa pertamanya ialah menghalalkan faedah bank. Dengan itu mengislamkan faedah atau riba bank. Sekarang dah nyata, faedah sebenarnya tak berfaedah kerana susut-nilai wang dah menjangkau beratus peratus. Tak berbaloi faedah sekitar sepuluh peratus jika di bandingkan dengan susut-nilai wang walaupun dikatakan halal!”

Mubarak mengangguk rengsa.

“Saya masih ingat tulisan-tulisannya dalam Al-Manar pun banyak memperluaskan lagi kemasukan rejim bank Barat ke dunia Islam dengan berbicara tentang ‘faedah’ dan simpanan.”

Mubarak gesit mendengus. “Rashid Redha, muridnya, melanjutkan usaha guru kepada sistem insurans Barat. Tak menganggap salah mengambil insurans nyawa seperti dalam Al-Manar. Nyata dia memusuhi mazhab-mazhab dan golongan sufi yang menentang riba!”

“Juga membantah fukha memanjangkan kias tentang faedah dan seperti gurunya juga menganggap tak ada riba pada faedah bank atau pejabat pos. Tak gitu?”

Mubarak tersenyum nipis namun bersemarak sinis yang sarat. “Yang nyatanya, golongan modernis - Afghani, Abduh dan Rashid Redha, adalah pelopor kemasukan kuasa Barat dan rejim Bank Barat di dunia Islam. Sekarang kita boleh lihat bagaimana sistem kewangan Barat sudah mencengkam dunia Islam. Hanya dengan bermain dengan kadar faedah habis negara-negara yang sedang membangun jadi kucar kacir!”

Iqbal mendadak mengeluh berat dan rengsa. Hujah Mubarak memang sukar untuk dinafikan. “Saya bersetuju dengan kamu!” ujarnya setagal kemudian. “Apa yang semakin jelas ialah salasilah ini ialah salasilah pendewaan faedah dan berhala bank. Betul tak?”

Mubarak pantas mengangguk mengiyakan.

“Ini merupakan salasilah pelopor riba di dunia Islam. Merekalah golongan modernis atau reformasi yang membuka pintu riba seluas-luasnya. Mereka ini kroni Hassan Al-Banna,” Iqbal menokok penuh yakin.

“Inilah padahnya mengetepikan cara Islam!” tambah Mubarak seraya mengeluh berat. “Yang jadi mangsa ialah orang Islam, rakyat Islam.”

“Itulah faedah menerima faedah,” Iqbal tersenyum di hujung kata-katanya. 

“Mereka pemimpin perlu menjawab. Seperti saya katakan tadi, yang jelas bagi saya sekarang ialah salasilah pemimpin kamu termasuk juga di negara saya. Merekalah pemimpin golongan modernis atau reformasi yang membuka pintu riba seluas-luasnya.”

“Beruntunglah Soros kerana boleh bermain dengan kadar faedah bila orang Islam menerima sistem yang dikatakan berfaedah tu!” Mubarak mencebek jengkel. “Awak patut menyokong pemimpin negara awak terutamanya dasar-dasar pengawalan matawang yang dibuat oleh Perdana Menteri awak dalam menghadapi rejim kewangan Barat.”

“Ya, saya mesti menyokong dan tetap berada di belakangnya!” Iqbal bersuara tegas. 
“Tapi masih ada golongan modenis di negara saya sekarang mula bercakap tentang islamisasi riba bank Barat seolah-olah mereka bercakap tentang islamisasi riba atau pengislaman arak. Segala instrumen kewangan Barat perlu dilabelkan Islam supaya jadi kuda trojan.”

“Nyata sekarang, Hassan Al-Banna jadi orang tengah. Abduh bawa bank Barat dan golongan modernis era ini pula melabelkannya dengan label Islam. Semakin terjebaklah umat Islam ke dalam rejim kewangan Barat!” Mubarak mencebek jengkel.

“Di negara saya pun ada kumpulan yang bersimpati dengan Hassan Al-Banna dan sering bercakap tentang islamisasi instrument kewangan Barat. Mereka ini pernah jadi orang besar-besar dalam syarikat-syarikat dan kementerian kewangan!” balas Iqbal.

“Mungkin niat mereka baik tapi harus sedar tentang salasilah modernis atau reformis Islam iaitu Afghani, Abduh, Rashid Redha dan Hassan Al-Banna dengan kumpulan Ikhwan dan kumpulan-kumpulan lain yang bersimpati. Moga tak terperangkap dalam kumpulan riba yang diperangi Allah dan Rasul-Nya!” Mubarak seolah-olah mengingatkan.

Iqbal mengangguk akur.

“Ingat, selagi mereka tak bercakap mengenai mata wang Islam yang ada nilai emas dan perak, kita tahulah mereka juga menari tarian sama pemimpin kami!” tambah Mubarak seraya tersenyum sinis.

“Ya, saya pun harap mereka sedar tentang salasilah modernis atau reformis Islam negara kamu tu!” Iqbal turut tersenyum. Juga sinis.

Wayu gersang dari Tihama terus menampar-nampar. Mendadak Iqbal rasa pilu yang menyucuk. Pilu kerana mengenangkan dunia Islam yang sudah dikuasai syaitan Yahudi. Pilu kerana umat Islam sendiri yang terlalu mendewakan mereka. Dan yang lebih pilu, pemergian Mubarak tanpa diketahui di mana pusara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan